Friday, March 21, 2008

Zaman Darurat

Persekolahan Dalam Zaman Darurat

Walaupun saya mula bersekolah dalam zaman darurat, kampung kami di Ganchong dan boleh dikatakan seluruh daerah Pekan, tidak terlibat sangat dengan ancaman pengganas komunis serta tindakan pasukan keselamatan. Di kampung saya tidak pernah terdengar ada kegiatan komunis, malah tiada seorang pun orang kampung kami yang menyertai kumpulan itu.

Saya sendiri pernah merasai beberapa peraturan yang ditetapkan oleh kerajaan Inggeris pada masa itu dalam usaha mereka memerangi komunis. Setiap keluarga misalnya diberikan kad catuan makanan. Makanan yang dicatu ialah beras, gula, tepung. Saya tidak ingat sama ada mereka mengenakan catuan terhadap minyak masak, tetapi jikalau ada pun tentu mendatangkan apa-apa kesan kerana rata-rata orang kampung kami memasak miyak kelapa sendiri. Kelapa tidak terhad dan kami boleh menyediakan minyak sebanyak mana yang kami perlukan.

Catuan menggunakan kad ini bermaksud sesebuah keluarga hanya dibenar membeli barang-barang catuan setakat yang dihadkan sahaja. Tidak boleh lebih. Hal ini mungkin menimbulkan masalah sedikit sekiranya keluarga itu besar, walaupun secara berbandingnya mereka juga boleh membeli barangan catuan lebih banyak berbanding orang lain. Sekiranya sesekali kami terasa hendak meminum susu tin ada juga masalahnya kerana tin susu itu terpaksa ditebuk oleh kedai yang menjualnya. Tujuan berbuat demikian adalah untuk mengelakkan minuman susu jatuh ke tangan komunis di dalam hutan. Susu yang ditebuk tinnya tidak boleh disimpan lama kerana pada masa itu manalah kami ada peti sejuk. Kalau susu untuk biasanya boleh dijimat sampai seminggu setin, kini hanya sehari dua sahaja.

Pada masa itulah juga dikuatkuasakan penggunaan kad pengenalan ke atas penduduk yang berumur 12 tahun ke atas. Zaman Jepun dahulu khabarnya tidak ada kad pengenalan, yang ada hanya yang mereka sebut jaminso. Saya sendiri tidak pernah melihat bagaimana bendanya jaminso itu. Untuk melaksanakan ini, pasukan membuat kad pengenalan pergi ke kampung-kampung, bersekali dengan tukang gambar. Umur saya pada masa itu baharu 10 tahun lebih sedikit. Ada pandangan supaya mereka yang seumur seperti saya membuat kad pengenalan memandangkan pada masa akan datang sukar hendak ke Pekan mengambil gambar dan sebagainya. Dipendekkan cerita, saya pun dibuatlah kad pengenalan dengan mencatatkan umur saya 12 tahun - lebih setahun setengah daripada umur sebenar. Perkara ini berlaku kerana kad pengenalan pertama itu tidak mencatatkan tarikh lahir tetapi cuma umur saya pada masa itu yang diperlukan, yang menyebabkan tiada sebarang masalah yang saya hadapi pada masa itu, tetapi dalam operasi pertukaran kad pengenalan pada 1960-an mereka mula menyoal mengapa tarikh beranak saya dalam surat beranak tidak sama dengan yang dicatat di kad pengenalan. Penjelasan saya tentang hal yang sebenarnya berlaku dahulu tidak dapat diterima oleh Pegawai Pendaftar di Tanjong Malim. Mereka menuliskan tarikh lahir saya lebih tua daripada tarikh yang sebenarnya. Cuma dalam operasi pertukaran kad pengenalan kali ketiga baharulah mereka menerima tarikh lahir saya sebagaimana yang tercatat di dalam surat beranak atau sijil kelahiran saya.

Sebenarnya, kad pengenalan yang pertama itu dari segi keselamatannya amatlah minimum. Kertasnya dibuat daripada kertas manila berwarna putih. Gambar pemiliknya digamkan di atas kad tersebut dan dikapitkan dengan cap mohor yang samar-samar. Di bawah gambar dicatatkan gambar itu dikenali oleh (Ketua Kampung) dan disahkan oleh (Penghulu). Maklumat lain ermasuklah alamat tempat tinggal dan umur. Kad yang sangat mudah ditiru ini rupa-rupanya sangat diperlukan oleh anggota PKM, kerana setiap kali mereka menahan bas, kad pengenalanlah yang dirampas. Peri tiadanya ciri-ciri keselamatan pada kad pengenalan pertama ini dapat dilihat dalam kes kad pengenalan bapa saudara saya Taib bin Abdullah yang terdapat dua imej gambar iaitu gambar beliau sendiri dengan gambar Pakandak Nal (Tuk Muda Zainal) yang seolah-oleh mengintai di belakangnya ketika gambar beliau diambil.

Mereka yang tinggal di kawasan ’hitam’ terpaksa mengalami kesan kawalan yang lebih teruk. Penoreh getah yang membawa bekal minuman kopi atau teh dirasa dahulu airnya oleh pasukan keselamatan yang menjaga: kalau terlalu manis, air itu dituangkan ke tanah separuh botol. Ini, kononnya, untuk mengelakkan air itu jika sampai ke tangan komunis akan dicampurkan dengan air tawar dan menghasilkan beberapa gelas lagi.

Sekiranya mereka yang tinggal di kawasan hitam ini masih tidak memberikan kerjasama kepada kerajaan sebagaimana yang mereka kehendaki, seluruh kampung dipindahkan ke kawasan khas yang dipagar dengan kawat berdiri dan dijaga tentera siang dan malam. Di daerah Pekan, tempat tahanan seperti ini diwujudkan di Lamir dan pesertanya adalah orang-orang Melayu yang berasal dari Benta, Lipis iaitu salah satu kawasan yang ramai anggota dan penyokong Rejimen Ke-10 PKM, yang merupakan bekas anggota KMM dan PKMM.

* * *

Berpindah ke Kuantan menjadikan saya lebih terdedah dengan pengalaman zaman darurat. Di Kuantan terdapat banyak askar, yang pada pandangan mata kami terdiri daripada askar kulit putih, kulit hitam, gurkha serta askar Melayu. Tetapi, rupa-rupanya yang berkulit putih itu terdiri pula dari askar Inggeris (ada orang Welsh, ada dari Scottish), Australia dan New Zealand. Yang berkulit hitam itu pula terdiri daripada ketumbukan dari Somalia (Somaliland), Kenya, Nyasaland, Rhodesia Utara (Zambia) dan entah apa-apa lagi di bawah nama King’s African Rifle. Ada juga yang berkulit hitam, tetapi mereka bukan dari benua Afrika, sebaliknya dari kepulauan Pasifik iaitu Fiji. Ramai orang Melayu di Kuantan ini mengganggap askar berkulit hitam itu sebagai askar Fiji belaka. Askar Australia dan New Zealand itu memang sahlah berkulit putihnya. Kami juga mengenali sangat askar Gurkha, kerana rupa parasnya yang sangat khas berbanding dengan askar-askar lain.

Pada masa bersembahyang Jumaat terdapat beberapa orang askar Afrika yang turut bersembahyang. Rupa-rupanya mereka ada juga yang beragama Islam. Biasanya kami lebih mengenali mereka yang beragama Islam melalui telinga: kebanyakan yang bukan Islam cuping telinga mereka bertebuk sehingga bahagian yang tidak bertebuk itu boleh dipintal dan dimasukkan ke dalam lubang telinga untuk mengelakkan telinga mereka terjuntai-juntai semasa berjalan atau menaiki basikal.

Askar Afrika ini suka menyewa basikal (sewanya 20 sen sejam) dan mereka mengayuh basikal di seluruh bandar sambil ketawa dan bercakap-cakap dalam bahasa yang tidak kami fahami. Terminal perjalanan berbasikal mereka ini ialah di Tanah Putih atau kawasan pokok ciku (Jalan Wong Ah Jang sekarang) atau di bawah pokok buluh (Jalan Haji Abdul Aziz sekarang) dan kawasan Bukit Ubi... Lokasi tersebut adalah lokasi merah dan hangat.

Pernah berlaku suatu pembunuhan di kem askar Afrika di Jalan Gambut (dekat kawasan TNB sekarang). Khabarnya askar ini terlambat balik, setelah bugle akhir ditiup, mereka masih merewang entah di mana. Sesampainya di kem kemudian dia dimarahi, dan pada masa itulah berlaku pembunuhan. Lama juga perbicaraan dijalankan, tetapi sebelum perkhidmatan mereka di Kuantan selesai, mahkamah menjatuhkan hukuman bunuh. Walau bagaimanapun hukuman itu dicabut kerana diampuni oleh Sultan Abu Bakar, kerana pesalah itu beragama Islam. Ini hanya cerita luar-tepi (hearsay), bukannya saya membuat rujukan ke mana-mana fail mahkamah tentera.

* * *

Terdapat banyak kajian dan penulisan tentang kegiatan sosial dan politik dalam zaman darurat, terutama yang berkaitan dengan gerakan kiri dan nasionalisme di kalangan orang-orang Melayu. Memang tidak dapat disangkal lagi terdapat tokoh-tokoh di kalangan guru-guru Melayu yang berjuang, baik di pihak kanan mahupun kiri dalam zaman yang huru-hara itu.

Temerloh memanglah merupakan pusat gerakan nasionalisme Melayu yang kemudiannya menjadikan PKM sebagai wahana perjuangan mereka setelah organisasi yang mereka dirikan tidak dibenarkan bergerak atau diharamkan. Kawasan Lubuk Kawah, Kertau, Berhala Gantang, Paya Luas, Bangau, Bintang, Buntut Pulau dan kampung-kampung lain di tebing Sungai Pahang menyumbangkan putera puteri mereka untuk dicatatkan sebagai penggerak ke arah bersemaraknya semangat nasionalisme bukan sahaja di Tanah Melayu, malah sampai ke seberang Selat Melaka.

Cikgu Taha yang berasal dari Kampung Bangau, Temerloh adalah guru lulusan SITC, Tanjong Malim yang menceburkan diri dalam ketumbukan Rejimen Ke-10 Parti Komunis Malaya. Beliau seorang guru dan pemimpin pengakap yang sangat dihormati serta mempunyai ramai murid dan handai tolan di Pahang. Memulakan kegiatan politiknya melalui Kesatuan Melayu Muda (KMM) dan Parti Kebangaan Malayu Malaya (PKMM) yang diharamkan oleh kerajaan Inggeris, Cikgu Taha memilih Rejimen Ke-10 PKM sebagai penyambung wahana perjuangannya. Wilayah operasinya dari Berhala Gantang hingga ke Chenor dan Lubuk Paku. Dalam satu tugas menyusun massa di Luit beliau ditembak oleh musuh – mungkin dari kalangan keluarganya sendiri dan meninggal dunia di situ. Jenazahnya diikat kaki tangan dan dikandar oleh pasukan tentera dan di bawa ke Kuantan. Masyarakat Melayu termasuk anggota UMNO setempat diketuai oleh Cikgu Talib mengetuai rombongan meminta jenazah Cikgu Taha untuk dikebumikan dengan cara yang sewajarnya. Permintaan mereka ini telah diperkenankan oleh pegawai yang berkenaan dan dikebumikan di kampung kelahirannya.

Pada pihak yang satu lagi, Cikgu Ali Chik orang Pulau Tambun Pekan yang bertugas di Lubuk Paku meninggal dunia kerana ditembak oleh anggota PKI. Cikgu Ali, seorang yang dikatakan mempunyai kebolehan dalam ilmu keduniaan amat ditakuti oleh anggota PKI. Pada suatu malam beliau yang sedang berada di rumahnya dipanggil supaya turun ke tanah. Setelah berlaku dialog di antara kedua pihak, Cikgu Ali ditembak. Orang yang menembaknya, konon, mengaku yang namanya ialah Abdullah C. D. Cikgu Ali dikatakan sempat melawan menggunakan sundangnya kerana terdapat titisan darah pihak komunis yang meninggalkan tempat itu.

Seorang lagi guru, iaitu teman Cikgu Ali, yang berasal dari Kampung Pulau Jawa dikatakan bersukarela supaya ditukarkan mengajar di Luit. Sesampainya di Luit Cikgu Khalid Abu Bakar mencabar orang-orang tempatan mengatakan mereka ’tidak berbatu’ kerana membiarkan Cikgu Ali dibunuh di kampung mereka. Ada seorang orang kampung yang datang ke sekolah seolah-olah mencabar Cikgu Khalid sambil mengeluarkan keris. Cikgu Khalid meminta keris orang yang datang menemuinya itu dan dengan jari telunjuknya beliau membengkokkan mata keris tersebut. Orang itu ketakutan dan meminta ampun kepada beliau. Sejak itu Cikgu Khalid selain daripada menjadi guru besar, juga merupakan pemimpin masyarakat yang dihormati dan digeruni di kawasan Maran.

Abdullah C. D. di dalam memoirnya Memoir Abdullah C.D.: Penaja dan Pemimpin Rejimen Ke-10. turut menyebut panjang lebar peranan Cikgu Taha dalam perjuangan Rejimen Ke-10 di Pahang Tengah dalam zaman darurat di samping mencemuh golongan yang mereka panggil sebagai reaksioner.

* * *

Dalam urusan harian, darurat juga menyukarkan pergerakan untuk ke sana sini. Kawasan yang paling panas di Kuantan ialah Gambang dan Sungai Lembing, iaitu dua buah kawasan yang mengeluarkan bijih timah dan ramai penduduknya terdiri daripada etnik Cina. Bas awam ke Gambang dan Sungai Lembing pernah ditahan oleh gerombolan komunis, yang akibatnya bas dibakar, kad pengenalan penumpang dirampas dan mereka dipaksa berjalan kaki meneruskan perjalanan masing-masing. Untuk mengurangkan ketegangan dan ketakutan orang awam, bas pergi balik ke kedua-dua tempat ini disediakan escort tentera lengkap dengan kereta perisai. Gerombolan komunis selalu menggunakan kawasan ladang getah seperti Estet Kuala Reman, Estet Jabor, Estet Atabara, Estet Sungai Talam sebagai tempat bersembunyi dan operasi mereka; itulah sebabnya kami selalu mendengar dentuman bom setiap pagi yang jelas kedengaran dari sekolah, sehingga kami agak lali dan tidak terasa takut lagi.

Menurut catatan Abdullah C.D. dalam buku yang disebut di atas, bahagian timur Pahang terletak di bawah kawalan Platun Ke-5 dari Rajimen Ke-10 PKM. Ketua Platunnya ialah Manaf Jepun, asalnya orang Temerloh. Emaknya Makngah Amah pernah mempunyai motorbot yang mengangkut barang dan penumpang dari Temerloh ke Pekan. Manaf ini dipanggil Manaf Jepun kerana rupanya sangat mirip rupa orang Jepun. Selain pemberani, beliau dikatakan mempunyai ilmu kebal, kononnya tidak lut oleh peluru. Namun begitu, pada 25 Januari 1952, masih menurut catatan Abdullah C.D, dalam satu pertempuran dengan Askar Gurkha, Manaf terbunuh. Kejayaan membunuh Manaf Jepun turut menaikkan lagi nama dan prestasi pasukan Askar Gurkha itu dan dianggap sebagai satu kejayaan yang sangat besar. Saya masih ingat di dalam sebuah pamflet dakyah yang dikeluarkan oleh pasukan Gurkha itu, mereka menyebut, sekiranya terdapat mana-mana anggota komunis mengancam kawasan atau kampung mereka, sebutkan sahajalah nama pasukan Gurkha yang membunuh Manaf, komunis itu akan ketakutan, demikian isi pamflet dakyah yang disebarkan ke seluruh bandar Kuantan itu.

Kehidupan di Tanjung Api

Sepupu saya tempat saya menumpang semasa belajar di Kuantan pada masa itu mempunyai tiga orang anak: Mohd. Basri, Mohd. Bukhari dan Mohd. Zaidi. Rumah kerajaan di Tanjung Ali itu mempunyai tiga bilik, tidak termasuk dapur dan dua ruang tamu. Tidak lama kemudian Abangteh membawa seorang anak saudaranya Zalmah Ahmad tinggal bersama. Zalmah yang sebelum ini bersekolah di Pulau Rusa adalah kakak Sarimah. Selepas itu Hassan Ali, anak saudara sebelah isterinya, Abangteh Kamisah turut tinggal bersama. Hassan (yang kami panggil Ayahlong Hassan) bersekolah dalam Darjah Enam, bukan Darjah Tujuh. Suasana menjadi lebih meriah.

Selain mewajibkan kami mengaji al-Quran, Abangteh Hussain memaksa kami mengikuti sesi berkitab di Masjid Kuantan tiga kali seminggu. Imam Masjid Kuantan, Tuan Haji Idris sendiri yang mengajarnya. Kami ke masjid beramai-ramai sebelum maghrib, biasanya selepas minum kopi o, dan pulang bersama-sama selepas isyak. Di rumah kami juga dibimbing belajar marhaban. Ada ketikanya kami diajak berkelah sama ada di Pantai Batu Hitam, Tanjung Api, Pantai Telok Cempedak atau di Anak Air. Abangteh Hussain biasanya membawa jala dan menjala belanak semasa air laut menyurung pasang. Kami yang lelaki mencari kepah, siput dan ketam di pantai sementara yang perempuan memasak nasi. Saya sendiri kurang berminat pergi berkelah kerana biasanya selepas berkelah, apabila tiba di rumah, badan tersangat penat, kulit terasa gatal kena air masin dan pasir laut, yang menjadikan tidak enak, meskipun setelah mandi air tawar di rumah.

Kawasan kediaman kami di Tanjung Api ini terdiri daripada kakitangan kerajaan, pekerja Majlis Bandaran dan nelayan, tentera. Penghuni berek Pejabat Kesihatan - kebanyakan mereka bertugas sebagai penyumpit minyak DDT bagi mencegah malaria - di seberang jalan ramai yang rapat dengan kami, antaranya Putih (anaknya Abas dan Mahmud), dan Jusoh (matanya juling sedikit).

Seorang Tua Bernama Pak Lembek

Tidak jauh dari rumah kami terdapat seorang tua kurang siuman yang semua orang memanggilnya Pak Lembek. Pak Lembek tinggal di sebuah pondok di celah-celah rumpun lalang yang agak tersorok dari pandangan orang ramai. Dia asyik dalam kehidupannya yang tersendiri, tanpa mempedulikan orang lain dan tidak pula dipedulikan oleh masyarakat sekelilingnya. Pakaiannya compang-camping: selalu berseluar pendek warna khaki, berbaju yang over-sized berwarna khaki yang telah pudar semuanya, dan topinya yang sangat lusuh berjurai-jurai. Kerja rutinnya, sekitar jam 10.00 pagi pergi ke ladang kelapa di Kampung Selamat (di belakang Supermarket Pantai Selamat sekarang), seolah-olah menghalau tupai atau sesuatu binatang lain, dengan suaranya boleh kedengaran sejauh tiga suku batu dari situ. Dia berhenti ’bertugas’ waktu tengah hari dan menyambung semula pada sebelah petang. Kadang-kadang tugas sukarelanya itu disambung pada waktu malam sehingga larut malam, terutama ketika bulan mengambang terang.

Saya sendiri tidak pasti sama ada yang disorakkan (lebih jelas kalau disebut dideruahkan) di kebun kelapa itu benar-benar tupai atau apa. Tidak diketahui juga sejak bila dia menjalankan tugas yang pelik itu. Kebun kelapa itu bukanlah kebun saudara mara beliau, dan tentunya bukan kebun kepunyaan beliau. Adakah beliau menerima sebarang bayaran upah kerjanya itu? Ini pun tidak sesiapa yang tahu. Saya tahu kemudiannya, isteri Jusoh pernah mengajak Pak Lembik ke rumahnya untuk menjampi anaknya yang tiba-tiba tidak sedarkan diri, kena sawan. Menurut Jusoh, budak itu sembuh berkat usaha Pak Lembek. Ada juga orang menghantar makanan dan lauk-pauk ke pondok Pak Lembek kerana dia enggan makan di rumah orang.

Ada juga budak-budak ’bergurau’ dengan Pak Lembek. Katika musim main mercun, mereka membakar mercun dan mencampakkannya ke kaki Pak Lembek. Dia terlompat-lompat seperti orang membuka silat, tapi hal ini segera terhenti setelah orang-orang dewasa yang di berek buruh Pejabat Kesihatan itu memarahi anak-anak mereka mengganggu orang tua itu. Saya pernah melihat seorang budak membiaskan pancaran cahaya matahari melalui cermin di tangannya ke arah Pak Lembek. Pak Lembek nampak keliru dengan pancaran cahaya yang tidak diketahui dari mana asalnya itu, dan terus berjalan ke arah pondoknya.

Hingga saya berpindah dari Tanjung Api, saya tidak mengetahui asal-usul Pak Lembek dan tidak juga mengetahui bagaimana kesudahannya orang tua misteri itu. Wallahu a’lam.

Berpindah Rumah

Tidak berapa lama kemudian Abangteh Hussain memberitahu yang kami akan berpindah ke Clerks’ Area, Kuantan. Rumah itu lebih dekat dengan sekolah dan bandar berbanding rumah sekarang. Kebanyakan penghuni rumah di sini terdiri daripada guru dan kerani pelbagai bangsa: Melayu, Cina, India dan Ceylon, tetapi orang Melayulah yang paling ramai. Pada hari yang ditetapkan, kami pun berpindah menaiki lori bernombor pendaftaran C 20 yang dipandu oleh Awang Lading (seorang orang Ganchong juga).

Rumah kediaman baru ini merupakan rumah berkembar. Jiran kami ialah seorang guru Sekolah Abdullah iaitu Boey Cheong Seng. Nombor rumahnya 248B. Kami memanggilnya Mr. Boey sahaja dan beliau pergi balik ke sekolah menaiki basikal yang kelihatan agak rendah berbanding badannya yang tinggi lampai itu. Dia mempunyai tiga orang anak, dua orang perempuan (Ah Moi, Akinoi) dan seorang lelaki (Ah Chai). Perhubungan kekeluargaan kami tidak berapa rapat kerana, pada pandangan saya, masalah komunikasi. Isteri Mr. Boey cuma boleh bercakap bahasa Cina sahaja, dan dengan keadaan begitu jarang benar saya melihat dia bercakap dengan Abangteh Kamesah. Tidak berapa lama kami duduk di situ Mr. Boey membawa seorang anak saudara lelaki tinggal bersamanya. Dengan Ah Chai seorang ini kami sempat menjalin hubungan sehingga sampai ke tahap kami boleh bermain guli bersama-sama. Di belakang rumah kami adalah rumah Abdul Hamid, seorang Pegawai Pertanian. Anak perempuan Abdul Hamid yang tua ialah Norazahan, yang berkahwin dengan Abdul Hadi Shirin, kedua-dua mereka adalah guru siswazah dan kini tinggal di Kuantan. Beliau ada memelihara ayam belanda beberapa ekor. Di sebelah rumah Abdul Hamid ialah rumah seorang nazir sekolah Cina, namanya Khoo. Bersetentangan dengan rumah kami di sebelah hadapan ialah rumah Mohd. Salleh, seorang pegawai kerani. Anak-anak mereka kecil-kecil lagi, iaitu Hussain dan Nordin. Ada dua orang anak saudara Mohd Salleh suami isteri yang tinggal bersama mereka iaitu Kalthum Yaacob dan Ibrahim Yaacob. Mereka ini asalnya orang Langgar. Di sebelah rumah Mohd. Salleh ialah rumah Pakcik Mat, iaitu seorang mualaf Cina yang bertugas sebagai pemandu dan operator mesin wayang gambar Pejabat Penerangan. Isterinya seorang wanita Melayu orang Terengganu yang kami panggil Makcik sahaja. Ada dua orang anak saudara Makcik yang tinggal bersama mereka, seorang lelaki bernama Mahmud (kami panggil Pokda Mamud) dan seorang perempuan bernama Maimon yang tidak bersekolah. Khabarnya Maimon tidak pernah bersekolah, tetapi ada rupa orangnya! Mahmud menjadi guru dan saya pernah menemuinya di Kuala Terengganu. Maimon saya tidak tahu, tetapi saya dimaklumkan Hassan pernah dimarahi oleh Abangteh Kamesah kerana cuba mengorat Maimon, dan sejak itu Hassan tidak lagi tinggal bersama kami.

Semasa tinggal di rumah baharu ini kami ke masjid untuk mendengar orang berkitab tidak perlu lagi berbasikal, tetapi boleh berjalan kaki sahaja. Kami berjalan melalui kaki lima kedai-kedai di Jalan Wall. Kebanyakan kedai tutup pukul 7.00. Ketika balik dari mesjid, suasana telah lengang. Hanya yang kelihatan papan nama dan iklan kedai berkenaan. Salah satu iklan yang sangat menarik pada masa itu ialah iklan botol Minyak Rambut Zam Zam di kedai Abdul Rahim di situ. Besar botolnya dan warna hijau dan merah botol minyak rambut itu menjadikan satu-satunya iklan yang cukup menarik.

Semasa tinggal di rumah bernombor 248A Clerks’ Area ini penghuni rumah Abangteh Hussain bertambah ramai. Selain beliau dikurniakan seorang cahaya mata perempuan (Salbiah), ‘penumpang’ lain ialah Mohd. Yaman Mohd Said, Mohd. Yusof Salleh, Hashim Mohd. Sidek, Abu Bakar Mohd. Nor dan Noriah Ripin. Abang Othman tidak lagi bersekolah di Kuantan kerana melanjutkan pelajaran ke Kuala Lumpur. Zalmah, Hassan dan saya masih terus tinggal di situ, menanti peluang untuk mendapat kerja sebagai guru pelatih.

Siapakah penumpang yang ramai itu? Mohd. Yaman ialah anak saudara Abangteh Hussain. Ayah Mohd Yaman, Cikgu Mohd. Said dan ibunya De Aminah adalah abang dan sepupu beliau. Mohd. Yaman bersekolah di Abdullah School dalam kelas Special Malay. Beliau tidak berapa lama tinggal di sini kerana murid-murid SMC berpeluang tinggal di asrama yang disediakan oleh Kesatuan Guru-Guru Melayu Pahang di Jalan Beserah. Mohd. Yusof Salleh anak saudara sebelah Abangteh Kamisah dan berasal dari Kampung Belimbing. Dia belajar di Darjah Lima. Hashim Mohd. Sidek tidak jelas hubungan persaudaraan dengan kami, tetapi ayahnya Cikgu Mohd. Sidek yang menjadi guru besar di Sekolah Melayu Kuala Pahang pada masa itu kawan baik Abangteh Hussain. Hashim belajar di Claudian Institute, satu-satunya sekolah swasta berbahasa Inggeris di Kuantan yang terletak di Jalan Beserah, bersetentangan dengan Sekolah Melayu Perempuan Galing. Abu Bakar yang semua orang – kecil-besar-tua-muda – memanggilnya Pakteh Bakar itu sepupu Abangteh Hussain sebelah ibunya. Sebelum ini Pakteh Bakar memang belajar di Darjah Tujuh bersama-sama kami, tetapi beliau menumpang di rumah kenalannya bernama Daud yang bekerja sebagai atenden Hospital Kuantan. [Pakteh Bakar bukan sahaja kuat bersembahyang, malah beliau ada menyimpan rekod waktu-waktu yang beliau meninggalkan sembahyang. Setiap selesai mengqadha, beliau memotong satu waktu daripada catatannya. Saya percaya Pakteh dah tidak terhutang lagi sembahyangnya pada masa ini]. Rumah di berek kakitangan rendah hospital itu hanya ada sebuah bilik, jadi Pakteh mencari tempat yang lebih sesuai, apatah lagi itu rumah sepupu beliau dan kawan-kawan sesekolah ramai. Noriah juga anak saudara Abangteh Hussain, iaitu anak kakaknya Embong Rahmah dengan Abangandak Ripin. Apabila Cikgu Abdul Aziz Yusof berpindah ke Maran, beliau menumpangkan anaknya Intan Ramlah di rumah Abangteh ini untuk beberapa bulan.

Jadi, pada satu-satu masa seramai lebih 13 oranglah penghuni rumah ini. Sukar juga hendak menggambarkan bagaimana menguruskan semuanya ini. Pada umumnya, kami membantu kerja-kerja di rumah. Kami membasuh kain baju dan kasut kami sendiri. Mandi beramai-ramai di sekeliling sebuah kolah yang terletak di antara blok dapur dengan ibu rumah. Semua ’budak’ lelaki ditempatkan dalam sebuah bilik bersebelahan dapur. Ada sebuah pangkin di dalam bilik itu dan di situlah kami tidur, membuat kerja rumah, bergurau senda. Bilik itu ada dua buah pintu, sebuah menghala ke arah luar dan sebuah lagi ke bilik dapur. Tingkapnya tingkap papan menghala ke belakang rumah. Tingkap itu kena cepat ditutup, sebab kira-kira pukul 9.00 toti akan lalu di situ menjalankan tugas malamnya. Bag dan pakaian disimpan di bawah pangkin bersama barang-barang lain yang entah apa-apa. Bilik itu diterangi oleh sebuah lampu 40 watt yang suiznya di tepi pintu.

Saya biasanya ditugaskan memilih antah beras sebelum beras itu dimasak. Kerja ini tidaklah membebankan sama sekali. Beras yang kami sekeluarga gunakan bukanlah jenis beras siam, sebab itulah banyak antah dan bubuknya. Saya juga kerap mengukur kelapa dan membasuh pinggan selepas semua orang selesai makan. Selain daripada itu, kami juga membersihkan longkang, sama ada menyapunya dengan berus atau membubuh serbuk klorin pada sebelah malam dan pagi-pagi keesokan harinya baharulah dijirus air dan digosok.

Di dalam pagar rumah kami terdapat sepohon kelapa yang selalu banyak buahnya. Alhamdulillah, selama kami tinggal di situ tidak pernahlah sesiapa yang dihempap buah kelapa meskipun pohonnya dekat benar dengan bilik kami. Kalau buahnya banyak yang tua, Abangteh akan memanggil Mat Din, tukang kebun sekolah untuk memanjatnya.

Di luar pagar, iaitu di antara longkang dengan pagar ada kawasan lapang kira-kira 8 kaki x 20 kaki. Di situ dibuat pagar dawai mata punai dan di dalamnya ada sebuah reban ayam dan batas untuk kami bertanam cocok kecil-kecilan. Ayamnya bolehlah dikatakan menjadi, dan kerap dilepaskan berkeliaran di luar pagar. Waktu petang kamilah yang merebannya, tanpa disuruh oleh sesiapa. Masa itu tidak banyak kereta lalu lalang di Jalan Penjara sebagaimana sekarang dan ayam kami boleh membawa anaknya mencari makan di seberang sana tanpa dilanggar kereta. Kadang-kadang anak ayam terjatuh ke dalam longkang dan lari menyeludup ke dalam kalvet yang merintangi jalan. Inilah yang menjadi masalah besar. Puas memujuk anak ayam itu supaya keluar, sedangkan hari semakin petang. Kami terpaksa tangkap ibu ayam, suruh panggil anaknya itu. Tektik ini kadang-kadang tidak menjadi. Saya sendiri tidak berani memasuki kalvet yang setelus badan sahaja itu. Pada suatu petang Tan (Bukhari) anak kedua Abangteh Hussain beria-ria benar hendak menangkap anak ayamnya yang lari di dalam lubang itu. Saya tidak pula melarangnya. Dia berjaya masuk kalvet dari lubang ke lubang sepanjang kira-kira 12 kaki dan anak ayam itu dapat ditangkapnya. Sampai sekarang, jika saya mengingatkan kejadian ini saya masih terasa ngeri dan kesal. Bagaimana jikalau di dalam lubang itu ada ular? Bagaimana sekiranya ketika Tan di tengah-tengah lubang, lalu lori berat dan jalan raya roboh menghempap dia di dalam tanah? Bagaimana kalau tiba di tengah-tengah lubang tiba-tiba dia takut dan menangis? Semua pertanyaan itu cukup mengerikan saya untuk mencari jawapannya.

Wednesday, March 19, 2008

Tanah Kelahiran

Kampung Kiambang

Ada semacam anggapan di kalangan orang Mukim Ganchong khasnya tentang orang-orang Kiambang. Walaupun tidak dilabelkan secara rasmi, tetapi ada yang mengatakan orang Kiambang lebih malas dibandingkan dengan orang di empat kampung lain di mukim itu. Tanggapan ini hampir menjadi satu konsep yang diinstitusikan, apabila terdapat peribahasa yang menyebut akal kémbang. Peribahasa ini mungkin ciptaan Tuan Haji Taib, seorang orang yang agak berada di Kampung Ganchong Tengah. Akal kémbang dapat difahami sebagai orang yang tidak begitu rajin ke paya, tidak banyak mengusahakan tanah, sukakan hiburan seperti bedikir bebana hingga hampir menjelang subuh, bersilat, main tuju lubang dan anak burung, kurang berusaha, memakai seluar kain guni gandum berwarna perang tanah. Semuanya ini, menurut mereka, merupakan world-view orang Kampung Kiambang.

Sebenarnya bukanlah sukar sangat menganalisis konsep ini yang sememangnya terjelma dalam kehidupan dan interaksi sosial penduduk Kampung Kiambang. Pada umumnya, lebih 90% penduduk kampung ini terdiri daripada sekelompok kekeluargaan yang puncak keluarganya ialah Iman Haji Ahmad bin Kiai Umar (lihat Blog berjudul Keluarga Sebelah Ayah). Perhatikan sahaja, anggota keluarga ini telah terbentuk dengan mengamalkan adunan ciri-ciri keislaman dan budaya tradisi rumpun Melayu seperti dikir bebana, bersilat, tukang rumah, imam dan wali hakim, mudim, bomoh, pawang, kemahiran besi dan menganyam bakul, tangkin dan tikar). Mereka juga lebih terbuka dalam aspek hubungan dengan masyarakat luar. Kumpulan dikir kampung telah dijemput mempersembahkan seni ini di istana raja, dan ini bukanlah sesuatu pencapaian yang mudah diperolehi. Salah seorang anggota keluarga ini pernah menabur jasa kepada sultan dalam menetuai penduduk kampung dalam Perang Kelang dengan jayanya.

Anak-anak Kampung Kiambang juga akhirnya lebih terdedah dalam sistem pendidikan moden. Bilangan anak-anak kampung ini yang menjadi guru – salah satu kerjaya yang terhormat sebelum perang, malah sampai ke saat ini – jauh lebih ramai bilangannya berbanding kampung lain.

Bakat seni yang disemai di dalam tubuh anak-anak kampung ini membolehkan mereka menjadi ahli seni di peringkat kampung dengan menubuhkan satu-satunya kumpulan pancaragam sejak 1950-an lagi dan kumpulan ini terus berkembang sehingga ke hari ini. Kegiatan ini seterusnya menyebabkan wujudkan organisasi belia seperti Persatuan Belia Fajar Menyinsing yang aktivitinya menjangkau kepada kegiatan ekonomi dan sosial.

Dalam bidang pendidikan, orang-orang kampung ini berjaya menubuhkan sebuah sekolah agama rakyat sejak 1950-an lagi, dan perkembangan institusi ini terus aktif hingga sekarang, dengan mendapat bangunan sekolah (bangunan batu). Kesedaran tentang pendidikan agama menyebabkan Cikgu Mohd. Said Haji Aris, seorang guru memberikan sebahagian tanah miliknya di satu kawasan yang sangat strategik untuk dijadikan tapak sekolah. Apabila sekolah ini terbakar pada 2007 lalu, anaknya Ahmad Khan Said (seorang Profesor Madya di UTM, berkelulusan Kejuruteraan Elektrik) telah mewakafkan bahagiaan tanahnya untuk projek pembesaran sekolah.

Dalam bidang politik, UMNO ditubuhkan di Kiambang, dan YTM Tunku Abdul Rahman pernah menjejakkan kakinya di kampung ini pada awal-awal penubuhan UMNO. Berbeza dengan orang-orang Tanjung Batu, Pulau Ganchong dan Ganchong Ulu yang rata-rata mendudukung PAS, orang Kiambang masih merupakan ahli UMNO yang sangat setia sehingga kini.

Selain Sekolah Menengah Agama (Arab) Darul Makmur, di Kiambang terdapat tiga buah surau. Tidak ada masjid di kampung ini kerana masjid Ganchong terletak di Ganchong Tengah; sementara sebuah lagi masjid di Tanjung Batu. Masjid Tanjung Batu itu mulanya hanya bertaraf surau sahaja. Pada 1962 kebanyakan orang Ganchong (melalui Jawatankuasa Masjid yang dipengerusikan oleh Penghulu Ganchong) bersetuju menerima bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat untuk membina sebuah masjid batu menggantikan masjid lama. Selepas masjid baru itu tersergam di sisi bangunan masjid lama yang tidak dirobohkan, persoalan tentang pembangunannya tidak terhenti di situ. Sejak itu terdapat perpecahan masyarakat, ada sebilangan yang tidak mahu bersembahyang di masjid baru kerana bantuan kerajaan itu diakui sebagai duit hasil loteri, terutamanya orang Tanjung Batu. Persoalan halal-haram wang kerajaan ini nampak seolah-olah timbul ironi kerana kami pernah mendengar YTM Tunku Abdul Rahman Putra Alhaj sendiri pernah mengatakan beliau sanggup menanggung dosa fasal membuat masjid menggunakan peruntukan Jabatan Kebajikan Masyarakat dari sumber loteri ini. Ada seorang berdua dari Ganchong Ulu sanggup berjalan kaki (tidak kurang daripada 5 batu) setiap Jumaat ke Tanjung Batu untuk bersembahyang Jumaat. Antara penentang itu ialah Pak Tunggal Yahud (nama sebenarnya Daud bin Ali). Dari Kiambang hanya Ayahngah Mamat seorang sahaja. Setelah kedua-duanya meninggal, isu ini tidak dilanjutkan oleh generasi selepas mereka.

Bangunan sekolah Ganchong terletak di tengah-tengah sempadan antara Tanjung Batu dan Kiambang. Tidak pernah berlaku sebarang isu tentang sekolah ini kerana segala-galanya telah diputuskan oleh nenek moyang dahulu dan bolehlah dianggap sebagai sebuah perjanjian murni di kalangan kami.

Dalam politik kepartian, belum pernah orang Mukim Ganchong (baik dari kampung manapun) yang terlantik menjadi wakil rakyat. Memang ada Cikgu Zainuddin Jumaat (orang Kiambang) yang menjadi wakil rakyat UMNO, tetapi bukannya di kawasan ini. Beliau terpilih bagi kawasan Penur, Kuantan kerana beliau bermastautin di sana. Anak beliau, Dr. Nasharuddin juga menjadi ADUN tetapi kawasan Tanjung Lumpur, sebelum digugurkan daripada bertanding dalam PRUKe-12 2008 kerana kakinya dipotong akibat diabetes. Dato’ Abu Bakar Zainal, seorang yang mewarisi gelaran Tuk Muda, orang Ganchong Ulu; isteri beliau Dato’ Mahimon Harun pun pernah menjadi ADUN, tetapi mewakili Kawsaan Teluk Sisik, Kuantan. Suami Cikgu Norehan Haji Ahmad, (orang Ganchong Ulu) yang tinggal di Taman Guru, iaitu Cikgu Abdul Aziz Haji Long (orang Bangau, Temerloh) juga pernah terpilih menjadi ADUN setelah mengalahkan Cikgu Zainuddin bagi ADUN Penur di bawah tiket PAS, tetapi beliau bukan sahaja bukan orang Ganchong tetapi kawasan yang diwakilinya jauh dari kampung kami ini. Saya memerhatikan semasa Cikgu Zainuddin dan anaknya Dr. Nasharuddin menjadi ADUN ada beberapa orang anak Ganchong (khasnya orang Kiambang) yang diambil membantunya, seperti sebagai pemandu dan tugas-tugas lain. Malah beliau pernah meminta teman-teman dari Ganchong seperti Ustaz Abu Seman Hassan (orang Kiambang) dan saya sendiri membantunya berkempen bagi pihak beliau. Saya puji sikap mereka anak-beranak tentang perkara ini.

Ada dua buah pulau di tengah-tengah Sungai Pahang di kampung kami. Pulau pertama yang tidak berpenghuni itu dibahagi-bahagikan di kalangan penduduk untuk digunakan sebagai lahan pertanian jagung, kacang panjang, bayam merah, lada cepeli, timun, lada besar dan keledek setahun sekali. Tapak lahan yang telah tetapkan sentiasa dipatuhi. Tidak pernah mereka berebut tapak. Hanya, jika ada antara mereka yang tidak berhasrat mengerjakan tanahnya pada musim itu, dia akan membenarkan temannya yang lain mengerjakannya, tanpa sebarang bayaran berbentuk sewa. Penentuan kawasan itu pun berdasarkan muafakat sahaja, tidak pernah dihitam-putihkan. Dari dahulu sampai sekarang, begitulah. Sebagai sifatnya sebuah pulau yang setiap tahun dilanda banjir, tanah pulau ini menjadi tersangat subur. Masih segar dalam ingatan saya betapa manisnya rasa jagung muda yang baru dipetik dan dibakar di situ juga, menggunakan reba kayu hanyut yang melekat di dahan-dahan pokok ara nasi yang buahnya terjuntai hampir mencecah air. Ketika membersihkan kawasan tanaman Emak kerap membawa periuk dan beras memasak di pulau itu, sedangkan Encik menahan taut atau menajur di tepi tebing sungai. Ikan baung, kerai, dan tengalan yang kami dapat digulai masam pedas bercampur terung telunjuk dan kami makan di bawah pohon ara nasi berulamkan buah mudanya yang dicecah dengan sambal belacan atau budu.

Pulau kedua yang jauh lebih besar saiznya itu dipanggil Pulau Ganchong, dan yang mempunyai sejarahnya tersendiri. Konon pada masa dahulu ada seorang petani yang juga orang dihormati di kampung kami bernama Tuk Ganchong. Tuk Ganchong meneroka tanah di bahagian hujung sebelah hilir Pulau Ganchong dengan menanam kelapa, pisang, ubi kayu, kemili, ubi junjung, jagung, dan menyelai serta membuat kediaman di situ. Hasilnya semua untuk dimakan anak cucunya dan sahabat handainya. Pulau itu akhirnya diabadikan dengan nama beliau iaitu Pulau Ganchong. Pada suatu hari Bendahara Wan Mutahir mudik berperahu melalui kawasan itu dan dilihatnya tanah di situ sangat subur dengan hasil buminya cukup banyak. Beliau terasa berkenan dan hendak memiliki lahan pertanian itu, lalu meminta kepada Tuk Ganchong supaya diberikan kepadanya. Sebagai rakyat yang taat dan tulus, Tuk Ganchong memberikan tanah yang dikerjakannya itu kepada Bendahara Wan Mutahir. Sejak itu Bendahara Wan Mutahir menjadikan Pulau Ganchong sebagai tempat kediamannya dan mendirikan sebuah istana di situ yang terkenal sebagai Istana Ganchong. Bendahara Mutahir dikatakan telahpun mempunyai sebuah istana di Lamir dan sebuah lagi di Pahang Tua. Semasa peperangan saudara di antara Wan Mutahir dengan Wan Ahmad, Wan Mutahir mempertahankan diri di istana Ganchong itulah. Setelah beliau merasa akan tewas, beliau melarikan diri ke Chenor, Endau dan seterusnya ke Johor meninggalkan istana itu dengan segala barang-barang berharga termasuk emas, perak dan permata. Diceritakan, angkatan perang Wan Ahmad memperolehi untung besar dari harta rampasan perang atau ghanimah di Istana Ganchong itu.

Tidak ada sebarang bukti sahih tentang siapakah Tuk Ganchong itu. Tetapi di dalam Blog Keluarga Sebelah Ibu, terdapat nama Ganchong yang berkahwin dengan Puasa dan salah seorang anaknya ialah Ngah yang berkahwin pula dengan Dolah dan seorang daripada anaknya ialah Jah, iaitu ibu saya. Wallahu a’lam.

Penyakit Tradisional - Perubatan Tradisional

Seingat saya, selepas Jepun menyerah kalah, ramai benar orang kampung menghidap pelbagai penyakit. Antara penyakit itu telah tiada lagi di zaman moden ini. Ramai orang mengidap puru, iaitu sejenis kudis yang menonjol pada kulit kaki dan betis. Ada seorang kawan saya dihinggap puru betul-betul di bawah bibir bawahnya. Meskipun bangsa ini sakit, tetapi sempat juga kawan-kawan mengejeknya dengan sebuah pantun:

Tir ketitir,
peluru sebarang;
Puru dibibir,
Ishak seorang.

Saya ingatnya sangat peristiwa ini kerana Ishak Abdul Rahman sedarjah dengan saya, dan seorang murid yang cerdik. Keluarganya ada perkaitan keluarga dengan Abang Bedah (isteri Abang Bakar). Mereka tinggal di Tanjung Batu, dan ayahnya, Ayahteh Dol (Abdul Rahman) kalau tidak silap ada membuka kedai runcit. Orang yang kuat dan selalu mengejeknya ialah Ismail (Zainuddin) anak Pakteh Soh (Md. Yusof) dan pangkat sepupu dengan Ishak. Puru Ishak ini cepat juga baiknya, tapi parut di bawah bibirnya lama untuk hilang bak kata pepatah luka dah baik tetapi parutnya masih kelihatan lagi. Dengan takdir Allah, dalam cuti penggal (masa itu cuti penggal mengambil masa sebulan) daya mendapat tahu kawan saya Ishak itu meninggal dunia. Beliau bukanlah meninggal kerana penyakit puru, tetapi diserang demam panas. Pada masa itu, kalau kena demam panas, ubatnya ialah membaringkan pesakit di atas daun pucuk pisang benggala yang disusun rapat-rapat, selain dijaram dengan air rebusan daun nyenyarum yang dimasukkan seketul garam jantan dan sekeping asam gelugur.

Selain puru, ramai orang kena bubul. Bubul juga sejenis kudis tetapi dia menyerang telapak kaki, menyebabkan sukar sangat untuk berjalan. Pada masa itu jarang benar orang ke sekolah memakai kasut. Bayangkanlah betapa teruja dan seksanya kalau seseorang menghidap bubul untuk berjalan di atas padang yang banyak pokok kemuncup yang berbunga, apatah lagi jika kena duri semalu... Ubat bubul yang biasa digunakan ialah getah daripada pokok jitan. Pokok jitan bukanlah senang hendak mendapatnya, kena mencari di tanah cerang di Kubang Lesung pula. Bubul bolehlah dikatakan bersepupu dengan putus rambu. Putus rambu menyebabkan bahagian bawah jari kaki pecah dan luka serta mengeluarkan sedikit-sedikit darah. Menahan bubul dah satu hal, ini ditambah pula dengan menahan putus rambu. Ubat putus rambu sama dengan ubat bisul. Kadang-kadang digunakan minyak kunyit yang dicampur dengan jelaga buntut periuk (seperti yang dilakukan oleh si Belalang dalam filem Nujum Pak Belalang, arahan P. Ramlee ketika menyediakan air kopi untuk bapanya dan tetamu mereka Kacong dan Buntal).

Dari segi perubatan moden rasa sakit dalam perut mungkin symptom dari pelbagai penyakit, tetapi masyarakat tradisi menamakannya dengan sakit perut sahaja. Maka banyaklah ikhtiar mengubati sakit perut. Daun serengan dicampur dengan sedikit gambir dipusar di telapak tangan kemudian dibasahi dengan air (atau air liur) mengeluarkan sebatian berwarna jingga tua. Sebatian itu boleh dilumur pada perut. Pucuk atau putik jambu batu atau jambu biawas boleh juga dimakan terus sebagai ubat sakit perut. Khabarnya biji bacang boleh juga digunakan, tetapi rasanya agak pahit dan biasanya dijadikan ulam. Lada hitam yang ditumbuk halus dan dicampur minyak kelapa boleh menghilangkan sakit perut jenis kembung. Putik kelapa boleh diasah pada buntut pasu dan dilumur pada perut pun boleh menghilangkan sakit perut.

Luka merupakan fenomena biasa di kampung, yang disebabkan terkena parang, kapak, jatuh ke atas batu dan sebagainya. Kami diajari, daun senduduk dan daun malialam boleh digunakan sebagai ubat luka dengan cara dipusar di telapak tangan dan diletakkan pada luka tersebut. Selain itu, serbuk kopi boleh dijadikan tasak luka, iaitu dengan menyumbatkan serbuk kopi ke dalam luka.

Sekiranya seseorang menghidap penyakit kurap atau panau, tidak ada ubat yang lebih mujarab daripada daun gelenggang. Pokok gelenggang yang banyak tumbuh di kawasan padang ragut mengeluarkan bunga yang cantik berwarna jingga - yang menyebabkannya mudah kelihatan dari jauh - itu cuma diambil daun mudanya, dipusar di tapak tangan atau digiling pada buntut pasu dan dilumur pada tempat berpenyakit.

Sakit Berat

Penyakit yang lebih berat lebih sukar pula mengubatinya. Ambil contoh Abang Nah. Dia dikatakan disorok hantu pada suatu petang ketika pergi ke kedai untuk membeli sebotol minyak tanah. Botolnya ada di tepi kedai tetapi dia tiada di situ. Petang itu hampir sekampung mencari, tetapi tidak ditemui. Bomoh dan pawang dijemput, tetapi sehingga semua orang keletihan, yang dicari tidak juga berjumpa. Malam pun habis, matahari memancarkan cahayanya dan Abang Nah tidak kunjung tiba.

Petang keesokan harinya, dengan bantuan para bomoh yang diketuai oleh Abang Sulaiman menemui Abang Nah di bawah pohon kabung, tidak jauh dari kedai dalam keadaan lemah longlai. Sahlah dia disorok hantu semalaman yang lalu.

Kemudian dilakukan pula usaha memulihkan si pesakit mengikut kehendak bomoh dengan arahan dan prosedur kaedah pembomohannya. Mula-mula semangatnya mesti dipulihkan. Bomoh memerlukan peralatan: mayang pinang, air sejuk dalam terenang tembaga, tepung alin, kemenyan dan dupa, bertih, limau nipis, telur ayam, daun pinang yang diikat bersama daun cememar. Pengubatan dimulakan dengan membaca mantra, diikuti mencampakkan sejemput bertih ke lantai, membilang-bilang untuk menentukan genap-gasalnya. Kemenyan dimasukkan ke dalam tempat perasapan dan dalam gumpalan asap yang menyelubungi perasapan, mayang pinang dilayur kemudian dieluskan dari kepala hingga ke kaki si sakit: sekali, dua kali ... hingga tujuh kali. Kemudian dikebas pula dengan daun pinang dan daun cememar, juga dari kepala ke kaki dan sebanyak tujuh kaki. Selepas tujuh kali, daun pinang dan daun cememar dicampak ke hujung kaki si pesakit betul-betul jatuh di atas mayang pinang tadi. Semuanya ini mesti dibuang, sebab di situlah terletak punca penyakit gangguan hantu penunggu. Habislah sekali pareh sesi perubatan.

Pareh kedua, pareh ketiga dan seterusnya proses dijalankan dengan kaedah yang sama tetapi bahan pengubatan yang berlainan. Habis pareh ketujuh dilakukan pula acara membuang ancak: sebuah bekas seperti dulang disediakan dengan isinya ayam bakar, nasi kunyit, kuih apam, bertih, beberapa arca seperti anak patung manusia yang diperbuat daripada lilin atau tepung beras, dian, pisang, mayang pinang disusun dengan cermat, hormat dan penuh takzim. Tuk Bomoh akan menentukan di mana ancak itu akan dibuang: kalau dibuang ke Sungai Pahang, terpaksalah dibuat sebuah rakit kecil dari batang pisang atau buluh pering. Kalau dibuang ke hutan, terpaksa dibuat satu buaian daripada buluh yang dijalin dan diberi bertali untuk digantung atau disangkut di mana-mana julai kayu yang tersorok dari pandangan umum. Tempat itu mesti redup kalaupun tidak gelap. Pembuangan ancak ini mesti dilakukan pada malam itu juga, sebelum ayam berkokok waktu subuh. Orang yang membuangnya mestilah berani dan boleh dipercayai oleh Tuk Bomoh. Kalau tiada orang yang demikan sifatnya, Tuk Bomoh sendirilah yang melakukannya, yang kadang-kadang memerlukan seorang lain pula untuk menemani beliau.

Sesebuah kampung dianggap sebagai dilanda musibah yang lebih besar sekiranya berlaku kemarau, penyakit wabak seperti taun, dilanda peperangan, berlaku pembunuhan, huru-hara, padi diserang penyakit kutu buang, kematian luar biasa seperti dibaham harimau, ditangkap buaya dan seumpamanya. Dalam bencana begini seluruh kampung itu sendiri dikehendaki berubat. Ini adalah tanggungjawab semua orang dan sangatlah tidak elok sekiranya ada yang tidak menyertainya.

Tugas berubat kampung diketua oleh Pawang Tanah dan dibantu oleh alim ulama. Perkara ini mesti disepakati melalui satu mesyuarat. Majlis biasanya dimulai selepas solat asar dan dilaksanakan di tempat lapang. Tempat lapang yang paling lapang di kampung kami ialah di atas pasir di tengah-tengah sungai ketika musim air cetek. Sekalian penduduk kampung berhimpun di tempat yang ditentukan. Masing-masing membawa bertih, manisan, nasi kunyit dan lauk-pauk sekadarnya, kemenyan serta pendupa. Selepas melaksanakan solat asar diadakan solat hajat beramai-ramai, kemudian jamuan bubur nasi merah putih, bertih dengan kelapa kukur. Seterusnya Tuk Imam dan Pawang Tanah mengepalai pawai mengelilingi seluruh kampung sambil berjalan sambil melaungkan nazam:

يَا رَبْْ بِِهِم وَءَالِهِمٍ عًجِلً بِالنَّصِْر وَبالفَرَجٍ

Ya Rabbi bihim wa alimin an jil binnasr wa bil-faraji
(Ya Allah dengan berkat mereka dan keluarga mereka Engkau segerakan pertolongan dan kelepasan)

mula-mula dilaungkan oleh Tuk Imam kemudian disahut oleh seluruh yang hadir persis orang mengerjakan haji melaungkan Labbaikal-Lahu ma labbaik ...

Suara-suara yang dengan ghairah memohon: Ya Rabbi, dengan berkat mereka dan keluarga mereka Engkau segerakan pertolongan dan kelepasan...berulang-ulang bersatu dalam seruan bersama, sesaat lantang dan sesaat merendah menjadi rayuan sayu...sehingga seluruh kampung habis dijelajahi dan kami kembali ke tapak permulaan tadi. Sejurus Pawang Tanah akan mengingatkan agar mulai hari ini selama tiga hari tidak dibenarkan sesiapa membunuh atau menyembelih haiwan serta melayukan pokok-pokok, hatta sehelai rumput sekalipun. Kami juga diingatkan pada waktu maghrib nanti supaya ketua keluarga mengelilingi rumah masing-masing tiga kali sambil membaca surah al-Fatihah, al-Ikhlas, al-Falaq, dan an-Naas sambil meletak bertih di setiap bucu rumah di samping mempastikan kemenyan dibakar.

Saya kemudiannya belajar tentang pengaruh Hindu dan animisme dan masyarakat Melayu Islam di Nusantara. Seingat saya, saya mengalami sebanyak dua kali upacara berubat kampung di kampung saya: kali pertama dipimpin oleh Maalim Wi (Nawawi Lambak) iaitu Guru Quran saya dan Pawang Tanah Sulaiman Abdul Rahman (sepupu saya di sebelah bapa); kali kedua pemimpin sembahyangnya saya tidak ingat tetapi Pawang Tanah ialah Abang Umar (orang Bukit Segumpal, Temerloh yang berkahwin dengan sepupu saya Esah atau Chu Kolot). Upacara ini adalah bukti jelas tentang wujudnya campuran fahaman kedua-dua agama yang dikatakan mempengaruhi kehidupan serta ritual orang Melayu sehingga saat ini. Dua peristiwa itu ialah sekali selepas pemerintahan Jepun (kira-kira 1946) dan sekali lagi selepas kemarau panjang dan padi tidak menjadi kerana diserang makhluk perosak (1949), iaitu semasa permulaan zaman darurat di Tanah Melayu.

Di sekolah, keesokan paginya Pawang Tanah, Abang Umar pagi-pagi lagi menemui Guru Besar memberitahukan peristiwa berubat kampung pada petang semalamnya dan meminta agar murid-murid tidak menebas atau memotong rumput. Setengah daripada kami memang telah mengetahui larangan menebas itu, tetapi ada yang tidak tahu, masih memikul juga parang ke sekolah. Kami juga tidak menyangka Pawang Tanah sanggup berhadapan dengan pihak sekolah mempertahankan prinsip perubatan tradisionalnya itu. Kami malah lebih tidak menyangka kebijaksanaan Guru Besar mengambil jalan yang sangat wajar dalam menyelesaikan persoalan yang agak sulit ini. Guru Besar kemudiannya menerangkan bahawa selama tiga hari mulai hari itu semua murid dan guru tidak dibenarkan memotong rumput atau melayukan tumbuh-tumbuhan, jadi tidak payahlah membawa parang ke sekolah. Walau bagaimanapun kerja-kerja mengutip dan menyapu sampah di dalam sekolah dan di sekeliling kawasan tetap dijalankan.

Terfikir pula di benak saya pada masa itu, alangkah seronoknya jikalau peraturan tidak payah membawa parang ke sekolah itu diteruskan sepanjang tahun. Atau, paling kurang upacara berubat kampung itu dijalankan seminggu sekali, kalau tidak pun sebulan sekali atau setahun sekali...

Sebenarnya, tahun itulah tahun terakhir upacara berubat kampung dijalankan. Selepas itu, meskipun saya agak jarang berada di kampung, saya tahu, upacara begitu tidak pernah diamalkan lagi.

Entah bagaimana, terbetik pula di hati kecil saya untuk mencadang supaya dijalankan upacara berubat kampung selepas Pilihan Raya Umum Ke-12 2008 yang baru selesai pada 8 Mac ini! Mula-mula laksanakanlah di Kelantan dahulu, lepas itu di Pulau Pinang, Kedah, Perak dan Selangor; seterusnya jangan sekali-kali melupakan Perlis dan Terengganu. Kampung saya di Pekan biarlah yang terkemudian sekali. Tetapi kepada siapakah boleh saya kemukakan cadangan ini untuk dilaksanakan secepat mungkin, atau paling tidak dalam tempoh lima tahun dari sekarang (2008)?

Barangkali punca timbulnya pemikiran 'songsang' saya yang begitu kerana semalam selepas sambutan Maulidur Rasul peringkat negeri Pahang di Dewan Konvensyen Sultan Haji Ahmad Shah saya menerima satu salinan surat Mukhriz Mahathir yang beliau kirimkan kepada PM, daripada seorang teman yang kini menjadi ahli Mubarak; dan pagi ini pula seorang teman lain dari Johor menghantar melalui mesin faksimili salinan surat Tengku Razaliegh Hamzah. Esok lusa mungkin ada surat lain pula, siapa tahu.

Tuesday, March 11, 2008

Mula Merantau

Bersekolah di SM Laki-laki Kuantan

Saya memulakan persekolahan di Sekolah Melayu Laki-laki Kuantan yang terletak di Jalan Gambut itu pada Februari 1952. Selepas tamat Darjah Enam di Ganchong pada 1951 peluang untuk melanjutkan pelajaran sangat terhad. Di Pahang Timur ada dua buah sekolah sahaja yang mengadakan Darjah Tujuh, iaitu Sekolah Melayu Laki-laki Pekan dan Sekolah Melayu Laki-laki Kuantan.

Kewujudan Darjah Tujuh ini pun tidak begitu jelas. Ada yang menyebutnya sebagai Darjah Enam ’A’, bukannya Darjah Tujuh. Sijil School (Boys) Certificate yang saya dapati pada 1952 mencatatkan saya lulus Darjah Tujuh, sementara sijil yang saya perolehi pada 1953 mencatatkan saya lulus Darjah Enam ’A’. Walau bagaimanapun, saya menerima dua keping Sijil yang mencatatkan saya passed the Federal Standard Seven Examination in the year 1952 dan satu lagi untuk tahun 1953. Sijil School (Boys) Certificate 1952 ditandatangani oleh Chief Inspector of Schools, Pahang (T.A.E Barker) dan Assistant Inspector of Malay Schools Pahang (Mahmud bin Jintan); sementara Sijil School (Boys) Certificate 1953 ditandatangani oleh Chief Education Officer, Pahang (T.A.E Barker) dan Assistant Inspector of Malay Schools Pahang (Mahmud bin Jintan).

Sijil Federal Standard Seven Examination bagi kedua-dua tahun berkenaan ditandatangani bagi pihak Director of Education Federation of Malaya, Kuala Lumpur oleh Syed Nasir Ismail dan Chief Education Officer Pahang oleh T. K. Taylor.

Sebenarnya untuk mendapatkan kedua-dua sijil tersebut kami tidak perlu mengikuti dua kelas yang berlainan, tetapi terpaksa menduduki dua peperiksaan. Sijil School (Boys) Certificate merupakan sijil yang diberi melalui peperiksaan umum yang meliputi semua mata pelajaran yang diajar di sekolah, iaitu Bacaan Jawi, Bacaan Rumi, Rencana Jawi, Rencana Jawi, Bahasa (dalam terjemahan Inggeris subjek ini disebut Composition), Ilmu Hisab, Ilmu Alam, Ilmu Tawarikh, Ilmu Kesihatan, Lukisan, Ilmu Tanam-tanaman, Pekerjaan Tangan dan Congak. Sijil Darjah Tujuh pula diberikan melalui peperisaan khas dalam mata pelajaran Bahasa, Ilmu Hisab, dan Ujian Kecerdikan (soalan berbentuk diagnostik IQ).

Sebelum saya melanjutkan kisah persekolahan saya di Kuantan, biarlah dicatatkan sedikit di sini perkembangan sekolah Melayu di negeri Pahang ini, khususnya di bahagian pantai timur. Sekolah Melayu yang tertua di Pahang dikatakan dibina di Pekan sebelum negeri ini dinaungi Inggeris pada 1888. Pembinaan sekolah ini seolah-olah sebagai salah satu bahan trade-off untuk Pahang menerima Sistem Residen. Sekolah yang bertujuan mengajar anak-anak bangsawan di bandar diraja itu mendapat khidmat seorang yang didatangkan dari Singapura iaitu Che’ Embong bin Wan Teleng yang juga menjadi guru di situ dengan mata pelajaran awalnya ialah Membaca, Menulis, Mengira dan Lukisan. Tulisan rumi masih belum diperkenalkan, sedangkan bahan bacaan terdiri daripada Hikayat Pelayaran Abdullah, Hikayat Kalilah wa Daminah dan Hikayat Si Miskin. Sekolah Melayu yang kedua pula didirikan di Kuantan pada lebih kurang 1890-an. Sekitar 1904-1905 sekolah yang didirikan di sudut tapak pasar lama (berhampiran Jalan Lebai Ali sekarang) dipindahkan ke Padang Lalang (di belakang bangunan BMW sekarang, iaitu tapak yang dahulunya menempatkan bangunan Lee Engineering). Pada 1938 murid-murid lelaki Sekolah Melayu Padang Lalang dipindahkan ke Sekolah Melayu Laki-laki Kuantan di Jalan Gambut sedangkan murid-murid perempuan dipindahkan ke bangunan baru yang asalnya sebuah istana yang dikurniakan oleh DYMM Sultan Pahang yang terletak di Kampung Galing Besar, dan dikenali dengan nama Sekolah Melayu Perempuan Galing.

Guru Besar semasa saya mula-mula bersekolah di situ ialah Cikgu Shamsuddin Mohd. Sidek. Beliau berasal dari Kampung Langgar, Pekan. Isteri beliau, Cikgu Fatimah Kassim juga orang Pekan, tetapi tidak mengajar di sekolah yang sama.

Guru-guru lain yang mengajar di situ ialah Cikgu Hashim Ahmad, Cikgu Abdullah Saaban, Cikgu Abdul Aziz Yusof, Cikgu Kamaluddin Ahmad, Cikgu Hussain Ismail, Cikgu Othman Ismail, Cikgu Sulaiman Ahmad, Cikgu Jantan Ahmad, Cikgu Hussain Aris, Cikgu Abdullah Hassan, Cikgu Abdul Hamid Sentol, Cikgu Mohd. Fadzil Haji Daud, Cikgu Marzuki Haji Ali ...

Guru Berbasikal

Tidak seorang pun guru sekolah itu yang berkereta. Paling-paling berbasikal. Ada basikal baru tetapi kebanyakannya basikal yang agak tua umurnya. (Maaf, saya malu hendak mengatakan basikal buruk!). Pada masa itu pegawai (rendah) kerajaan boleh membuat pinjaman membeli basikal daripada kerajaan dengan bayaran balik yang dikenakan hanyalah $5.00 sebulan.

Jenama basikal yang paling top ialah Raleigh yang harganya $60.00 sebuah, dan kebanyakan guru memiliki basikal berjenama tersebut. Jenama basikal yang lain termasuklah Royal Enfield, Robin Hood, Humber, Rudge, Hercules, dan Hudson. Basikal yang lebih mahal harganya mempunyai giar laju (speed-gear), dan sistem breknya dipanggil brek gantang (brake-harp). Basikal jenis lain mempunyai brek yang mencengkam rim pemegang tayar. Terdapat tiga jenis basikal, iaitu basikal tinggi untuk kegunaan lelaki, basikal rendah kegunaan lelaki dan basikal wanita yang tidak mempunyai palang. Sesebuah basikal dianggap lengkap jika mempunyai pam angin, lampu, dinamo, loceng, brek, dan beg bekas spanar. Basikal yang tidak mempunyai lampu berdinamo dikehendaki memasang lampu minyak tanah yang bertutup di kiri kanannya supaya api lampu tidak padam ditiup angin atau terkena hujan ketika berjalan. Ada tiga kesalahan besar orang berbasikal pada zaman itu: Pertama tidak boleh naik basikal berdua (atau lebih); kedua: tidak boleh memakai payung ketika hujan; ketiga: dilarang menaiki basikal tanpa lampu pada waktu malam. Disebabkan anggota polis tidak mempunyai banyak tugas mengawal jenayah, kebanyakan mereka menumpukan tangkapan kepada penunggang basikal yang melakukan kedua-dua kesalahan itu tadi.

Bangunan Sekolah

Bangunan Sekolah Melayu Laki-laki Kuantan jauh lebih besar berbanding Sekolah Melayu Ganchong. Bangunan seseku batu dua tingkat ini terletak di Jalan Gambut. Hanya struktur bangunan dan tapak bawah yang diperbuat daripada simen. Tingkat bawah sekolah ini dibiarkan tidak berdinding pada mulanya, hanya selepas beberapa tahun dipasang dinding papan setinggi empat kaki, dan dibuat beberapa buah pintu di kiri kanannya. Bahagian bawah ada empat kelas: Darjah Satu, Darjah Dua, Darjah Tiga dan Bilik Guru. Bersebelahan bilik guru terdapat Bilik Guru Besar. Bilik Darjah Satu dijadikan tempat guru-guru makan semasa rehat kerana tiada bilik lain yang dipakai untuk kegunaan itu. Murid-murid pula makan sambil berdiri di sisi bangsal memasak atau di kaki lima bangunan tukang kayu atau di mana-mana sahaja yang sempat. Bilik Guru sebenarnya bukanlah sebuah bilik tetapi bahagian yang disekat dengan pengadang dan almari. Bilik Guru Besar separuh berdinding, sementara di bahagian atasnya dipasang jejaring besi. Terdapat sebuah tingkap menghala ke bahagian luar di hujung bangunan itu.

Terdapat dua buah tangga di kedua-dua bahagian hujung bangunan untuk naik ke tingkat atas. Di bawah kedua-dua tangga itu terdapat kolah yang agak besar yang tingginya kira-kira dua kaki dan ada sebuah paip dipasang di situ. Air kolah itu digunakan untuk mencuci peralatan bekerja, tangan dan kaki sebelum murid-murid masuk ke dalam kelas. Air dari paip itu juga digunakan untuk murid-murid minum.

Keadaan Sekeliling

Di hujung sebelah kiri bangunan sekolah menghala ke Sekolah Methodist terdapat sebuah bangunan kayu beratapkan genting yang dijadikan sebagai tempat bertukang kayu. Di belakang bangunan tukang kayu itu terdapat bangsal tempat basikal murid-murid dan guru. Oleh sebab yang mempunyai basikal tidak ramai maka bangsal itu tidaklah penuh. Bangunan bangsal basikal itu tertumpu kepada pagar sekolah yang sebatang dua turusnya telah tercabut mungkin dimakan usia.

Di antara bangsal dengan sekolah terdapat sebuah pondok yang dijadikan tempat memasak oleh Pak Mat, pengusaha kantin sekolah. Bangunan kantin yang hanya merupakan gerai itu terletak tidak berapa jauh daripada pondok yang dijadikan dapur tadi. Makanan yang dijual oleh Pak Mat sedap-sedap belaka: ada mee goreng, mee rebus, rojak kangkung, mee jawa, nasi dagang dan nasi lemak. Masa itu kami masih boleh menggunakan duit siling satu sen bagi membeli kuih-muih yang semuanya berharga lima sen sebiji. Saya sendiri pernah membayar sepiring mee goreng menggunakan duit satu sen, dan Pak Mat bertanya sama adakah saya memecah tabung untuk mendapatkan duit itu. Memang saya terasa agak malu juga kerana pada masa itu saya membeli mee bersama-sama Ibrahim Yaacob.

Di seberang jalan di hadapan sekolah ada tanah lapang yang ditumbuhi rumput rendah berwarna perang. Jauh di seberang padang berumput perang itu terdapat bangunan Kelab Melayu Kuantan. Di atas tanah lapang itulah kerap diadakan persembahan Sirkus, biasanya oleh Syarikat Shum Yip Leong, pertunjukan aneka warnaa atau fun fair, bangsawan dan sebagainya. Selepas pasukan pertunjukan meninggalkan tempat itu kami kerap berjalan-jalan ke situ mencari duit orang tercicir, yang biasanya kami memang menemuinya setelah mencakar di celah-celah rumput atau di bawah kayu dan papan yang ditinggalkan. Terdapat jalan denai untuk berbasikal dari sekolah ke Kelab itu dan seterusnya ke bandar Kuantan. Tidak berapa jauh dari Kelab Melayu, iaitu sekitar tempat bangunan Pejabat Agama Islam Kuantan sekarang, terdapat kem askar yang dihuni oleh Regimen Hussar Rifle, iaitu satu ketumbukan askar British. Kem ini bukanlah semuanya khemah, sebaliknya terdapat sebuah rumah banglo yang agak besar. Pada sebelah malam ketika kami berjalan balik daripada masjid setelah berkitab dan sembahyang Isya’ kerap kami terserempak dengan askar-askar Inggeris itu mengelilingi seorang atau dua orang perempuan Melayu yang entah dari mana datangnya, kadang-kadang terdengar perempuan itu terjerit-jerit: No! No! beberapa kali. Mungkin itulah sahaja perkataan Inggeris yang diketahuinya dalam usaha berkomunikasi dengan orang asing itu. Wallahu a’lam.

Di sebelah utara Kelab Melayu Kuantan terdapat pula sebuah bangunan batu dua tingkat iaitu Rest House Kuantan. Apabila timbul gerakan kebangsaan pada awal tahun 1950-an sebahagian daripada Kelab Melayu Kuantan itu dijadikan ibu pejabat UMNO, iaitu bangunan kayu berdindingkan papan yang dibina sebagai sebahagian anjung bangunan Kelab itu.

Di bahagian belakang sekolah terdapat ladang getah milik Hock Bee; sementara di sebelah kanannya Pejabat Haiwan dan di sebelah kiri terdapat bangunan gereja daripada kayu dan Sekolah Perempuan Methodist.

Padang bola terletak di bahagian belakang sekolah. Di antara padang dengan ladang getah terdapat tandas sekolah. Tandas jenis tong yang sebanyak lima unit ini isinya diangkat oleh toti pada sebelah petang. Antara tandas dengan ladang getah dibina pagar kayu tegak meliputi seluruh kawasan sekolah.

Di hadapan bangunan sekolah, kira-kira enam kaki sebelum sampai ke pagar sekolah ada beberapa pohon kelapa sawit (pada masa itu kami memanggilnya kelapa bali) yang baru berbuah. Buahnya kami boleh capai dari tanah. Semasa rehat ramai murid yang duduk di bawah pohon itu membuka bekal sambil beradu buah kelapa bali siapakah yang ekornya tidak tercabut apabila ditarikkan sesama ekor. Kami tidak tahu apakah lagi kegunaan kelapa bali itu selain daripada dibuat beradu begitu. Tidak pernah saya melihat orang memakannya, apatah lagi mendapatkan minyak daripadanya! [Pada masa sekarang - 2008 - kelapa bali yang saya katakan itu masa hidup tetapi bukan di dalam pagar sekolah seperti dahulu, sebaliknya di luar pagar, malah hampir benar dengan jalan raya].

Semasa rehat kadang-kadang kami juga beradu bunga kemuncup, iaitu dengan memintal kemuncup masing-masing dan menariknya apabila sudah sering, lihat kemuncup siapa yang putus. Ada satu permainan baru yang dimainkan oleh murid-murid Kuantan yang mereka sebut main spedor. Rupa-rupanya yang mereka mainkan ialah sejenis labah-labah kecil yang disimpan di dalam kotak mencis atau seumpamanya. Mereka letakkan daun pandan atau daun bunga raya di dalam kotak tersebut kononnya untuk dijadikan makanan labah-labah itu. Pada masa rehat atau semasa waktu tiada guru di kelas mereka mengeluarkan labah-labah masing-masing untuk dibiarkan serangga itu berlaga. Ada yang mahu berlaga, tetapi ada pula yang enggan dan kembali menyorok di celah-celah daun bunga raya di dalam kotaknya. Labah-labah Aznan Abdul Razak dari Kampung Tengah selalu sahaja menang apabila berlaga. Beberapa bulan kemudian, setelah saya belajar bahasa Inggeris, baharulah saya faham bahawa apa yang mereka sebut spedor itu adalah pelat sebutan Melayu daripada perkataan Inggeris spider. Pada masa itu Spiderman masih belum wujud di dunia ini!

Zaman Darurat

Ada dua perkara yang mengejutkan saya semasa belajar di sini: Pertama, setiap jam 11.00 pada hari-hari tertentu terdengar dentuman bertalu-talu seolah-olah orang menembak. Mereka mengatakan itu adalah bunyi tempakan spedo pemecah batu di Bukit Ubi. Yang mereka katakan spedo itu adalah dinamit untuk meletupkan batu bagi kegunaan membuat jalan raya dan lain-lain kerja pembangunan. Kejutan kedua ini benar-benar menakutkan, iaitu bunyi bom daripada kapal terbang yang menembak tempat persembunyian komunis tidak jauh daripada ladang Hock Bee itu. Bunyi dentuman bom itu cukup kuat sehingga menyebabkan tingkap sekolah bergegar, ada ada kalanya cermin gambar di dinding pun boleh jatuh. Sebagai orang baru di sekolah itu saya memang rasa gentar mendengar tembakan seperti bertih digoreng, tetapi lama-kelamaan kami telah lali dan tidak menghiraukan bunyi itu lagi. Pada mulanya kami tidak tahu kesan daripada tembakan meriam dan mesingan yang seperti bertih digoreng itu. Kami hanya mengetahui dan melihat dengan mata kepala sendiri apabila kami berpindah rumah ke No. 248 Clerks’ Area (kawasan tapak Kuantan Parade sekarang) kerana apabila mendengar bunyi helikopter mendarat di Padang KRC kami terus berkejar ke situ melihat askar menurunkan mayat komunis dan menghantarnya ke Balai Polis. Pernah kami melihat lima mayat sekali gus. Biasanya sebaik-baik sahaja mendarat ada orang yang memotret mayat tersebut, atau kalau tidak di padang mereka menyandarkan mayat itu pada dinding Balai Polis untuk diambil gambarnya.

Pengalaman Baru

Saya sangat terkejut budak-budak Kuantan menggunakan bahasa 'aku' dan 'engkau' dalam percakapan seharian. Di kampung, saya ditegah sama sekali oleh Emak membahasakan diri ber-'aku' dan ber-'engkau' kerana katanya tidak beradab atau kurang ajar. Percakapan sesama taraf kami gunakan 'saya' atau yang lebih kerap 'kawan' dan 'awak'. Orang Kuantan kerap memerli jika kami menggunakan 'kawan' bagi ganti nama diri pertama. Mereka kata: Kawan apa? Kawan kerbau? Kawan lembu? Pada umur semuda itulah saya mula mengalami fenomena perbezaan bahasa yang kemudiannya saya pelajari lebih mendalam semasa belajar subjek Linguistik dan Sosio-linguistik. Benarlah kata orang tua-tua: jauh berjalan luas pandangan, lama hidup banyak dirasa. Perjalanan saya ini bukanlah jauh sangat, tetapi saya telah menimba banyak pandangan dan pengalaman. Alhamdulillah!

Di sekolah Kuantan ini kami tidak lagi dikehendaki membawa parang ke sekolah sebagaimana semasa saya bersekolah di Ganchong. Ini bukanlah bermakna kami tidak dikehendaki bekerja membersihkan sekolah. Untuk tujuan memotong rumput di padang, sekolah ini mempunyai seorang Tukang Kebun, Mat Din namanya. Badannya kecil sahaja, tetapi ’kesing’. Dia memotong rumput menggunakan pedang rumput yang dalam bahasa Inggeris disebut scythe. Ada beberapa kali saya mengecek Mat Din supaya membenarkan saya menggunakan pedangnya untuk dua tiga kali hayun. Dia membenarkan, tetapi dengan amaran supaya berhati-hati supaya jangan terkena kaki. Kerja-kerja lain seperti mengutip sampah, membersihkan halaman sekolah, membersihkan kelas, menyiram dan membaja bunga, semuanya dilakukan oleh murid-murid dengan diawasi oleh guru-guru, pada sebelah pagi sebelum naik ke kelas. Setelah siap kerja-kerja membersihkan kawasan, kami dikehendaki membasuk kaki dan tangan menggunakan air yang siap ditakung di dalam kolah di bawah tangga di kedua-dua hujung sekolah. Murid-murid Darjah Empat ke atas mempunyai satu batas tanaman seorang di kawasan Kebun Sekolah yang terletak di sudut sebelah kiri sekolah. Kebun sekolah ini berjiran dengan kebun yang diusahakan oleh satu keluarga Cina di sebelah luar pagar sekolah. Ada juga masanya buah betik di dalam kebun orang Cina ini ’melompat’ ke dalam kebun sekolah. Dimaklumkan, kami tidak menanam betik.

Sekolah dibuka enam hari seminggu, termasuk hari Sabtu. Jadi, kami sempatlah bermain guli di rumah sebelum ke sekolah. Pernah suatu hari saya bermain guli dengan Ibrahim Yaacob, begitu asyiknya bermain, hingga jam 9.30 baru disedari kami kena ke sekolah. Walaupun lewat, kami pergi juga ke sekolah dengan beraninya, tanpa mengadapi sebarang masalah Aktiviti hari Sabtu yang bermula jam 9.00 itu terdiri daripada membuat anyaman, menjaga kebun, mengindahkan taman sekolah dan kadang-kadang belajar. Kalau semasa di Ganchong cikgu membawa murid-murid berperahu ke Sungai Genok mencari akar keladi air untuk bahan anyaman, di Kuantan kami pergi bersama-sama semua guru (termasuk Guru Besar) menaiki basikal ke Batu 18 Jalan Pekan untuk mencari akar rengut yang kualitinya lebih baik berbanding akar keladi air. Kami juga kerap mendaki Bukit Pelindung untuk mencari bemban batu dan rotan sega. Bemban batu sangat kuat dan cantik untuk dijadikan regih bakul sampah. Semasa di Bukit Pelindung kami diajar mencari air minuman daripada sejenis akar yang banyak berjuntaian di situ. Cikgu melarang kami minum air daripada pokok rotan kerana katanya boleh merosakkan gigi. Di situ juga kami temui sejenis buah seakan-akan buah kanna yang boleh dimakan, dan rasanya lebih enak berbanding buan kanna kering yang dijual di kedai-kedai.

Semasa rehat dan duduk di bawah pohon kelapa bali saya merasa pelik melihat mengapa roda kereta (yang pada masa itu rimnya masih mempunyai jejari) tidak bergerak semasa melalui di depan sekolah. Setelah kerap memperhatikan, barulah saya memahami sebabnya, iaitu kayu pagar sekolah kami mempunyai jarak yang sama, kira-kira dua inci setiap satunya. Jarak yang sebesar itu mempengaruhi kesan pemandangan kami ke arah kecepatan momentum pusingan tayar kereta itu bergerak yang menjadikan jejari rim seolah-olah tidak bergerak. Mungkin ada perkataan yang lebih tepat menggambarkan kes ini dalam bahasa yang lebih saintifik, tetapi saya tidak mempunyai kemahiran untuk berbuat begitu!

Tiang Bendera Tertinggi

Pada suatu hari, guru-guru memasang tiang bendera di hadapan bangunan sekolah. Tiang bendera itu merupakan sebatang pokok tembesu yang besar, panjangnya hampir 50 kaki dan lilitan pangkalnya hampir sepemeluk. Saya tidak tahu bagaimana tiba-tiba tiang sebesar itu terjalar di hadapan sekolah kami. Ada yang mengatakan, kayu itu dicari oleh guru dengan dibantu oleh beberapa orang penjaga dan kakitangan Pejabat Hutan dekat kawasan Bukit Pelindung; merekalah yang menebang dan mengangkatkan ke sekolah menggunakan lori jabatan tersebut. Lori itu tentunya tidak cukup panjang untuk membawa kayu sepanjang itu, tetapi pada masa itu jalan raya di Kuantan tidaklah sibuk benar dan perjalanan lori membawa tiang bendera sekolah kami itu tidak mengganggu lalu lintas. Ramailah orang yang membantu menegakkan tiang bendera itu, sedangkan kami murid-murid dihalau jauh-jauh, takut terhempap oleh tiang kiranya ada apa-apa yang tidak diduga berlaku. Setelah dipasang takal dan tali di puncak tiang, mereka mula mendirikannya dengan menggunakan tali belati yang diikat di empat penjuru tiang. Semuanya bekerja menggunakan tangan empat kerat. Berkat kerja semua orang: pegawai Pejabat Hutan, PWD dan guru-guru (khususnya Cikgu Hussain Haji Aris dan Cikgu Jantan Ahmad, Cikgu Abdullah Saaban), dengan bilangan 1, 2, 3 ..! tiang itu pun berjaya dipacakkan ke dalam lubang yang telah siap digali oleh Mat Din. Lubang itu kemudiannya disimen, dan mulai hari itu sekolah kami pun mempunyai tiang bendera yang paling tinggi dan kukuh di bandar Kuantan. Saya tidak tahu bilakah masanya tiang itu tidak digunakan lagi dan keadaannya semasa itu. Tetapi saya yakin bahawa tiang itu telah menjadi kebanggaan Sekolah Melayu Laki-laki Kuantan selama lebih daripada 30 tahun!

Kegiatan Akademik

Aktiviti akademik tidaklah banyak sangat berubah berbanding di SM Ganchong dulu. Guru yang mengajar Bahasa Melayu kami ialah guru besar sendiri, iaitu Cikgu Shamsuddin Mohd. Sidek. Beliau seorang guru yang serius kelihatan terutama dari air mukanya, tetapi hati budinya baik. Beliau mengajar menggunakan buku Ilmu Mengarang Melayu dan Pelita Bahasa Melayu I, II & III, yang termasuk nahu, peribahasa, karangan dan surat kiriman. Dalam karangan kami dikehendaki membuat latihan menukarkan cakap ajuk kepada cakap pindah dan sebaliknya. Dalam subjek surat kiriman pula, beliau mengajar pelbagai bentuk dan adat yang digunakan dalam surat kiriman, termasuklah surat-menyurat kepada raja dan sultan yang menggunakan pelbagai puji-pujian dan kepala surat dalam bahasa Arab. Kami dikehendaki menghafal dan menuliskannya dalam buku latihan. Ditakdirkan Allah, pada suatu masa datang betullah Sultan Pahang, Sultan Abu Bakar akan berangkat ke sekolah kami untuk suatu majlis yang saya tidak ingat lagi apakah namanya. Guru Besar kami dikehendaki menyembahkankan ucapan selamat berangkat Sultan ke majlis tersebut. Tanpa disangka-sangka Cikgu Shamsuddin memanggil saya ke pejabatnya untuk menolong beliau menyusun surat persembahan ucapan tersebut. Beliau menyatakan secara ringkas apa maksud yang hendak disembahkan dan seterusnya saya diminta merujuk Ilmu Mengarang Melayu dan Pelita Bahasa Melayu itu tadi untuk menyudahkan surat tersebut. Dalam keadaan kaget, takut dan penuh dengan debaran akhirnya siap juga saya menulisnya dalam tulisan jawi di atas kertas kajang yang bersih dan kertas itulah dimasukkan ke dalam frame bercermin dan dibaca oleh Guru Besar yang kami geruni itu.

Beberapa tahun berkhidmat di sekolah ini, Cikgu Shamsuddin dinaikkan pangkat menjadi Guru Pelawat Raub, kemudiannya menjadi Guru Pelawat Pekan sehingga beliau bersara. Suhaimi, anaknya yang tua dihantar ke Inggeris mempelajari ilmu perkapalan dan menjadi pegawai profesional serta pernah menjadi Shahbandar di Pelabuhan Pulau Pinang dan Port Kelang. Faridah, anak perempuannya berkahwin dengan orang Hawaii dan menetap di sana. Faezah menjadi guru setelah menerima latihan di England. Mohd Shahar merupakan anaknya yang kurang upaya dan duduk di kerusi roda sepanjang hayatnya. Fauziah menjadi guru dan berkahwin dengan Tengku Ibrahim Tengku Endut, orang Ganchong. Seorang lagi anak perempuan Cikgu Shamsuddin yang saya tidak tahu namanya, dikatakan menetap dan berkahwin dengan orang Cape Town, Afrika Selatan.

Mata pelajaran Ilmu Hisab diajar oleh Cikgu Othman Ismail, bekas guru saya semasa bersekolah di Ganchong. Apabila beliau bertukar ke Kuantan, tempatnya diambil oleh Cikgu Abu Bakar Shariff yang mengajar di Kuantan. Beliau memang mengenali benar saya, apatah lagi saya berkawan dengan adiknya Abdul Hamid Ismail. Beliau tinggal di rumah kerajaan betul-betul di simpang pintu hospital Kuantan (tapak Kompleks Teruntum sekarang). Selain Ilmu Hisab, beliau mengajar Congak (sebenarnya bukan mengajar, tetapi membuat latihan), Kesihatan dan Pekerjaan Tangan. Isi pengajaran semakin hari semakin sukar: dari kira-kira keluasan, isi padu air, panjang, lebar hinggalah tajuk angka kandungan kecil (AKK), pembahagi yang besar (PYB), pecahan, perpuluhan, syer dan stok (masya Allah, kami tak tahu apa dia bendanya yang disebut syer dan stok itu, tetapi untuk mengira kos untung dan rugi dalam perniagaannya, bolehlah sedikit-sedikit, itu pun selepas diajar), hala arah kapal (bearing) di laut, dan akhirnya kereta api – misalnya dua buah kereta api berselisih dengan panjangnya yang dan kelajuannya diberikan sekian sekian nilainya, sedangkan kami dikehendaki memberi jawapan berapa minit kereta api itu bertemu semula di antara hujung bahagian belakang kedua-duanya. Ini pun satu lagi masalah kerana kami boleh dikatakan semuanya tidak pernah melihat kereta api, kecuali Hassan Haji Ali teman saya dari Sungai Lembing kerana di pekan lombong bijih itu ada kereta api pengangkat bijih dari lombong ke Pasir Kemudi. Dalam gerakan berpersatuan, Cikgu Othman merupakan seorang guru pengakap.

Mata pelajaran Ilmu Alam pula gurunya ialah Cikgu Jantan Ahmad. Beliau orang Kuantan jati. Pengajarannya tidak pernah disulami dengan cerita atau gelak ketawa, dan ini menjadikan beliau seorang guru yang kami takuti. Beliau selalu berbaju lengan pendek berkotak-kotak halus. Cikgu Jantan juga seorang guru pengakap. Cikgu Jantan adalah salah seorang guru sekolah kami yang fasih berbahasa Inggeris, satu kebolehan yang jarang-jarang didapati di kalangan guru lepasan SITC pada masa itu. Diam-diam Cikgu Jantan khabarnya pernah memeranjatkan kakitangan Pejabat Pos Kuantan apabila beliau menepuk kaunter dan bersuara dengan keras (dalam bahasa Inggeris) kepada salah seorang kerani di situ yang melambat-lambatkan tugasnya melayan beliau. Perkara ini menjadi buah mulut orang Kuantan dalam minggu itu, yang akhirnya sikap acuh-tak-acuh melayan pelanggan oleh pegawai India itu berubah selepas kejadian tersebut.

Cikgu Abdullah Saaban adalah orang Beserah dan pertuturan loghat Beserah itu tidak lekang dari bibirnya. Kebanyakan orang tua di kampung saya mengenali nama Cikgu Dolah ini kerana beliau pernah mengajar di Ganchong. Beliau biasanya memakai baju stella berwarna biru tua, berseluar kain keras warna abu, bertali pinggang, memakai capal, bercermin mata agak tebal yang bingkainya berwarna coklat dan bersongkok yang kelihatan lebih kecil sedikit daripada kepalanya. Beliau sentiasa mengajar Darjah Dua. Suaranya semasa mengajar agak kuat, tetapi lebih kuat lagi ketika mengajar budak-budak bermain bola. Beliaulah yang melatih pasukan bola sepak sekolah. Semasa melatih beliau selalu memberi arahan dari luar padang, kalau salah-salah dengar seperti suara orang membajak sawah dengan kerbau! Suatu hari dia berleter memarahkan murid-murid di tingkat atas kerana berludah ke bawah, dan pada hari itu air ludah terkena betul-betul pada songkok beliau. ”Mu ludah songkok aku. Songkok ini aku bawak sembahyang, mu tahu tak?” Kesian betul Cikgu Dolah, tetapi tidak ada sesiapa pun yang berani mengaku meludahi songkok beliau, walaupun perbuatan itu memang bukan disengajakan. Beliau ada seorang anak yang belajar dalam Darjah Tujuh bernama Abdul Manaf, sementara anak-anaknya yang lain belajar di sekolah Inggeris. Semasa saya di Jepun, saya pernah menemui salah seorang anak beliau yang sedang belajar di sana. Pada masa itu katanya, bapanya sudah meninggal, malah abangnya Manaf pun sudah meninggal juga.

Mengajar Darjah Satu bukanlah tugas yang mudah. Sikap penyabar, penyayang dan bijaksana perlu dimiliki oleh sesiapa yang ingin menjadi guru darjah satu yang berjaya. Di Sekolah Melayu Laki-laki Teruntum ini tugas yang delicate ini sentiasa dipegang oleh Cikgu Hashim Ahmad. Beliau orang Pekan dan berkahwin dengan guru yang juga orang Pekan iaitu Cikgu Zabedah Abu Bakar. Isteri beliau ini kemudiannya meninggal dunia semasa melahirkan anak. Salah seorang anak beliau Mohd. Zamzamil pernah belajar Pengakap dengan saya semasa di Pekan dan kini bertugas di beberapa kedutaan Malaysia di luar negara. Beliau baru-baru ini telah dianugerahi gelaran Dato’ oleh DYMM Sultan Pahang. Cikgu Hashim lama hidup membujang membesarkan anak-anaknya, sehingga setelah bersara beliau berkahwin dengan Cikgu Khadijah, kakak (atau kakak?) kepada Kak Tik, isteri Cikgu Abu Kassim Haji Abdul Ghani yang tinggal di Kampung Mengkasar. Cikgu Hashim pun tinggal di Kampung Mengkasar, berhampiran dengan rumah Cikgu Kassim itu tadi.

Darjah Lima, Enam dan Tujuh dikehendaki mengikuti mata pelajaran Pertukangan Kayu. Gurunya Cikgu Hussain Haji Aris adalah sepupu saya dan saya sendiri tinggal di Kuantan menumpang di rumahnya. Kelas pertukangan ini hanya ada di Kuantan, Temerloh, Lipis dan Pekan sahaja. Pelajarannya bermula daripada mengenali nama alat, mengasah mata ketam, mengasah mata pahat dan mengikir dan membuka mata gergaji. Kemudian barulah kami diajar cara-cara mengetam, menebuk lupang menggunakan pahat, membuat tanggam yang senang-senang. Setelah mahir, kami dikehendaki membuat projek seperti tempat buku, tempat menyimpan fail, penggantung tali leher, penyangkut baju, kerusi malas, penyangga buku (book-ends), rehal, penyangkut topi, skrin, dan akhirnya katil, kerusi, meja dan almari. Hasil projek itu dijual dan wangnya diberikan kepada kami setelah ditolak harga kayu dan varnis. Pada umumnya subjek ini amat kami minati. Saya tidak berapa suka kalau diminta memasak gelu kulit lembu kerana bau yang dikeluarkannya sangat menyengat.

Tawaran ke Sekolah Inggeris

Tiba-tiba pada suatu hari keluar kenyataan mengatakan sesiapa yang hendak belajar bahasa Inggeris boleh datang di sebelah petang, tiga kali seminggu. Guru yang mengajarnya ialah guru dari Abdullah School. Tidak ada sebarang bayaran yang dikenakan. Saya tidak tahu pihak mana yang memulakan kegiatan bijak ini. Balik ke rumah saya meminta kebenaran sepupu saya untuk menyertai kelas itu. Saya meminta kebenaran kerana sekiranya saya menyertai kelas itu saya terpaksa pula tidak dapat mengikut kelas mengaji al-Quran di rumah yang diajar oleh isterinya Abangteh Kamisah. Beliau membenar malah menggalakkan permintaan saya, dan pada masa yang sama saya dibolehkan mengaji al-Quran lebih awal untuk menyertai kelas itu.

Kelas bahasa Inggeris itu diajar oleh Mr. Abdul Majid Mat, Mr. Kok Swee Hong dan isterinya Mrs. Kok Swee Hong. Saya dimasukkan di dalam kelas Mr. Kok. Hari pertama, entah mengapa, kami diajar menyanyi lagu God Save the Queen. Hari berikutnya, setelah menyanyikan semula lagu semalam itu, kami mulalah belajar bahasa Inggeris menggunakan buku teks The Oxford English Course for Malaya keluaran Oxford University Press yang dimulai dengan frasa a man, a pan, a man and a pan, a pan and a man … Masalah di kelas kami ini ialah Mr. Kok selalu tertidur semasa mengajar. Masa kami asyik disuruh menyebut a man, a pan, a man and a pan, a pan and a man … itu dia mula tertidur (dan ini mengingatkan saya kisah Cikgu Shaari dalam filem Masam-masam Manis yang dilakonkan oleh P. Ramlee dan Sharifah Hanim). Dalam kisah kami ini, kami tidaklah sampai hati untuk keluar kelas beramai-ramai tetapi seorang pelajar Kalsom Harun yang cukup berani itu menyergah Mr. Kok sehingga dia terperanjat dan terjaga! Selepas peristiwa itu kuranglah sedikit tidurnya di dalam kelas. Oh, ya! Di manakah si Kalsom yang berani itu sekarang? Beliau berkahwin dengan orang Singapura dan kini menetap di negara pulau itu. Ada saya menemui beliau beberapa tahun dahulu ketika beliau balik ke Kuantan menghadiri perkahwinan anak saudaranya, dan dia masih mengingati peristiwa nakalnya itu.

Selepas kira-kira sebulan belajar, Guru Besar memanggil Jamaluddin Mat dan saya ke pejabatnya memberitahu khabar yang menggembirakan, iaitu kami dipilih oleh guru yang mengajar bahasa Inggeris sebelah petang itu untuk ditawarkan belajar di Abdullah School, Kuantan, dengan memasuki Special Malay Class dahulu. Guru Besar meminta kami memberitahu ibu bapa masing-masing untuk mendapatkan kebenaran dan persetujuan.

Mula-mulanya saya memberitahu hal itu kepada sepupu saya. Beliau tidak dapat memberikan kata putus, selain menyatakan tahun depan saya mungkin berpeluang memohon jadi guru, itu akan lebih baik kerana kelak dapat melanjutkan pelajaran di Tanjong Malim. Lagi pun, katanya, belajar di sekolah Inggeris ini kena bayar yuran. Beliau mencadangkan agar saya balik dulu ke kampung berbincang dengan Emak dan Encik.

Saya balik ke kampung menaiki bas tengah hari dan turun di Lamir. Dari Lamir, sebagaimana biasa saya berjalan kaki ke Ganchong. Mula-mula menyeberang Sungai Pahang Tua dengan menyewa perahu Awang Selan, bayarannya 10 sen sahaja. Dari situ berjalan kaki lagi. Saya singgah sebentar di rumah Abang Bakar di Pulau Rusa. Rumahnya bukan di tepi jalan, tetapi kena mengikut jalan lain kira-kira satu batu setengah melalui kampung dan kebun getah. Saya mengambil kesempatan berjumpa Abang Bakar untuk menyampaikan berita tawaran ke sekolah Inggeris itu. Setelah berehat sekejap di rumah Abang Bakar, saya meneruskan perjalanan yang berbaki enam batu lagi itu.

Emak dan Encik tidak berapa tahu sangat selok-belok persoalan ke sekolah Inggeris ini. Memanglah, dari segi yuran dan belanja lain menjadi masalah. Kami berbincang dengan Abang Bakar yang datang ke Ganchong hari itu. Abang memberikan pendapatnya begitu juga. Abang Othman masa itu telah melanjutkan pelajaran ke Junior Technical (Trade) School, Jalan Maxwell, Kuala Lumpur. Kalau kena guna duit, kita kena carilah, kata Abang Bakar. Tapi pandangan Abangteh Hussain itu molek juga difikirkan. Dalam keadaan ketiadaan kata bulat itu saya kembali ke Kuantan. Dan, dalam perjalanan pulang saya sendiri membuat keputusan yang saya tidak akan memasuki sekolah Inggeris, sebaliknya akan terus belajar bahasa Inggeris sebagaimana yang ada sekarang.

Saya tunggu Jamaluddin Mat yang mendapatkan kebenaran bapanya di Taiping. Di Kuantan dia tinggal bersama-sama abangnya yang bekerja di Airport Kuantan (sehingga Jamaluddin sendiri lebih dikenali sebagai Jamaluddin Epot). Dua tiga hari kemudian Jamaluddin balik. Sebelum dia memberitahu saya, saya yang memberitahu dia mengatakan saya tak dapat ke sekolah Inggeris kerana tak cukup duit belanja. Jamaluddin mengatakan beliau juga seperti saya dan sangat gembira kerana saya juga seperti dia. Itu dia!

Keputusan kami itu kemudiannya kami sampaikan kepada Guru Besar kami. Beliau turut menasihatkan kami supaya terus belajar dan tahun hadapan boleh memohon untuk menjadi Guru Pelatih.

Semasa saya terpilih menjadi Guru Pelatih kemudiannya, Jamaluddin telah berpindah ke Taiping dan saya tidak mendengar khabar tentangnya. Walau bagaimanapun, semasa saya membawa pasukan Pengakap Pahang menyertai Jambori Malaya di Kem Maju, Taiping saya bertemu semula dengan Jamaluddin, dan beliau juga menjadi guru. Saya berpeluang berjumpa beliau beberapa kali di tempat yang berasingan – termasuk di Penang Road semasa dia membawa radio untuk dibaiki di salah sebuah kedai elektrik di sana – dan sempat bercerita tentang nasib kami yang terbuka peluang untuk ke sekolah Inggeris tetapi dihalang oleh masalah kewangan.

Saya sendiri tidak sedikit pun merasa menyesal di atas peristiwa tidak masuk ke sekolah Inggeris itu, kecuali ada kemahuan di hati kecil saya untuk menjadi Pengakap Laut sekiranya saya dapat bersekolah di Abu Bakar School, kerana di situ sahajalah ada pasukan pengakap laut di Kuantan. Hasrat itu sampai akhirlah tidak tercapai. Tak mengapalah.

Dalam Darjah Tujuh pada masa itu ada empat orang murid yang berbadan kecil berbanding dengan orang lain, iaitu Hassan Haji Ali, Fuaddin Suddin, Abdul Manaf Othman dan saya sendiri. Abangteh Hussain kerap menasihati saya supaya selalu mengatasi orang yang bertiga itu. Memang, mereka adalah murid yang pintar, terutama Hassan dan Fuaddin. Semasa hari pertama di Kelas Darjah Tujuh itu Fuaddin pernah membantu dan menunjukkan saya cara melukis menggunakan pensil warna Cap Luna, kerana kami di Ganchong hanya melukis menggunakan pensil hitam Cap Venus 6B sahaja. [Hassan Haji Ali dilantik menjadi guru sama sehari dengan saya tetapi memasuki SITC lebih awal daripada saya. Walau bagaiamanapun memasuki universiti - UKM - kemudian daripada saya. Beliau pernah menjadi Pensyarah Fakulti Ekonomi UKM dan UUM; Fuaddin berpindah ke Kota Bharu mengikut ayahnya seorang Pegawai Kastam dan beliau ditimpa kemalangan menyebabkan kecacatan fizikal, tetapi saya tidak pernah bertemu dengannya; Abdul Manaf, anak Cikgu Semek yang mengajar di SM Perempuan Galing itu menjawat jawatan Pegawai Kerani di SUK dan kemudiannya menjadi Pegawai Yayasan Pahang sehingga beliau bersara. Yang seorang lagi, sayalah! Saya berasa pelik bagaimana sepupu saya boleh menelah kebolehan kami pada masa itu dan telahannya tepat!].

Thursday, March 6, 2008

Manisnya Zaman Remaja

Meninggalkan SM Ganchong

Maaf, saya menggunakan kata 'manis' dalam judul blog ini bukan semata-mata untuk menggambarkan peristiwa yang seronok dan menyenangkan, tetapi lebih kepada perkara yang mengesankan di hati, sesuatu yang seronok untuk diingat walaupun kesannya tidak 'semanis madu'.

Peristiwa saya jatuh dari pokok kelapa (Tinggal Kenangan III) berlaku semasa saya dalam Darjah Lima, iaitu semasa cuti ahkir tahun sebelum memasuki Darjah Enam. Abang Othman telah bersekolah di Kuantan, tinggal di rumah sepupu kami Hussain bin Haji Aris. Tidak lama selepas itu Encik ditimpa kemalangan kerana dihempap dahan getah ketika dia menutuh getah yang menghala ke pokok kabung yang dia sedang menyadap niranya. Kemalangan itu tidaklah serius sangat, tetapi saya tahu Encik memang seorang yang tahan bersakit. Suatu ketika dahulu beliau pernah dihempap durian di kepalanya dan dia tidak kelihatan sakit benar. Beberapa minggu kemudian ketika Emak mencukur rambut Encik, emak terkejur kerana duri durian yang telah kering masih terlekat pada kulit dalam rambut Encik.

Semasa saya dalam Darjah Enam Encik berbincang dengan emak dan Abang Bakar tentang cadangannya hendak menyekolahkan saya di Sekolah Arab Ketapang. Encik memang mengenali beberapa orang mualim di situ, termasuklah Mualim Abdul Wahid, Ustaz Abdul Kadir dan Mualim Hassan yang menjawat jawatan Mudir di situ. Maalim Wahid dan Ustaz Kadir memang kenalan baik Abang Bakar kerana Abang pernah belajar di sekolah Arab yang sama dahulu.

Antara persediaan memasuki sekolah Arab Ketapang pada masa itu, selain mendapatkan kebenaran pihak Mudir, mestilah menempah tapak untuk pondok kediaman dan masuk ke hutan meramu bahan-bahan untuk pondok seperti kayu bulat, kulit kayu atau pelupuh untuk dibuat dinding. Atap daun nipah memang ada di Pekan kerana orang kampung pun membeli atap nipah dari Pekan. Penjual atap di Pekan dikenali dengan nama Pak Teh Manah. Abang Bakar berjanji dengan Abangteh Min (Mat Yamin bin Mahmud – sepupu sebelah ayah) dan beberapa orang kawan mereka untuk meramu sama ada di Darat Silih atau kawasan Sungai Chawi yang memang banyak pokok yang diperlukan untuk kegunaan membuat pondok.

Belajar di Sekolah Arab di Pekan bermakna saya kena tinggal di pondok. Tinggal di Pondok bermakna makan minum dibuat sendiri. Budak-budak Ganchong ada yang memondok di Ketapang tetapi kebanyakannya di Kampung Mengkasar. Dari Kampung Mengkasar ke Ketapang jauh juga kena berjalan – kira-kira dua batu lebih, tetapi perjalanannya melalui bandar Pekan, jadinya tidaklah terasa sangat (barangkali).

Saya pun tidak berapa mengenali budak-budak Ganchong yang belajar di sekolah Arab. Keadaan di Pekan pun saya tidak tahu sangat, yang biasanya ialah di bandar Pekan sahaja. Alasan itu, dan alasan-alasan lain, mungkin menyebabkan hati saya berat untuk belajar di Sekolah Arab Ketapang.

Saya akhirnya melakukan slow-talk dengan Emak. Saya memang cuba mengelakkan daripada melanggar cadangan Emak. Kalau dia tidab bersetuju mungkin saya akan mengikut sahaja kehendaknya. Sebaliknya, Emak memang tidak pernah memaksa, dan selepas beliau berbincang dengan Encik, Encik juga tidak memaksa. Ketika Abang Bakar datang beberapa hari kemudian mereka membatalkan untuk meramu kayu pondok yang mereka putuskan itu.

Semasa Darjah Enam saya pergi ke Kuantan buat pertama kalinya. Pada masa itu Abang Othman memang telah berada di Kuantan. Emak membawa barang-barang makanan, termasuklah beras, untuk diberi kepada Abangteh Hussain. Mereka tinggal di No. 8, Tanjung Api, Kuantan, iaitu sebuah kuartes kakitangan kerajaan. Rumah itu adalah rumah bunglo dan agak terpisah daripada rumah orang lain. Di seberang jalan ialah berek kakitangan Pejabat Kesihatan. Jauh di sebelah kiri sebuah banglo lebih besar yang didiami oleh seorang Melayu Penolong Pegawai Daerah Kuantan.

Pertama kali ke Kuantan itu bermakna saya mengalami pertama kali menaiki bas. Kami menaiki bas Bee Huat dari Pekan Seberang, melalui Tanah Putih dan berhenti di Lamir, akhirnya menyeberangi Sungai Kuantan dengan feri sebelum sampai ke Kuantan. Sebenarnya sebaik-baik sahaja bas menaiki tebing sebelah Kuantan, saya terlihat sebuah patung dalam kuil Hindu di situ, seorang lelaki yang bermuka garang mengangkat sebilah parang yang berkilat. Saya berasa sedikit gentar melihat fenomena menakutkan itu.

Dalam perjalanan tadi saya memang berasa pening kepala dan loya seperti hendak muntah. Emak kata saya mabuk naik bas. Betullah! Sebaik-baik sahaja kaki saya mencecah tanah, saya terus termuntah.

Saya tidak ingat lagi bagaimana caranya kami bertiga sampai ke Tanjong Api pada hari itu. Mungkin berjalan kaki, atau mungkin juga kami menaiki beca roda tiga yang kami panggil teksi itu.

Semasa di rumahnya inilah Abangteh Hussain memberitahu Encik dan Emak cadangan beliau supaya saya bersekolah di Kuantan dan tinggal di rumahnya. Encik dan Emak berasa berat juga kerana Abang Othman telah tinggal di situ, ini ditambah pula dengan saya seorang lagi. Abangteh Hussain memberitahu mereka, fasal belanja tak usahkan digaduhkan sangat, ada barang-barang makan seperti beras-ketas dan sayur-mayur kalau ada dan nak bawa, bawalah, tak ada apa nak buat, makanlah apa yang ada di rumahnya.

Balik ke kampung saya masih memikirkan soal bersekolah di Kuantan itu. Encik dan Emak barangkali lebih daripada sayalah banyak perkara yang difikirkannya. Persoalan yang paling besar bagi kami ialah belanja. Hasil getah dari kebun yang di sekeliling rumah kami tiga atau empat keping sahaja sehari. Yang menorehnya, Emak. Setelah siap, Encik menangkat susunya di dalam baldi. Sementara itu Emak bekerja di dapur. Siap Emak memasak, Encik siap juga mengangkat susu getah dan Emak turun tolong menakung. Mesin getah memang dekat dengan rumah kami, dan ketika menakung dan memesin getah suasana menjadi lebih meriah kerana ramai orang mula datang: Pak Busu Daud dengan isterinya Abang Asiah, Sulong Kechik, Deraman Belontok dengan isterinya Temah, Mahat dengan isterinya Teh, Pakngah Kawi dengan isterinya Kiah, Ngah Bidek dengan isterinya Yang, dan Hamzah Togok. Halaman rumah kami menjadi semacam pesta kecil sementara menanti getah di dalam takungan beku uintuk dimesin, mula-mula tiga atau empat kali dengan mesin licin dan diakhiri dengan mesin bunga. Dan pesta ini selesai sebaik-baik semua getah siap dimesin untuk menjadi getah keping. Semuanya balik ke rumah masing-masing, mandi, sembahyang zohor, berehat sebentar untuk menunggu membuat kerja-kerja lain seperti memerun tanah cerang, menengok padi di sawah, mengambil air nira kabung, menanam jagung di atas pulau di tengah-tengah Sungai Pahang.

Selepas asar. para wanita biasanya bermuafakat lima enam orang pergi mengail potak, haruan, kepar, tebakang, keli, limbat dan pepuyu di sawah yang anak padinya mula mengeluarkan empat lima helai daun muda. Mereka jarang pergi sendirian kerana kawasan paya Permatang Silih kerap terserempak dengan Pak Belang, terutama di kawasan tanah cerang. Meskipun raja rimba itu tidak pernah mempengapakan penduduk kampung, malah tidak pernah masuk kampung, tapi ia tetapi ditakuti dan perlu dihindari sedapat mungkin.

Kumpulan wanita yang bersepakat pergi mengail itu biasanya menetapkan tempat mereka harus berkumpul. Disebabkan rumah Yang Bidek merupakan rumah terakhir sebelum meredah hutan dan belukar untuk sampai ke paya, di situlah mereka berkumpul. Setiap orang membawa joran kail sama ada daripada pelepah rembia, pelepah rengkam, buluh cina atau dahan leban. Tali kail diperbuat daripada benang nombor delapan atau kulit pokok terap yang dipinta sering. Umpan kail biasanya cacing tanah yang digali di belakang rumah dan diisi di dalam tempurung kelapa dengan tanah penuh di dalamnya. Untuk mengelakkan kepala daripada dipanah cahaya matahari petang mereka mengikat dan melipat kain batik atau kain pelikat di atas kepala dengan ikatan yang khas, menjadi seolah-olah topi yang hujungnya terjuntai menutup bahagian tengkuk. Ada yang membawa bakul tangkin untuk tempat menyimpan tangkapan sekiranya ada rezeki nanti. Yang tidak membawa bakul tangkin boleh menggunakan batang bemban atau ranting senduduk dijadikan alat mencucuk insang ikan setelah terkena kail. Hampir semuanya membawa sebilah parang laka yang boleh digunakan untuk pelbagai keperluan: memotong dahan kayu, menebas rumput benta, menyiang ikan, malah boleh juga digunakan sebagai senjata sekiranya terserempak dengan ular atau lipan tanah. Ada juga yang membawa kopi o di dalam botol berwarna hijau tua atau coklat, iaitu botol bekas cuka getah atau kicap yang ditutup dengan sabut kelapa, untuk diminum bersama-sama semasa mengail nanti.

Kalau musim padi mula mengeluarkan buah, kanak-kanak lelaki mula tidak lekat di rumah. Mereka membuat serungkup dijadikan perangkap untuk menangkap burung wak-wak. Pada musim padi mula membesar inilah burung ini banyak di kawasan sawah, yang kadang-kadang turut sama burung pucung, sintar, puyuh malah bangau dan belibis. Burung di atas pokok pula ialah berkek, bakok dan punai. Burung belibis, bangau, bakuk dan punai itu bukan kerja budak-budak menangkapnya. Walau bagaimanapun menangkap burung wak-waklah yang paling mudah. Abang Othman pandai membuat serungkup. Umpannya tidak susah, ambil sahaja setangkai padi dan gantungkan pada tali pesawat pembingkas serungkup: praap! Rasa engkau! Kami kurang suka kalau serungkup kena burung pucung, terutama pucung merah. Burung ini tidak berdaging: kaki dengan leher sahaja yang panjang. Abang Bakar pernah memberitahu, pada zaman dahulu, ketika zaman kemarau dan ketiadaan makanan, burung-burung berdoa kepada Tuhan supaya diberikan rezeki. Ada yang meminta makan dua kali sehari, tiga kali sehari, lima kali sehari – mengikut hajat masing-masing. Kononnya, si pucung telah tersalah doa: dia memohon untuk mendapat rezeki lima kali sehari tetapi susunan ayatnya tidak kemas, malah terbalik, kerana katanya dia mohon mendapat rezeki lima hari sekali. Itulah konon nasib pucung yang hingga ke anak cucunya kurus kering melidi mencari rezeki. Cerita ini mungkin tidak berapa boleh dipercayai, tetapi pengajaran daripadanya tetap ada; sekurang-kurang untuk bercakap atau menulis, susunan kata-kata mestilah kemas dan betul seperti kaedah nahu!

Jikalah sekiranya saya jadi pindah ke Kuantan, suasana yang selama ini menyebati dalam diri dan kehidupan saya, terpaksalah ditinggalkan. Mungkin ditinggalkan buat selama-lamanya, siapa tahu?

* * *

Di sekolah sendiri banyak perkara yang berubah. Cikgu Othman Ismail telah lama bertukar ke Kuantan. Tempatnya diganti oleh Cikgu Abu Bakar Shariff. Pihak sekolah merasakan perlu dibuat sekolah tambahan bagi menampung pertambahan murid; tetapi pada zaman itu pembinaan bangunan sekolah tidaklah sesenang yang berlaku pada zaman itu. Akhirnya orang-orang kampung mengumpul wang serba sedikit dan meramu perkakas rumah ke hutan. Mereka bersetuju membina bangunan baru di bahagian sebelah darat sekolah, bersebelahan padang bola. Bangunan itu tidak berapa jauh dari tempat yang dinamakan Alur Tuk Janggut. Kawasan itu dikatakan sebagai satu kawasan yang keras. Ada penunggunya. Pak Zek, budayawan Pahang yang terkenal itu pernah memberitahu saya di Alur Tuk Janggut itu ada barang-barang lama seperti pinggan mangkuk yang tertanam. ”Kalau awak tak percaya, pergilah gali,” kata beliau mencabar saya.

Saya bukannya tidak percaya percakapan Pak Zek itu, tetapi sampai sekarang saya tidak berani menyambut cabarannya. Manalah terdaya dengan kudrat dan iradat saya seorang! Semasa orang membuat jalan raya berhampiran kawasan itu dahulu tidak pula terdengar mereka menemui sesuatu yang pelik di situ. Mungkin tidak cukup dalam tanah yang dicengkau oleh jengkaut JKR, atau harta karun itu terletak di tempat lain, beberapa inci sahaja daripada jalan raya itu. Wallahu a’lam.

Keistimewaan Banjir

Sebagaimana lumrah, hujung tahun tibalah musim bah. Bah tahun itu tidaklah besar sangat. Saya melihat air Sungai Pahang telah memenuh, tetapi masih belum melimpah ke tebing. Di bahagian hujung tanah kami yang di tepi sungai ada kawasan rendah. Saya dengan kawan-kawan mula merancang sesuatu bagi membantu Sungai Pahang supaya cepat menjadi bah. Kami mencari cangkul dan mencangkul tanah di kawasan lekuk itu dan menyambungkannya ke sungai. Apatah lagi, air sungai itu pun teruslah memasuki kawasan itu dan sedikit demi sedikit meresap ke kawasan tebing yang lain. Telah sahlah bah telah berlaku di kampung kami dan kamilah yang memulakannya!

Pada malam itu air terus naik, bukannya disebabkan usaha kami tadi, tetapi memang Sungai Pahang telah penuh. Keesokan paginya kawasan halaman rumah kami telah digenangi air. Air banjir.

Petang itu Encik mengajak saya pergi menyawar di kawasan belakang rumah kami. Air mula deras, datangnya daripada alur terus menuju ke bahagian hilir rumah kami, melalui celah-celah pohon getah, kabung, tukas, pisang, durian. Encik memotong anak-anak kayu dan mencacakkan ke tanah. Kayu itu tergoyang-goyang digegar arus air yang semakin deras. Kemudian dia memotong pelepah kabung, dibaringkannya di atas kayu yang tercacak tadi, dan kini menjadi seolah-olah kubu daripada daun dan batang kayu. Itulah yang kami namakan sawar tadi. Panjangnya sawar yang dibuat oleh Encik itu kira-kira sepuluh depa, berbantuk seperti huruf V. Encik kata, ini sawar siku keluang namanya. Di bahagian tengah, iaitu bahagian kaki huruf V itu diletakkan sebuah lukah, mukanya menghadap berlawanan dengan arah air mengalir. Kemudian Encik memancas-mancas pokok kecil di bahagian atas sawar dan daun serta ranting pokok itu terus hanyut dan lekat pada sawar kami yang kini menjadi semakin rapat.

Lukah yang dipasang pada sawar itu tadi diberinya pancang dan diikat teguh. Kalau tidak pastilah lukah itu hanyut dibawa arus yang semakin kuat. Disebabkan lukah kami tidak tenggelam sepenuhnya, Encik menutup bahagian lukah yang kelihatan itu dengan daun-daun kayu. Saya merasa suatu kenikmatan mendengar deruan bunyi air deras yang tersekat oleh sawar kami tadi. Saya cuba bertanya Encik, mengapa muka lukah itu tidak dihalakan ke arah datangnya arus, tentu lebih senang ikan masuk. Beliau memberitahu saya, ikan bukannya datang mengikut arus, tetapi melawan arus. Kalau muka lukah dipasang ke arah arus, yang masuk bukannya ikan, tetapi daun-daun dan reba kayu yang hanyut dari hulu. Oh, patutlah! Ada pepatah berbunyi:

lukah mengena
kerana ikan menyongsong arus.


dan,

kalau ikan tidak menyongsong arus
takkan masuk ke dalam lukah.

Keesokan harinya, pagi-pagi lagi saya mengikut Encik pergi melihat lukah kami. Air banjir nampaknya semakin naik dan lukah kami tidak kelihatan lagi. Sawar yang dibina semalam masih utuh. Apabila Encik mengangkat lukah, alangkah gembiranya kami dua beranak kerana tidak kurang daripada dua puluh ekor ikan menggelepas di dalamnya. Kecuali dua ekor anak baung dan seekor anak sengiring, semua yang lain ialah ikan pahang. (Kami panggil ikan yang terdapat di Sungai Pahang seperti terbul, loma, kerai, lampam, kepiat, batulu, jelawat, temperas, seluang, tengalan sebagai ikan pahang). Ikan itu terus dimasukkan ke dalam perahu dan ditutup dengan daun kabung untuk mengelakkannya daripada menggeletek dan terlepas semula ke air.

”Petang karang kita angkat sekali lagi lukah kita,” kata Encik. Setelah memeriksa kalau-kalau ada bahagian sawar kami yang berlubang, kami balik ke rumah yang tidak berapa jauh dari situ. Emak terus menyiang ikan. Sisik dan kotoran itu dibuangnya ke bawah rumah dan saya ternampak banyak anak ikan yang memakan bahan buangan itu. Pelik juga: ikan makan ikan. Mungkin mereka tidak menyedari yang dimakannya itu isu perut kawan-kawannya sendiri. Selepas itu, saya merasakan petang semakin lambat sampainya. Saya tak sabar lagi hendak pergi mengangkat lukah buat kali keduanya.

Semasa bah, hawa pada waktu malam sangat sejuk. Kesejukan itu bertambah-tambah sekiranya angin bertiup kencang yang disekalikan dengan hujan monsun timur laut. Meskipun banjir, orang-orang muda di kampung ini masih meneruskan berlatih dikir bebana di rumah Ayahuda Jaafar yang jaraknya lebih kurang lima rantai dari rumah kami. Walaupun sayup, tapi saya masih mengenali suara Mat Sood, Azit, Andak Omar, Pak Tunggal Ming dan Paklong Awang Masam. Mereka adalah tokoh dikir bebana generasi muda kampung kami. Generasi tua seperti Ayahuda Jaafar, Ayahngah Mat Jelatat, Ayahngah Mamat Bekas Mukim, Ayahuda Nan, Pakoda Jalil dan Ayahbusu Sentol cuma mengajar anak-anak muda kampung sekali-sekala. Mereka tidak terdaya lagi berjaga malam.

Kampung kami memang antara kampung yang terkenal dengan pasukan dikir bebana. Kepandaian berdikir ini sebenarnya turun-temurun dari genarasi yang lebih awal. Ibu dan bapa Ayahuda Jaafar merupakan pendikir yang disegani sehingga dijemput mempersembahkan dikirnya di istana Sultan di Pekan.

Suara mendayu-dayu menarik lagu Habibun bercampur dengan decipan air bah di bawah rumah yang melanggar tiang-tiang rumah, buluh tiang sangkak ayam yang di atasnya ayam betina berwarna hitam berbintik-bintik sedang mengeram telur. Dua tiga hari lagi menetaslah telur itu, kata Emak. Encik telah pun menyediakan sebuah rakit batang pisang yang dialas dengan dua keping papan untuk dijadikan tempat meletak anak-anak ayam sekiranya menetas semasa banjir ini.

Sepanjang musim banjir tidak pernah ada sebarang bantuan daripada sesiapa, baik kerajaan, baik sesiapa sahaja. Kami orang-orang kampung memang pandai sendiri menyelesaikan masalah sendiri. Tidak ada orang menyuruh berpindah atau menyuruh supaya jangan berpindah. Tidaklah pernah berlaku kelaparan apatah lagi kebuluran apabila seluruh kampung dilanda banjir. Tidak seperti sekarang, lambat banjir sahaja, berebut-rebutlah orang mengisi borang mendapatkan bantuan. Ramai orang komplen kerajaan tidak memberi ganti rugi kepada mangsa banjir. Barangkali ada di kalangan mereka yang memikirkan kerajaanlah yang mencurah air berjuta-juta tan di hulu sungai, yang menyebabkan banjir berlaku! Ada yang mengambil kesempatan: seorang pegawai di taman perumahan saya memberi bantuan kepada anaknya pada hal rumahnya tidak terlibat dengan banjir, cuma jalan besar menghala ke rumahnya sahaja yang berair, itu pun tidak sampai ke takat keting. Tanpa malu-malu dia yang menguruskan pemberian bantuan kepada murid-murid memasukkan nama dua orang anaknya sebagai mangsa banjir dengan mengatakan bantuan itu memang hak anaknya, padahal bapa mertua dan pegawai itu suami isteri bukanlah calang-calang kaya: kapal di laut, gedung di darat, bak kata Haji Bakhil dalam filem Labu Labi arahan Tan Sri P. Ramlee itu. Tidak mengapalah, ini semua rahmat negara merdeka.

Banjir yang melanda kampung kami pada tahun itu tidaklah berapa besar, dan tempoh banjir pun kurang daripada seminggu. Apabila ada tanda banjir akan surut Ayahuda Jaafar mengajak anak murid dikirnya melakukan satu upacara, iaitu Upacara Menghantar Bah Surut. Upacara ini kerap dilakukan sejak dari zaman dahulu lagi. Mereka menaiki beberapa buah perahu, sambil berkayuh sambil berdikir, berhanyut perlahan-lahan mengikuti air menghilir. Perkara ini dilakukan dengan maksud menghantar air dengan harapan jangan lagi berlaku banjir pada tahun itu, atau pada masa hadapan. Terdapat suasana sedih, syukur dan syahdu di atas rahmat dan cubaan Allah SWT kepada kami hambanya, semasa majlis ini dijalankan.

Tahun itulah tahun terakhir saya menikmati suasana banjir dalam erti kata sebenarnya. Tahun berikutnya saya bersekolah di Kuantan, yang kadang-kadang semasa banjir saya tidak berada di kampung. Selepas belajar dan mengajar di Kuantan saya berpindah pula ke Tanjung Malim, kemudian Padang Tengku. Beberapa tahun selepas itu saya kembali mengajar di kampung tetapi masa itu tidak ada banjir berlaku. Kemudian mengajar di Pekan dan bertugas sebagai Jawatankuasa Banjir. Semasa di Universiti Malaya banjir besar berlaku di Pahang, tetapi saya tidak dapat balik. Setelah tamat dari UM saya mengajar di Jerantut; semasa banjir saya bertugas sebagai Jawatankuasa Banjir Daerah. Semasa di Raub tidak berlaku sebarang banjir. Apabila berpindah semula ke Kuantan umur pun meningkat, sekiranya kembali ke kampung musim banjir, nikmat yang telah dialami dahulu mustahillah dapat saya rasai kembali.

Saya sentiasa menghargai masa lampau saya dengan penuh kesyukuran. Tak mengapalah masa depan!

* * *

Selepas banjir masyarakat Ganchong mula membina sekolah tambahan. Tiangnya kayu tembesu bulat. Dinding papan dan bahagian atasnya dipasang kisi-kisi hingga mencecah peran. Atapnya atap nipah yang dibeli dari Pekan. Bangunan itu boleh bermuat tiga buah kelas yang dipisahkan oleh pengadang yang dibuat daripada papan kayu lapis. Di bahagian tengah bangunan diberi menganjung hala ke padang sekolah sekadar boleh bermuat sebuah meja pingpong. Semasa pengajian dijalankan guru yang menunggu giliran mengajar atau selepas mengajar menggunakan meja itu sebagai meja guru. Ada empat atau lima buah kerusi bagi kegunaan guru diletak di sekeliling meja pingpong itu. Lantai seluruh bangunan baru itu dilepa dengan tanah liat berwarna coklat tua - warna tanah yang sebenarnya. Baunya sungguh wangi dan menyegarkan – bau tanah yang sebenarnya. Semakin lama tanah itu semakin kejat kerana kena pijak oleh murid-murid dan guru-guru.

Saya tidak lama belajar di bangunan baru ini, kerana kira-kira sebulan selepas itu saya menyambungkan pengajian ke Sekolah Melayu Laki-laki Kuantan, yang pada masa itu mengambil masa empat setengah jam perjalanan untuk ke sana.