Friday, January 25, 2008

Melangkahkan Kaki ke Sekolah

Sekolah Melayu Ganchong

Sekolah Melayu (SM) Ganchong adalah salah sebuah sekolah yang tertua di daerah Pakan, tetapi bukanlah sekolah yang pertama di bina baik di Pahang mahupun di Pekan. SM Ganchong dibina pada 1910.


Sekolah Melayu Ganchong (dibina 1910)

Ada kebijaksanaan pihak sekolah kerana mengekalkan bangunan asal Sekolah Melayu Ganchong. Meski dikelilingi bangunan baru serba moden, bangunan lama sekolah saya ini masih utuh dan gagah. Syukran!


Sekolah Melayu yang tertua di Pahang dikatakan dibina di Pekan sebelum negeri ini dinaungi Inggeris pada 1888. Pembinaan sekolah ini seolah-olah sebagai salah satu bahan trade-off untuk Pahang menerima Sistem Residen. Sekolah yang bertujuan mengajar anak-anak bangsawan di bandar diraja itu, mendapat khidmat seorang yang didatangkan dari Singapura iaitu Encik Embong bin Wan Teleng yang juga menjadi guru di situ dengan mata pelajaran awalnya ialah Membaca, Menulis, Mengira dan Lukisan. Sekolah tersebut terletak di tebing sebelah kiri hilir kuala Sungai Parit. Pada permulaannya hanya terdapat 15 orang murid di sekolah itu. Tulisan rumi masih belum diperkenalkan, sedangkan bahan bacaan terdiri daripada Hikayat Pelayaran Abdullah, Hikayat Kalilah wa Daminah dan Hikayat Si Miskin.

Menurut Dato’ Mahmud bin Mat dalam tulisannya yang bertajuk The First Malay School in Pahang, selepas kemenangan Sultan Ahmad dalam peperangan saudara, pihak British sentiasa memujuk baginda supaya menerima sistem Residen. Pada ketika itu jugalah Sultan Johor telah menghantar Menteri Utamanya ke Pahang dan menasihati rakan sejawatnya mengenai perkara-perkara yang berkaitan dengan urusan pemerintahan. Salah satu nasihat yang telah diperkenankan oleh Sultan Pahang ialah menubuhkan sekolah Melayu. Dengan itu, tertubuhlah sekolah pertama di negeri Pahang yang dikatakan dibina pada tahun 1880-an itu dan dinamakan Sekolah Melayu Pekan. Tarikh sebenar sekolah berkenaan dimulakan tidak diketahui secara tepat tetapi apabila British campur tangan di Pahang pada tahun 1888 sememangnya sudah terdapat sebuah sekolah Melayu di Pekan. Residen British di dalam laporannya menulis seperti berikut:

“I may mention that a Government School was opened at Pekan, in the month of October and that it is now regularly attended by more than fifty boys.”

Sebenarnya ada dua pendapat mengenai guru pertama yang mengajar di sekolah tersebut. Menurut satu pendapat, guru pertamanya ialah seorang anak Pahang yang mendapat pendidikan di Singapura. Beliau dipanggil balik untuk mengajar di sekolah tersebut atas titah Sultan Ahmad. Pendapat lain pula mengatakan ketika itu di Pahang tiada sesiapa yang berkebolehan untuk mengajar. Maka, seorang guru bernama Encik Embong bin Wan Teleng terpaksa didatangkan dari Singapura untuk mengajar anak-anak Pahang. Walau apapun pendapat yang dikemukakan yang penting ialah kewujudan Sekolah Melayu Pekan ini sebelum campur tangan pihak British di negeri Pahang telah membuktikan bahawa kesedaran mengenai kepentingan pendidikan telah bertapak di hati masyarakat negeri ini terutamanya di kalangan golongan istana.

Kemajuan SM Pekan yang amat menggalakkan itu menyebabkan pihak British mula membina sekolah-sekolah lain di Pahang. Pada tahun 1888 dibina sekolah Melayu kedua di Jerantut. Seterusnya sekolah Melayu yang ketiga didirikan di Kuantan pada penghujung 1890-an yang lokasinya di sudut tapak pasar lama (berhampiran Jalan Lebai Ali sekarang). Sekolah ini kemudiannya dipindahkan ke Padang Lalang (di belakang bangunan BMW sekarang, iaitu tapak yang dahulunya menempatkan bangunan Lee Engineering). Pada 1938 murid-murid lelaki SM Padang Lalang dipindahkan ke SM Laki-laki Kuantan di Jalan Gambut (sekarang SK Teruntum) sedangkan murid-murid perempuan dipindahkan ke bangunan baru yang asalnya sebuah istana yang dikurniakan oleh Sultan Pahang di Kampung Galing Besar. Sekolah ini dikenali dengan nama SM Perempuan Galing (sekarang SK Galing).

* * *

Masuk cerita fasal Ganchong pula: Semasa saya mula-mula bersekolah di SM Ganchong, Guru Besarnya ialah Encik MOHD. YUSOF bin DAHALAN. Guru Besar sebelum beliau ialah Haji HASSANUDDIN bin Haji KASSIM. Cikgu Yusof ini nampaknya kurang terlekat di hati penduduk kampung pada masa itu kerana kebanyakan mereka masih menyebut kebaikan Cikgu Haji HASSANUDIN (yang mereka sebut Haji Hassan sahaja). Ada sepokok durian di dalam kawasan sekolah yang dikatakan ditanam oleh Cikgu Haji HASSAN. Guru-guru lain yang mengajar di situ ialah Cikgu MOHD. YUSOF bin MAT (orang Ganchong), Cikgu ZAKARIA bin ZAINAL (orang Ganchong), Cikgu ZAKARIA bin OMAR (orang Ganchong), Cikgu JASIMAN bin KASSIM (orang Ganchong), Cikgu ZAHARAH binti ATIN (orang Ganchong), Cikgu HASNAH binti IDRIS, Cikgu MAIMUNAH binti HAJI SENIK, Cikgu WAN SAEBAH binti WAN ABDUL RAHMAN, Cikgu OTHMAN bin ISMAIL, Cikgu KAMARIAH binti YAAKUB, Cikgu RAMLAH binti HITAM, Cikgu ABDUL AZIZ bin HAJI LONG, Cikgu BADARIAH binti IBRAHIM, Cikgu HASMAH binti KASSIM (orang Ganchong), Cikgu NOREHAN binti AHMAD (orang Ganchong), Cikgu HUSSAIN bin MAT JUSOH, Cikgu ABDUL GHANI bin ALI, Cikgu MANSOR bin SILONG. Guru Besarnya pula Cikgu MOHD. YUSOF bin DAHALAN yang kemudian bertukar dan tempatnya diganti oleh Cikgu MUHAMMAD bin MAN dari SK Temai. Guru Besar seterusnya ialah Cikgu ABDUL RAHMAN bin SULAIMAN (yang dikenali sebagai 'Raja Meluku' disebabkan konon pandainya bermain sepak raga). Guru-guru lain yang saya masih ingat yang mengajar di sekolah ini ialah Cikgu ABU BAKAR bin SHARIFF, Cikgu SALLEH bin AWANG, Cikgu ARSHAD bin KOMENG, Cikgu JUNID bin HUSSAIN dan Cikgu AWANG bin YUNUS, Cikgu MUHAMMAD bin AWANG NONG, Cikgu ABU KASSIM bin ABDUL GHANI, Cikgu ABDUL RAHMAN bin MUSTAFA, Cikgu WAHAB bin NOOR, Cikgu ABDUL AZIZ bin SULAIMAN, Cikgu ABDUL HAMID bin HASSAN, Cikgu AHMAD DAHALAN bin DAUD (orang Ganchong), Cikgu ABDUL HAMID bin SENTOL (orang Ganchong), Cikgu IBRAHIM bin CHIK, Cikgu MOHD. GHAZALI bin ABDUL AZIZ, Cikgu OTHMAN bin HAJI AHMAD, Cikgu ABDUL HAMID bin TALIB , Cikgu RAMLAH binti MAT, Cikgu KHATIJAH binti SULAIMAN, Cikgu ALIAH binti MOHAMED ... (nama akan terus dikemaskini).

Buku-buku bacaan yang digunakan di sekolah Melayu pada masa itu ialah:

Darjah Satu: Julung Bacaan & Benih Akal (murid) dan Kitab Hisab I (guru).

Darjah Dua : Penimbau Aka l & Baja Akal (murid) dan Kitab Hisab I (guru).

Darjah Tiga: Tangga Pengetahuan dan Pelampas Akal & Kitab Hisab II (murid); Kitab Ilmu Hisab II, Ilmu Tanam-tanaman, Pelita Mengarang, Pelita Bahasa Melayu I & II, dan Kitab Rajah Anyaman (guru).

Darjah Empat: Pelbagai Cetera Melayu, Kitab Ilmu Hisab I, II & III, Latihan Ilmu Alam Tanah Melayu, Pelita Mengarang (murid); Kitab Ilmu Hisab II & III, Latihan Ilmu Alam Tanah Melayu, Pelita Bahasa Melayu I & II, Kitab Latihan Tubuh, Ilmu Kesihata n dan Kitab Rajah Anyaman (guru).

Darjah Lima: (Mana-mana surat khabar), Sejarah Melayu, Kitab Ilmu Hisab III, Latihan Ilmu Alam Tanah Melayu, Pelita Mengarang, Pelita Bahasa Melayu I & II, Kitab Ilmu Kesihatan I (murid); Kitab Ilmu Hisab III, Latihan Ilmu Alam Tanah Melayu, Pelita Mengarang, Pelita Bahasa Melayu I & II, Ilmu Mengarang Melayu, Kitab Latihan Tubuh dan Kitab Rajah Anyaman (guru).

Darjah Enam: Buku-buku Malay Homes Library Series, Buku Malay Literature Series, Kitab Ilmu Hisab III, Latihan Ilmu Alam Tanah Melayu, Ilmu Alam Asia, Pelita Mengarang, Pelita Bahasa Melayu I & III, Kitab Ilmu Bercucuk Tanam, Kitab Ilmu Kesihatan Penggal II (murid); Kitab Ilmu Hisab I dan IV; Kitab Ilmu Bercucuk Tanam; Latihan Ilmu Alam Tanah Melayu; Ilmu Alam Asia, Kitab Ilmu Kesihatan Penggal II, Pelita Mengarang, Pelita Bahasa Melayu I dan II, Ilmu Mengarang Melayu, Ilmu Bahasa Melayu I & II, Sejarah Alam Melayu I, II, III & IV, Kitab Latihan Tubuh dan Kitab Rajah Anyaman (guru).

Selain daripada aktiviti pengajaran dan pemelajaran, sekolah pada masa itu dikehendaki menyediakan pasukan senaman, pasukan bola sepak dan anyaman. Pejabat Pelajaran mempunyai seorang pegawai khas untuk aktiviti ini dan nama jawatannya ialah Guru Pelawat Bakul (Basket Supervisor). Pegawai ini lebih dikenali dengan nama jolokan Cikgu Abdullah London, kerana beliau pernah mewakili Malaya di dalam Pameran Bakul di Wembley, London. Cikgu Dollah Bakul khabarnya tinggal di Kuala Lipis.

Untuk aktiviti Anyaman dan Pekerjaan Tangan menggunakan buluh, rotan, akar, bemban batu, tempurung, dan mengkuang. Mata pelajaran ini diadakan pada setiap hari Sabtu, malah ketika tarikh pertunjukan anyaman hampir akan diadakan kami kerap diminta menyiapkan kerja masing-masing pada waktu malam, di sekolah. Tidurlah kami di sekolah pada hujung minggu. Hasil kerja kami (biasanya bakul sampah, bakul surat, raga, senduk tempurung, tapisan kelapa daripada buluh, acuan cendol daripada tempurung, sapu tangan) ada yang dijual semasa pameran dan wangnya dipulangkan kepada tuan punyanya.

Pertunjukan anyaman peringkat negeri biasanya diadakan bersekali dengan ’hari raja ke padang’, iaitu Perayaan Hari Keputeraan DYMM Sultan pada 29 Mei setiap tahun. Pertunjukan atau SHOW ini diadakan di Pekan, biasanya di SM Perempuan Pekan. Pada hari itu juga diadakan perbarisan kehormatan Pasukan Pengakap. Saya pernah menghadiri perbarisan ini yang dirasmikan oleh DYMM Sultan Abu Bakar sendiri di SM Perempuan Pekan dengan pegawai perbarisannya Cikgu ABDULLAH bin HASSAN. Saya ke Pekan berdua dengan Ismail bin Mat Jin dan kami tumpang bermalam di rumah Yang Makandir (suaminya bekerja di Rest House Pekan). Bangunan itu kini menjadi Chief Rest House. Kami bukannya tidur di Rest House sebenar, tetapi di suatu sudut bilik dapur tempat pekerja. Yang Makandir masih ada hubungan kekeluargaan dengan kami. Pemergian ke Pekan 'mewakili sekolah' kononnya itu tidak pula diberi apa-apa oleh pihak sekolah. Tidak ada juga guru pengiring. Kami pergi atas pandai sendiri sahaja!

Pertunjukan Senaman juga merupakan aktiviti setiap tahun. Pada peringkat awal peserta SM Ganchong berlawan dengan SM Pulau Rusa, SM Pahang Tua, SM Tanjung Medang dan SM Langgar di SK Tanjung Medang. Oleh sebab murid sekolah kami tidak ramai, hampir semua murid lelaki Darjah Lima dan Enam dipilih mewakili sekolah. Saya pernah terpilih sekali berlawan di Tanjung Medang. Kami diberi (atau diminta membeli sendiri ?) uniform khas, iaitu seluar dan baju panas yang diberi selepang di dada. Setiap sekolah biasanya dibezakan pakaian mereka dari warna seluar dan selepang baju. SM Ganchong berseluar cerut warna biru. SM Langgar berseluar merah. Seorang murid dari SM Langgar, IBRAHIM bin YAAKUB semasa bersekolah dalam Sarjah Tujuh di Kuantan memakai seluar senaman merahnya itu. Apa lagi, budak-budak Kuantan terus memanggilnya Ibrahim Merah. Gelaran ini meskipun tidak digemari oleh batang tubuh itu hendak tak hendak terpaksalah juga ditanggungnya dengan berat sekali. Seingat saya yang mula-mula menggelar Ibrahim begitu ialah HASSAN bin TARMIN, seorang murid yang tinggal di Kampung Jawa.

Sepanjang ingatan saya, sekolah kami tidak pernah memenangi pertandingan senaman ini. Pada masa itu Pejabat Pelajaran mempunyai seorang pegawai khas yang mengelolakan hal senaman dengan nama jawatannya Guru Pelawat Senaman. Nama beliau ialah Cikgu ISA bin MUHAMMAD. Beliaulah yang memberi markah pertunjukan senaman itu.

Bola sepak juga merupakan aktiviti yang dipertandingkan setiap tahun. Bola sepak pasa masa itu merupakan bola kulit yang mempunyai bladder, iaitu bahagian dalam yang diisi angin. Setelah diisi angin menggunakan pam, bladder itu diikat dan ditusukkan ke dalam bola yang kemudiannya ditutup dengan mengemaskan tali pengikat sebagaimana tali pengikat kasut. Kawasan tali itu masih tersembul - tidaklah licin sebagaimana permukaan bola sekarang- dan jikalau bahagian ini kena di kepala atau tersepak sakitnya bukanlah alang kepalang!

Pemain bola dewasa pada masa itu menggunakan kasut bola yang dipanggil setopor. Kasut bola ini diperbuat daripada kulit. Bahagian hujungnya keras seperti batu dan bahagian tapaknya dipasang kulit yang berpaku panjangnya lebih kurang setengah inci. Ada enam atau lapan paku semuanya; malah ada paku besi yang menguatkan paku kasut itu kelihatan terjongol. Tidak hairanlah pada masa dahulu ada pemain bola sepak yang luka betis, kaki dan peha semasa bermain bola. Dan hal inilah juga yang menyebabkan perlawanan bola berkesudahan dengan pergaduhan berbentuk bertumbuk. Pasukan Ganchong selalu bertumbuk kalau berlawan dengan pasukan Tanjung Medang dan Pulau Rusa. Kaki bertumbuk dari pasukan Ganchong ialah Aziz dan Othman (kedua-duanya anak Tuk Penghulu Kassim) sedangkan dari pihak Tanjung Medang pula ialah Hazizi (kemudiannya menjadi seorang ustaz, seorang tuan punya dan pemandu teksi, seorang pengusaha kedai roti tetapi perniagaannya ini telah lama ditutup dan aktivis politik PAS, Semangat 46 dan pernah menjadi calon pilihan raya, terakhir dalam pilihan raya ke-12 2008, kali ini melalui PKR pula, bagi kawasan DUN Lepar, tetapi masih gagal memenanginya - setakat calon sahajalah). Ada orang mengatakan, kalau bermain bola, ada Hazizi, kalau tak bertumbuk tidak sah permainan itu. Pada masa ini Hazizi bertugas sebagai Imam Masjid Batu 8 (dekat SEMSAS Kuantan), masih memandu teksi, dalam bulan Ramadan menjadi Amil tetapi saya tidak pernah melihat dia bermain bola lagi.

Wednesday, January 23, 2008

Memecahkan Ruyung

PERSEKOLAHAN AWALKU

Petang itu Tuk Penghulu Kassim bin Mohd Taib berdua dengan Tuk Mukim Sulaiman bin Abdullah (yang wajahnya mirip wajah orang Cina), datang ke rumah kami untuk memberitahu Encik (panggilan kami kepada ayah) menyuruh menghantar saya ke sekolah keesokan paginya. Rupa-rupanya telah tiba masanya untuk saya disekolahkan. Aduh! Selepas bercakap-cakap sebentar Tuk Penghulu dan Tuk Mukim itu meneruskan tugasnya memberitahu hal yang sama kepada ibu bapa lain di kampung kami. Encik meneruskan kerjanya menggunting rambut pelanggan beliau.

Selepas menghabiskan kerjanya, Encik memberitahu Emak dan saya tentang hal persekolahan yang bakal saya lalui kelak. Saya memanglah sejak dari tadi merasakan sesuatu yang tidak enak dan mendebarkan. Ini semua berpunca daripada percakapan Tuk Penghulu Kassim dan Tuk Mukim Sulaiman tadilah.

Malam itu saya memberitahu Emak yang badan saya rasa-rasanya macam hendak demam. Saya berharap dengan mengemukakan sebab yang sangat sukar untuk diterima itu, mudah-mudahan saya dibenarkan tidak bersekolah, sekurang-kurangnya untuk sehari dua lagi. Tetapi, Emak dan Encik tidak sedikitpun mengendahkan percakapan saya itu. Dan, malam itu saya cukup sukar untuk tidur. Fikiran saya sentiasa berlegar tentang apakah jenis musibah dan kecelakaan yang bakal menimpa saya apabila fajar menyinsing hari esok.

Kokokan ayam pagi itu menjagakan saya daripada tidur. Saya dengar Emak telah sibuk didapur, menjerang air. Sesekali terdengar beliau meniup api menggunakan teropong buluh pering. Encik telah ke Sungai Pahang. Encik lebih suka mandi-manda di sungai berbanding di perigi, meskipun jaraknya lebih jauh. Selain mandi dan membersihkan diri, Encik juga kerap menggunakan masa pagi itu melihat terubin, taut atau tajur yang dipasangnya petang semalam kalau-kalau mengena seekor dua baung, kaloi, temengalan, atau mana tahu ada tengalan.

Sebentar kemudian Emak turun ke perigi. Perigi itu bukan perigi kami, tapi kepunyaan Abang Sulaiman, kira-kira dua rantai dari rumah kami. Kami memang ada sebuah perigi di tepi alur, tetapi tidak digali dalam menyebabkan airnya tidak begitu jernih; langsung ditinggalkan dan menjadi 'perigi buta'. Jalan ke perigi gelap, jadi kenalah membawa karuk daun kelapa atau pelita minyak tanah. Terdapat satu saluran buluh minyak sepanjang empat ruas yang diletak menyerendeng di atas dua cabang kayu yang dipacakkan ke tanah; bahagian yang sebelah tinggi daripada yang sebelah lagi. Bahagian yang tinggi diberi berlubang besar untuk dicurahkan air ke dalamnya, sementara bahagian rendah ditebuk lubang sebesar jari kelengkeng dan disumbat dengan kayu untuk menghalang air di dalamnya daripada tumpah. Setelah air dimasukkan ke dalam salur, penyumbat kayu di bahagian rendah tadi dicabut dan memancutlah air keluar, seolah-olah air paip keadaannya. Air itu digunakan untuk mengambil wuduk. Kanak-kanak suka mandi di bawah salur itu kerana airnya yang sentiasa dingin dan menyegarkan itu tidak berhenti-henti memancut, sehinggalah air di dalam salur itu habis. Selesai berwuduk, mereka kembali sambil mencebet dua geluk air seorang. Mereka kemudiannya bersembahyang subuh dengan Encik sebagai imamnya. Saya masih di dalam kelambu, pura-pura menidurkan diri.


Emak dan Encik. Nama Emak Hajah Jah binti Dolah. Nama Encik Isa bin Subuh. Encik tidak sempat menunaikan haji tetapi hajinya dibuat oleh Abang Othman.

Gambar diambil pada 1972, sempena Majlis Konvokesyen saya di UM


Setelah selesai menunaikan solat Subuh, Encik dan Emak bercakap-cakap tentang hal saya. Yang akan menghantar saya ke sekolah ialah Encik. Emak tak perlu pergi kerana beliau akan menoreh getah. Setelah saya selesai disekolahkan, Encik terus balik dan mengangkat susu getah, sebagaimana yang dibuatnya setiap hari. Emak pula akan menakungkannya. Sebaik sahaja susu dalam takungan itu beku, mereka berdua akan memesennya. Kerja terakhir ini kerapkali akan dibantu oleh Pak Busu Daud atau isterinya Abang Asiah atau Abang Majid kerana masa itu semua pekebun kecil getah berkumpul di tempat penakungan yang terletak di hadapan rumah kami. Kerapkali juga saya atau Abang Othman membantu Emak dan Encik mengepingkan getah. Ahh! Kena jugalah saya bersekolah rupanya.

Sejurus kemudian Emak mengejutkan saya yang sememangnya telah lama terjaga. Emak membawa saya ke dapur dan memandikan saya. Saya tidak perlu ke perigi kerana Emak memang telah mengangkat air untuk mandian saya sejak petang semalam lagi. Kesejukan air perigi, ditambah dengan cuaca sekeliling yang taram-temaram menguatkan lagi rasa keengganan saya untuk bersekolah pagi itu. Walau bagaimanapun tidak sesiapa pun yang mengambil hirau tentang perasaan saya itu.

Sarapan yang Emak sediakan pagi itu ialah nasi pulut nyiur dengan kopi o. Emak tahu, inilah salah satu makanan yang saya gemar. Penyediaannya tidaklah sulit benar. Pulut dimasak tanpa santan. Apabila masak disejukkan sebentar. Kemudian emak mengukur kelapa. Kelapa kukuran itu digaulkan dengan garam yang ditumbuk halus secukup rasa. Selepas itu, dimasukkan dua sudu kelapa itu ke dalam cawan. Nasi pulut yang telah beransur sejuk itu kemudiannya dimasukkan ke dalam cawan tadi dan dipadatkan dengan menekan-nekannya dengan senduk tempurung kelapa. Setelah betul-betul padat, pulut itu ditengkuh keluar dan jadilah ia berbentuk cawan dengan dihiasi kelapa kukur di atasnya. Indah dan menyelerakan. Pulut itu boleh dimakan begitu sahaja. Kadang-kadang kami makan dengan ikan haruan masin yang dibakar, kemudian ditumbuk di lesung batu hingga dagingnya 'berkekabu', lalu dicecah dengan cuka bercampur lada hitam yang dihaluskan. Wah, sedap tu!

Menghadapi keenakan hidangan sarapan seindah itu, nyaris saya terlupa yang saya kena bersekolah pagi itu.

Emak menyediakan bekalan sekolah saya, iaitu pulut yang dibungkus dalam upih pinang dan diikat dengan tali daripada upih itu juga. Untuk minuman, Emak menyediakan kopi o yang dimasukkan ke dalam botol bersaiz setengah kati berwarna hujau tua dan ditutup dengan sabut kelapa. Barang-barang makanan ini dimasukkan ke dalam jabir mengkuang yang telah sedia ada papan batu dan kalam batu di dalamnya. Papan batu saya itu bukanlah papan batu baharu, tetapi bekas yang digunakan oleh abang semasa dia di darjah satu dulu. Bingkai papan batu itu telah tercabut dan salah satu bucunya serpih sedikit. Papan batu inilah yang saya pakai sampai ke akhirnya. Jabir itu Emak sendiri yang menganyamnya. Emak bukan sahaja pandai menganyam berjenis-jenis bakul, tetapi beliau pandai juga menganyam tangkin padi, tungap, mawas, tikar ladang, tikar mengkuang dengan pelbagai jenis kelarai yang polanya cantik dan beraneka warna.

Jarak di antara sekolah dengan rumah kami kira-kira tiga suku batu. Perjalanan yang sependek ini terasa sangat lamanya pada pagi 2 Februari 1946 itu. Bertolak dari rumah, kelihatan rumah di sebelah kiri rumah saya, kira-kira setengan rantai jaraknya ialah rumah Pak Busu Daud dan Abang Asiah. Anak-anaknya belum ada yang bersekolah. Kami seterusnya terpaksa meniti titian kayu menyeberangi alur di hadapan rumah kami. Kalau musim tengkujuh titian kayu ini tenggelam dan kami terpaksa menggunakan perahu pula. Kalau titian itu timbul ia bergolek pula: lebih sukarlah hendak menyeberang. Lebar alur ini kira-kira 100 kaki. Saya digendong oleh Encik sepanjang meniti titian kayu itu. Yang saya tak tahannya ialah di dalam alur itu ada lintah! Setelah sampai ke seberang barulah saya diletakkan ke tanah semula dan kami berjalan bertiga: Abang Othman di depan sekali, saya dan Encik. Terfikir juga saya masa itu, kalau Emak pergi sama lagilah baiknya!

Mula-mula melintasi rumah Ayah Teh Sahak dan Encik Endah, kemudian lalu di sisi rumah Mak Oda Dayang dan di sebelah kirinya rumah Chu Hawa yang bersebelahan pula dengan rumah Pak Busu Atin, yang isterinya bernama Mak Kecik Dewei. Jauh di sebelah kirinya rumah Andak Yahaya, pangkat sepupu dengan saya, yang tinggal bersendirian kerana kematian isterinya lama dahulu. Mereka ini semuanya emak saudara saya, iaitu adik-beradik dan ipar Encik. Selepas itu barulah kami bertemu jalan besar yang selari dengan Sungai Pahang.

Jalan yang saya namakan jalan besar tadi bukanlah besar sangat; cuma besar sedikit berbanding jalan ke rumah saya. Adalah kira-kira tiga kaki lebarnya. Kami membelok ke kiri dan meneruskan perjalanan ke sekolah. Kami berpapasan dengan kumpulan kanak-kanak lain yang hampir semuanya saya tidak kenal, malah kalau kenal pun kami tidak saling berteguran, Masing-masing asyik melayan fikiran sendiri-sendiri. Semua rumah yang kami temui sepanjang perjalanan ke sekolah terletak di sebelah kiri, kerana di sebelah kanan jalan ialah sungai: Sungai Pahang yang sangat saya sayangi!

Di jalan besar itu, rumah pertama yang ditemui rumah Azit anak Mak Ngah Limah, seorang yang pada masa itu hidup membujang dan pandai menyanyi sambil memetik gambus yang dia tukangi sendiri (adik Azit bersekolah sekelas dengan saya, namanya Ismail bin Mat dan dipanggil Mail Mak Ngah Limah juga); dan ini diikuti dengan rumah Pak Mat Tukang, salah seorang tukang besi di kampung kami. Di depan rumah itu ada bangsal hembus, iaitu tempat beliau menukang parang. Rumah seterusnya ialah rumah Pak Busu Kemaman. Di sisi rumah Pak Busu Kemaman juga ada bangsal embus. Di simpang jalan ke rumahnya ada sebatang pohon manggis yang tidak berapa subur. Pada suatu hari ada seekor ular tekung tebu berlengkar di atas dahan manggis itu, menyebabkan kami kanak-kanak dan orang perempuan takut lalu di bawahnya. Ular itu kemudiannya dijerat oleh Mahat Teh dengan mudahnya. Tidak sahaja ular itu dijerat, malah Mahat dengan beraninya membelah perut ular tersebut dan membuang bangkainya ke sungai. Jarak di antara rumah Pak Busu Kemaman (nama sebenarnya Othman) dengan rumah keempat agak jauh sedikit, kira-kira satu setengah rantai, iaitu rumah Pak Cu Pilus, yang nama sebenarnya Taib. Dia kemudiannya berkahwin dengan kakak saya yang berlainan ibu, iaitu Munah. Selepas itu terdapat sebuah kedai runcit kepunyaan seorang Cina yang kami panggil Kohi. Nama sebenarnya Chong Ah Hee. Isterinya seorang wanita Orang Asli yang tidak tahu berbahasa Cina. Jadi mereka berdua kena bercakap Melayulah ketika berhubung. Hampir semua orang kampungku tidak pernah mengambil hirau untuk mengetahui nama isteri Kohi ini. Dia hanya kami kenali sebagai Bini Kohi sahaja.

Selepas itu kami bertemu [ula dengan rumah Ayah Ngah Saaya, iaitu orang yang paling tua di kampungku. Ayah Ngah Saaya ini adik beradik Pak Busu Kemaman, Pak Cik Hussain dan Pak Mat Tukang. Mak Cik Sebiah pun saudara dia juga. Bila dia menceritakan kisah-kisah silam, rujukannya ialah ‘pada zaman tuan Leklo’. Kami menyangka beliau tidak tahu atau pelat menyebut Tuan D.O., rupa-rupanya barulah saya tahu kemudiannya iaitu tuan Leklo, tokoh yang disebutnya itu, ialah pegawai Inggeris yang menjadi Pegawai Daerah Pekan yang namanya Laidlaw. Beliau ini memang seorang pentadbir yang terkenal pada zamannya. Nama beliau ada tercatat dalam pendahuluan Hikayat Hang Tuah versi bertulisan jawi; malah jambatan yang merentangi Sungai Parit di Pekan, tidak jauh dari Pejabat Daerah Pekan sekarang, pada suatu masa dahulu dipanggil oleh orang-orang tua di Pekan sebagai Jambatan Laidlaw.

Seterusnya kami melintasi rumah Abang Ngah Rajak, menantu Ayah Ngah Saaya dan rumah Pak Busu Daud Kaya sebelum sampai ke rumah Hitam, anak Pak Mat Tukang, tidak berapa jauh daripada rumah Pak Long Mekbu. Pak Long Mekbu bukanlah anak jati kampung ini. Dia seorang yang cukup terkenal dengan kepandaiannya berpantun dan tahu pelagai serapah jampi termasuk jampi mengalir buaya, meskipun tidak pernah melakukannya. Katanya, kalau dia baca mantera itu di tepi sungai, pastilah datang buaya! Cerita-ceritanya, kadang-kadang banyak yang diperbesar-besarkan. Beliau juga nampaknya agak pandai bersilat dan mempunyai peralatan gendang silat yang lengkap dengan gongnya. Di tepi sungai di hadapan rumahnya dibina sebuah surau, sementara bersetentang dengan surau ada sebuah bangunan yang kami panggil guk, iaitu tempat mengeringkan isi kelapa. Pak Long Mekbu kemudiannya membuka kedai runcit di rumahnya. Saya masih ingat, salah satu barang jualannya ialah minyak rambut Aier Mata Doejoeng (Air Mata Duyung) di dalam tin empat segi berwarna hijau yang ada gambar sekerat ikan sekerat wanita, iaitu ikan duyung. Mengikut Pak Long Mekbu minyak rambut itu diperbuat dengan campuran air mata ikan duyung itulah kerana duyung sentiasa menangis siang dan malam, mengenangkan nasib dirinya yang malang itu, menyebabkan kami yang mendengarnya pun turut hiba. Inilah salah satu contoh perkara yang diperbesar-besarkan oleh beliau yang saya sebut tadi!

Jiran Pak Long Mekbu ialah Pakcik Hussain yang berbadan gempal tetapi setiap gerak lakunya agak perlahan. Kawasan rumahnya cukup luas, bersih dan cantik serta lapang. Di hadapan rumahnya ada beberapa pohon nyiur gading yang buahnya masih boleh kami capai. Beliau baharu sahaja memelihara seekor lembu jantan bersaiz besar yang katanya dibeli daripada seorang Benggali (Sikh) bernama Santu (sebenarnya Santokh Singh) di Pekan. Di kawasan lapang di hadapan rumahnya inilah selalu diadakan pertunjukan seperti Wayang Bangsawan dan Mak Yong. Kalau Sultan Pahang melawat ke kampung ini, di sinilah juga diadakan keraian dan sambutan bersempena keberangkatan baginda. Orang kampung akan membina jambatan semacam jeti menganjur ke tengah sungai bagi memudahkan Baginda Sultan berangkat naik ke darat. Semasa orang-orang dewasa membina jambatan itu kami mengambil peluang mandi manda di sungai seenak-enaknya; sedikit pun tidak takut. Apa yang hendak ditakutkan, kerana kami dikawal oleh orang-orang dewasa yang begitu ramai, buaya pun mungkin gentar melihat ramainya orang di situ. Dan, dalam peristiwa itulah saya buat pertama kali digigit ikan buntal pada jari kelengking kaki kanan. Saya terdengar bunyi kerraap! begitu, tetapi tidak terasa sakit. Saya terus naik dan jari saya bersememah darah. Orang-orang terus mengambil pelepah pokok jarak dan menuang getahnya ke tempat luka. Darah luka itu terus membeku dan lukanya bercantum. Wah, senangnya ubat tradisional berkesan! Kawan-kawan mengejak saya mengatakan, ikan buntal itu salah gigit. Sepatutnya hujung anu saya yang digigit, dan saya tak payahlah bersunat lagi. Hei, kalau kena di situ, malu besarlah saya agaknya petang itu.

Beberapa tahun kemudian, Pakcik Hussain berangkat ke Mekah. Di Tanah Suci itu kami mendapat khabar yang beliau hilang entah berapa hari, sehingga orang kampung turut bersembahyang hajat. Akhirnya beliau ditemui juga: dalam keadaan segar-bugar. Saya memberanikan diri bertanya, beliau hilang ke mana. Mengikut beliau, pada suatu hari beliau berjalan-jalan selepas sembahyang asar, lalu tersesat. Ada orang Arab melambai-lambai beliau masuk ke rumahnya. Rumah itu di dalam lubang (dalam tanah) di celah-celah batu. Di situlah dia duduk. Orang Arab itu sangat baik, dan memberinya makan minum. Maklumlah orang Arab, katanya sambil tersenyum. Semasa saya menunaikan haji, cerita Pakcik Hussain ini hadir kembali dalam ingatan saya, tetapi saya tidaklah berani cuba mencari orang Arab yang baik hati, yang rumahnya di dalam lubang dicelah-celah batu itu!

Saya ingat sangat pada suatu hari belia-belia kampung bermesyuarat dan bersetuju untuk menubuhkan sebuah kelab di kampung ini. Di tapak dekat rumah Pak Cik Hussain itulah mereka membangunkan rumah kelab yang dicadangkan itu. Rangka bangunan itu telahpun dibangun dengan menggunakan kayu bulat yang mereka ramu dari hutan di sekeliling kampung. Walau bagaimanapun kerangka bangunan kelab itu tetap tinggal kerangka, sehingga beberapa bulan kemudian kayu kasaunya jatuh sebatang demi sebatang. Golongan tua menempelak mengatakan ‘kelab’ kita telah bertukar menjadi ‘gelap’.

Di sebelah hilir rumah Pak Cik Hussain ialah rumah Mak Cik Seriah. Kawasan rumah ini selalu suram kerana dinaungi oleh pohon-pohon besar. Kalau hujan, biasanya kawasan inilah yang paling lecak dan paling lambat keringnya. Bersebelahan rumah Mak Cik Seriah ialah rumah Ayah Ngah Ripin dan isterinya Embong Banun. Saya suka lalu berhampiran dengan rumahnya kerana seronok melihat beliau menarah kayu untuk dibuat bajak atau tajak. Kawasan ini juga dinamakan Cagar Hutang kerana apabila musim banjir di situlah yang awal-awal ditenggelami air dan arusnya deras. Ini menyebabkan orang membelat dan memasang lukah. Hasil tangkapannya banyak sehingga tempat itu bolehlah dicagarkan untuk melunasi hutang hasil daripada jualan ikan yang didapati itu. Jenis ikan yang diperolehi ialah terboi, temperas, loma, kerai, batulu dan lain-lain.

Mak Cik Seriah berkahwin dengan seorang orang Jawa yang bernama Selimin. Turut tinggal bersama Mak Cik Seriah ialah emaknya, Tuk Sebiah. Selepas Mak Cik Seriah ialah rumah Abang Stan, sepupu saya di sebelah bapa. Kemudian rumah Haji Mamat. Beliau ialah bekas Tuk Mukim. Biasa juga orang memanggilnya Haji Bekas, atau Bekas Mukim. Kami memanggilnya Ayah Ngah Mamat. Sebagaimana rumah Mat Tukang, rumah Ayah Ngah Mamat ini juga ada bangsal hembus. Beliau seorang tukang besi yang cukup terampil. Pernah beliau menempa sebilah pedang dan diberikannya kepada saya, lengkap dengan sarungnya. ‘Awak simpan ni!’, katanya sambil ketawa. Beliau kuat ketawa dan ketawanya agak khas. Meskipun tidak meminta, saya berikan Ayah Ngah Mamat RM40.00 untuk harga pedang itu. Dia nampaknya sangat gembira dengan pemberian saya itu.

Di sebelah hilir rumah Ayah Ngah Mamat ialah rumah Mahasan. Ayah Mahasan namanya Gendut. Menurut Emak, Pak Gendutlah yang mencari daun herba untuk membuat air serum untuk memandikan saya semasa bayi. Di sekeliling rumah Mahasan ini ada beberapa batang pohon durian. Dalam musim durian, rumah dia memang menjadi tumpuan orang untuk membeli durian. Di kelompok itulah juga terdapat rumah Pak Long Awang Long. Isteri beliau, kakak kepada Mahasan.

Kemudian rumah Ngah Sahak sekelamin, iaitu menantu Ayah Ngah Mamat. Rumahnya dalam kebun getah. Isteri Ngah Sahak namanya Ne dan mereka ini kahwin sepupu. Tidak lama kemudian Ne dapat menjadi Bidan Kerajaan dan bekerja di Hospital Kuantan. Ngah Sahak turut pindah ke Kuantan, dan kemudiannya dia sendiri dapat bekerja sebagai kakitangan Hospital itu juga.

Kira-kira 200 ela dari rumahnya ialah rumah Pak Cik Aman, yang nama sebenarnya Abdul Rahman. Beliau seorang mualaf yang loghat Cinanya masih pekat sangat. Saya pernah melihat Pak Cik Aman meracik kayu balak menggunakan gergaji besar hingga menjadi papan. Semua kerja, dari menaikkan balak ke atas pelantar hinggalah menyurung dan menarik gergaji besar itu dikerjakannya seorang diri! Saya hairan bagaimanakah beliau boleh melaksanakan kerja yang cukup berat itu seorang diri.

Selepas rumah Pak Cik Aman, betul-betul di hadapan sekolah ialah rumah Mak Ngah Tik. Beliau ini tinggal bersendirian di rumah kecil itu. Ada orang kata Mak Ngah Tik ini bukannya orang perempuan tulen. Alat kelaminnya, kononnya hampir-hampir tersumbat - tidak ada lubang atau lubangnya kecil sangat! Dia dikatakan pernah berkahwin dengan Mat Borak tetapi berpisah beberapa hari kemudian. Mak Ngah Tik ada seorang adik lelaki yang bernama Ibrahim Midun. Dia masuk sekolah sama sehari dengan saya dan kami terus berkawan. Walaupun kami berkawan, tetapi kisah misteri Mak Ngah Tik, kakak Ibrahim ini tidak diketahui bagaimana cerita yang sebenarnya.

Nah, kini kami pun tibalah di hadapan kawasan sekolah yang sangat bersih dan tersusun nampaknya. Degupan jantung saya bertambah kencang. Suasana ceria kawasan sekolah yang dipagari dengan buluh cina dan diserikan pula dengan kuntuman bunga blue-bell yang batangnya melilit di celah-celah pohon buluh cina serta pelbagai jambangan bunga yang beraneka warna sedikit pun tidak menenangkan hati saya yang bakal menghadapi ‘malapetaka besar’ pada pagi hari yang cerah itu!

Setelah bertemu dengan guru besar, saya ditinggalkan oleh Encik pada seorang guru yang nampaknya mengunyah sirih dengan pesanan yang cukup tertib ucapannya iaitu meminta supaya saya dirotan sekiranya malas atau membuat apa-apa kesalahan - asalkan jangan patah dengan buta, gasaklah! Kegelisahan hati saya bertukar menjadi kengerian dan hiba yang sangat menusuk kalbu. Meskipun Cikgu itu memang orang kampung saya, saya sendiri tidak ingat adakah saya pernah menemuinya atau tidak. Dia duduk di kerusi. Di atas mejanya ada beberapa buah buku. Mulutnya masih berkomat-kamit mengunyah sirih. Air sirih yang berwarna merah tua berbaur dengan air liurnya jelas kelihatan membasahi rekahan pada kedua-dua bibirnya. Dia masih belum mengeluarkan sebarang kata.

Itulah guru saya yang pertama: Cikgu Mohd. Yusof bin Mat. Umurnya pada masa itu saya fikir belumpun mencapai empat puluh tahun. Beliau yang baru tamat dari Sultan Idris Training College Tanjung Malim itu berbadan kecil tetapi kelihatan kesing. Dia memang orang Ganchong, tetapi kampungnya ialah Kampung Ganchong Hulu. Saya jarang benar pergi ke sana.

Mukim Ganchong terbahagi kepada lima buah kampung iaitu Kampung Tanjung Batu, Kampung Kiambang, Kampung Ganchong Tengah, Kampung Ganchong Hulu dan Kampung Aceh. Berbeza dengan kampung-kampung lain, Kampung Aceh terletak di seberang Sungai Pahang. Di hadapan Kampung Kiambang terdapat beberapa buah pulau, dan yang terbesar sekali ialah Pulau Ganchong. Terdapat kira-kira 15 keluarga tinggal di pulau ini, dan salah satunya ialah keluarga Tengku Osman bin Tengku Muda Ali yang pada suatu masa dahulu pernah memegang jawatan Penghulu Ganchong. Tengku Osman merupakan kerabat yang hampir dengan Sultan Pahang. Masa dulu, kalau Tengku Osman berjalan, orang-orang yang berselisih dengannya berhenti; yang berbasikal turun dari basikalnya. Akhir-akhir ini hal begitu tidak berlaku lagi. Keluarga lain yang tinggal di pulau itu ialah Tengku Bot, dan Tengku Endut. Anak-anak Tengku Bpt ialah Tengku Bakar, Tengku Abdul Rahman dan Tengku Omar. Tengku Omar pernah menjawat jawatan KSU Kementerian Buruh. Anak-anak Tengku Endut ialah Tengku Ibrahim, Tengku Suran, Tengku Rohani dan Tengku Zalmani. Tengku Bakar, Tengku Abdul Rahman, Tengku Omar, Tengku Ibrahim pernah bersekolah bersama-sama saya (dalam kelas yang berasingan). Tengku Rohani kemudian daripada saya dan Tengku Zalmani pernah saya mengajar semasa dia di darjah enam di Sekolah Kebangsaan Ganchong. Kebanyakan mereka ini bersekolah di Ganchong sebelum melanjutkan pengajian ke sekolah Inggeris di Pekan dan Kuantan. Tengku Endut sebelum berkahwin dengan isterinya sekarang, telahpun berkahwin dan mendapat tiga orang anak iaitu Tengku Ismail, Tengku Ali Shahadan dan seorang perempuan yang saya tidak ingat namanya. Pulau Ganchong itu termasuk sebagai sebahagian daripada Kampung Kiambang.

Cikgu Mohd Yusof ini kerap dipanggil sebagai Cikgu Yusof ‘Pendek’. Sepanjang yang saya tahu tidak terdapat pula seseorang yang digelar Cikgu Yusof ‘Panjang’. Gelaran ini sahlah diberikan kerana tubuh badannya yang tidak begitu tinggi itu. Jarak dari rumah Cikgu Yusof ke sekolah lebih kurang lima batu. Sejauh lima batu itulah Cikgu Yusof berjalan kaki pergi-balik ke sekolah setiap hari, enam hari seminggu, empat minggu sebulan dan dua belas bulan setahun selama bertahun-tahun mengajar di sekolah ini. Jalannya laju untuk disesuaikan dengan langkah pendeknya; jarang-jarang dia menoleh ke kiri atau ke kanan.

Kami yang baru masuk ini duduk bersila di atas lantai di hadapannya kerana sekolah kami tidak cukup bangku dan meja. Tidak ada yang berani bercakap. Saya kenal beberapa orang murid yang ada dalam kelompok itu. Malek anak Pak Busu Kemaman tukang besi merupakan yang terbesar badannya di antara kami. Malek telah bersekolah tahun lalu, tetapi disebabkan tidak lulus dalam peperiksaan akhir tahun, dia tidak boleh naik darjah dua. Dia masih memakai kain pelikat. Memang, selepas perang Jepun sekolah tidak mengenakan syarat yang ketat sangat tentang berpakaian. Tidak ada peraturan pakaian seragam yang dikenakan. Pakailah apa sahaja yang ada, asalkan jangan sampai telanjang. Tapi, yang satu itu, ... songkok ... wajib dipakai.

“Siapa ada loh batu?” tiba-tiba Cikgu Yusof bersuara.

“Ada cikgu!” jawab mereka yang ada. Yang tiada diam ketakutan.

Cikgu Yusof berjalan dari seorang ke seorang. Kami masih bersila. Disebabkan badannya pendek, tidaklah kelihatan beliau tinggi. Jadi kami kuranglah sedikit takutnya.

“Awak anak Pak Kecik Isa ya?” tanyanya apabila sampai ke tempat saya duduk.

Saya diam. Tak tahu nak cakap apa-apa. Takut sangat pun tidak juga. Papan batu ada, apa saya takutkan. Yang saya bimbang sedikit ialah papan batu saya tidak mempunyai bingkai dan salah satu bucunya serepeh sedikit. Papan batu ini asalnya emak saya pinjam entah dari siapa dan pernah dipakai oleh abang saya. Alat menulis loh batu diperbuat daripada batu juga dan dipanggil kalam batu.

Bangunan sekolah kami mempunyai tiang batu berbentuk bulat kira-kira besar sedikit daripada batang kelapa. Pada tiang batu itulah kami mengasah kalam batu sebelum masuk ke kelas setiap pagi dan selepas waktu rehat (yang dipanggil separuh waktu). Tiang sekolah yang tingginya kira-kira tiga kaki dari tanah itu membolehkan kami bermain-main dengan selesanya di bawah sekolah. Di bawah sekolah itulah juga kami membuka bungkusan bekalan makanan semasa rehat. Masa makan, kadang-kadang ada kawan-kawan yang tidak membawa bekal datang ‘menginding’ – meminta sedikit itu dan ini. Kadang-kadang berat juga hendak memberinya kerana yang suka menginding itu terdiri daripada yang itu itu juga.

“Nama awak siapa?”

“Yaakub, cikgu.”

“Haah, Yaakub ya?”

Aku tak menjawab. Ada rasa nak menjawab tetapi Cikgu Yusof telah bertanya orang lain pula.
Dalam keadaan yang demikian, tiba-tiba muncul Pak Long Atin, juga bapa saudaraku, membawa cucunya Ahmad Johar bin Yusof. Hah, ini memang kawan saya betul! Kawan sepermainan dan mungkin sehidup semati. Kami bermain bersama hampir setiap hari: celik matahari sahaja adalah projeknya. Kebanyakan projek itu Joharlah yang merancangnya. Kadang-kadang kami bermain di halaman rumah saya, tetapi kerapkalinya di halaman rumah Pak Long Atinlah. Meskipun pangkatnya dengan saya anak saudara, tapi umur kami sedikit sangat bezanya. Saya lebih tua sedikit daripadanya. Ketibaan Johar ke sekolah itu cukup menggembirakan saya.

Kegembiraan saya itu rupa-rupanya tidak berpanjangan. Selepas datuknya menyerahkan Johar kepada Cikgu Yusof, beliau terus beredar pulang. Apa lagi! Johar meraung menangis kerana tak mahu bersekolah dan hendak mengikut datuknya balik. Johar dah mula buat perangai. Dia tidak mahu berpisah dengan datuknya itu. Dia nampaknya sudah tak makan dipujuk lagi. Meronta-ronta sambil memegang kain pelikat datuknya. Panik dengan keadaan yang di luar jangkaan itu, Cikgu Yusof membenarkan Pak Long Atin membawa pulang cucu kesayangan yang dipanggilnya Awang Johar itu. Johar bukan sahaja tak bersekolah keesokan harinya, malah terus tidak bersekolah sepanjang tahun. Cuma tahun depan dia disekolahkan, dan kali ini dia tidak meronta-ronta lagi, apatah lagi yang menghantarnya bukan lagi datuknya kerana datuknya meninggal sebelum dia dapat di sekolahkan pada tahun itu.

* * *
Sistem kemasukan ke sekolah pada awal 1946 itu tidaklah ketat sangat. Umur pelajar di dalam sesebuah kelas itu berbeza, hingga ada yang sampai lima tahun perbezaannya. Sebab utamanya ialah kaedah kenaikan kelas yang tidak secara automatik dilaksanakan di semua sekolah. Kaedah ini menyebabkan pelajar yang gagal dalam peperiksaan akhir tertahan di kelas lama. Terdapat kes pelajar yang tertahan di dalam darjah satu selama empat atau lima tahun. Disebabkan kawan-kawan seumur dengannya telah naik ke darjah lima atau enam, pelajar yang lama tertahan di dalam darjah satu ini akhirnya berasa malu dan terus berhenti begitu sahaja. Lagi pun, pada umur itu, banyak kerja lain yang boleh dibuatnya di kampung berbanding dengan berulang-alik ke sekolah yang masih tidak tahu hujung pangkalnya itu.

Zaman itu merupakan zaman kebangkitan semangat nasionalisme orang-orang Melayu. Keperitan yang dialami zaman pemerintahan Jepun belum pun pulih, datang pula pemerintah Inggeris yang memaksakan sistem Malayan Union.

Sebenarnya, kekalahan Jepun memang disambut baik oleh penduduk Tanah Melayu. Wang kertas Jepun cap nanas, cap pokok kelapa dan cap pohon limau bali telah bertukar menjadi bahan mainan kerana tidak laku lagi. Disebabkan tiada wang yang baru, wang yang dipakai zaman British sebelum perang boleh digunakan. Kemudian keluarlah wang kertas satu sen, lima sen, sepuluh sen, dua puluh sen, dua puluh lima sen, lima puluh sen dan satu ringgit. Ada juga dikeluarkan wang kertas lima ringgit dan sepuluh ringgit, tetapi saya sendiri jarang melihatnya. Khabarnya wang kertas lima puluh ringgit dan seratus ringgit pun ada. Saya hanya mendengarnya sahaja.

Persekolahan pada masa itu dijalankan enam hari seminggu. Sebenarnya boleh juga dikatakan lima hari sahaja sebab hari Sabtu meskipun dianggap hari bersekolah tetapi hati itu cuma dipenuhi dengan aktiviti berkebun dan membuat pekerjaan tangan. Hari Jumaat tidak bersekolah.

Kelas sebenar bermula jam 8.20 pagi dan tamat jam 12.40 tengah hari. Bagi darjah satu dan darjah dua, setiap subjek diajar selama 20 minit dengan waktu rehat selama 20 minit. Mata pelajaran yang diajar dalam darjah satu ialah Sifir, Kira-kira (Perkakas), Kira-kira (Tulis), Ejaan, Senaman, Bacaan, Bercakap, Nyanyi, Tulisan, Pekerjaan Tangan, Lakonan, Lukisan, Cerita Ilmu Alam, Cerita, Cerita Tawarikh, Kesihatan, dan Berjalan. Terdapat satu ruang dalam jadual waktu yang namanya Kumpulan.

Meskipun kelas dijadualkan bermula pukul 8.20 pagi, kerapkali waktu itu pelajar-pelajar masih berkeliaran di sekitar kawasan sekolah melaksanakan tugas masing-masing mencuci kawasan. Pelajar-pelajar darjah satu dan darjah dua melaksanakan kerja-kerja yang ringan seperti berpongkes. Bila disebut berpongkes, setiap dua orang menateng sebuah pongkes, iaitu bekas yang diperbuat daripada rotan dan diberi bertelinga di kiri kanannya. Dua orang yang berpongkes tadi, seorang memegang telinga pongkes itu dengan tangan kanan, manakala temannya memegang telinga yang sebelah lagi dengan tangan kiri. Kedua-duanya membawa pongkes di kawasan yang ditentukan dan mengutip segala sampah-sarap seperti daun-daun kering, ranting kayu, kertas atau apa sahaja untuk dibuang ke dalam lubang yang disediakan. Pelajar-pelajar darjah yang lebih tinggi dikehendaki membawa parang untuk menebas rumput di taman atau padang sekolah. Apabila tiba masa berhenti masing-masing dikehendaki pergi ke sungai atau ke kolam untuk membasuh kaki tangan dan peralatan seperti parang, cakar dan cangkul sebelum dibenarkan naik ke kelas masing-masing untuk memulakan pemelajaran.

Sekiranya diketahui ada pelawat yang akan datang ke sekolah, masa membersihkan kawasan akan diperpanjangkan; malah kerapkali pelajar-pelajar diperintahkan datang ke sekolah sebelah petang untuk menceriakan kawasan sekolah.

Tempoh belajar bagi setiap satu mata pelajaran selama 20 minit itu merupakan tempoh khas bagi darjah satu dan darjah dua sahaja. Sebenarnya mata pelajaran khusus bagi kelas-kelas rendah ini ialah Kira-Kira, Ejaan, Bacaan, Tulisan, Sifir dan Congak. Pelajaran-pelajaran lain yang tercatat dalam jadual waktu diistilahkan sebagai mata pelajaran ‘rehat’. Peraturan sekolah pada masa itu membenarkan pelajar-pelajar ‘bermain’ dan ‘bertukar-tukar’ pada waktu itu. Ada arahan melarang guru-guru menjalankan terus pelajaran bertulis selepas waktu ‘kerja tulang urat’ seperti bersenam, permainan atau selepas waktu rehat kerana pada masa itu pelajar-pelajar ‘sedang panas dan berpeluh serta belum dapat duduk tetap betul bagi memerintahkan tangannya’.

Mata pelajaran Congak tidak diwujudkan di dalam jadual waktu, tetapi ia merupakan mata pelajaran penting yang biasanya digabung-jalinkan oleh guru dengan mata pelajaran Kira-Kira dan Sifir. Melalui mata pelajaran Congak kami dilatih untuk mengira pantas. Ada dua kaedah yang kurang kami gemari dalam melaksanakan subjek ini. Pertama guru memulakan subjek ini dengan meminta semua pelajar berdiri – malah tidak jarang pula kami dikehendaki berdiri di atas bangku. Sesiapa yang betul menjawab mana-mana soalan yang diberikan melalui lisan oleh guru dibolehkan turun setakuk, iaitu berdiri di atas lantai. Kalau mampu betul soalan seterusnya barulah boleh duduk di atas kerusi. Teman-teman yang kurang pick-up mungkin langsung tidak berpeluang duduk. Kaedah kedua – dan ini yang lebih diminati oleh guru kami – iaitu mengadakan sesi Congak pada waktu akhir. Siapa yang dapat dibenarkan balik dan yang kurang bernasib baik mungkinlah setelah Cikgu kehabisan soalan untuk ditanya atau balik bersama-sama Cikgu nanti!

Pada keseluruhannya, subjek Congak ini dilalui dengan rasa yang cukup berat dan amat tidak menggembirakan. Hati kecil saya selalu berdoa mudah-mudahan pada hari-hari tertentu Cikgu lupa membuat Congak. Kerapkali juga ‘doa kecil’ saya itu dimakbulkan oleh Tuhan.

Satu lagi subjek yang kurang menarik minat saya ialah Lakonan. Meskipun ada buku lakonan untuk darjah satu hingga enam, cerita-cerita di dalamnya tidak menarik, apatah lagi kebanyakanya telah dibaca oleh semua orang. Jadi apabila cerita itu dilakonkan, lakonan itu menjadi lebih tidak menarik. Kadang-kadang kami reka cerita sendiri dan Cikgu tidak melarang, malah menggalakkan kalau ada usaha begini. Mana-mana kelas yang tidak dapat mementaskan lakonan, mereka kena menyanyi; janji mesti ada persembahan.

Terdapat pertambahan mata pelajaran bagi kelas-kelas darjah empat dan lima. Kelainan yang besar ialah tempoh belajar setiap pelajaran bukannya 20 minit, tetapi ditambah menjadi 30 minit. Subjek yang ditambah ialah Tanaman, Karangan, Perumpamaan, Nahu, Surat Kiriman. Kalau darjah satu dan dua ada subjek Cerita Ilmu Alam dan Cerita Tawarikh, di dalam darjah empat dan lima subjek ini dikenali sebagai Ilmu Alam dan Tawarikh sahaja. Subjek-subjek lain terus dikekalkan dengan nama asal, termasuk Kumpulan, Lakonan dan Nyanyi.

Seorang guru mengajar serentak dua kelas adalah merupakan kes yang biasa pada masa itu. Cara melaksanakannya tidak begitu sulit kerana sekolah tidak mempunyai bilik yang berasingan. Kelas dipisahkan dengan pengadang atau tidak mempunyai sebarang pemisah pun. Ada cikgu di sekolah saya yang tidak mempunyai meja khas untuk kegunaannya, tetapi berkongsi sebuah meja dengan seorang guru lain.

* * *

Tadi telah disebut bahawa di hadapan sekolah kami terdapat pagar buluh cina. Rumpun buluh itu dipangkas rapi. Kamilah juga yang memangkasnya. Tingginya sentiasa terjaga, tidak melebihi empat kaki. Selain sebagai pagar kawasan sekolah, buluh cina itu ada kegunaan lain bagi kami. Kalam batu atau kalam raksa (nama lain bagi pensil sebelum kami menggunakan nama 'pensil') yang pendek dan sukar untuk dipegang masa menulis cikgu selalu nasihatkan agar kami menyarungkannya ke dalam batang buluh cina untuk memanjangkan jangka hayatnya. Untuk pensil pun begitu juga. Jadi, kalau betul-betul dijaga, sebatang pensil boleh dipakai selama enam atau tujuh bulan. Lama tu! Buluh cina juga boleh dibuat bedil yang pelurunya ialah putik jambu keling, jambu boi, jambu air, buah cenerai ataupun kertas yang dibasahkan. Peluru jenis itu kalau kena gaya tembakan dan tepat pula sasarannya (cuping telinga, pipi, dahi, bibir) boleh tahanlah juga sakitnya. Buluh cina yang panjang (bukan pagar di hadapan sekolah tetapi yang dekat padang bola) boleh dibuat joran kail untuk mengail ikan potak, tebakang, pepuyu, toman dan haruan.

Membersihkan loh batu ada pula caranya. Emak menyediakan satu botol kecil (botol bekas minyak wangi barangkali) yang mulutnya disumbat dengan sabut kelapa. Di dalam botol dimasukan air bersih dan diikatkan pula secebis perca kain di leher botol itu. Air dan perca kain itu digunakan untuk mencuci papan loh setelah digunakan. Kerapkali juga Emak menyuruh saya memasukkan bunga melur, bunga antui atau bunga cina di dalam botol supaya airnya berbau wangi.

Saya dinaikkan ke darjah dua lebih awal berbanding dengan orang lain. Mungkin Cikgu merasakan saya telah cukup diajari dalam darjah satu. Salah satu sebab yang saya ingat ialah semasa masuk sekolah itu saya sudah tahu huruf jawi dan rumi, tahu angka, malah sudah boleh membaca sedikit-sedikit. Kebolehan ini saya dapati daripada perhubungan dengan Abang Othman dan membaca buku sekolahnya. Entah bagaimana, apabila saya tiba di tangga rumah hari itu, emak saya menabur beras kunyit kepada saya! Saya agak hairan. Tetapi kemudian barulah saya tahu itulah caranya emak menunjukkan kesyukuran beliau di atas kejayaan saya. Dalam kehidupan belajar saya kemudiannya, saya mengalami peristiwa ini hampir setiap kali saya berjaya dalam peperiksaan. Itulah keistimewaan Emak. Dia sendiri tidak tahu membaca dan menulis. Bukan tidak mahu bersekolah, tetapi pada zamannya tidak ada sekolah di kawasan kami. Berbeza dengan Encik yang boleh membaca dan menulis (jawi dan sedikit-sedikit rumi). Saya tidak tahu bagaimana cara dia bersekolah. Mungkin belajar sendirilah itu.

Biasanya apabila seseorang murid naik darjah, kawan-kawan lain gemar mengejek: ‘Eh, eh! Darjah Dua baru!’ Ejekan ini sebenarnya lebih berbentuk galakan, tetapi kami yang kena ejak terasa juga sedikit malunya atau kena buat-buat malu.

Setelah memasuki darjah dua kami tidak lagi menggunakan loh batu. Ayah membelikan saya sebuah buku tulis yang agak tebal – mungkin 80 muka surat agaknya. Sepanjang beberapa bulan, sebuah buku itulah yang saya gunakan untuk menulis semua mata pelajaran yang diajar oleh guru kami. Kira-kira, Tulisan Jawi, Tulisan Rumi, Rencana, malah lukisan pun disumbat dalam sebuah buku.

Sebaik-baik sahaja masuk ke darjah dua saya mendapat beban yang baru pula. Saya dihantar oleh Encik bersekolah petang, iaitu mengaji al-Quran. Guru yang mengajarnya kenalan baik Encik, malah ada hubungan kekeluargaan jauh. Seluruh pengajaran kelas al-Quran itu ditangani oleh beliau seorang sahaja. Kami memanggilnya dengan gelaran Maalim (sebutan dengan loghat kami untuk kata Arab: Mualim). Nama beliau ialah Nawawi bin Lambak. Tetapi disebabkan semua yang belajar itu pangkat anak cucu belaka dengan beliau, kami mesra memanggilnya Pakoda Wi. Kalau hendak memanggilnya dengan cara yang agak rasmi kami sebut Maalim Wi.
Pakoda Wi ini memang sah orang yang paling alim di kampung kami. Dia berbadan besar dan kulitnya agak cerah. Cermin mata yang dipakainya macam cermin mata Mahatma Gandhi, pemimpin India yang terkenal itu. Pakaiannya baju melayu potongan teluk belanga, berkain samping kain pelikat. (Orang-orang Pahang masa itu jarang berpakaian melayu cekak musang). Songkoknya songkok hitam yang agak terkecil sedikit berbanding kepalanya, menyebabkan songkok itu tertenggek. Beliau jarang sangat memakai sebarang alas kaki, apatah lagi kami anak-anak muridnya ini!

Saya rasa tidak ada muridnya yang tidak takut kepada beliau. Pada saya, takut saya kepada Pakoda Wi lebih kepada rasa hormat yang tidak dapat dibayangkan dengan kata-kata. Cara beliau mengajar senang sahaja nampaknya: sebaik sahaja beliau sampai semua orang membaca al-Quran. Bunyi bacaannya menjadi gegak-gempita, sebagaimana kanak-kanak Afghanistan membaca al-Quran dalam dalam filem Kandahar yang saya tontoni baru-baru ini. Kemudian seorang demi seorang dipanggil ke mejanya untuk membaca. Dia menegur mana-mana yang salah dan kemudian, sekiranya telah lancar betul barulah beralih ke surah yang baru.

Kelas petang ini juga ada belajar fardu ain menggunakan sebuah kitab berjudul Taalim as-Sabian yang diterbitkan oleh Pejabat Agama Islam Pahang. Kami dikehendaki membeli buku itu dengan harga yang sangat murah. Setiap akhir tahun kelas ini ada peperiksaan yang khas untuknya. Biasanya yang datang menjalankan peperiksaan itu ialah Guru Pelawat Agama yang bernama Ustaz Khudri. Peperiksaannya jenis bertulis dan lisan. Keputusan peperiksaan akan diumumkan awal tahun berikutnya. Pelajar-pelajar yang berjaya diberikan hadiah. Saya pernah beberapa kami mendapat hadiah: sekali hadiah ketiga dan sekali lagi hadiah kedua. Hadiah pertama dibolot oleh pelajar perempuan. Agak pelik juga bentuk hadiah yang diberikan. Semasa mendapat tempat ketiga saya dihadiahkan sebuah buku catatan saiz saku yang ada getah pengikat supaya tidak terbuka. Saya menerima sebilah pisau lipat semasa mendapat hadiah kedua pada tahun berikutnya. Hadiah kali ini amat saya hargai kerana lama benar saya bercita-cita untuk mendapatkan sebilah pisau lipat. Pisau lipat boleh digunakan untuk memotong kuku; boleh mengupas buah sentul, ketapi, mempelam dan bacang. Kalau berani pisau lipat boleh digunakan untuk menyembelih burung kelicap atau merbah yang kena lastik. Dan, pisau lipat juga boleh dijadikan alat permainan yang disebut sebagai main pisau. Budak perempuan yang mendapat tempat pertama itu dihadiahkan sehelai kain pelikat. Lagi teruk!

Satu perkara yang saya tidak tahan di sekolah saya ialah kumbang. Kayu kekuda dan alang sekolah tidak dicat, apatah lagi berubat. Kayu yang tidak begitu keras ini sangat digemari oleh kumbang untuk membuat sarang dan seterusnya beranak-pinak. Biasanya, apabila sesekor kumbang meninggalkan sarangnya, serangga ini gemar melepaskan najis yang cair kekuningan itu. Tak kiralah kepala ssiapa yang menjadi sasarannya. Kadang-kadang kena buku tulis, buku bacaan, songkok atau baju. Baunya sangat menyengat dan meloyakan. Walau bagaimanapun, setelah sebulan dua bersekolah, bau itu tidak lagi menjadi masalah besar kepada kami. Kerapkali juga pelajar-pelajar mencocok lubang kediaman kumbang itu dengan lidi kelapa. Kumbang yang tersepit dan terancam itu akan mengeluarkan bunyi hasil kibasan sayapnya. Bunyi itu cukup menyenangkan pula! Kerap pula kumbang yang tersepit berpeluang membalas dendam kepada pengaucunya, dengan menyengat tangan pelajar nakal itu. Meskipun tidak membahayakan, ada di kalangan mereka yang kememe nyaris menangis disengat kumbang yang hitam berkilat itu.

Setelah setahun duduk bersila di lantai, kami berpeluang duduk di bangku setelah naik darjah dua. Bangkunya bukan seorang sebuah, tetapi empat orang berkongsi sebuah meja yang bangkunya dilekatkan sekali di kaki meja. Bunyinya agak pelik, tetapi begitulah meja yang pertama saya duduk di sekolah. Bahagian atas meja dibuat condong kira-kira 30 darjah untuk menjadikan lebih selesa menulis, dan bahagian itulah juga bergungsi sebagai penutup laci tempat kami menyimpan jabir, buku dan alatan sekolah lain yang ada serba sedikit.

Atap sekolah kami adalah atap nipah. Atap nipah ini ada baik dan ada yang kurang baiknya. Yang baik, kalau matahari memancar seterik mana pun tidaklah berasa panas sangat berbanding atap zing atau asbastos. Tetapi atap ini ada had penggunaannya. Setelah beberapa tahun, atap itu mula reput sedikit demi sedikit, tinggallah lidi dan mengkawannya sahaja. Pada masa itu, kalau sekali sekala ada kapal terbang melintas tinggi di langit, kami boleh melihatnya melalui celah-celah atap yang bocor. Lebih menyedihkan lagi apabila hari hujan: kami berhempit-hempit di tempat yang tidak kena hujan. Kadang-kadang meja cikgu pun basah. Setelah tiba saat begitu, biasanya adalah pekerja yang diarahkan mengganti atap sekolah. Menggantikan atap seluruh sekolah tentu mengambil masa lima enam hari. Atap yang lama mesti ditutuh dan dibuang dahulu; kemudian baharulah dipasang semula kayu kasau ramai dan seterusnya atap dijalin supaya terikat kukuh pada kayu kasau ramai. Mereka mengganti atap ini sepenampang lepas sepenampang. Kelas yang terletak di bawah penampang yang diganti itu biasanya diberi cuti sehari dua, hingga penampangnya siap. Kalau diminta belajar pun mungkin tidak berguna, bagaimana mahu menumpukan kepada pelajaran sedang para pekerja berada di atas kepala! Lagipun pekerja itu bukan boleh diam – kalau diam bukan pekerjalah namanya.

Tempoh lima enam hari ini tak dapatlah dikatakanlah lagi bagaimana seronoknya kami.

Tuesday, January 22, 2008

KELUARGA SEBELAH AYAH

SEKITAR kurun kesembilan belas iaitu tahun 1800-1900 dahulu adalah seorang pemuda Jawa dari daerah Pasuruan (Surabaya, Jawa Timur) yang pada masa itu dalam pemerintahan Belanda. Nama pemuda tersebut ialah AHMAD bin KIYAI OMAR. Pemuda ini telah pergi mengambil haji ke Makkah melalui Betawi (yang kini dikenali sebagai Jakarta). Perjalanannya dari Pasuruan ke Jakarta dengan menaiki kereta api sejauh kira-kira 163 batu. Dari Betawi beliau menaiki kapal ke Singapura dan kemudiannya menyambung perjalanannya terus ke Jeddah dan Makkah.

Apabila selesai mengerjakan haji, TUAN HAJI AHMAD belayarlah balik ke tanah airnya menaiki kapal ke Singapura. Tiga bulan lamanya beliau menunggu kapal dari Singapura untuk pulang ke Jawa, sehinggalah beliau keputusan belanja. Beliau kemudiannya menumpang perahu orang ke Teluk Rumania, iaitu di selatan Johor, dengan harapan moga-moga dapat mencari rezeki di sana untuk membuat kerja-kerja memarit (kerana orang Jawa pandai memarit).

Di Teluk Rumania itu khabarnya HAJI AHMAD berkahwin. Hasil daripada perkahwinan itu beliau dikurnia seorang anak perempuan yang diberi nama MELUKUT. Tidak berapa lama tinggal di situ, beliau menyeberang pula ke Singapura, dengan harapan mendapatkan kapal untuk membawa beliau pulang ke kampung halamannya.

Pada suatu hari sedang beliau berjalan-jalan di pangkalan, mengintai kalau-kalau ada kapal hendak ke Jawa, bertemulah beliau dengan seorang peniaga berperahu jalak dari Terengganu yang bernama TUAN HAJI ABDULLAH, yang dipanggil sebagai HAJI ABDULLAH KAYA. HAJI ABDULLAH ini membawa dagangan seperti rotan, minyak kuing, damar batu, kelapa kering, pinang kering, kajang dan lain-lain. Maka berceritalah HAJI AHMAD kepada HAJI ABDULLAH akan hal masing-masing.

HAJI ABDULLAH KAYA sangat bersimpati dengan kesusahan yang dihadapi oleh HAJI AHMAD itu, lalu beliau mempelawa HAJI AHMAD mengikut beliau balik ke Terengganu, manalah tahu kalau-kalau boleh mencari upahan di sana untuk menampung perbelanjaan dia balik ke Tanah Jawa nanti. Maka bersetujulah HAJI AHMAD untuk mengikut HAJI ABDULLAH KAYA ke Terengganu itu.

Sesudah selesai urusan perniagaannya di Singapura itu, HAJI ABDULLAH KAYA pun belayarlah balik ke Terengganu dengan membawa HAJI AHMAD sebagai salah seorang penumpangnya. Apabila sampai di kuala Sungai Pahang, masuklah perahu HAJI ABDULLAH KAYA mudik menyusuri Sungai Pahang untuk membayar wang pelanggan sambil mencari barang-barang lain untuk diperniagakan.

Di Pahang, HAJI ABDULLAH KAYA mempunyai seorang rakan niaga yang sangat karib yang tinggal di Ganchong. Nama rakan beliau ialah TUK MUDA DERUS, iaitu sebagai ketua atau penghulu kampung itu. Sebagaimana kebiasaan, HAJI ABDULLAH KAYA bermalam beberapa malam di Ganchong sebelum hilir semula meneruskan perjalanannya ke Terengganu.

HAJI ABDULLAH memperkenalkan HAJI AHMAD kepada TUK MUDA DERUS. Dalam perjumpaan itu, berceritalah HAJI AHMAD akan hal dirinya kepada TUK MUDA DERUS, sambil mengharapkan kalau-kalau ada orang mahu atau berminat mengupah orang membuat kerja-kerja seperti memarit dan seumpamanya. Di samping boleh memarit, beliau juga menawarkan perkhidmatan lain iaitu beliau boleh mengajar kanak-kanak mengaji al-Quran. Beliau juga menawarkan khidmatnya untuk membimbing orang-orang dewasa mempelajari hal-hal fardu ain dan fardu kifayah.

Diringkaskan ceritanya, TUK MUDA DERUS pun bersetuju sangat hendak menolong HAJI AHMAD yang tergendala perjalanannya itu dan mempelawa untuk tinggal menetap di Ganchong. Beliau sanggup menjadikan HAJI AHMAD sebagai anak angkatnya. HAJI AHMAD sangat berterima kasih atas kesudian TUK MUDA DERUS membantunya itu.

Berhampiran rumah TUK MUDA DERUS terdapat sebuah surau tempat masyarakat di sekitar kawasan itu berjemaah dan mengaji al-Quran. Maka surau itulah dijadikan tempat HAJI AHMAD mengajar kanak-kanak mengaji al-Quran pada sebelah petang; sementara di sebelah pagi dan tengah hari beliau bekerja untuk mendapatkan serba sedikit upahan buat belanjanya. Pada sebelah malamnya pula beliau membimbing orang-orang dewasa mempelajari hukum-hukum, fardu ain termasuk mengimamkan sembahyang.

HAJI ABDULLAH KAYA meneruskan pelayarannya balik semula ke Terengganu dengan janji akan datang semula ke Ganchong untuk mengambil HAJI AHMAD apabila dia hendak ke Singapura kelak.

* * *

TUK MUDA DERUS itu mempunyai seorang anak lelaki bernama DATANG, dan seorang anak angkat perempuan bernama AJERAH binti SALLEH. Emak AJERAH bernama KALTHUM. Kedua-dua ibu bapanya menginggal dunia semasa AJERAH masih kecil lagi.

Melihatkan keadaan dan tingkahlaku HAJI AHMAD itu, tertariklah hati TUK MUDA DERUS dan orang-orang kampung untuk dicari jalan supaya biarlah HAJI AHMAD dapat menetap di Kampung Ganchong itu. Maka bermuafakatlah TUK MUDA DERUS dengan isteri dan saudara-marnya hendak mengahwinkan HAJI AHMAD dengan AJERAH, anak angkat beliau itu. Setelah semuanya bersetuju, dan cadangan itu dipersetujui oleh Haji AHMAD, pergilah mereka beramai-ramai hilir ke Kampung Mengkasar Pekan, ke rumah TUAN HAJI OTHMAN (gelarannya HAJI MONTOK) iaitu Kadi Besar Pahang untuk mengahwinkan AJERAH dengan HAJI AHMAD dengan berwalikan Wali Hakim. Pada masa itu di Ganchong masih belum ada Wali Hakim atau Jurunikah. Setelah selesai majlis pernikahan itu, kembalilah mereka semula ke Ganchong.

Selepas enam bulan perkahwinannya itu, AJERAH pun mengandung. Setelah cukup bulan beliau pun melahirkan seorang anak lelaki dan diberi nama SAID. Anak-anak HAJI AHMAD bersama-sama AJERAH yang lain ialah: ABDUL WAHAB, MERIAH, TUMISAH, FATIMAH dan LEMBIK. Arwah ibu Tuan Haji Taib (pencatat pertama sejarah keluarga ini) mengatakan LEMBIK ini bukanlah anak HAJI AHMAD, tetapi adalah menantunya.

AJERAH kemudiannya jatuh sakit dan meninggal dunia.

Akan HAJI AHMAD, selepas kematian isterinya AJERAH itu beliau sangat berdukacita. Untuk menghilangkan kerisauannya itu, dibawanya berjalan-jalan dan menggembara, sehinggalah beliau sampai di Kempadang. Beliau berhenti di situ dan kemudiannya berkahwin pula di kampung itu. Mengikut penduduk Kempadang beliau memperolehi seorang anak lelaki di situ yang bernama MOHD. ALI. Dalam pada itu, ada pula yang mengatakan MOHD. ALI ini sebenarnya hanyalah anak tiri HAJI AHMAD, bukannya anak benar. Anak MOHD ALI yang dapat diketahui tinggal di Kempadang itu ialah PAK CU CUT, PAK NGAH ABDUL RAHMAN dan PAK ANDAK.

Dari Kempadang kononnya HAJI AHMAD mengembara terus ke Kuantan. Ada pendapat yang mengatakan beliau beristeri seorang lagi di Galing Besar dan memperolehi seorang anak. Walau bagaimanapun, pendapat ini tidak dapat disahkan, demikian menurut seorang tua di situ iaitu TUAN HAJI IBRAHIM.

Apabila HAJI AHMAD balik semula ke Ganchong, bermuafakatlah pula TUK MUDA DERUS untuk mengahwinkan HAJI AHMAD dengan YANG binti IBRAHIM, supaya beliau dapat menetap semula di Ganchong. Wakau bagaimanapun tabiat suka melara HAJI AHMAD ini tetap diteruskan dan beliau membawa isterinya YANG itu mudik Sungai Pahang hingga sampai ke Kampung Tebing Tinggi di Jerantut, lalu berhentilah pula mereka di situ. Di Tebing Tinggi, beliau meneruskan tugasnya mengajar al-Quran dan fardu ain kepada kanak-kanak dan masyarakat di sekitar kampung.

Lama-kelamaan orang-orang di kampung itu merasa kasih akan HAJI AHMAD, lalu bermuafakat pula mereka untuk memberi akan HAJI AHMAD itu seorang isteri supaya beliau menetap di situ. Maka berkahwinlah pula HAJI AHMAD dengan seorang wanita yang bernama BA’IDAH. Jadi bermadulah YANG dengan BA’IDAH.

Oleh sebab bermadu itu suatu hal yang sangat-sangat dibenci oleh perempuan, ’walau bagaimana sekalipun manisnya (madu itu) dikecap dalam pahit juga’; maka sakit dan iri hatilah BA’IDAH akan YANG itu lalu dibuatnya suatu hikmat. Hikmat itu berupa tindakan BA’IDAH terhadap YANG, iaitu semasa YANG sedang mandi di sungai, dijatuhkannya sebiji batil tembaga ke atas kepala YANG, lalu mengenai matanya. Kejadian ini menyebabkan mata YANG berair dan sakit: puaslah berubat tiada juga mahu sembuh, bahkan menjadi semakin melarat.

Melihatkan hal yang demikian, HAJI AHMAD berasa gusar lalu membuat keputusan membawa balik YANG isterinya itu ke Ganchong. Tentang BA’IDAH tinggallah dia di Tebing Tinggi. Menurut ceritanya, perkongsian hidup HAJI AHMAD dengan BA’IDAH ini menghasilkan seorang anak, iaitu keturunan sebelah ayah kepada SULAIMAN, yang menjadi Ketua Kampung Kiambang, Ganchong yang pada masa catatan ini dibuat masih ada di Kiambang sementara anak-anaknya telah berkahwin pula dengan dua orang daripada warisnya itu. SULAIMAN yang juga lebih dikenali dengan panggilan ABANG LEMAN juga pernah menguruskan Pejabat Wakil Pos Ganchong.

Akan YANG ini pula, setelah balik ke Ganchong terus berubat sakit matanya, tetapi tidak juga baik-baik, malah dari sebelah mata kanan penyakitnya itu melarat kepada mata yang sebelah kiri dan akhirnya menyebabkan kedua-dua belah matanya menjadi buta. Perkahwinan YANG dengan HAJI AHMAD dikurniai dengan dua orang anak, yang perempuan bernama BAY’INAH sementara yang lelaki bernama ALI. Akan ALI ini berkahwin dengan orang Pulau Rusa dan mendapat seorang anak perempuan.

* * *

Kemudian daripada itu TUK MUDA DERUS membawa HAJI AHMAD ke Pekan untuk menghadap Sultan Ahmad memohon perkenan baginda melantik HAJI AHMAD sebagai Wali Hakim bagi mukim Ganchong. Sultan memperkenankan cadangan ini lalu baginda memerintahkan TUK MUDA DERUS membawa HAJI AHMAD berjumpa TUK MUNTOK, iaitu HAJI OTHMAN yang memegang jawatan Kadi Besar Pahang pada masa itu untuk disahkan pelantikiannya. Beliaulah Wali Hakim yang pertama bagi mukim Ganchong dan berkhidmatlah Wali Hakim TUK HAJI AHMAD bin KIYAI OMAR ini di situ selama tiga puluh tahun, iaitu sehingga ke akhir hayatnya.

Apabila HAJI AHMAD meninggal dunia, dilantik pula anaknya, HAJI SAID memegang jawatan Imam dan Wali Hakim di Ganchong itu. HAJI SAID berkahwin dengan YANG CHIK dan dikurniai tiga orang anak, seorang lelaki dan dua orang perempuan. Mereka ialah PUTEH (lelaki), SOKMA dan MELUKUT Ada dua pendapat tentang MELUKUT ini: pendapat pertama ialah dia merupakan anak kepada HAJI AHMAD dengan isterinya di Teluk Rumania, Johor, tetapi MELUKUT mengikut kisah ini, merupakan cucu pula kepada HAJI AHMAD. Wallahi a’lam.

Akan Imam HAJI SAID ini pula apabila isterinya YANG CHIK itu meninggal dunia maka beliau berkahwin pula dengan MA’FUNI. Perkahwinan mereka ini menghasilkan lima orang anak yang semuanya lelaki, iaitu ISHAK, MAHMUD, AHMAD (BOYOR), AJI, dan ATIN. Anak Imam HAJI SAID yang bernama PUTEH itu berkahwin dengan RAHMAH binti HAJI dan memperolehi dua orang anak iaitu JAAFAR dan CHIK. Perkahwinan mereka ini berakhir dengan perceraian disebabkan rumah tangga mereka diganggu oleh seorang yang bernama OTHMAN. PUTEH kemudiannya berkahwin pula dengan seorang orang Temai yang bernama AZMAH binti MAHMUD. Daripada perkahwinan ini mereka dikurnia dengan dua orang anak lelaki iaitu SAMUD dan TAIB. Selepas kematian AZMAH berkahwinlah pula PUTEH dengan CHIK binti ISMAIL, seorang wanita dari Pulau Rusa, yang meninggal semasa banjir besar dan jasadnya dikebumikan di Permatang Gading. Kemudian PUTIH berkahwin pula dengan seorang janda, orang Pulau Rusa juga yang bernama MAK BURUK. MAK BURUK ini khabarnya bukanlah orang Pulau Rusa jati, tetapi dia berasal dari Jengka. Kekallah perkahwinan PUTIH dengan MAK BURUK ini sehingga beliau (PUTEH) meninggal dunia.

* * *

Tersebutlah pula kisah SOKMA, iaitu anak IMAM SAID yang telah ditunangkan oleh IMAM SAID dengan salah seorang muridnya yang mengaji bersama-sama dengan SOKMA. Nama lelaki itu ialah ANJANG MAT ARIT. Walau bagaimanapun, secara diam-diam SOKMA menyimpan perasaan yang dia tidak mahu dikahwinkan dengan ANJANG MAT ARIT. Sedang orang bersiap-siap dengan kerja menikah iaitu memasak, menggulai, menggantung maka kebetulan masuklah sebuah perahu jalak dari Kuantan ke Ganchong. Perahu tersebut dipunyai oleh Cik DOLAH KAYA.

Pada malam menjelang perkahwinannya, SOKMA dengan tekad, berbekalkan setempayan air tawar, sedikit makanan, sebidanng tikar, sebiji bantal dan sedikit pakaian melarikan diri dari rumah, lalu masuk ke dalam perahu Cik DOLAH KAYA yang sedang berlabuh di pangkalan tanpa diketahui oleh sesiapa pun.

Maka pada pagi-pagi keesokan harinya Cik DOLAH KAYA pun hilirlah ke Pekan dan langsung meneruskan pelayaran balik ke Kuantan. Perahu itu sampai ke Kuantan setelah belayar selama tiga hari tiga malam. Dari kuala Sungai Kuantan, perahu itu mudik ke Batu Sawar untuk singgah di suatu tempat di Kuala Sungai Riau, salah sebuah anak Sungai Kuantan.

Tersebutlah pula kisah di rumah IMAM SAID di Ganchong, tempat orang sedang bersiap-siap untuk majlis perkahwinan SOKMA dengan ANJANG MAT ARIT. Apakala upacara itu hendak dimulakan, SOKMA perlulah melalui proses adat pada masa itu, iaitu dimandi dan dilangirkan. Alangkah terkejutnya mereka, kerana SOKMA telah ghaib! SOKMA tiada lagi di dalam rumah! Maka gemparlah mereka mencari SOKMA ke sana ke mari ... tiada berjumpa. Maka kata PUTEH bin HAJI SAID kepada orang ramai yang ada di situ, ”Saya fikir SOKMA ini barangkali telah menyorok di dalam perahu Cik DOLAH KAYA; orang lain tidak tahu.” Kata YANG CHIK pula, ”Sudah tentulah SOKMA itu telah dilarikan oleh Cik DOLAH."

Oleh sebab terlalu marahnya YANG CHIK akan anaknya itu kerana memberi malunya, lalulah dia menggerbangkan rambutnya dan menimang-nimangkan kopeknya serta menepuk-nepuk kedua-dua belah tangannya ke bumi sambil merayu kepada Tuhan akan perbuatannya anaknya itu dengan memohon Tuhan tunjukkan sesuatu. Maka dengan serta-merta juga turunlah ribut yang sangat kuat. Berbetulan pada masa itu perahu Cik DOLAH KAYA yang mudik dalam Sungai Kuantan tiba bertentangan dengan Bukit Rangin, maka ribut itu pun sampai. Setelah dipukul ribut yang dahsyat itu, perahu Cik DOLAH KAYA itu pun terbalik dan karam. Pada masa itu SOKMA pun keluarlah dari geladak perahu itu lalu berenang ke tepi bersama-sama dengan pekerja Cik DOLAH KAYA yang lain. Maka terperanjatlah Cik DOLAH KAYA melihatkan ada seorang wanita yang menumpang perahunya itu, sambil memikirkan dari manakah datangnya wanita itu. Cik DOLAH KAYA pun turutlah bersama-sama menyelamatkan wanita yang tidak dikenalinya itu. Jadilah kumpulan mereka itu lima orang dan kelima-limanya duduklah di atas tebing di tepi sungai itu menunggu kalau-kalau ada orang hilir atau mudik untuk menumpang, sedangkan barang-barang mereka semuanya habis hanyut dan tenggelam.

Pada pagi-pagi keesokan harinya adalah orang menghilir sungai itu. Mereka itu ialah orang yang bekerja dengan Haji ALI KAYA. Maka menumpanglah Cik DOLAH KAYA berlima yang karam semalam itu dan mereka terus ke rumah Tuan Haji ABDUL RAHMAN, Kadi Kuantan pada masa itu. Cik DOLAH KAYA dan SOKMA pun dikahwinkanlah oleh Kadi Haji ABDUL RAHMAN berwalikan Wali Hakim.

Selepas kahwin mudiklah semula Cik DOLAH KAYA dengan isterinya SOKMA ke Kuala Riau di Batu Sawar dan menetaplah mereka di sana. Hasil perkahwinan mereka dikurniai empat orang anak, iaitu YANG RATU, MAT SALLEH, SELAMAH dan AWANG NGAH. Anak MAT SALLEH ialah MAKLONG TIJAH dan MAT YASSIN. MAT YASSIN berkahwin dengan LONG dan WOK (bermadu). Beliau tidak memperolehi zurat daripada perkahwinannya dengan WOK, tetapi dengan LONG mereka dikurnia dua orang anak, iaitu HAWA dan ESAH. HAWA berkahwin dengan LATIF dan anaknya ialah OTHMAN (Telefon: 013-9907433) yang kini tinggal di Bulit Kuin I. ESAH pula berkahwin dengan SIDEK dan mereka kini tinggal di Majidee, Johor. Anak-anak ESAH ialah ROHANA (tinggal di Cenderawasih) dan Sulaiman (tinggal di RTP Bukit Kuin). Kami belum dapat sebarang maklumat tentang dua orang lagi anak SOKMA dengan DOLAH KAYA, iaitu YANG RATU dan AWANG NGAH. [Maklumat bertanda merah ini dikemas kini pada 10 Mei 2008 dalam kunjungan penulis Blog dengan Abang Othman dan Mohd. Bukhari Hussain ke Bukit Kuin menemui Othman. Pertemuan dibuat di rumah Cikgu Haji MOHD. SOOD di Bukit Kuin).

* * *

Tersebutlah pula kisah ABDUL WAHAB bin HAJI AHMAD, iaitu adik kepada IMAM SAID. Beliau merupakan seorang guru silat atau pendekar di dalam Kampung Ganchong itu. Kepandaian beliau dalam ilmu mempertahankan diri dan persilatan ini termasyhurlah ke mana-mana pada ketika itu. Beliaulah mengepalai orang-orang Ganchong pergi berperang dalam PERANG KELANG di Selangor. Kegagahan dan kejayaan ABDUL WAHAB dalam perang yang tersebut itu menyebabkan Duli Yang Maha Mulia Sultan Ahmad Shah I menganugerahkan beliau dengan gelaran IMAM PERANG SUTAN GARANG.

Akan ABDUL WAHAB ini, beristerikan TUK AMBANG, (iaitu emak saudara HAJI TAIB) di Kampung Sepat, Penor. Walau bagaimanapun ini tidak dapat disahkan kerana setahu penulis kedua (HAJI HUSSAIN bin ARIS) isteri ABDUL WAHAB itu ialah LEMBIK, orang Kampung Marhum. ABDUL WAHAB mendapat tujuh orang anak, tiga lelaki dan empat perempuan. Mereka ialah YANG DEK atau SAAYAH, LAMBAK (lelaki), OMAR (lelaki), YANG CHIK SABARIAH, AWANG CHIK (lelaki), MENTENGAH dan BAKAI (BAKAL).

Menurut cerita HAJI TAIB lagi, LEMBEK itu ialah anak HAJI AHMAD. Beliau ini beranak seorang perempuan yang bernama RABIAH. RABIAH itu pula mempunyai seorang anak bernama DAUD. Setelah RABIAH meninggal, DAUD dipelihara oleh LEMBEK. DAUD berkahwin dengan SAFIAH anak HAJI HASSAN di Pulau Rusa. Antara anak mereka ialah HAJI ARSHAD (Setiausaha Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Negeri Pahang), HAJAH ROKIAH (yang bertugas sebagai Bidan Kerajaan) dan DIK (isteri Pegawai Hutan ABDUL MANAF bin ALI).

* * *

Akan TUK MELUKUT yang di Teluk Rumania itu pula, masih menurut cerita HAJI TAIB, adalah anak IMAM SAID. Semasa Perang Panglima Muda di Pahang TUK MELUKUT dengan suaminya pindah ke Teluk Rumania bersama-sama dengan ramai orang Pahang yang lari pada masa itu. Dalam suasana sibuk dengan peperangan itu, TUK MELUKUT melahirkan seorang anak lelaki yang diberinya nama PERANG. CIK PERANG ini mempunyai seorang anak yang diberi nama AHMAD. AHMAD bin PERANG inilah yang kemudiannya menjadi orang besar dan pernah menjawat jawatan Pengerusi Keretapi Tanah Melayu dan akhirnya Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya Tanah Melayu.

Anak-anak TUK WAHAB.

1 SAAYAH atau TUK DIK.
2 LAMBAK
3 OMAR gelarannya TUK ANDAK OMAR
4 AWANG CHIK
5 YANG KECIK atau SABARIAH
6 MENTÉNGAH gelarannya TUK TEH MENTÉNGAH
7 BAKAI (BAKAL) gelarannya TUK CU BAKAL

Anak ABDUL WAHAB yang pertama SAAYAH atau TUK DIK berkahwin dengan SUBOH (asal-usulnya orang Segamat). Perkahwinan mereka dikurniai tujuh orang anak, iaitu ABDUL RAHMAN, ENDAH, ARIS, DAYANG, CHIK, ISA dan HAWA. [Inilah yang bermulanya keturunan saya secara yang lebih mikro. Saya sengajakan mencatat nama generasi ini dengan huruf tebal].

ABDUL RAHMAN (Pak Long Deraman) berkahwin dengan dua orang. Anak-anak mereka ialah SULAIMAN (Tok Bomoh Sulaiman) yang berkahwin dengan Abang Mariam dan anak-anak mereka ialah (1) MAT SAMAN seorang pegawai Jabatan Hutan yang berkahwin dengan AZIZAH binti TAIB dan anak-anak mereka ialah NORHAIZAN (Cikgu) berkahwin dengan WAN ZAIN bin WAN MAHMUD yang tinggal bersama-sama ibu bapa mereka di Ketapang Tengah, ABDUL MUSAWIR tinggal di Jerantut, ... (2) TIJAH (Ngah Tijah) berkahwin dengan SULAIMAN MISAI dan mendapat seorang anak bernama TEMAH yang dijadikann anak angkat oleh ENDAH binti SUBOH, anak keduanya ialah TEH yang berkahwin dengan MAHAD dan tinggal di Felda New Zealand dan anaknya yang seorang lagi dipanggil YANG MAKANDIR berkahwin dengan seorang boy raja dan tinggal di Pekan. (3) YAHAYA (Andak Yahaya) mula-mula berkahwin dengan RAHMAH binti ARIS tetapi berpisah tanpa memperolehi anak, kemudiannya berkahwin dan dapat seorang anak bernama ABDUL yang berkahwin dengan WAN TIMAH, orang Kampung Sungai Duri. (4) SERBAH (De Serbah) berkahwin dengan WAN EMBONG dan memperolehi dua orang anak lelaki iaitu IDRIS dan ABDUL RAZAK (Tiet). (5) HITAM (Chik Hitam) tiada maklumat. (6) SELAMAH, tiada maklumat (7) MOHD ALI (Pak Busu Ali – bekas Polis). Pak Busu Ali ini lama benar menghilangkan diri dan tidak menjenguk kampung. Kami mengetahui yang dia menjadi anggota polis, tapi tak berapa tahu di mana. Awal tahun 1960-an baru dapat dijejaki dan dia tinggal di Kampung Baru, Kuala Lumpur serta bertugas di Balai Polis Jalan Campbell. Sejak itu adalah dia balik ke kampung. Dia berkahwin dengan HALIMAH (Mak Busu Limah) orang Bayan Lepas. Mak Limah ini walaupun telah berpuluh-puluh tahun meninggalkan Bayan Lepas, loghat Pulau Pinangnya itu sedikit pun tidak berubah. Tahan betul dia! Mereka tidak mempunyai anak tetapi mengambil dua orang anak angkat ROKIAH (anak satu keluarga Cina dari Perak) dan ZAITON (anak Yusof bin Arshad dan Esah binti Taib). Pada hari perkahwinan Zaiton dengan ABDUL GHALIM bin SENTOL keluarga asal Zaiton hadir hasil usaha mereka mendapatkan khidmat salah sebuah akhbar berbahasa Cina.

ENDAH (Teh Endah, kami anak-anak saudaranya memanggil Encik Endah) berkahwin dengan ISHAK bin IMAM SAID. Mereka tidak mempunyai anak, tetapi mengambil anak saudara mereka (anak NGAH TIJAH) yang bernama TEMAH sebagai anak angkat dan dipeliharanya lebih daripada anak sendiri dari segi kasih sayangnya dan segala-galanya.

ARIS (Ayah Andak Aris, Tok Mudim) berkahwin dengan orang Pulau Rusa yang bernama WOK binti KASSIM. Anak-anak mereka ialah RAHMAH, AHMAD, SAID, HASSAN dan HUSSAIN. (1) RAHMAH (Embong Rahmah/Tuk Bidan Rahmah), berkahwin dengan YAHAYA bin DERAMAN, UDA AHMAD ENGKOI, SULONG (orang Mersing) semuanya tidak dikurniai anak. Perkahwinannya yang keempat dengan RIPIN (orang Teluk, Pulau Rusa) dikurnia seorang anak perempuan yang bernama NORIAH (guru) yangberkahwin dengan ABDUL MALEK bin ABDULLAH (orang Tanjung Medang). (2) AHMAD (Tuk Mudim, Ayah Ngah Ahmad) berkahwin dengan HABIBAH dan anak-anak mereka (i) ISHAK (guru) yang berkahwin dengan BADARIAH binti AHMAD orang Pulau Rusa dan anak-anak mereka NORIDA di Pekan, MOHD. IBRAHIM juruhebah Radio Kuantan, CHIK di Kuantan, SALLEHUDDIN di Pekan, (?) (Ahli Farmasi di Pejabat Kesihatan Kuantan), (?) (seorang Pegawai Majlis Perbandaran Kuantan), MAHAYUDDIN (guru), EFFENDI (juruterbang MAS), (ii) MOHD. NOR (meninggal dunia kerana dibunuh Jepun). (iii) ZALMAH (guru) dan berkahwin dengan OTHMAN AHMAD (orang Cherok Paloh) dan anak-anak mereka ialah ... (iv) SARIMAH (seorang bintang filem) yang berkahwin dengan ZULKEFLI Haji MUHAMMAD kemudian bercerai dan berkahwin dengan YUSOF MAJID (orang Kerdau) dan bercerai mati. Selepas itu SARIMAH berkahwin pula dengan Dr. NORDIN SELAT dan bercerai tidak berapa lama kemudian, dan berkahwin sekali lagi dengan PANGERAH HIDUP dari Brunei yang juga berakhir dengan perpisahan. Anak daripada perkahwinan Ayah Ngah AHMAD dengan Mak Ngah JAMILAH pula ialah DASIMAH yang pernah menjadi Kerani di Amanah Saham Mara Kuala Lumpur dan BAKI yang bertugas sebagai Pengarah Jabatan Tenaga Manusia di Lembaga Elektrik Negara, Kuala Lumpur. (3) SAID (Cikgu) berkahwin dengan sepupunya AMINAH binti ATIN. Beliau meninggal kerana dilanggar dengan motor oleh anak Cikgu DAUD di Batu 5 Kuantan ketika menyeberang jalan ke surau untuk sembahyang maghrib di situ pada 1 Jun 1982; dan anak-anak mereka MOHD. YAMAN (Kerani), AHMAD KHAN ZAINUDDIN (Profesor Madya dalam bidang Kejuruteraan Elektrik di UTM Skudai, lulusan Maktab Teknik, Universiti Wales, UK dan Sarjana Sains - bidang Sounds and Vibrations dari Universiti Southampton, UK). (4) HASSAN (Ayah Andak Hassan) berkahwin dengan ROKIAH dan mendapat anak yang bernama ZAABAR, KAMAILAH, MI. Beliau kemudian bercerai dengan ROKIAH dan berkahwin pula dengan CHIK dan mendapat anak LOKMAN, NORWI, ABU ZAR. (5) HUSSAIN (Cikgu, Wali Hakim kawasan Paya Besar) berkahwin dengan KAMISAH binti MAT AROF dan anak-anak mereka ialah MOHD. BASRI (guru), MOHD. BUKHARI (guru), MOHD. ZAIDI (Penghulu), SALBIAH (Pensyarah Maktab Koperasi dan berkahwin dengan Dato' MOHD. HILMI bin MOHD TAIB, Bekas Pengurus Besar PNB), MOHD. SAUFI (Pegawai Komputer), MOHD. NORAZMI (Pegawai Kerani), MOHD. KHAIRI (Remaisser). HAJI ARIS kemudiannya berkahwin seorang lagi iaitu YANG NGAH binti PAK ANJANG AJI. Daripada perkahwinan ini mereka dikurniai dua orang anak perempuan iaitu SAFIAH dan TING RABIAH. Selepas kematian isterinya beliau berkahwin dua kali lagi, tetapi tiada memperolehi anak daripada kedua-dua perkahwinan ini.

DAYANG (Mak Oda Dayang) berkahwin dengan ENDIK dan memperolehi dua orang anak iaitu ISMAIL (Long Mail Lading) dan AWANG KECIK (Ngah Awang Kechik Andir). Perkahwinan ini berakhir dengan perceraian, dan setelah bercerai DAYANG berkahwin pula dengan MAHMUD bin IMAM SAID, dan mereka dikurniai seorang anak lelaki MAT YAMIN (Ayah Teh Min) yang tinggal di Kampung Awah. Mak Oda Dayang ini besar tubuh badannya dan selalu bercerita kepada kami cerita-cerita Sang Kelembai, Pak Pandir, Lebai Malang, Mat Jenin dan Nenek Gergasi - sehingga semasa saya kecil saya menyangkakan dialah yang sebenarnya Nenek Gergasi itu! Semasa saya jatuh dari pokok kelapa, dialah salah seorang yang menjampi sirih dan menghembus air dan sepah sirih yang dikunyahnya ke seluruh badan saya sehingga menjadi merah. Di rumah dia sahajalah yang saya berjumpa 'tempurung dasar', iaitu tempurung kelapa bersaiz besar yang dilicinkan bahagian luar dan dalamnya, diguna untuk tempat makan dan tempat melecek garan dan lada untuk dibuat garam lada.

CHIK (Mak Kecik Dewie) pula berkahwin dengan ATIN, orang dari Bukit Segumpal, Temerloh.fDaripada perkahwinan ini lahirlah lima orang anak iaitu (1) SAFIAH (Ngah Safiah) yang berkahwin dengan Ayah Uda JAAFAR; (2) AWANG SETAN (yang berkahwin dengan PUTEH binti MAT LASIM dan selepas isterinya ini meninggal berkahwin pula dengan CHAR LEMBIK; (3) AMINAH (yang berkahwin dengan sepupunya SAID bin ARIS dan kisahnya telah diceritakan sebelum ini) ; (4) ZAHARAH (Mak Teh Zaharah) yang berkahwin dengan JUSOH bin SELIMIN; dan anak-anak mereka ialah ROHANI (Cikgu HASNAH) yang berkahwin dengan Cikgu MOKHTAR IBRAHIM orang Batu 8, Kuantan dan AHMAD JOHAR (Cikgu Johar) yang berkahwin dengan MAIMON binti Penghulu Haji KASSIM; dan kemudiannya berkahwin pula dengan TAIB (Ayah Andak Taib) yang tidak mendapat anak dan selepas bercerai dengan Ayah Andak Taib berkahwin pula dengan JASIMAN bin KASSIM (Cikgu Jasiman) dan mendapat anak yang bernama UMARAN (Lah), NORFAUZIAH, NURLAILI dan SAIFUDDIN); dan (5) AISHAH (Chu Kolot) yang berkahwin dengan OMAR bin MAT SAH (Tok Bomoh Omar) iaitu orang Bukit Segumpal, Temerloh.

ISA (Pak Kecik Isa) berkahwin dengan DAYANG binti LEMBIK dan memperolehi empat orang anak iaitu BAKAR (Tuk Imam Bakar di Kampung New Zealand), dan MUNAH yang berkahwin dengan TAIB (Pakcu Pilus) dan mendapat tiga orang anak: pertama dua orang kembar iaitu JAMALUDDIN (meninggal semasa bayi) dan KAMALUDDIN berkahwin dengan ROHANI orang Pulau Kerengga dan kini tinggal di Jengka 24, dan seorang lagi anaknya SAUDI yang bekerja dengan Syarikat Alam Flora di Kuantan; sementara dua orang lagi meninggal semasa kecil, seorang bernama OMAR dan yang seorang lagi tidak diketahui. Setrelah DAYANG meninggal dunia, beliau berkahwin pula dengan TIJAH binti DOLAH (Dolah Kuci) dan mendapat tiga orang anak iaitu OTHMAN, YUSOF dan YAAKUB. OTHMAN (Pak Teh Seman) berkahwin dengan RAMLAH binti HITAM dan anak-anak mereka BAHARUDDIN (Timbalan Pengarah Keselamatan Pelabuhan Tanjung Pelepas), BAHAZELAN (Pegawai di Unit Protokol Pejabat SUK) berkahwin dengan HASNAH YUSOF (gueu), SHAHRULBARIAH (Guru siswazah bahasa Inggeris di Kuala Lumpur) berikahwin dengan ZULFAKAR (jurutera instrumental Petronas), SAIDATULHANA (Guru siswazah bahasa Inggeris di Kuantan) berkahwin dengan MUSTAZA (guru siswazah), BAHAZENAN (Kakitangan Majlis Perbandaran Kuantan) berkahwin dengan SALASIAH A. SAMAD dan NURULASHIKIN (Pegawai di Maybank Kemaman) berkahwin dengan AZMAN. YUSOF (meninggal semasa kecil). YAAKUB (Ayah Uda Akub) berkahwin dengan NURZIAH, dan anak-anak mereka ialah KHAIRUL FAIZI (Pengurus Pemasaran FN-CocaCola Shah Alam), MUHAMMAD HAFIZ (Pensyarah dan Ketua Jabatan Pengurusan Perniagaan KIPSAS), FAZIANA AZAH (Pegawai Tadbir, Bahagian Tol, Alloy Berhad) dan FARAH AFIZAN (Guru siswazah Pendidikan Seni SM Cenderawasih, Kuantan).

HAWA (Chu Hawa) pula berkahwin dengan YUSOF bin SELIMIN dan memperolehi seorang anak perempuan MARIAM. MARIAM ini berkahwin dengan ISMAIL (Pak Long Awang Masam) bin ATIN bin IMAM SAID, dan memperolehi dua anak iaitu ZALMA yang berkahwin dengan MAT YUNAN bin DAUD dan RAHMAH yang berkahwin dengan ABDUL MANAN bin DAUD, Ketua Kampung Kiambang, Catatan: MAT YUNAN dengan MANAN bukannya adik-beradik.

Anak ABDUL WAHAB kedua bernama LAMBAK berkahwin dengan EMBONG, orang Pulau Rusa dan mendapat lima orang anak iaitu: (1) DAYANG, (2) MUHAMMAD, (3) FATIMAH, (4) USOH dan (5) ENDUR (perempuan).

DAYANG (Mak Long Dayang) berkahwin dengan SAMAH, orang Kampung Sekur, Tanjung Medang. Anak-anak mereka ialah AWANG NONG, TANGGOK ...

MUHAMMAD (Ayah Ngah Mamat, Bekas Tuk Mukim Kiambang) yang merupakan seorang tukang besi yang handal, berkahwin dengan TEH, orang Tanjung Medang dan anak-anak mereka ialah (1) SAAYAH yang berkahwin dengan TALIB (orang Tanjung Medang). (2) OMAR (Andak OMAR) Ketua Kampung Kiambang, beliau mulanya berkahwin dengan orang Kampung Teluk yang bernama SAFIAH binti MAHMUD dan mendapat tiga orang anak: KHALID, KHATIJAH dan SHAMSIAH. Selepas bercerai dengan Safiah beliau berkahwin dengan ROKIAH (Tuk Bidan KIAH) dan mendapat dua orang anak iaitu ABDULLAH (Tan Dolah) yang bertugas di Pejabat Setiausaha Kerajaan Pahang dan TINA yang bekerja di Pejabat DARA. (3) NASIAH (Ne Bidan) berkahwin dengan ISHAK kakitangan Hospital Kuantan yang juga sepupunya. Mereka mendapat dua orang anak, seorang berkahwin dengan AWANG LADING dan seorang lagi berkahwin dengan ZAINUDDIN bin SIDEK, orang Tanjung Medang. (4) OTHMAN (Abu Seman atau Awang Pisang atau Awang Borek) yang berkahwin dengan Mak Teh ZAWIYAH dan ada seorang anak bernama NURULKALBI yang berkahwin dengan Cikgu ABDUL HAMID HASSAN (orang Bukit Dinding, Jerantut), salah seorang anak mereka ialah NORHAMIEZA yang kini bertugas di Yayasan Pahang.

FATIMAH berkahwin dengan DIN dan anak mereka ialah CHIK yang kemudiannya berkahwin dengan HASSAN bin ARIS (Ayah Andak Hassan). Fatimah ini pernah berkahwin dengan ISMAIL orang Kelantan dan memperoleh anak ISHAK yang berkahwin dengan sepupunya NASIAH (Ne Bidan) sebagaimana yang dinyatakan di atas tadi.

USOH berkahwin dengan anak orang Tanjung Medang mendapat anak yang bernama HAMZAH dan AWANG KECHIK. USOH kemudiannya berkahwin pula dengan JEBAH, orang Pulau Rusa, mendapat anak yang bernama JAAFAR seorang Polis yang sekarang bersara dan tinggal di Bandar Baru Chenor.

ENDUR (Chu Endur) berkahwin dengan ABDUL WAHID anak MENTENGAH dan memperolehi anak yang bernama OTHMAN (Othman Wali). ENDUR ini kemudiannya berkahwin dengan MUHAMMAD bin CHIK (Ayah Teh Mat Jelatat) daripada perkahwinan ini mereka memperolehi tiga orang anak iaitu MARIAM dan ABDUL WAHAB (Dol) manakala anaknya yang seorang lagi, seorang lelaki meninggal dunia.

Anak ABDUL WAHAB ketiga bernama OMAR (Tuk Andak OMAR) itu pula beristerikan SAADIAH, sepupupunya, anak MARIAH. Mereka memperolehi dua orang anak perempuan iaitu JAMILAH dan AISHAH. JAMILAH .... Akan AISHAH itu berkahwin dengan orang Tebing Tinggi, Jerantut, keturunan anak HAJI AHMAD yang berkahwin di sana dahulu itu. Hasil perkahwinan mereka lahirlah SULAIMAN dan YANG KECHIK. AISHAH kemudian berkahwin pula dengan seorang orang Jawa bernama KASSIM dan memperolehi anak Cikgu JASIMAN, OTHMAN (Pak Itam Seman) dan SINAM (Mak Andak Sinam).

Anak ABDUL WAHAB keempat yang bernama AWANG CHIK itu pula beristerikan YANG CHIK binti MAT DAENG, orang Pulau Rusa. Akan YANG CHIK ini masyhur pandai dan sedap sangat berdikir bebana hingga menjadi pedikir terkenal sampai ke istana raja. Anak-anak mereka lima orang iaitu MUHAMMAD, IBRAHIM, JAAFAR, YANG KETENG dan KALSOM.

(1) MUHAMMAD (Ayah Teh Mamat Jelatat) berkahwin dengan ENDUR (Chu Endur) dan anak-anak mereka ialah MARIAM dan ABDUL WAHAB. Pada zaman muda Ayah Teh Mamat dikatakan telah bermukah dengan seorang perempuan bernama YANG HAJAR dan mendapat seorang anak lelaki bernama AWANG MAT ALI yang menjadi peneroka di Ulu Jempol. Kes tohmahan ini tiada diakui oleh MUHAMMAD. Ramai juga berpendapat penafian Ayah Teh Mat itu betul kerana wajah Awang Mat Ali itu tiada langsung iras-iras wajahnya, sebaliknya macam seorang lain di Ganchong juga yang namanya tak usahkah dicatat di sini. Wallahu a’lam.

(2) IBRAHIM (Tuk Imam Ibrahim) itu adalah seorang guru agama yang pertama di Sekolah Melayu Pulau Rusa; beliau dianggap ’orang tua kampung’ di samping menjadi Wali Hakim dan Imam. Beliau meninggal dunia pada hari Jumaat 23 Disember 1982. Anak-anak beliau ialah SELAMAH, RAJMAH, NORMAH, AINUN, MASINAH, AHMAD, ABDUL RAHIM (ROHI) dan ISMAIL.

(3) JAAFAR (Ayah Uda Jaafar) berkahwinan dengan SAFIAH binti ATIN (Ngah Piah) dan anak-anak mereka ialah HASNAH, HASHIM, ABDUL JABAR, ROKIAH (YUNI), ABDUL JAMAL dan SALMIAH. Ayah Uda Jaafar merupakan seorang yang dihormati di Kiambang: dia pandai berdikir, boleh bersilat, pandai menggunting rambut dan bertukang rumah. Semasa saya berkahwin dialah yang bersilat di halaman rumah! Hasnah (Nah) berkahwin dengan OMAR bin OTHMAN dan mendapat seorang anak MOHD. RADZI; kemudiannya bercerai dengan Omar dan kahwin pula dengan ABDUL RAHMAN bin SAMUD. Hashim bekerja sebagai pegawai hutan dan berkahwin dengan SAFIAH (orang Terengganu) dan tinggal di Sungai Karang Darat. Salah seorang anak Hashim SALMAH lulusan Universiti al-Azhar berkahwin dengan Ustaz MUHAMMAD bin ISMAIL (orang Tebing Tinggi) yang kini bertugas di Yayasan Pahang. Abdul Jabar berkahwin dengan SHAMSIAH binti OMAR (Embut), sementara ROKIAH (Yuni) berkahwin dengan sepupunya ABDUL WAHAB bin MUHAMMAD.

(4) YANG KETENG berkahwin dengan SAMUD dan mereka mempunyai anak iaitu ABDUL RAHMAN (Polis yang berkahwin dengan sepupunya HASNAH binti JAAFAR tadi); ABDULLAH (berkahwin dengan orang Jawa dan tinggal di Batu Lapan, Kuantan) dan seorang lagi bernama MOKHTAR.

(5) KALSOM (Chu Som) berkahwin dengan SENTOL bin MUHAMMAD dan anak-anak mereka ialah ABDUL HAMID, ABDUL KADIR, KAMAR, ZAINON DAN ABDUL MUJIB. (i) ABDUL HAMID (Cikgu HAMID) berkahwin dengan KHADIJAH binti ABDUL RAHMAN, orang Teluk dan anak-anak mereka NASARUDDIN juruhebah Radio Pahang, ARIFUDDIN Pegawai Pelajaran dan kini berkhidmat di Bahagian Pendidikan Islam di Puterajaya. (ii) ABDUL KADIR (seorang bekas tentera yang berkahwin dengan ZAUYAH binti ISMAIL). ZAUYAH ini menghidap sejenis penyakit yang menyebabkan dia tidak siuman sehingga pada suatu hari dia mengerat leher anaknya yang bernama ANUAR yang sedang tidur sehingga mati. Kes ini kemudiannya tidak diambil tindakan kerana pihak perubatan mengesahkan Zauyah tidak siuman semasa kejadian itu. (iii) KAMAR (seorang bekas kakitangan Pejabat Hutan yang berkahwin dengan orang Terengganu dan tinggal di Permatang Badak). (iv) ZAINON yang diberikan sebagai anak angkat kepada pasangan RIPIN dan BANUN berkahwin dengan SULAIMAN bin ABDULLAH (Ketua Kampung Kiambang yang telah dikisahkan tadi). (v)
ZAITON berkahwin dengan sepupunya AHMAD bin IBRAHIM. Ahmad ini dulunya bertugas mengaji di Makam Diraja Pekan. Salah seorang anak mereka ialah MOHD. AFIZAL yang kini menjadi Mudir Sekolah Agama Rakyat Darul Makmur, Ganchong. (vi) ABDUL MUJIB seorang anggota tentera yang dalam Kor Perkhidmatan Am Askar Melayu Diraja berkahwin dengan orang Kampung Tengah, Seri Mananti. Selepas bersara beliau cergas dalam politik dan menjadi wakil Ahli Parlimen Siputeh, di samping mengusahakan sebuah sekolah memandu. Beliau telah meninggal dan dikebumikan di kampung isterinya di Seri Menanti.

Anak ABDUL WAHAB kelima yang bernama SABARIAH atau YANG KECHIK berkahwin dengan KASSIM bin SARAH, orang Pulau Rusa. Hasil daripada perkahwinan itu mereka mendapat tiga orang anak, iaitu yang pertama YANG DE atau WOK yang berkahwin dengan ARIS bin SUBOH (Tuk Mudim dan Tuk Bilal Aris) iaitu sepupunya dari Ganchong yang diceritakan dahulu. Anak SABARIAH yang kedua ialah DAUD bin KASSIM yang berkahwin dengan SAFIAH (orang Langgar) dan memperolehi anak ARSHAD, ROKIAH, HASMAH. Setelah SAFIAH meninggal dunia DAUD berkahwin pula dengan HAJAR binti HUSSAIN (orang Tanjung Batu, Ganchong) dan dikurniai anak yang bernama MOKHTAR, JAMILAH, NORIAH dan JAMALIAH. Perkahwinan ARSHAD dengan AZIZAH BINTI HAJI OMAR (orang Ketapang) memperolehi anak FAKHARUDDIN, YAHAYAUDDIN dan MAISARAH; sementara dengan isterinya orang Kelantan pula memperolehi anak yang diberi nama SIAH, MAH dan SU’AD. ROKIAH pula berkahwin dengan AWANG KECHIK (orang Teluk) dan memperolehi anak yang bernama FATIMAH atau WOK yang tinggal di Rumah Banjir Bukit Kuantan. Setelah bercerai dengan AWANG KECIK, ROKIAH kahwin pula dengan OMAR bin HAJI MUHAMMAD (Ketua Kampung Kiambang) dan memperolehi anak yang bernama ABDULLAH (Tan) yang bekerja di Pejabat Setiausaha Kerajaan Pahang dan ZAINUN (Tina) yang menjadi kerani di Pejabat Dara, Keratong. Anak SABARIAH yang ketiga iaitu MARIAM berkahwin dengan SIDEK bin SUDIN (orang Pulau Rusa juga). Mereka dikurniai dua orang anak lelaki iaitu ABDUL RAHMAN (atau Awang Masam) dan OTHMAN (yang pernah menjadi Guru Pelawat Agama) dan tinggal di Kempadang. OTHMAN ini berkahwin dengan RAFEAH binti AWANG KECHIK dan mendapat tiga orang anak iaitu ABDULLAH, ISMAIL dan MAH.

Anak ABDUL WAHAB keenam yang bernama MENTÉNGAH itu pula berkahwin dengan seorang orang Jawa bernama SELIMIN dan memperolehi enam orang anak, iaitu (1) ARFAN (Pakcik Pan) yang tinggal di Bukit Ubi, Kuantan; (2) ABDUL WAHID (berkahwin dengan ENDUR binti LAMBAK) dan mendapat seorang anak bernama OTHMAN (Othman Wali). ABDUL WAHID ini meninggal dunia keseorangan di dalam sebuah pondok buruk di Jalan Nenasi-Pekan dan hanya ditemui oleh Ayah Ngah Mamat yang mencarinya setelah mayatnya telah reput; (3) YUSOF yang berkahwin dengan sepupunya HAWA binti SUBOH (Chu Hawa) dan mendapat seorang anak MARIAM (Embong Mariam); (4) SITI yang anaknya bernama JUSOH itu berkahwin dengan ZAHARAH binti ATIN (Mak Teh Jaharah); (5) SIRAH (Mak Andak Sirah) yang anaknya bernama ABU SEMAN (Pak Ngah Abu) dan SUDIN (SC); (6) YANG DARAT.

Anak ABDUL WAHAB ketujuh yang bernama BAKAI (BAKAL atau BAGAI) itu pula berkahwin dengan DERAMAN (Tuk Bilal Deraman) mereka memperolehi enam orang anak, iaitu (1) ABDUL RAUF, (2) MAT ABAS, (3) SINAH, (4) SENAYU, (5) JAH dan (6) SAUDAH. Akan SAUDAH (Chu Sodah) berkahwin dengan MAT SALEH (Mat Saleh Kepek, Wak Leh) dan anak-anak mereka ialah NE dan NUN. NE berkahwin dengan IDRIS bin SERBAH, sementara NUN berkahwin dengan MAT LAZIM (TARIKH) bin JAAFAR yang tinggal di Felda Kampung New Zealand. Seorang lagi anak SAUDAH yang bernama DAHALAN (AWANG MENAHU) dijadikan anak angkat dan tinggal bersama-sama Chu ENDUR. DAHALAN ini berkahwin dengan SERIBANUN (orang Mela) dan memperolehi empat orang anak. Beliau meninggal dunia di Batu 13 Jalan Kuantan-Pekan dalam satu kemalangan yang menyebabkan motosikal yang dinaiki bersama isterinya tergelincir di bahu jalan dan dia dilanggar oleh lori trailer yang kebetulan memintasnya pada masa itu, sedangkan isterinya selamat kerana tercampak ke sisi sebelah kiri. Jandanya (Banun) kini tinggal di Rumah Murah Permatang Badak dan bekerja dengan Syarikat NURA sebagai pencuci bangunan di Supermarket Kuantan Parade.

* * *

Berbalik pula kepada kisah anak HAJI AHMAD yang bernama TUMISAH. Beliau berkahwin dengan PENDEK (Tuk Khatib Pendek). Dia (siapa? Pendek atau Tumisah?) ini dikatakan kurang siuman. Daripada perkahwinan itu mereka mendapat dua orang anak lelaki dan tiga orang perempuan, iaitu (1) MEMANGUN (SENUN), (2) PERANG, (3) YANG DE, (4) DAYANG KALOI dan (5) SOM. YANG DE itu gila. MEMANGUN (SENUN) berkahwin dengan PERANG iaitu orang Temai dan anaknya ialah JAMALUDDIN dan MAHIDIN. Anak DAYANG KALOI iaitu BEDAH berkahwin dengan ISMAIL BIN ENDEK; sementara SOM berkahwin dengan JILI.

Akan CHIK (MARIAH) binti HAJI AHMAD mendapat seorang bernama SAADIAH yang berkahwin pula dengan OMAR BIN WAHAB (Tuk Andak Omar). OMAR ini mendapat seorang anak bernama AISYAH (Embong Aisyah) yang berkahwin dengan orang Kampung Kelola, keturunan HAJI AHMAD di sana. Hasil perkahwinan ini lahirlah SULAIMAN (Abang Sulaiman) yang akhirnya menjawat jawatan Ketua Kampung Kiambang; YANG KECHIK dan OTHMAN. AISHAH ini kemudiannya kahwin dengan orang Jawa yang bernama KASIM dan anak mereka ialah JASIMAN, OTHMAN dan SINAM. JASIMAN berkahwin dengan ZAHARAH (Mak Teh Zaharah), sementara SINAM berkahwin dengan OMAR bin SAMAH, orang Tanjung Medang.

FATIMAH (TIMAH) binti HAJI AHMAD pula berkahwin dengan orang Tanjung Medang, mereka dikurniai anak SAMAH, MAT LEH, JALIL dan DARA (Mak Teh Dara). SAMAH berkahwin dengan DAYANG binti LAMBAK di Pulau Rusa dan anak-anak mereka pula ialah AWANG NONG dan OMAR. JALIL (Haji Jalil) yang menjawat jawatan Ketua Kampung Tanjung Medang itu memperolehi seorang anak yang bernama HUSSAIN yang meninggal dunia kerana dipanah petir.

Anak bongsu HAJI AHMAD bernama ALI (Tuk Busu Ali Sembilan) itu berkahwin dengan HALIMAH binti LAMBAK. Mereka tidak memperolehi anak daripada perkahwinan ini. Kemudian dia kahwin pula dengan CHIK MENYIK binti BAKAR di Pulau Rusa dan mendapat seorang anak bernama KALIMAH.

* * *

Berbalik pula kepada kisah SAID (Tuk Imam SAID), setelah kematian isterinya YANG CHIK, berkahwinlah pula dia dengan MAK BUNAI. Mereka mendapat lima orang anak lelaki iaitu ISHAK (Pak Long ISHAK), AHMAD atau BOYOR ((Pak Ngah Boyor), MAHMUD (Pak De Mahmud), AJI (Pak Anjang Aji) dan ATIN (Pak Busu Atin).

ISHAK (Ayahteh Ishak) berkahwin dengan TEH ENDAH binti SUBOH dan tidak memperolehi anak. Mereka ada mengambil seorang anak angkat iaitu anak saudaranya yang bernama TEMAH binti SULAIMAN yang dipeliharanya seolah-olah lebih daripada anak sendiri.

AHMAD atau Pakngah BOYOR pula berkahwin dengan SAADIAH atau YANG LONG, orang Sekor, Tanjung Medang dan mendapat anak yang bernama BIDIN yang tinggal di Anak Air, Penyor kemudiannya di Maran. Anak-anak BIDIN antaranya ialah AWANG CHIK (Guru Besar Jengka Empat) yang meninggal dunia dalam kecelakaan di Sungai Pahang dalam suatu temasya menuba, konon dilanggar oleh motor enjin sangkutnya sendiri; HARUN, ABDUL LATIF, YANG TEKUKUR dan YANG KECHIK. BIDIN ini pernah menggemparkan masyarakat – khasnya di kalangan kaum keluarga sendiri – kerana kononya dia mengahwinkan ibunya dengan dia sendiri yang bertindak mewalikannya!

MAHMUD pula berkahwin dengan SELEMA dan memperolehi anak YANG CHIK dan BEK. BEK ini berkahwin dengan TAIB bin PUTEH dan mereka memperolehi anak yang bernama AZIZAH yang kemudiannya berkahwin dengan MAT SAMAN bin SULAIMAN (yang meninggal dunia di Makkah). Anak-anak mereka ialah MUSAWIR (kerani dan berkahwin dengan orang Jerantut serta menetap di sana), NORHAIZAN (guru, berkahwin dengan WAN MOHD ZAIN bin WAN MAHMUD dan menetap di Ketapang, Pekan); MAH ...

Adapun akan MAHMUD setelah bercerai dengan SELEMA berkahwin pula dia dengan sepupunya DAYANG binti SUBOH (Mak Oda Dayang), yang dikurniai seorang anak lelaki bernama MAT YAMIN. MAT YAMIN berkahwin dengan SARIPAH, orang Tanjung Perang, Awah dan memperolehi anak yang bernama LIANA, ZAMRI (Tan); ABDULLAH, SEMEK; HAMDAN.

AJI (Pak Anjang Aji) pula berkahwin dengan SAFIAH, adik kepada YANG LONG, isteri Pak Ngah BOYOR. Mereka memperolehi anak YANG NGAH dan AWANG. YANG NGAH ini berkahwin dengan ARIS BIN SUBOH dan memperolehi anak bernama SAFIAH dan TENG RABIAH. SAFIAH berkahwin dengan SIDEK (orang Beserah) dan menetap di Jengka Empat, sementara TENG RABIAH berkahwin dengan SULAIMAN (Sarjan Sulaiman) dan menetap di Taman Tas, Kuantan.

ATIN (Pak Busu Atin) berkahwin pula EMBUN dan memperolehi seorang anak bernama ISMAIL atau AWANG MASAM, yang kemudiannya berkahwin dengan MARIAM binti YUSOF (Anak Chu HAWA binti SUBOH) dan mendapat dua anak perempuan yang bernama ZALMAH yang berkahwin dengan MAT YUNAN bin DAUD dan RAHMAH yang berkahwin dengan ABDUL MANAN bin DAUD (Ketua Kampung Kiambang) yang telah dikisahkan di atas.

Anak PUTEH bin SAID yang bernama JAAFAR (Pak Long Jaafar Gemuk) berkahwin dengan SUBOH binti HAJI HASSAN. Perkahwinan ini dikurniai anak HITAM atau KHATIJAH yang berkahwin dengan AWANG NGAH, 'pakar' melelong daging kerbau dan lembu di Ganchong; SULAIMAN (Tok Bomoh Sulaiman Gandu) dan anaknya Ustaz ZAMRI yang bertugas di Pejabat Menteri Besar sebagai penasihat/pendakwah agama; AMINAH; MAT KAMIN; IDRUS tinggal di Kampung SC di belakang SM Paya Besar, Kuantan; NE; MAT LAZIM atau TARIKH berkahwin dengan AINON anak Wak Leh dengan MAK BUSU SODAH dan tinggal di Kampung New Zealand; HALIMAH atau KETENG dan ABDUL RAHMAN (Cikgu Abdul Rahman Tiet) yang berkahwin dengan Cikgu KHATIJAH binti SHAFIE dan pasangan ini tidak dikurniai anak, hanya mengambil seorang anak angkat daripada keluarga sebelah isterinya.

Anak PUTEH bin SAID yang bernama CHIK itu pula beristerikan JAH binti MUDA dan mereka mendapat anak yang bernama ABU SAMAH; AHMAD; JAMILAH dan KUNDOR yang semuanya tinggal di Ganchong.

Seorang lagi anak PUTEH bin SAID yang bernama SAMUD itu pula telah berkahwin dengan FEAH (KETENG) binti CHIK. Mereka mendapat anak ABDUL RAHIM, ABDUL RAHMAN, ABDULLAH dan KAMARIAH. ABDUL RAHMAN telah berkahwin dengan MAZNAH (Nah) binti JAAFAR sementara ABDULLAH berkahwin dengan anak PAK DE MID yang tinggal di Batu Lapan, Jalan Gambang.

Anak bongsu PUTEH bin SAID yang bernama TAIB pula menjadi guru agama di Kuantan. Perkahwinan pertamanya dengan BEK binti MAHMUD dikurniai anak yang bernama AZIZAH yang berkahwin dengan MAT SAMAN bin SULAIMAN. Kemudian TAIB berkahwin lagi dengan WOK LIJAH binti MAT ALI di Batu Sawar, Kuantan, tetapi mereka tidak mendapat anak daripada perkahwinan ini. Perkahwinan ketiganya dengan RAFIAH binti ISMAIL di Kampung Kampar, Kuantan dan mendapat anak yang bernama ZAINAL ABIDIN yang tinggal di Rancangan Tanah Cini, Pekan. Perkahwinan keempat TAIB ialah dengan WOK binti IBRAHIM dari Kampung Tengah, Kuantan dan mendapat anak yang bernama ABDUL HALIM yang bertugas sebagai posmen di Kuantan. Dalam zaman pendudukan Jepun HAJI TAIB berkahwin kali kelima dengan ZAHARAH binti ATIN (Mak Teh Zaharah) tetapi tidak mendapat anak. Akhir sekali, perkahwinan TAIB kali keenamnya ialah dengan WAN AISYAH binti WAN ALI dari Batu Tiga Kuantan, yang juga tidak mendapat anak. Beliau tinggal di Kampung Belukar Baru, Batu Tiga, Kuantan, menghabiskan zaman pencennya dengan memberikan perkhidmatan kepada masyarakat dengan mengajar kanak-kanak mengaji al-Quran, mengajar orang dewasa hal-hal tentang perkara Fardu ’Ain serta menguruskan jenazah orang mati seperti memandi mengafan, menyembahyang dan menguburkannya.

Maka demikianlah kisah keturunan kami dari sebelah bapa di Kampung Ganchong Pekan. Wallahu a’lamu bissawab wa ilaihi marji’u wal-maab.

Pencatat pertama ialah AYAH ANDAK TAIB bin SAID, kemudian dibuat tambahan serta catatan oleh HAJI HUSSAIN bin HAJI ARIS dan teks dalam Blog ini dikemaskini oleh YAAKUB ISA.


CATATAN TAMBAHAN:

Salsilah keluarga ini (sembilan generasi semuanya) telah disusun menggunakan program perisian Family Tree. Maklumat yang tersedia lebih lengkap berbanding dengan yang tercatat di dalam fail Sejarah Keluarga Sebelah Ayah ini. Ahli keluarga atau sesiapa sahaja yang ingin melihat atau memiliki perisian ini silalah berhubung dengan Dato' Yaakub Isa melalui
yaakubisa@yahoo.com untuk mendapatkan salinannya. Lebih jauh, anda diminta menambah sendiri bilangan keluarga anda untuk menjadikan maklumat tersebut lebih lengkap, dan diminta menyampaikan maklumat tambahan kepada pengendali Blog ini. Maaflah kerana program di bawah perisian Family Tree tidak compitable untuk dapat diterima bagi paparan di dalam Blog ini. Manalah tahu kalau-kalau anda salah seorang daripada keluarga besar kami?

YAAKUB ISA
H54 Jalan Karyawan 5
Taman Koperasi Guru
25150 KUANTAN, Pahang

Telefon: 09-536 6396; 019 9662299
20 Januari 2008.