Friday, January 25, 2008

Melangkahkan Kaki ke Sekolah

Sekolah Melayu Ganchong

Sekolah Melayu (SM) Ganchong adalah salah sebuah sekolah yang tertua di daerah Pakan, tetapi bukanlah sekolah yang pertama di bina baik di Pahang mahupun di Pekan. SM Ganchong dibina pada 1910.


Sekolah Melayu Ganchong (dibina 1910)

Ada kebijaksanaan pihak sekolah kerana mengekalkan bangunan asal Sekolah Melayu Ganchong. Meski dikelilingi bangunan baru serba moden, bangunan lama sekolah saya ini masih utuh dan gagah. Syukran!


Sekolah Melayu yang tertua di Pahang dikatakan dibina di Pekan sebelum negeri ini dinaungi Inggeris pada 1888. Pembinaan sekolah ini seolah-olah sebagai salah satu bahan trade-off untuk Pahang menerima Sistem Residen. Sekolah yang bertujuan mengajar anak-anak bangsawan di bandar diraja itu, mendapat khidmat seorang yang didatangkan dari Singapura iaitu Encik Embong bin Wan Teleng yang juga menjadi guru di situ dengan mata pelajaran awalnya ialah Membaca, Menulis, Mengira dan Lukisan. Sekolah tersebut terletak di tebing sebelah kiri hilir kuala Sungai Parit. Pada permulaannya hanya terdapat 15 orang murid di sekolah itu. Tulisan rumi masih belum diperkenalkan, sedangkan bahan bacaan terdiri daripada Hikayat Pelayaran Abdullah, Hikayat Kalilah wa Daminah dan Hikayat Si Miskin.

Menurut Dato’ Mahmud bin Mat dalam tulisannya yang bertajuk The First Malay School in Pahang, selepas kemenangan Sultan Ahmad dalam peperangan saudara, pihak British sentiasa memujuk baginda supaya menerima sistem Residen. Pada ketika itu jugalah Sultan Johor telah menghantar Menteri Utamanya ke Pahang dan menasihati rakan sejawatnya mengenai perkara-perkara yang berkaitan dengan urusan pemerintahan. Salah satu nasihat yang telah diperkenankan oleh Sultan Pahang ialah menubuhkan sekolah Melayu. Dengan itu, tertubuhlah sekolah pertama di negeri Pahang yang dikatakan dibina pada tahun 1880-an itu dan dinamakan Sekolah Melayu Pekan. Tarikh sebenar sekolah berkenaan dimulakan tidak diketahui secara tepat tetapi apabila British campur tangan di Pahang pada tahun 1888 sememangnya sudah terdapat sebuah sekolah Melayu di Pekan. Residen British di dalam laporannya menulis seperti berikut:

“I may mention that a Government School was opened at Pekan, in the month of October and that it is now regularly attended by more than fifty boys.”

Sebenarnya ada dua pendapat mengenai guru pertama yang mengajar di sekolah tersebut. Menurut satu pendapat, guru pertamanya ialah seorang anak Pahang yang mendapat pendidikan di Singapura. Beliau dipanggil balik untuk mengajar di sekolah tersebut atas titah Sultan Ahmad. Pendapat lain pula mengatakan ketika itu di Pahang tiada sesiapa yang berkebolehan untuk mengajar. Maka, seorang guru bernama Encik Embong bin Wan Teleng terpaksa didatangkan dari Singapura untuk mengajar anak-anak Pahang. Walau apapun pendapat yang dikemukakan yang penting ialah kewujudan Sekolah Melayu Pekan ini sebelum campur tangan pihak British di negeri Pahang telah membuktikan bahawa kesedaran mengenai kepentingan pendidikan telah bertapak di hati masyarakat negeri ini terutamanya di kalangan golongan istana.

Kemajuan SM Pekan yang amat menggalakkan itu menyebabkan pihak British mula membina sekolah-sekolah lain di Pahang. Pada tahun 1888 dibina sekolah Melayu kedua di Jerantut. Seterusnya sekolah Melayu yang ketiga didirikan di Kuantan pada penghujung 1890-an yang lokasinya di sudut tapak pasar lama (berhampiran Jalan Lebai Ali sekarang). Sekolah ini kemudiannya dipindahkan ke Padang Lalang (di belakang bangunan BMW sekarang, iaitu tapak yang dahulunya menempatkan bangunan Lee Engineering). Pada 1938 murid-murid lelaki SM Padang Lalang dipindahkan ke SM Laki-laki Kuantan di Jalan Gambut (sekarang SK Teruntum) sedangkan murid-murid perempuan dipindahkan ke bangunan baru yang asalnya sebuah istana yang dikurniakan oleh Sultan Pahang di Kampung Galing Besar. Sekolah ini dikenali dengan nama SM Perempuan Galing (sekarang SK Galing).

* * *

Masuk cerita fasal Ganchong pula: Semasa saya mula-mula bersekolah di SM Ganchong, Guru Besarnya ialah Encik MOHD. YUSOF bin DAHALAN. Guru Besar sebelum beliau ialah Haji HASSANUDDIN bin Haji KASSIM. Cikgu Yusof ini nampaknya kurang terlekat di hati penduduk kampung pada masa itu kerana kebanyakan mereka masih menyebut kebaikan Cikgu Haji HASSANUDIN (yang mereka sebut Haji Hassan sahaja). Ada sepokok durian di dalam kawasan sekolah yang dikatakan ditanam oleh Cikgu Haji HASSAN. Guru-guru lain yang mengajar di situ ialah Cikgu MOHD. YUSOF bin MAT (orang Ganchong), Cikgu ZAKARIA bin ZAINAL (orang Ganchong), Cikgu ZAKARIA bin OMAR (orang Ganchong), Cikgu JASIMAN bin KASSIM (orang Ganchong), Cikgu ZAHARAH binti ATIN (orang Ganchong), Cikgu HASNAH binti IDRIS, Cikgu MAIMUNAH binti HAJI SENIK, Cikgu WAN SAEBAH binti WAN ABDUL RAHMAN, Cikgu OTHMAN bin ISMAIL, Cikgu KAMARIAH binti YAAKUB, Cikgu RAMLAH binti HITAM, Cikgu ABDUL AZIZ bin HAJI LONG, Cikgu BADARIAH binti IBRAHIM, Cikgu HASMAH binti KASSIM (orang Ganchong), Cikgu NOREHAN binti AHMAD (orang Ganchong), Cikgu HUSSAIN bin MAT JUSOH, Cikgu ABDUL GHANI bin ALI, Cikgu MANSOR bin SILONG. Guru Besarnya pula Cikgu MOHD. YUSOF bin DAHALAN yang kemudian bertukar dan tempatnya diganti oleh Cikgu MUHAMMAD bin MAN dari SK Temai. Guru Besar seterusnya ialah Cikgu ABDUL RAHMAN bin SULAIMAN (yang dikenali sebagai 'Raja Meluku' disebabkan konon pandainya bermain sepak raga). Guru-guru lain yang saya masih ingat yang mengajar di sekolah ini ialah Cikgu ABU BAKAR bin SHARIFF, Cikgu SALLEH bin AWANG, Cikgu ARSHAD bin KOMENG, Cikgu JUNID bin HUSSAIN dan Cikgu AWANG bin YUNUS, Cikgu MUHAMMAD bin AWANG NONG, Cikgu ABU KASSIM bin ABDUL GHANI, Cikgu ABDUL RAHMAN bin MUSTAFA, Cikgu WAHAB bin NOOR, Cikgu ABDUL AZIZ bin SULAIMAN, Cikgu ABDUL HAMID bin HASSAN, Cikgu AHMAD DAHALAN bin DAUD (orang Ganchong), Cikgu ABDUL HAMID bin SENTOL (orang Ganchong), Cikgu IBRAHIM bin CHIK, Cikgu MOHD. GHAZALI bin ABDUL AZIZ, Cikgu OTHMAN bin HAJI AHMAD, Cikgu ABDUL HAMID bin TALIB , Cikgu RAMLAH binti MAT, Cikgu KHATIJAH binti SULAIMAN, Cikgu ALIAH binti MOHAMED ... (nama akan terus dikemaskini).

Buku-buku bacaan yang digunakan di sekolah Melayu pada masa itu ialah:

Darjah Satu: Julung Bacaan & Benih Akal (murid) dan Kitab Hisab I (guru).

Darjah Dua : Penimbau Aka l & Baja Akal (murid) dan Kitab Hisab I (guru).

Darjah Tiga: Tangga Pengetahuan dan Pelampas Akal & Kitab Hisab II (murid); Kitab Ilmu Hisab II, Ilmu Tanam-tanaman, Pelita Mengarang, Pelita Bahasa Melayu I & II, dan Kitab Rajah Anyaman (guru).

Darjah Empat: Pelbagai Cetera Melayu, Kitab Ilmu Hisab I, II & III, Latihan Ilmu Alam Tanah Melayu, Pelita Mengarang (murid); Kitab Ilmu Hisab II & III, Latihan Ilmu Alam Tanah Melayu, Pelita Bahasa Melayu I & II, Kitab Latihan Tubuh, Ilmu Kesihata n dan Kitab Rajah Anyaman (guru).

Darjah Lima: (Mana-mana surat khabar), Sejarah Melayu, Kitab Ilmu Hisab III, Latihan Ilmu Alam Tanah Melayu, Pelita Mengarang, Pelita Bahasa Melayu I & II, Kitab Ilmu Kesihatan I (murid); Kitab Ilmu Hisab III, Latihan Ilmu Alam Tanah Melayu, Pelita Mengarang, Pelita Bahasa Melayu I & II, Ilmu Mengarang Melayu, Kitab Latihan Tubuh dan Kitab Rajah Anyaman (guru).

Darjah Enam: Buku-buku Malay Homes Library Series, Buku Malay Literature Series, Kitab Ilmu Hisab III, Latihan Ilmu Alam Tanah Melayu, Ilmu Alam Asia, Pelita Mengarang, Pelita Bahasa Melayu I & III, Kitab Ilmu Bercucuk Tanam, Kitab Ilmu Kesihatan Penggal II (murid); Kitab Ilmu Hisab I dan IV; Kitab Ilmu Bercucuk Tanam; Latihan Ilmu Alam Tanah Melayu; Ilmu Alam Asia, Kitab Ilmu Kesihatan Penggal II, Pelita Mengarang, Pelita Bahasa Melayu I dan II, Ilmu Mengarang Melayu, Ilmu Bahasa Melayu I & II, Sejarah Alam Melayu I, II, III & IV, Kitab Latihan Tubuh dan Kitab Rajah Anyaman (guru).

Selain daripada aktiviti pengajaran dan pemelajaran, sekolah pada masa itu dikehendaki menyediakan pasukan senaman, pasukan bola sepak dan anyaman. Pejabat Pelajaran mempunyai seorang pegawai khas untuk aktiviti ini dan nama jawatannya ialah Guru Pelawat Bakul (Basket Supervisor). Pegawai ini lebih dikenali dengan nama jolokan Cikgu Abdullah London, kerana beliau pernah mewakili Malaya di dalam Pameran Bakul di Wembley, London. Cikgu Dollah Bakul khabarnya tinggal di Kuala Lipis.

Untuk aktiviti Anyaman dan Pekerjaan Tangan menggunakan buluh, rotan, akar, bemban batu, tempurung, dan mengkuang. Mata pelajaran ini diadakan pada setiap hari Sabtu, malah ketika tarikh pertunjukan anyaman hampir akan diadakan kami kerap diminta menyiapkan kerja masing-masing pada waktu malam, di sekolah. Tidurlah kami di sekolah pada hujung minggu. Hasil kerja kami (biasanya bakul sampah, bakul surat, raga, senduk tempurung, tapisan kelapa daripada buluh, acuan cendol daripada tempurung, sapu tangan) ada yang dijual semasa pameran dan wangnya dipulangkan kepada tuan punyanya.

Pertunjukan anyaman peringkat negeri biasanya diadakan bersekali dengan ’hari raja ke padang’, iaitu Perayaan Hari Keputeraan DYMM Sultan pada 29 Mei setiap tahun. Pertunjukan atau SHOW ini diadakan di Pekan, biasanya di SM Perempuan Pekan. Pada hari itu juga diadakan perbarisan kehormatan Pasukan Pengakap. Saya pernah menghadiri perbarisan ini yang dirasmikan oleh DYMM Sultan Abu Bakar sendiri di SM Perempuan Pekan dengan pegawai perbarisannya Cikgu ABDULLAH bin HASSAN. Saya ke Pekan berdua dengan Ismail bin Mat Jin dan kami tumpang bermalam di rumah Yang Makandir (suaminya bekerja di Rest House Pekan). Bangunan itu kini menjadi Chief Rest House. Kami bukannya tidur di Rest House sebenar, tetapi di suatu sudut bilik dapur tempat pekerja. Yang Makandir masih ada hubungan kekeluargaan dengan kami. Pemergian ke Pekan 'mewakili sekolah' kononnya itu tidak pula diberi apa-apa oleh pihak sekolah. Tidak ada juga guru pengiring. Kami pergi atas pandai sendiri sahaja!

Pertunjukan Senaman juga merupakan aktiviti setiap tahun. Pada peringkat awal peserta SM Ganchong berlawan dengan SM Pulau Rusa, SM Pahang Tua, SM Tanjung Medang dan SM Langgar di SK Tanjung Medang. Oleh sebab murid sekolah kami tidak ramai, hampir semua murid lelaki Darjah Lima dan Enam dipilih mewakili sekolah. Saya pernah terpilih sekali berlawan di Tanjung Medang. Kami diberi (atau diminta membeli sendiri ?) uniform khas, iaitu seluar dan baju panas yang diberi selepang di dada. Setiap sekolah biasanya dibezakan pakaian mereka dari warna seluar dan selepang baju. SM Ganchong berseluar cerut warna biru. SM Langgar berseluar merah. Seorang murid dari SM Langgar, IBRAHIM bin YAAKUB semasa bersekolah dalam Sarjah Tujuh di Kuantan memakai seluar senaman merahnya itu. Apa lagi, budak-budak Kuantan terus memanggilnya Ibrahim Merah. Gelaran ini meskipun tidak digemari oleh batang tubuh itu hendak tak hendak terpaksalah juga ditanggungnya dengan berat sekali. Seingat saya yang mula-mula menggelar Ibrahim begitu ialah HASSAN bin TARMIN, seorang murid yang tinggal di Kampung Jawa.

Sepanjang ingatan saya, sekolah kami tidak pernah memenangi pertandingan senaman ini. Pada masa itu Pejabat Pelajaran mempunyai seorang pegawai khas yang mengelolakan hal senaman dengan nama jawatannya Guru Pelawat Senaman. Nama beliau ialah Cikgu ISA bin MUHAMMAD. Beliaulah yang memberi markah pertunjukan senaman itu.

Bola sepak juga merupakan aktiviti yang dipertandingkan setiap tahun. Bola sepak pasa masa itu merupakan bola kulit yang mempunyai bladder, iaitu bahagian dalam yang diisi angin. Setelah diisi angin menggunakan pam, bladder itu diikat dan ditusukkan ke dalam bola yang kemudiannya ditutup dengan mengemaskan tali pengikat sebagaimana tali pengikat kasut. Kawasan tali itu masih tersembul - tidaklah licin sebagaimana permukaan bola sekarang- dan jikalau bahagian ini kena di kepala atau tersepak sakitnya bukanlah alang kepalang!

Pemain bola dewasa pada masa itu menggunakan kasut bola yang dipanggil setopor. Kasut bola ini diperbuat daripada kulit. Bahagian hujungnya keras seperti batu dan bahagian tapaknya dipasang kulit yang berpaku panjangnya lebih kurang setengah inci. Ada enam atau lapan paku semuanya; malah ada paku besi yang menguatkan paku kasut itu kelihatan terjongol. Tidak hairanlah pada masa dahulu ada pemain bola sepak yang luka betis, kaki dan peha semasa bermain bola. Dan hal inilah juga yang menyebabkan perlawanan bola berkesudahan dengan pergaduhan berbentuk bertumbuk. Pasukan Ganchong selalu bertumbuk kalau berlawan dengan pasukan Tanjung Medang dan Pulau Rusa. Kaki bertumbuk dari pasukan Ganchong ialah Aziz dan Othman (kedua-duanya anak Tuk Penghulu Kassim) sedangkan dari pihak Tanjung Medang pula ialah Hazizi (kemudiannya menjadi seorang ustaz, seorang tuan punya dan pemandu teksi, seorang pengusaha kedai roti tetapi perniagaannya ini telah lama ditutup dan aktivis politik PAS, Semangat 46 dan pernah menjadi calon pilihan raya, terakhir dalam pilihan raya ke-12 2008, kali ini melalui PKR pula, bagi kawasan DUN Lepar, tetapi masih gagal memenanginya - setakat calon sahajalah). Ada orang mengatakan, kalau bermain bola, ada Hazizi, kalau tak bertumbuk tidak sah permainan itu. Pada masa ini Hazizi bertugas sebagai Imam Masjid Batu 8 (dekat SEMSAS Kuantan), masih memandu teksi, dalam bulan Ramadan menjadi Amil tetapi saya tidak pernah melihat dia bermain bola lagi.

3 comments:

Saiee Driss said...

Terima kasih Datuk kerana berkunjung ke laman http://pantunonline.com.

Sila juga menjenguk ke http://saieedriss.blogspot.com.

Saya sedang berusaha menjadikan pantunonline sebagai laman rujukan berwibawa bagi para pelajar KOMSAS semua peringkat.

Untuk itu saya perlu bantuan rakan-rakan untuk memperkenalkannya kepada guru-guru berkaitan.

Mungkin Datuk dapat membantu sedikit sebanyak.

Wassalam.

YAAKUB ISA said...

Terima kasih atas perhatian Sdr.

Saya akan masukkan hari ini di blog saya beberapa pantun dan perbilangan. Sumbernya pelbagai, terutama karya Allahyarham Pak Zek (Sdr kenal dia?).

Salam.

YAAKUB ISA

Saiee Driss said...

Terima kasih, Datuk.

Rasanya sesiapa yang mengaku penulis tetapi tidak kenal atau tidak pernah mendengar nama Zakaria Hitam harus menilai kembali dirinya. Allahyarham Pak Zek merupakan salah satu ikon sastera rakyat negara.