Thursday, July 31, 2008

Peristiwa 13 Mei 1969

Menjadi Mahasiswa Baru UM

Surat daripada Universiti Malaya meminta saya melaporkan diri sebagai pelajar baru sesi 1969/1070 pada 12 Mei. Walaupun agak berdebar, tapi saya cukup gembira kerana terpilih ke Fakulti Sastera UM itu.

Urusan keperluan asas telah selesai: Rumah tumpangan dicari oleh Abdul Munir Abdul Basik di Paramount Garden, sebuah rumah teres dua tingkat dan kami menyewa di tingkat bawah yang ada tiga bilik. Mengikut Munir, tuan punya rumah ini tidak mahu menyewakan rumahnya kepada pelajar universiti; jadi Munir mengenalkan dirinya sebagai seorang Pegawai MARA, untuk menyelesaikan masalah.

Yang bersetuju tinggal bersama ialah Musa Ahmad (guru lepasan MPB), Saiyed Noordin Saiyed Kassim (guru lepasan RTC), Abdullah Ibrahim (bekas pelajar SMART, orang Kampung Mengkasar, Pekan), Mohd. Nashoha. Mohd Amin (bekas pelajar SMART, orang Pahang Tua), Engku Abdul Azah Syed Alwee (bekas pelajar SMART, orang Terengganu) dan saya sendiri. Kecuali Musa, yang lain semuanya belum berkahwin pada masa itu (termasuklah Munir yang mengaku demikian). Susunan bilik juga telah dipersetujui: Musa sebilik dengan saya, menempati bilik paling hadapan; Saiyed sebilik dengan Munir bilik kedua; yang tiga orang kami anggap sebagai masih ’budak-budak’ dan mereka tinggal sebilik di bilik belakang. Tidak ada katil di rumah itu. Kami semua tidur di lantai. Nasib baiklah di dalam bilik telah dibuat lantai papan (bukannya parquet) untuk mengelakkan kesejukan simen.

Kami bertolak sebelah tengah hari 12 Mei dalam dua buah kereta. Kereta saya, jenis Volkswagon (BU 1942) dan sebuah lagi kereta Mazda kepunyaan Saiyed Noordin. Engku Azah datang sendiri dari Terengganu. Munir tidak datang bersama kami. Dia memang seorang yang memiliki ’lesen besar’.

Sehari sebelum itu Pilihan Raya Umum. Saya mengundi secara pos kerana bertugas sebagai Ketua Tempat Mengundi Sekolah Kebangsaan Pulau Jawa, Pekan.

Tidak mudah juga mencari rumah di Seksyen 20 itu. Seksyen itu bersebelahan dengan SEA Park, sebuah kawasan perumahan dan perniagaan besar yang sedang dalam pembinaan. Kecuali Munir, orang lain belum pernah sampai ke kawasan itu. Landmark yang diberi ialah kilang cat Session, kilang Colgate-Palmolive, kilang Dutch Baby, kilang Brylcreem, Pejabat Pos Jalan Semangat. Walaupun nama-nama itu sangat biasa, tetapi mencarinya di kawasan yang serba asing itu bukanlah mudah.

Dengan penuh sabar tetapi gelisah akhirnya kami temui juga rumah yang dicari-cari. Telah ada dua buah kereta di dalam kawasan rumah, kepunyaan penghuni tingkat atas. Seorang memperkenalkan dirinya sebagai jurutera elektrik lulusan Australia dan seorang lagi ahli perniagaan. Kedua-duanya teman berketurunan Cina itu berkeluarga. Jiran sebelah kanan juga orang Cina, yang ada tiga buah kereta di dalam pagar rumah mereka. Sebelah kiri rumah lorong yang muat sebuah kereta untuk pergi ke rumah-rumah belakang.

Jurutera di tingkat atas memberitahu kami bahawa terdapat sebuah meja pingpong di kawasan lapang (airwell) rumah kami itu. Meja itu kepunyaan beliau dan beliau memberi kebenaran untuk kami menggunakannya, kalau kami mahu. Ada sebuah peti TV buruk dan katanya masih berfungsi. Itu pun, kalau mahu kami boleh menggunakannya.

Sebelum datang untuk mendaftarkan diri saya juga berhubung dengan Ramli Mohd. Noh, kawan rapat semasa di SITC, dari Jitra yang menyatakan beliau juga diterima masuk ke UM. Berita ini sangat menggembirakan saya. Ramli ajak tinggal bersama-sama beliau di kawasan PJ Old Town, tidak berapa jauh dari kampus ITM di Jalan Othman. Beliau tinggal bersama-sama Cikgu Ishak Yaakub yang bertugas di Biro Buku Teks, Kementerian Pelajaran. Turut mendapat tempat di UM dan tinggal bersama-sama beliau ialah Saiyed Ahmad Saiyed Yassin (asal Sega, Raub dan berkahwin serta menetap di Kedah, saya sendiri belum mengenalinya tetapi tahu benar ayahnya pandai berlagu serta berqasidah kerana pernah satu masa beliau mempamerkan ketrampilannya di Dewan SITC), Aziz Khamis (saya tidak mengenalinya kerana beliau bukan bekas pelajar SITC, tetapi TUOS), Othman Mat (orang Perlis, guru lepasan MPB yang saya belum kenali) dan Abdul Karim Ismail (orang Baling, lepasan RTC yang saya belum kenali juga). Ramli memberitahu, masih ada tempat kalau saya mahu tinggal bersama mereka.

Meskipun saya sangat rapat dengan Ramli, saya tidak bersedia meninggalkan teman dari Pekan ini. Lagi pun, untuk ke kampus, lebih dekat dari Paramount Garden berbanding Kawasan Bandar Lama. PJ. Dari PJ kena melintas Federal Highway. Ini selalu mengerikan. Satu faktor menarik tentang kawasan itu berbanding Paramount Garden ialah di situ kawasan kediaman Melayu.

Sesat Barat

Selepas berehat, setelah mengemas-ngemaskan apa yang patut, kami berasa lapar dan bercadang melihat kalau-kalau ada kedai makan di deretan kedai seberang jalan di hadapan rumah kami. Malangnya tiada sebuah pun kedai makanan Islam. Ada sebuah kedai roti Vitaloaf, khabarnya kepunyaan Mara, ada kedai runcit, kedai buku dan surat khabar, kedai makanan kepunyaan orang Cina, kedai kain kepunyaan orang India Utara, klinik, kedai alatan elektrik, kedai perabot, kedai membaiki dan menjual motor. Kedai makan orang Islam sahlah tiada.

Kami bersiap-siap mencari kedai makan sebelum malam, kerana kalau mencari pada waktu malam akan menjadi lebih sulit. Kami keluar melalui Jalan Semangat, dan akhirnya secara tidak langsung bertemu dengan sebuah kedai makan di Bulatan Universiti. Kedai ini terletak di tempat tinggi, dari situ kami dengan jelas dapat memandang kilang Beechum (Brylcreem) hadapan, Kolej Islam di sebelah kanan, Jalan Abu Bakar Baginda di sebelah kiri, Sekolah Menengah Sultan Abdul Aziz di tepi Jalan Universiti yang menghala ke pintu besar Lorong Elmu, Universiti Malaya. Deretan kedai di atas bukit kecil itu ada lima enam buah sahaja.

Selepas makan kami bersetuju untuk melihat-lihat bandar Kuala Lumpur pada waktu malam. Kami menyempatkan diri singgah di Jalan Mountbatten, tempat terletaknya Jabatan Penerangan pada waktu itu. Memang ramai orang yang sedang mengerumuni display board keputusan Pilihan Raya 1969 – segala bangsa ada belaka. Mereka memperkatakan siapa menang, siapa kalah. Termasuk yang kalah dakam pilihan raya itu ialah Menteri Penerangan (Dato’ Senu Abdul Rahman) sendiri. Negeri-negeri yang jatuh atau nyaris jatuh ke tangan pembangkang ialah Selangor, Pulau Pinang, Perak, Kelantan, Terengganu. Pahang sendiri ada dua orang calon PSRM (Cikgu Zulkifli Ismail dan Sivasubramaniam) memenangi kerusi Sungai Lembing dan Tanah Putih, dalam kawasan Parlimen Kuantan.

Ada nampak kekalutan pada malam itu, tetapi tiada pula ketegangan.

Menjelang jam 9.30 malam kami bergerak ke arah PJ. Tanpa disangka, kami menghadapi kesulitan untuk mencari rumah kami. Berlegar-legar di kawasan Lebuh Persekutuan, PJ Old Town, ITM, PJ New Town, balik ke Jalan Bangsar, Jalan Semangat, Universiti Malaya, Jalan Pantai Baru... Kami singgah di stesyen minyak Esso Jalan Universiti dan bertanyakan pekerja di situ. Penerangan yang diberikan mereka tidak juga membolehkan kami berjumpa tempat yang dicari. Pada saat itu tidak ada sesiapa di kalangan kami yang berani mengatakan dia kerap ke KL dan tahu selok-belok Ibu Negara itu. Yang memang belum pernah sampai janganlah dikata.

Sesat kami telah menjadi ’sesat barat’ kata orang. Akhirnya, hampir jam 12.00 tengah malam barulah kami tiba di rumah. Dengan penuh keletihan – mental dan fizikal – kami terus tidur dengan harapan bangun pagi-pagi keesokan hari untuk mendaftarkan diri sebagai mahasiswa baru.

Mula Mendaftar

Pendaftaran pada awalnya agak lancar. Kami diberi fail, buku prospektus, tali leher, baju T dan entah apa-apa lagi. Di Art Concourse telah ada beberapa organisasi mempelawa kami untuk menjadi ahlinya. PBMUM, Historical Society, Geographical Society, Persatuan Mahasiswa Islam, Persatuan Ekonomi, Non-Hostilite Organisation, Kelab Sosialis, macam-macamlah. Tapi untuk mendaftar pemilihan mata pelajaran mesti mengikut abjad. Saya yang ejaan nama bermula dengan huruf ‘Y’ mestilah dua tiga hari lagi.

Ramli memberitahu saya dia kena balik dahulu ke Kedah kerana pendaftaran mata pelajarannya pun tersangkut. Dia mahu mengambil beberapa barang yang masih tinggal, di samping telah membeli sedikit pakaian untuk anak-anak. Dia meminta saya untuk menghantarnya ke stesyen kereta api pada petang itu kerana beliau telahpun membeli tiket kereta api ke Alor Setar yang bertolak jam 7.00 petang.

Petang itu saya dengan Saiyed Nordin pergi mengambil Ramli di PJ Old Town dan terus menghantarnya ke stesyen kereta api. Biasanya dari arah PJ kami terus ke kawasan tengah bandar untuk berpatah arah memasuki kawasan stesyen, mungkin berpusing di Bulatan Raja Muda dan singgah sebentar di Pustaka Antara. Tapi petang itu kami terus sahaja membelok ke stesyen melalui bulatan di hadapan Masjid Negara. Selepas menurunkan Ramli, kami terus balik ke PJ.

Sebelum tiba di rumah kami makan dahulu di kedai yang kami biasa makan dekat Bulatan Universiti. Budak-budak di rumah turut memesan nasi bungkus sebungkus seorang.

(Itulah makan nasi terakhir kami untuk lima hari kemudiannya, kerana seluruh KL dan PJ dikenakan perintah berkurung dan di rumah kami tidak ada apa-apa untuk dimakan, selain minuman kordial, roti dan sedikit kudapan yang dibawa dari rumah).

Berita Cemas

Semasa kami sedang menikmati makanan nasi Malaya, seorang wanita separuh umur masuk ke kedai itu dengan termengah-mengah. Dia menanyakan kami di mana kami tinggal. Kami memberitahunya bahawa kami tinggal di Paramount Garden.

”Cepat-cepat makan. Lepas ini balik terus ke rumah, dan jangan keluar-keluar lagi. Ada orang tengah bergaduh di Gombak, Kampung Baru, Datuk Keramat, Kampung Pandan dan Jalan Tuanku Abdul Rahman,” katanya dengan nada cemas.

Kami tidak berasa cemas, tapi terpengaruh juga dengan nasihat wanita tadi, dan terus balik. Tiba di rumah masih seperti biasa. Tiada siapa yang tahu apa yang sedang berlaku pada petang itu di Kuala Lumpur kerana kami tidak memiliki radio. TV buruk kepunyaan jurutera Cina itu pun tak tahu boleh dipakai atau tidak. Kami dari Pekan pada masa itu belum biasa dengan TV kerana siaran TV belum sampai ke sana.

Malam itu lalu lintas semakin berkurangan dan akhirnya senyap. Dini hari saya mendengar hebahan dari helikopter atau kapal terbang kecil yang terbang rendah di kawasan kediaman kami; tapi hebahan itu dalam bahasa Cina. Puas saya menanti juga kalau-kalau ada hebahan dalam bahasa Melayu atau Inggeris, tetapi tiada.

Tidur kami sangat singkat malam itu.

Keesokan paginya kami bangun dan jalan raya sunyi senyap. Kadang-kadang ada kereta polis dan askar melintas dengan laju. Kedai semuanya tutup, kecuali kedai India yang menjual akhbar dan barang-barang runcit dan kedai Vitaloaf tadi.

Kami memang mengagak sesuatu yang buruk berlaku. Akhbar hari itu tidak terbit. Untuk menyedapkan hati kami mula menambah bilangan air minuman dalam botol dan kordial, membeli beberapa tin sardin, tetapi terlupa pula membeli gula, milo, ovaltine atau kopi. Kami juga membeli roti dan sedikit biskut. Betul juga, kalau dibeli kopi dan gula pun kami mana ada cerek elektrik untuk memasak air. Kami juga tidak membeli beras kerana sekiranya beras ada, hendak memasak nasi di dalam apa? Dapur di rumah kami memang tidak mungkin boleh berasap. Lagi pun, kami masih mengharapkan esok lusa dapat makan nasi di kedai langganan kami di Bulatan Universiti itu.

Bagaimana untuk ke kampus, menyambung kerja pendaftaran yang masih belum selesai? Malapetaka barangkali telah menimpa negara, dan kami yang di perantauan ini turut menanggung akibatnya!

Wednesday, July 30, 2008

Serbuk Kopi Cap Gajah

Kopi Berempah

Nampaknya judul yang mahu saya ketengahkan kali ini agak pelik sedikit. Pernahkah anda mendengar atau menikmati minuman kopi yang dibacuh menggunakan Serbuk Kopi Cap Gajah?

Semasa kecil, di sekeliling rumah kami terdapat enam rumpun batang kopi. Saya suka melihat bunga kopi yang putih bersih, malah lebih suka mencium baunya yang lembut wangi itu. Dengan hanya enam rumpun kopi, biasanya dapat digunakan untuk bahan minuman sekeluarga, malah kadang-kadang boleh diberikan pula kepada jiran tetangga atau keluarga yang datang berkunjung.

Buah kopi bila sudah masak berwarna merah, semakin masak warna merahnya semakin tua. Masa itulah buah-buah itu dipetik, dimasukkan ke dalam baldi atau raga, kemudian dibersihkan sebelum direbus dengan air mendidih supaya kulit arinya tertanggal dari isinya. Di bawah kulit ari – kulit ini manis rasanya dan kami kerap menjamahnya – yang tanggal itu terdapat lapisan kulit yang rapuh. Kulit ini lebih mudah tanggal selepas biji kopi itu dikeringkan pada panas matahari. Disebabkan biji kopi agak banyak, kulit rapuh itu lebih mudah dibuang dengan menumbuknya di dalam lesung. Selepas itu dapatlah biji kopi baku.

Untuk dijadikan kopi, biji kopi baku itu kenalah digoreng di dalam kuali (tanpa sebarang minyak). Orang kampung kami memasukkan rempah semasa menggoreng biji kopi untuk menjamin keenakan rasanya. Rempah yang digunakan adalah halia bara, kulit kayu manis, jintan manis, gula kerek, dan cengkeh. Semasa menggoreng itu pun sudah terbau aroma harumnya. Setelah semuanya hitam (masak), campuran itu ditumbuk sampai lumat dan diayak untuk mendapatkan serbuk kopi yang betul-betul halus. Demikianlah, ditumbuk, diayak beberapa kali. Serbuk kopi itu dipanggil kopi berempah.

Biasanya, selepas kerja menumbuk kopi itu selesai, Emak membancuh kopi untuk diminum bersama. Kalau ada biskut 'balak' atau rebus ubi kayu, suasana meminum kopi petang itu tentulah menjadi lebih meriah lagi.

Sebenarnya, daun kopi juga boleh dijadikan minuman yang enak. Ambil daun yang tua (berwarna perang), bersih dan masukkan di dalam air panas, sebagaimana membancuh teh. Air daun kopi kami panggil air kahwa. Rasanya tidak kalah berbanding teh. Dalam sejarah Pahang, semasa Wan Ahmad mengatur strategi bersama-sama pengikutnya untuk memerangi kekandanya Wan Mutahir dalam Peperangan Saudara di Pahang yang terkenal itu, mereka berbincang sambil meminum kahwa. Sebagai mengenang peristiwa bersejarah itu, setelah baginda menang dan menjadi Sultan Pahang, diabadikanlah daun kopi pada logo negeri Pahang. Lambang daun kopi pada logo itu ramai orang keliru, mengatakannya sebagai tombak. Bukan! Daun kopi itu sebenarnya terletak pada mata lembing yang tarannya menghala ke bawah.

Seorang teman saya Sdr Abdul Munir bin Abdul Basik, semasa kami sama-sama tinggal di Paramount Garden, Petaling Jaya, sekitar 1969-1970, setiap kali balik ke kampus, ibunya pasti membekalkan kopi berempah. Kami seronok diajak menikmati kopi nostalgik ini. Saya tak tahu beliau yang sekarang bergelar Dato’ masih mendapat bekalan kopi berempah lagi, kerana setahu saya ibunya telah lama meninggal dunia. Saya tahu, kalau tidak meminum kopi berempah beliau akan berasa ’tak sedap badan’.

Dahulu kopi berempah ada dijual di dua buah gerai barang-barang kering di Pasar Pekan. Tahun lepas (2007) ketika saya mencarinya, kopi jenis itu tidak terdapat lagi. Mengikut tuan punya gerai, pembuat kopi berempah yang biasa itu tidak lagi menghantar jualannya ke situ.

Kalau mahu kopi berempah anda boleh pergi ke Pekan Sahari atau Pasar Tani Pekan. Mak Kecik Zalmah yang tinggal di Tanjung Medang ada menjualnya. Tapi, baru-baru ini, Mak Kecik Zalmah sendiri pun jatuh sakit pula, jadi tiadalah lagi orang berjual kopi berempah di Pekan. Saya suka berhubung dengan beliau, kerana selain ada hubungan keluarga jauh, beliau kuat sangat melatah. Kalau kita senyum sahaja kepadanya pun boleh menjadikan beliau terlatah. Saya doakan agar Mak Kecik Zalmah kita tu biarlah cepat sembuh dan mengusahakan semula kopi berempahnya.

Saya harap akan ada orang lain yang meneruskan usaha membuat kopi berempah yang merupakan tradisi orang Pekan ini. Bagi saya, inilah antara keistimewaan Pekan, Bandar Diraja Pahang itu.

Kopi Cap Gajah

Nah, sekarang tentang Serbuk Kopi Cap Gajah. Seingat saya, kopi ini dijual di kedai runcit di kebanyakan kampung. Serbuk kopi ini dibuat oleh LIAN HUAT & CO yang beralamat di No. 15, Pesiaran Segambut Tengah, 51200 Kuala Lumpur. Selain ada cap gajah, syarikat ini juga menggunakan 333 sebagai sebahagian daripada tanda perniagaannya.

Ada beberapa perkara yang menarik hati saya tentang kopi ini. Pertama, tentang gambar lukisan seekor gajah yang menjadi sebahagian tanda perniagaannya. Gajah itu nampaknya sangat comel, jinak, baik dan seolah-olah sangat mengikut kata. Sekiranya anda ada wang yang cukup untuk membeli gajah bagi dipelihara, saya tidak ragu-ragu lagi mencadangkan untuk membeli gajah yang serupa dengan lambang Serbuk Kopi Cap Gajah itu.

Sekitar tahun 1950-an, harga setin kopi yang beratnya kira-kira 420 gram (dahulu dikira tahil dan kati) hanya 60 sen. Perkembangan inflasi dan pelbagai macam kenaikan harga menyebabkan harga kopi itu sekarang mencecah RM5.80 sen. Harga ini adalah harga sebelum kenaikan harga minyak sedunia baru-baru ini.

Dahulu, tin kopi ini hanya dibalut dengan kertas bertulisan bahasa Melayu, Cina dan Inggeris. Kadang-kadang belum pun kopinya habis, balutan pada tin itu tanggal. Maklumlah, dipegang setiap masa, dan kadang-kadang dipegang dengan tangan basah pula. Kini tulisan pada tin dicetak terus dengan cat yang bermutu baik dan tidak mungkin mudah tanggal.

Kedua, terdapat tanda halal pada tinnya; tapi tanda ini bukan dikeluarkan dengan logo JAKIM atau mana-mana organisasi penentu halal. Begitu pun, saya belum pernah mendengar sesiapa pun membangkitkan isu halal yang dibawa oleh tanda halal pada tin itu. Nampaknya semua orang berkompromi tentang hal halal pada produk tradisi ini.

Ketiga, maklumat yang tercatat pada tin kopi ini sangat tidak sekata. Dalam tulisan jawi terdapat catatan:
”Serbuk Kopi Cap 333 Gajah ialah serbuk kopi yang baik. Diperbuat oleh Lian Huat Kompeni. Sedap dan wangi, diperbuat ahli pekerja yang mahir dan pula tidak dicampur dengan biji-biji yang lain. Ribuan penduduk Malaya yang telah memuji Serbuk Kopi ini. Silalah beli, harga murah dan sedap.”

Maklumat yang lain dalam bahasa Melayu tulisan rumi menyebut:
Serbuk Kopi Bercampur. Biji Kopi 60%, Gula 18%, Biji Gandum 20%, dan Marjerin 2%.

Maklumat dalam bahasa Inggeris pula menyebut: This mixture contains not less than sixty percent (%) of coffee with fourty percent (%) of oats, sugar and margarine.

Ketidaksekataan maklumat ini pun tidak pernah sesiapa mempertikaikannya sebelum ini. Para penggemar Serbuk Kopi Cap Gajah menerima maklumat itu seada-adanya dan dengan rela hati.

Kini, tanpa ada orang yang mengganti Mak Kecik Zalmah menjual kopi berempah di Pekan, kami masih menggunakan sekali sekala serbuk Kopi Cap Gajah, yang masih dijual di kedai-kedai kecil tetapi tidak terdapat di mana-mana supermarket atau hypermarket yang ada di tempat kami.

Tuesday, July 29, 2008

Buku Baru Saya

Idealisme dan Pemikiran Tun Abdul Razak adalah buku terbaru saya. Buku ini diterbitkan oleh Institut Peradaban Melayu Universiti Pendidikan Sultan Idris. Maklumat buku: kata pengantar; xix + 448 halaman; kertas art; bergambar; bibliografi; indeks; kulit keras dan kulit lembut (berjeket); ISBN 078-983-414316-9; nombor panggilan 923 2595; harga: RM95.00 (kulit keras).

Saya mengambil masa yang agak lama menyediakan bahan dalam buku ini. Bahan bakunya ialah siri ucapan Tun Abdul Razak yang diterbitkan oleh Arkib Negara Malaysia yang sebanyak 18 jilid itu. Kemudian saya tambah lagi dengan ucapan PM kedua yang terdapat di dalam pelbagai buku dalam bahasa Melayu dan bahasa Inggeris.

Asalnya buku itu hendak diterbitkan oleh Arkib Negara Malaysia (ANM). Kerana itulah Arkib Negara telah memberikan kerjasama yang amat baik kepada saya, malah diberi juga peluang untuk meneliti bahan arkib yang tidak termasuk dalam kumpulan classified.

Hasrat menerbitkannya melalui ANM tidak kesampaian kerana terpaksa menghadapi pelbagai halangan, termasuk pihak penilai, iaitu seorang pegawai dari Dewan Bahasa dan Pustaka tidak memberikan pandangan yang cukup positif, termasuk soal judul buku itu. Memang judul asalnya ialah Glosari Tun Abdul Razak. Saya mendapat idea menamakan manuskrip ini sebagai 'Glosari' setelah membeli sebuah buku berjudul The Dictionary of Lincoln dari Kedai Buku Universiti Stanford. Ada beberapa halangan lain yang menyebabkan buku ini tidak jadi diterbit oleh ANM.

Kebetulan penerbitnya sekarang (melalui Pengarah IPM UPSI) tertarik dengan buku itu, dan saya memohon grant penyelidikan di bawah Grant Za'ba. Penyelidikan terus dijalankan, termasuklah mendapatkan gambar lama Tun semasa di Kuantan. Saya berjaya mendapatkan gambar ini melalui seorang teman, tuan punya Chen Chew Photo Studio di Kuantan. Beliau mempunyai banyak gambar lama tapi sayangnya tidak ada rekod tarikh gambar itu diambil, di mana lokasinya dan apakah kisah disebaliknya.

Buku yang memuat ucapan Tun sejak awal hingga akhir hayatnya ini agak tebal dan informatif. Ucapan tersebut dikelompokkan mengikut perihalnya, iaitu agama, bumiputera, dasar negara, ekonomi, keamanan dan ketenteraman, kebajikan, kenegaraan, luar bandar, pembangunan negara, pendidikan, penyusunan masyarakat, perhubungan antarabangsa, pertahanan dan ketenteraan, pertanian, politik, sains dan teknologi, sikap dan personaliti, sosio-budaya, sukan dan olahraga serta wanita. Saya mengucapkan terima kasih kepada Profesor Dato' Dr. Ahmad Haji Zainuddin, Cik Asiah Abdul Rahman dari IPM dan Dato' Hajah Rahani Jamil mantan Pengarah Arkib Negara Malaysia serta pegawai-pegawainya yang sangat baik hati terhadap saya.

Monday, July 28, 2008

Perubahan Judul

Mulai 28 Julai 2008

Rupa-rupanya penyusunan judul dalam bentuk angka tidak semuanya memudahkan. Bukan sahaja pengunjung Blog sukar mencari tulisan berdasarkan judul tertentu malah penulis sendiri mengalami kesukaran yang sama.

Maka, mulai hari ini semua artikel dalam blog ini diberikan judul tertentu yang dapat menggambarkan isi kandungan di dalamnya. Sekiranya masih sukar untuk mengenal pasti artikel yang mana satu, sila rujuk kepada Label yang terdapat di penghujung artikel. Penulis menggunakan label: Rencah Pendidikan, Kisah Diri Sendiri, Rempah Ratus di SITC, Isu Semasa, Ingin Mencari Keluarga? sebagai pengelompokan artikel berdasarkan isu yang diketengahkan.

Selamat memblog!