Monday, February 18, 2008

KELUARGA SEBELAH EMAK


Emak Saya

Saya ingin memulakan catatan ini dengan menyatakan bahawa tidak ada seorangpun manusia di dunia ini yang lebih mengetahui tentang saya selain Emak saya. Tidak ada orang lain yang lebih sayangkan diri saya selain Emak saya. Emak membesarkan saya meggunakan segala kudrat dan iradat yang Allah berikan kepadanya dengan sepenuhnya. Tidak hairanlah apabila beliau mendapat berita palsu bahawa saya telah mati dalam peristiwa 13 Mei di Kuala Lumpur beliau menangis hingga mengakibatkan pandangan matanya menjadi lemah dan semakin hari semakin teruk. Emak sanggup berlapar, asalkan saya dan anak cucunya kenyang. Dalam tempoh empat tahun terakhir usianya, kedua-dua mata Emak terus tidak berfungsi. Walaupun saya berpeluang membawa Emak ke Mekah dan bersama-sama dengan Abang Othman memelihara Emak sehingga saat beliau menghembuskan nafasnya yang terakhir sesempurna mungkin, masih jauhlah kiranya mahu dibandingkan dengan jasa Emak membesarkan saya. "Ya Allah, Kau ampunilah segala dosa Emakku dan Kau masukkanlah rohnya di kalangan hamba-Mu yang Kau berikah Rahmat." Amin!

Sebahagian besar maklumat keluarga ini saya susun berdasarkan 'cerita' Emak sendiri. Nasib baiklah terbuka hati saya untuk ber'wawancara' dengan Emak dalam beberapa sesi selepas kami makan malam di rumah saya. Semasa hayatnya Emak memang sentiasa berat meninggalkan rumahnya untuk tinggal bersama-sama kami. Alasan yang kami buat ialah meminta Khairul dan Hafiz memujuk dia. Pujukan cucunya ini biasanya jarang yang Emak tolak, tetapi cuma untuk semalam dua sahaja.

Emak selalu berkata, semasa dia segar dia lebih suka duduk di kampung. Kalau dah sampai masa dia tak dapat bergerak, 'ikut anak cuculah!' Dan, Emak telah mengotakan kata-katanya ini. Beliau tidak menghembuskan nafas terakhirnya di rumahnya di kampung, tetapi di rumah Abang Othman di Kuantan, dengan saya dan beberapa orang cucu dan menentu mengelilinginya.

* * *

KELUARGA sebelah pihak Emak saya TIJAH binti DOLAH yang dapat saya selurusi setakat ini adalah bermula daripada sebelah pihak ibunya. Jurai ini bermula daripada tiga beradik yang bernama KULAT, YUSOH dan GANCHONG. Maklumat ini kebanyakannya saya dapati daripada keterangan mulut Emak saya sendiri. Mereka merupakan nama keluarga kami yang sebelah Emak paling awal diketahui oleh Emak.

KULAT berkahwin dengan BAKAL dan mendapat dua orang anak iaitu SARIFAH dan PAH. SARIFAH berkahwin dengan ABDUL RAHMAN (Cina Mualaf yang lebih dikenali sebagai Pakcik Aman) dan mendapat tiga orang anak iaitu HASHIM (sekarang tinggal di Singapura) dan SALMAH (tinggal di Kuala Lumpur). Anak mereka yang tengah seorang lelaki yang tidak diketahui namanya dikatakan hilang semasa Perayaan Hari Jadi Sultan di Pekan. PAKCIK AMAN kemudiannya berkahwin dengan YANG KECHIK (orang Kiambang) dan memperolehi empat orang anak iaitu SHAMSIAH, MARIAM, AWANG KASSIM dan AHMAD. SHAMSIAH berkahwin dengan ABDUL LATIF bin MAT SIN (Buntat); MARIAM menjadi guru dan berkahwin dengan SHEIKH HASHIM bin SHEIKH ISMAIL; AWANG KASSIM tidak sempat berkahwin kerana meninggal dunia dilanggar motorbotnya sendiri di Sungai Pahang; dan AHMAD menjadi guru dan kini tinggal di Tanah Putih Baru, Kuantan. Tidak ada sebarang maklumat tentang PAH.

MAT YUSOF atau YUSOF mula-mulanya berkahwin dengan HALIMAH dan memperolehi tiga orang anak iaitu ME, PIT dan KASSIM. Perkahwinannya yang kedua ialah dengan UDOH yang mendapat dua orang anak, iaitu SULONG dan MAH. MAH ini berkahwin dengan MAT AKIL dan memperolehi cahaya mata seramai enam orang iaitu JAH, BAH, MAT DERIS, MENAH, CHIK dan SALIM. Anaknya yang ketiga iaitu MENAH mula-mula berkahwin dengan HITAM dan mendapat tiga orang anak iaitu RAMLAH, AISHAH dan AMINAH. RAMLAH, seorang guru berkahwin dengan abang OTHMAN bin ISA, mendapat anak BAHARUDDIN, BAHAZELAN, SHAHRULBARIAH, SAIDATULHANAM, BAHAZENAN dan NURULASHIKIN. AISHAH berkahwin dengan ABDUL KARIM yang kini tinggal di Padang Polo. AMINAH yang bekerja sebagai jururawat berkahwin dengan ABDUL MANAN bin TAHA (orang Kampung Bintang) yang bertugas sebagai pegawai Majuikan dan kini tinggal di Pekan. Mat Yusof juga berkahwin kali ketiga dengan YANG CHIK dan anak-anak mereka tidak diketahui. MAT AKIL tadi selain berkahwin dengan MAH, berkahwin juga dengan PIT yang beranakkan SALLEH (Pakoda Salleh) yang mendapat anak, antaranya MUNAH (seorang farmasi dan tuan punya Farmasi Kuantan) dan MEK JAH.

GANCHONG pula berkahwin dengan PUASA dan memperolehi lima orang anak iaitu:
1. SOM
2. NGAH
3. DE
4. BAKAR dan
5. KOMAH.

TUK SOM (anak Tuk Ganchong dan Tuk Puasa yang pertama) bertemu jodoh dengan PADANG (orang Kempadang) dan mendapat tiga orang anak iaitu HUSSAIN (Pak Chik Hussain) yang tinggal di Benta; DERIS (dia ini bisu) dan seorang lagi YANG BIRU. HUSSAIN berkahwin dengan HALIMAH dan mendapat empat orang anak, iaitu JENABAH, ZAHARAH, MINAH dan ISMAIL. JENABAH berkahwin dengan seorang berketurunan Pakistan yang berjual kain bernama IBRAHIM. Mereka yang tinggal di Darat Mak Bar, Kuantan (berhadapan dengan jirat Cina) memperolehi lima orang anak iaitu Dato’ MOHD. RAMZAN, YAAKUB, ISHAK, ANI dan PEAH. Dato’ Mohd Ramzan berkahwin dengan LATIFAH binti MOHD. YUSOF (anak seorang peniaga barang kemas dan batu permata yang mempunyai sebuah kedai di Kuala Lumpur bernama Yusof Gems, kini tinggal di Jalan Hillview Ampang dan merupakan seorang jutawan pengusaha yang berjaya dan mempunyai syarikatnya sendiri. Yaakub bertugas di Majlis Perbandaran Kuantan, dan Ishak pernah bertugas di Affin Bank sebelum menjalankan perniagaan sendiri. Ani bekerja dengan sebuah syarikat swasta dan Peah membantu pengurusan stasyen minyak Patronas di Jalan Makbar kepunyaan Dato’ Mohd. Ramzan, berhampiran rumah mereka.

TUK NGAH (Nenek penulis blog ini) (anak Tuk Ganchong dan Tuk Puasa yang kedua) berkahwin dengan DOLAH bin REMBAU (dikenali juga dengan gelaran DOLAH KUCI). REMBAU ini adalah anak kepada MAMAT. DOLAH sendiri mempunya seorang saudara perempuan bernama SAERAH. Saerah berkahwin dengan BARU yang mendapat tiga orang anak, iaitu PANDAK, MUSA dan SULAIMAN. MUSA berkahwin dengan TEMAH binti DOLAH dan memperolehi dua orang anak iaitu MOHD. ALI dan PEAH. Mohd. Ali menjadi guru dan berkahwin dengan JURIAH binti HAJI HASSANUDDIN dan tinggal di Kampung Geylang, Pekan.

Perkahwinan NGAH dan DOLAH menghasilkan delapan orang cahaya mata iaitu:
1. LEMBEK
2. TIMAH
3. ZAINAL
4. CHIK
5. TEMAH
6. JAMILAH (MAK ITAM)
7. TIJAH
8. JERIAH.

LEMBEK (anak Tuk NGAH dan Tokki DOLAH yang pertama) berkahwin dengan MAT dan mendapat dua orang anak iaitu HAWA dan JAAFAR. Mak Long Lembek ini meninggal dunia semasa bah dan jenazahnya dikebumikan di Pengkalan Duyung, Peramu.

TIMAH (anak Tuk NGAH dan Tokki DOLAH yang kedua) berkahwin dengan SALLEH dan anak-anak mereka ialah MAT TAHIR, RAHMAH, KELSOM dan MAT TAHAR. MAT TAHIR berkahwin dengan HALIMAH dan tinggal di Kampung Sempiat, Tanjung Besar, Lipis. Anak-anak mereka ialah MAZNAH(tinggal di Batu 5, Kuala Lipis), MAT TAHAR atau SALIM (tinggal di Jengka 11), BAHARUDDIN (Bekas tentera dan tinggal di Kampung Mat Kilau, Jerantut), JUNAIDAH (berkahwin dengan MAT JAYA bin ABDUL GHANI dan telah meninggal dunia), REDUAN (tinggal di Balok, Kuantan) dan MALEK ZABANIAH (bekerja Tenaga Nasional dan tinggal di Kelantan). RAHMAH tinggal di Cherok Paloh dan anak-anak mereka HUSSAIN, SIDEK, SELAMAH. Hussain tinggal di Air Hitam, dekat Sungai Belat, Kuantan dan menjadi bomoh patah. KELSOM berkahwin dengan orang Beserah dan mendapat seorang anak bernama ABDULLAH. Abdullah ini hidup membujang dan tinggal di masjid serta meninggal di masjid itu. Kami hanya baharu mengetahui hal ini pada hari kematiannya. Saya sendiri pernah bertemu Abdullah itu semasa kecil. MAT TAHAR anak Tuk Ngah dengan Tuk Salleh yang bongsu meninggal kerana mati lemas di Sungai Pahang.

ZAINAL (anak Tuk NGAH dan Tokki DOLAH yang ketiga) meninggal dunia semasa kecil.

CHIK (Mak Chik) (anak Tuk NGAH dan Tokki DOLAH yang keempat) berkahwin dengan ISMAIL bin MERAH dan tinggal di Ganchong Tengah. Anak-anak mereka ialah MOHD. NOH, ABDUL RANI, dan MINAH. Mohd Noh berkahwin dan tinggal di Pulau Rumput, Pekan dan salah seorang anak lelakinya AHMAD pernah menjadi johan musabaqah al-Quran angkatan tentera; Abdul Rani berkahwin dengan RAZMAH binti BAKAR orang Tanjung Batu dan mendapat anak lelaki semuanya iaitu MAT JAYA, BULAT dan DI. Mat Jaya berkahwin dengan JUNAIDAH binti MAT TAHIR dan selepas kematian Junaidah dia berkahwin sekali lagi dengan Cikgu ZALEHA binti OTHMAN; AMINAH berkahwin dengan SAMUD bin AHAD dan menjadi peneroka di LKTP Bukit Tajau. Anak-anak mereka ialah ZUBIR (seorang guru), NORDIN (seorang guru) dan SALMIAH. Mereka semua tinggal di Felda Bukit Tajau dan di Maran.

TEMAH (anak Tuk NGAH dan Tokki DOLAH yang kelima), yang kami panggil Makteh itu berkahwin dengan MUSA bin BARU (Pakteh MUSA) yang tinggal di Cherok Paloh. Anak-anak Mak Teh Temah ialah MOHD. ALI dan RAFEAH. Abang MOHD. ALI (seorang guru) yang berkahwin dengan JURIAH binti HAJI HASSANUDDIN tinggal di Pekan dan anak-anak mereka ialah NORLIAN, KAMARUDDIN, NORA, NORLIZA dan seorang anak lelaki yang bongsu bernama ... Abang RAFEAH pula berkahwin dengan orang Kuala Pahang bernama IBRAHIM yang bekerja ke laut dan kemudiannya memandu bot tunda membawa bijih besi Jepun dari Chini/Batu Balik ke kapal Jepun yang berlabuh di laut Kuala Pahang. Setelah perusahaan di Chini/Batu Balik itu tutup, mereka berpindah ke Muar membuat kerja yang sama. Pernah sekali semasa perkahwinan KHAIRUL FAIZI di Muar saya mencari Abang Peah di kawasan rumah murah sebagaimana alamat yang diberikannya dahulu dengan bantuan HARON MUSA, tapi tak berjaya. Rupa-rupanya, mengikut Tik, masa itu emaknya sudah meninggal dunia. Anak-anak Abang Peah ialah AINON (kahwin dengan Abdul Rahman dan tinggal di Rancangan Rumah Murah Kuala Pahang); ZALEHA (Tik) berkahwin dengan orang Johor di Bakar Johor Bahru dan YUSOF pada zaman kecilnya tinggal bersama Makteh dan disekolahkan hingga sekolah menengah di SM Ahmad Pekan oleh orang tua itu. Beliau yang berkelulusan arkitek daripada UTM tetapi khabarnya berdakwah sakan dan bekerja sendiri di Johor. Semasa bersekolah dan tinggal di asrama di Pekan, Yusof termasuk kumpulan pelajar pintar yang daif, dan pernah dibantu oleh Ustaz HASSAN bin ISMAIL, warden asrama sekolah tersebut dari segi kewangan dan kemudahan lain. Semasa saya bertukar menjadi Pengetua SM Ahmad, Yusof telah habis pengajiannya di situ dan semasa cutinya dari UTM beliau balik dan menemui saya dan sempat saya bawa ke Ganchong menemui nenek-nenek saudaranya (Emak dan Chu Jeriah). Makteh pada masa itu di rumah Abang ALI bin MUSA kerana beliau diserang penyakit tidak nampak, tidak ingat dan tidak boleh bercakap sedangkah tubuh badannya segar bugar. Keadaan begini kekal sehingga beliau meninggal dunia kemudiannya dan dikebumikan di Permatang Berangan, Cherok Paloh.

JAMILAH (Mak Itam Jamilah) (anak Tuk NGAH dan Tokki DOLAH yang keenam) tinggal di Cheruk Paloh dan berkahwin dengan MAHMUD. Anak mereka ialah AZIZAH yang berkahwin dengan ABDUL RAHMAN. Anak-anak mereka ialah MAT DERIS, SALIM, MAT, NE, NOR, HALIMAH dan SAFIAH.

Emak - (Hajah Tijah binti Dolah)


JAH (anak Tuk NGAH dan Tokki DOLAH yang ketujuh) emak saya, berkahwin dengan ISA bin SUBOH dan tinggal di Kampung Ganchong. Anak-anak mereka ialah OTHMAN (berkahwin dengan RAMLAH binti HITAM sebagaimana yang dicatatkan di atas itu tadi) yang tinggal di Taman Guru, Kuantan dan anak-anak mereka ialah BAHARUDDIN, BAHAZELAN, SHAHRULBARIAH, SAIDATULHANA, BAHAZENAN dan NURULASYIKIN; YUSOF (meninggal dunia semasa kecil); dan YAAKUB (berkahwin dengan NURZIAH SAID) yang tinggal di Taman Guru Kuantan dan anak-anak mereka ialah KHAIRUL FAIZI, MUHAMMAD HAFIZ, FAZIANA AZAH dan FARAH AFIZAN. Kisah lebih lengkap tentang hal ini boleh dibaca dalam fail SEJARAH KELUARGA SEBELAH BAPA dalam bolg ini.

JERIAH (Chu Jeriah) (anak Tuk NGAH dan Tokki DOLAH yang kedelapan) berkahwin dengan TAIB bin ABDULLAH dan tinggal di Ganchong Tengah. Anak-anak mereka ialah ZALEHA (yang berkahwin dengan MANAF atau ABDUL SABAR, orang Salong, dan setelah kematian MANAF, Zaleha berkahwin dengan NOH, orang Ganchong Tengah), MOHD. KHALID (berkahwin dengan HASNAH binti AHMAD, beliau pernah memasuki angkatan tentera iaitu Rejimen Askar Melayu Diraja kemudian diserapkan ke Rejimen Gerak Khas yang mendapat latihan di Indonesia, JAMIAH (berkahwin dengan MUSAWIL bin ABDUL JALIL yang bekerja sebagai Pemandu Pejabat Kesihatan Chini); dan SAADUN berkahwin dengan anak orang Kedah yang tinggal di Ganchong.

* * *

TUK DE (anak Tuk Ganchong dan Tuk Puasa yang ketiga) pula berkahwin dua kali. Dengan suami pertamanya HAMID mereka mendapat anak yang bernama JUSOH (Ayah Long Keteng). Anak-anak Ayah Long Keteng ialah GAYAH dan ABDULLAH. Dolah berkahwin dengan NORMA, anak IBRAHIM bin CHIK (Ayahchik Ibrahim). Mereka kemudian bercerai dan NORMA berkahwin dengan AHMAD bin TAHAR (Pakcik LABOH) dan Abdullah kahwin dengan orang lain. Dengan suaminya yang kedua yang bernama MAHMUD, Tuk De mendapat dua orang anak iaitu ROBIAH (Makoda Yang yang dikenali juga sebagai Yang Pindah dan Yang Cantik) dan TALIB. ROBIAH berkahwin dengan AWANG KECHIK mendapat seorang anak iaitu NORMAH (tinggal di Kampung New Zealand dan berkahwin dengan ABDUL MALEK bin ISMAIL, orang Tanjung Batu). Suami kedua Makoda Yang ialah IBRAHIM, adik kepada Tok Dalam Haji Abu Bakar dan mendapat seorang anak perempuan bernama AZAM. Ibrahim ini ahli Pasukan Polo Diraja dan meninggal dunia semasa bermain polo bersama-sama Sultan Abu Bakar di Padang Polo Pekan. Lama selepas itu Makoda Yang berkahwin pula dengan orang Tanjung Medang bernama ABU BAKAR. TALIB yang berkahwin dengan Anak Tok Bomoh Mat Deris itu menjadi Penghulu dan tidak memperolehi anak. Semua mereka tinggal di Tanjung Rengas, Pulau Rusa.

TUK BAKAR (anak Tuk Ganchong dan Tuk Puasa yang keempat) berkahwin dengan ESAH dan mendapat lima orang anak, iaitu SULONG (Awang Long Longgok) yang berkahwin dengan YANG BIRU yang telah dinyatakan sebelum ini; CHIK berkahwin dengan ALI (Ali Sembilan, yang dikatakan pandai berjerogan - satu kaedah melagukan cerita rakyat dengan iringan tepukan bebana, iaitu cerita yang berjudul JEROGAN atau DAYANG KEKNON serta sedap suaranya berdikir bebana) dan mendapat seorang anak bernama KALIMAH; ASIAH berkahwin dengan MAJID yang tinggal di Benta, Langgar; WOK berkahwin dengan MAT (Mat Engkol yang tinggal di Tanjung Rengas, Pulau Rusa); dan MUDA (Ayah Uda Muda) yang tinggal di tempat yang sama. Ayah Uda Muda ini berkahwin beberapa kali, pertama dengan RAHMAH (anak Ayah Chik Gonjeng) mendapat seorang anak bernama ABDUL MALIK yang tinggal di Felda Bukit Tajau; kedua dengan ZAINAB dan mendapat anak yang bernama MUHAMMAD; ketiga dengan JAMILAH binti KASSIM, orang Pulau Ganchong yang juga dipanggil CHEPAK mendapat seorang anak bernama HAMDAN dan terakhir dengan DIAH mendapat dua orang anak TAN dan TINA yang masih tinggal di Tanjung Rengas. Semua isteri Ayah Uda Muda berpisah secara bercerai hidup, kecuali DIAH yang meninggal baru-baru ini.

TUK KOMAH (anak Tuk Ganchong dan Tuk Puasa yang kelima) pula berkahwin dengan MAMAT dan anak-anak mereka NGAH dan MAJID. Ngah tinggal di Kampung Sawah, Lamir dan berkahwin dengan SELAMAH. Anak-anak mereka ialah MUHAMMAD (Tuk Penghulu) yang berkahwin dengan NAWAL MAIMON binti ABDUL WAHID; PUTIH (nama sebenarnya ROSNI) yang berkelulusan dalam bidang Sains Sosial daripada sebuah IPT di Indonesia yang kini bekerja dengan Dato' Seri Najib; ... MAJID berkahwin dengan ASIAH dan anak mereka ialah MD. DERIS yang bertugas sebagai pegawai hutan. Adik beradik MAMAT yang lain ialah MUSA dan IBRAHIM. MUSA berkahwin dengan PIT (anak HALIMAH) dan mendapat anak MAT SIN (Tinggal di Jengka), MAT JUSOH (Tinggal di Kampung New Zealand) dan seorang lagi yang bernama YUSOF. IBRAHIM pula berkahwin dengan SARIFAH dan anak-anak mereka MUDA, ABDUL LATIF, HAWA dan ISAMAIL. MUDA (Ayahuda Muda) seorang guru berkahwin dengan KHATIJAH binti ABDUL GHANI – adik Cikgu ABU KASSIM) dan salah seorang anak mereka yang bernama TERMIZI seorang yang bertugas sebagai Keptan kapal terbang Royal Brunei yang meninggal kerana terhempas di Sabah. Apabila jenazah Termizi sampai di rumah bapa mertuanya di Pahang Tua, salah seorang bapa saudaranya meminta juga pihak tentera supaya membuka keranda yang disediakan. Akhirnya mereka membuka dan jenazah Termizi dipindahkan ke dalam keranda yang disediakan oleh pihak orang kampung. Betullah mengikut pihak syarikat penerbangan bahawa jenazah Allahyarham itu tidak banyak cedera sebagaimana biasanya orang yang jatuh daripada kapal terbang. Anak-anak Ayahuda MUDA yang lain ialah ANNUAR, HATTA ... dan seorang perempuan ... ABDUL LATIF seorang guru dan kini tinggal di Pekan. HAWA berkahwin dengan HASSAN orang Benta dan tinggal di Benta itulah. ISMAIL seorang pegawai pejabat hutan.

Sunday, February 17, 2008

Peristiwa Manis

Sekolah Melayu Ganchong

Saya belajar di Ganchong sehingga Darjah Enam, iaitu darjah yang tertinggi yang ada di sekolah kampung kami waktu itu. Darjah Enam di Ganchong ini baharu dua tahun dibuka. Sebelum ini murid-murid Ganchong yang hendak menyambung persekolahannya di Darjah Enam kenalah pergi ke Tanjung Medang. Abang Othman pernah bersekolah di situ menumpang di rumah orang. Jarak antara Ganchong dengan Tanjung Medang tidak berapa jauh, tetapi Tanjung Medang terletak di tebing sebelah sana Sungai Pahang. Kalau hendak ke sana terpaksa berjalan ke Pulau Rusa kemudian menyeberang dengan perahu. Cara yang lain ialah menyeberang ikut Pulau Ganchong dan berjalan kaki atau menumpang basikal orang ke Tanjung Medang. Pada masa itu perkhidmatan bas masih belum ada.

Apabila dibuka Darjah Enam, guru sekolah pun ditambah. Cikgu ZAKARIA bin ZAINAL yang mengajar di sini dulu berpindah ke Tanjung Medang, menjadi Guru Besar. Guru Besar baru kami ialah Cikgu MUHAMMAD bin MAN, menggantikan Cikgu MOHD. YUSOF bin DAHALAN. Guru Darjah Enam kami ialah Cikgu ABU BAKAR bin SHARIFF. Dia berasal dari Air Putih, Kuantan. Isterinya orang Kampung Marhum bernama Puan ZAITON, yang merupakan seorang suri rumah. [Salah seorang anak mereka ialah Allahyarham Penyanyi NORSEHA – yang dikenali dengan SEHA]. Cikgu Abu Bakar ini seorang sportsman, dan hujung minggu beliau kerap ke Pekan (atau entah ke mana) berlawan bola. Kadang-kadang hari Isnin beliau tidak mengajar. Kadang beliau masuk kelas dengan terhencot-hencot kerana kakinya sakit akibat bermain bola. Sebelum ini ada Cikgu KHALID ABU BAKAR dan Cikgu ABDUL GHANI ALI (orang Negeri Sembilan) yang bertukar dari sekolah ini. Cikgu Khalid khabarnya bertukar ke SK Luit atau Bawang di Maran dan beliau khabarnya sangat ditakuti oleh orang-orang Komunis yang ramai di sana kerana ilmu batinnya yang begitu ampuh. Cikgu Ghani pernah memberikan Encik mata taut kerana Encik selalu memberi dia ikan baung yang sangat digemarinya. Anak angkat Cikgu Ghani yang bernama ABDUL LATIF bin WAHAB sempat dengan saya di SITC. Beliau masuk Kolej atas kouta Pahang walaupun beliau belajar di Negeri Sembilan. Setelah tamat beliau ditempatkan di Pahang dan tidak lama kemudian beliau bertukar ke Negeri Sembilan pula.

Cikgu Abu Bakar kerap membawa beberapa majalah untuk kami baca. Biasanya membaca majalah ini dilakukan di anjung hadapan Ofis Penghulu, iaitu pada suatu tempat kosong yang seolah-olah untuk dijadikan mahkamah. Keliling ruang itu dibuat jeriji kayu empat segi setelus-telus kepala budak kecil. Kepala kami tidak telus, jadi tidak bolehlah kami keluar ikut jeriji itu. Walau bagaimanapun, suatu hari AHMAD JOHAR bin YUSOF (lihat Tinggal Kenangan II) semasa pelajaran NYANYIAN, menerakkan kepalanya di celah jeriji dan ... pusy! Kepalanya terlepas ke luar. Puas dia menarik balik tetapi tidak boleh. Dia terus meronta-ronta yang menyebabkan usaha menarik keluar semakin sukar. Habis ikhtiar, dia menangis: daripada keadaan tidak sakit bertukar menjadi sakit. Cikgulah yang menolong mengeluarkan kepala Johar dengan menyuruhnya menarik perlahan-lahan.

Semasa Cikgu MUHAMMAD bin MAN menjadi Guru Besar beliau membuat papan kenyataan berwarna hijau tua dan ditulis di atasnya dengan cat putih dalam tulisan jawi nama murid-murid Ganchong yang bersekolah di sekolah Inggeris. Pertama dalam senarai ialah ABU BAKAR bin ZAINAL yang pada masa itu telahpun bekerja sebagai Pegawai Rendah Pejabat Kesihatan, berkahwin dengan Puan MAHIMON binti HARON seorang guru di Claudian Institute Kuantan, kemudiannya bertukar kerjaya sebagai ahli politik dan menjadi Ahli Dewan Undangan Negeri dan Senator. Antara anak mereka ialah Bragidier (U) ABDUL KADIR yang menerima latihan sebagai juruterbang helikopter di Perancis. Yang kedua ialah TENGKU ALI SHAHADAN ENDUT, dan seterusnya ABDUL MUMMID @ ABDUL HAMID bin MUHAMMAD, diikuti seterusnya oleh AHMAD JOHAR bin YUSOF, MOHD. ALI bin KASSIM (anak Tuk Penghulu), SARIMAH binti AHMAD (anak saudara sepupu saya yang kemudiannya menjadi bintang filem pujaan ramai), TENGKU IBRAHIM bin TENGKU ENDUT, dan ABDUL RAZAK bin MUHAMMAD (anak Cikgu Muhammad sendiri). Di kalangan mereka ini, ABDUL HAMID (yang kami sekampung memanggilnya MUMMID) merupakan seorang murid yang paling cerdik. Bapanya telah lama meninggal dan dia tinggal bersama-sama ibu dan kakaknya di Ganchong Ulu. Kakaknya AINON binti MUHAMMAD belajar sekelas dengan saya, juga seorang murid pintar tetapi tidak berpeluang meneruskan pengajiannya, apatah lagi setelah beliau berkahwin dengan sepupunya ZAKARIA bin OMAR, seorang guru. ABDUL MUMMID berjaya hingga melanjutkan ke Form Sixth di Victoria Institution, Kuala Lumpur dan seterusnya ke University of Melbourne, Australia dalam bidang Ekomomi. Dialah anak Ganchong yang mula-mula sekali belajar ke luar negeri, yang kemudiannya diikuti oleh AHMAD KHAN ZAINUDDIN bin SAID (anak saudara sepupu saya juga) ke University of Wales Institute of Science and Techology (UWIST) dalam bidang Kejuruteraan Elektrik dan kemudiannya kursus Sarjana Sains dalam bidang Sounds and Vibrations di University of Southampton; setelah berkhidmat sebagai Jurutera Elektrik dengan JKR beliau menjadi Pensyarah dan Profesor Madya di UTM Jalan Semarak dan Sekudai. Tengku IBRAHIM (keluarganya tinggal di Pulau Ganchong) selepas tamat dari ITM Shah Alam, melanjutkan pengajian dalam bidang Veterinar di University of Massachusettee USA tetapi sepanjang yang saya tahu beliau langsung tidak bekerja dalam bidang kepakarannya ini. Abdul Razak (Dol) pernah bekerja dengan DARA dan telah mendapat latihan khas di Manila, Filipina. [Pada 23 Februari 2008 ini di dalam majlis kenduri perkahwinan anak ABDUL WAHAB bin SULAIMAN (Ayah Dol) di Puteri Inns Rompin tanpa disangka-sangka saya bertemu dengan ABDUL RAZAK dan ABDUL MUMMIT. Saya pada mulanya tidak dapat mengecam Abdul Mummit, tetapi mengenali benar Abdul Razak. Kami sempat menceritakan kisah-kisah lama sehingga hampir-hampir melupakan keenakan juadah hidangan istimewa majlis itu. Mummit, katanya kini menetap di Johor Bahru sementara Razak di Muadzam Shah]. SARIMAH, yang juga seorang pelajar yang cerdas dan bijak, tidak dapat meneruskan pengajiannya kerana berkahwin dengan ZULKEFLI bin Haji MUHAMMAD dan seterusnya menceburkan diri dalam bidang lakonan dan perfileman selepas berhijrah ke Jalan Ampas, Singapura.

Berbalik kisah Cikgu Abu Bakar, majalah yang beliau suruh kami baca ialah Hiburan, Sinaran, Mutiara dan Mestika. Itulah baru pertama kali kami melihat majalah itu. Saya masih ingat, gambar kulit majalah Hiburan yang pada tangan saya hari itu ialah Ribut Rawit. Saya bertanya kepada Cikgu Abu Bakar tentang mengapa nama orang itu luar biasa benar bunyinya. Beliau menyatakan Ribut Rawit itu ialah orang Indonesia dan dia seorang penyanyi yang terkenal. Majalah Sinaran yang diterbitkan oleh Sentosa Press Kuala Pilah menerbitkan rencana mengkritik Dato’ Onn. Saya membaca artikel itu tetapi tidak ingat apa isu yang dikritiknya.

Pada suatu hari Cikgu Abu Bakar mencadangkan kami membeli atlas seorang sebuah untuk kegunaan belajar Ilmu Alam. Harga atlas itu kalau tak salah $4.50 sen. Siapa yang mahu beli boleh, tapi kalau tiada duit tak mengapa. Sebahagian besar kami membayar harga atlas itu setelah berhempas-pulas mengecek ibu bapa masing-masing wang sebanyak yang diperlukan. Seingat saya atlas itu tidak pernah kami terima, sehinggalah kami tamat Darjah Enam. Ya Allah, saya telah lama menghalalkan wang itu.

Dalam tempoh itulah juga datang Cikgu OTHMAN bin ISMAIL, orang Kampung Teluk, Pulau Rusa yang baharu tamat dari SITC. Cikgu Othman berkahwin dengan RAJMAH binti IBRAHIM, anak Ayah Chik Haji IBRAHIM, seorang guru agama di Pulau Rusa, yang masih ada pertalian keluarga dengan kami mengikut jurai sebelah bapa. Cikgu Othman ini mengajar Ilmu Hisab di samping mata pelajaran Senaman dan Kesihatan. Adik beliau ABDUL HAMID bin ISMAIL merupakan rakan sekelas di Ganchong, kemudiannya sama-sama pula di Kuantan dan mendiami asrama yang sama di SITC.

Semasa belajar di SM Ganchong kami terpaksa membersihkan sendiri kawasan sekolah. Sekolah tidak mempunyai sama ada tukang kebun apatah lagi tukang sapu. Untuk tugas ini, murid-murid besar (istilah besar ialah murid Darjah Tiga hingga Darjah Enam) dikehendaki membawa parang ke sekolah untuk menebas rumput di padang atau di kawasan taman. Parang itu mestilah diasah tajam. Inilah masalah besar saya: Emak tidak berapa berkenan saya membawa parang tajam, takut saya luka; sebaliknya memberi saya sebilang parang lading yang payah tajam jika diasah. Orang yang parangnya paling tanam ialah MAHAT bin SIDEK (pangkat cucu saudara sepupu saya, sedangkan umur kami hampir sebaya). Suatu hari ketika balik sekolah Mahat mencuba parang tajamnya dengan mengerat beberapa batang anak pisang Pak Cik Aman yang tinggal dekat sekolah. Pak Cik Aman tahu hal ini dan melaporkan hal itu kepada Guru Besar. Saya tidak ingat sama ada Mahat dihukum atau tidak di atas keterlanjurannya ini. Anak pisang yang dipancas itu bagaimanapun menyurung semula sehari dua kemudian.

Ketika balik dari sekolah kami berjalan beramai-ramai mengikut jalan denai kampung. Biasanya jikalau terasa dahaga kami terus sahaja berlari ke jamban (bukan toilet, tetapi istilah kami bagi tempat mandi-manda di sungai yang dibuat daripada dua tiga batang balakatau beberapa batang buluh dan di atasnya diletakkan papan dan satu kubikal tempat berlindung ketika berkada hajat) dan terus menjunamkan muncung ke dalam sungai meminum air, seperti kebiasaan unta minum! Perbuatan ini dilarang oleh orang tua, tapi kami buat juga. Emak kata, kalau nak minum air di sungai cedok dengan kedua-dua telapak tangan. Kalau minum macam unta itu tadi nanti perut menjadi buncit. Saya memang takut dan tidak suka berperut buncit. Anehnya, meminum air sungai begitu tidaklah pernah kami diserang sakit perut, diarrheoa atau sejenisnya. Mungkin antibodi kami cukup kuat atau air Sungai Pahang memang mengenali sangat dan sayangkan kami anak-anak yang tinggal di kiri kanan tebingnya itu. Kami kerap juga singgah di bangsal hembus Ayah Ngah Mamat (Haji Muhammad) atau Pak Busu Kemaman, menolong mereka menarik hembusan yang menyalakan arang pembakar besi. Kerja ini bukan kerana hendak menolong sangat kedua-dua tukang besi itu, tetapi yang terutamanya kami berkenan melihat api yang marak menyala ketika taran hembus disurung dan ditarik. Berkenan ada, seronok ada, pelik pun ada!

Pada masa itu, selepas bersekolah sesi pagi murid dikehendaki bersekolah agama pada waktu petang. Kelas ini dipanggil Sekolah Quran. Kami diajar al-Quran termasuk tajwid di samping fikah dan sejarah. Buku teks yang digunakan ialah Taalimu al-Sobiyan terbitan Pejabat Agama Pahang. Buku itu kami kena beli tetapi harganya sangat murah: entah berapa sen sahaja. Kehadiran di sekolah ini tidak dipaksa, tetapi kedatangan dicatat di dalam jadual kedatangan. Oleh sebab guru agama itu tinggal di Tanjung Batu, kebanyakan yang hadir ialah murid dari Tanjung Batu. Tiada seorang pun murid Ganchong Ulu dan Ganchong Tengah. Murid dari Kiambang ada beberapa orang dan saya ialah salah seorang daripadanya.

Guru Quran kami ialah Maalim NAWAWI bin LAMBAK. Encik saya kenal baik dengan beliau, dan ini menyebabkan saya tidak berani langsung ponteng atau bermalas-malas; sehingga akhirnya hanya saya seorang sahaja orang Kiambang yang mengaji Sekolah Quran Ganchong itu, yang lain orang Tanjung Batu belaka. Orang Ganchong Ulu, Ganchong Tengah ada tuk guru masing-masing; ada yang belajar di masjid, di surau atau di rumah tuk guru. Salah seorang tuk guru terkenal di Ganchong Hulu ialah Maalim Derahim. Namanya Abdul Rahim. Salah seorang anak beliau ialah Salleh, seorang bekas pegawai Dara. Salleh ini bersekolah di Sekolah Arab al-Ihsan, Kuantan, dan kemudiannya melanjutkan pengajian ke Universiti Malaya. Kalau tidak salah, dialah satu-satunya pelajar sekolah agama yang melanjutkan pelajaran dalam bidang bukan agama di peringkat universiti. Belajar di rumah tuk guru khabarnya sakit sedikit kerana terpaksa mengangkat air dan mencari kayu api untuk keperluan tuk guru. Itu pun tak mengapalah kerana bukannya berat sangat: air diambil dari Sungai Pahang atau dari perigi, sedangkan kayu api bersepah-sepah di keliling rumah.

Sekolah pada masa itu ada peperiksaan tahun yang kami panggil Periksa Besar. Keputusan peperiksaan keluar dalam bentuk Sijil Pangkat I, II dan III. Siapa yang tak lulus tak dapat apa-apa, tetapi dibolehkan mengulang tahun hadapannya. Kerja mengulang inilah yang sakitnya! Sekolah Quran pun ada periksa juga, tetapi tidak diberi sijil, sebaliknya diberi hadiah yang bermacam-macam jenis. Saya pernah mendapat hadiah buku nota (hadiah ketiga) dan pisau lipat (hadiah kedua). Saya suka benar mendapat hadiah pisau lipat kerana memang telah lama saya idam-idamkan, hendak membeli sendiri tak ada duit.

Selain membersihkan kawasan sekolah, ’budak-budak besar’ yang saya katakan tadi juga dikehendaki berkebun. Macam-macamlah yang kami tanam: jagung, terung, mentimun, kacang sepat, kacang benguk, kangkung, keledek, bayam, kacang panjang, lada ... ah, sebut sahajalah!Kebun ini dibuat berpetak-petak dan setiap musim tanaman itu ditukar-tukarkan. Pada suatu musim saya menanam kacang botor. Suburnya bukan main, dengan daunnya yang merimbun-rimbun. Orang kata kacang saya mabuk daun. Kacang dalam keadaan begini kononnya hanya berbuah apabila kedengaran ombak di laut berbunyi. Hinggalah tiba cuti sekolah dan saya terpaksa bersunat, kawan-kawan mengatakan kacang botor saya tumbang dengan junjung-junjungnya sekali, berbuahnya tidak juga. Batang kacang dan junjung itu akhirnya dibakar untuk diganti dengan tanaman lain.

Sekitar 1948 dan 1949 murid-murid diberi minuman susu percuma. Untuk menyediakan minuman panas ini kami diminta secara bergilir-gilir memasak air. Untuk memasak itu, kami juga diminta membawa kayu api sedikit seorang. Apabila tiba ’separuh waktu’ kami dikehendaki membawa cawan atau gelas untuk mendapatkan susu masing-masing. Ada juga budak-budak yang tidak gemar minum susu.

Kesihatan murid-murid sekolah sentiasa dipantau oleh kakitangan Pejabat Kesihatan yang diketuai oleh seorang dreser atau jururawat yang kami panggil misi. Kalau musim air besar rombongan kesihatan itu boleh sampai ke sekolah tetapi jikalah air sungai cetek, bot mereka hanya sampai ke pangkalan Tuk Penghulu di Tanjung Batu. Kenalah kami berarak ke sana untuk diperiksa kesihatan dan diberi ubat. Biasanya penyakit yang menyerang murid-murid ialah cacing, kudis buta, batuk dan demam kura atau malaria. Kami tahu sangat jenis ubat yang bakal diterima: kalau cacing, minyak jarak; kalau kudis buta, belerang yang rupanya seakan-akan marjerin; kalau deman, kuinin. Saya tak tahan benar kalau kena minum kuinin dalam bentuk cecair. Ada juga orang berkutu kepala. Kadang-kadang ada di antara kami yang kena cucuk. Inilah yang paling ditakuti. Ubat kudis yang berbentuk marjerin itu dinasihatkan supaya dimasak dengan sedikit minyak tanah dan masa panas-panas itulah ditonyoh pada kudis buta atau kudis biasa.

Lawatan Sultan
Setahun sekali Sultan Abu Bakar melawat kampung. Ini sudah pasti. Di kampung kami jarang benar baginda bermalam, jadi tiadalah majlis malam yang berupa tari-menari. Keberangkatan Sultan memang ditunggu-tunggu. Pentas tempat baginda bertemu rakyat dihiasi indah secara tradisional, iaitu menggunakan bahan-bahan semula jadi yang berupa daun dan pelepah kelapa, pelupuh buluh, dan yang tidak boleh tidak daun reribu. Semasa majlis mengadap Tuanku mendengar permintaan dan keluhan rakyat. Masa itulah ada rakyat yang memohon Tuanku menjampi kemiyan. Ada dua kes besar yang disembahkan oleh orang kampung kami. Pertama kes PAK DE DERAMAN yang disembahkan oleh isterinya ARPAH binti MUSA. Pak De ini orang Temerloh dan berkahwin dengan orang kampung kami. Suatu ketika beliau berjanji dengan pihak berkuasa (saya tidak pasti sama ada polis ke, tentera ke, atau kerajaan) untuk memujuk MANAF bin SEWANG atau MANAF JEPUN anggota PKM yang bergerila di hutan Pahang kerana beliau mengaku Manaf kawannya sejak kecil. Beliau pun pergilah masuk hutan, entah di kawasan mana saya tidak tahu. Sejak itu khabar berita tentang Pak De tidaklah pernah didengari, sedangkan Manaf terus bergerila, yang akhirnya dia sendiri terbunuh. Arpah kemudiannya berkahwin dengan ABDUL AZIZ anak Tuk Penghulu Kassim yang menjadi SC dan kemudian menjadi salah seorang pegawai Felda Kampung Awah. Saya mendapat tahu ada anak mereka berkedai di Kampung Awah, tetapi saya tidak mengetahui namanya.

Kes kedua ini terkemudian sedikit jadinya. PAK CHIK LABOH yang nama sebenarnya AHMAD pergi menembak rusa di Nenasi. Nenasi memang kawasan banyak rusa pada masa itu. Yang pergi itu ada orang Ganchong dan ada juga orang Nenasi. Dalam berburu itu salah seorang daripada mereka tertembak seorang temannya orang Nenasi yang bernama SALEHUDDIN. Salehuddin meninggal di tempat kejadian. Senapang patah yang digunakan kepunyaan Pak Chik Laboh tetapi bukan dia yang menembaknya. Yang men(tert)embak, konon ceritanya anak saudara Pak Chik Laboh yang bernama ABU KASSIM, yang bukan sahaja tidak ada senapang, malah tidak pun mempunyai lesen menggunakan senapang. Pada mulanya kedua-dua belah pihak bersetuju untuk menyelesaikan hal itu tanpa dibawa ke ’meja hijau’. Tetapi janji mulut tidak tentu mudah ditepati, apatah lagi ini kes berkaitan dengan suatu kematian. Dalam statement polis Pak Chik Labohlah yang mengaku melepaskan peluru buckshot melalui laras senapangnya, demi menyelamatkan anak saudaranya menghadapi tuduhan berlapis-lapis. Pak Chik Laboh ditahan dan perbicaraan mengambil masa yang agak lama. Emak Pak Chik Laboh menggunakan keberangkatan Sultan memohon supaya anak lelaki tunggalnya itu diampunkan. Permohonan orang tua ibu tunggal itu diiringi dengan ratap tangis sehingga ramai orang di kiri-kanannya turut mengesat air mata. Mungkin Sultan pun hendak menangis juga, tapi segan di khalayak ramai.

Pak Cik Laboh kemudiannya dibebaskan dari sebarang hukuman dan bekerja semula sebagai pemandu bot wayang gambar Pejabat Penerangan dan kemudiannya dipindahkan ke Jerantut.

Keberangkatan Sultan ke kampung-kampung sangat ditunggu-tunggu oleh murid-murid (dan guru-guru pun begitu juga gamaknya). Murid-murid dikehendaki berbaris dengan pakaian yang kemas, cantik dan bersih. Bila Sultan lalu, kami mengangkat sembah dan berkata 'Daulat Tuanku!' Sultan biasanya bertanya menggunakan dua perkataan sahaja, ”Apa khabar?” Kadang-kadang tidak sempat dijawab kerana baginda telah bertanya orang lain. Kalau tidak mengenakan baju Melayu, Sultan cuma memakai baju kemeja T, seluar pendek, bersetokin panjang dan memakai topi. Seluar pendek Sultan itu, kalau kami murid-murid yang memakainya mahu menjadi kain selimut, kerana tubuh badan Sultan Abu Bakar sangat besar dan gagah kelihatannya. Tongka seluar pendeknya terletak di bawah dada baginda dan seluar itu hingga ke bawah lutut. Baginda sentiasa tersenyum dan tidak pernah murka. Selalunya guru besar membawa Buku Perharian Sekolah untuk ditandatangani oleh Sultan. Kalau baginda melawat Ganchong, kadang-kadang guru sekolah Pulau Rusa dan Aceh, malah Pahang Tua turut membawa Buku Perharian sekolah masing-masing. Gunanya dibawa buku tersebut ialah untuk Tuanku mencatatkan baginda melawat sekolah dan memberi sekolah cuti sehari keesokan harinya. Baginda tidak pernah bertanya mengapa guru besar yang sekolahnya agak jauh daripada tempat sambutan dan yang murid-murid mereka tidak kena-mengena dengan peristiwa itu turut memohon cuti. Itulah keistimewaan baginda.

Catatan baginda di dalam Buku Perharian Sekolah biasanya sama belaka, baik baginda melawat sekolah di Ganchong, Pulau Tawar, Padang Tengku atau Bukit Mat Daling. Bunyinya begini:

14.9.52. Telah melawat sekolah hari ini dapati kedatangan murid 150 daripada 162 orang rumah sekolah baik dan bersih. Sekolah di-tutop satu hari pada 15.9.52

t.t.
Sultan Pahang


[Diturunkan semula di sini daripada Buku Perharian Sekolah Melayu Serandu, Pekan]

Tuanku Sultan menulis di dalam Buku Perharian Sekolah dengan tulisan rumi, tetapi kadang-kadang baginda ada menulis dengan tulisan jawi, namun perkataan yang ditulisnya tetap sama.

Kehadiran rakyat semasa keberangkatan Tuanku amat luar biasa. Semua orang kampung keluar menyambut baginda. Semasa majlis mengadap bukan semua yang dataang untuk memohon sesuatu tetapi mereka datang membawa buah tanngan untuk raja mereka yang disayangi itu. Hal begini pernah saya menyaksikannya sendiri semasa mengajar di Jerantut dan Padang Tengku. Di Jerantut ada seorang orang tua menyembah mengatakan dia telah lama sangat batuk dan tidak baik-baik. Dia memohon Tuanku tolong menjampinya dan menjampi air tawar di dalam botol yang dibawanya. Seorang lain yang datang dari Kampung Pagi membawa minyak sapi yang dibuatnya sendiri untuk dipersembahkan kepada baginda. Di Padang Tengku saya nampak seorang lelaki yang berumur kira-kira 80 tahun membawa madu lebah di dalam beberapa botol kaca bertutup sabut untuk Tuanku. Suami ibu saudara saya (Taib bin Abdullah)pernah menyimpan duriannya yang paling besar untuk dibawa ke Pekan menyembahkan bagi santapan Tuanku dengan mengayuh basikal king sizenya. Tuanku mengurniakan beliau $40.00 untuk penat lelahnya itu. Seorang teman saya Dato’ MOHD. MOKHTAR bin ABU BAKAR yang tinggal di Pancor Pekan memberitahu saya semasa musim rambutan, di sekeliling rumahnya banyak pokok rambutan berbuah. Adik-beradiknya dilarang memetik rambutan sehinggalah bapanya memastikan rambutan cukup masak dan memetik untuk dipersembahkan kepada Tuanku. Selepas itu baharulah anak-anaknya dibenarkan memakan rambutan.

Keberangkatan Tuanku ke kampung-kampung di sebelah ulu biasanya menyebabkan baginda bermalam; kalau tidak di Rest House, rumah Pegawai Daerah atau bermalam di dalam house-boat yang kami panggil kenaikan. Dalam keadaan yang demikian biasanya dalam rombongan baginda itu turut serta anak-anak joget. Hiburan berjoget dijalankan selepas majlis makan malam. Sesiapa sahaja boleh berjoget tanpa dikenakan sebarang bayaran. Setelah malam semakin ke penghujungnya tarian joget bertukar menjadi dansing pulak. Majlis lewat malam itu biasanya khas untuk Tuanku dan pembesar-pembesar yang mengiringi baginda sahaja. Tok Bijaya (Tuan SAIYID AHMAD bin SAIYID ABDULLAH AL-HABSYI) selalu menyanyi lagu Enjit-enjit Semut semasa Tuanku berjoget. Ada orang kata lagu itu Tok Bijayalah yang menciptanya. Ada sebuah lagi lagu joget yang popular dinyanyikan dalam majlis yang dihadiri oleh Sultan, iaitu Joget Kapal Terbang, yang katanya digubah oleh seorang Orang Asli. [Dato' Sri MOHD. KHALIL YAAKUB semasa menjadi Menteri Besar Pahang suka dan kerap menyanyikan lagi Joget Kapal Terbang ini. Seorang lagi yang sedap menyanyi lagu ini ialah DOL, seorang pekerja SM Tengku Abdullah Pekan yang menjadi ahli pasukan muzik asli Muzium Pakan]. Saya berkawan baik dengan salah seorang cucu Tok Bijaya yang bernama SAIYID ABDUL RAHMAN bin SAIYID ISHAK; tetapi beliau tidak pandai menyanyi lagu Enjit-enjit Semut dan saya tidak pernah melihat dia menari joget. Kuah tidak semestinya tumpah ke nasi; ada yang tumpah ke bawah rumah dan ada pula yang dihirup kucing!

Tidak kena jika saya tidak menceritakan kisah saya berkhatan. Biasanya jarang orang berkhatan seorang, kalau boleh kena cari beberapa orang. Kebetulan ada dua orang kawan kira-kira sama umur dengan saya ingin berkhatan sama. Seorang bernama MD. YUNAN bin DAUD dan seorang lagi RAMLI bin TALIB. Md Yunan anak yatim piatu dan masih ada hubungan kekeluargaan dengan kami. RAMLI anak yatim, ibunya telah lama meninggal dan dia dipelihara oleh ayah serta kakaknya yang telah pun bersuami. Beberapa bulan sebelum Md. Yunan berkhatan dia mengail ikan potak, tanpa disengaja mata kailnya tersangkut pada lengan kiri dan menusuk daging lengannya. Tidak siapa yang berani menanggalkan mata kail itu. Dia terpaksalah membawa mata kail di lengannya ke hulu ke hilir, termasuk tidur baring dan pergi ke sekolah sehingga bahagian yang kena mata kail itu menanah. Lekatlah namanya 'Mat Yunan Potak'. Mata kail di lengannya hanya boleh ditanggalkan setelah rombongan perubatan datang ke sekolah. Mudah sahaja dibuatnya: bahagian mata kail yang berwit itu ditekan ke luar kemudian dipotong dengan ragum. Buntut mata kail itu senang sahaja menanggalnya. Md. Yunan tentulah sakit menahannya. Tak lama selepas itu kena sunat pula.

Pengalaman bersunat tidak banyak yang hendak saya katakan. Sama seperti kebanyakan budak lelaki yang lain. Yang saya tak tahannya ialah ketika tanggal pundang. Berjam-jam benda itu berendam, susah nak tanggal pembalutnya. Pada saat kritikal itu Encik memanggil pasukan dikir bebana. Dalam sayup-sayup suara pedikir yang mendayu-dayu itu, akhirnya proses tanggal pundang itu selesai. Saya masih ingat, alat memudahkan tanggal pundang ialah air panas suam-suam kuku yang dimasukkan daun nyenyarum di dalamnya. Kemudian kami dikehendaki mencolek bekas luka itu dengan hujung bulu ayam. Semuanya ini dikerjakan secara perlahan-lahan.

Saya bersunat semasa dalam Darjah Empat. Lepas bersunat memang rasa lega benar. Suatu petang kami mandi di sungai dan terjun ala tarzan daripada sebatang pokok yang condong menghala ke air. [Nota: semua yang mandi petang itu telanjang bogel, kerana hanya orang dewasa sahaja yang menggunakan kain basahan ketika mandi di sungai; itu pun, meling-meling ada juga yang ingkar]. Saya terjun sekali dua sahaja, tetapi Md. Yunan menunjukkan terornya bukan main petang itu. Malam itu khabarnya anunya berasa panaa, merah dan membengkak. Keesokann harinya saya sempat diberikan kebenaran melihat benda yang merah membengkak itu. Mujurlah keadaan ini cuma untuk beberapa hari sahaja, selepas itu kembali seperti sediakala.

Persahabatan saya dengan Md. Yunan semakin erat selepas bersunat. Kami bersama-sama memikat burung ciak tidak berapa jauh dari rumahnya yang telah lama ditinggalkan, iaitu sejak kematian ayah dan ibunya dahulu. Hari itu kami dapat beberapa ekor burung ciak. Menunggukan cebak mengena, kami cuba-cuba memanjat kelapa. Saya yang belum pernah memanjat kelapa ini tiba-tiba hari itu mampu naik ke pucuk kelapa. Setelah menurunkan beberapa biji kelapa muda, saya cuba untuk turun. Saya mula merasakan kesukaran untuk turun itu. Cuba punya cuba, tangan saya terlepas dari pegangan dan jatuh ke atas atap dapur rumah Md. Yunan, terus jatuh ke tanah. Saya pingsan. Apabila sedar, kami bermesyuarat dan bersepakat untuk tidak memberitahu keluarga saya tentang kejadian itu.

Malam itu saya mengerang. Demam dan sakit. Sebabnya orang lain tak tahu. Selepas dua hari merana itu Md. Yunan memecahkan tembelang kami dengan memberitahu Emak dan keluarga kejadian sebenar. Rupa-rupanya dalam hal berjanji, kalaulah tidak ada surat perjanjian hitam-putih dan bermati setem memang tak boleh diharap! Saya terpaksa menahan malu kena marah dan pada masa yang sama menahan sakit. Emak membawa saya malam-malam ke rumah Mokda Dayang dan kemudian ke rumah Makcik Chik (kedua-duanya emak saudara saya, yang satu sebelah Encik dan yang satu lagi sebelah Emak). Untunglah saya tidak patah, cuma sakit-sakit memar begitu sahaja. Beberapa hari saya tidak bersekolah. Abang Othman tak berapa boleh sangat marahkan saya kerana beberapa tahun sebelumnya dia sendiri mengalami peristiwa seakan-akan yang saya alami, hanya bezanya dia dengan kawan-kawannya bermain kayu canggung, iaitu kayu yang tumbang tetapi bahagian hujungnya terjungkit. Di situlah mereka menghenjut dan menadpat kenikmatan daripada turun-naiknya kayu itu. Dalam pada itu kayu yang dihenjut patah dan peha abang ditikam kayu yang menanti

Kalau berpeluang diajak pergi ke Pekan tak bolehlah digambarkan kegembiraannya. Biasanya kami pergi ke Pekan untuk menjual getah. Sebelah petang sebelum bertolak getah keping telah disusun dan diikat kemas dengan pengikat rotan sega atau rotan tawar berbelah empat. Kalau banyak getahnya Encik akan meminta seseorang untuk tolong menghantar ke pengkalan atau ke motor. Biasanya Encik berjanji lebih dahulu dengan tuan motor supaya singgah di pengkalan tempat kami menunggu pagi-pagi esok. Kalau tidak motor Mat Gajah, motor Abu Kassim, motor Awang Kassim, motor Jusoh Othman Coteng, motor Atah atau motor Awang Ali. Dulu Tok Mukim Sulaiman ada juga membawa motor, tetapi dia telah berhenti kerana selalu menghidap asma atau lelah. Tambang motorbot ke Pekan 50 sen sahaja. Budak-budak 20 sen. Setibanya motor di Pekan berebut-rebut kuli kedai Gek Seng mengangkat getah. Kemudian kami ikut naik dan melihat mereka menimbang getah dan membayar harganya. Sebelum itu, kami kerap dibeli air batu kepal atau air sirap biji selesih yang dijual oleh mamak di tepi tebing sungai Pahang, dekat tempat motor kami berlabuh. Setelah siap baharulah kami berjalan-jalan dan membeli-belah. Biasanya kami singgah minum dulu di kedai makan yang kami panggil pencaus. Kemudianlah baharu saya tahu bahawa pencaus itu sebutan Melayu bagi perkataan Inggeris pant-huose. Motor biasanya mudik kira-kira pukul 2.30 petang, iaitu setelah nelayan sampai dari laut dan menjual ikan di pasar. Ikan yang dijual semuanya fresh belaka, tak ada yang kena air batu sebagaimana sekarang. Setelah siap membeli ikan kami kembali ke motor untuk bersiap mudik. Satu benda yang Emak jarang-jarang tidak membelinya ialah kari dari kedai keling (kari mamak); sama ada kari ikan mahupun kari daging. Kari itu dimasukkan ke dalam tin susu yang telah dibersihkan dan diberi bertali untuk tempat menjinjing pada penutup tin itu. Kari ini sedap dan luar biasa rasanya pada lidah kami, dan menjadi lebih luar biasa ketika dimakan di kampung nanti.

Khidmat motorbot ke Pekan diusahakan oleh beberapa orang. Mula-mula yang ada motor ialah Othman Choteng, iaitu seorang mualaf Cina. Ada juga yang menyebut beliau sebagai 'Othman Buaya'. Beliau tinggal di Belatong, iaitu di bahagian sebelah hilir Tanjung Medang. Dia mempunyai kemahiran dalam hal mekanik. Kerosakan enjin motornya dibaiki sendiri. Dua orang anaknya Ibrahim (dipanggil Berahim Pomen) dan Jusoh turut menjalankan perkhidmat ini, secara bergilir-gilir.

Di Ganchong sendiri ada Mat Gajah yang tinggal di Ganchong Ulu. Motorbot Mat Gajah kemudian dibawa oleh anaknya Mat Nor. Abu Kassim juga pernah membawa motorbot Mat Gajah. Sebuah lagi motor yang baru dan selesa dengan enjin Yanmar bernama Sinaran adalah kepunyaan Kassim bin Abdul Rahman, anak Pak Chik Aman yang tinggal dekat sekolah. Motor inilah yang paling diminati dan ramai pelanggannya kerana selain daripada budi bahasa dan tutut kata 'Awang' Kassim sangat baik dan mesra; tambangnya pun tak berkira sangat. Beliau masih muda dan belum berumahtangga. Awang Kassim dibantu oleh Roslan menjalankan motorbotnya ini. Suatu hari, ketika hendak disinggahkan di Tanjung Medang, motornya terlajak. Awang Kassim meluru menahan motornya, takut rosak terlanggar tebing. Motor yang mempunyai kekuatan kuda enjin baru itu tidak mudah dikawal dengan tenaga manusia biasa, lalu melanggar bahagian badannya. Beliau parah, dan pada masa itu beliau muntah 'tahi gagak'. Beberapa hari kemudian Awang Kassim meninggal dunia dan motorbot baru itu entah siapa yang membelinya.

Atah orang Tanjung Medang dan motorbotnya terbesar saiznya bernama Penadah, yang bunyi enjinnya sangat kuat tetapi lajunya tidaklah seberapa. OTHMAN bin Haji MUHAMMAD (Awang Pisang atau Awang Borek) yang tinggal di Permatang Lanjut mempunyai kebolehan dalam hal mekanik juga pernah membawa motorbot. Awang Ali yang tinggal di Teluk juga merupakan pengusaha perkhidmatan motorbot ke Pekan.

Ada juga motorbot yang kawasan perkhidmatannya dari Pekan sampai ke Lubuk Paku, Chenor hingga ke Temerloh, tetapi tidaklah setiap hari. Salah satunya ialah kepunyaan Mak Chik Amah. Beliau satu-satunya pengusaha motorbot wanita di kawasan ini. Beliau sendiri yang menjalankan enjin dan memandu motornya itu. Khabarnya Mak Chik Amah ini emak kepada MANAF JEPUN anggota Rejimen Ke-10 PKM yang berpusat di Pahang yang disebutkan di atas tadi. Yang seronoknya menaiki motor Mak Chik Amah ini ialah adanya hidangan makanan tengah hari. Setelah bertolak dari Pekan, sebaik-baik sahaja sampai di kawasan Benta, Makcik Amah mulalah menanak nasi dan menjerang sayur lemak labu serta menggoreng ikan masin. Hidangan ini sangat menyelerakan. Sampainya motorbot iyu di Pulau Rusa makanan mula dihidang. Air minum air sungai itulah, atau kadang-kadang air kopi o. Mak Chik Amah tidak mengenakan sebarang bayaran tambahan untuk hidangan tengah hari itu. Budak-budak muda berkata, laju makan dalam motor Mak Chik Amah, kalau selera tak laju, motor itu sendiri sudah tentu lajunya.

Semasa di Pekanlah kami berpeluang melihat macam-macam benda luar biasa yang tidak terdapat di kampung kami: polis, motokar, lori, stemrol, kereta lembu, teksi (beca roda tiga) dan beca. Kadang-kadang kami berpeluang melihat pekerja-pekerja PWD menggolek tong minyak tar di tengah-tengah bandar Pekan itu untuk dibawanya entah ke mana. Kalau nasib baik mungkin kami terserempak dengan Sultan Pahang (Sultan Abu Bakar) atau Tuanku Ampuan Fatimah yang menaiki kereta besar bertulis H.H.PA yang kemudiannya diganti kepada H.H.Sultan Pahang dengan bendera peribadi baginda berkibar megah di bahagian hadapan kereta itu.

Kalau ke Pekan ketika hampir hari raya, kami mesti dibeli songkok dari kedai Haji Mohd. Jamil, salah sebuah kedai orang Kampar di Pekan. Saya menaruh perhatian yang khas kepada Tuan Haji Jamil ini tentang pakaiannya. Beliau memakai ketayap putih, berbaju panas T putih yang terbuka dan berbutang pada bahagian dada, berkain pelikat yang diikat dengan tali pinggang kain bersaiz lebar berwarna hijau tua sebagaimana tali pinggang yang dipakai oleh bakal haji sekarang. Saya tidak pernah melihat Tuan Haji Jamil berpakaian selain daripada yang saya katakan itu tadi. Selain songkok, Haji Jamil juga menjual kain pelikat cap gajah, kain batik jawa, kopiah, bedak sejuk Zarado, Minyak Geliga, tasbih, kitab agama dan al-Quran. Kalau membeli al-Quran biasanya tidak boleh ditawar, takut nanti ilmu yang dipelajari menjadi 'tawar'; sedangkan barang-barang lain boleh ditawar-menawar.

Kalau semasa hilir ke Pekan kami melalui Pekan Seberang (Peramu dan Pulau Jawa sekarang) untuk menurunkan penumpang ke Kuantan menaiki bas Bee Huat; dan masuk ke Pekan melalui Pulai Enjin. Semasa balik kami melalui Sungai Mat Dulang, iaitu dari bandar Pekan melalui hadapan Rumah Pasung, Istana Kota Beram, Sungai Parit yang selalu hitam airnya itu, Masjid Abdullah, Pejabat Agama Islam Pahang yang sebahagian daripada bangunannya dibina di dalam sungai, melintasi beberapa rumah keluarga raja dan kawasan perkampungan serta pondok pelajar agama di Kampung Mengkasar terus ke Sungai Mat Dulang dan mudik ke Pulau Keladi, Belatung, Tanjung Medang, menyeberang ke Pahang Tua ke tempat yang Pak Zek panggil Air Berbagi langsung ke Teluk, Pulau Rusa, Tanjung Batu dan sampailah ke Ganchong. Biasanya kami sampai ke rumah kira-kira pukul 6.30 petang, tetapi jikalau air surut perjalanan itu menjadi lebih panjang yang mungkin menjangkau ke pukul 9.00 atau 10.00 malam.

Salah satu peristiwa yang menarik dalam kehidupan kampung ialah ketika orang menyembelih kerbau atau lembu. Ramai orang kampung kami tak berapa suka makan daging lembu, kerana kononnya bisa; jadi kerbaulah menjadi pilihan. Menyembelih kerbau ini bukannya kerap sangat. Biasanya apabila tiba musim hari raya, menyambut puasa atau ada kerbau yang luka dan seumpamanya. Ada dua sistem menyembelih, iaitu secara pelupuh dan syer. Kalau pelupuh kerbau atau lembu itu disembelih dan daging, tulang serta perkakas dalamnya dijual secara terbuka. Cara ini jarang-jarang dilakukan. Yang lebih kerap ialah cara syer: seseorang yang mengepalai penyembelihan ini menemui seorang demi seorang bertanya sesiapa yang berminat masuk syer. Harganya $10.00 sahaja satu syer. Setelah kerbau atau lembu disembelih, dagingnya dibahagi-bahagikan mengikut bilangan syer. Kemudian ditolak daging gemusir dan daging leher serta sedikit hati dan jantung untuk diberikan kepada Tuk Penghulu dan tukang sembelih. Bahagian yang tersisa: kepala, tulang rusuk, perkakas dalam, perut besar, perut kecil, limpa (kami panggil kura), peparu, tulang kaki, tulang sena dan sebagainya semua dilelong. Dapatan hasil lelong ini dimasukkan ke dalam kira-kira dan ditolak pada harga syer. Ini bermakna syer $10.00 tadi tidak sampai sebanyak itu: mungkin $6.00 atau $5.00 sahaja, terpulang kepada kepandaian tukang lelong. Di kampung saya yang pandai benar melelong ialah Ayah Ngah AWANG NGAH. Kalau dia melelong memang tak rugi punya. Satu lagi kepandaiannya ialah mengegak berat kerbau atau lembu dan berapa pikul daging boleh didapati selepas dilapah. Telahannya sentiasa tepat atau hampir-hampir tepat. Orang lain yang pandai semacam Awang Ngah ialah ALI MUALAF (salah seorang Cina mualaf di kampung kami yang berkahwin dengan orang Tanjung Batu) dan JENAL MINANGKABAU yang tinggal di Lamir. Orang yang berdua ini jarang terlibat dengan kerja penyembelihan di kampung kami.

Dalam tahun 1952 murid sekolah kami semakin bertambah. Orang-orang kampung bermuafakat untuk membina sekolah tambahan. Ketika itu orang-orang kampung meramu kayu di hutan. Mereka mencari kayu bulat dan kemudiannya mendapatkan papan. Maka tidak berapa lama terdirilah sebuah sekolah yang boleh memuat empat buah kelas. Bangunan ini dibina di bahagian sebelah darat sekolah asal. Lantai bangunan ini adalah lantai tanah yang dimampatkan dengan cangkul. Tidak lama kemudian kemampatan tanah itu bertambah elok kerana dipijak oleh murid-murid dan guru-guru. Saya adalah salah seorang yang memijaknya. Saya sempat bersekolah di bangunan baru ini beberapa bulan sebelum saya berpindah ke Kuantan untuk menyambung pengajian dalam Darjah Tujuh. Dengan perpindahan ini selesaikan cerita saya bersekolah di SM Ganchong. Saya kembali semula ke sekolah ini tahun 1962 tetapi kali ini sebagai seorang guru yang terlatih di SITC pula.

Pahang ada empat buah sekolah sahaja yang ada Darjah Tujuh, iaitu Pekan, Kuantan, Temerloh, dan Lipis.

Saturday, February 16, 2008

Lembah Bernam Yang Nyaman


ASRAMA PATEH GAJAH MADA
Ke Tanjong Malim
SITC Tanjong Malim. Nama yang sangat gah dalam kalangan masyarakat Melayu sebelum merdeka. Ibu bapa (termasuklah ibu bapa saya) hendak sangat anak-anak mereka dipilih masuk ke maktab itu. Menjadi guru merupakan sesuatu yang dicita-citakan oleh pemuda-pemuda sekolah Melayu kerana kalau tidak dapat, pilihan untuk menjadi kakitangan kerajaan hanyalah bekerja sebagai peon, buruh pejabat hutan, bomba, askar (pada masa itu istilah ’tentera’ masih belum digunakan), polis atau melencong ke arah kerja kampung, iaitu satu kerjaya turun-temurun.

Sebelum bertolak disediakan keperluan asas. Bag pakaian tak payah dibeli kerana bag abang OTHMAN semasa dia belajar di Junior Technical (Trade) School, Maxwell Road, Kuala Lumpur itu masih boleh dipakai. Ada arahan supaya membawa kasut sukan, baju melayu, baju bersukan. Semuanya bolehlah dikatakan ada. Kain samping boleh dibeli di Kolej. Ada juga arahan suruh beli blazer berwarna biru tua, tetapi itu semua boleh dibuat di Tanjong Malim, kata kawan-kawan. Buat di sana boleh bayar ansur. Tidak pula dipesan supaya membawa buku-buku; tetapi mereka yang berminat dengan muzik bolehlah membawa alat muzik masing-masing seperti biola, gitar, akordian, trompet, atau apa sahaja. Saya berminat dengan muzik tetapi tidak pula mempunyai sebarang alat. Saya boleh meniup harmonika sedikit-sedikit, tetapi harmonika tidak termasuk dalam senarai. Itu alat muzik budak-budak, fikir saya. Saya ada berminat untuk bermain ekordian, tapi dengar-dengar harganya mahal sangat. Tak terbelilah saya.

Sebagaimana biasa, Emak dan Encik membuat kenduri kesyukuran dan arwah pada malam yang keesokan harinya saya akan meninggalkan kampung. Jemputan sebagaimana biasa: saudara-saudara keliling rumah. Abang Asiah yang paling banyak membantu dalam hal masak-memasak. Malam itu juga Abang Asiah tolong menggosok baju dan seluar saya menggunakan setertika arang. Seterika itu dia yang punya kerana kami tidak mempunyai seterika.

Bergambar ramai sebelum melanjutkan pengajian ke SITC (1957)
Maklumat Awal

Barisan belakang dari kiri: Taib Abdullah (suami ibu saudara saya), Othman Isa (abang saya), Isa Suboh (bapa saya). Hussain Haji Aris (sepupu saya - rumahnya tempat menumpang tinggal selama di Kuantan), Hashim Sidek (teman sesama menumpang, pelajar sekolah swasta Claudian Institute).

Baris tengah dari kiri: Mohd. Bukhari Hussain, Jah Dolah (emak saya), Yaakub Isa, Khamisah Md. Arof (isteri Abangteh Hussain).

Kanak-kanak kecil di hadapan dari kiri: Kamaluddin Taib (anak saudara saya), Salbiah Hussain (anak Abangteh Hussain, kini Datin Salbiah, Pensyarah Kolej Koperasi, isteri Dato' Mohd. Hilmi Mohd Taib) dan Mohd. Zahidi Hussain (Penghulu Kuantan).

Saya telah mendapat serba sedikit maklumat tentang institusi ini: tentang tenaga pengajarnya, sistem kehidupan hariannya, keindahan kampusnya, kenyamanan cuaca dan kesejukan hawa Banjaran Titiwangsa yang mempengaruhinya, tradisi yang menunjangi sosio-budaya masyarakatnya dan tokoh-tokoh di kalangan pelajarnya. Cikgu ABDUL RAHMAN bin OMAR, Guru Pelawat Kuantan menceritakan sebelum masuk maktab dahulu, beliau pernah bermimpi lantai dewan SITC seperti corak papan catur, dan alangkah terkejutnya apabila beliau sampai ke sana, dilihatnya lantai dewan itu betul-betul seperti mimpinya!

Saya sendiri tidaklah pula sampai bermimpi begitu, tetapi saya pernah menulis surat kepada ABDUL RAHMAN bin KADIR budak Kampung Awah yang pada masa itu mengajar di SM Temerloh dengan lakaran bangunan SITC. Surat ini dikirim selepas kami berkenalan semasa peperiksaan masuk maktab yang diadakan di Kuantan. Masa itu dia menginap di Hotel Capitol, Jalan Bukit Ubi, dekat panggung Cathay. Saya tidak ingat dia tidur sebilik dengan siapa, tetapi yang saya ingat malam itu dia kencing ke bawah ikut tingkat hotel yang menghala ke jalan raya! Dan kami memang berteguh janji untuk bertemu di Tanjong Malim. Surat saya dengan lakaran itu ditunjukkannya kepada guru besarnya (Cikgu ABDULLAH bin MUHAMMAD) yang mengatakan lakaran itu betul-betul sebagaimana bangunan maktab yang sebenar.

Orang kampung saya ada beberapa orang yang lulus dari SITC. Mereka ialah Cikgu ZAKARIA bin ZAINAL, Cikgu MOHD. SAID bin ARIS, Cikgu YUSOF bin MAT, Cikgu ABDUL RAHMAN bin JAAFAR, dan terakhir Cikgu ZAINUDDIN bin JUMAAT. Cikgu Abdul Rahman (orang kapung memanggilnya Cikgu Deraman Tea?t) pernah datang ke sekolah semasa cuti kolej dan mengajar kami menyanyi. Saya masih ingat begitu bersemangatnya beliau mengajar sambil mengetuk-ngetuk buku kecilnya pada papan hitam sehingga tulang belakang buku itu pecah-pecah berserunyai. Orang-orang itu meninggalkan kesan atau gambaran kepada saya bahawa SITC/MPSI sesungguhnya hebat.

Meninggalkan Kampung Halaman
Kami tidak pergi ke Tanjong Malim menaiki bas, tetapi menggunakan teksi. Teksi pulak teksi sapu, kerana lebih senang kira-mengira. Tuan punya teksi itu ialah orang Tanjung Besar berbadan pendek kerana bahagian belakangnya membonjol menjadikan dia agak bongkok. Beberapa orang penuntut senior menguruskan perjalanan, dan kami menurut sahaja. Perjalanannya sangat mencemaskan: selepas bertolak dari Kuantan, menaiki feri di Sungai Kuantan, belum pun sampai ke Gambang telah ada orang mabuk. Kalau ada seorang mabuk, mudah sangat orang lain mabuk ikut sama! Perjalanan selepas Bentong menyeberangi Banjaran Titiwangsa sangatlah menyiksakan. Jalannya seperti ular kena palu. Sampai di Kuala Lumpur terus ikut Jalan Ipoh untuk ke Tanjong Malim melalui bangunan Golden City. Biasanya sampai di situ tidak ada apa lagi yang hendak dimuntahkan. Yang keluar angin dan cecair yang pahit kekuningan macam rasa hempedu. Masa itu rasanya kalau nak mati pun saya rela. Badan jadi lembik-lotek. Nak baring mana boleh keran kerusi belakang kereta ada empat atau lima orang (itulah sebabnya kami lebih senang memilih teksi sapu).

Ada satu tektik yang diajar oleh para senior kami tentang keuntungan kami pergi balik menggunakan teksi sapu. Mereka mengatakan pihak Kolej membenarkan orang-orang Pahang tidak menggunakan tiket waran kereta api kerana kampung kami berselerak. Kami dengan itu boleh membuat tuntutan naik motorbot, bas, beca roda tiga yang kami panggil teksi dan teksi sapu tanpa mengemukakan tiket atau sebarang dokumen sebagai bukti. All in all, pergi balik kami boleh menuntut sekitar $200.00, sedangkan kami membelanjakan tidak sampai separuh.

Perkara tuntutan perjalanan ini pernah menjadi ejekan daripada kawan-kawan negeri lain. Mereka mengatakan orang-orang Pahang boleh menuntut pelbagai jenis kenderaan untuk pergi dan balik ke maktab, termasuklah tambang menaiki gajah dan buaya! Mereka gemar mengejek Pahang sebagai negeri mundur yang penuh hutan rimba dan harimau gajah sementara sungainya penuh buaya. Pelajar-pelajar negeri lain menggunakan tiket waran menaiki kereta api.

* * *

Ada masanya kami berhenti juga makan dalam perjalanan: kalau tidak di Temerloh, di Mentakab. Saya tak berapa suka (malah takut) makan di Mentakab kerana selalu dikacau oleh seorang perempuan kurang siuman dan peminta sedekah yang bernama DAYANG. Dayang selalu berbusna luar biasa dengan mengenakan bunga raya merah atau bunga kertas di kepalanya. Dia selalu meminta duit atau rokok. Kalau orang menjawab rokok tiada tapi cerut ada, reaksi spontan dia ialah mengatakan cerut ’itu’ dia tak hendak. Dia fahamkan makna cerut secara dua lapis. Kami juga kerap berhenti makan di kedai Haji Abdullah (ayah kepada Dato’ Dr. FIRDAUS ABDULLAH) di Melaka Street. Pulut dan rendang dia sedap, tetapi nak makan beria duit kami bukannya banyak sangat.

Bertolak gelap subuh tadi, sampai di Tanjong Malim dah pukul lima petang. Tiada siapa yang menyambut dan memberikan bantuan arah kepada kami. Kami cari sendirilah mencari bangunan yang bernama Pateh Gajah Mada itu.

Sebenarnya terdapat enam buah asrama atau rumah kediaman penuntut Kolej ini, yang dibahagikan kepada dua bahagian. Setiap bahagian dikenali dengan istilah tadah. Yang terletak di bahagian utara dipanggil Tadah Utara sementara yang satu lagi Tadah Selatan. Setiap tadah ada pula tiga blok asrama yang bahagian pangkalnya bersambung pada satu terminal yang membentuk sebagai sebuah arena kecil. Setiap blok asrama diabadikan dengan nama tokoh dari dunia Melayu yang terbilang, di samping dikenali juga dengan Rumah A (Bendahara Seri Maharaja), Rumah B (Pateh Gajah Mada). Rumah C (Munsyi Abdullah), Rumah D (Tun Perak), Rumah E (Tun Seri Lanang), dan Rumah F (Hang Tuah).

Setiap orang – termasuklah saya – sangat mengharapkan agar ditempatkan di Rumah Hang Tuah. Asrama ini mempunyai reputasi terbaik terutama dalam bidang sukan, kerana kehandalannya tidak pernah terkalahkan oleh mana-mana asrama untuk tempoh bertahun-tahun lamanya! Harapan saya itu tidak tercapai kerana di dalam surat tawaran saya ditempatkan di Rumah Patih Gajah Mada (PGM).

Selepas mendapat tahu saya ditempatkan di asrama PGM dulu, saya menemui WAN MUHAMMAD bin WAN ABDULLAH yang baharu tamat daripada SITC bertanyakan kalau-kalau dia mempunyai kawan lama yang boleh saya tumpang bernaung atau mendapatkan pertolongan dan bantuan semasa saya di asrama itu, setidak-tidaknya bagi seminggu dua yang pertama, untuk beliau perkenalkannya kepada saya. Wan memberikan nama dan alamat BAHARAL-DIN bin SAMIAN, orang Batu Pahat. Tanpa malu dan segan saya terus mengirim surat (atau poskad, saya tidak pasti) kepada beliau. Kalau tidak salah ingatan, ada Baharal-din menjawab kiriman saya dengan menjanjikan beliau akan membantu saya setibanya di asrama nanti. [Betullah janjinya. Beliau terus menjadi sahabat baik saya sehingga kini; misalnya semasa anak saya KHAIRUL FAIZI kahwin di Muar dia datang menunaikan jemputan saya untuk bersama-sama ke Jorak, Bukit Pasir. Saya dan isteri saya juga menemui beliau dan isterinya di Batu Pahat semasa NAIM bin SIRAN mengahwinkan anaknya. Saya sangat terkilan kerana semasa isterinya Cikgu SHAMSIAH HAJI OTHMAN meninggal saya tidak diberitahu. Beliau juga minta maaf kerana katanya pada masa itu beliau sangat tertekan. Semasa Cikgu SIDEK SANIF, Cikgu MASRAN SABRAN, Cikgu MOHD ARIFF AHMAD dari Singapura dan isteri masing-masing datang ke Kuantan kami bertahlil dan membaca doa selamat khas untuk Allahyarham dan teman-teman serta guru-guru Kolej di suatu majlis makan malam di rumah Dato’ Haji ABDUL JABBAR bin IBRAHIM. Majlis tersebut turut dihadiri oleh Pehin AWANG MOHD. JAMIL AL-SUFRI bekas pelajar SITC dari Brunei, ABU BAKAR AHMAD dari Selangor, YAHAYA ABDUL LATIF, MOHD. HASSAN ALI, IBRAHIM YAACOB, ZAINUDDIN JUMAAT dan isteri masing-masing, kecuali MOHD. HASSAN yang baharu kematian isterinya KAMARIAH YATIB] .

Asrama Jawa
Nama Patih Gajah Mada, selain daripada ganjil sedikit kedengarannya di telinga Melayu, selalu dipertikaikan kewajaran pemilihannya. Macamlah tak cukup nama pahlawan Melayu. Pertama, dalam penulisan sejarah dan lagenda Melayu, PGM adalah tokoh yang sangat kontroversi dengan sikapnya yang ingin menghapuskan keperwiraan Hang Tuah dan pahlawan Melaka seangkatannya. PGM juga bukan tokoh Melayu, tetapi Jawa! Nama-nama lain semuanya Melayu dan masing-masing mempunyai reputasi unggul baik sebagai pahlawan, pentadbir dan sasterawan.

Teman-teman saya mengingatkan, asrama ‘Jawa’ ini pada tahun tersebut mempunyai beberapa keistimewaan. Yang paling ketara kebanyakan yang menonjol sebagai tokoh pemimpin pelajar ialah daripada asrama yang namanya ganjil ini. Ketua Rumah kami ialah ABDUL RAHMAN bin ABAS dari Pulau Pinang. Wajahnya sentiasa serius. Bercakap sepatah-sepatah dengan loghat utaranya yang belum sempat diubah. Dia nampaknya alim. Songkok yang dipakainya bukan songkok hitam tapi ada berbelang-belang. Dia seorang sahaja yang memakai songkok begitu pada masa itu. Sebagai pelajar tahun satu apabila saya berselisih dengannya terpaksalah menepi dengan memberikan ucapan selamat. (Pada masa itu ucapan salam jarang terlaksana). Beliau memasuki UM kemudian setahun daripada saya dan kami sempat bercakap-cakap tentang kehidupan di Tanjong Malim. Tidak lama selepas tamat dari UM beliau memasuki gelanggang politik dan kini bergelar TYT Tun Abdul Rahman bin Abas setelah memegang jawatan Yang Dipertuan Negeri Pulau Pinang. Semasa perayaan Jubli Emas di UPSI beliau masih dapat bergaul seperti lama walaupun ada kekangan protokol di sini sana. Pada masa itulah juga saya diperkenalkan dengan nama (bukan dengan orangnya) SIDEK bin SANIFF.

Kaedah kediaman di asrama ini lebih kurang seperti berek tentera. Bangunan asrama itu dibahagikan kepada dua: Bilik I dan Bilik II. Setiap bilik menempatkan kira-kira 50 orang dengan katil disusun di tepi dinding sebelah menyebelah. Bahagian tengah disusun almari kain baju berbentuk locker, satu almari untuk dua buah locker, satu di atas satu di bawah. Di bahagian kepala katil tersangkut di dinding sebuah locker kayu berwarna hijau muda tempat menyimpan buku dan barang-barang kegunaan. Locker dinding ini kecil sahaja, cukup untuk menyimpan sedozen buku saiz sederhana. Di atas katil direntangkan dua urat dawai dari hujung ke hujung, tempat menyangkut kelambu pada waktu malam. Waktu siang kelambu masing-masing dilipat dan digulung kemas, kemudian digantung pada dawai tadi, di sebelah bahagian kepala tidur. Kasut, selipar dan terompah disusun rapi di bahagian kaki tidur di bawah katil. Tahun ini kami dibekalkan katil, tilam, bantal, kelambu dan selimut baru. Khabarnya sebelum ini katil pelajar adalah katil kayu. Saya sempat melihat katil kayu yang digunakan sementara oleh Sulaiman (Mamak) dari Pulau Pinang kerana bekalan katil asrama kami tidak cukup sebuah. Mungkin inilah lambang awal perubahan ke arah era negara merdeka! Di bahagian hujung sebelah pangkal dan tengah bangunan dibuat kubikal yang muat sebuah katil, sebiji locker. Di situlah tempat Ketua Rumah dan Penolongnya tinggal. Suiz api seluruh bilik puncanya di situ. Pukul 10.30 Ketua Rumah dan Penolongnya memadamkan suiz dan seluruh asrama gelap. Kalau terpaksa berjalan kenalah berjalan di dalam gelap dan kerap juga berlaku perlanggaran sesama sendiri. Di bahagian tengah bangunan dibina pula satu anjung kira-kira 20 kaki x 10 kaki. Anjung ini dinamakan Bilik Tiga. Di situlah kami sembahyang berjemaah atau sembahyang sendirian. Di Bilik Tiga juga tempat kami belajar, bermain permainan dalam, membaca akhbar dan mesyuarat rumah. Kadang-kadang diadakan majlis syarahan dan perbahasan peringkat rumah sebelum menyertai peringkat yang lebih tinggi. Boleh dikatakan di Bilik Tigalah bakat dan keterampilan pelajar digilap.

Bilik mandi dan tandas? Hah! Ini yang belum diganti. Berhampiran tangga ’tadah’ terdapat bangunan menghala ke rumah Cikgu Shafi’i. Mula-mula ditemui dua buah kolah yang besarnya kira-kira 40 kaki x 10 kaki x 4 kaki. Airnya sentiasa hampir penuh. Di situlah tempat mandi. Untuk mandi kami perlu menyadiakan gayung atau centong sendiri: ada centong ayan dan ada centong plastik. Brau! brau! bunyinya ditambah herok-pekok suara yang membawa pelbagai citra. Tandas letaknya jauh sedikit. Pada masa itu kami menggunakan tandas tong yang diangkat (oleh entah sesiapa) pada waktu malam. Semasa buang air besar jarang sesiapa yang membawa air untuk membasuh... jadi selepas buang air berhati-hatilah berjalan balik ke tempat kolah tadi untuk beristinja’ dan dan terus mandi. Proses menyelesaikan ini semua biasanya kami memakai tuala sahaja. Tuala, tahulah! Ada kawan-kawan yang nakal menarik tuala teman-teman yang baru balik dari tandas. Dan, ada juga hamba Allah yang sengaja pergi mandi berpakaian asal semasa dilahirkan dulu, terutama pada waktu malam. ABDUL HALIM YAHAYA (362 Paya Keladi, Kepala Batas) adalah tokoh Rumah PGM yang kerap melakukannya.

* * *

Orangnya Sidek Saniff
Tulisan tentang Sidek ini saya sedut daripada sebuah artikel yang saya tulis bagi menunaikan permintaan beliau untuk dimasukkan di dalam anthologi puisinya yang berjudul Bukan Binatang Buruan (Majlis Bahasa Melayu Singapura. 2004):

Sidek Saniff memang penghuni Wihara PGM (nama lain yang kerap kami gunakan, bagi tujuan menambahkan kehebatan dan sifat kejawen asrama ini). Walau bagaimanapun, dalam pilihan raya Persatuan Pelajar Sultan Idris Training College (PPSITC) tahun itu dua orang tokoh dari asrama yang sama telah terpilih menjadi Ketua dan Penolong Ketua Pelajar yang sekali gus menjadi Yang Dipertua dan Naib Yang Dipertua PPSITC. Sebagai langkah menyeimbangkan pimpinan, salah seorang dari mereka dikehendaki berpindah ke Tadah Selatan. Sidek Saniff dengan itu berpindah ke Asrama Tun Perak, sementara penolongnya NORDIN bin Haji MAHMUD kekal menginap di Asrama PGM.

Sebagai Ketua Pelajar, kami sentiasa memandang tinggi dan menghormati beliau. Hal begini memang sesuatu yang lumrah. Malah, di peringkat sekolah menengah Inggeris pada zaman itu, saya mendapat tahu bahawa Hostel Prefect berkuasa merotan penghuni asrama sekiranya mereka melanggar disiplin.

Dalam menjalankan tugasnya sebagai Ketua Pelajar dan Yang Dipertua PPSITC, Sidek banyak membangkitkan isu-isu penting. Beliau pernah mempersoalkan istilah murid yang diberikan kepada pelajar-pelajar maktab, yang pada pendapat beliau sangat tidak wajar. Entah di mana diperolehi maklumatnya, beliau menyebut perkataan Arab muridun yang lebih sesuai dengan anak-anak sekolah rendah berbanding dengan istilah ‘pelajar’ ‘penuntut’ dan ‘mahasiswa’ bagi mereka yang di peringkat kolej. Hasilnya, istilah ‘Ketua Murid’ yang selama ini dipakai di Kolej telah ditukar kepada ‘Ketua Penuntut’.

Rupa-rupanya Sidek berasal dari kawasan Raden Mas, Singapura. Daripada nama tersebut, saya yakin tentulah beliau mempunyai hubungan sentimental yang amat rapat dengan Pateh Gajah Mada; meskipun tidak sehebat HARUN bin ABDUL GHANI, Ketua Permainan Kolej, juga dari Asrama PGM, sekelas dengan Sidek iaitu IIIA yang berasal dari Kampung Jawa, Singapura. Yang seorang ini pekat sangat dengan telor Jawanya.

Bagi kebanyakan pelajar, Sidek adalah pelajar contoh dalam banyak perkara. Beliau seorang pemidato yang berkebolehan. Cara beliau berhujah sangat meyakinkan, di samping menggunakan pelbagai teknik seperti analogi, eufeminisme, peribahasa, intonasi, mimik muka, di samping suara garaunya yang hampir-hampir memukau. Kerapkali juga beliau menggunakan kaedah elipsis semasa berpidato yang meninggalkan kesan retorika kepada pendengar. Pendek kata, sebagaimana pernah saya tuliskan dalam sebuah artikel yang disiarkan sempena Jubli Emas SITC, sebagai pemidato, Sidek boleh disamakan dengan Bong Tomo, tokoh penting dan dihormati dalam gerakan revolusi Indonesia.

Kebolehan Sidek boleh dikatakan pelbagai. Beliau pernah memenangi peraduan membaca al-Quran antara asrama yang dianjurkan oleh Kolej. Selain itu, jangan terkejut jika saya katakan Sidek juga seorang volakis yang baik dalam bidang nyanyian. Dalam satu majlis kebudayaan akhir tahun Sidek menerima tepukan bergemuruh apabila beliau menyanyikan lagu Pergilah Engkau Satria dengan iringan Pancaragam SITC. Sebagaimana lumrah dilakukan pada zaman itu, ada sahaja peminat yang naik ke pentas menyampaikan sesuatu kepada penyanyi, seperti jambangan bunga atau lainnya. Masih terbayang oleh saya, Ati, pengusaha Tuck Shop Maktab, naik ke pentas untuk menyampaikan sesuatu dalam sampul surat kepada Sidek.

Sebagai Yang Dipertua PPSITC, Sidek tentunya rapat dengan tokoh yang amat dihormati di Maktab pada masa itu, yang juga Penasihat PPSITC, iaitu Cikgu AMINUDDIN bin BAKI.

Memulakan Pengajian
Tahun 1957 di SITC benar-benar tahun peralihan. Kami pelajar pertama yang bakal mengikuti sistem baru, iaitu pengajian selama lima tahun. Saya sendiri tidak ambil hal sangat tentang tempoh lima tahun itu. Jadual pengajian kami masih mengikut sistem lama: kelas pertama 6.30 pagi. Zaman sebelum kami, kelas pagi ini kebanyakannya berkaitan dengan aktiviti berkebun. Bukan tiap-tiap hari ada kelas pagi. Kalau tidak silap ingatan hanya tiga kali. Mata pelajaran sesi pagi buta itu ialah Persuratan, Agama dan Ilmu Hisab. Persuratan (sama seperti Kesusasteraan sekarang) diajar oleh Cikgu MOHD. ALIF IBRAHIM, Agama pula Tuan Haji DAUD bin Haji IBRAHIM dan Tuan Haji HASSAN binHaji Muhammad sementara Ilmu Hisab diajar oleh siapa lagi kalau bukan Cikgu MOHD. RAIS bin HASSAN.

Pengetua Kolej ialah RAYMOND ARTHUR GOODCHILD. Seingat saya beliau pernah berkhidmat di Pahang sebagai Chief Inspector of School. Ada cerita menarik tentang beliau: pada suatu hari dia melawat Sekolah Melayu Ganchong. Kami memang jarang-jarang bertemu orang putih. Dia masuk ke kelas. Dalam salah satu kelas, dia bertanya murid-murid, siapa yang kenal dan tahu namanya. Seorang murid AHMAD JOHAR bin YUSOF mengangkat tangan dan bangun menjawab dengan suara yang lancar, jelas lagi terang: ”Tuan R.A. Goodchild!”. Jawapan ini sangat mempesona beliau, lalu beliau meminta guru Guru Pelawat menguruskan supaya Ahmad Johar di masukkan ke sekolah Inggeris. Hari itu kira nasib Joharlah! [Kisah Ahmad Johar ini boleh dirujuk dalam fail TINGGAL KENANGAN I di dalam Blog ini].

Beliau bersara sebaik-baik sahaja sebelum Tanah Melayu mencapai kemerdekaannya. Kami menghantarnya beramai-ramai ke stesyen kereta api Tanjong Malim kerana beliau menaiki kereta mel petang itu ke arah selatan. Kumpulan pensyarah menyanyikan lagu He's a Jolly Good Fellow, tetapi kami tidak turut serta menyanyi kerana tidak pernah mendengar lagu itu dan tidak pula mengetahui seni katanya.

R.A. Goodchild dibantu oleh seorang Penolong Pengetua Melayu (Assistant Malay Principal) iaitu Encik ZAINAL ABIDIN bin ALI. Beliau seorang yang gantÄ›ng (istilah orang Jawa). Pakaiannya kemas dan selalu mengenakan bow-tie. Plate kereta beliau menggunakan plate Pahang iaitu ‘C’, tapi saya tidak ingat nombornya, mungkin 42 atau berapa... Rambut sentiasa rapi. Beliau juga lama berkhidmat di Pahang sebagai Assistant Inspector of School yang beribu pejabat di Raub. Beliau seorang Pesuruhjaya Ibu Pejabat Pengakap. Selain itu, beliau juga menulis buku, termasuk buku Bahasa Melayu yang diterbitkan oleh Longman dan menerjemah buku Scouting for Boys karangan Lord Banden Powell. Di bawah mereka berdua ada pula Guru Besar Kolej. Guru Besar pada tahun 1957 itu ialah Cikgu MOHD. RAIS bin Haji HASSAN.

Selepas Goodchild bersara jawatan pengetua tidak diberi kapada Encik Zainal Abidin, tetapi disandang oleh seorang Eropah yang bernama G. F. Daniels. Beliau berkelulusan Sarjana dari Universiti Cambridge, yang sebelum ini bertugas di English College Johor Bahru. Beliau suka menyelia kegiatan kokurikulum sebelah petang dan ketika melihat kami bermain sepak raga beliau tercegat berdiri seolah-olah menghormati lagu Negaraku! Saya agak dia berbuat begitu kerana sepak raga adalah permainan kebangsaan. Beliau pernah mengajar Bahasa Inggeris kelas kami (Darjah Satu 'A') dan kami rasa perit sedikit belajar dengan beliau kerana susah untuk memahami intonasinya. Hanya darjah kami yang berpeluang belajar bahasa Inggeris dengan orang putih, itu pun tidaklah lama. Salah satu tajuk yang dia mengajar ialah Letter Writing. Beliau tidak lama bertugas di SITC kerana beliau kemudiannya ditukarkan ke Maktab Perguruan Bahasa. Jawatan beliau sebagai pengetua kemudiannya dipegang oleh Encik Zainal Abidin. Baharu itulah jawatan pengetua dipegang oleh anak Melayu. Semasa di Maktab Bahasa ini beliau menghadapi masalah dengan pelajar sehingga berlakunya permogokan yang disiarkan secara besar-besaran di media massa. Selepas itu tidaklah lagi kedengaran baik nama Goodchild mahupun Daniels.

* * *

Buku teks yang digunakan bagi mata pelajaran Persuratan ialah Syair Seri Banian atau Selendang Delima. Cikgu Mohd Alif ini asalnya orang Melaka, berbadan gempal, berkulit cerah dan rupanya ada iras-iras orang Cina. Pengajarannya menarik kerana beliau petah bercakap, seperti kebanyakan orang Melaka. Syair itu disuruh baca seorang lepas seorang sambil memberi erti bagi perkataan yang sukar dan jarang didengar. Cikgu kami ini ada cara tersendiri menerangkan makna perkataan-perkataan pelik seperti ghana, pokta, nian, durja dan sebagainya, dengan mengatakan perkataan itu ’untuk menyedapkan cakap sahaja.’ [Saya sangat terkejut pada suatu hari dalam tahun 2007 Saudara ZUBER ZAIN yang bertugas di Institut Peradaban Melayu UPSI pada masa itu mengirimkan saya sebuah buku lama iaitu Syair Seri Banian yang tercatat nama saya pada kulit sebelah dalamnya. Itulah buku yang saya pakai tahun 1957 dulu. Kertas buku itu telah cacat sedikit tetapi tulisan di dalamnya masih baik. Ini rezeki saya yang istimewa tahun itu].

Saya tidak ingat judul buku teks Agama yang digunakan oleh Tuan Haji Daud, tetapi buku itu adalah keluaran Jabatan Agama Johor, kulitnya berwarna oren, yang merupakan sebuah buku fikah. Kami dipaksa menghafal ayat dan doa dalam buku ini, yang termasuk doa sembahyang jenazah yang belum pernah saya lakukan. Semua ayat yang dipaksa hafal itu masih saya ingat hingga ke saat ini. Saya berdoa agar Allah SWT terus memberikan pahala kepada Tuan Haji Daud kerana mengajar saya dengan berkesan dan pahala itu berkekalanlah hendaknya selama saya hidup di dunia ini. [Tuan Haji Daud telah meninggal kira-kira 10 tahun lalu; menurut berita yang saya dengar beliau meninggal dunia di dalam keretanya betul-betul di hadapan masjid Tanjong Malim. Inna lillahi wa inna ilaihi raji’un].

Cikgu Haji Mohd Rais dikatakan pakar Ilmu Hisab (cara lama). Sebelum masuk Kolej kami belajar menggunakan Kitab Hisab II dan Kitab Hisab III di kelas guru pelatih. Kami boleh dikatakan hafal kitab itu. Di sini kami menggunakan buku berbahasa Inggeris karangan C.V. Durell yang berwarna biru, iaitu buku jilid yang pertama daripada lima jilid. Cikgu Rais suka sangat menguji sifir yang pelik-pelik, misalnya duo kali duo kali duo kali duo .... berapo? Susah hendak menentukan jawapannya, barangkali beliau sendiri tidak tahu berapa kerana bilangan ’kali’ itu tak sempat dikira. Akhirnya kami dapat satu taktik: mencatatkan jawapan dua tujuh kali berapa, dua sembilan kali berapa ... Suatu trick yang berkesan. Beliau ini orang Negeri Sembilan dan telor negerinya masih agak pekat meskipun telah bertahun-tahun berada di dalam kancah ahli bahasa di SITC ini. Saya fikir beliau seorang yang garang zaman mudanya, kerana beliau pernah memarahi seseorang di kelas kami katanya: Kalau zaman kito mudo-mudo dulu, kito campak kau ikut tingkap! Kecut juga perut dan hati kami sekejap mendengarkan pengakuan kegagahan zaman mudanya itu. Di seluruh kampus SITC ini beliau seorang sahajalah yang menghisap cerut. Amalan menghisap cerut Cikgu kami ini banyak membantu kami dalam beberapa hal berkaitan disiplin: pada waktu malam jikalau tiba giliran beliau melawat asrama dan memastikan masih ada golongan burung hantu yang tak mahu tidur, kami segera mengetahui kehadiran beliau, kerana angin meniup asap cerutnya lebih cepat daripada dia sendiri sampai ke tempat kami.

Tenaga Pengajar Yang Budiman
Moto Kolej kami ialah Pengetahuan Suluh Budiman. Moto yang tidak pernah ditukar dari dahulu sampailah sekarang ini khabarnya dicipta oleh Cikgu HASHIM bin Haji TALIB. Saya selalu memikirkan siapakah yang dimaksudkan budiman dalam moto itu. Meneliti senarai pensyarah dan guru-guru kami yang berikut ini, saya dengan ikhlas hati menamakan mereka sebagai manusia agung yang budiman itu, terutamanya kerana menghargai jasa-jasa mereka menjadikan kami ’orang’.

Pensyarah di SITC ini semua kami panggil Cikgu. Hendak disebut lain tak berapa sedap. Pada pertengahan pertama 1957 pensyarah kolej terdiri daripada A.D. BAKER (Guru Bahasa Inggeris), ABDUL RAZAK bin ABDUL HAMID (Guru Bahasa dan Persuratan Melayu), AHMAD bin ABDUL WAHAB (Guru Bahasa Melayu dan Ilmu Hisab), AHMAD bin SALEH (Guru Sejarah), AMINUDDIN bin BAKI (Master of Methods), AZMAN bin MD. LUDIN (Guru Bahasa Inggeris), Haji DAUD bin Haji IBRAHIM (Guru Agama), Haji HASSAN bin MUHAMMAD (Guru Agama), MOHD. ALI bin ITHNIN (guru Tukang Kayu), MOHD. ALIF bin IBRAHIM (Guru Bahasa dan Persuratan Melayu), MOHD. RAIS bin Haji HASSAN (Guru Besar dan guru Ilmu Hisab), NURUDDIN bin JAMIN (Ilmu Hisab), WAHI bin LONG (Guru Bahasa dan Persuratan Melayu), MOHD. YUSOF bin JUDIN (Guru Anyaman dan Menjilid), RAMLI bin SHAARI (Guru Sejarah dan Ilmu Hisab), REDZUAN bin ALI (Guru Senaman), SAMURI bin ALIF (Guru Ilmu Hisab), SHAARI bin ISA (Guru Sains), SHAFI’I bin TASI (Guru Lukisan), SYED OMAR bin SYED AHMAD (Guru Ilmu Hisab), TALHAH bin ABDUL RAHMAN (Guru Bahasa Melayu), WAN bin DUS MUHAMMAD (Guru Ilmu Hisab), ZAINAL AKBAR bin ZAINAL ABIDIN (Guru Ilmu Alam). Senarai di atas disusun mengikut abjad, bukannya mengikut kekananan. Kalau dikirakan kanan mungkinlah Cikgu AMINUDDIN bin BAKI yang menjawat jawatan Master of Methods, kemudian Cikgu MOHD. RAIS bin HAJI HASSAN yang telah disebutkan di atas tadi.

Dari semasa ke semasa beberapa orang pensyarah bertukar dan yang baru pula datang, iaitu ABDUL RAHIM bin DARUS (Guru Bahasa Melayu), ABU HASSAN BIN ALI (Guru Sains, Bahasa Melayu dan Muzik), AHMAD bin ABDUL RASHID (Guru Bahasa Melayu), BABA AHMAD bin HAMIDON (Guru Bahasa Inggeris), E. L. GOMEZ (Guru Muzik), HASSAN bin ZAHID (Guru Bahasa Melayu), ISHAK bin MEON (Guru Bahasa Inggeris dan Bahasa Melayu), JOGINDER SINGH (Guru Bahasa Inggeris), M. SANDANASAMY (Guru Bahasa Inggeris), MD. AMIN bin MAHMUD (Guru Bahasa Inggeris), MD. ZAIN bin ABDUL RASHID (Pensyarah Kanan yang mengajar Terjemahan Bahasa Melayu-Inggeris yang kemudiannya dilantik sebagai Timbalan Pengetua dan akhirnya Pengetua), MOHD YASSIN bin HAJI TAHIR (Guru Bahasa Melayu dan Pensyarah Kanan), MOHD. KASSIM bin ABDUL RAHMAN (Guru Muzik), MUSTAFA bin KIMIN (Master of Methods), WOK NORDIN bin ABDULLAH (Guru Bahasa Inggeris), YUSOF ARSHAD (Guru Bahasa Melayu).

Pada kebanyakan surat-menyurat Kolej, panggilan kepada guru-guru ialah Cik (bukannya Encik). Saya masih ingat semasa assembly hari pertama bagi JOGINDER SINGH dan SANDANASAMY, Encik Zainal Abidin memperkenalkan mereka kepada kami sebagai Cik Joginder Singh dan Cik Sandanasamy. Mungkin itulah pertama kali panggilan Cik diberikan kepada orang bukan Melayu kerana sebelum ini gelaran kepada mereka ialah Master.

Adalah menjadi hasrat saya semasa menyediakan teks Blog ini memberi ulasan dan anekdot tentang setiap orang guru/pensyarah (terutama yang saya sempat menimba ilmu dengan mereka). Ulasan ini mungkin bersifat peribadi, apatah lagi kebanyakan mereka telah meninggal dunia terdahulu daripada saya. Ulasan dan anekdot tentang mereka ini memang mempunyai nilai tersendiri berkaitan dengan sejarah SITC/MPSI, perkembangan bahasa Melayu dan perkembangan sietem pendidikan kita.

Berbalik kepada Rumah PGM: Sistem asrama masa itu menetapkan seorang guru pengawas yang dipanggil Guru Rumah. Guru Rumah kami ialah Cikgu ZAINAL AKBAR bin Haji ZAINAL ABIDIN. Rumahnya tidak berapa jauh daripada asrama kami. Beliau pindah ke rumah itu setelah berkahwin. Moto asrama PGM ialah Selalu Gembira dan warna benderanya hijau seakan-akan warna bendera PAS sekarang. Kira-kira 30 tahun selepas tidak berjumpa dengan Cikgu Zainal Akbar, saya berpeluang berjumpa dengannya di RECSAM-SEAMEO Pulau Pinang. Beliau bertugas sebagai Pegawai Perhubungan di situ sedangkan saya mengikuti seminar anjuran Pusat Perkembangan Kurikulum. Kunjungan pertama untuk menemuinya saya diberitahu oleh setiausahanya yang beliau ke lapangan terbang, menyambut pegawai dari Filipina dan beliau meminta saya datang di sebelah petang di samping memberitahu Cikgu Zainal kedatangan saya itu. Jenguk-jenguk sahaja pintu bilik, beliau terus menyapa saya dengan moto PGM: Selalu Gembira! Beliau masih Cikgu Zainal Akbar 1957 kami dulu!

Monday, February 11, 2008

PANTUN NAMA TEMPAT DI PAHANG

PANTUN (PAHANG) oleh PAK ZEK

Budayawan Pahang, Allahyarham Dato’ Zakaria Hitam yang lebih dikenali dengan nama Pak Zek pernah menghasilkan pelbagai genre sastera, termasuklah cerita rakyat, syair, pantun, malah beliau pernah menghasilkan cerita pendek. Pantun yang beliau hasilkan meliputi pelbagai tema. Pantun yang disusun dalam koleksi ini adalah menggunakan nama-nama tempat yang terdapat di Pahang. Ada beberapa tempat atau kampung yang tidak wujud lagi kerana dilanda pembangunan dan sebab-sebab lain.

Pantun-pantun ini disusun semula daripada beberapa penerbitan Lembaga Muzium Negeri Pahang dan penerbitan-penerbitan lain, termasuk buku-buku cenderamata. Maklumat lanjut tentang karya beliau boleh diperolehi daripada Muzium Sultan Abu Bakar atau penyusun Blog ini.


Pantun Nama Tempat

1
Dari Pedah mudik ke Mela,
Mudik singgah di Pasir Tambang;
Dengan Bismillah pantun dimula,
Pantun mengisah riwayat Pahang.

2
Dari Telang hilir ke Langgar,
Hilir membawa kayu gaharu;
Negeri Pahang negeri terbesar,
Di Semenanjung Tanah Melayu.

3
Dari Benta ke Tanjung Besar,
Singgah makan di pekan Budu;
Bukan sahaja negeri terbesar.
Bahkan terkenal dari zaman batu.

4
Dari Kelola ke Sungai Mat Dulang,
Hilir singgah di Sungai Duri;
Bilakah Pahang diterokai orang,
Tuhan sahaja Yang Mengetahui.

5
Dari Lebu ke Bukit Kota,
Singgah sebentar di pekan Benta;
Perkakas batu banyak terjumpa.
Alamat penghuni dah lama ada.

6
Dari Dumba ke Tanjung Bayan,
Singgah makan di Letak Kelibat;
Perkara yang nyata dapat dikesan,
Sepasang nesan yang bersurat.

7
Singgah makan di Letak Kelibat,
Lepas makan terus berjalan;
Sepasang nesan yang bersurat,
Di Permatang Pasir, mukim Pekan.

8
Dari Budu ke Lubuk Sengarat,
Berhenti penat di Jambu Rias;
Nesan batu yang bersurat,
Menyatakan awal kurun sebelas.

9
Dari Serli ke Tanjung Jati,
Singgah sebentar di pekan Benta;
Sebagai negeri terbesar sekali,
Di dalamnya terdapat serbaneka.

10
Dari Sanggang ke Pulau Dedari,
Singgah menjala di Batu Sawar;
Sungai Pahang yang terpanjang sekali,
Ialah juga yang terbesar.

11
Dari Pekan ke Pasir Mandi,
Singgah bermalam di Kuala Bera;
Gunung Tahan tertinggi sekali,
Terletak dalam Taman Negara.

12
Singgah bermalam di Kuala Bera,
Bila siang mudik semula;
Terletak dalam Taman Negara,
Tempat perlindungan mergastua.

13
Dari Jelam hilir ke Tebat,
Singgah menjala di Tanjung Berangan;
Di dalamnya ada terdapat,
Tiga buah bukit peranginan.

14
Dari Mentiga ke Tanjung Batu,
Mudik singgah di Teluk Melati;
Di antara ketiganya itu,
Cameron Highlands terkenal sekali.

15
Dari Dumba ke Kampung Tekek,
Dari sana ke Tanjung Kelapa;
Terdapat juga tiga buah tasik,
Semuanya terkenal belaka.

16
Dari Kelola ke Tanjung Selangor,
Singgah sembahyang di Belangka;
Bera, Cini dan Paya Bungur,
Tasik Cini yang terkemuka.

17
Dari Lanjut ke Kuala Reman,
Singgah bermalam di Sediman;
Di lautnya pula Pulau Tioman,
Pulau terkenal zaman berzaman.

18
Dari Senggora pergi ke Benta,
Hendak menjala singgah di Lamir;
Punca hasilnya bermacam pula,
Dari muka dan di dalam bumi.

19
Dari Lamir pergi ke Sepat,
Singgah makan di Lampung Bentan;
Di muka bumi banyak terdapat,
Tanam-tanaman dan kayu-kayan.

20
Dari Serengkam ke Sungai Dua,
Singgah bermalam di Beroga;
Di dalam bumi pelbagai pula,
Timah, emas, besi dan tembaga.

21
Dari Belatung ke Sungai Pakat,
Singgah bermalam di Tanjung Rumbia;
Di lombong bijih ada terdapat,
Kolong terdalam di dalam dunia.

22
Dari Bentan ke Kampung Sepat,
Berhenti penat di Kampung Serandu;
Di hutan rimbanya banyak terdapat,
Gajah, seladang dan badak sumbu.

23
Dari Pelangai ke Lubuk Belida,
Singgah berehat di pekan Sega;
Di sungai-sungainya pula,
Terdapat kelah, jelawat dan kelesa.

24
Dari Beluru ke Kampung Bintang,
Singgah bertanak di Pulau Malang;
Dari dahulu hingga sekarang.
Penduduknya ramai yang terbilang.

25
Dari Pianggu ke Kuala Bera,
Pergi menempuh Kuala Sediman;
Zaman dahulu dengan wira-wira,
Masa ini dengan seniman.

26
Dari Pelangkah ke Pulau Tambang,
Mudik bergalah menyusur Peramu;
Demikian kisah negeri Pahang,
Nama timangan Darul Makmur.

27
Dari Songsang ke Peramu,
Singgah mandi di Pulau Rusa;
Inilah Pahang Darul Makmur,
Yang mengganti Inderapura.

28
Dari Beserah ke Pulau Teja,
Singgah makan di Peramu;
Ya Allah, Yang Maha Kuasa,
Peliharalah Pahang Darul Makmur.

29
Dari Juara belayar ke Nipah,
Singgah mengail di Tanjung Birah;
Sekian saja pantun digubah,
Disudahi dengan Alhamdulillah.

30
Lubuk Lian Tanjung Beliku,
Orang menjala sepanjang pantai;
Janji dahulu tidak begitu,
Bunga mala sama dipakai.

31
Marilah tuan menanam serai,
Marilah tanam di Kuala Batu;
Hajat hati tak mahu bercerai,
Kuasa Allah siapa tahu.

32
Bukit Gebuk gunung daerah,
Nampak dari Pulau Pesagi;
Tuan dah dapat gading bertuah,
Tanduk tidak berguna lagi.

33
Sungai Genuk Sungai Mat Dulang,
Yang ketiga Pulau Keladi;
Badan gemuk tinggal tulang,
Rindu menggoda di pintu hati.

34
Gunung Cini tingkat sembilan,
Tempat orang bertanam kelapa;
Adik tinggal jangan kelindan,
Abang pergi tidak mengapa.

35
Dari Sekukuh mudik ke Benta,
Mudik dengan perahu galah;
Kalau sungguh bagai dikata,
Badan dan nyawa sanggup kuserah.

36
Bukit Gebuk gunung melintang,
Tampak dari Pulau Pesagi;
Adik duduk sanggul melintang,
Bagai bunga kembang pagi.

37
Kampung Kiambang di Gancong Hilir,
Di sana banyak hidup jerejak;
Saya umpama kiambang di air,
Sungguhpun hidup akar tak jejak.

38
Mudik berlima ke Kampung Pejing,
Naik ke darat terus ke huma;
Saya umpama aur di tebing,
Tanah runtuh saya pun sama.

39
Dari Penyur pergi ke Gemas,
Singgah di Pekan mengambil kapak;
Saya seperti nyiur diramas,
Habis santan hampas dicampak.

40
Orang berhuma di Paya Ketapi,
Huma tak jadi paya ditinggal;
Saya seperti beras ditampi,
Beras diambil sekam ditinggal.

41
Ramai orang berhuma di Belatong,
Dilanda bah padi sambang;
Saya seperti ayam di lesung,
Bila dihalau terpaksa pulang.

42
Orang merumput di Berhala Gantang,
Ada bercakap ada bertanya;
Saya melukut di tepi gantang,
Ada tak ada tiada bezanya.

43
Dari Sekukuh mudik ke Teluk,
Dengan perahu muat berdua;
Biasa buluh dikerit bubuk,
Sekarang kayu pula diduga.

44
Dari Benta ke Kuala Lipis,
Mari bawa buah bidara;
Berhadapan saja mulutnya manis,
Paling belakang lain bicara.

45
Dari Benta ke Pulau Rusa,
Singgah makan di Pahang Tua;
Ada masa ada ketika,
Ular lidi menelan naga.

46
Dari Bera hilir ke Tanjung,
Dari sana terus ke Penyagu;
Kalau tidak dipecah ruyung,
Macam mana mendapatkan sagu.

47
Dari Bera hilir ke Pekan,
Hilir membawa buah berangan;
Walaupun hidup dalam kemewahan,
Kalau tak pakat orang tak segan.

48
Tanjung Medang pasirnya luas,
Bertentang dengan Air Berbagi;
Usah dikenang masa yang lepas,
Masa yang ada mesti jagai.

49
Dari Tenggoh hilir ke Bera,
Hilir membawa buah bidara;
Tidak tumbuh tidak melata,
Tidak sungguh tidak dikata.

50
Pulau Tawar Gelombang Tujuh,
Di hilirnya Kampung Kelola;
Tidak mustahak merantau jauh,
Negeri kita semuanya ada.

51
Dari Pulau Tambun ke Pekan,
Menggunakan tenaga nelayan;
Tekun dan sabar asas kejayaan,
Rajin dan usaha kesenangan.

52
Dari Tanjung ke Pulau Cawi,
Orang bergajah dua beranak;
Sungguh terlangsung saya ke mari,
Apa perintah orang banyak.

53
Dari Pahang hendak ke Gemas
Singgah semalam di Kuala Pengerang;
Sebiji pisang, sebiji nanas,
Yang mana satgu rezeki musang?

54
Dikenali sebagai Kuala Bekah,
Setentang dengan Kuala Pahang;
Perbuatan demikian padahnya susah,
Hidup merana dihina orang.

55
Bertentang dengan Air Berbagi,
Dipanggil Tanjung Pahang Tua;
Masa ada mesti jagai,
Supaya hidup aman sentosa.

56
Sungai Pahang sama direnang,
Renang menuju Tanjung Berangan;
Kerja susah menjadi rengan,
Baru rancangan dapat dijayakan.

57
Renang menuju Tanjung Berangan,
Tiba di darat terus berjalan;
Kerja berat menjadi ringan,
Baru rancangan dapat dijayakan.

58
Gunung Tahan sama didaki,
Sungai Pahang sama direnang;
Jikalau semua bersatu hati,
Kerja yang payah menjadi senang.

59
Kampung Mengkasar Sungai Mat Dulang,
Setentang dengan Pulau Maulana;
Jangan selalu berharapkan orang,
Perbuatan demikian tersangatlah hina.

60
Tanjung Agas kampung nelayan,
Dikenali sebagai Kuala Bekah;
Jangan cuai dalam pelajaran,
Laku demikian padahnya susah.

61
Jeragan mudik ke Sekukuh,
Dengan sampan muat berdua;
Jangan asyik berpeluk tubuh,
Perbuatan itu membawa lara.

62
Di hilirnya Kampung Kelola,
Bertentang dengan Tebing Tinggi;
Di negeri kita semuanya ada,
Asalkan sanggup berdikari.

63
Orang bergajah dua beranak,
Berhenti penat di Pulau Rusa;
Apa perintah orang banyak,
Asalkan saja perkara bahagia.

64
Bukit Cempedak, Kuala Jengka,
Bukit Sanding, Tanjung Belawan;
Haram tidak disangka-sangka,
Ayam ditanding tidak melawan.

65
Pulau Pesagi, Kuala Jengka,
Bukit Sending, Tanjung Belawan;
Haram sekali tidak disangka,
Ayam ditanding tidak melawan.

66
Bukit Sanding, Tanjung Belawan,
Batu Kunta, Kuala Jempul;
Ayam ditanding tidak melawan,
Itulah dia tandanya bacul.

67
Dari Tembeling hilir ke Pekan,
Singgah bermalam di Pulau Puyuh;
Suruhan Tuhan segera tunaikan,
Jangan sekali ditangguh-tangguh.

68
Dari Melaka ke Kuala Lanar,
Pergi meraih buah kuran;
Jangan takut bercakap benar,
Kerana itu tanda kejujuran.

69
Masa berada di Pulau Jawa,
Rakan-rakan ajak menjala;
Masa berkuasa janganlah lupa,
Kuasa Tuhan tiada terhingga.

70
Gua Bama di tengah negeri,
Di sana banyak kelawar berteduh;
Tuan umpama payung negeri,
Tempat hamba tumpang berteduh.

71
Dari Temai ke Kuala Bekah,
Hendak ke laut takutkan kuncah;
Kisah sungai tiada berubah,
Musim hujan air bertambah.

72
Dari Sawah mudik ke Pedah,
Mudik dengan perahu galah;
Ketika itulah menjadi bah,
Runtuh tebing pokok pun rebah.

73
Dari Aur mudik ke Jeram,
Dari situ ke bandar Muadzam;
Air hilir menderu menderam,
Merempuh batu dipanggil jeram.

74
Dari Temalir hilir ke Jelam,
Hilir membawa buat mempelam;
Air mengalir mengikuti curam,
Tenang dan hening mendatangkan geram.

75
Dari Sepaku hilir Ketapang,
Singgah bertanak di Pulau Keladi;
Sekira ulunya sudah diempang,
Air tak banyak mengalir lagi.

76
Dari Pejing ke Sungai Duri,
Singgah makan di Serengkam;
Air nan kering, ikan pun mati,
Bekalan air turut terancam.

77
Dari Lompat ke Pulau Kelayang,
Membawa lembing taran penaga;
Itulah akibat nan terbayang,
Jika Tembeling diempang juga.

78
Dari Teluk hilir ke Benta,
Dari sana terus ke Pekan;
Masa datuk nenek kita,
Pantun sangat dimuliakan.

79
Dari Rumbia hilir ke Tambang,
Hilir berhenti di Tanjung Medang;
Oh! Dunia jika dikenang,
Isimu seperti ulat di balang.

80
Hilir berhenti di Tanjung Medang,
Hendak mengail ikan tebakang;
Isimu seperti ulat di balang,
Bersilang siur berjulang-julang.

81
Dari Kuantan ke Pasir Kemudi,
Pergi membawa seguni garam;
Lepaskan diri dari berjudi,
Kerja merugi lagi pun haram.

82
Dari Pekan mudik ke Pedah,
Singgah semalam di Pulau Rumput;
Jauhkan diri daripada dadah,
Bahayanya besar membawa maut.

83
Dari Mentiga ke Makam Cik Munah,
Dari sana ke bandar Kuantan;
Siapa suka membuat fitnah,
Lambat laun menerima balasan.

84
Dari Bera ke Kuala Sat,
Mudik singgah di Taman Negara;
Perangai terburuk ialah subahat,
Sebab subahat ramai binasa.

85
Dari Pelangkah ke Sungai Beniat,
Pergi menempuh Pulau Keladi;
Tabiat terhina ialah khianat,
Kalau diamal ramai yang rugi.

86
Dari Burau hilir Serengkam,
Singgah bermalam di Pulau Raya;
Kalau suka menaruh dendam,
Hidup senentiasa dalam bahaya.

87
Dari Lamir pergi ke Balok,
Pergi singgah di Teluk Sisik,
Fikir-fikir sebelum merokok,
Buruknya banyak dari yang baik.

88
Dari Bera ke Mengkarak,
Membawa gasing labu jantung;
Elakkan diri meminum arak,
Bahayanya besar kepada jantung.

89
Dari Beluru pergi ke Penyur,
Pergi berjual rempah ratus;
Hendaklah tiru kelakuan penyu,
Di dalam senyap telur beratus.

90
Juragan mudik ke Pangsanam.
Mudik mencari kayu pelampung;
Jangan buat kelakuan ayam,
Telur sebiji riuh sekampung.

91
Dari Pedah ke Pekan Seberang,
Dari sana terus ke Pekan;
Bila sudah berpatah arang,
Bencananya buruk bukan buatan.

92
Dari Sega hilir ke Pekan,
Singgah bermalam di Kampung Bintang;
Segala perkara mesti dirundingkan,
Supaya tak sampai berpatah arang.

93
Dari Mentiga ke Kuala Semantan,
Singgah menjala di Kuala Bera;
Bila menghina orang bawahan,
Taraf mulia boleh tercela.

94
Dari Pesagi ke Pulau Rusa,
Dari sana terus ke Pekan;
Bagi orang bertaraf mulia,
Jauhkan menghina orang bawahan.

95
Dari Benta ke Kuala Bekah,
Singgah sebentar di Pulau Maulana;
Mereka juga hamba Allah,
Sama setaraf di sisi-Nya.

96
Dari Pekan ke Kampung Pesagi,
Mudik kerana mencari damar;
Bila hasutan mempengaruhi diri,
Nama baik boleh tercemar.

97
Dari Benta hilir ke Bentan,
Singgah bermalam di Kuala Mentiga;
Semasa kuasa ada di tangan,
Janganlah lalai dari berjaga.

98
Singgah bermalam di Kuala Mentiga,
Dengan tujuan menjala ikan;
Janganlah lalai dari berjaga,
Daripada pengaruh hasutan.

99
Dari Salang ke Tanjung Kelapa,
Bila tiba terus memancing;
Kalau kita masih tak lupa,
Tikus pernah menangkap kucing.

100
Dari Belangka hilir ke Benta,
Singgah makan di Kuala Mentiga;
Ada masa ada ketika,
Ular lidi menelan naga.

101
Dari Bera ke Tanjung Penyengat,
Hilir singgah di Sekara;
Masa berkuasa hendaklah ingat,
Kuasa Tuhan tiada terhingga.

102
Gunung Tahan sama didaki,
Sungai Pahang sama direnang;
Bila semua bersatu hati,
Kerja susah menjadi senang.

103
Sungai Pahang sama direnang,
Renang menuju Tanjung Berangan;
Kerja susah menjadi senang,
Kerja berat menjadi ringan.

104
Renang menuju Tanjung Berangan,
Bila sampai terus berjalan;
Kerja berat menjadi ringan,
Baharu rancangan dapat dijayakan.

105
Pulau Tawar Gelombang Tujuh,
Di hilirnya Kampung Kelola;
Tidak mustahak merantau jauh,
Di negeri kita semuanya ada.

106
Di hilirnya Kampung Kelola,
Di antara kedua Batu Leja;
Di negeri kita semuanya ada,
Asalkan saja sanggup berusaha.

107
Di antara kedua Batu Leja,
Di seberangnya pula Kelebur Gintong;
Asalkan saja sanggup berusaha,
Dengan tidak memikirkan untung.

108
Di seberangnya pula Kelebur Gintong,
Kelebur terkenal zaman dahulu;
Dengan tidak memikirkan untung,
Atau menaruh segan dan malu.

109
Dari Teluk ke Pulau Keladi,
Hilir bersampan muat bertiga;
Datuk nenek telah pergi,
Tapi banyak meninggalkan cerita.

110
Dari Penyagu mudik ke Lompat,
Singgah makan di Kuala Jempul;
Sebab itu sebelum terlambat,
Yang masih ada mesti dikumpul.

111
Dari Merba ke Sediman,
Singgah sebentar di Nenasi;
Perkara mengumpul jika diabaikan,
Warisan budaya hilang di bumi.

112
Dari Peramu ke Tanjung Batu,
Singgah menjala di Api-Api;
Masa itu baharulah tahu,
Bumi ni rendah langit nan tinggi.

113
Dari Jelu hilir ke Mela,
Hilir singgah di Lubuk Mia;
Sebelum melakukan sesuatu perkara,
Fikir dahulu buruk baiknya.

114
Hilir singgah di Lubuh Mia,
Singgah mengail ikan tenggalan;
Fikir dahulu buruk baiknya,
Supaya tidak sesal kemudian.

115
Dari Pedah ke Kampung Sekara,
Hilir menempuh Teluk Ira;
Hendaklah jaga masa berkira,
Masa ini ramai yang loba.

116
Dari Beroga pergi ke Pontian,
Singgah bermalam di Tanjung Leban;
Hendaklah jaga memilih kawan,
Tak kena gaya menjadi beban.

117
Dari Jelam mudik ke Lanar,
Singgah makan di Kampung Bintang;
Bercakap malam dengar-dengar,
Bercakap siang pandang-pandang.

118
Dari Beletik ke Lubuk Belida,
Naik ke darat membeli cili;
Buat baik berpada-pada.
Buat jahat jangan sekali.

119
Dari Melaka ke Kuala Lanar.
Pergi meraih buah kuran;
Jangan takut bercakap benar,
Kerana itu tanda kejujuran.

120
Dari Bera hilir ke Tanjung,
Dari sana terus ke Penyagu;
Kalau tak dipecahkan ruyung,
Macam mana mendapatkan sagu?

121
Dari Bengit ke Mentenang,
Singgah menangguk di Teluk Ira;
Pisit-memisit, pinang-meminang,
Jemput-menjemput, sila-menyila.

122
Dari Beruas ke Pekan Seberang,
Singgah menajur di Pulau Tambun;
Tebas menebas, cerang mencerang,
Bakar membakar, perun memerun.

123
Dari Tebat hilir ke Pekan,
Singgah bertanak di Gancong Hilir;
Ibu ibarat seperti dian,
Anak diterangi semenjak lahir.

124
Dari Kelola ke Kuala Tahan,
Singgah bermalam di Pasir Durian;
Walau sentiasa dalam kesibukan,
Anak tetap dalam jagaan.

125
Dari Bugis ke Api-Api,
Mari berehat di pekan Nenasi;
Kasih ibu kasih sejati,
Kasih tak boleh ditukar ganti.

126
Dari Pelak ke Kuala Jengka,
Mudik dengan perahu sampan;
Sebab itu hendaklah dijaga,
Kasih ibu jangan dihampakan.

127
Dari Pesagi ke Tanjung Penyengat,
Berhenti sebentar di Mentiga;
Sebagai lagi wajiblah ingat,
Jangan sekali derhakakan dia.

128
Dari Bawang ke Tanjung Batu,
Singgah makan di Kampung Selamat;
Orang yang suka derhakakan ibu,
Hidupnya sentiasa tidak selamat.

129
Dari Benta hilir ke Pekan,
Hilir hendak membeli ikan;
Itulah saja hendak dipesan,
Moga-moga diberkati Tuhan.

130
Dari Bera hilir ke Pekan,
Hilir membawa buah berangan;
Walau hidup dalam kemewahan,
Kalau tak pakat orang tak segan.

131
Dari Pulau Tambun ke Pekan,
Pergi dengan perahu nelayan;
Tekun dan sabar asas kejayaan,
Rajin dan usaha tapak kesenangan.

132
Kampung Mengkasar, Sungai Mat Dulang,
Seberang dengan Pulau Maulana;
Jangan selalu berharapkan orang,
Perbuatan demikian tersangat hina.

133
Dari Jengka ke Kuala Bekah,
Dari sana terus Beluru;
Jangan cuba mencari salah,
Salah kita baiki dahulu.

134
Dari Sentang ke Ceruk Paluh,
Singgah menjala di Tanjung Penyengat;
Yang menentang dijadikan musuh,
Asal mula haram diingat.

135
Dari Sengarat ke Pengkalan Sena,
Dari sana ke Geretak Belibis;
Ingat-ingat sebelum kena,
Jimat-jimat sebelum habis.

136
Dari Beluru pergi ke Bentan,
Singgah makan di Pulau Maulana;
Sesal dahulu pendapatan,
Sesal kemudian tiada berguna.

137
Dari Lebak ke Kampung Cendur,
Singgah bermalam di Kuala Bera;
Terlajak perahu boleh diundur,
Terlajak kata besar bahaya.

138
Dari Sepat ke Batu Kunta,
Naik ke darat terus memanah;
Ingat-ingat kita berkata,
Masa ini banyak fitnah.