Saturday, February 16, 2008

Lembah Bernam Yang Nyaman


ASRAMA PATEH GAJAH MADA
Ke Tanjong Malim
SITC Tanjong Malim. Nama yang sangat gah dalam kalangan masyarakat Melayu sebelum merdeka. Ibu bapa (termasuklah ibu bapa saya) hendak sangat anak-anak mereka dipilih masuk ke maktab itu. Menjadi guru merupakan sesuatu yang dicita-citakan oleh pemuda-pemuda sekolah Melayu kerana kalau tidak dapat, pilihan untuk menjadi kakitangan kerajaan hanyalah bekerja sebagai peon, buruh pejabat hutan, bomba, askar (pada masa itu istilah ’tentera’ masih belum digunakan), polis atau melencong ke arah kerja kampung, iaitu satu kerjaya turun-temurun.

Sebelum bertolak disediakan keperluan asas. Bag pakaian tak payah dibeli kerana bag abang OTHMAN semasa dia belajar di Junior Technical (Trade) School, Maxwell Road, Kuala Lumpur itu masih boleh dipakai. Ada arahan supaya membawa kasut sukan, baju melayu, baju bersukan. Semuanya bolehlah dikatakan ada. Kain samping boleh dibeli di Kolej. Ada juga arahan suruh beli blazer berwarna biru tua, tetapi itu semua boleh dibuat di Tanjong Malim, kata kawan-kawan. Buat di sana boleh bayar ansur. Tidak pula dipesan supaya membawa buku-buku; tetapi mereka yang berminat dengan muzik bolehlah membawa alat muzik masing-masing seperti biola, gitar, akordian, trompet, atau apa sahaja. Saya berminat dengan muzik tetapi tidak pula mempunyai sebarang alat. Saya boleh meniup harmonika sedikit-sedikit, tetapi harmonika tidak termasuk dalam senarai. Itu alat muzik budak-budak, fikir saya. Saya ada berminat untuk bermain ekordian, tapi dengar-dengar harganya mahal sangat. Tak terbelilah saya.

Sebagaimana biasa, Emak dan Encik membuat kenduri kesyukuran dan arwah pada malam yang keesokan harinya saya akan meninggalkan kampung. Jemputan sebagaimana biasa: saudara-saudara keliling rumah. Abang Asiah yang paling banyak membantu dalam hal masak-memasak. Malam itu juga Abang Asiah tolong menggosok baju dan seluar saya menggunakan setertika arang. Seterika itu dia yang punya kerana kami tidak mempunyai seterika.

Bergambar ramai sebelum melanjutkan pengajian ke SITC (1957)
Maklumat Awal

Barisan belakang dari kiri: Taib Abdullah (suami ibu saudara saya), Othman Isa (abang saya), Isa Suboh (bapa saya). Hussain Haji Aris (sepupu saya - rumahnya tempat menumpang tinggal selama di Kuantan), Hashim Sidek (teman sesama menumpang, pelajar sekolah swasta Claudian Institute).

Baris tengah dari kiri: Mohd. Bukhari Hussain, Jah Dolah (emak saya), Yaakub Isa, Khamisah Md. Arof (isteri Abangteh Hussain).

Kanak-kanak kecil di hadapan dari kiri: Kamaluddin Taib (anak saudara saya), Salbiah Hussain (anak Abangteh Hussain, kini Datin Salbiah, Pensyarah Kolej Koperasi, isteri Dato' Mohd. Hilmi Mohd Taib) dan Mohd. Zahidi Hussain (Penghulu Kuantan).

Saya telah mendapat serba sedikit maklumat tentang institusi ini: tentang tenaga pengajarnya, sistem kehidupan hariannya, keindahan kampusnya, kenyamanan cuaca dan kesejukan hawa Banjaran Titiwangsa yang mempengaruhinya, tradisi yang menunjangi sosio-budaya masyarakatnya dan tokoh-tokoh di kalangan pelajarnya. Cikgu ABDUL RAHMAN bin OMAR, Guru Pelawat Kuantan menceritakan sebelum masuk maktab dahulu, beliau pernah bermimpi lantai dewan SITC seperti corak papan catur, dan alangkah terkejutnya apabila beliau sampai ke sana, dilihatnya lantai dewan itu betul-betul seperti mimpinya!

Saya sendiri tidaklah pula sampai bermimpi begitu, tetapi saya pernah menulis surat kepada ABDUL RAHMAN bin KADIR budak Kampung Awah yang pada masa itu mengajar di SM Temerloh dengan lakaran bangunan SITC. Surat ini dikirim selepas kami berkenalan semasa peperiksaan masuk maktab yang diadakan di Kuantan. Masa itu dia menginap di Hotel Capitol, Jalan Bukit Ubi, dekat panggung Cathay. Saya tidak ingat dia tidur sebilik dengan siapa, tetapi yang saya ingat malam itu dia kencing ke bawah ikut tingkat hotel yang menghala ke jalan raya! Dan kami memang berteguh janji untuk bertemu di Tanjong Malim. Surat saya dengan lakaran itu ditunjukkannya kepada guru besarnya (Cikgu ABDULLAH bin MUHAMMAD) yang mengatakan lakaran itu betul-betul sebagaimana bangunan maktab yang sebenar.

Orang kampung saya ada beberapa orang yang lulus dari SITC. Mereka ialah Cikgu ZAKARIA bin ZAINAL, Cikgu MOHD. SAID bin ARIS, Cikgu YUSOF bin MAT, Cikgu ABDUL RAHMAN bin JAAFAR, dan terakhir Cikgu ZAINUDDIN bin JUMAAT. Cikgu Abdul Rahman (orang kapung memanggilnya Cikgu Deraman Tea?t) pernah datang ke sekolah semasa cuti kolej dan mengajar kami menyanyi. Saya masih ingat begitu bersemangatnya beliau mengajar sambil mengetuk-ngetuk buku kecilnya pada papan hitam sehingga tulang belakang buku itu pecah-pecah berserunyai. Orang-orang itu meninggalkan kesan atau gambaran kepada saya bahawa SITC/MPSI sesungguhnya hebat.

Meninggalkan Kampung Halaman
Kami tidak pergi ke Tanjong Malim menaiki bas, tetapi menggunakan teksi. Teksi pulak teksi sapu, kerana lebih senang kira-mengira. Tuan punya teksi itu ialah orang Tanjung Besar berbadan pendek kerana bahagian belakangnya membonjol menjadikan dia agak bongkok. Beberapa orang penuntut senior menguruskan perjalanan, dan kami menurut sahaja. Perjalanannya sangat mencemaskan: selepas bertolak dari Kuantan, menaiki feri di Sungai Kuantan, belum pun sampai ke Gambang telah ada orang mabuk. Kalau ada seorang mabuk, mudah sangat orang lain mabuk ikut sama! Perjalanan selepas Bentong menyeberangi Banjaran Titiwangsa sangatlah menyiksakan. Jalannya seperti ular kena palu. Sampai di Kuala Lumpur terus ikut Jalan Ipoh untuk ke Tanjong Malim melalui bangunan Golden City. Biasanya sampai di situ tidak ada apa lagi yang hendak dimuntahkan. Yang keluar angin dan cecair yang pahit kekuningan macam rasa hempedu. Masa itu rasanya kalau nak mati pun saya rela. Badan jadi lembik-lotek. Nak baring mana boleh keran kerusi belakang kereta ada empat atau lima orang (itulah sebabnya kami lebih senang memilih teksi sapu).

Ada satu tektik yang diajar oleh para senior kami tentang keuntungan kami pergi balik menggunakan teksi sapu. Mereka mengatakan pihak Kolej membenarkan orang-orang Pahang tidak menggunakan tiket waran kereta api kerana kampung kami berselerak. Kami dengan itu boleh membuat tuntutan naik motorbot, bas, beca roda tiga yang kami panggil teksi dan teksi sapu tanpa mengemukakan tiket atau sebarang dokumen sebagai bukti. All in all, pergi balik kami boleh menuntut sekitar $200.00, sedangkan kami membelanjakan tidak sampai separuh.

Perkara tuntutan perjalanan ini pernah menjadi ejekan daripada kawan-kawan negeri lain. Mereka mengatakan orang-orang Pahang boleh menuntut pelbagai jenis kenderaan untuk pergi dan balik ke maktab, termasuklah tambang menaiki gajah dan buaya! Mereka gemar mengejek Pahang sebagai negeri mundur yang penuh hutan rimba dan harimau gajah sementara sungainya penuh buaya. Pelajar-pelajar negeri lain menggunakan tiket waran menaiki kereta api.

* * *

Ada masanya kami berhenti juga makan dalam perjalanan: kalau tidak di Temerloh, di Mentakab. Saya tak berapa suka (malah takut) makan di Mentakab kerana selalu dikacau oleh seorang perempuan kurang siuman dan peminta sedekah yang bernama DAYANG. Dayang selalu berbusna luar biasa dengan mengenakan bunga raya merah atau bunga kertas di kepalanya. Dia selalu meminta duit atau rokok. Kalau orang menjawab rokok tiada tapi cerut ada, reaksi spontan dia ialah mengatakan cerut ’itu’ dia tak hendak. Dia fahamkan makna cerut secara dua lapis. Kami juga kerap berhenti makan di kedai Haji Abdullah (ayah kepada Dato’ Dr. FIRDAUS ABDULLAH) di Melaka Street. Pulut dan rendang dia sedap, tetapi nak makan beria duit kami bukannya banyak sangat.

Bertolak gelap subuh tadi, sampai di Tanjong Malim dah pukul lima petang. Tiada siapa yang menyambut dan memberikan bantuan arah kepada kami. Kami cari sendirilah mencari bangunan yang bernama Pateh Gajah Mada itu.

Sebenarnya terdapat enam buah asrama atau rumah kediaman penuntut Kolej ini, yang dibahagikan kepada dua bahagian. Setiap bahagian dikenali dengan istilah tadah. Yang terletak di bahagian utara dipanggil Tadah Utara sementara yang satu lagi Tadah Selatan. Setiap tadah ada pula tiga blok asrama yang bahagian pangkalnya bersambung pada satu terminal yang membentuk sebagai sebuah arena kecil. Setiap blok asrama diabadikan dengan nama tokoh dari dunia Melayu yang terbilang, di samping dikenali juga dengan Rumah A (Bendahara Seri Maharaja), Rumah B (Pateh Gajah Mada). Rumah C (Munsyi Abdullah), Rumah D (Tun Perak), Rumah E (Tun Seri Lanang), dan Rumah F (Hang Tuah).

Setiap orang – termasuklah saya – sangat mengharapkan agar ditempatkan di Rumah Hang Tuah. Asrama ini mempunyai reputasi terbaik terutama dalam bidang sukan, kerana kehandalannya tidak pernah terkalahkan oleh mana-mana asrama untuk tempoh bertahun-tahun lamanya! Harapan saya itu tidak tercapai kerana di dalam surat tawaran saya ditempatkan di Rumah Patih Gajah Mada (PGM).

Selepas mendapat tahu saya ditempatkan di asrama PGM dulu, saya menemui WAN MUHAMMAD bin WAN ABDULLAH yang baharu tamat daripada SITC bertanyakan kalau-kalau dia mempunyai kawan lama yang boleh saya tumpang bernaung atau mendapatkan pertolongan dan bantuan semasa saya di asrama itu, setidak-tidaknya bagi seminggu dua yang pertama, untuk beliau perkenalkannya kepada saya. Wan memberikan nama dan alamat BAHARAL-DIN bin SAMIAN, orang Batu Pahat. Tanpa malu dan segan saya terus mengirim surat (atau poskad, saya tidak pasti) kepada beliau. Kalau tidak salah ingatan, ada Baharal-din menjawab kiriman saya dengan menjanjikan beliau akan membantu saya setibanya di asrama nanti. [Betullah janjinya. Beliau terus menjadi sahabat baik saya sehingga kini; misalnya semasa anak saya KHAIRUL FAIZI kahwin di Muar dia datang menunaikan jemputan saya untuk bersama-sama ke Jorak, Bukit Pasir. Saya dan isteri saya juga menemui beliau dan isterinya di Batu Pahat semasa NAIM bin SIRAN mengahwinkan anaknya. Saya sangat terkilan kerana semasa isterinya Cikgu SHAMSIAH HAJI OTHMAN meninggal saya tidak diberitahu. Beliau juga minta maaf kerana katanya pada masa itu beliau sangat tertekan. Semasa Cikgu SIDEK SANIF, Cikgu MASRAN SABRAN, Cikgu MOHD ARIFF AHMAD dari Singapura dan isteri masing-masing datang ke Kuantan kami bertahlil dan membaca doa selamat khas untuk Allahyarham dan teman-teman serta guru-guru Kolej di suatu majlis makan malam di rumah Dato’ Haji ABDUL JABBAR bin IBRAHIM. Majlis tersebut turut dihadiri oleh Pehin AWANG MOHD. JAMIL AL-SUFRI bekas pelajar SITC dari Brunei, ABU BAKAR AHMAD dari Selangor, YAHAYA ABDUL LATIF, MOHD. HASSAN ALI, IBRAHIM YAACOB, ZAINUDDIN JUMAAT dan isteri masing-masing, kecuali MOHD. HASSAN yang baharu kematian isterinya KAMARIAH YATIB] .

Asrama Jawa
Nama Patih Gajah Mada, selain daripada ganjil sedikit kedengarannya di telinga Melayu, selalu dipertikaikan kewajaran pemilihannya. Macamlah tak cukup nama pahlawan Melayu. Pertama, dalam penulisan sejarah dan lagenda Melayu, PGM adalah tokoh yang sangat kontroversi dengan sikapnya yang ingin menghapuskan keperwiraan Hang Tuah dan pahlawan Melaka seangkatannya. PGM juga bukan tokoh Melayu, tetapi Jawa! Nama-nama lain semuanya Melayu dan masing-masing mempunyai reputasi unggul baik sebagai pahlawan, pentadbir dan sasterawan.

Teman-teman saya mengingatkan, asrama ‘Jawa’ ini pada tahun tersebut mempunyai beberapa keistimewaan. Yang paling ketara kebanyakan yang menonjol sebagai tokoh pemimpin pelajar ialah daripada asrama yang namanya ganjil ini. Ketua Rumah kami ialah ABDUL RAHMAN bin ABAS dari Pulau Pinang. Wajahnya sentiasa serius. Bercakap sepatah-sepatah dengan loghat utaranya yang belum sempat diubah. Dia nampaknya alim. Songkok yang dipakainya bukan songkok hitam tapi ada berbelang-belang. Dia seorang sahaja yang memakai songkok begitu pada masa itu. Sebagai pelajar tahun satu apabila saya berselisih dengannya terpaksalah menepi dengan memberikan ucapan selamat. (Pada masa itu ucapan salam jarang terlaksana). Beliau memasuki UM kemudian setahun daripada saya dan kami sempat bercakap-cakap tentang kehidupan di Tanjong Malim. Tidak lama selepas tamat dari UM beliau memasuki gelanggang politik dan kini bergelar TYT Tun Abdul Rahman bin Abas setelah memegang jawatan Yang Dipertuan Negeri Pulau Pinang. Semasa perayaan Jubli Emas di UPSI beliau masih dapat bergaul seperti lama walaupun ada kekangan protokol di sini sana. Pada masa itulah juga saya diperkenalkan dengan nama (bukan dengan orangnya) SIDEK bin SANIFF.

Kaedah kediaman di asrama ini lebih kurang seperti berek tentera. Bangunan asrama itu dibahagikan kepada dua: Bilik I dan Bilik II. Setiap bilik menempatkan kira-kira 50 orang dengan katil disusun di tepi dinding sebelah menyebelah. Bahagian tengah disusun almari kain baju berbentuk locker, satu almari untuk dua buah locker, satu di atas satu di bawah. Di bahagian kepala katil tersangkut di dinding sebuah locker kayu berwarna hijau muda tempat menyimpan buku dan barang-barang kegunaan. Locker dinding ini kecil sahaja, cukup untuk menyimpan sedozen buku saiz sederhana. Di atas katil direntangkan dua urat dawai dari hujung ke hujung, tempat menyangkut kelambu pada waktu malam. Waktu siang kelambu masing-masing dilipat dan digulung kemas, kemudian digantung pada dawai tadi, di sebelah bahagian kepala tidur. Kasut, selipar dan terompah disusun rapi di bahagian kaki tidur di bawah katil. Tahun ini kami dibekalkan katil, tilam, bantal, kelambu dan selimut baru. Khabarnya sebelum ini katil pelajar adalah katil kayu. Saya sempat melihat katil kayu yang digunakan sementara oleh Sulaiman (Mamak) dari Pulau Pinang kerana bekalan katil asrama kami tidak cukup sebuah. Mungkin inilah lambang awal perubahan ke arah era negara merdeka! Di bahagian hujung sebelah pangkal dan tengah bangunan dibuat kubikal yang muat sebuah katil, sebiji locker. Di situlah tempat Ketua Rumah dan Penolongnya tinggal. Suiz api seluruh bilik puncanya di situ. Pukul 10.30 Ketua Rumah dan Penolongnya memadamkan suiz dan seluruh asrama gelap. Kalau terpaksa berjalan kenalah berjalan di dalam gelap dan kerap juga berlaku perlanggaran sesama sendiri. Di bahagian tengah bangunan dibina pula satu anjung kira-kira 20 kaki x 10 kaki. Anjung ini dinamakan Bilik Tiga. Di situlah kami sembahyang berjemaah atau sembahyang sendirian. Di Bilik Tiga juga tempat kami belajar, bermain permainan dalam, membaca akhbar dan mesyuarat rumah. Kadang-kadang diadakan majlis syarahan dan perbahasan peringkat rumah sebelum menyertai peringkat yang lebih tinggi. Boleh dikatakan di Bilik Tigalah bakat dan keterampilan pelajar digilap.

Bilik mandi dan tandas? Hah! Ini yang belum diganti. Berhampiran tangga ’tadah’ terdapat bangunan menghala ke rumah Cikgu Shafi’i. Mula-mula ditemui dua buah kolah yang besarnya kira-kira 40 kaki x 10 kaki x 4 kaki. Airnya sentiasa hampir penuh. Di situlah tempat mandi. Untuk mandi kami perlu menyadiakan gayung atau centong sendiri: ada centong ayan dan ada centong plastik. Brau! brau! bunyinya ditambah herok-pekok suara yang membawa pelbagai citra. Tandas letaknya jauh sedikit. Pada masa itu kami menggunakan tandas tong yang diangkat (oleh entah sesiapa) pada waktu malam. Semasa buang air besar jarang sesiapa yang membawa air untuk membasuh... jadi selepas buang air berhati-hatilah berjalan balik ke tempat kolah tadi untuk beristinja’ dan dan terus mandi. Proses menyelesaikan ini semua biasanya kami memakai tuala sahaja. Tuala, tahulah! Ada kawan-kawan yang nakal menarik tuala teman-teman yang baru balik dari tandas. Dan, ada juga hamba Allah yang sengaja pergi mandi berpakaian asal semasa dilahirkan dulu, terutama pada waktu malam. ABDUL HALIM YAHAYA (362 Paya Keladi, Kepala Batas) adalah tokoh Rumah PGM yang kerap melakukannya.

* * *

Orangnya Sidek Saniff
Tulisan tentang Sidek ini saya sedut daripada sebuah artikel yang saya tulis bagi menunaikan permintaan beliau untuk dimasukkan di dalam anthologi puisinya yang berjudul Bukan Binatang Buruan (Majlis Bahasa Melayu Singapura. 2004):

Sidek Saniff memang penghuni Wihara PGM (nama lain yang kerap kami gunakan, bagi tujuan menambahkan kehebatan dan sifat kejawen asrama ini). Walau bagaimanapun, dalam pilihan raya Persatuan Pelajar Sultan Idris Training College (PPSITC) tahun itu dua orang tokoh dari asrama yang sama telah terpilih menjadi Ketua dan Penolong Ketua Pelajar yang sekali gus menjadi Yang Dipertua dan Naib Yang Dipertua PPSITC. Sebagai langkah menyeimbangkan pimpinan, salah seorang dari mereka dikehendaki berpindah ke Tadah Selatan. Sidek Saniff dengan itu berpindah ke Asrama Tun Perak, sementara penolongnya NORDIN bin Haji MAHMUD kekal menginap di Asrama PGM.

Sebagai Ketua Pelajar, kami sentiasa memandang tinggi dan menghormati beliau. Hal begini memang sesuatu yang lumrah. Malah, di peringkat sekolah menengah Inggeris pada zaman itu, saya mendapat tahu bahawa Hostel Prefect berkuasa merotan penghuni asrama sekiranya mereka melanggar disiplin.

Dalam menjalankan tugasnya sebagai Ketua Pelajar dan Yang Dipertua PPSITC, Sidek banyak membangkitkan isu-isu penting. Beliau pernah mempersoalkan istilah murid yang diberikan kepada pelajar-pelajar maktab, yang pada pendapat beliau sangat tidak wajar. Entah di mana diperolehi maklumatnya, beliau menyebut perkataan Arab muridun yang lebih sesuai dengan anak-anak sekolah rendah berbanding dengan istilah ‘pelajar’ ‘penuntut’ dan ‘mahasiswa’ bagi mereka yang di peringkat kolej. Hasilnya, istilah ‘Ketua Murid’ yang selama ini dipakai di Kolej telah ditukar kepada ‘Ketua Penuntut’.

Rupa-rupanya Sidek berasal dari kawasan Raden Mas, Singapura. Daripada nama tersebut, saya yakin tentulah beliau mempunyai hubungan sentimental yang amat rapat dengan Pateh Gajah Mada; meskipun tidak sehebat HARUN bin ABDUL GHANI, Ketua Permainan Kolej, juga dari Asrama PGM, sekelas dengan Sidek iaitu IIIA yang berasal dari Kampung Jawa, Singapura. Yang seorang ini pekat sangat dengan telor Jawanya.

Bagi kebanyakan pelajar, Sidek adalah pelajar contoh dalam banyak perkara. Beliau seorang pemidato yang berkebolehan. Cara beliau berhujah sangat meyakinkan, di samping menggunakan pelbagai teknik seperti analogi, eufeminisme, peribahasa, intonasi, mimik muka, di samping suara garaunya yang hampir-hampir memukau. Kerapkali juga beliau menggunakan kaedah elipsis semasa berpidato yang meninggalkan kesan retorika kepada pendengar. Pendek kata, sebagaimana pernah saya tuliskan dalam sebuah artikel yang disiarkan sempena Jubli Emas SITC, sebagai pemidato, Sidek boleh disamakan dengan Bong Tomo, tokoh penting dan dihormati dalam gerakan revolusi Indonesia.

Kebolehan Sidek boleh dikatakan pelbagai. Beliau pernah memenangi peraduan membaca al-Quran antara asrama yang dianjurkan oleh Kolej. Selain itu, jangan terkejut jika saya katakan Sidek juga seorang volakis yang baik dalam bidang nyanyian. Dalam satu majlis kebudayaan akhir tahun Sidek menerima tepukan bergemuruh apabila beliau menyanyikan lagu Pergilah Engkau Satria dengan iringan Pancaragam SITC. Sebagaimana lumrah dilakukan pada zaman itu, ada sahaja peminat yang naik ke pentas menyampaikan sesuatu kepada penyanyi, seperti jambangan bunga atau lainnya. Masih terbayang oleh saya, Ati, pengusaha Tuck Shop Maktab, naik ke pentas untuk menyampaikan sesuatu dalam sampul surat kepada Sidek.

Sebagai Yang Dipertua PPSITC, Sidek tentunya rapat dengan tokoh yang amat dihormati di Maktab pada masa itu, yang juga Penasihat PPSITC, iaitu Cikgu AMINUDDIN bin BAKI.

Memulakan Pengajian
Tahun 1957 di SITC benar-benar tahun peralihan. Kami pelajar pertama yang bakal mengikuti sistem baru, iaitu pengajian selama lima tahun. Saya sendiri tidak ambil hal sangat tentang tempoh lima tahun itu. Jadual pengajian kami masih mengikut sistem lama: kelas pertama 6.30 pagi. Zaman sebelum kami, kelas pagi ini kebanyakannya berkaitan dengan aktiviti berkebun. Bukan tiap-tiap hari ada kelas pagi. Kalau tidak silap ingatan hanya tiga kali. Mata pelajaran sesi pagi buta itu ialah Persuratan, Agama dan Ilmu Hisab. Persuratan (sama seperti Kesusasteraan sekarang) diajar oleh Cikgu MOHD. ALIF IBRAHIM, Agama pula Tuan Haji DAUD bin Haji IBRAHIM dan Tuan Haji HASSAN binHaji Muhammad sementara Ilmu Hisab diajar oleh siapa lagi kalau bukan Cikgu MOHD. RAIS bin HASSAN.

Pengetua Kolej ialah RAYMOND ARTHUR GOODCHILD. Seingat saya beliau pernah berkhidmat di Pahang sebagai Chief Inspector of School. Ada cerita menarik tentang beliau: pada suatu hari dia melawat Sekolah Melayu Ganchong. Kami memang jarang-jarang bertemu orang putih. Dia masuk ke kelas. Dalam salah satu kelas, dia bertanya murid-murid, siapa yang kenal dan tahu namanya. Seorang murid AHMAD JOHAR bin YUSOF mengangkat tangan dan bangun menjawab dengan suara yang lancar, jelas lagi terang: ”Tuan R.A. Goodchild!”. Jawapan ini sangat mempesona beliau, lalu beliau meminta guru Guru Pelawat menguruskan supaya Ahmad Johar di masukkan ke sekolah Inggeris. Hari itu kira nasib Joharlah! [Kisah Ahmad Johar ini boleh dirujuk dalam fail TINGGAL KENANGAN I di dalam Blog ini].

Beliau bersara sebaik-baik sahaja sebelum Tanah Melayu mencapai kemerdekaannya. Kami menghantarnya beramai-ramai ke stesyen kereta api Tanjong Malim kerana beliau menaiki kereta mel petang itu ke arah selatan. Kumpulan pensyarah menyanyikan lagu He's a Jolly Good Fellow, tetapi kami tidak turut serta menyanyi kerana tidak pernah mendengar lagu itu dan tidak pula mengetahui seni katanya.

R.A. Goodchild dibantu oleh seorang Penolong Pengetua Melayu (Assistant Malay Principal) iaitu Encik ZAINAL ABIDIN bin ALI. Beliau seorang yang gantÄ›ng (istilah orang Jawa). Pakaiannya kemas dan selalu mengenakan bow-tie. Plate kereta beliau menggunakan plate Pahang iaitu ‘C’, tapi saya tidak ingat nombornya, mungkin 42 atau berapa... Rambut sentiasa rapi. Beliau juga lama berkhidmat di Pahang sebagai Assistant Inspector of School yang beribu pejabat di Raub. Beliau seorang Pesuruhjaya Ibu Pejabat Pengakap. Selain itu, beliau juga menulis buku, termasuk buku Bahasa Melayu yang diterbitkan oleh Longman dan menerjemah buku Scouting for Boys karangan Lord Banden Powell. Di bawah mereka berdua ada pula Guru Besar Kolej. Guru Besar pada tahun 1957 itu ialah Cikgu MOHD. RAIS bin Haji HASSAN.

Selepas Goodchild bersara jawatan pengetua tidak diberi kapada Encik Zainal Abidin, tetapi disandang oleh seorang Eropah yang bernama G. F. Daniels. Beliau berkelulusan Sarjana dari Universiti Cambridge, yang sebelum ini bertugas di English College Johor Bahru. Beliau suka menyelia kegiatan kokurikulum sebelah petang dan ketika melihat kami bermain sepak raga beliau tercegat berdiri seolah-olah menghormati lagu Negaraku! Saya agak dia berbuat begitu kerana sepak raga adalah permainan kebangsaan. Beliau pernah mengajar Bahasa Inggeris kelas kami (Darjah Satu 'A') dan kami rasa perit sedikit belajar dengan beliau kerana susah untuk memahami intonasinya. Hanya darjah kami yang berpeluang belajar bahasa Inggeris dengan orang putih, itu pun tidaklah lama. Salah satu tajuk yang dia mengajar ialah Letter Writing. Beliau tidak lama bertugas di SITC kerana beliau kemudiannya ditukarkan ke Maktab Perguruan Bahasa. Jawatan beliau sebagai pengetua kemudiannya dipegang oleh Encik Zainal Abidin. Baharu itulah jawatan pengetua dipegang oleh anak Melayu. Semasa di Maktab Bahasa ini beliau menghadapi masalah dengan pelajar sehingga berlakunya permogokan yang disiarkan secara besar-besaran di media massa. Selepas itu tidaklah lagi kedengaran baik nama Goodchild mahupun Daniels.

* * *

Buku teks yang digunakan bagi mata pelajaran Persuratan ialah Syair Seri Banian atau Selendang Delima. Cikgu Mohd Alif ini asalnya orang Melaka, berbadan gempal, berkulit cerah dan rupanya ada iras-iras orang Cina. Pengajarannya menarik kerana beliau petah bercakap, seperti kebanyakan orang Melaka. Syair itu disuruh baca seorang lepas seorang sambil memberi erti bagi perkataan yang sukar dan jarang didengar. Cikgu kami ini ada cara tersendiri menerangkan makna perkataan-perkataan pelik seperti ghana, pokta, nian, durja dan sebagainya, dengan mengatakan perkataan itu ’untuk menyedapkan cakap sahaja.’ [Saya sangat terkejut pada suatu hari dalam tahun 2007 Saudara ZUBER ZAIN yang bertugas di Institut Peradaban Melayu UPSI pada masa itu mengirimkan saya sebuah buku lama iaitu Syair Seri Banian yang tercatat nama saya pada kulit sebelah dalamnya. Itulah buku yang saya pakai tahun 1957 dulu. Kertas buku itu telah cacat sedikit tetapi tulisan di dalamnya masih baik. Ini rezeki saya yang istimewa tahun itu].

Saya tidak ingat judul buku teks Agama yang digunakan oleh Tuan Haji Daud, tetapi buku itu adalah keluaran Jabatan Agama Johor, kulitnya berwarna oren, yang merupakan sebuah buku fikah. Kami dipaksa menghafal ayat dan doa dalam buku ini, yang termasuk doa sembahyang jenazah yang belum pernah saya lakukan. Semua ayat yang dipaksa hafal itu masih saya ingat hingga ke saat ini. Saya berdoa agar Allah SWT terus memberikan pahala kepada Tuan Haji Daud kerana mengajar saya dengan berkesan dan pahala itu berkekalanlah hendaknya selama saya hidup di dunia ini. [Tuan Haji Daud telah meninggal kira-kira 10 tahun lalu; menurut berita yang saya dengar beliau meninggal dunia di dalam keretanya betul-betul di hadapan masjid Tanjong Malim. Inna lillahi wa inna ilaihi raji’un].

Cikgu Haji Mohd Rais dikatakan pakar Ilmu Hisab (cara lama). Sebelum masuk Kolej kami belajar menggunakan Kitab Hisab II dan Kitab Hisab III di kelas guru pelatih. Kami boleh dikatakan hafal kitab itu. Di sini kami menggunakan buku berbahasa Inggeris karangan C.V. Durell yang berwarna biru, iaitu buku jilid yang pertama daripada lima jilid. Cikgu Rais suka sangat menguji sifir yang pelik-pelik, misalnya duo kali duo kali duo kali duo .... berapo? Susah hendak menentukan jawapannya, barangkali beliau sendiri tidak tahu berapa kerana bilangan ’kali’ itu tak sempat dikira. Akhirnya kami dapat satu taktik: mencatatkan jawapan dua tujuh kali berapa, dua sembilan kali berapa ... Suatu trick yang berkesan. Beliau ini orang Negeri Sembilan dan telor negerinya masih agak pekat meskipun telah bertahun-tahun berada di dalam kancah ahli bahasa di SITC ini. Saya fikir beliau seorang yang garang zaman mudanya, kerana beliau pernah memarahi seseorang di kelas kami katanya: Kalau zaman kito mudo-mudo dulu, kito campak kau ikut tingkap! Kecut juga perut dan hati kami sekejap mendengarkan pengakuan kegagahan zaman mudanya itu. Di seluruh kampus SITC ini beliau seorang sahajalah yang menghisap cerut. Amalan menghisap cerut Cikgu kami ini banyak membantu kami dalam beberapa hal berkaitan disiplin: pada waktu malam jikalau tiba giliran beliau melawat asrama dan memastikan masih ada golongan burung hantu yang tak mahu tidur, kami segera mengetahui kehadiran beliau, kerana angin meniup asap cerutnya lebih cepat daripada dia sendiri sampai ke tempat kami.

Tenaga Pengajar Yang Budiman
Moto Kolej kami ialah Pengetahuan Suluh Budiman. Moto yang tidak pernah ditukar dari dahulu sampailah sekarang ini khabarnya dicipta oleh Cikgu HASHIM bin Haji TALIB. Saya selalu memikirkan siapakah yang dimaksudkan budiman dalam moto itu. Meneliti senarai pensyarah dan guru-guru kami yang berikut ini, saya dengan ikhlas hati menamakan mereka sebagai manusia agung yang budiman itu, terutamanya kerana menghargai jasa-jasa mereka menjadikan kami ’orang’.

Pensyarah di SITC ini semua kami panggil Cikgu. Hendak disebut lain tak berapa sedap. Pada pertengahan pertama 1957 pensyarah kolej terdiri daripada A.D. BAKER (Guru Bahasa Inggeris), ABDUL RAZAK bin ABDUL HAMID (Guru Bahasa dan Persuratan Melayu), AHMAD bin ABDUL WAHAB (Guru Bahasa Melayu dan Ilmu Hisab), AHMAD bin SALEH (Guru Sejarah), AMINUDDIN bin BAKI (Master of Methods), AZMAN bin MD. LUDIN (Guru Bahasa Inggeris), Haji DAUD bin Haji IBRAHIM (Guru Agama), Haji HASSAN bin MUHAMMAD (Guru Agama), MOHD. ALI bin ITHNIN (guru Tukang Kayu), MOHD. ALIF bin IBRAHIM (Guru Bahasa dan Persuratan Melayu), MOHD. RAIS bin Haji HASSAN (Guru Besar dan guru Ilmu Hisab), NURUDDIN bin JAMIN (Ilmu Hisab), WAHI bin LONG (Guru Bahasa dan Persuratan Melayu), MOHD. YUSOF bin JUDIN (Guru Anyaman dan Menjilid), RAMLI bin SHAARI (Guru Sejarah dan Ilmu Hisab), REDZUAN bin ALI (Guru Senaman), SAMURI bin ALIF (Guru Ilmu Hisab), SHAARI bin ISA (Guru Sains), SHAFI’I bin TASI (Guru Lukisan), SYED OMAR bin SYED AHMAD (Guru Ilmu Hisab), TALHAH bin ABDUL RAHMAN (Guru Bahasa Melayu), WAN bin DUS MUHAMMAD (Guru Ilmu Hisab), ZAINAL AKBAR bin ZAINAL ABIDIN (Guru Ilmu Alam). Senarai di atas disusun mengikut abjad, bukannya mengikut kekananan. Kalau dikirakan kanan mungkinlah Cikgu AMINUDDIN bin BAKI yang menjawat jawatan Master of Methods, kemudian Cikgu MOHD. RAIS bin HAJI HASSAN yang telah disebutkan di atas tadi.

Dari semasa ke semasa beberapa orang pensyarah bertukar dan yang baru pula datang, iaitu ABDUL RAHIM bin DARUS (Guru Bahasa Melayu), ABU HASSAN BIN ALI (Guru Sains, Bahasa Melayu dan Muzik), AHMAD bin ABDUL RASHID (Guru Bahasa Melayu), BABA AHMAD bin HAMIDON (Guru Bahasa Inggeris), E. L. GOMEZ (Guru Muzik), HASSAN bin ZAHID (Guru Bahasa Melayu), ISHAK bin MEON (Guru Bahasa Inggeris dan Bahasa Melayu), JOGINDER SINGH (Guru Bahasa Inggeris), M. SANDANASAMY (Guru Bahasa Inggeris), MD. AMIN bin MAHMUD (Guru Bahasa Inggeris), MD. ZAIN bin ABDUL RASHID (Pensyarah Kanan yang mengajar Terjemahan Bahasa Melayu-Inggeris yang kemudiannya dilantik sebagai Timbalan Pengetua dan akhirnya Pengetua), MOHD YASSIN bin HAJI TAHIR (Guru Bahasa Melayu dan Pensyarah Kanan), MOHD. KASSIM bin ABDUL RAHMAN (Guru Muzik), MUSTAFA bin KIMIN (Master of Methods), WOK NORDIN bin ABDULLAH (Guru Bahasa Inggeris), YUSOF ARSHAD (Guru Bahasa Melayu).

Pada kebanyakan surat-menyurat Kolej, panggilan kepada guru-guru ialah Cik (bukannya Encik). Saya masih ingat semasa assembly hari pertama bagi JOGINDER SINGH dan SANDANASAMY, Encik Zainal Abidin memperkenalkan mereka kepada kami sebagai Cik Joginder Singh dan Cik Sandanasamy. Mungkin itulah pertama kali panggilan Cik diberikan kepada orang bukan Melayu kerana sebelum ini gelaran kepada mereka ialah Master.

Adalah menjadi hasrat saya semasa menyediakan teks Blog ini memberi ulasan dan anekdot tentang setiap orang guru/pensyarah (terutama yang saya sempat menimba ilmu dengan mereka). Ulasan ini mungkin bersifat peribadi, apatah lagi kebanyakan mereka telah meninggal dunia terdahulu daripada saya. Ulasan dan anekdot tentang mereka ini memang mempunyai nilai tersendiri berkaitan dengan sejarah SITC/MPSI, perkembangan bahasa Melayu dan perkembangan sietem pendidikan kita.

Berbalik kepada Rumah PGM: Sistem asrama masa itu menetapkan seorang guru pengawas yang dipanggil Guru Rumah. Guru Rumah kami ialah Cikgu ZAINAL AKBAR bin Haji ZAINAL ABIDIN. Rumahnya tidak berapa jauh daripada asrama kami. Beliau pindah ke rumah itu setelah berkahwin. Moto asrama PGM ialah Selalu Gembira dan warna benderanya hijau seakan-akan warna bendera PAS sekarang. Kira-kira 30 tahun selepas tidak berjumpa dengan Cikgu Zainal Akbar, saya berpeluang berjumpa dengannya di RECSAM-SEAMEO Pulau Pinang. Beliau bertugas sebagai Pegawai Perhubungan di situ sedangkan saya mengikuti seminar anjuran Pusat Perkembangan Kurikulum. Kunjungan pertama untuk menemuinya saya diberitahu oleh setiausahanya yang beliau ke lapangan terbang, menyambut pegawai dari Filipina dan beliau meminta saya datang di sebelah petang di samping memberitahu Cikgu Zainal kedatangan saya itu. Jenguk-jenguk sahaja pintu bilik, beliau terus menyapa saya dengan moto PGM: Selalu Gembira! Beliau masih Cikgu Zainal Akbar 1957 kami dulu!

No comments: