Thursday, May 21, 2009

Gulai Belangkas

Melawat Muzium Kota Tinggi

Ahli Lembaga dan kakitangan Muzium Negeri Pahang mengadakan lawatan kerja ke Johor dan Singapura pada hujung Februari lalu. Muzium pertama yang dilawati ialah Muzium Kota Tinggi.

Kota Tinggi, barangkali ramai yang memakluminya, adalah salah sebuah tempat bersejarah dalam pemerintahan Johor Lama. Di sinilah terletaknya makam Marhum Mangkat Dijulang yang masyhur dan tragis kisahnya itu.

Saya kagum tentang usaha kerajaan negeri Johor membina bangunan muzium daerah di Kota Tinggi dengan prasarana yang serba lengkap. Bangunannya baru yang cantik itu terletak di dalam kawasan yang kondusif. Meskipun artifek yang dipamerkan kelihatan biasa-biasa sahaja, tetapi kaedah mereka memperagakan artifak tersebut cukup menarik.

Taklimat yang diberikan oleh pihak Muzium menggambarkan perancangan masa depannya yang cukup meyakinkan.

* * *

Selepas melawat sekitar kawasan pameran, kami dijemput ke majlis makan tengah hari. Saya terkejut melihat hidangan yang luar biasa, antaranya belangkas gulai lemak cili padi dan gulai asam pedas ikan sembilang (bukan ikan keli tetapi sembilang laut).


Seekor belangkas betina dewasa


Saya pernah memakan gulai belangkas, tapi kira-kira 50 tahun yang lalu. Pada masa itu ada peraih dari Kuala Pahang, Serandu dan Cheruk Paloh mudik Sungai Pahang hingga ke kampung saya, membawa dagangan berupa ikan kering, ikan singgang, ikan jeruk malah kadang-kadang ikan panggang. Tidak ketinggalan, mereka juga membawa belangkas yang masih hidup untuk dijual. Belangkas itu mereka lepaskan begitu sahaja di bawah geladak perahu. Harga seekor belangkas dalam 10 sen atau 20 sen sahaja.

Kampung kami agak jauh (sekitar 20 kilometer) dari pantai laut. Belangkas tidak terdapat di kampung kami. Walaupun begitu, Emak pandai memasak belangkas kerana beliau pernah tinggal di Cherok Paloh semasa mudanya. Dia ada pengalaman ’mencekik’ ikan dan kerja yang berkaitan dengan kehidupan masyarakat pesisir laut.

Gulai belangkas yang dihidangkan di Muzium Kota Tinggi agak berlainan berbanding gulai yang pernah Emak buat. Emak menyiang belangkas secara menanggalkan isi dan telur belangkas daripada cangkerangnya. Bahagian lainnya yang digulai ialah ’caping’ belangkas itu. Bahagian itulah yang ada ’isi’nya. Bahagian pangkal kaki belangkas juga digulai dan bahagian ini ada isi, sebagaimana kita memakan kaki ketam. Bahagian hujung kaki yang seakan-akan kuku itu dipotong dan dibuangkan.

Kaki, caping dan perut belangkas
Sebenarnya yang betul-betul boleh dimakan pada seekor belangkas ialah telurnya. Bukan sepanjang masa belangkas bertelur. Kita boleh kenal belangkas itu bertelur atau tidak dengan melihat bahagian ’perut’ belangkas itu berisi atau tidak.

Bahagian 'caping' belangkas

Semasa tinggal di Tanjung Api, Kuantan sekitar 1952-1954, saya kerap bertemu belangkas di tepi jambatan dekat depoh minyak Shell ketika air laut mula menyurung pasang. Di tepi pantai yang dipanggil Pantai Gelora sekarang dan di Teluk Cempedak juga banyak boleh ditemui belangkas. Kami kerap menangkap belangkas, setelah melihat-lihat keadaan ekor, jejari dan badannya, kami lepaskannya semula ke laut. Kami tidak membawanya balik untuk dimakan kerana di rumah Abangteh Hussain, tempat saya menumpang tinggal itu, tidak ada sesiapa yang pandai mengurus untuk memasak belangkas.

Belangkas berenang di dalam laut biasanya berdua-dua: yang jantan sentiasa menenggek di atas belakang belangkas betina. Belangkas betina sahajalah yang diambil untuk digulai atau dibakar kerana belangkas jantan selain tidak mempunyai telur, saiznya sekali ganda lebih kecil berbanding belangkas betina.

Ada orang mengatakan, belangkas jantan tidak pandai mencari makan, hanya bergantung hidup kepada belangkas betina. Kalau betullah begitu, entah bagaimanalah nasib belangkas jantan yang dilemparkan ke laut dan hidup tanpa yang betina. Mungkin ia mati kelaparan atau mati merana. Walau bagaimanapun, ia tentu lebih baik berbanding belangkas betina yang berakhir di dalam belanga dan dihidangkan sebagai makanan enak.

Fenomena belangkas jantan sentiasa menenggek di belakang belangkas betina ini menyebabkan wujudnya peribahasa ’macam belangkas’ bagi menggambarkan pasangan kekasih dua sejoli yang tidak pernah boleh berjauhan.


Seekor belangkas jantan

Daripada maklumat yang saya dapati, harga belangkas melambung sekarang. Kononnya orang-orang Siam dan Jepun menggunakan sejenis cecair berwarna ungu muda dalam badan belangkas untuk dijadikan ubat (cecair ini boleh memabukkan sekiranya termasuk ke dalam makanan; sebab itulah jika dibakar, belangkas terpaksa dihimpit dengan papan supaya keluar air racunnya itu sebelum boleh dimakan).

’Daging’ belangkas yang siap untuk dimasak dijual kira-kira RM45.00 sekilo. Demikian maklumat yang saya dapati dari sebuah laman blog.

Rupa-rupanya ada restoran yang menjual gulai belangkas di Kota Tinggi. Melalui sebuah laman blog saya bertemu dengan gambar restoran yang ada menjual gulai belangkas. Khabarnya menjelang tengah hari lauk-pauk berasaskan belangkas selalunya habis terjual. Saya yakin ada kedai lain di Johor (entah-entah di Endau, Mersing, Penggerang, Kukup, Johor Bahru, Pontian, Batu Pahat atau Muar) yang menjual gulai belangkas.


Restoran belangkas di Kota Tinggi


Malah ada laman blog yang menyiarkan peta Kota Tinggi (pandangan menggunakan sistem GPRS dari angkasa lepas) menunjukkan kedai menjual gulai belangkas... Moden betul, sekarang.

Di Pahang tiada lagi orang meminati belangkas. Golongan anak-anak mungkin takut melihat makhluk luar biasa ini, apatah lagi hendak memakannya.

8 comments:

mantan said...

Dato'
Memang sedap gulai belangkas.Paling sedap telurnya.

Caping belangkas yang paling luar dan paling besar itu boleh dijadikan kantung. Ketika memasaknya, telur belangkas dimuatkan semuatnya ke dalam kantung daripada caping ini. Jadi telurnya terkumpul dan tidak bertaburan dalam kuah gulainya.

YAAKUB ISA said...

Tentang kantung caping ini idea baru bagi saya. Hidangan di Muzium Kota Tinggi itu mereka masak dalam kulit (cangkerang), jadi telur tidaklah bertaburan dalam kuah gulainya.

mawarmerah2008 said...

Dato',
Saya sangat berbesar hati kerana Dato' sudi melawat dan meninggalkan komen di blog saya.

Saya juga pernah menikmati hidangan belangkas ini semasa kecil dulu. Sekarang tidak pernah pula saya jumpa lagi dan melalui entri Dato' ini baru saya tahu yang ada restoran yang menjual hidangan belangkas di Kota Tinggi.

YAAKUB ISA said...

Mawarmerah2008,

Terima kasih kerana turut serta dalam blog ini. Insya Allah saya akan tetap melayari blog anda...

Banyakkan lagi penceritaan tentang isu dunia pendidikan - termasuk aspek keluh dan erang kaum pendidik dan anekdot seharian di lingkungan sekolah. Itu penting untuk dokumentasi dan dijadikan teladan.

Wassalam.

Citra Delima said...

Dato'
Salam aidilfitri, memang sedap gulai belangkas dan asam pedas sembilang. Memang kesukaan saya seandainya saya ke Kota Tinggi. Satu lagi yang terkenal di KT ialah nasi ayam Basir. Dato' boleh juga cuba seandainya ke KT lagi.

YAAKUB ISA said...

Citra Delima,

Maaf terlewat membalas Komen Sdr. Seingat saya, ada pengusaha nasi ayam di KT (yang saya terlupa namanya); tetapi ada hubungan keluarga dengan saya. Bapanya Abdul Manan, yang dulunya bertugas sebagai Pegawai Majuikan di KT. Kedai beliau, khabarnya, tidak jauh dari stesen bas KT. Saya akan cuba ke KT dan harap bertemu dengan Sdr ke restoran belangkas!
Wassalam, terima kasih.

Nadri aka AyahAiman said...

Salam Jumaat,

Saya baru tengahari tadi makan dkt gerai yang jual gulai telur belangkas nie..pertama kali makan telur belangkas atas desakan kawan2..

YAAKUB ISA said...

Bagaimana rasanya? Cuba-cubalah makan belangkas itu sendiri, memang ada kelainannya.