Thursday, October 9, 2008

Pesta Pantun

Pantun Perasmian

Semasa mengemaskan kertas dan fail lama di dalam bulan Puasa yang baru lalu saya menemui segumpal catatan mengandungi beberapa untai pantun berkait. Rupa-rupanya pantun itu adalah ciptaan saya yang digunakan oleh YAB Menteri Besar Pahang (Dato’ Sri Mohd. Khalil Yaakob) semasa merasmikan Pesta Pantun Kebangsaan pada 26 Ogos 1994 jam 8.00 malam di Dewan Majlis Perbandaran Kuantan. Negeri Pahang menjadi tuan rumah pada tahun itu. Para peserta terdiri daripada wakil negeri-negeri. Saya telah dilantik menjadi Setiausaha Bersama bagi Jawatankuasa Pengelola Pesta tersebut di samping duduk di dalam Jawatankuasa Induk Kebangsaan. Sebuah trofi yang bernama Sirih Pulang Ke Gagang dijadikan trofi rebutan, di samping hadiah iringan berupa wang tunai dan tiket penerbangan sumbangan Syarikat Penerbangan Malaysia (MAS).

Sesuai dengan namanya Pesta Pantun, keseluruhan teks ucapan perasmian oleh MB pada malam itu disampaikan dalam bentuk pantun berkait. Acara akhir ini telah dipancarkan secara terus ke seluruh negara oleh TV Malaysia.

Saya cuba menggunakan lokasi popular di negeri Pahang untuk dijadikan pembayang maksud pantun ucapan MB pada malam itu:

1
Sungai Pahang puncaknya Tahan,
Taman Negara ternama di dunia;
Selamat datang kami ucapkan,
Kasih mesra dipupuk bersama.

2
Taman Negara ternama di dunia,
Rimba monsun pusaka berzaman;
Kasih mesra dipupuk bersama,
Pesta Pantun menjalin hubungan.

3
Rimba monsun pusaka berzaman,
Bandar Kuantan indah bercahaya;
Pesta Pantun menjalin hubungan,
Di Darul Makmur kita berpesta.

4
Bandar Kuantan indah bercahaya,
Kerlipannya terus ke bandar Pekan;
Di Darul Makmur kita berpesta,
Pantun disanjung zaman-berzaman.

5
Kerlipannya terus ke bandar Pekan,
Teluk Cempedak pantainya bersih;
Pantun disanjung zaman-berzaman,
Lapuknya tudak, segarnya masih.

6
Teluk Cempedak pantainya bersih,
Di Indera Mahkota wau berpesta;
Lapuknya tidak, segarnya masih,
Pantun dijaga warisan kita.

7
Di Indera Mahkota wau berpesta,
Dinginnya cuaca di Bukit Fraser;
Pantun dijaga warisan kita,
Itulah matlamat yang harus dikejar.

8
Dinginnya cuaca di Bukit Fraser,
Banjaran beralun sejarah terakam;
Itulah matlamat yang harus dikejar,
Di Pesta Pantun Kali Keenam.

9
Banjaran beralun sejarah terakam,
Pulau Tioman kebanggaan negeri;
Di Pesta Pantun Kali Keenam,
Juara Kebangsaan hasrat dicari.

10
Pulau Tioman kebanggaan negeri,
Pelancong berkunjung silih berganti;
Juara Kebangsaan hasrat dicari,
Bertandinglah dengan sepenuh hati.

11
Pelancong berkunjung silih berganti,
Rompin, Muadzam wilayah DARA;
Bertandinglah dengan sepenuh hati,
Kenangan di Pahang terpahat di jiwa.

12
Rompin, Muadzam wilayah DARA,
Teladas menyerlah penyeri Maran;
Kenangan di Pahang terpahat di jiwa,
Menang kalah bukannya ukuran.

13
Teladas menyerlah penyeri Maran
Pahlawan gugur di Kuala Semantan;
Menang kalah bukannya ukuran,
Kuatkan tekad di tahun hadapan.

14
Pahlawan gugur di Kuala Semantan,
Teluk Cempedak sendu sendiri;
Kuatkan tekad di tahun hadapan,
Pesta nan indah selalu berseri.

15
Teluk Cempedak sendu sendiri,
Di Lubuk Terua sejarah pahatkan;
Pesta nan indah selalu berseri,
Bismillah kata hamba rasmikan.


Meskipun tidak dapat menjuarai Pesta tersebut, pasukan negeri Pahang yang diwakili oleh Sekolah Menengah Clifford telah berusaha sekuat tenaga. Pasukan pimpinan Cikgu Haji Syed Mohamed Syed Agil yang terdiri daripada Hasminindra Asit, Shaharomi Salleh, Hafzannita Sahari dan Azura Kamarulzzaman telah memberi tentangan yang cukup hebat kepada pemantun dari pasukan lain dan berjaya menjadi Naib Johan.

Pertandingan akhir Pesta Pantun merebut trofi Sirih Pulang Ke Gagang 1994 telah diadili oleh Profesor Datuk Dr. Haji Mohd. Taib Osman (Pengerusi), Profesor Madya Haji Taha Kadir, Encik A. Ghani Abdullah, Encik Abdul Rahman Hassan dan Datin Rafeah Buang.

Banyak pihak yang menyatakan majlis yang diadakan di Pahang itu cukup kemas dan berjaya. Saya sendiri merasakan kejayaan itu adalah berkat kerjasama yang diberikan oleh semua pihak. Sayangnya beberapa tahun selepas itu Pesta Pantun yang sentiasa ditunggu-tunggu oleh pelajar ini tidak diteruskan pelaksanaannya. Saya difahamkan para penaja (Kementerian Pendidikan Malaysia, MAS, Berita Harian, RTM dan Patronas) tidak bersedia untuk meneruskannya.

Puan Norma Parry

Pada 1989 saya pernah menemui seorang pengkaji pantun dari Department of Asian Studies, Murdoch University, Perth, Australia iaitu Puan Norma Parry yang pernah mengumpul semua video-tape dan merakamkan pantun yang dijual-beli dalam siri pesta ini. Untuk ini beliau telah melawat sekolah-sekolah yang pernah menjadi Johan Pesta Pantun.

Semasa di Kuantan, Puan Norma Parry menemui kemalangan ketika turun dari tempat kediamannya di Teluk Cempedak, menyebabkan sebelah kakinya terpaksa di plaster. Saya dan isteri menghantar beliau di Lapangan Terbang Kuantan, dalam keadaan kakinya terjulur ke hadapan ketika duduk di atas kereta sorong. Saya bertanya beliau bagaimana dia mampu menguruskan begasinya nanti? Menurut beliau ada temannya dari Suruhanjaya Tinggi Australia yang akan membantu di Subang.

Tidak lama kemudian saya menerima bingkisan daripada Puan Norma (11 MacArthur Street, Cottesloe 6011 Western Australia) yang mengandungi buku-buku lukisan penduduk asli Australia, pamflet, potongan akhbar, gambar sekitar kawasan kediaman beliau; di samping menyebut begasi beliau yang mengandungi koleksi bahan pantunnya hilang semasa di Lapangan Terbang Subang. Beliau sebenarnya dalam keadaan sangat helpless pada masa di Lapangan Terbang itu. Temannya dari Suruhanjaya Tinggi Australia itu pun, katanya, tidak datang membantu beliau.

Kami tidak berhubung lagi selepas itu.

Saya dapati ada beberapa pembaca Blog ini yang datangnya dari Australia. Sekiranya sesiapa yang dapat memberitahu saya tentang keberadaan Puan Norma Parry dan dapat memberitahu saya, sangatlah saya menghargainya.

No comments: