Tuesday, November 10, 2009

Pantun Yang Bukan Pantun

Kita Dalam Era Berpuisi

Ada kelihatan cahaya cerah di hujung terowong bahasa dan sastera tanah air dalam dua tiga bulan ini. Apa tidaknya: TV1 mengawali pendeklamasian puisi dalam setiap penyampaian beritanya. Yang menariknya, pendeklamator itu tidak lain daripada Perdana Menteri Malaysia sendiri!

Saya tidak berpeluang melihat perasmian sambutan Bulan Bahasa Kebangsaan di daerah-daerah dan peringkat negeri (kalau ada). Tapi saya percaya tentu ada gelanggang untuk pemantun. Walaupun telah amat terlewat, tapi sambutan begini tetaplah memberi pemberatan terhadap usaha mendaulatkan bahasa dan sastera kita, yang rupa-rupanya, tanpa disedari, telah mengalami episod peminggirannya yang agak mengerikan.

Kalau PM tadi cukup trampil mendeklamasikan puisi, tentulah sikap positif itu mudah diikuti (atau terikut-ikut) oleh pemimpin bawahan lain. Hal begini sangat lumrah berlaku di negara kita. Dalam era tujuh puluhan dan delapan puluhan dulu Persidangan Agung UMNO sentiasa digamatkan dengan pantun dan gurindam bermutu oleh YB Hashim Gera (Allahyarham) dan kemudiannya YBhg Dato' Paduka Hj Badruddin Amiruldin. Akhir-akhir ini bermunculanlah tokoh muda yang cuba melakar nama di arena puisi – wahananya tentulah bukan di media massa, tetapi Persidangan Agung UMNO dan yang seumpamanya.

Dalam ramai-ramai pemantun itu saya ingin turunkan di sini catatan daripada akhbar Utusan Melayu tentang gelagat memantun oleh seorang wakil dari negeri saya, ketika membahas ucapan Presiden pada 15 Oktober 2009 di PWTC. Beginilah bunyi ‘pantun’ beliau:

Sudah tahu peria itu pahit,
Siapa suruh petik;
Sudah tahu Tan Sri Isa itu siapa,
Yang datang pasti akan binasa.

Utusan Melayu, Jumaat, 16 Oktober di halaman 9 membuat catatan:

“Pantun biasanya digunakan bagi menjelaskan sesuatu ucapan, tetapi sebaliknya yang berlaku kepada wakil Pahang… ayat pembayang dan maksud pantun yang disampaikannya ketika membahaskan usul berkenaan tidak seragam.”

Timbalan Pengerusi Tetap Dato’ Muhammad Aziz mencelah: “Orang tak faham, ulang semula. Dia punya pembayang dengan maksud tdak sama.”

Apabila diulang, wakil Pahang tetap menyebut yang sama, kerana katanya: “ia (pantun itu) paling sesuai bagi menggambarkan mengenai tindak-tanduk pembangkang yang telah menggunakan pelbagai cara untuk memburukkan UMNO dan calon BN, Tan Sri Mohd. Isa Abdul Samad.”

Yang disebut 'pantun' itu sahlah bukan pantun, bukan syair, bukan gurindam, bukan seloka dan bukan juga sajak.

Saya fikir jikalau wakil Pahang itu mengambil sedikit masa membuat ‘kerja rumah’ dengan merujuk kepada Cikgu-cikgu yang tinggal di Rompin untuk tolong mendapatkan pandangan dan nasihat, tentu pantun beliau itu akan menjadi pantun. Saya tidak fikir beliau tidak mengenali Cikgu Abdul Wahab Taha (dia ada Blog sendiri), Cikgu Amran Abdullah dan Cikgu Kamarozaman Abdul Razak.

Ingat pula saya kisah penyair besar tanah air, Masuri S.N. (Allahyarham) yang dikatakan pernah dimarahi gurunya semasa di SITC kerana mencipta pantun yang ‘tidak seperti pantun’. Tetapi zaman berlalu, persepsi berubah. Apa yang dianggap ‘bukan pantun’ itu sebenarnya satu pembaharuan puisi Melayu. Maka lahirlah ‘sajak’ iaitu puisi Melayu moden. Beliaulah antara pelopor sajak atau puisi Melayu moden. Beliau mencipta suatu ‘seni baru’. (Demikian saya kutip ucapan Profesor Emeratus Dr. Abdullah Hassan yang menukil tulisan Prof. A. Wahab Ali semasa mengucapkan Watikah Pengurniaan Ijazah Doktor Kehormat Pendidikan kepada Masuri Salikun di Konvokesyen Komemoratif 2002 UPSI pada 21 Disember 2002).

Masuri S.N. meninggalkan persada puisi dengan sajak awalnya 'Ros Kupuja' dan 'Bunga Sakura' yang terbit di dalam Berita Malai; seterusnya ratusan puisi Melayu moden beliau dalam bentuk antologi, iaitu Awan Putih (1958), Warna dan Suasana (1962), Bunga Pahit (1967), Selagi Hayat Dikandung Badan (1970), Dalam Makna (1984), Singgah (1987), Puisi-puisi Masuri S.N. (1989) dan Mimpi Panjang Seorang Penyair (1995); selain puluhan kumpulan esei dan kritik.

Kalau ‘pantun’ yang bukan pantun di atas satu percubaan mencipta suatu seni baru, barangkali ruang untuk itu telah tidak terbuka lagi.

1 comment:

ben said...

Ungkapan yg di anggap 'pantun' itu sesungguhnya mencemar seni sastera Melayu ... Buat malu aje Negeri Pahang yg mempunyai sejarah kesusasteraan Melayu yg membanggakan.