Sunday, May 11, 2008

Menjadi Lebih Matang

Meningkatkan Kefahaman Sosial

Sebelum saya memasuki SITC, pemahaman daya tentang manusia sangat terhad kepada orang-orang di sekeliling saya sahaja. Pemahaman ini meliputi aspek seperti bahasa, budaya, cara hidup dan segala-galanya. Perlumbaan dalam hampir semua aspek kehidupan tidak diperlukan dalam masyarakat saya, kerana semua keperluan kehidupan seharian telah tersedia walaupun dalam kuantiti dan kualiti yang sangat minimum. Kesan yang tertinggal dalam kehidupan peribadi saya ialah saya sangat sederhana, malah tidak bersedia untuk membangun peribadi yang kukuh. Kami tidak terlatih untuk hal-hal yang begitu. Bagi saya, walau sebesar manapun keperluan, sekiranya terdapat halangan yang boleh menggugat kerukunan hidup biasa yang saya alami, saya bersedia untuk menarik diri daripada melakukan usaha atau sebarang tindakan. Apabila saya mempelajari the theory of change di UM kemudiannya, tahulah saya bahawa saya ini lebih dipengaruhi oleh sikap menolak perubahan, meskipun secara jujur saya merasakan saya tidak begitu. Ah, mana boleh! Saya memang betul takut kepada sebarang bentuk perubahan dan bersedia untuk mengalah terutama sekiranya menyakitkan atau mempengaruhi status quo. Saya tidak selesa berebut-rebut untuk mendapatkan tiket. Gelisah kalau kena beratur panjang untuk mendapatkan sesuatu.

Sekurang-kurangnya terdapat dua peristiwa yang mempengaruhi cara dan daya tindakan saya dalam usaha mencuba keluar daripada kemelut berkenaan seumpama:

Membongkok di ambang pintu
Membongkok kepala tangga.

kerana saya berpendapat:

Sekecil-kecil tunas
Dipelihara berbuah juga.

Di kampung saya semuanya orang Melayu yang bercakap loghat Pekan. Ada dua orang Jawa yang berkahwin dengan orang kampung kami, tetapi mereka bercakap Melayu dengan sedikit-sedikit pelat Jawanya. Salah sebuah kampung dalam Mukim Ganchong ialah Kampung Aceh. Hubungan antara Pahang dengan Aceh memang tercatat di dalam buku-buku sejarah, baik sejarah Aceh mahupun sejarah Pahang. Walau bagaimanapun, tidak terdapat sebarang bukti tentang adanya hubungan Aceh-Pahang di kampung ini, sebagaimana yang boleh ditelurusi pada Makam Condong dan Makam Tujuh Beradik yang ada di Pekan serta penyibaran batu aceh yang banyak terdapat di sekitar Pekan.

Di Ganchong terdapat tiga orang Cina yang yang telah lama memeluk Islam melalui perkahwinan dan membina keluarga dengan wanita tempatan. Mereka ialah Ali di Tanjung Batu, Aman (Abdul Rahman) di Kiambang dan Sudin di Ganchong Ulu. Anak-anak mereka sudah besar-besar belaka. Saya tidak pernah mendengar mereka bercakap Cina antara mereka apabila bertemu. Di Pekan juga kebanyakannya orang Melayu, malah kebanyakan Cina bercakap Melayu loghat Pekan. Loghat kami adalah loghat Riau-Johor dengan variasi yang amat kecil. Di Ganchong Ulu ada sebuah keluarga Cina yang berniaga dan telah lama tinggal di situ, iaitu Chow (Wong Foot Chow), malah anak lelakinya Suan (nama penuhnya Wong Lock Suan) bercakap Melayu macam orang Melayu. Saya pernah melihat ada babi yang dipelihara dalam rumah mereka, tetapi kawasan itu tertutup, jadi babinya tidaklah merayau-rayau di keliling rumah sebagaimana terdapat di kawasan kediaman orang-orang berketurunan Siam yang tidak beragama Islam di Baling, Changloon, Hosba, Pasir Mas dan lain-lain. Ada seorang lagi bangsa Cina yang berkedai di Kiambang, namanya Chong Ah Hee, yang beristerikan seorang wanita Orang Asli. Saya mendapat tahu Kohi (demikian namanya disebut oleh orang-orang Ganchong) tidak lama berniaga di situ kerana selepas itu dia dan keluarganya berpindah ke Pekan. [Saya ingin mencatatkan sedikit tentang Kohi ini. Dia mengerjakan tanah dan menenam getah di Permatang Sileh, sebelah darat Kiambang. Saya tidak pasti berapa ekar keluasan tanah itu. Khabarnya, tanah itu dibuat atas nama Penghulu Ganchong pada masa itu, iaitu Abdul Majid Kassim. Apabila Kohi meninggal, tidaklah diketahui sama ada beliau menjualkan kebun getahnya kepada tuk penghulu, tetapi yang diketahui umum tanah getah itu dijualkan kepada Abdul Kadir Sentol oleh Tuk Penghulu Abdul Majid].

Begitulah hal saya sebelum belajar di Tanjong Malim. Di Tanjong Malim ini pelajarnya datang dari pelbagai negeri, termasuklah dari luar Semenanjung iaitu Sarawak, Brunei dan Singapura. Pecahan bilangan pelajar Tahun III 1957 mengikut negeri asal mereka sebagaimana berikut:

* Singapura (7 orang)
* Johor (13 orang)
* Melaka (11 orang)
* Negeri Sembilan (14 orang)
* Selangor (15 orang)
* Perak (27 orang)
* Pulau Pinang (10 orang)
* Perlis (2 orang)
* Kelantan (10 orang)
* Terengganu (9 orang)
* Pahang (11 orang)
* Kedah (8 orang)
* Brunei (1 orang)

Pelajar Tahun II seramai 134 orang yang terdiri daripada:

* Singapura (2 orang)
* Johor (14 orang)
* Melaka (15 orang)
* Negeri Sembilan (18 orang)
* Selangor (16 orang)
* Perak (27 orang)
* Pulau Pinang (9 orang)
* Perlis (5 orang)
* Kelantan (11 orang)
* Terengganu (13 orang)
* Pahang (8 orang)
* Kedah (9 orang)
* Brunei (0 orang)

Pelajar Tahun I yang masuk bersama-sama saya pada tahun 1957 itu ialah:

* Singapura (0 orang)
* Johor (16 orang)
* Melaka (11 orang)
* Negeri Sembilan (19 orang)
* Selangor (8 orang)
* Perak (33 orang)
* Pulau Pinang (9 orang)
* Perlis (3 orang)
* Kelantan (5 orang)
* Terengganu (13 orang)
* Pahang (8 orang)
* Kedah (6 orang)
* Brunei (1 orang)

Saya dengan itu termasuklah dalam kumpulan 410 remaja yang datang dari pelbagai pelosok Tanah Melayu bercakap pelbagai dialek yang sama sekali berbeza dengan suasana di kampung saya. Di situlah saya dibentuk dalam apa yang Aminuddin Baki pernah katakan di dalam bukunya sebagai the melting pot itu. Komposisi kemasukan pelajar ke SITC pada 1957 dan tahun-tahun berikutnya jelas mengalami perubahan mengikut pola yang baru. Selain tidak lagi menerima pelajar dari kalangan guru pelatih (sebenarnya pengambilan guru pelatih di negeri-negeri turut diberhentikan), kemasukan pelajar dari Singapura, Sarawak dan Brunei juga mengalami perubahan. Tahun Tiga 1957 terdapat tujuh orang pelajar Singapura, manakala tahun berikutnya turun kepada satu orang sahaja dan seterusnya tiada lagi kemasukan pelajar Singapura selepas itu. Md. Jufri Jiman dan Md. Arif Ne’emat adalah pelajar Singapura terakhir di SITC. Pelajar Brunei yang terakhir dikirim ke SITC ialah Umar Ahai; sementara Mohd. Nor Chuchu dan Tengah Abdul Latif tidak meneruskan pengajian mereka di SITC. [Saya sempat bertemu beberapa kali dengan kawan-kawan dari Brunei: Umar menjawat jawatan Timbalan Pengarah Pusat Perkembangan Kurikulum Brunei ditemui semasa lawatan PKK Malaysia ke Brunei, dan bertemu sekali di Jubli Emas SITC. Tengah yang bertugas di Jabatan Agama Brunei saya temui di Bandar Seri Begawan dan di Jubli Emas].

Sebelum bertolak dahulu, Cikgu Jantan mengingatkan saya dua perkara: pertama supaya sentiasa wang di dalam tangan pada kadar cukup untuk tambang balik ke kampung dan kedua supaya banyak bergaul dengan pelajar-pelajar dari negeri lain semasa di Tanjong Malim. Memang saya sentiasa memegang pesanan beliau itu. Almaklumlah, duduk di rantau orang, kiranya datang malang:

Tersagang sampan di beting
Galah patah pun berguna;

demikian kata orang-orang tua.

Walau bagaimanapun, kerap benar saya hidup tanpa wang satu sen pun di tangan, menunggu ketibaan wang saku daripada Kolej. Hidup di Kolej dalam keadaan begitu tidak sedikit pun berasa susah, kerana apalah yang hendak disusahkan: makan-minum-tidur-baring semuanya ada disediakan. Selama saya di Kolej hanya sekali saya menerima telegram dari rumah mengatakan Nah sakit kuat. Telegram itu tidak pula menyuruh saya balik. Setelah berbincang dengan kawan-kawan, ramai yang menyuruh saya balik, termasuklah Cikgu Ahmad Wahab, guru penasihat kelas kami. Wang di tangan ada, tetapi sedikit benar. PPSITC ada Badan Kebajikannya, dan untuk kes kecemasan begini mereka menyediakan derma khas berupa tambang bas pergi balik dan $15.00 sebagai tambahan. Persatuan Penuntut-Penuntut Pahang juga ada mengeluarkan derma kebajikan, iaitu wang sebanyak $30.00. Dengan wang derma itu, baliklah saya berjalan kaki dari asrama meredah embun Tanjong Malim menaiki kereta api mel pagi ke Kuala Lumpur. Semasa melintas di hadapan masjid Tanjong Malim hanya beberapa orang yang baru sampai ke masjid. Mungkin Imam Bahak ada di sana, fikir saya di dalam cahaya samar-samar muka pagi itu. Dari Kuala Lumpur menaiki bas ke Kuantan dan saya tiba di rumah sama dengan azan maghrib yang dikumandangkan dari surau dekat rumah Pakoda Azit.

Semasa di Kolej saya agak jarang berhubung dengan kawan-kawan senegeri; lagi pun sekiranya seseorang itu sentiasa ’berkepit’ dengan rakan senegerinya, terus kawan-kawan mengejek mengatakan ’angkat bendera negeri’. Ini ditambah pula di dalam kelas Satu ’A’ 1957 itu memang saya seorang sahaja orang Pahang. Kawan-kawan rapat saya antara lain ialah Ramli Mohd. Noh dari Kodiang; Mohd. Alwi Taib dari Parit Buntar; Md. Jun Jais dari Kuala Sungai Baru; Haron Musa dari Parit Bunga; Mohd. Amin Abdul Rahman dari Butterworth; Baharaldin Samian dari Batu Pahat; Abdullah Othman Kuala Terengganu; Juperi Ishak dari Batu Pahat; Hassan Abdul Rahman dari Mahligai, Melor; Hanafiah Ishak dari Alor Setar; Salam Mohd. Noh dari Chikus; Hassan Kadir dari Rambau; Abdul Hamid Abu Hassan dari Bayan Lepas; Haizam Adam dari Binjai; Sedek Tasan dari Johor Bahru; Abdul Malek Md. Zain dari Rembau. Berkawan dengan mereka sampai ke tahap menjadi sebagai saudara.

Saya sentiasa mengingatkan diri saya tentang menentukan kawan, sepatah kata orang tua-tua:

Yang tergantung belum tentu buah
Yang tergayut belum tentu lebah.

Ramli (dengan isterinya Azizah Ahmad) misalnya sampai ke tahap ibunya kerap mengirimkan saya acar rebung buluh hutan yang mula-mula menjadikan saya pelik tetapi kemudian gemar memakannya; anaknya berkahwin bertolak dari rumah saya dan mempercayai anak saudaranya (Ku Ismail) yang mengajar di Pasir Durian, Jerantut kepada saya. Haron (dengan isterinya Azizah Othman) menguruskan perkahwinan anak saya dan rombongan kami bertolak dari rumahnya di Parit Bunga pergi ke Jorak. Lambat berbuah sahaja duku muar, dia pasti mengajak saya ke rumahnya. Hamid Abu Hassan (dengan isterinya ...) membantu saya sekeluarga bukan sahaja menjemput saya di lapangan terbang dan mengajak tidur di rumahnya di Batu Maung, tetapi mengambil cuti hari berikutnya untuk mendaftarkan anak saya Mohd. Hafiz di MRSM Kulim, menjadi penjamin persekolahannya sehingga pengajian Hafiz di situ selesai. Md Jun Jais (dengan isterinya Maimon Jantan) meskipun jenis kawan yang kuat membuli – bukan sahaja setakat di Tanjong Malim, di UM, di Kajang, di Kuantan malah di Los Angeles pun serupa sahaja – tetapi kemesraannya tetap menawan, sehingga dia mempercayai saya untuk menemui cucunya yang dimasukkan ke sebuah hospital swasta Kuantan kerana cucunya itu amat mesra dengan beliau, dan diharapkan kedatangan saya itu boleh menggantikannya. Telahannya ini ternyata benar. Mohd. Alwi Taib merupakan teman yang begitu panjang tempoh perhubungannya dengan saya. Perkahwinannya di Karak saya hadiri dengan menaiki bas bersama-sama Hamdan. Saya juga kerap ke rumahnya di Rapat Setia, termasuklah menghadiri perkahwinan anaknya, Najib. Saya suka ke rumah Alwi kerana saya dapat menziarahi Cikgu Ahmad Wahab dan Cikgu Shafie Tasi yang tinggal di taman perumahan yang sama di Rapat Setia itu.

Mereka ini – dan ramai lagi yang akan saya catatkan di dalam Blog ini – dalam istilah budaya Melayu tradisional dipanggil sahabat kanti, iaitu:

Kawan semangkuk sepiring makan
Kawan sebantal seketiduran
Kawan sebaya sepermainan
Bagai kuku dengan daging
Bagai aur dengan tebing
Bagai ikan dengan air
Bagai jarum dengan kelindan
Ke hulu sama ke hulu
Ke hilir sama menghilir
Satu sakit dua terasa
Yang tahan asak dengan banding
Yang tahan berpahit-pahit
Kalau koyak tampal-menampal
Kalau condong sokong-menyokong
Terbakar sama hangus
Terendam sama basah
Luka tidak dipampas
Mati tidak diungkit
Sakit tidak disebut
Salah tidak ditimbang
Hutang tidak dibayar
Bagai seibu seayah kandung
Bagai simpai sepenjalinan
Bagai kulit dengan isi
Bagai lukah dalam air
Itulah kawan yang dicari
Kawan sempit kawan berlapang
Gentingnya tidak memutus
Simpul tidak terungkai lagi.

Perhubungan saya dengan kawan-kawan dari Singapura terhad kepada Harun Abdul Ghani sahaja, sebab kami seasrama. Pelajar Singapura pada masa itu ialah Abdul Jalil Siraj, Abdul Rahman Sharkawi, Harun Abdul Ghani, Khairi Pawi, Masran Sabran, Mamat Samat, Sidek Sanif. Kecuali Harun, Masran dan Sidek, yang lainnya saya tidak begitu mengenali mereka dan mereka juga, saya pasti, tidak mengenali saya. Namun begitu perhubungan ini cukup erat dan terjalin sehingga kini. Kisahnya bermula dengan perjumpaan dengan Sidek Sanif yang pada masa itu menjawat jawatan Menteri Negara Bagi Pendidikan dalam satu Seminar anjuran SEAMEO-RELC di Singapura. Beliau menjemput saya makan tengah hari di Kementeriannya, yang ikut serta Harun Abdul Ghani yang bertugas sebagai Setiausaha Parlimen Kementerian Dalam Negeri. Pada sebelah malamnya, Harun mengadakan jamuan khas untuk kami (kawan-kawan dari Kementerian Pendidikan Malaysia iaitu Hashim Ismail dan Ahmad Merican, yang turut serta anak saya Mohd. Hafiz yang baru selesai SPM dari MRSM Jasin). Di majlis itulah saya temui Masran, Abdul Rahman dan kawan-kawan lain. Semasa di pejabat Sidek, saya melihat gambar Allahyarham Mamat Samat tergantung di belakang kerusinya. Saya tahu beliau dengan Mamat amat akrab dan kematian Mamat sangat berkesan dalam kehidupan Sidek. Perhubungan kawan-kawan dari Singapura dengan saya terus terjalin melalui kegiatan budaya dan sastera, terutamanya melalui Gapena. Perhubungan saya dengan Masran dan Sidek (dan isteri masing-masing) menyebabkan kenalan saya lebih meluas, di luar kelompok SITC seperti Sdr Maarof (mantan Ketua MUIS), Roslinda Rahmat (RSI), Mohd. Pitchay Gani, dan tokoh Melayu Singapura yang terkenal iaitu Cikgu (Dr.) Muhammad Arif Ahmad (MAS) dan isterinya Cikgu Sarina Haji Haniff.

Pertubuhan Pengakap

Penglibatan saya dalam pergerakan sukarela ini bermula sejak dari sekolah rendah. Sukar untuk mencari sebab mengapa penglibatan saya sejak kecil ini berpanjangan sehingga mencapai suatu tahap yang boleh dibanggakan. Suatu hal yang pasti ialah pergerakan ini menambahkan lebih ramai kawan di samping meluaskan outlook saya terhadap pergulan dan perkembangan sesama insan.

Semasa bertugas sebagai guru pelatih di Sekolah Melayu Laki-laki Kuantan saya dilantik menjadi pembantu guru pengakap. Salah satu majlis besar semasa di Kuantan ialah kunjungan Lord Rowland, Ketua Pengakap Dunia. Sambutan dibuat di tepi pantai Laut Cina Selatan berhampiran kawasan Istana Teruntum. Pada masa itu pengakap sekolah Melayu tidaklah boleh dibandingkan dengan pengakap sekolah Inggeris dalam serba-serbinya. Hadiah yang diberi untuk disampaikan oleh pemimpin dunia itu semuanya dibolot oleh pengakap Abdullah School. Mereka ada cukup dengan Pengakap Biasa, Rovers, Pengakap Laut dan tidak ketinggalan Girls Guides. Pengakap-pengakap sekolah Melayu pada masa itu tidak ubah seperti pepatah:

Nasib seperti kayu hanyut
Di mana teluk di situ berhenti
Kasihan ombak sampai ke pantai.

Kira-kira pada awal tahun 1950-an pengakap negeri Pahang merancang menubuhkan sebuah kawasan perkhemahan negeri di Mentakab. Bagi menjayakan perkara ini satu perkhemahan negeri diadakan di Bukit Aramugam yang tidak berapa jauh dari bandar Mentakab, tepi jalan besar menghala ke Temerloh. Guru pengakap sekolah Melayu yang ikut serta ialah Ahmadun Ahmadi, Kamaluddin Ahmad, sementara yang lain saya tidak ingat lagi nama mereka. Ketua Perkhemahan ialah Wong Lipis. Turut serta ialah pengakap dari sekolah Cina, yang kebanyakannya pelajar Senior Middle dari Sekolah Cina Kwang Hwa, Jalan Bukit Ubi, Kuantan. Guru-guru mereka ialah Khoo Thian Seng dan Yap Yoon Foo. Salah seorang pengakap sekolah Cina yang rapat dengan saya ialah seorang budak Kuantan yang bernama Choong. Dia kemudiannya, setelah tamat sekolah, bekerja di kedai membuat gigi, di kedai sebaris dengan Kedai Kain Abdul Wahid. Lama saya tidak bertemu dengannya, tetapi apabila bertemu dia memberitahu bahawa saya memang tak boleh bertemu beliau lagi. ”Mengapa?”, saya tanya. ”Saya sekarang bekerja di Pasar Besar Kuantan, tempat menjual daging babi. Lu memang tak boleh masuk ke tempat sana punya!” katanya berterus terang.

Beberapa tahun lalu saya berjumpa Choong sekali lagi, dan apabila saya bertanya adakah dia masih kerja di pasar, katanya dia kini telah berkeluarga dan mempunyai anak. Dia bekerja di sebuah ’kopi kedai’ di Kuantan Gardens, dekat IKIP. Daripada gaya percakapan Choong menyebut kopi kedai itu, saya membuat telahan yang dia tidak mempunyai kawan Melayu dan jarang mendapat peluang berkomunikasi dengan orang Melayu, kerana frasa ’kopi kedai’ untuk menyebut ’kedai kopi’ adalah gaya percakapan bahasa Melayu pasar 1950-an dahulu.

Saya ingat satu peristiwa manis bersama-sama Choong. Masa itu masih dalam suasana Tahun Baru Cina. Ada pameran pendidikan di sekolah tempat dia belajar - dan barang-barang yang dipamerkan kebanyakannya radas sains. Pada masa itu suasana di luar sekolah riuh-rendah dengan tarian naga. Mereka menari betul-betul di pintu masuk sekolah. Choong menarik tangan saya, mengajak naik ke tingkat atas. Di sana orang sudah hampir penuh. Kami mencelah di tengah-tengah kumpulan orang itu sehingga kami betul-betul berhampiran dengan seutas tali putih yang tergantung padanya sebatang pohon sawi dan bungkusan kertas berwarna merah tua. Paluan 'gendang perang' semakin rancak dan formasi tarian menjulang seseorang di atas bahu, semakin tinggi, semakin tinggi dan semakin tinggi, sehinggalah orang yang memegang kepala naga dapat mencapai dan merentak batang sawi sekali dengan tali dan sampul merah tua tadi. Beberapa saat mengangguk-anggukkan kepala, 'naga' itu turun dan suasana menjadi lebih tenteram dengan orang-orang bertepuk tangan tanda gembira. Choong memberitahu saya, ini mesti saya belum pernah tengok, dan entah bila pula dapat melihatnya sekali lagi. Telahan beliau itu betul, kerana sehingga hari ini peristiwa begitu belumlah berulang dalam kehidupan saya...

Saya mempelajari banyak perkara, terutama bahasa Inggeris kerana bahasa perhubungan di perkhemahan itu ialah bahasa tersebut. Bolehlah di sini saya akui bahawa pergerakan pengakap banyak membantu mempertingkatkan penguasaan bahasa Inggeris saya.

Di SITC saya meneruskan penglibatan dalam pergerakan pengakap. Pasukan pengakap SITC adalah sebuah Kumpulan Latihan yang pertama seumpamanya ditubuhkan di Persekutuan Tanah Melayu, kerana pasukan SITC ini dinamakan First Federation of Malaya Training Group. Kami diberi latihan untuk menjadi guru pengakap bertauliah, dan tauliah tertinggi untuk menjadi pemimpin pengakap ialah mempunyai Sijil Woodbadge. Sebelum merdeka, mereka yang mahu mendapatkan kelulusan ini terpaksa melalui perkhemahan dan latihan bertulis di Gilwell Park, London; tetapi pada masa itu telah ada ura-ura untuk mengadakannya di Kuala Lumpur.

Ada empat peringkat untuk mendapat sijil Woodbadge pada masa itu. Bahagian I mestilah lulus PTC (Preliminary Training Camp). Selepas itu Bahagian II yang merupakan menjawab sembilan soalan di dalam sebuah buku. Bahagian III pula adalah perkhemahan penuh selama 9 hari bagi pengakap dan 7 hari bagi pasukan serigala. Lulus semuanya ini terpaksa mengajar dan dilihat pengajarannya oleh sekumpulan pemimpin mesti pemegang Woodbadge dan ini danggap Bahagian IV iaitu bahagian terakhir.

Saya berjaya menyelesaikan semua keperluan untuk mendapatkan sijil Woodbadge, kecuali Bahagian IV yang perlu dibuat di sekolah. Semasa mengajar di Sekolah Melayu Padang Tengku saya tidak berpeluang memimpin pasukan pengakap kerana sekolah tersebut belum menubuhkannya. Apabila saya mengajar di Sekolah Melayu Ganchong 1961 saya memberitahu Pesuruhjaya Pengakap Daerah Pekan bahawa saya bersedia untuk menjalankan latihan amali pada tahun tersebut.

Pada suatu hari Pesuruhjaya Pengakap Pahang (Keptan Mohd. Ali Mohamad), Setia Usaha Pasukan Latihan Malaya (Uncle Au Loon) dan Setiausaha Persekutuan Pengakap Daerah Pekan (Abdul Rahman Ismail) datang ke Ganchong untuk menilai saya dalam program Woodbadge IV. Mereka datang tanpa memberitahu, tetapi saya tidak terperangkap kerana hari itu memang hari perjumpaan mingguan kami. Saya terkejut kerana yang datang itu adalah top-brass pergerakan pengakap. Di sebalik sepatutnya saya yang mereka perhatikan melatih, perjumpaan kami hari itu diambil alih oleh Uncle Au Loon, salah seorang ahli pasukan latihan yang paling aktif pada masa itu, dan yang sangat luas pengalaman berpengakapnya.

Petang itu, para pelawat dijamu dengan minuman air kelapa muda yang saya minta salah seorang kawan memanjat kelapa di hadapan sekolah.

Tidak beberapa bulan kemudian saya dimaklumkan yang saya lulus dalam semua bentuk ujian mendapatkan Woodbadge. Saya sungguh bergembira kerana sayalah satu-satunya orang Melayu Pahang pertama yang lulus Woodbadge dalam bidang pengakap. Memang sukar untuk mendapatkannya.

Walau bagaimanapun, sijil, kalung manik dan lencana Woodbadge tidak saya terima. Mengikut Pesuruhjaya Pengakap Daerah Pekan (Muhammad Haji Abdul Ghani), semuanya telah dikirimkan melalui pos, tetapi tidak sampai. Saya sungguh keciwa kerana begitu sukar saya berusaha untuk mendapatkannya, mereka tidak merasa itu penting untuk disampaikan kepada saya, apatah lagi untuk menyampaikannya dalam satu majlis pengakap sebagaimana yang sepatutnya. Puas juga berhubung secara lisan dan surat menyurat... Akhirnya pihak ibu pejabat menghantar semula salinan sijil (nombor sijil PTM6281 bertarikh 14 Jun 1963) yang ditandatangai oleh Pengakap Agung pada masa itu, iaitu Abdul Rahman Talib, woggle Gilwell, scarf dan kalung manik yang baharu. Saya sentiasa merasakan kiriman asal itu tidak diberlakukan kepada saya, kerana mungkin ada orang yang sangat meminati dan terus menyimpannya (malah, saya rasa ternampak memakainya dalam majlis rasmi kemudiannya) ...

Selepas lulus Woodbadge, saya menjadi seorang pemimpin pengakap yang bertauliah. Kelulusan itu membolehkan saya mengikuti kursus-kursus lanjutan pemimpin pengakap. Saya pernah mengikuti dua kursus sekali di Kem Latihan Cheras, iaitu Kursus Pentaraf Pengakap Raja (King Scout Standardization) dan Kursus Campfire Leader. Pihak Majlis Pengakap Negeri mencadangkan saya mengikuti kursus tersebut kerana pada masa itu di Pahang belum ada pemimpin pengakap yang mempunyai kelayakan tersebut, sedangkan ramai pengakap yang mempunyai kelayakan untuk menjadi Pengakap Raja tetapi tidak ada pemimpin yang boleh mentarafkannya atau melakukan standardization; sementara setiap upacara campfire mesti ada campfire leader terlatih menguruskannya secara profesional, sedangkan sejak dahulu lagi Pahang tidak pernah mempunyai campfire leader bertauliah (termasuklah dari kalangan pemimpin pengakap di sekolah Inggeris).

Dapatlah saya catatkan di sini bahawa sayalah juga pemimin pengakap anak negeri Pahang yang pertama sekali mendapat tauliah sebagai Pentaraf Pengakap Raja dan Campfire Leader dan saya telah menjalankan tugas ini sepanjang awal pertama 1960-an, termasuk mentarafkan pengakap-pengakap SM Ahmad Pekan yang dihadiri oleh DYMM Sultan Pahang Sultan Abu Bakar Riayatuddin al-Muadzam Shah sendiri di padang sekolah tersebut, di samping menguruskan beberapa campfire pengakap secara yang lebih bersistem dan mengikut prosedur sebagaimana yang sepatutnya. Selepas saya melanjutkan pengajian ke UM beberapa orang pemimpin baru meneruskan tugas tersebut, dan setelah tamat dari UM memang saya ingin meneruskan tugas sebagai pemimpin pengakap, tetapi tiada siapa yang mempelawa saya untuk berkecimpung sama, sehinggalah saya terus tenggelam – malah dilupakan langsung dari dunia kepengakapan yang pernah saya alami selama lebih 25 tahun itu...

* * *

Saya telah menulis enam bab tentang pengalaman saya di SITC. Tuhan telah mentakdirkan saya gagal untuk memasuki SITC bersama-sama Hassan Haji Ali dan gagal pula dalam percubaan yang kedua bersama-sama Mustaffa Samad. Hikmah daripada takdir Tuhan ini ialah saya berpeluang menerima pendidikan yang saya rasakan lebih sempurna, kerana selepas tamat SITC saya terus sahaja menduduki dan lulus peperiksaan Qualifying Test, FMC dam HSC. Saya memperolehi Sijil Penuh HSC dan seterusnya memasuki Universiti Malaya tanpa mengikuti sebarang kelas tambahan, melainkan semuanya berbekalkan pengetahuan yang saya perolehi daripada kursus empat + satu tahun di SITC itulah sahaja. Memang tidak ramai guru Melayu, terutamanya dari Pahang, yang memperolehi sijil penuh HSC (dan dengan sekali ambil sahaja). Selain itu, saya merasakan peningkatan kemahiran berbahasa Inggeris (tulisan dan pertuturan) saya sangat ketara. Pelik juga kalau difikir-fikirkan bagaimana saya boleh membentangkan Project Paper tentang peranan microcomputer dalam sektor pendidikan di salah sebuah universiti terunggul di Amerika Syarikat, iaitu Universiti Stanford, California. Semuanya ini tidak mungkin sekiranya saya memasuki SITC lebih awal daripada 1957. Syukur Alhamdulillah.

5 comments:

Ghodong said...

Very good story dato. Alangkah bagus kalau dapat dibukukan untuk tatapan generasi muda....

YAAKUB ISA said...

Terima kasih kerana melayari blog ini. Doakan semoga saya mempunyai kekuatan untuk melaksanakan sebagaimana cadangan Saudara itu. Hasrat saya pun memang ke arah itu, tapi, almaklumlah. Tangan hanya dua belah dan kita hanya ada 24 jam sehari...

icecookie said...

dear sir,

very good scouting story.i like it.
may i know if you have any scouting picture to show. my name is eric chee and email id is erichee@yahoo.com

YAAKUB ISA said...

Thanks, icecookie. Give me few more days to collect old photos and send to vie e-mail.

icecookie said...

sir, you found any old photos