Wednesday, November 11, 2009

Ikan Eksotika

Ikan Tilan

Perihal ikan tilan (mastacembulus spp.) banyak terdapat dalam beberapa blog. Ada yang penulisnya di Malaysia dan ada yang di Indonesia. Orang Indonesia ada yang memanggilnya ikan sili, ikan seler, selain ikan tilan yang memang turut dikenali di sana. Mungkin di kalangan anak muda ramai yang tidak pernah melihat ikan ini, apatah lagi merasai keenakan dagingnya.

Tilan Bara
Saya sendiri dah lama benar tidak melihat ikan ini; apatah lagi memakannya. Dulu, masa kecil, Emak memang biasa memasak ikan tilan. Ikan tilan kerap terperangkap dalam geluguh (lukah) udang. Barangkali ikan ini tertarik atau 'terpancing' masuk ke dalam geluguh kerana ada udang di dalamnya. Memang, makanan kegemerannya udang. Tilan juga dapat dipancing, terutama jikalau berumpankan cacing tanah.

Penulis sebuah blog dari Indonesia yang memelihara ikan tilan mencari maklumat untuk membantunya mengetahui tentang makanan ikan ini. Menurut penulis itu, beliau memberi pelbagai jenis makanan – pelet, udang, cacing, ikan, serangga – tetapi semuanya tidak mahu dimakan oleh ikan tilan peliharaannya; dan ini berakhir dengan ikan itu mati.

Pengalaman saya, kalau memasang lukah, kita bubuh umpan isi kelapa. Biasanya mudah mengena ikan tilan. Tapi, bagaimanakah pula dalam kehidupan sehariannya ikan itu boleh mencari kelapa untuk dimakan? Kalau memancing di Sungai Pahang, dengan berumpankan cacing kita boleh juga mendapat ikan tilan.

Di Sungai Pahang ada dua jenis ikan tilan: tilan bara dan tilan biasa. Tilan bara dapat dibezakan dengan tilan biasa kerana ada tumpuk-tumpuk merah tua pada badannya. Tilan bara dikatakan bisa untuk dimakan oleh mereka yang berpenyakit seperti sakit kudis, bisul dan luka. Tapi, ini hanya cerita-cerita begitu sahaja; tidak pernah dibuktikan, apatah lagi pembuktian emperikal secara saintifik di makmal!

Mengail ikan tilan ada risikonya. Ikan ini memakan umpan pancing dengan menelannya (atau lebih tepat disebut melahap) terus ke dalam perut, kerana muncung ikan ini halus, keras dan tirus. Jadi, biasanya mata dan tali pancing tidak boleh dikeluarkan atau dicabut dari mulutnya sebagaimana kita memancing ikan biasa, melainkan kena belah perut ikan itu sekali. Maka, jikalau pancing kita mengena tilan dan kita tidak membawa mata pancing tambahan, maknanya di situ sahajalah tamatnya sesi memancing kita hari itu.


Memproses tilan untuk dimasak bukannya sesenang memasak ikan biasa. Pertama, tilan itu dilayur di atas bara api sehingga kulitnya hangus. Kulit yang hangus ini dikikis dengan pisau sehingga kelihatan isinya sahaja. Pada masa itu kita boleh dapati daging tilan mengeluarkan lemak dan bau yang enak kemanis-manisan. Itulah istimewanya.

Ikan yang telah dikuliti ini disiang dengan dipotong-potong sebagaimana biasa. Sesudah itu bolehlah dimasak.

Masakan istimewa ikan tilan ialah gulai lemak pekat; lebih kurang macam orang membuat ikan perecik atau ayam golek. Biar lebih sedikit pedasnya. Masak lemak cili api biasa juga boleh. Masak asam pedas saya tak berani kata kerana saya belum pernah merasainya. Sekiranya dibubuh garam kunyit dan dipanggang enak juga rasannya.

Begitulah yang saya ingat cara Emak saya membuatnya.

Catatan: Dua keping gambar ikan tilan dalam tulisan ini saya ambil daripada dua blog yang berasingan, satu dari Indonesia dan satu lagi dari blog orang kita Malaysia (yang pernah tinggal di Rumah Banjir, Pekan). Minta maaf kerana saya tidak mencatatkan kreditnya di sini. Sekiranya anda mahu mengetahui blog itu secara lebih lagi, silalah gunakan mesin carian Google dengan menulis 'ikan tilan'. Dapatlah tu nanti.

9 comments:

Yahya Zainal Abidin said...

Saya sentiasa ingat jasa Dato' kepada saya. Saya belajar jadi guru yang prihatin kepada murid yang susah bila Dato' beritahu saya bahawa budak yang tumbang sewaktu perhimpunan pagi itu senang aja ubatnya, beri mereka secawan kopi atau tea. Betul rupanya, peluh merecak keluar di dahi mereka. Rupanya perut mereka kosong.Ini peristiwa tahun 1978 di SMJ.

Ini pula cerita kita yang tertangguh lama.
Sewaktu saya di Maran, ada hajat ajak Dato' bentang sorotan buku Pemikiran dan Ideologi Tun Razak, tetapi tak menjadi. Dato' pun dah setuju ketika itu. Kini saya di Pekan, pasukan kami lebih mantap. Insyallah 22 Mei 2010 ini akan diadakan Program Resensi Buku macam di Kuantan dulu. Kami berhajat betul agar Dato' dapat bentangkan buku itu dalam masa 30 minit. Ada tujuh orang pembentang semuanya. Mohon tidak diuzurkan.

Saya cuba call no 019-9xxx299 tapi tak dapat, jadi saya guna cara inilah.

Terima kasih
Blog saya ialah pohpalehweh.blogspot.com

YAAKUB ISA said...

Sejak pembentangan di PSPN yang Cikgu anjurkan dulu tidak ada lagi orang yang melakuka perkara serupa. Rasa-rasanya saya boleh hadir pada tarikh itu di Pekan; malah, saya suka benar menghadirinya. Boleh saya sediakan serba sedikit bahan menggunakan power point.

YI

Yahya Zainal Abidin said...

Cikgu yang hadir pada hari Bicara Buku Daerah Pekan 22/5/10 yang lalu seramai 509 orang. Semua mereka minat dengar pembentangan buku oleh Dato' hari itu, mereka kata sangat ringkas hanya 30 minit sahaja. Mereka nak dengar lagi kisah perjuangan dan pemikiran Tun Razak. Saya dah beritahu ajk Bicara Buku nak panggil Dato' sekali lagi, kali ini Dato' boleh bentang dalam masa satu jam. Jika kena dengan masa Dato' Najib balik kampung, saya ajak Dato Najib join sekali.
Terima kasih atas sokongan memeriahkan buku dikalangan pendidik.

Ikan Oh Ikan said...

Salam Dato', maaf ketinggalan info ttg bekas Pengetua sekolah saya ni dulu rupanya dah dapat anugerah Dato', maaf sekali lagi.

Saya tertarik dengan catatan mengenai Ikan Tilan, terakhir saya dapat pancing ikan Tilan ialah di Tg. Agas, Pekan lebih kurang 25 tahun dulu.. Kami masak asam pedas tumis..uish!! memang best!

Meskipun sebelum ini saya adalah Pegawai Perikanan yang terlibat secara langsung di bidang Akuakultur, saya tak pernah terlintas memelihara ikan tilan, mungkin kemudahan mendapatkan benih ikan secara aruhan belum ditemui. InsyaAllah, jika berpeluang saya akan cuba memelihara ikan ini dari sumber tangkapan liar untuk buat kajian penternakan termasuk pemakanan dan pembenihannya.

Semoga, kita sama-sama menyumbangkan sesuatu untuk persekitaran semulajadi juga faedah generasi akan datang.
Terima kasih cikgu (Dato')!

Wassalam.

Fakeh said...

Cubalah google tajuk BANGSA MELAYU MENGIKUT ULAMA AHLU SUNNAH WAL JAMAAH, maka akan fahamlah kita tentang hakikat bangsa ini.

Dan cubalah google pula tajuk-tajuk berikut agar kita kenal Golongan Si Kitul dan Raja Mandeliar yang mencari peluang dan ruang untuk mengkhianati bangsa ini, iaitu:-

(a) http://www.mediafire.com/?ne2dmyeinzo
(b) Jaringan Wahabbi Sdn Bhd
(c) Jom Kenali Dr Maza & Co
(d) Ahlul Bait Yang Dicerca
(e) Tok Ayah Zid Kedai Lalat
(f) Kuasa Tiang Kepada Cita-cita
(g) 40 Mutiara Hikmat Serambi Mekah

FAKEH KHALIFAH SAKA

Rizdaham said...

Cerita ikan tilan ni benar-benar menggamit memori saya semasa kecil. Membesar dan amat 'mesra, dgn sungai Pahang. Memancing ikan tilan di rekahan balak jamban ckp seronok...Ikan tilan ni memang sedap. Walaupun mcm ular, kami tak gelipun nak makan. Maklumlah kerana org susah...tak bolehlah memilih sangat.

chik_chenor said...

Hari ini saya rasa bertuah sangat..Allah pertemukan saya dengan 2 orang yang kedua-duanya ada 'perhubungan' dengan saya dalam satu tempat yang saya tidak sangka-sangka

Seorang, YBhg Dato' Isa, pensyarah saya semasa di KIPSAS..dan seorang lagi En.Yahya iaitu orang kampung saya yang tidak pernah kenali..

Salam pertemuan. Kepada Dato' Isa,saya mohon ampun dan maaf sepanjang jadi pelajar di KIPSAS..Kiriam salan En.Hafiz

YAAKUB ISA said...

Terima kasih kepada IOI,Fakeh,Ridaham,dan Chik Chenor. Anda memang boleh dipuji kerana menghargai hal-hal di sekeliling yang turut membesar bersama-sama kita. Tahniah dan terima kasih sekali lagi. Wassalam.

Dewi Aja said...

Perkenalkan, saya dari tim kumpulbagi. Saya ingin tau, apakah kiranya anda berencana untuk mengoleksi files menggunakan hosting yang baru?
Jika ya, silahkan kunjungi website ini www.kumpulbagi.com untuk info selengkapnya.

Di sana anda bisa dengan bebas share dan mendowload foto-foto keluarga dan trip, music, video dll dalam jumlah dan waktu yang tidak terbatas, setelah registrasi terlebih dahulu. Gratis :)