Saturday, May 16, 2009

Trilogi Ajip Rosidi

Alhamdullah! Akhirnya, Cystarini (Atje) dapat mencarikan buku yang saya pesan. Buku itu ialah Yang Datang Telanjang; Hidup Tanpa Ijazah dan Jejak Langkah Urang Sunda yang diterbitkan sempena HUT Ke-70 pengarang terkenal Indonesia, Ajip Rosidi.



Saya telah lama mengenali penulis besar ini melalui tulisan-tulisan beliau, Di Tangah Keluarga, Cerita Pendek Indonesia, Jeram, Tahun-tahun Kematian, Sebuah Rumah Buat Haritua, kemudiannya cerita pantun Sunda Mudinglaya Di Kusumah, Lutung Kasarung, Ciung Wanara, Sang Kuriang Kesiangan, dan Roro Mendut.

Semasa saya menyediakan Latihan Ilmiah peringkat Sarjana Muda tentang cerita rakyat Pahang di UM, saya ada membuat hubungan dengan beberapa tokoh yang pakar dalam penulisan dan pengumpulan cerita rakyat. Antara tokoh yang saya hubungi ialah Ajip Rosidi. Pada masa itu beliau giat menulis dan mengumpulkan cerita rakyat Sunda (tanah kelahiran beliau) di bawah Projek Penelitian Pantun dan Folklore Sunda bertempat di Jalan Asmi, Bandung.




Saya tidak menyangka Pak Ajip begitu bersegera membalas surat saya dan menceritakan pengalaman beliau mengumpulkan cerita pantun (panggilan orang Sunda bagi cerita rakyat). Surat jawapan beliau saya kepilkan di dalam Latihan Ilmiah saya yang berjudul Dokumentasi Cerita Rakyat Pahang. yang kemudiannya diterbitkan sebahagiannya di dalam Majalah Dewan Bahasa (Julai 1976).


Saya masih ingat pada 1959, Oxford University Press Kuala Lumpur menerbitkan sebuah antologi cerpen berjudul Mekar dan Segar. Antologi itu sempat dibaca oleh Ajip dan memberikan kritiknya dalam sebuah penerbitan di Jakarta. Selain cerpen Asmal, dan Kris Mas, bagi Ajip cerpen lain tidak menyerlah dan dengan itu tidak ada yang baharu. Tulisan ini kemudiannya disiarkan semula di dalam salah sebuah akhbar terbitan hujung minggu terbitan Kuala Lumpur. Tidak sempat lama, seorang pensyarah sebuah maktab perguruan yang sedang menempa nama pada masa itu terus memberikan komen terhadap tulisan Ajip. ”Siapa Ajip yang mengkritik cerpen Malaysia?” demikian antara pertanyaannya. Tulisan pensyarah ini (Kala Dewata – Mustafa Kamil Yassin) terus disanggah oleh beberapa tulisan lain dari kalangan sasterawan Malaysia dengan menyatakan Ajip bukannya orang sembarangan dalam dunia penulisan Indonesia, hanya MKY mungkin belum mengenalinya. Tulisan ini membuat MKY menyiarkan permohonan maaf beliau kerana kekhilafan tanggapnya terhadap Ajip.

Meskipun trilogi Ajip ini tebal-tebal belaka (Hidup Tanpa Ijazah mencecah 1330 halaman), tetapi senang dibaca kerana saya mampu membaca ketiga-tiganya dalam tempoh lima hari sahaja (tidak termasuk beberapa artikel dalam bahasa Sunda). Ini kerana, sebagaimana tulisan Ajip yang lain, bahasa beliau amat segar, bersahaja dan kemas. Hidup Tanpa Ijazah memuat tulisan Ajip berupa autobiografi beliau; Yang Datang Telanjang adalah surat-surat beliau kepada dan daripada teman-teman sasterawan dan bukan sasterawan dari seluruh dunia; sementara Jejak Langkah Urang Sunda pula memuatkan tulisan sahabat-sahabat beliau yang membicarakan pengalaman mereka dengan Ajip.





Ada enam perkara yang saya ingin catatkan tentang penulis besar ini: Pertama beliau sengaja tidak menamatkan persekolahan menengahnya, tetapi kemudiannya telah diangkat menjawat profesor di beberapa universiti ternama di Jepun. Beliau juga dipercayakan untuk memberi kuliah di Universitas Pajajaran. Kedua: beliau mempunyai kenalan yang amat luas, baik di kalangan penulis, penggiat budaya, pelukis, dan ahli politik yang menyebabkan usaha beliau mengembangkan idea seninya menjadi mudah (malah kadang-kadang menjadi sukar!). Ketiga: beliau banyak membantu para penulis dan anak seni Indonesia baik dalam bentuk kewangan mahupun kemudahan lain; misalnya beliau pernah membantu seorang teman untuk berkahwin dengan membawa manuskrip bukunya ke percetakan untuk dijual dan wang jualan diberikan semuanya kepada teman itu. Keempat: selain H.B. Jassin, barangkali beliaulah yang paling banyak membuat koleksi dan dokumentasi budaya, seni dan sastera Indonesia. Kelima: beliau sangat suka bersilaturrahmi dengan teman-temannya. Keenam: bukunya yang pertama terbit ketika usianya 17 tahun (1955) berjudul Tahun-tahun Kematian (kumpulan cerpen) yang kemudian diikuti oleh lebih daripada 110 bukunya yang lain.

Saya tertarik melihat gambar Ajip menjaga gerai pameran buku Balai Pustaka. Semasa kunjungan Presiden Sukarno ke gerai tersebut, Ajip yang menyambut dan memberikan taklimat kepada Presiden RI masa itu masih berseluar pendek!

Beliau adalah anak ajaib yang negara Indonesia pernah lahirkan. Selamat HUT dan selamat melepasi garis 70 tahun Pak Ajip. Semoga Pak Ajip dan Bu Empat (Fatimah) tetap dalam peliharaan Allah SWT.

No comments: