Menjadi Guru Pelatih
Hassan Mat Ali (yang kami panggil Ayahlong Hassan itu) bermuafakat dengan saya pada suatu petang untuk membuat surat permohonan melamar kerja sebagai Office Boy di Pejabat Surveyor kerana beliau mendapat tahu daripada kawan-kawannya ada kekosongan jawatan tersebut di situ. Dia sebenarnya meminta saya tuliskan surat permohonan kerana kononnya tulisan saya lebih cantik berbanding tulisannya.
Saya tidak menghampakan kehendak teman sebilik saya itu. Semasa menulis surat untuknya memang ada hajat saya untuk meminta jawatan yang sama untuk saya sendiri. Tetapi, saya pernah dilarang oleh Abangteh Hussain sekali dulu. Maka saya pun tidak beranilah mencubanya sekali lagi.
Pada masa itu, untuk memohon pekerjaan tidak perlu menggunakan sebarang borang. Hanya yang diperlukan ialah sehelai surat permohonan bertulisan tangan di atas sehelai kertas kajang dengan tulisan yang sebaik mungkin dan ditujukan terus kepada ketua jabatan yang berkenaan. Kononnya, kalau khat tulisan itu elok, peluang untuk memperolehi jawatan yang diminta lebih besar kerana orang yang memilih nanti menjadikan tulisan pemohon sebagai salah satu bahan yang dijadikan asas pemilihan. Itu hanyalah mitos yang berkeliaran di sekeliling kami pada masa itu.
Mengapa Office Boy? Hah, barangkali inilah sahaja kerjaya yang layak dan mudah diperolehi oleh lulusan sekolah Melayu pada masa itu. Orang kata, kalau dapat menjadi Office Boy di Pejabat Daerah sangatlah baiknya, kerana cepat berpeluang naik pangkat menjadi Penghantar Notis (Notice Server), S.O. (Settlement Officer), dan yang paling bertuah boleh menjadi Penghulu atau Kerani. Menjadi Settlement Officer khabarnya senang boleh mendapat tanah dan seterusnya mengumpul harta. Hal ini bukan mitos lagi kerana terbukti mereka yang menjawat jawatan tersebut tergolong orang yang berada dan senang di dalam masyarakat, dengan lot-lot tanah kepunyaan mereka di tempat-tempat strategik seperti di lereng-lereng bukit, di pinggir bandar, di tepi pantai dan lebuh, di kawasan yang subur untuk pertanian dan sebagainya. Satu-satunya kawan sekolah kami yang menjadi Office Boy di Pejabat Daerah Kuantan ialah Ahmad Buyong (saya tidak mengetahui langsung tentang diri beliau sehingga ke saat ini).
Rezeki Hassan cepat datangnya. Tidak berapa lama selepas menulis surat memohon jawatan Office Boy itu, dia ditawarkan jawatan tersebut di Pejabat Surveyor Pahang. Dia diberikan dua pasang pakaian seragam berwarna khaki, kasut getah, tali pinggang, setokin dan songkok, iaitu pakaian khas Office Boy. Hassan nampaknya bergembira dengan pakaian seragam barunya itu. Anehnya, pada masa itu tidak ada bangunan pejabat tersebut di Kuantan. Pejabatnya adalah di rumah seorang Inggeris yang menjadi Ketua Surveyor yang terletak di Teluk Cempedak, tidak berapa jauh daripada kediaman Timbalan Menteri Besar sekarang. Dia pergi ke pejabat itu menaiki basikal tingginya setiap pagi dan pulang pada sebelah petang. Menurut Hassan, ketuanya tinggal dengan mem dan seroang anak kecil. Hassan kerap juga membawa balik buku pemberian orang putih itu, termasuklah beberapa buah kamus bahasa Melayu-Inggeris dan buku tentang kaedah pertuturan bahasa Melayu. Saya berpendapat orang putih itu memang sedang mempelajari bahasa Melayu menggunakan buku-buku yang diterbitkan pada masa itu. Buku-buku tersebut semuanya yang telah terpakai oleh pasangan tersebut. Hassan sendiri tidak nampak berminat menggunakan buku-buku tersebut dan dibiarkan bersepah untuk kami baca.
Tidak berapa lama selepas Hassan dapat kerja sebagai Office Boy itu giliran saya pula menulis surat kepada Chief Inspector of School Pahang memohon jawatan sebagai Guru Pelatih. Sebagaimana biasa, surat rasmi permohonan jawatan pada masa itu ditulis di atas kertas kajang, dengan tulisan rumi huruf condong (huruf sambung) menggunakan mata pena dan batang pena memakai dakwat cair di dalam botol. Surat permohonan itu ditulis berkali-kali sehingga benar-benar puas hati dari segi bahasa, ejaan, kaedah menulis, bentuk tulisan dan sebagainya. Selepas itu ada pula cara melipatnya untuk dimasukkan ke dalam sampul surat. Alamat di sampul surat itu juga menurut kaedah yang terpakai pada masa itu.
Tidak payah menunggu lama untuk mendapatkan jawapan.
Tidak ada sebarang temuduga untuk jawatan guru pelatih. Yang ada hanya peperiksaan bertulis, itu pun tidaklah begitu relevan nampaknya, kerana yang dijadikan rujukan ialah keputusan Peperiksaan Darjah Enam dan Darjah Tujuh.
Surat lantikan untuk saya menjawat jawatan Guru Pelatih di Sekolah Melayu Laki-laki Kuantan dikeluarkan 29 Jun 1954 oleh Pejabat Pelajaran Kuantan dan ditandatangani oleh Guru Pelawat Kuantan, Abdul Rahman Omar. Surat rujukan (15) in V.T.K. 1/54 itu memaklumkan saya dipilih menjadi Guru Pelatih mulai 1 Julai 1954. Syarat pelantikan ini hanya berlaku setelah saya berjaya menjalani pemeriksaan kesihatan di Hospital Kuantan. Tiga orang yang menjalani pemeriksaan perubatan untuk menjawat tugas yang sama, iaitu: Hassan @ Rahmat Haji Ali dan Safiah Muhammad. Saya dengan Hassan mengajar di Sekolah Melayu Laki-Laki Kuantan, semantara Safiah saya tidak ingat di mana. Saya dengan Hassan pergi sendiri ke hospital, semantara Safiah ditemani bapanya, iaitu seorang penghulu.
Mengikut Kenyataan Perkhidmatan saya di Jabatan Pelajaran Pahang, lantikan saya pada 1 Julai 1954 itu berdasarkan kelulusan saya dalam Darjah Tujuh Sekolah Melayu. Gaji yang ditetapkan ialah $720.00 setahun = $60.00 sebulan. Setelah lulus peperiksaan dan disahkan jawatan sebagai Guru Pelatih pada 23 Oktober 1954, gaji saya dinaikkan kepada $1020.00 setahun = $85.00 sebulan. Gaji ini setelah ditambah elaun COLA (cost of living allowence) dapatlah berjumlah RM96.00. Pada 1 Mac 1956 gaji pokok saya dinaikkan sedikit lagi menjadi $1128.00 setahun = $94.00 sebulan berdasarkan suatu penyemakan gaji menurut F.E.O. Circular 5/57. Kekallah gaji saya pada mata gaji itu sehingga saya melanjutkan pengajian ke SITC pada 1 Februari 1957.
Persediaan pertama menjadi guru ialah seluar panjang. Saya tidak mempunyai seluar panjang walaupun sehelai, selain daripada seluar panjang dan baju melayu. Semasa kami menjalani peperiksaan kesihatan dulupun kami tidak memakai seluar panjang. Saya berseluar pendek putih (seluar ini dibelanja oleh Abang Bakar semasa saya berjumpa beliau di Pekan), tetapi saya tidak ingat warna seluar Hassan. Pada masa itu memang murid-murid tidak memakai seluar panjang, walau sebesar mana pun saiz badannya. Abangteh Hussain menyuruh saya memesan dua helai seluar panjang di Kedai Yee Lee, kedai di sebelah hujung sekali deretan pertama sebelah kanan Jalan Wall kalau kita datang dari Balai Polis. Di seberang jalan bertentangan dengan Kedai Yee Lee ialah kedai Quek How Chua, yang kami panggil Kedai Bongkok, kerana tuan punya kedai itu bongkok semula jadi badannya. Kami memang beberapa kali ke kedai Yee Lee itu kerana tuan punyai kedai mempunyai hubungan persahabatan dengan Abangteh. Di dalam kawasan kedainya terdapat sepohon besar pokok jambu air batu, dan pada musim berbuah, buahnya lebat sungguh, sehingga menjuntai ke atas jalan raya di sebelah luar kedai. Kami diajak memanjat memetik buah untuk dimakan dan dibawa balik ke rumah. Di kedai itu, saya memilih kain keras berjalin kasar berwarna keabu-abuan dan kain calit (putih bercalit biru) untuk dibuat seluar. Harganya sehelai, kalau tidak salah di bawah $10.00. Duit harga seluar itu akan dibayar selepas saya mendapat gaji nanti.
Tidak banyak yang berubah selepas saya menjadi guru pelatih. Saya masih tinggal menumpang di rumah Abangteh, tetapi saya kena bayar sendiri belanja makan bulanan, tidak seperti dulu, belanja makan dibuat oleh Emak dan Encik, yang kadang-kadang membawa beras dari rumah, kelapa, sayur dan apa sahaja yang ada.
Saya dikecualikan daripada mengikut kelas al-Quran di rumah, yang tenaga pengajarnya ialah Abangteh Hussain dan isterinya. Pengecualian ini memandangkan kemungkinan sebagai guru saya terpaksa mengikuti program sebelah petang, seperti mesyuarat guru dan seumpamanya. Hassan telah tinggal bersendirian; Pakteh Bakar yang juga menjadi guru telah berkhidmat di Mambang, jadi tidaklah tinggal di rumah itu lagi. Zalmah menjadi guru dan mengajar di Beserah, dan dia tinggal menumpang di rumah Cikgu Sulaiman Ahmad, Guru Besar Sekolah Melayu Beserah. Bilik kediaman kami di sebelah dapur itu kian kurang penghuninya dan menjadi tidak sesesak dahulu.
Sebagai pengangkutan ke sekolah, saya masih menggunakan basikal lama Abang Othman yang berjenama Royal Enfield itu, dengan menggantikan bahagian-bahagian yang rosak seperti brek dan lampu. Selain itu, semuanya masih elok dan boleh dipakai.
Saya juga menghantar seluar dan baju ke kedai dobi. Mula-mula dihantar ke kedai dobi kepunyaan seorang lelaki Cina tua di Jalan Main, berhadapan dengan taman bunga pada masa itu. Kedai itu sebenarnya bukan terdaftar sebagai kedai dobi, tetapi kedai runcit yang menjual pelbagai barangan; kerja mendobi dilakukannya secara tidak rasmi.
Tidak lama kemudian, Abangteh Hussain dilantik mengajar bahasa Melayu kepada banduan di dalam penjara yang hanya lebih kurang serantai jauhnya dari rumah kami. Dia memberitahu saya, di penjara itu baru diadakan perkhidmatan mendobi, dan harganya rendah berbanding harga yang dikenakan oleh kedai dobi biasa. Saya sendiri memang kenal dengan beberapa orang warder di situ, seperti Chik dan Mat Lazim. Setelah dibuat perundingan, saya mula menukarkan urusan mendobi pakaian kepada pihak penjara.
Salah satu perkara yang saya tidak berapa selesa membuat urusan dengan pihak penjara ialah kami hanya dibenar menemui pegawai penjara di pintu penjara sahaja. Kami kena ketuk pintu hijau itu mnggunakan pengetuk yang sedia tergantung di situ. Sekali, dua kali ketuk, menjengullah warder yang bertugas. Kalau semasa di pintu penjara itu ada orang yang lalu-lalang di situ dikenali, malu juga pulak rasanya! Kain baju yang kotor diberikan kepadanya, dan biasanya boleh diambil semula tiga hari kemudian. Resit bayaran disediakan terus oleh pihak pengurusan di dalam penjara dan kami kenalah bayar pada penjaga pintu di situ. Harganya memang sangat murah dan pekerjaannya memuaskan. Hanya semasa hendak menghantar dan mengambil terasa berat sedikit: ada timbul berasa malu duduk di hadapan pintu penjara, terutama sekiranya ada orang yang lalu-lalang di situ yang kebetulannya kami kenali!
* * *
Mengajar di sekolah yang sebelumnya menjadi tempat belajar kami itu tidaklah menimbulkan banyak sangat masalah. Dengan guru-guru, saya sentiasa ’menepi’ atau merendahkan diri. Saya sentiasa memanggil mereka ’Cikgu’. Murid-murid sedarjah dahulu kebanyakannya tidak bersekolah lagi. Bilangan murid-murid perempuan di sekolah itu agak bertambah, berbanding semasa saya bersekolah dahulu. Kebanyakan mereka adalah anak-anak pegawai rendah yang berpindah dari Kuala Lipis akibat daripada pertukaran ibu negeri Pahang dari sana ke Kuantan. Anak-anak pegawai berpangkat tinggi kebanyakannya bersekolah Inggeris dan mereka itu tidak ditukarkan ke Kuantan kerana sekolah Clifford dianggap lebih baik dan premier berbanding sekolah di Kuantan. Anggapan ini memang ada benarnya.
Sebelum mula mengajar kami diberikan panduan oleh Guru Besar (Cikgu Shamsuddin Mohd. Sidek) tentang beberapa perkara berkaitan dengan tugas dan tatatertib. Kami dilarang berkawan dengan budak-budak sekolah seperti masa kami belajar dahulu. Kami dikehendaki menjaga adab sopan dan melatih murid-murid supaya beradab di sekolah. Jangan mulakan pengajaran sekiranya kelas masih tunggang-langgang dengan suasananya hingar-bingar. Kelas yang baik ialah kelas yang murid-muridnya diam - malah senyap-sunyi - semasa guru mengajar. Malah turut disebut, suasana kelas yang baik itu, jikalau sebilah jarum jatuh ke atas lantai pun boleh kedengaran! Sebelum memulakan kelas, hendaklah diperiksa setiap murid daripada gigi, pakaian, kuku, telinga, songkok, rambut, dan semuanya yang berkaitan dengan kesihatan. Murid yang keadaan kebersihannya tidak memuaskan hendaklah disuruh pergi ke paip; cuci apa-apa yang belum beres.
Kami juga dikehendaki mematikan Jadual Kedatangan sebelum kelas dimulakan. Murid yang tidak hadir ditandakan sifar atau ’O’ dan yang hadir ditandakan ’/’. Tanda ’O’ hendaklah dengan dakwat merah. Murid yang telah ditanda ’O’ tetapi datang pula kemudian, hendaklah ditanda ’L’ di dalam ’O’ itu, maknanya dia lambat. Tanya murid itu mengapa dia lambat. Murid yang disahkan sakit, tulis ’S’ di dalam ’O’. Murid yang diketahui malah datang, ditulis ’M’ di dalam ’O’. Setiap hujung bulan Jadual Kedatangan hendaklah dimatikan dan hantar laporan dalam bentuk return bulanan ke pejabat Guru Besar. Laporan itu menggambarkan tahap kedatangan murid dalam bulan berikut, berbanding dengan bulan sebelumnya, berapa orang murid berpindah ke sekolah lain dan murid yang masuk dari sekolah lain ke kelas itu. Selepas itu, sediakan pula maklumat murid untuk kegunaan bulan yang berikutnya. Di bahagian belakang Jadual Kedatangan terdapat maklumat setiap murid yang mengandungi nama, jantina, tarikh lahir, nama waris, pekerjaan waris, alamat rumah, sekolah terdahulu (jika ada), rekod bayaran yang dikenakan.
Tiap-tiap murid dikenakan bayaran dua jenis: Satu disebut Wang School Fund dan satu lagi Wang Lembaga. School Fund (biasanya disebut dengan pelat Melayu, menjadi duit sekopan) kena dijelaskan oleh setiap murid dengan kadar 10 sen sebulan. Maknanya setahun kenalah $1.20 sen. Hendak dibaya sekali gus pun boleh, dan secara beransur 10 sen sebulan pun boleh. Kebanyakan murid cenderung memilih membayar dengan cara yang kedua. Itu pun, jangan terkejut jika dikatakan, ramai murid yang terhutang hingga akhir tahun. Wang Lembaga dikenakan sebanyak $1.50 sen setiap keluarga. Sekiranya seseorang itu mempunyai tiga orang anak, hanya seorang sahaja yang dikehendaki membayarnya. Sepanjang pengetahuan saya, tidak semua sekolah mengenakan Wang Lembaga, apatah lagi bagi sekolah-sekolah kecil di pedalaman. Urusan mengutip wang ini adalah tanggungjawab guru kelas dan semuanya mesti dicatat dalam Jadual Kedatangan. Wang kutipan itu seterusnya hendaklah disampaikan kepada Cikgu Abdullah Saaban yang akan mengumpul semuanya untuk diserahkan kepada Guru Besar.
Mengapakah yuran 10 sen sebulan ketika itu masih ramai murid yang terhutang? Miskin benarkah orang-orang Melayu dalam tahun 1950-an itu? Mungkin saya boleh cuba menjawabnya. Mahu dikatakan orang Melayu miskin sangat itu tidaklah juga. Makan minum cukup, tetapi tidaklah mewah sangat; maklum negara baharu pulih daripada mengalami bencana Perang Dunia Kedua dan kini dilanda zaman darurat pula. Sebenarnya, pada masa itu duit memang susah didapati. Lebih senang mencari makanan daripada mencari duit. Nilai duit pun mahal berbanding sekarang. Duit satu sen masih boleh digunakan, dan dengan satu sen kita boleh membeli tiga biji buah gula (gula-gula) berbentuk jambu air mawar lengkap dengan pemegangnya. Biskut balak pun dua sen sekeping. (Biskut balak berbentuk roti keras sepanjang 2 sm x 5 sm. Biskut ini menjadi lebih enak jika dimakan dengan air kopi 'o', dengan merendamkannya sedikit-sedikit di dalam kopi tersebut). Kuih juga berharga satu sen sebiji. Mee goreng Pakcik Mat yang sedap itu cuma lima sen sahaja harganya sepiring dan dengan harga sebanyak itu kita boleh kenyang memakannya. Orang berjaja otak-otakdan sata di Tanjung Api setiap petang menjual lima sen dua keping, dan setiap kepingnya mengandungi seekor ikan selar kuning tanpa kepala. Perempuan-perempuan setengah baya, setiap petang menjunjung bakul di atas kepala masing-masing, menjajakan barangan tersebut secara berlagu:
"Otak-otak wehhhhh.. sata,"
berulang-ulang dan mendayu-dayu memecah suasana petang. Otak-otak sekarang telah berharga 25 sen sekeping dengan isi ikannya hilang dalam rempah yang tidak tentu hala. Kalau hendak dicongak, 10 sen zaman itu mungkin sama nilainya dengan $1.00 hari ini.
Sekolah Melayu Laki-Laki Kuantan mempunyai kedai buku yang dijalankan oleh guru. Guru Kedai Buku ialah Cikgu Abdullah Hassan, yang baru bertukar dari Kuantan. Saya tidak ingat, sebelum Cikgu Abdullah, siapa yang menjalankan kedai buku ini. Kedai Buku itu nama sahaja ’kedai’, tetapi sebenarnya tidak lebih daripada sebuah almari kecil yang menyimpan pensil, pembaris, getah pemadam, buku latihan, dakwat, mata pen, batang pen, buku lukisan. Pada masa itu, sekolah tidak memakai buku latihan khas yang ada lambang sekolah sebagaimana pada masa ini. Jadi buku itu berbagai-bagailah warna dan jenisnya. Buku Lukisan biasanya mempunyai gambar seekor rusa di kulit belakangnya; sementara buku latihan ada sifir 2 hingga 12 dan sifir timbangan, keluasan, beberapa maklumat lain. [Tentang gambar rusa di belakang buku lukisan itu ada kesan yang besar kepada konsep saya tentang rusa. Pada saya, rusa yang digambarkan di situ adalah binatang yang sangat besar, dengan tanduknya yang bercabang-cabang - sekurangnya dua atau tiga kali lebih besar daripada saiz lembu jantan kepunyaan Pakcik Hussain di kampung saya. Saya terkejut apabila melihat rusa sebenarnya yang tidak sebesar rusa yang pernah saya gambarkan! Semasa saya di Nara, Jepun, kami dibawa ke ladang rusa, yang rata-rata saiznya kecil juga]. Sementara menanti kelas tamat, kami berkumpul di meja panjang dalam ’bilik guru’ dan semasa itulah Cikgu Abdullah Hassan kerap membahagi-bahagikan kepada kami segenggam seorang duit siling hasil jualan di kedai bukunya hari itu untuk kami kira, dan setelah dikira, menyerahkan kembali duit itu kepadanya untuk disimpan.
Buku Ringkasan Mengajar di makan kerbau
Kami diberikan sebuah buku berwarna kelabu secara percuma untuk dibuat Buku Ringkasan Mengajar. Di bahagian hadapan buku itu hendaklah ditulis Jadual Waktu yang mencatatkan semua mata pelajaran yang diajar setiap hari selama seminggu. Daripada Jadual Waktu itulah diperkecilkan menjadi jadual harian, iaitu mata pelajaran yang diajar setiap hari. Buku ini, apabila telah penuh ditulis, boleh diminta gantinya secara percuma daripada Guru Besar.
Buku Ringkasan Mengajar terpaksa dihantar untuk disemak dan ditandatangani oleh Guru Besar pada setiap pagi Ahad (hari pertama persekolahan). Ringkasan Mengajar guru pelatih mesti ada ruangan ’Cara Mengajar’ selain maklumat mata pelajaran dan tempoh pengajaran, sementara guru-guru yang terlatih hanya catatkan masa dan mata pelajaran yang diajari sahaja. Biasanya bahagian atas ruangan setiap hari mengajar itu diukir nama hari dengan tulisan dan lukisan yang elok, berdasarkan kreativiti masing-masing. Sepanjang pemerhatian saya, buku Cikgu Jantanlah yang paling tidak elok lukisannya. Cikgu Jantan bukan seorang guru yang elok air tangannya, malah tulisannya nampak seakan-akan sama dengan cakaran doktor. Namun begitu, beliau seorang guru yang sangat dihormati dan disanjung oleh murid, ibu bapa dan sesama guru.
Kaedah menulis Cara Mengajar pun diajarkan kepada kami. Ya, kalau tidak diajar pun kami memang mengetahuinya dengan bertanya kepada kawan-kawan lain yang agak senior. Penulisan Cara Mengajar hendaklah mengikut format begini:
(Katakanlah Cara Mengajar mata pelajaran Tulisan Rumi)
1. Murid-murid diawasi.
2. Murid disuruh keluarkan buku tulisan.
3. Periksa pensil murid.
4. Guru menulis contoh tulisan di papan hitam.
5. Ajar murid menulis di papan hitam.
6. Murid diminta menulis di dalam buku tulisan masing-masing.
7. Setelah siap, guru mengumpul buku tulisan.
Format ini hampir sama bagi setiap mata pelajaran, iaitu dimulai dengan frasa murid-murid diawasi belaka.
Penyediaan Buku Ringkasan Mengajar ini adalah perkara wajib. Saya pernah mendengar orang mengatakan bahawa pernah ada guru yang dibawa ke mahkamah kerana tidak menyediakan buku tersebut. Penyediaan Buku Ringkasan Mengajar itu turut berubah dengan perubahan zaman. Akhir-akhir ini saiz buku itu bertambah besar dan isinya semakin tebal, cukup untuk kegunaan setahun, dengan pelbagai perkara lagi dimasukkan ke dalamnya. Tetapi, statusnya sebagai bahan wajib masih tidak berubah.
Semasa saya berkhidmat di SM Jerantut (1972-1979) saya pernah diceritakan cerita lucu oleh Penolong Pengelola Sekolah Kebangsaan (PPSK) Jerantut, iaitu Tuan Haji Yahaya bin Abdul Latif. Menurut ceritanya, semasa beliau melawat SK Tebing Tinggi, Guru Besarnya (Cikgu Ahmad bin Tais) memberitahu PPSK itu yang Buku Ringkasan Mengajar beliau habis koyak kerana dimakan kerbau! Kononnya, Cikgu Ahmad ini selain daripada menjadi guru, turut membuat paya. Beliau, sebagai anak tempatan, turut memiliki beberapa ekor kerbau. Dan dalam perjalanan ke sekolah beliau menambat kerbaunya di tepi sawah dan semasa itulah salah seekor kerbaunya yang manja-manja belaka dengan beliau itu menjenguk ke atas motorsikal tuannya, dan mengunyah buku tebal (tentulah ada rasa masin sedikit-sedikit kerana selalu dikepit oleh tuannya di bawah ketiak) yang juga disayangi oleh tuannya itu! Kalau saya tidak ditakdirkan berkhidmat di Jerantut tidaklah mungkin saya tahu cerita begitu, kerana di Kuantan kisah seaneh itu, alhamdulillah, belumlah pernah terjadi.
Saya diberikan tugas mengajar Darjah Dua. Ada tiga kelas Darjah Dua di sekolah ini, dan yang dua lagi diajar oleh Aishah Sabtu dan Hassan Haji Ali. Kelas saya bersebelahan dengan kelas Hassan. Di sebelah kelas saya ialah Kelas Cikgu Abdullah Saaban. Suara Cikgu Abdullah Saaban agak kuat semasa mengajar, tetapi saya telah lali mendengar suara itu. Dia tidak akan mengganggu saya. Lagipun saya sangat menghormatinya sebagai seorang guru yang paling tua di sekolah itu.
Cikgu Abdullah bolehlah dianggap sebagai Bendahari sekolah, walaupun jawatan itu tidak pernah wujud selama-lamanya di sekolah kami. Beliau banyak membuat kerja-kerja kebajikan, seperti mengutip yuran UMNO, mempelawa sesiapa yang ingin membeli kain samping warna UMNO, mengutip derma rumah UMNO di Batu Road itu. Nama kami turut tersiar di dalam akhbar Merdeka sebagai penderma bangunan UMNO. Sumbangan kami hanya $10.00 seorang dan dipotong gaji selama lima bulan untuk menyelesaikannya. Semasa YTM Tunku Abdul Rahman Putra datang ke Kuantan mencari derma untuk membolehkan wakil UMNO pergi ke London, Cikgu Abdullah Saabanlah orang yang menyediakan senarai dan mengutip derma sebanyak seringgit, dua ringgit seorang.
Semua guru SM Laki-Laki Teruntum menjadi ahli UMNO belaka. Kami berlanggan akhbar Merdeka, dan Cikgu Abdullah Saabanlah yang bertindak sebagai ’agen’nya, iaitu mengambil akhbar itu di Kedai Towkey Omar bin Haji Ali di Main Street, mengedarkannya kepada kami dan mengutip kembali harganya. Yuran UMNO pun Cikgu Abdullah yang tolong kutipkan.
Gambar sebahagian daripada guru Sekolah Melayu Laki-laki Kuantan (1956)
Berdiri dari kiri: Abdullah Saaban, Othman Ismail, Mohd. Ali Shariff, Jantan Ahmad, Jauhar Mohd. Yassin, Sulaiman Ahmad (Guru Besar), Yaakub Isa, Hussain Haji Aris, Jaafar Haji Mohd. Noor.
Mencangkung dari kiri: Kamaluddin Ahmad, Mohd. Fadzil Haji Mohd. Daud, Abdul Rahim Omar, Abdul Hamid Sentol.
Kemudian datang pula seorang guru yang tegap sasa, bermisai agak tebal, berambut kerinting berombak-ombak, dan agak panjang terjuntai mencecah kolar bajunya. Beliau ialah Cikgu Jaafar bin Mohd. Nor, orang Bentong. Suaranya agak garau dan beliau tidak banyak bercakap. Saya diberitahu kemudiannya cikgu baru ini baharu sahaja dibebaskan dari tahanan Tanjung Beruas. Beliau adalah antara tokoh-tokoh radikal atau tokoh kiri yang ditahan kerana gerakan menentang Inggeris. Ketika kami berdua sahaja pada suatu petang, saya memberanikan diri bertanya beliau. Banyak yang beliau ceritakan kepada saya. Di akhir perjumpaan itu beliau menunjukkan kad pengenalannya yang tercatat dikeluarkan di Tanjung Beruas. Barangkali beliau bimbang kalau-kalau saya tidak mempercayai percakapannya. Mulai dari hari itu tahulah saya di Sekolah Melayu Laki-Laki Kuantan ada seorang sahaja guru yang tidak menjadi ahli UMNO, iaitu Cikgu Jaafar. Beliau khabarnya seorang ahli Parti Rakyat. Saya perhatikan tandatangannya, seolah-olah ada imej tukul dan sabit – orang Indonesia memanggilnya ’palu’ dan ’aring’ (lambang negara Rusia dan Parti Komunis Rusia). Mungkin ini hanya kebetulan sahaja.
Cikgu Jaafar tidak pernah memakai baju berlengan panjang jenis yang dimasukkan ke dalam seluar (tuck-in). Semua bajunya jenis dilepaskan keluar, seakan-akan orang memakai bush jacket. Saiz bajunya agak terkecil berbanding dengan badannya yang sasa itu; ini menyebabkan butang bajunya di sebelah atas tidak dikancing, malah kadang-kadang butang yang paling bawah pun dibiarkannya tanpa di kancing. Satu lagi ciri khas Cikgu Jaafar ialah beliau gemar memakai cermin mata hitam jenis Ray-Ben yang sangat popular pada masa itu. Fesyen rambutnya betul-betul macam rambut Bung Ahmad Bustamam. Memanglah, rupanya mereka pernah ditahan bersama-sama di Tanjung Beruas. Malah beliau sendiri kerap menyapa seseorang dengan panggilan ’bung’, dan beliau sendiri senang disapa ’bung’ begitu.
Cikgu Jaafar juga gemar berseluar pendek dan bersetokin panjang warna putih. Sekiranya beliau berseluar pendek, bajunya bukanlah jenis seperti bush jacket, tetapi baju T berkolar. Baju jenis ini kebanyakannya berjenama Stella, berwarna biru gelap. Sepanjang yang saya tahu beliau seorang sahajalah guru di Kuantan yang berseluar pendek begitu semasa bertugas. Meskipun mempunyai ciri-ciri yang sedikit berbeza ini, hubungan kami sebagai guru di sekolah itu tidak pernah tercalar. Kemesraan sentiasa terjalin.
Semua guru di sekolah ini, termasuk Guru Besar kami menaiki basikal. Ada basikal baru, tetapi kebanyakannya basikal agak ’berumur’. Cikgu Jaafar yang disebut tadi kadang-kadang memandu kereta Hillman berwarna putih susu dan berbelang merah tua kepunyaan Cik Nooraihan Salehuddin. Cik Nooraihan memegang jawatan Lady’s Supervisor di Pejabat Pelajaran Pahang. Saya tidak berapa tahu apakah tugas beliau, tetapi, setelah beliau meninggalkan Pejabat Pelajaran (entah berpindah ke mana), jawatan itu tidak lagi wujud di Pahang. [Ketika saya membuat penyelidikan terhadap fail Pejabat Sultan Pahang di Arkib Negara Cawangan Timur, Kuala Terengganu saya menemui sehelai catatan daripada Guru Besar Malay Girls' College, Kuala Lumpur memuat senarai nama murid-murid Pahang yang belajar di koleh ternama itu. Nama Nooraihan Salehuddin tersenarai di bilangan pertama. Pada masa itu beliau merupakan pelajar Pahang paling senior di situ dan markah peperiksaannya sangat cemerlang. Rupa-rupanya, prestasi pelajar Pahang di MGC (mungkin juga di MCKK) dihantar untuk makluman DYMM Sultan Pahang sendiri!].
Menjelang akhir setiap tahun, Cikgu Abdullah turut memesan buku perharian bersaiz poket terbit Percetakan al-Ahmadiah Press di Singapura. Buku tersebut yang berjudul Natijah al-Ahmadiah mengandungi waktu sembahyang (waktu Singapura), dan boleh dicatatkan kira-kira sepuluh patah perkataan bagi setiap ruang harian. Kebanyakan kami membelinya, walaupun kami tidak menggunakannya hingga akhir tahun. Keghairahan menulis catatan harian hanya sementara waktu sahaja – masuk minggu ketiga mulalah keghairahan itu pudar.
* * *
Mengajar di SM Laki-Laki Kuantan tidaklah rasa tertekan. Tugas yang diberikan ringan. Rumah sukan hanya empat buah, yang dikenali dengan nama warna: merah, biru, hijau, kuning. Semasa sukan tahunan, acara yang dijalankan lebih banyak berbentuk sukan menghibur seperti lari ikat kaki, lari dalam guni, lari tiup duit dalam tepung, lari tutup mata, memancing botol, lari pijak tempurung bertali, lari bawa telur dalam sudu dan beberapa yang lain. Ada juga acara khas untuk pengakap. Acara seperti lompat tinggi, lompat bergalah, baling cakera, baling lembing, tarik tali, baling peluru dan lompat kijang juga ada. Lompat bergalah kami menggunakan buluh pering sebagai galahnya. Ada sekali, buluh itu patah, tapi tidaklah sampai tercocok mata atau terodok perut. Ada satu peristiwa mengerikan berlaku: seorang guru cuba merejam lembing, dan lembini itu jatuh menyelinap ke dalam seluar seorang murid, lalu keluar ikut kaki seluarnya, tanpa mencederakan murid itu sedikit pun! Semua orang panik betul. Nak tahu siapa murid yang bertuah itu? Dia ialah Abdul Wahid bin Haji Idris, murid saya dan bapanya ialah Imam Masjid Kuantan. Abdul Wahid kemudiannya melanjutkan pengajian ke Australia dalam bidang Surveyor dan pernah menjawat Dekan Fakulti Ukur UTM.
No comments:
Post a Comment