Friday, September 26, 2008

Pemberian Mentua

Asas Membina Keluarga

Antara tradisi yang diamalkan di kalangan orang Melayu zaman dahulu ialah pemberian daripada mentua kepada menantunya sebaik-baik mereka berkahwin.

Mata benda yang diberikan bukanlah merupakan sesuatu yang berharga seperti emas, intan atau berlian; tetapi cuma alatan rumah tangga yang diperlukan oleh pasangan yang baharu kahwin itu untuk kegunaan harian.

Sembilan Belas Mata Benda

Terdapat 19 bahan pemberian iaitu: ani, anak curan, belera, gayung, geluk, genak, guri, kir, lagam kekang, lémbék, pasu tapak gajah, pemacak, pemasung, perangan, periuk, rahat, sekeduk, senduk, dan sudip. Disebabkan kebanyakan bahan tersebut jarang didengari, malah ada yang mungkin tidak wujud lagi sekarang, berikut diberikan keterangan ertinya:

1 anak curan: sejenis kawah kecil tetapi lebih besar daripada kuali besar.
2 ani: alat tempat menggantung benang tenunan.
3 beléra: sepotong kayu berbentuk seakan-akan pedang yang digunakan untuk memadat dan menggerakkan benang tenunan supaya kain yang ditenun menjadi kemas.
4 gayung: pencedok air daripada tempurung yang diberi bergandar panjang.
5 geluk: tempat air yang diperbuat daripada tempurung kelapa tua atau tanah liat yang diberi bertali.
6 genak: bekas daripada tanah liat yang saiz mulutnya luas, digunakan sebagai tempat menyimpan beras.
7 guri: bekas daripada tanah liat bermulut kecil biasanya digunakan sebagai tempat menyimpan garam.
8 kir: salah satu alat menenun kain.
9 lagam kekang: alat daripada kayu tempat memotong daging, ikan dan sebagainya.
10 lémbék: tilam atau leca iaitu tempat alas tidur daripada kain bersarung di dalamnya diisi kapas atau kekabu.
11 pasu tapak gajah: sejenis pasu besar diperbuat daripada tanah liat biasanya berwarna hijau di bahagian luarnya.
12 pemacak: sejenis alat daripada kayu atau buluh yang ditajamkan pada bahagian hujungnya untuk dicucuk daging dan dibakar di atas bara api.
13 pemasung: kayu yang diguna untuk menahankan kain tenunan.
14 perangan: alat daripada buluh yang dibelah di tengah-tengahnya untuk memanggang ikan atau ayam.
15 periuk: bekas daripada tembaga untuk menanak nasi.
16 rahat: alat memintal benang atau sutera dalam proses menenun kain.
17 sekeduk: bekas daripada tembaga yang seakan-akan cepu, di dalamnya dibubuh kapas dan dialas pula dengan kain untuk dijadikan tempat menyimpan tekoh air panas supaya airnya jangan lekas sejuk.
18 senduk: alat pencedok nasi di dalam periuk atau mencedok lauk di dalam belanga.
19 sudip: alat daripada kayu panjangnya seakan-akan senduk digunakan bagi mencedok nasi di dalam periuk tembaga.

Falsafah daripada pemberian itu ialah memudahkan penyediaan makan pakai dan rumah tangga anak dan menantu mereka dalam memulakan penghidupan baharu. Dalam konsep tasawwur atau world-view masyarakat Jawa, perkara ini mereka sebut sandang-pangan-papan. Secara menyeluruhnya bolehlah dikatakan bahawa pemberian mentua merupakan langkah awal menyediakan anak dan menantu mereka supaya memulakan hidup berdikari.

Dan inilah juga yang boleh dianggap sebagai rempah ratus asas ke arah membina kerukunan sebuah rumah tangga.

Thursday, September 25, 2008

Singgang Ikan Tiram

Memanfaatkan Barangan Murah

Sejarah nilai setiap jenis ikan amat menarik jika dikaji. Lima puluh tahun dulu ikan ubi (Ophicephalus lucius) tergolong ikan yang tidak berharga. Apakah punca yang menjadikan ikan ini boleh mencapai harga RM23.00 sekilo sekarang masih menjadi tanda tanya. Malah, dengan harga sebegitu pun, peminat ikan ubi sukar untuk dapat membelinya di mana-mana, kecuali mungkin di Pasar Tani atau Pekan Sehari yang terletak di tebing sungai Pahang seperti Pekan, Lubuk Paku, Chenor, Kuala Semantan (Temerloh), Jerantut, Benta, Dong, Lipis dan lain-lain.

Demikianlah yang terjadi pada ikan tapah (Willago otu), baung (Mystus nemurus), tembelian atau temoleh (Probarbus jullieni), malah patin (Pangasius spp) dan tengalan (Puntius bulu). Harganya mencuat naik hingga tak terbelikan. Anehnya belum pernah pula kedengaran ada ikan yang suatu masa dahulu mahal dan disukai ramai kini bertukar harganya menjadi murah dan dibiarkan berlonggok di pasar tanpa sesiapa pun membelinya. Pelik, kan?

Singgang Ikan Tiram

Ikan tiram (Clupea kanagurta) dari dahulu hingga kini masih tergolong jenis ikan yang murah harganya. Jenis ikan laut ini bersebab maka harganya murah dan kurang sangat diminati. Sebab utamanya ialah ikan ini sangat banyak tulangnya. Dalam pengamatan saya, 60% daripada jisim ikan ini terdiri daripada tulang. Jadi ibu bapa yang ramai anak kecil mengelakkan daripada membeli ikan ini kerana sukar dimakan oleh anak-anak mereka. Di pasar, harga ikan ini masih dalam lingkungan RM1.50 ke bawah. Sekiranya kita pergi ke pantai semasa nelayan menarik pukat, ringankanlah tangan sedikit untuk menolong menarik pukat, pasti ikan tiram mungkin tak payah dibeli – mereka beri percuma sahaja.

Ikan tiram termasuk kelompok ikan terubuk (Clupea macrura); tetapi saiznya jauh lebih kecil berbanding terubuk. Lihat sahaja persamaan nama kumpulan saintifiknya Clupea itu.

Hanya ada satu cara memasak ikan tiram supaya menjadi masakan yang sedap; yang biasa diamalkan oleh penduduk pantai timur, iaitu dengan menyinggang ikan tersebut. Masakan singgang boleh dibuat oleh sesiapa sahaja, walaupun seseorang yang sepanjang hidupnya tidak pernah menjenguk dapur. Bahan resepinya cukup sederhana: ikan tiram, air, garam, asam keping dan lengkuas. Yang lengkuas itu opsyen, tak ada pun tidak mengapa.

‘Campakkanlah’ bahan-bahan itu ke dalam belanga, dan panaskan hingga mendidih untuk beberapa ketika. Masaklah singgang itu, maknanya. Setelah itu singgang ikan tiram boleh dimakan. Regunya yang paling ampuh ialah nasi panas. Tak ada lauk lain pun tak mengapa; kalau ada lada cepeli (lada burung, setengah orang kata) patah-patahkan begitu sahaja, tak payah pakai lesung batu kerana datuk-nenek kita dulu cuma pakai sengkalan sahaja, dan gaul dengan kuah singgang, terus plup!

Semasa menyiang, sisik ikan tiram jangan ditanggalkan daripada badannya, kerana di bawah sisik itulah terletaknya lemak dan perisa ikan tersebut. Oh, ya! Disebabkan bahagian perut ikan tersebut ada tulang yang keras, maka belahan perutnya hendaklah dibuat di bahagian sisi. Terdapat pula bahan hitam di bahagian dalam perutnya. Ini bukanlah kotoran, tapi masih (barangkali) perisanya dalam bentuk lemak. Bahagian hitam ini jika hendak dibuang sekalipun agak sukar. Jadi tak payahlah dibuangkan.

Singgang ikan tiram sedap dimakan semasa sahur. Janganlah ada lauk lain, apatah lagi lauk-lauk mahal dan berprestij seperti kurma kambing, ayam percik, opor daging, kari ayam kampung, masakan daging merah, goreng kailan ikan masin, kerabu mangga, tomyam campur tak perlu itu semua. Makanlah nasi dengan singgang tiram sahaja; lepas itu kalau suka minumlah kopi cap gajah; lebihkan sedikit gulanya supaya bertambah kick. Puasa hari esok pun insya Allah lebih nyaman rasanya, dan mudah-mudah menjadi puasa yang dimasukkan ke dalam kategori ketiga.

Dengan menu begini, saya berani mencongak bahawa belanja sahur sebuah rumah untuk dua orang suami isteri (yang bersara) tidak akan mencapai RM2.50 sen. Sesuai sangatlah dengan situasi ekonomi dan politik negara kita zaman sekarang. Cakap-cakap orang luar-tepi yang nak dirikan kerajaan baru itu-ini jangan didengari sangat, nanti beralih pula konsentrasi menikmati makanan istimewa sahur; dan yang paling mencemaskan, takut-takut lekat tulang pula.

Selamat mencuba!

Wednesday, September 24, 2008

Tahun Pertama di UM

Pengalanan Baru

Tahun pertama menjadi mahasiswa di Universiti Malaya memang banyak benar memberikan pengalaman baru kepada saya. Pertama peluang bergaul dengan ‘budak-budak’ yang baru menyelesaikan pengajian menengah baik melalui aliran Melayu mahupun Inggeris. Keduanya menyesuaikan diri dengan alam akademik yang belum pernah dirasai.

Rata-rata kumpulan mahasiswa yang dikategorikan sebagai fresh from school itu merupakan remaja yang baru lepas daripada kawalan total ibu bapa, terutamanya mereka yang dari luar bandar. Mereka ini semasa menghadiri kelas tutorial agak kurang menyerlah. Mungkin ada rasa segan kepada golongan veteran.

Mereka kebanyakannya periang dan merekalah yang kerap menghadiri majlis ball di Dewan Tunku Canselor hampir setiap malam hujung minggu. Pelbagai jenis ball diadakan – yang entah apa-apa namanya. Ada yang diadakan atas nama mengutip derma, ada yang dijadikan aktiviti khusus dan sebagainya. Majlis begini juga diadakan di Kolej Kediaman yang pada 1969 hanya ada lima buah, iaitu Kolej Pertama, Kolej Kedua, Kolej Ketiga, Kolej Keempat dan Kolej Kelima. Ada sebuah lagi kolej tetapi tidak dinamakan kolej keenam, sebaliknya dinamakan Kolej Klinikal yang khas untuk mahasiswa Fakulti Perubatan.

Mereka yang tidak mendiami sebarang kolej ada pula organisasinya, iaitu Non-Hostelites Organisation (NHO). NHO juga turut mengadakan ball, biasanya meminjam DTC.

Saya tidak ingat lagi secara persis bila masanya UM memulakan sesi akademiknya setelah ditutup akibat Peristiwa 13 Mei. Tapi, mungkin dua minggu setelah 13 Mei. Pada masa itu perintah berkurung telah dikendurkan secara berperingkat.

Di Kampus kami tidak mengingati lagi peristiwa hitam itu. Di DTC terdapat senarai panjang nama mereka yang dikehendaki menelefon balik ke rumah masing-masing kerana sepanjang peristiwa 13 Mei mereka tidak dapat dihubungi. Nama saya juga terdapat di dalam senarai itu. Tetapi, mana caranya saya hendak menelefon kerana rumah saya tiada telefon. Seluruh kampung saya tiada talian telefon. Lagi pun saya tidak tahu siapa yang menelefon saya. Baik saya diamkan sahaja.

Bertemu Kawan Lama

Kuliah telah bermula dan kami tenggelam dalam aktiviti akademik. Saya menemui semula kawan-kawan semasa di SITC dulu dan kami secara tidak sedar membentuk satu kelompok yang tersendiri dan unik. Bertemu semula dengan Abdul Rahman Abas, Abdul Aziz Abadan, Abdul Latif Ali, Abdul Wahab Ali, Abdul Wahid Abdul Rahman, Abdullah Awang, Ahmad Abdul Rahman, Ahmad Janor, Amin Abdul Rahman, Baharaldin Samian, Baharuddin Awang, Hamdan Abdul Rahman, Haron Musa, Harun Hassan, Harun Rejab, Hashim Mohammad, Ibrahim Yahaya, Ismail Haji Ali, Ismail Ibrahim, Ismail Idris, Karim Man, Khalid Ahmad, Md. Jun Jais, Mohd. Hanafiah Ishak, Mohd. Yusof Ahmad, Mokhtar Shukor, Muhammad Maarof, Omar Malek, Ramli Mohd Noh, Saiyed Ahmad Saiyed Yassin, Salleh Akib, Talkah Abdul Rahman, Yahaya Othman, Yahya Othman @ Man, Yusof Abdul Rahman, Yusof Ahmad, Zaidin Mahmud, Zainal Abidin Mohd. Noor, Zakaria Puteh memang mampu membina beberapa buah kisah yang memelikkan!

Pada minggu pertama selepas pendaftaran kami mengenali beberapa kumpulan yang kadang-kadang menamakan diri mereka sebagai sindiket nota. Tugas anggota sindiket ini ialah menjual nota dalam beberapa bentuk: ada menjual esei tutorial yang kononnya mendapat markah ‘A’ yang siap berjilid tidak begitu rapi; ada pula (dan ini yang banyaknya) menjual nota kuliah yang kononnya disalin in verbatin semasa pensyarah menyampaikan syarahan; ada pula yang menjual tesis BA dan MA yang tidak dijilid; malah ada yang menjual soalan objektif yang entah dari mana datangnya.

Sebagai orang baru, ramai yang terpengaruh dengan hal nota-menota ini; terutama bagi mata pelajaran ekonomi, linguistik, bahasa Arab, sejarah – malah apa sahaja yang disogokkan.

Khabarnya, mereka yang terlibat dalam penyediaan dan penjualan nota ini boleh tahan juga lumayan habuannya. Khabarnya juga, ada orang dalam yang boleh diminta mencari nota pensyarah. Modus operandinya amat sederhana. Teman kita ini biasanya bertugas menggelek nota menggunakan mesin saiklostail dan tidaklah salah bagi beliau untuk menyimpan satu dua salinan bagi kegunaannya. Salinan inilah kemudiannya tembus kepada ahli sindiket untuk dibuat beratus-ratus salinan lain.

Demonstrasi

Selepas beberapa bulan kegiatan yang berhujungkan kepada aktiviti akademik ini menjadi taga. Kini timbul pula kegiatan baru yang memungkinkan dewan kuliah dan bilik tutorial ditinggalkan. Fenomena baru ini memang bermula dari kegiatan di atas sebuah pentas batu di sebelah kiri pintu besar Perpuatskaan. Kegiatan di atas batu itu mulanya diadakan pada pagi Sabtu, tetapi semakin lama semakin kerap diadakan: bukan sahaja pagi, malah petang pun diadakan juga.

Sekiranya ada orang berpidato di atas pentas batu itu, kalau menarik wacananya, mereka yang berhajat untuk mencari buku atau membaca di Perpustakaan terlekat di situ; begitu juga mereka yang keluar dari Perpustakaan untuk menghadiri kuliah atau tutorial turut terpacak di situ juga. Maka ramailah khalayak yang mendengar cong pemidato.

Tokoh yang kerap dinanti-nanti kerana ucapan yang penuh retorika pada 1969 dan 1970 itu tentulah tidak lain daripada Sdr Anwar Ibrahim. Ada tokoh lain seperti Sdr Syed Hamid Ali (Kelab Sosialis Universiti Malaya) dan Jai Mohan, Abu Salihu, Nordin Razak, Karim Man, Megat Junid Ayob, Zainal Abidin Yusof, Choong Lai Huat (UMSU) yang kerap berpidato di Speakers' Corner; tetapi ketrampilan mereka memang tidak boleh menandingi tokoh yang seorang lagi itu.

Untuk berpidato di Speakers’ Corner (demikian pentas batu itu diberi nama khasnya) tak perlu banyak alatan diperlukan. Sebuah hailer biasa sudah memadai. Tak perlu ada alat bantu seperti gambar, carta, slaid atau apa sahaja. Setiap hujah yang diberikan senang sangat dipercayai atau tidak dipercayai. Itulah yang dikatakan cong itu tadi. Dan, yang penting, tidak ada orang menghalang anda untuk berpidato. Anda boleh berpidato sehingga anda seorang sahaja yang tinggal di situ... mendengar pidato anda sendiri!

Kawasan itu biasanya teduh daripada panas matahari kerana terdapat beberapa batang pohon ketapang yang bertindak sebagai kanopi di sekelilingnya; tetapi memang tidak boleh terselamat daripada serangan hujan.

Isu yang selalu diperkatakan pada masa itu kebanyakannya isu dalaman, yang bermula daripada persoalan dasar concurrent bilingualisme yang diamalkan oleh UM di bawah tadbiran Pak Ungku Aziz, hinggalah pelaksanaan bahasa Melayu pada papan tanda di sekitar Universiti. Isu kedua ini berakhir dengan tindakan mengecat papan tanda berbahasa Inggeris dengan cat warna hitam. Ini adalah tindakan PBMUM dan sekali lagi, dikepalai oleh Sdr Anwar Ibrahim juga.

Isu ini ditanggap oleh pentadbiran UM dengan sewajarnya. Tidak lama mereka mengambil masa menukar semua papan tanda nama ke bahasa Melayu.

Penyertaan khalayak kampus dalam beberapa demonstrasi agak sederhana. Saya pernah melihat dalam satu demonstrasi sekeliling kampus yang Profesor Dr. Syed Muhammad Naquib al-Attas turut serta. Basah baju (dan janggut) Dekan Fakulti Sastera itu berjalan kaki di lingkaran jalan raya yang panjangnya kira-kira empat batu itu.

Kemudian timbullah isu yang lebih berat. Kali ini Sdr Anwar Ibrahim mengepalai kempen anti-Tunku Abdul Rahman Putra menggunakan PBMUM sebagai wahana perjuangannya. Antara tokoh yang dijemput memberikan ceramah di Kampus UM ialah Dr. Mahathir Mohamad yang pada masa itu dilucut keahliannhya daripada UMNO. Surat Dr. Mahathir kepada Tunku yang disebarkan secara bebas di kalangan mahasiswa sempat beredar beberapa hari sebelum kerajaan mengharamkan pengedarannya. Tetapi sebenarnya isi surat itu telah diketahui oleh semua orang. Ceramah Dr. Mahathir di Dewan Kuliah Fakulti Pendidikan padat dihadiri oleh entah sesiapa - maksudnya bukan hanya mahasiswa - sehingga dewan itu terpaksa dibuka dinding penghadangnya untuk memuatkan sekali ganda lagi pendengar.

Berita dari kampus UM kerap keluar di Far Eastern Economic Review (FEEC) berbanding akhbar dan majalah di tanah air. Bolehlah diagak mengapa jadi begitu. Sidang akhbar cukup hanya dibuat di atas rumput di tepi longkang depan Art Concourse. Tak payah pakai bilik dan mikrofon segala. Semuanya pemberita luar negara.

Memorandum meminta Tunku berundur dari jawatan PM turut disampaikan oleh PBMUM yang sekali lagi dikepalai Sdr Anwar Ibrahim melalui pegawai khas JPM pada masa itu Dato’ Abdullah Ahmad. Kalau tidak salah ingatan saya, Encik Abdullah Ahmad Badawi juga berkhidmat di jabatan yang sama kerana tidak lama kemudian beliau dilantik sebagai Setiausana MAGERAN, di bawah Tun Abdul Razak sebagai Pengarahnya.

Encik Abdullah Ahmad Badawi pernah menjadi Tutor Bahasa Arab kami. Saya meminati cara pengajaran beliau yang lemah lembut, dan kalau sepatah dua saya mengetahui bahasa Arab sekarang, itu adalah hasil daripada pengajaran beliau, bersama-sama Pensyarah mata pelajaran bahasa Arab yang sangat berketrampilan iaitu Dr. Ismail Nawab, seorang orang Arab dari Makkah yang terlatih di Inggeris.

Thursday, September 4, 2008

Makna Kepuasan

Hati Penulis

Saya fikir seorang penulis mempunyai tahap-tahap kepuasan hatinya tersendiri dalam berkarya. Penulis kecil, melihat namanya tersiar bersama-sama karya – katakanlah sebuah puisi, cerpen atau artikel – cukup menerbitkan rasa puas, dan kalau boleh menggunting, membuat salinan fotostat malah memasukkannya ke dalam frame atau clear holder akhbar atau majalah yang menyiarkan karyanya itu baik untuk ditunjukkan kepada sesiapa sahaja yang ingin menghargai kebolehannya itu atau menikmatinya sendiri.

Selepas itu tahap kepuasannya mungkin meningkat apabila tulisannya disiarkan dalam jurnal atau majalah yang terkenal, atau novel ciptaannya diterbitkan, atau cerpen dan sajaknya dimasukkan di dalam antologi dan diperkatakan di khalayak. Hatinya lebih kembang kalau tulisannya dijadikan bahan rujukan pula dalam tesis mahasiswa atau dijadikan bahan untuk seminar yang dihadiri oleh ratusan peserta. Pada masa itu, berapa nilai royalti yang diterima hasil karyanya itu telah tidak menjadi soal. Kepuasan bukan diukur dengan wang ringgit.

Hey, buku aku rupanya!

Sesekali pergi ke kedai buku ternampak buku tulisannya disusun sebaris dengan karya penulis lain di atas rak. Alangkah gembiranya! Kalau boleh ingin menunggu di kedai buku itu untuk melihat ada orang yang membeli bukunya: sebuah pun jadilah.

Pergi ke perpustakaan pun terlihat ada bukunya di susun rapi. Melayari komputer perpustakaan, melalui perisian OPEC cuba dicari namanya di atas talian. Hey! Namaku, nama bukuku, siap dengan nombor panggilan, nombor ISBN, Data Pengkatalogan-dalam-Penerbitan, semuanya ada belaka. Seronok.

Kesan keseronokan ini mungkin hanya wujud pada diri penulis kecil. Penulis mapan yang ratusan judul telah diterbitkan atau buku-bukunya telah dijadikan buku teks di sekolah, tidak pernah memikirkan ini semua. Kepuasannya mungkin pada tahap lain.

Carian Google

Suatu hari, melalui program carian Google saya cuba memasukkan nama saya untuk aktiviti carian. Kerja itu saya lakukan memang secara sengaja untuk membuang waktu. Tetapi alangkah terkejutnya apabila mendapati buku saya ada di Library of Congress (http://www.loc.gov/). Bagaimana nama saya dan buku penulis kerdil dari Kampung Kiambang, Ganchong, Pekan, Pahang ini berada di dalam perpustakaan terbesar dan tersohor di dunia? Di negara orang pula tu!

Saya terus melayari laman web Perpustakaan Negara Amerika Syarikat itu dan mendapati ada enam buah buku saya tersimpan di sana, di dalam Bilik Thomas Jefferson, iaitu Hukum Kanun Pahang; Idealisme dan Pemikiran Tun Abdul Razak; Raja Donai Bahtera Kulit Kacang (edisi 87); Kamus Bahasa Melayu Klasik; Almanak Pendidikan dan Raja Donai Bahtera Kulit Kacang (edisi DBP). Ini di luar pemikiran saya sama sekali. Perpustakaan Awam Pahang di Kuantan sendiri tidak menyimpan sebahagian daripada buku itu.

Saya cuba pula melayari laman web British Library (http://www.bl.uk/) untuk meneliti katalognya. Di situ juga tersenarai buku saya Hukum Kanun Pahang; Kamus Bahasa Melayu Klasik; Almanak Pendidikan dan Raja Donai Bahtera Kulit Kacang (edisi DBP).

Di National Library Board Singapura (http://www.vistaweb.nlb.gov.sg/) juga ada buku saya, iaitu Hukum Kanun Pahang; Idealisme dan Pemikiran Tun Abdul Razak; Kamus Bahasa Melayu Klasik; Raja Donai Bahtera Kulit Kacang (edisi DBP); Peterana Kasih; dan Tulisan Jawi: Sejarah, Seni dan Warisan. Buku-buku ini juga terdapat di semua perpustakaan daerah di Republik itu.

Buku yang diusahakan bersama dengan Amaruszati Noor Rahim dan Ahmad Farid Jalal yang berjudul Tulisan Jawi: Sejarah, Seni dan Warisan juga terdapat di National Library of Australia (http://www.nla.gov.au/).

Usaha orang lain mengumpul pelbagai bentuk hasil tulisan, yang mungkin tidak diperhatikan langsung oleh pihak berwajib negara kita, mestilah ada faedahnya bagi bangsa mereka. Banyak yang patut dipelajari tentang ini sedangkan orang tua-tua kita ada berkata:

Menjangkau serentang tangan
Memikul sekuat bahu
Melompat seayun langkah
Berkata sepanjang akal
Mengurangi sia-sia
Melebihi sebaik-baik
Yang bongkok makanan sarung
Yang bengkok makanan tali.

Berpikir pelita hati
Tenang seribu akal
Terasa lemak jangan ditelan
Terasa pahit jangan diluahkan
Berjalan menjaga langkah
Berkata pelihara lidah
Hidup bak pucuk aru
Mengikut ke mana arah angin
Iyakan yang di orang
Lalukan yang di awak
Telunjuk lurus kelingking berkait.

Mati bertongkat budi
Hidup berkerelaan.

Wednesday, September 3, 2008

Sebuah Belasungkawa

Cikgu Haji Zakaria bin Haji Derani

Dua artikel saya di dalam Blog ini ada menyebut tentang Cikgu Zakaria Derani, Guru Besar semasa saya menjalani latihan di Sekolah Umum Padang Tengku dalam tahun 1960, selepas selesai menghabiskan pengajian di SITC.

Saya menyebutkan di dalam artikel itu yang baik-baik sahaja tentang beliau ini. Memang itulah sebenarnya sifat beliau. Seorang guru sejati, sangat dedikasi dan penuh dengan idea tentang memajukan profesyen diri dan murid-murid serta institusi pendidikan yang ditadbirnya.

Saya masih ingat, setelah saya hampir selesai menjalani latihan di sekolahnya, beliau meminta untuk membeli buku matematik Durell. Buku tersebut dalam bahasa Inggeris dan kulitnya berwarna hijau. Saya tidak ingat secara persis judul buku itu. Beliau hendak menyediakan dirinya untuk mengambil peperiksaan Federation of Malaya Certificate of Education. Buku itu telah saya gunakan beberapa tahun semasa di SITC, dan tak sampai hati pula untuk menjualkan kepadanya. Lalu, saya hadiahkan sahaja buku itu kepada beliau. Jasa beliau kepada saya sepanjang berkhidmat di sekolahnya jauh lebih besar nilainya berbanding nilai buku itu.

Semasa saya menjawat jawatan Pegawai Pendidikan Daerah Raub pada 1984 beliau menjadi Penolong Pegawai Pendidikan Daerah (Rendah). Maknanya, di Raub beliau bekerja di bawah saya. Pun begitu, saya tidak pernah menganggap demikian: saya sentiasa menghormati beliau sebagai bekas bos dan panggilan saya kepada beliau tidak berubah: ‘Cikgu’ itulah.

Beliau banyak membantu meningkatkan khasnya pendidikan rendah sekolah-sekolah di daerah Raub. Ada sahaja kursus dalaman, mesyuarat, nota panduan, kertas kerja dan taklimat bimbingan yang diadakannya. Saya berkeyakinan penuh dan memberikan kepercayaan terhadap pengurusan dan pentadbiran sekolah rendah di tangan beliau. Urusan pembangunan sekolah di daerah pun beliau yang membuatnya, dan semuanya ini beliau laksanakan tanpa mengenepikan saya sebagai pegawai atasannya.

Maka, pada pukul 7.10 petang 24 Ogos 2008 yang lalu saya menerima kiriman SMS daripada Sdr Sobirin Haji Duli yang berbunyi: “Haji Zakaria Derani meninggal tetapi masih di Kuala Lumpur.” Saya terkejut dan memberitahu isteri tentang berita itu. Pada masa itu kami berada di Hotel Concord Shah Alam, sedang bersiap-siap untuk ke Intekma Resort menghadiri majlis penutup Program Puncak Jaya anjuran Yayasan Pahang bersama-sama UiTM, sebagai wakil Dato’ Hajah Saariah Saad, Pengurus Besar YP.

Saya tahu, selepas pemergian isteri beliau Cikgu Hajah Wan Safiah binti Haji Wan Ishak ke ramahtullah, kesihatan beliau sentiasa terganggu. Pernah sekali semasa menunaikan umrah, beliau dimasukkan ke hospital Aziziyah beberapa hari. Saya tahu berita itu semasa kami rombongan Gapena bersiap-siap untuk menghadiri Seminar Dunia Melayu di Jeddah. Tak dapatlah saya menziarahi beliau. Tapi, itu kira-kira 10 tahun yang lalu.

Saya cuba menghubungi Haji Sobirin, tetapi tiada jawapan. Saya menghubungi Sdr Haji Muhammad Baee di Raub, dan beliau menyatakan yang beliau juga menerima berita itu daripada Haji Sobirin, dengan isi beritanya sama seperti yang saya terima.

Ingin benar saya menziarahi jenazah teman saya yang sangat berjasa kepada dunia pendidikan, khasnya di Pahang ini; tetapi di Kuala Lumpur itu entah di mana persisnya. Mungkin di hospital (hospital yang mana?), atau di rumah anaknya (saya tahu beliau ada anak yang tinggal di KL, tetapi di mana mereka tinggal saya tidak tahu). Malangnya, saya ke KL pagi tadi tidak memandu kereta, tapi menaiki perkhidmatan AirAsia yang baru sahaja memulakan perkhidmatan Kuantan-KL kerana memikirkan untuk balik nanti saya boleh menumpang kereta Yayasan Pahang atau kereta Muzium.

Hari ini beliau tutup usia. Nampaknya putuslah harapan untuk menghantar jenazah teman saya ini sehingga ke liang lahad. Majlis malam itu entah pukul berapa pula habisnya. Keesokan harinya saya kena berpindah ke Hotel Blue Wave Shah Alam pula kerana menghadiri Seminar Kebangsaan Tulisan Jawi anjuran UPSI. Saya menelefon Sdr Haji Muhammad Baee semula, meminta beliau sampaikan salam kepada keluarga Allahyarham, sekiranya beliau berkesempatan ke Lipis keesokan harinya. Saya yakin, jenazah akan disemadikan di Kuala Lipis, tanah tempat kelahiran beliau.

اِنَّ للهِِ وَِانَّ الََِيْهِ رَاجِعٌوْنَ

Tuesday, September 2, 2008

Seminar Tulisan Jawi

Persoalan Tulisan Jawi

Status tulisan jawi dalam masyarakat Melayu semakin banyak diperkatakan. Pelbagai polemik dan seminar telah diadakan; baik pada peringkat institusi dan organisasi mahupun pada skala yang lebih besar iaitu peringkat kebangsaan dan antarabangsa.

Di dalam kebanyakan wacana selalu dipersoalkan siapa sebenarnya yang bertanggungjawab meminggirkan tulisan jawi sehingga nampaknya semakin terhakis. Bukti keterhakisannya itu ialah golongan muda kini tidak tahu lagi membaca dan menulis jawi, malah akhbar bertulisan jawi Utusan Melayu terpaksa diberhentikan keluarannya kerana tiada pembeli (maknanya tiada pembaca) dan kini hanya menjadi akhbar sisipan kepada Utusan Malaysia setiap hari Isnin

Persoalan juga ditimbulkan tentang perubahan demi perubahan terhadap sistem ejaan tulisan jawi yang menyebabkan orang ramai sukar mengikutinya. Kebanyakan suara yang dilontarkan di dalam seminar cenderung untuk kembali kepada Sistem Ejaan Za’ba yang dikatakan lebih mudah dan pragmatik.

Peserta wanita bergambar dengan Prof. Dr. Mohd. Bukhari Lubis, Tuan Haji Hamdan Abdul Rahman, dan Dr. R. Irkhaas A. Samad.


Fakulti Bahasa bersama-sama dengan Fakulti Sains Sosial dan Sosial, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) pada 25 – 27 Ogos 2008 telah mengadakan Seminar Kebangsaan Tulisan Jawi dengan tema Memartabatkan Tulisan Jawi Ke Arah Memperkaya Ilmu. Seminar yang diadakan di Hotel Blue Wave, Shah Alam ini turut dijayakan dengan kerjasama Perpustakaan Negara Malaysia (PNM); Kementerian Pelajaran Malaysia; Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM); Kementerian Perpaduan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan; Kementerian Pengajian Tinggi dan Utusan Melayu (M) Berhad. Ke Bawah Kaus YTM Tengku Besar Tampin, Tunku Syed Razman ibni Tunku Syed Idrus al-Qadri telah merasmikan Seminar pada jam 10.00 pagi 25 Ogos 2008 itu.

Inilah kali pertama saya hadir di dalam majlis yang dihadiri oleh YTM Tunku Besar Tampin. Saya dapati ada kelainan dalam hal protokol dan perbahasaan dengan tokoh adat Negeri Sembilan ini. Lihat sahaja kata ’kebawah kaus’, penggunaan ’tuanku’ dan ber- ’patik’ serta kehadiran regalia mendahului perarakan masuk yang merupakan sebuah kotak berhias. (Saya tidak sempat bertanya apakah isinya kotak itu, tapi saya membuat andaian sendiri iaitu mungkinlah tepak sireh barangkali).

Sebenarnya pihak Jawatankuasa Seminar telah menjemput saya untuk membentangkan sebuah kertas kerja di Seminar tersebut. Jemputan itu bersyarat: kena membayar RM400.00 selain kos lain seperti pendaftaran, tempat menginap (yang termasuk kos makan siang, sarapan dan minum petang). Tentulah berat bagi saya sebagai seorang pesara. Tidak mengapa dikenakan bayaran pendaftaran, tetapi bayaran sebagai pembentang itu tidak dapat saya terima. Sebagai seorang pesara, saya tidak mempunyai kepentingan melalui pembentangan ini – misalnya saya tidak perlukan kenaikan pangkat, pengesahan status kerjaya atau faedah-faedah yang seumpamanya. Barangkali timbul kasihan di pihak mereka kepada saya kerana ada logiknya, dan masuklah kertas kerja saya berjudul Struktur Tulisan Jawi dalam Hukum Kanun Pahang bersaing dengan 34 kertas lain mewarnai Seminar tersebut.

Dari kiri: Haji Hamdan A. Rahman, Dato' Yaakub Isa, Prof. Kang Kyoung Seok, Puan Faridah Haji Hussin.


Menemui teman lama

Menghadiri seminar begini memang ada faedah sampingannya. Saya boleh menemui kawan-kawan lama yang mempunyai minat yang sama. Selain staf akademik UPSI yang saya kenal betul seperti Sdr A. Halim Ali, Sdr Dr. Mohd. Bukhari Lubis, Profesor Emiratus Dr. Abdullah Hassan, Sdr Taj Rijal Mohd. Romli, Prof. Dr. Adnan Nawang, Sdr Azhar Wahid. Sdr Haji Hamdan Abdul Rahman, seorang sifu tulisan jawi turut hadir, siap dengan kelakar jawanya sebagaimana biasa. Kali terakhir saya menemui beliau semasa menjadi Pensyarah Bahasa Melayu di Universiti Prince Songkhla, Pattani kira-kira enam tahun yang lalu. Tokoh sasterawan dari Singapura yang saya sentiasa sapa sebagai Cikgu Suratman Markasan turut dijemput sebagai ahli panel forum bersama-sama Haji Hamdan (wakil Malaysia), Dr. Abdul Rashid Hameyae (Pattani), Dr. R. Irkhaas A Samad (Indonesia).

Kertas kerja yang sebanyak itu dikelompokkan pula oleh Jawatankuasa kepada beberapa subjudul iaitu: Perkembangan dan Sejarah Tulisan Jawi; Peranan Tulisan Jawi dan Prospek Masa Hadapan; Teknologi dan Tulisan Jawi; Kaedah Pembelajaran dan Pengajaran Tulisan Jawi; Pendidikan Seni Khat; dan Terjemahan dalam Penyebaran Islam dan Perkembangan Bahasa.

Liku-liku meminggirkan Jawi

Kebanyakan isu tulisan jawi dahulu, dibincang dan diputuskan dalam bentuk resolusi melalui Kongres Bahasa Melayu, iaitu yang dijadikan wahana pemupukan semangat bahasa dan sastera Melayu. Lembaga Tetap Kongres bertempat di Singapura dengan anggota kerabatnya merata di seluruh Semenanjung. Berikut disusun secara kronologi resolusi tentang tulisan jawi dan beberapa Akta mengenainya:

Resolusi Kongres Persuratan Melayu I 1952: ”Bahawa Kongres Persuratan Melayu I mengambil keputusan tulisan rumi dan jawi digunakan dalam persuratan Melayu.”

Resolusi Kongres Persuratan Melayu II 1954: ”Bahawa Kongres Persuratan Melayu Se Malaya yang bersidang di Seremban pada 1 Januari 1954 ini setelah mengkaji Penyata Tulisan Jawi-Rumi yang dibentangkan oleh Jawatankuasa Penyiasat Tulisan Jawi-Rumi itu, mengambil keputusan sudah sepatutnya tulisan rumi dirasmikan bagi persuratan Melayu dengan tidak menghapuskan tulisan jawi sehingga masa akan menentukannya.”

Penyata (Pelajaran) Razak (1957): ”Kami telah menimbangkan dengan halus berkenaan dengan perkara menggunakan tulisan rumi atau jawi di dalam Bahasa Kebangsaan itu dan cadang digunakan rumi dengan syarat diadakan pelajaran jawi bagi murid-murid Islam.”

Akta Bahasa Kebangsaan (963/67): ”Tulisan bagi Bahasa Kebangsaan ialah tulisan rumi: dengan syarat bahawa ini tidak melarang penggunaan tulisan Melayu yang lebih dikenali dengan nama tulisan jawi bagi Bahasa Kebangsaan.”

Penjelasan Pejabat Peguam Negara Malaysia: ”Tidak ada percanggahan dari segi Perlembagaan menjadikan tulisan jawi sebahagian daripada pelajaran bahasa Malaysia dan memasukkan dalam sukatan pelajaran. Juga tidak ada percanggahan undang-undang bagi Kementerian (Pendidikan) menyuruh sekolah mengajar pelajaran jawi. Tetapi adalah bercanggah dengan semangat Akta Bahasa Kebangsaan 1963 memaksa penuntut-penuntut mempelajari jawi sebahagian daripada (pelajaran) Bahasa Malaysia.”

Maka jadilah: Kedudukan jawi dalam bahasa Melayu sama sahaja dengan kedudukan daging kambing di dalam nasi beriani di rumah mertua TIGA ABDUL dalam filem Tiga Abdul yang popular:
· tiada salahnya memasukkan daging kambing di dalam nasi beriani.
· tiada salahnya menyuruh khadam menghidangkan masakan beriani daging kambing.
· memaksa menantu makan daging kambing adalah bercanggah dengan semangat undang-undang Sadiq Sigaraga, bukan bercanggah dengan undang-undang itu.



Dari kiri: Kol. Abdul Hamid Awang, Haji Hamdan Abdul Rahman, Dato' Yaakub Isa dan Prof. Kang Kyoung Seok.

[Catatan: Analogi di atas adalah pemikiran Sdr Haji Hamdan Abdul Rahman sendiri yang dinyatakan dalam Seminar di Hotel Blue Wave].

Epilog

Saya cuba meneliti dan mengumpul tulisan-tulisan berupa laporan dan catatan tentang proses menentukan dua jenis tulisan ini dan bagaimana keputusan itu dicapai:

Cadangan pertama [Rasmikan tulisan rumi dengan tidak menghapuskan tulisan jawi] dibawa oleh Kesatuan Guru-Guru Melayu Singapura dan disokong oleh Asas ’50 menerima 11 undi iaitu Kesatuan Guru-Guru Melayu Singapura, Asas ’50 Negeri, 4PM Singapura, Lembaga Bahasa Melayu Kedah, Sahabat Pena, 2PMN9, Kesatuan Persekutuan Guru-Guru Melayu Semenanjung, Persatuan Sosial Singapura dan Panitia Kongres.

Cadangan kedua [Rasmikan kedua-dua tulisan jawi dan rumi] dibawa oleh LEPAS (Perak) dan disokong oleh Lembaga Bahasa Melayu Singapura menerima 7 undi iaitu LEPAS (Perak), Lembaga Bahasa Melayu Singapura, Asas Utama, Budaya, Puspa, Kesatuan Melayu Singapura dan Angkatan Tenaga Sasterawan Pahang.

Cadangan ketiga [Jangan ambil apa-apa keputusan, fikirkan lebih lanjut lagi] dibawa oleh Angkatan Penulis Melaka dan disokong oleh Kebudayaan Melayu Raya (Pulau Pinang) menerima 2 undi iaitu pencadang dan penyokongnya sendiri.

Sebenarnya sebelum Kongres Bahasa Ke-2 ini Asas ’50 pernah mencadangkan supaya tulisan rumi dirasmikan sebagai tulisan kesusasteraan Melayu dan membiarkan tulisan jawi dan Arab dalam pengajaran agama Islam. Cadangan ini disokong oleh Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS).

Elok juga saya catatkan di sini tentang wakil Pahang ke Kongres Bahasa Melayu Ke-2 dan yang menyokong cadangan kedua itu. Cikgu Hassan Haji Abu Bakar dan Cikgu Abdul Ghani Ali hadir ke Kongres atas nama Angkatan Tenaga Sasterawan Pahang. Tiada kajian pernah dibuat tentang organisasi penulis ini, terutama tentang keahlian dan kegiatannya. Pada masa itu Dewan Persuratan Melayu Pahang masih belum ditubuhkan. Cikgu Hassan Haji Abu Bakar memang seorang pejuang bahasa dan kuat berorganisasi. Di kebanyakan seminar tentang bahasa dan budaya kita pasti menemui beliau dan kehadirannya sentiasa dimanfaatkan dengan sumbangan aktif melalui pelbagai bentuk wacana. Beliau gemar mengumpulkan kertas kerja dan penerbitan seminar, tak kira berapa set; yang kemudiannya diagihkan kepada teman-teman yang berminat atau kepada institusi pendidikan. Sayangnya, saya tidak menemui beliau semasa Seminar Tulisan Jawi anjuran UPSI di Shah Alam baru-baru ini. Mungkin beliau uzur atau tidak terbaca maklumat tentang seminar atau kerana mendapat tahu bayaran menghadiri seminar mahal sangat! Saya pernah menemui Cikgu Hassan di Pekan Sahari Temerloh yang terkenal itu, menjual beberapa dagangan, termasuk kain batik, makanan berkhasiat dan lain-lain. Beliau pandai bercakap dan menulis bahasa Jepun. Cikgu Abdul Ghani Ali pula asal Negeri Sembilan dan seingat saya pernah berkhidmat di Ganchong. Cikgu Hassan masih hidup sekarang dan sentiasa berkelana, tetapi Cikgu Abdul Ghani khabarnya kembali ke Negeri Sembilan dan tidak diketahui keberadaannya. Kedua-duanya guru lepasan SITC.

Ucapan Terima Kasih

Semua gambar dalam artikel ini kiriman Puan Faridah Haji Hussin peserta dari SMAK Labu, Negeri Sembilan. Gambar di sebelah kiri itulah gambar beliau bersama-sama Profesor Kang Kyoung Seok. Kepada Puan Faridah, penulis Blog ini mengucapkan berbanyak-banyak terima kasih. Syukran jazilan.

Monday, September 1, 2008

Cerita Kampung Yang Pupus

Kampung Kemuning

Konon nama kampung itu Kampung Kemuning, terletak di tebing Sungai Teris, Lanchang, Mentakab. Suatu masa dahulu kampung itu merupakan sebuah kampung yang penuh dengan dusun buah-buahan, terutama durian dan langsat. Tidak diketahui sebab yang pasti mengapa kampung berdusun secantik itu ditinggalkan. Mereka yang mengunjung kampung itu pada musim durian gugur terpaksa menjunjung kawah bagi mengelakkan kepala ditimpa durian. Kawah itu digunakan untuk memasak durian untuk dijadikan lempuk kerana untuk membawa durian keluar bukannya perkara mudah. Perjalanannya jauh dan jalannya sukar dilalui. Demikianlah cerita orang.

Kini wujudlah beberapa kampung dan petempatan tradisional yang agak jauh daripada Kampung Kemuning, seperti Semantan, Kampung Bolok, Kampung Cempaka, Kampung Lana, Kampung Teris, Kampung Paya Laman, Kampung Den. Dr. W. Linehan dalam buku A History of Pahang hanya menyebut Terih, Semantan dan Lubuk Terua ketika menyebut gerakan penentangan terhadap Inggeris di Pahang oleh Bahaman dan Mat Kilau.

Kewujudan Kampung Kemuning selama ini hanyalah menjadi cerita mitos di kalangan generasi tua sekitar lembah sungai Semantan. Pergerakan pasukan Mat Kilau, Tuk Gajah dan Bahaman di Pahang Barat dikatakan melalui kampung ini, memudiki Sungai Teris untuk ke Raub, kemudiannya ke Lipis, Budu dan menghilir semula Sungai Pahang menuju Pulau Tawar, Kelola, Paya Kedangsa; atau mudik ke anak Sungai Jelai ke Kuala Tembeling, Pasir Sia, Pasir Mandi, Jeram Ampai, terus ke Terengganu, Kelantan dan Siam.

Ada sekeping peta Pahang yang dilampirkan dalan buku karangan W. Linehan: A History of Pahang (JMBRAS Vol. XIV, Part II, Jun 1936) yang disebutkan tadi tidak tercatat nama Kampung Kemuning. Peta negeri Pahang paling lama yang ada di Muzium bertarikh 1940, dengan catatan huruf tebal ‘EMERGENCY’. Mungkin peta itu digunakan untuk persediaan perang melawan tentera Jepun. Nama Kampung Kemuning tidak juga tercatat di atas peta tersebut. Ini bermakna, tahun 1936 kampung tersebut telah pupus.

Zon Pertanian

Kawasan sekitar Lancang diwartakan sebagai kawasan pertanian yang bakal mengeluarkan buah-buahan secara besar-besaran. Ladang pisang restali saujana mata memandang. Begitu juga ladang buah naga, sayur-sayuran, malah ada diusahakan tanaman buluh jepun yang mengeluarkan rebung untuk dibuat sayuran.

Dalam usaha membina lahan pertanian itulah salah seorang pengusaha menolak tanah dan menemui beberapa bahagian rangka manusia. Itulah mulanya pecah khabar kampung yang pupus ini.

Maka pada 16 Julai 2008 yang lalu pihak Muzium Negeri Pahang meminta saya ikut serta ke Lancang untuk menyertai rombongan yang diketuai oleh ADUN setempat YB Dato’ Haji Mohd. Sharkar Haji Shamsuddin, Pegawai Daerah, Kadi Temerloh, Polis, Penghulu, Ketua Kampung, Tok Imam dan beberapa wartawan ke kawasan yang ditemui rangka manusia itu.

YB Dato’ Mohd. Sharkar menyatakan bahawa kawasan tempat ditemui rangka itu tidak termasuk di dalam kawasan yang diberi hak milik sementara (TOL) bagi projek tanaman sayur; cuma pihak yang berkenaan secara sengaja atau tidak sengaja telah memasuki kawasan itu yang di dalam pelan derah masih tercatat kawasan rizaf kubur walaupun tidak pernah digunakan bagi tempoh yang sangat lama.


Bertahlil ringkas di tapak perkuburan

Keputusan yang dibuat di tapak perkuburan ialah YB Sharkar meminta penduduk kampung membuat kenduri tahlil sebagai membayar diat di atas kesilapan menceroboh kubur. Beliau bersetuju menyediakan dua ekor lembu bagi kegunaan kenduri, sedangkan orang-orang kampung diminta menguruskan hal-hal lain. Beliau berjanji akan menghadiri kenduri itu nanti.

Disebabkan kami dari Lembaga Muzium Negeri Pahang, orang kampung menawarkan kami untuk mengambil sebahagian tulang rangka itu dibawa balik untuk dikaji tentang siapa mereka, kalau boleh berapa lama mereka meninggal dan sebagainya.

Saya mula kelam-kabut dan berbincang dengan Pegawai Muzium, Encik Alauddin Abdullah. Saya tahu sangat, kami tiada alat, apa lagi kepakaran untuk kerja-kerja begitu, ditambah pula dengan kurangnya rasa berani menangani perkara yang acap kali dikaitkan dengan kejadian menggerunkan.

Sebenarnya dalam perjalanan ke Lancang saya sempat menelefon teman saya, pakar anthropologi yang sedang mengukir nama, Profesor Dato’ Dr. Nik Hassan Suhaimi yang sedang membuat ekskavasi di Kuala Gula bertanyakan pandangan beliau tentang hal itu. Pandangan beliau, dari segi anthropologi tentunya, ekskavasi hanya boleh dijalankan di kawasan yang belum terusik, sedangkan kawasan ini telah dilanda jentolak beberapa kali.

Kami menolak dengan baik pelawaan untuk menyimpan tulang manusia itu.


Tulang manusia yang dijumpai secara tidak disengaja

Pada 20 Ogos 2008 saya menerima telefon daripada Sdr Alauddin Abdullah meminta saya bersedia untuk ke Bukit Kemuning sekali lagi kerana pegawai dari Kementerian Warisan akan melawat ke sana dan mereka meminta pihak Muzium membantu. (Saya sebenarnya bukan lagi sebagai Ahli Lembaga kerana surat pelantikan Ahli Lembaga Muzium telah tamat bulan Disember 2007 dan Menteri Besar belum menandatangani surat pelantikan ahli yang baru). Apa pun statusnya, tak salah kalau saya memberikan khidmat sukarela kepada Muzium.

Lawatan kami kali ini hanya disertai oleh Ketua Kampung dan Tok Imam sahaja. Tuan Kadi Temerloh, Ustaz Badlishah Alauddin, berada di Kuala Terengganu, urusan Musabaqah Antarabangsa di Pulau Wan Man. Beliaulah yang meminta Ketua Kampung dan Tok Imam membantu kami.

Kami tidak lagi berpeluang melihat tulang rangka yang dijumpai dahulu kerana semuanya telah dikapan dan ditanam semula selepas majlis kenduri yang menumbangkan dua ekor lembu sumbangan YB Dato’ Mohd. Sharkar dahulu. Malah, Ketua Kampung memberitahu kubur itu akan diturap dengan simen kerana peruntukannya telah diperolehi, sekadar menanti keputusan siapa yang bakal mendapat konterek membinanya sahaja lagi.

Tak mengapalah. Pegawai dari Kementerian Warisan itu pun menyatakan mereka tidak memerlukan tulang rangka itu kerana baginya umur kawasan itu di bawah 500 tahun. Mesin radio-dating carbon hanya efektif sekiranya umur fosil mencecah ribuan tahun; lebih lama lebih tepat kiraannya.


Sungai Terih yang bersejarah, dengan airnya mengalir terus ke Kuala Semantan

Sebelum meninggalkan kawasan kampung pupus itu saya sempat bertanya Ketua Kampung, Encik Mat Lela (h.p.: 0126194481) kalau-kalau ada kemungkinan anak cucu penduduk kampung ini membuka semula kampung nenek moyang mereka. Pokok langsatnya masih banyak; durian ada dua pokok, dan Sungai Terih masih mengalirkan air jernihnya ke Sungai Semantan yang penuh sejarah; meskipun tebingnya ditumbuhi rimbunan pokok renek yang menanti untuk dibersihkan.