Monday, February 11, 2008

SITC: Ini Anakmu Datang!

KELAS SATU 'A' 1957

1957: Akhirnya saya terpilih melanjutkan pengajian ke SITC. Tanjung Malim, here I come!

Tahun ini tahun ketigalah saya menjadi Guru Pelatih di Sekolah Melayu Laki-laki Kuantan, iaitu sekolah yang sama saya belajar dua tahun dalam Darjah VII. Tahun pertama menjadi guru pelatih saya tidak terpilih ke SITC. Kawan sejawatan HASSAN @ RAHMAT bin HAJI ALI seorang sahaja dari sekolah kami yang berjaya. Terus terang saya katakan pada masa itu saya tidak berasa sedih sedikit pun dengan peristiwa itu. Tahun kedua (1956) juga gagal, tapi kegagalan kali ini amat memeritkan. Saya bertekad bersungguh-sungguh agar peristiwa ’hitam’ dalam kerjaya saya ini tidak berulang lagi. Turut mendukacitakan saya ialah sepupu saya, Cikgu HUSSAIN bin Haji ARIS tempat saya menumpang tinggal semasa belajar di Kuantan dan kemudiannya semasa menjadi guru pelatih turut menasihati saya di samping tidak menyangka saya sampai boleh gagal begitu sekali. Saya berasa tersangat malu. Memang, sebenarnya saya tidak ambil kisah sangat membuat persediaan menduduki peperiksaan ke SITC. Saya seolah-olah 'mabuk' dengan pekerjaan guru pelatih dengan gaji sebanyak $97.00 sebulan itu. Jikalau tak dapat ke SITC kali ini saya juga telah membuat persediaan lain iaitu memohon kebenaran Pejabat Pelajaran untuk mengikuti Kelas Guru Normal. Permohonan itu diperkenankan saya telah mula belajar dalam Kursus Tahun Pertama. Ini bermakna, kalau gagal ke SITC saya telah berada dalam Tahun Kedua Latihan Normal yang semuanya berjumlah tiga tahun itu.

Ada sembilan orang guru pelatih dari Pahang yang terpilih ke SITC tahun 1957. Biasanya kouta Pahang lapan orang sahaja. Ini bermakna tahun ini salah seorang daripada kami termasuk dalam senarai Persekutuan. Kouta Persekutuan ini diberikan kepada mareka yang mencapai tahap tertentu dalam peperiksaan masuk ke Maktab. Mereka ialah: 1 ABDUL HAMID bin ISMAIL (Jalan Padang Polo, Pekan); 2. ABDUL MALEK bin ABDUL RAHMAN (102 Telok Sisek Road, Kuantan); 3. ABDUL RAHMAN bin KADIR (Batu 11, Kampung Awah, Temerloh); 4. ABU BAKAR bin YUSOF (Kampung Sungai Badak, Batu 6 Jalan Benta, Jerantut); 5. ISMAIL bin ABDUL LATIF (Kampung Marhum, Pekan); 6. SHAMSUDDIN bin AWANG (Kampung Macang Gelap, Chenor, Temerloh);7. YAAKUB bin ISA (Kampung Kiambang, Ganchong, Pekan); 8. ZAKARIA bin PUTEH (Kampung Kelola, Jerantut); 9. ZAKARIA bin SULONG (Kampung Sega, Raub). [Catatan: Pemilik nama yang bertanda merah itu telah meninggal dunia].

Ada sedikit masalah tentang ketibaan kami di Tanjong Malim. Pihak maktab telah memaklumkan kepada Pejabat Pelajaran Pahang penundaan tarikh pendaftaran selama lima hari, tetapi pengumuman itu tidak sampai ke tangan kami. Dah sampai takkan nak balik semula. Kami menunggulah tarikh sebenar. Pada masa itu Tanjung Malim termasuk di dalam kawasan hitam. Nasi tidak dibenarkan dijual di restoran, takut jatuh ke tangan komunis. Kami makan mee rebus, kuih pau dan itu ini di kedai Yip Mun. Takkan tak kenal Yip Mun kot! Kami panggil dia Panjang (namanya Pan Yang). Kedai itu sangat terkenal dengan 'pau tanjung malim' hinggalah ke hari ini. Biarlah hal ini saya ceritakan kemudian. Dan sepanjang tempoh kami tidak diberi sebarang tugas itu, kami mengenali seorang demi seorang ’tokoh’ kolej: PAK LATAN bin ANDAK, PAK ABAS, PAK USOP JAGA, PAK DERIS (kepala Tukang Masak), ABANG ALWI (pekerja yang bertugas di sick bay), ATI (pemilik Tuck Shop). Sebagai seorang Jaga, Pak Usop tahu semua ceruk kawasan Kolej yang ada hantu dan yang tak berhantu. Dalam sepuluh tajuk ceritanya mesti ada enam buah cerita hantu. Takut juga rasanya hendak tinggal di Tanjong Malim yang berhantu ini! Taoi, apakan daya, perahu dah terlajak. Pak USOP tahu di mana Jepun memancung kepala orang. Cerita ngerinya kerap dibungai dengan ketawa kuat yang berdekah-dekah dan ketawanya itu boleh diberhentikan secara abrupt, tanpa terdapat sebarang kesan pada mukanya yang dialah sebentar tadi yang sebenarnya ketawa. Katanya, kemahiran berhenti ketawa secara serta merta ini diperolehinya semasa menjadi anggota volunteer sebelum perang dahulu.

Dari sehari ke sehari, di Asrama Patih Gajah Mada, selama menunggu lima hari itu kawan-kawan terus berdatangan: mula-mula ABDUL HALIM HASHIM dari Kedah, lepas itu YAHAYA SAMAH (bukan novelis itu) dari Setiawan, kemudian MOHD. ALWI TAIB, SALAM MOHD. NOH menambah bilangan asal iaitu saya dan ABDUL HAMID ISMAIL (dari Pahang). Abdul Halim Hashim ini bercakap pekat loghat Kedah. Dia datang dari Alor Merah, katanya. Itulah pertama kali saya mendengar nama itu. Dia sentiasa memakai songkok ke mana saja dia pergi. Seluar yang dipakainya tiga lapis: seluar dalam, seluar pendek dan diikuti seluar panjang. Katanya dia tidak puas memakai seluar panjang dengan seluar dalam! Saya agak dia ini memang orang kampung betul-betul. Tabiat memakai songkok ini rupa-rupanya tidak lama diamalkan oleh Halim, kerana kalau dia meneruskan tabiat klasiknya ini, dia seorang sahajalah yang memakai songkok di Kolej ini.

Dan saya pun mulalah berhadapan dengan fenomena percakapan yang agak asing di telinga saya. Saya tidak bersetuju sangat dengan orang Negeri Sembilan menyebut tarik menggantikan perkataan ambil dalam frasa Siapa tarik kasut den hah?, di samping eden, den, ekau. Di telinga saya, orang-orang sebelah utara bercakap agak kasar, terutama menggunakan gantinama kau dan aku. Orang-orang dari bahagian selatan negeri Perak pula rasanya macam tak kena apabila menyebut mutu bagi motor dan idak bagi tidak. Ketidakselesaan linguistik ini hanya saya pendam untuk dideritai oleh saya sendiri sahaja, dan dalam masa yang sama saya juga mengamalkan sikap adopt and adapt dalam usaha menyesuaikan diri saya dengan alam sekeliling yang serba baru itu.

* * *

Apabila tiba harinya, pagi-pagi lagi kami dikehendaki berkumpul di Dewan Besar. Pada masa itu dewan itu rasanya betul-betul besar! Pentasnya hebat (kini tidak terasa lagi besarnya kerana banyak bangunan lain yang lebih besar, dan pentas tempat kami kerap mengadakan aktiviti budaya itu pun telah dibuang entah ke mana). Guru Besar Kolej pada masa itu, iaitu Cikgu MOHD. RAIS HASSAN (satu-satunya insan di Kolej yang menghisap cerut), dibantu oleh Cikgu AHMAD WAHAB, Cikgu SHAFI’I TASI, Cikgu ABDUL RAZAK bin ABDUL HAMID, Ustaz HAJI HASSAN MOHAMMAD, Ustaz HAJI DAUD AHMAD, Cikgu AHMAD SALEH, Cikgu ZAINAL AKBAR ZAINAL ABIDIN, Cikgu SHAARI ISA turut membantu. Nama kami dipanggil, lepas seorang seorang, mengikut negeri dan kemudiannya ditentukan kelas masing-masing. Identiti kenegerian masih sangat menebal pada masa itu: setiap orang selesa benar dikenali dengan nama negerinya seperti Mat Pahang, Ramli Kedah, Manan Selangor, malah di hujung tandatangan pun dicatatkan nama negeri seperti Phg, Sel, NS. Ked, Trg dan seumpamanya.

Dalam kesibukan itulah, nama saya dipanggil dan disebut sekali kelas saya ditempatkan. Ada lima kelas semuanya: A, B, C, D, E. Saya dengar kelas saya E dan terus memasuki barisan kelas itu, yang terdapat di dalamnya ISMAIL LATIF dan ABU BAKAR YUSOF (kedua-duanya dari Pahang). Apabila pembahagian kelas selesai, terdapat kekurangan ahli kelas A. Mereka sebut semula, dan ternyata nama saya di situ. Sebenarnya saya tidak menyangka orang Pahang ini masuk kelas A kerana kelas itu dianggap kelas elit: bahasa Inggeris mereka mesti baik dan merekalah yang mendapat tempat teratas dalam peperiksaan masuk ke Kolej. Kelas ini akan diberi beberapa kemudahan, termasuklah kelas khas bahasa Inggeris percuma. Kelas-kelas lain yang ingin mempelajari bahasa Inggeris secara lebih intensif kena uruskan sendiri, termasuk mencari guru dan mengenakan bayaran kepada peserta. Ini kurang adil nampaknya! Menurut rekod hanya beberapa orang pelajar Pahang yang terpilih ke kelas A ini, antaranya MOHD. ALI SHARIFF, ZAINUDDIN JUMAAT dan HASSAN HAJI ALI. Kelas ini kebanyakannya dimonopoli oleh pelajar Singapura, Melaka, Negeri Sembilan dan Pulau Pinang.

Tahun 1957 tidak ada lagi pelajar Singapura yang belajar di sini. Terdapat tiga orang pelajar Brunei iaitu OMAR AHAI, TENGAH ABDUL LATIF dan MOHD. NOR CHUCHU. Pelajar Sarawak MOHD. SAID bin (?).

Kemudian kami diarah berjalan ke kelas masing-masing. Kelas Satu A secara tradisionalnya ialah bilik tingkat bawah nombor dua dari hujung bangunan yang menjulur hala ke Tadah Utara, menghadap ke arah Dewan Makan. Pengalaman duduk di bilik ini banyak menyeronokkan saya. Apa tidaknya, pukul 12.00 tengah hari aroma makanan daripada Dewan Makan meresap ke dalam lubang hidung kami. Tidak mengambil masa lama; minggu kedua sahaja kebanyakan kami telah dapat meneka masakan apa yang sedang dimasak oleh PAK DERIS (Ketua Tukang Masak) dengan anak buahnya untuk kami pada hari itu.

Guru Kelas kami belum datang hari itu. Kata Cikgu Rais dia masih bercuti selepas dirawat di hospital kerana penyakit batuk kering. Orang kata, dia kena batuk kering kerana mengajar dengan suara yang sangat kuat dan keras. Suaranya boleh kedengaran di seluruh bangunan Kolej. Namanya ialah Cikgu WAHI bin LONG. 'Esok adalah Cikgu Wahi', kata Cikgu Rais. Saya sendiri memang hendak sangat melihat wajah Cikgu Wahi kerana beliau juga seorang penulis. Saya pernah membaca cerpennya, di samping dialah yang merumikan epik Hindu terkenal Hikayat Seri Rama.

Betullah sebagaimana dirancang. Cikgu Wahi datang keesokan harinya. Wajahnya ceria, tetapi pertuturannya agak lemah. Kulitnya putih dan kedua-dua daun telinganya mengembang, kata setengah orang tanda orang cerdik dan bijak. Selepas berkenal-kenalan, dia memerintahkan mereka yang tidak menyangkut pen di dalam poket baju supaya berbuat begitu (masa itu terdapat kecenderungan menyelitkan pen pada bahagian belahan baju kemeja). Beliau berpendapat jikalau pen disangkutkan pada poket baju senang hilang kalau terjatuh, atau mungkin mata pen akan menikam perut. Logik juga pemikiran orang tua ini, fikir saya sendirian.
Selepas itu bermulalah usaha menguruskan kelas. Pertama melantik Ketua Darjah. Kami masih belum mengenali benar lagi antara satu dengan lain. Cikgu Wahi terus menggunakan kuasa veto yang ada padanya untuk melantik ZAINUDDIN dan HAMDAN sebagai Ketua dan Penolong Ketua. Saya fikir pelantikan itu semata-mata dibuat berdasarkan kegarangan yang terdapat pada raut mula Zainuddin dan Hamdan, bukannya atas sebab-sebab lain. Muka Zainuddin yang berjerawat dan sentiasa berminyak itu memang ada unsur menakutkan! Aktiviti kedua ialah beliau mengatur kumpulan yang akan datang ke rumahnya setiap pagi Jumaat untuk bersarapan dan membaca doa selamat. Cikgu kami itu bernazar untuk berbuat begitu semasa beliau sakit dulu. Makan pulut kuning dengan rendang itu bagus sangatlah, tapi yang kena bawa tahlil dan baca doa selamat itu berat sikit nampaknya. Walau bagaimanapun hal itu dapat diatasi kerana kebanyakan kawan-kawan dari Johor mampu menghafal doa dan membawa tahlil sebab perkara itu diajar semasa mereka mengikuti Kelas al-Quran di sebelah petang yang memang diwajibkan dalam sistem pendidikan di negeri Johor.

Inilah senarai anggota KELAS SATU 'A' 1957 yang ditakdirkan turut menyumbang peranan dalam mencorakkan masa depan hidup saya (tuan punya nama yang berwarna merah itu telah meninggal):

ABDUL JALIL bin SALIM, Kampung Kuala Sawah, Rambau, Negeri Sembilan. [Seorang pelari jarak dekat, tetapi pada akhir kerjayanya dia kecewa besar kerana dikalahkan oleh Ramli Abdul Wahab dan terus gave-up. Selalu saya menemui beliau dalam mesyuarat dan seminar Kementerian Pendidikan, kerana beliau bertugas sebagai Pegawai Dadah di JPN Negeri Sembilan selepas tamat dari UM, sekarang tinggal di Taman Guru, Seremban. Saya masih boleh berhubung dengan beliau kerana saya tahu di mana rumah beliau].

ABDUL MALEK bin IBON, Astana Raja, Rembau, Negeri Sembilan. [Bapa saudaranya, demikian beliau memberitahu, tinggal di Batu 9 Kuantan dan saya mengenalinya iaitu PAK BERAHIM itu, iaitu seorang pemandu teksi. Malek pernah menulis puisi dan cerpen menggunakan nama pena Stanza dan namanya pernah muncul diperkatakan di kalangan pengkritik sastera. Beliau sempat berkhidmat beberapa tahun sahaja dan meninggal dunia di atas ribaan dan di rumah KASSIM RAHMAT kerana berubat dengan KASSIM yang rupa-rupanya menjadi bomoh sambilan selain katerar makanan (Kassim sendiri membenarkan kisah ini). Inna lil-Lahi wa inna ilaihi raji’un dan al-Fatehah buat roh saudaraku ABDUL MALEK bin IBON.].

ABDUL MALEK bin MAT ZAIN, Kampung Senama Tengah, Rembau, Negeri Sembilan. [Tinggal di Rumah A; sempat lulus universiti dan bertugas di JPN Negeri Sembilan. Pernah menulis puisi dan cerpen dengan nama samaran Fazmimasra. Beliau meninggal kerana sesak nafas semasa berkursus di IAB Genting Highlands. Inna lil-Lahi wa inna ilaihi raji’un dan al-Fatihah buat roh saudaraku ABDUL MALEK bin MAT ZAIN. Kalaulah mengikut 'teori' Cikgu ZAINAL AKBAR, mati begitu boleh dikira macam mati syahid. Insya Allah. (Tapi Cikgu ZAINAL AKBAR bukan guru agama; dia guru Geografi dan pandai melawak iaitu bakat yang diturunkan daripada abangnya ZAINAL ALAM yang termasyhur itu). Kali terakhir saya bertemu Malek semasa menghadiri mesyuarat di IAB juga, dan beliau tidak banyak berubah dari segi percakapan dan pergaulan sebagaimana 1957 lalu: sentiasa mesra dan ceria.].

ABDUL MANAF bin DIN, Kuala Perlis, Kangar, Perlis. [Boleh dan fasih bercakap Siam, malah cakap Melayunya pun seakan-akan Siam bunyinya (terutama semasa menyebut konsonan /s/) sedangkan wajahnya mirip bangsa dari negara gajah putih itu. Beliau bolehlah dikatakan pandai bermain gitar. Semasa menjadi guru di Kuala Perlis turut bekerja sebagai pemandu teksi; malah semasa saya singgah di Kuala Perlis dalam perjalanan ke Langkawi, saya bertanya pemandu teksi, kalau-kalau mereka mengenali Cikgu Manaf Din. Semua mereka mengenalinya dan mereka mengatakan Manaf baru sahaja balik. Saya sempat dikenalkan oleh pemandu teksi itu dengan anak Manaf – juga pemandu teksi – yang menjanjikan akan menemukan saya dengan bapanya semasa saya balik dari Langkawi kelak. Tetapi program saya balik agak awal pagi, tak dapatlah berjumpa dia, amat dikesalkan!].

ABDUL RAHMAN bin MAHAT, Kampung Kuala Kepis, Bahau, Negeri Sembilan. [Belum sempat menghabiskan kuliah di SITC dia meninggal dunia di kampungnya, kerana sakit – barangkali sekarang kira hepititis B agaknya. Inna lil-Lahi wa inna ilaihi raji’un dan al-Fatihah buat roh saudaraku ABDUL RAHMAN MAHAT. Sebagai pelajar pintar, tulisannya cantik, gerak-gerinya lembut dan dia menjadi jiran katil dengan saya di Rumah B. Dia menunjukkan air jampi penyakitnya yang dibekalkan dari rumah iaitu air hening yang ada di dalamnya sehelai daun rembia atap rumah. Dan air jampi itu diminumnya pagi petang dengan patuh. Mula-mula datang dulu dia tersasar ke asrama lain dan sempat bermalam di situ beberapa malam sebelum diketahui oleh orang-orang di sana dan dihantar ke tempat sebenarnya. Apabila ABDUL RAHMAN ABAS (kini Tun) Ketua Rumah kami bertanya: Siapa yang bernama Abdul Rahman Mahat? Jawabnya: Sayalah yang bernama Abdul Rahman Mahat itu (dengan loghat Negeri Sembilan pekat) yang menyebabkan kami ketawa. Saya sangat kesal sehingga ke saat ini tidak dapat mengucapkan kata perpisahan dan memohin maaf buat kali terakhir kerana semasa abangnya datang mengambil beliau di Sick Bay saya mengikuti rombongan ke Kuala Lumpur. Balik-balik dia telah tiada di katilnya. Dia menjadi Ketua Rumah B dan saya penolongnya, tetapi sayalah yang menjalankan tugasnya kerana tempoh 'pemerintahannya' beliau sakit. Selepas dia meninggal sayalah yang menjadi Ketua (tidak rasmi) dan Penolong Ketua Rumah merangkap Pengawas Bilik Setereka dan Ketua Negeri Pahang].

ABDUL WAHID bin JIDON, Kampung Kota Pagar, Layang-layang Kanan, Parit, Perak. [Disebabkan suka bertekak dan rupa parasnya (rambut kerinting dan selalu berminyak licin) pula mengizinkan, kami panggil dia Seenivasagan – tokoh pembangkang dari PPP yang sangat terkenal mewakili Ipoh pada masa itu. Beliau pernah dipertanggungjawabkan untuk membuat suatu persembahan kelas dalam suatu majlis: hampir-hampir beliau menangis kerana kawan-kawan tidak mahu bekerjasama, malah mendengar arahannya pun ada yang pura-pura enggan (sebenarnya kami hanya mengacah beliau, sedangkan persembahan itu berjaya juga akhirnya!). Paling akhir saya bertemu dengannya ialah di Mekah, semasa menunaikan fardu haji. Dia juga sempat bergelar siswazah dari UM].

ABDULLAH bin ISMAIL, Kampong Losong Atap Zinc, Kuala Terengganu, Terengganu. [Turut katanya lembut macam kebanyakan orang Terengganu, tapi ada masanya memanas juga nampaknya sehingga sempat meragut butang bajunya sendiri! Dia melanjutkan pengajian ke Australia dalam bidang Perakaunan sebaik-baik selepas tamat SITC dan khabarnya berkahwin dengan anak pegawai kedutaan Indonesia di Melbourne dan menetap serta beranak-pinak di sana. Hubungan dengannya terus terputus].

HAMDAN bin MAHMUD, Kampung Dew, Bagan Serai, Perak. [Cikgu Wahi dengan kuasa vetonya melantik Hamdan menjadi Penolong Ketua Darjah – kami tak boleh melantik sendiri pada pada hari pertama bertemu itu kerana kami sama-sama tidak mengenali antara satu dengan lain! Selesai kuliah di SITC ditukar ke Pahang dan berkahwin dengan Maimon, seorang operator telefon di Hospital Kuantan. Beliau pernah bertugas sebagai Guru Besar, Guru Penolong Kanan di sekolah randah dan menengah di Kuantan dan Penyelia di Unit Hal Ehwal Murid Jabatan Pendidikan Negeri Pahang. Setelah bersara balik ke Karak Setia membuat rumah di sana (kampung Maimon), Saya masih boleh berhubung terus dengannya hingga sekarang, tetapi baru-baru ini nombor telefon yang diberinya mengeluarkan bunyi tu-li-lat].

HARON bin MUSA, Batu 2½ Parit Bunga, Muar, Johor. [Dia masuk UM kemudian sedikit daripada saya. Semasa di universiti anaknya yang baru lahir meninggal dan keluarga di kampung tidak memberitahunya kerana masa itu dekat nak periksa. Bila dia tahu, dia memberitahu saya dia tak mahu lagi belajar kerana tersangat sedih. Kami bercakap hal ini di Taman Tasik PJ. Aah romantiknya konon! Saya senang-senang memarahi dan mengecam sikap nagatifnya itu kerana saya sendiri tak dapat merasainya – jangankan anak, isteri pun masih tidak punya pada masa itu. Haron akhirnya termakan juga cakap saya dan meneruskan pengajian sehingga boleh menjadi guru siswazah. Walaupun bukan tinggal di asrama yang sama tetapi kami kerap bermain bersama. Pada suatu petang bola sepak raga kami telah terburai. Kami terus menggumpal kertas dan ikat dengan rotan bola yang rosak tadi. Kami terus bermain (berdua sehingga kehabisan tenaga dan ketibaan waktu maghrib. Bola buatan kami itu kami simpan di atas siling gajah menyusu menghala ke Dewan Makan. Bola itu kami lupa mengambilnya dan saya fikir ia masih berada di situ sehingga hari ini. Hubungan saya dengan Haron kekal sehingga saat ini, kerana beberapa sebab: (a) gurauan kami menjadikan kami terasa macam saudara sendiri; (b) dialah yang menjadi jurucakap dan rumahnya menjadi tempat bertolak semasa anak saya KHAIRUL FAIZI berkahwin dengan ROSYATIMAH ABU BAKAR di Kampung Jorak, Bukit Pasir, Muar; (c) dia pernah mengajar di Pahang dan kami acap bertemu. Semasa menjadi Pengetua di SM Karak dia pernah mengambil anak angkat seorang budak lelaki Orang Asli dan mengajak tinggal bersama-samanya. Entah jadi apa budak itu sekarang! Adik iparnya MB Johor dan saya pernah menemui TAN SRI ABDUL GHANI OTHMAN semasa menghadiri perkahwinan anak Harun dan kami berbual hal-hal politik di Pahang yang saya sendiri tidak berapa tahu. Setiap kali dia kenduri mengahwinkan anak, saya tentu menghadirinya. Beliau selalu mengatakan Muar ada segala-galanya: Nasi minyak, sedap; baryani, sedap; mee bandung, sedap; duku muar, sedap; pendeknya sedap belakalah! (Pada hakikatnya tidaklah begitu sangat...). Malah, katanya ibu mertua dia (ibu Azizah) pandai sangat membuat mee bandung sedap – lebih sedap daripada mee bandung yang dijual di bandar Muar... Beliau tidak bercakap saja, tapi ada sekali kami sekeluarga dijamu (kemudiannya ditapau) dengan mee bandung air tangan emak MB itu. Sedap, ya sedap!].

ISHAK bin SALLEH, Bukit Rahmat, Batu Pahat, Johor. [Kawan yang seorang ini memang putus hubungan dengan saya. Maaflah Sahak, bukan tak cuba, tapi masih tak berjaya dan kau sendiri jarang benar menunjukkan diri!].

ISMAIL bin SAAD, d/a Kilang Beras Jejawi, Kangar, Perlis. [Giginya patah diterjah kepala SIDEK TASAN semasa bermain bola tampar pada suatu petang. Ismail tinggi sedangkan Sidek rendah: bila Sidek melompat gigi Ismail memang dah menunggu di atas ... ptapp! Pernah menemuinya beberapa kali termasuk semasa Jubli Perak SITC. Alamatnya kini mungkin tidak lagi di Kilang Beras tetapi Kilang Gula atau kilang mangga dan herbal atau kilang mengumpul vernom ular berbisa yang memang terkenal di Perlis!].

KASSIM bin HAJI RAHMAT, Kampung Tanah Datar, Chengkau, Rembau, Negeri Sembilan. [Ada beberapa kenyataan terpampang di pokok-pokok sekitar Seremban, terutama kawasan Ampangan. Iklan katering makanan oleh Syarikat al-Rembawi. Kawan saya, ABDUL MALEK AHMAD menyatakan, tuan punya syarikat itu ialah bekas guru besar yang telah bersara awal dan membuat katering; namanya Kassim Rahmat. Saya meminta NURZIAH (isteri saya) catatkan nombor telefon yang tertera di iklan tersebut. Balik ke Kuantan saya menelefon Syarikat al-Rembawi tersebut membincangkan hasrat saya untuk menempah perkhidmatan mereka dan menanyakan caj yang dikenakan. Rundingannya mudah dan mesra dan cajnya berpatutan. Di akhir perbincangan baharulah ditanya bila masa diperlukan dan di mana majlis itu. Nah! Di sinilah akhirnya pecah tembelang penyamaran saya. Saya memberitahu hujung tahun itu dan tempatnya di Pekan. ”Pokan mano?” tanya beliau. ”Pekan, Pahang. Tak berapa jauh dari Kuantan.”Siapo yang nak menompah ni?” Saya nyatakanlah: sepatutnya soalan ini Che Kassim tanya dulu. Saya minta maaf kerana tidak juga mengenalkan diri. Selepas memperkenalkan diri, Kassim ketawa besar, dan dia terus mengenali dan mengingati zaman di SITC. Tidak lama lepas itu, dalam kunjungan ke Seremban (Khairul belajar di SDAR dan Ijan di MPRM) saya menziarahi rumah Kassim di Jalan Padang Golf: betullah, rumahnya penuh dengan peralatan memasak, di samping beliau juga menjadi penjual madu lebah dan dia serta isterinya mengajar budak-budak mengaji. Kassim mengaku dia salah seorang aktivis PAS di tempatnya].

MAHMUD bin HAJI ISMAIL, Batu 5½, Titi Gajah, Alor Setar, Kedah. [Badannya bersaiz kecil dengan wajah keanak-anakan dan tutur-katanya tersusun serta lemah lembut. Suka sangat mengenakan pakaian seluar putih dan baju putih. Kalau pakaiannya berwarna pun tidaklah warna garang. Kain bajunya sentiasa bersaid keras. Dia pintar, kuat membaca, warak dan rajin, sehingga menyebabkan dialah ahli Darjah IA 1957 yang paling awal menjejakkan kaki ke UM dalam Fakulti Pengajian Islam. Semasa kami berpisah kali terakhir di Tanjung Malim, saya menghadiahkannya sebuah buku antologi puisi karya Masuri S.N. yang berjudul Lukisan Rasa. Buku itu antara hadiah yang saya terima kerana memenangi pertandingan menulis cerita pendek anjuran Persatuan Bahasa Melayu. Mahmud menjawat jawatan Pengetua (termasuk SMSAH), PPD dan sebagainya. Beliau tidak begitu aktif akhir-akhir ini kerana mengidap lelah. Terus-terang saya nyatakan, setiap kali ke Alor Setar atau ke Kedah saya tidak dapat menemui MAHMUD. Ada yang mengatakan dia di Sungai Petani, ada pula kata di Kulim. Beliau pernah menghasilkan karya terjemahan, antaranya cerpen Ikan Kering karya Alberto Moravia].

MOHD SIDEK bin TASAN, 7 Jalan Muhammadiah, Johor Baharu, Johor. [Anak Johor bertubuh kecil dan periang ini pernah menunjukkan parut bekas kudis di betisnya, katanya siplis! Mana boleh siplis kena betis pulak. Melihatkan alamatnya, beliau nampaknya sahlah bukan budak kampung sangat. Dia boleh bermain dabelbes yang boleh dikatakan sekali ganda besarnya berbanding saiz badan Sidek. Saya pernah bercakap dengannya membincangkan apa payah benarkah belajar di universiti. Kali terakhir saya menemuinya ketika di Woodlands, Singapura. Dia memperkenalkan isteri barunya; katanya isteri pertama beliau meninggal tidak lama dahulu kerana penyakit kanser. Saya mendengar kemudiannya, isteri kedua beliau juga meninggal kerana kanser dan tidak lama selepas itu Sidek sendiri pula meninggal kerana penyakit yang sama. Inna lil-Lahi wa inna ilaihi raji’un dan al-Fatihah buat roh saudaraku SIDEK bin TASAN. Beliaulah yang saya katakan penyebab gigi ISMAIL SAAD patah. Beliau menjadi guru siswazah lepasan UM].

MOHD. ALWI bin MOHD. TAIB, Kampung Parit Nibung, Bandar Baharu, Kedah. [Saya berkawan dengannya dari muda hingga ke tua. Sejak bertemu pada 1957 perhubungan kami tak pernah putus. Akhir-akhir ini melalui SMS pun jadi. Dia nak kawinkan anak, mesti beritahu saya dan saya menghadirinya; malah semasa Dr. Najib – anak pertamanya – nak berpoligami pun dia beritahu saya juga. Dia kata dia tak mahu saya mendapat tahu tentang Najib ini daripada mulut orang lain, apatah lagi isteri Najib yang juga seorang doktor pakar itu orang Pahang. Selepas tamat SITC beliau berkhidmat di Karak, termasuk di sebuah sekolah Keling di Bukit Dinding, dan bertemu jodoh dengan NORKHAMISAH, gadis Karak, seorang anak Cikgu. Dia melanjutkan pengajiannya ke UM dalam bidang Ekonomi kemudian setahun daripada saya. Walaupun alamatnya di Kedah tetapi dia masuk SITC atas nama Perak. Beliau mengajar di Politeknik Ungku Umar dan sempat dilantik sebagai Timbalan Pengetua hingga bersara dan menetap di Rapat Setia, Ipoh. Ada sekali saya menghadiri mesyuarat kurikulum di Ipoh dan saya membawa buah tangan berupa ikan masin untuk Cikgu Ahmad, Cikgu Shafi'i dan Alwi. Bahagian Alwi saya minta SHAMSUDDIN AHMAD (KPP Kurikulum Perak) tolong menyampaikannya. Setelah disampaikan, Shamsuddin memberitahu Alwi tidak ada di rumah kerana sedang berburu di hutan Perak dan ikan itu telah diberikan kepada isterinya. Saya merasakan sesuatu yang tidak betul telah berlaku. Setahu saya ALWI TAIB tidak pernah berburu. Benarlah, Pengarah Pelajaran Perak waktu bernama ALWI juga dan ikan masin itu menjadi rezeki beliaulah rupanya. Saya berjanji dengan Alwi kawan saya ini untuk menggantikan ikannya itu lain kali saya datang ke Perak. Rumahnya dekat dengan rumah Cikgu AHMAD WAHAB dan Cikgu SHAFI’I TASI (kedua-dua pensyarah SITC ini telah meninggal dan Alwilah yang sentiasa memberitahu saya tentang keadaan kedua-dua orang guru kita itu, malah tidak keterlaluan untuk mengatakan dialah yang menjaga kedua-dua Cikgu kita itu. Anak-anak Alwi memanggil Cikgu Mat dan Cikgu Shafi’e itu Atuk].

MOHD. AMIN bin ABDUL RAHMAN, 611 Bagan Dalam, Butterworth, PW. [Hari pertama di SITC mulut dia sahaja yang kedengaran, banyak bercakap sebagaimana kebanyakan orang Pulau Pinang. Kulitnya putih, katanya sebab nenek beliau orang Siam. Pelik juga, kerana kebanyakan orang Pulau Pinang macam nak gelap-gelap sedikit, kalau pun tidak gelap betul. Saya tidak pernah menemui neneknya itu. Selesai kuliah di SITC terus dihantar berkhidmat di SK Sanggang Seberang, Temerloh, tapi tak pulak sampai berkahwin dengan orang Pahang seperti Hamdan, Alwi dan MOHD HASSAN ALI, johan mengaji al-Quran SITC yang dari Parit Buntar itu. Bersama-sama mendaftar sebagai mahasiswa di Fakulti Sastera UM dan mengambil subjek yang hampir-hampir sama sehingga kami mendominasi kawasan teduh di bawah pokok ketapang dan rhu yang rimbun dekat Art Concourse untuk dijadikan tempat studi dan berbincang kerana kami bersepakat mengisytiharkan yang kami tidak serasi menggunakan library, konon hawanya tersangat sejuk! (’Kami’ itu ialah MOKHTAR ABDUL SHUKOR, AHMAD HAMBAL YEOP MAJLIS, HARUN REJAB, KHALID AHMAD, OMAR MALEK, ZAINAL ABIDIN MOHD. NOOR – Ceti Melayu – AHMAD ABDUL RAHMAN – Mat Cekelat – KARIM MAN, RAMLI MOHD. NOH, SYED AHMAD SYED YASSSIN, MOKHTAR ISMAIL, SYED NORDIN SYED KASSIM yang kebanyakannya orang SITC). Amin mengatakan seorang anaknya cacat akibat demam panas kerana tidak menerima rawatan sempurna semasa dia belajar di UM... anak ini khabarnya berjaya melanjutkan pelajaran ke peringkat universiti walaupun menggunakan kerusi roda... Tahniah, anakku! Beliau menetap di Kedah, Sungai Petani atau Kulim, tetapi saya sendiri lama benar tidak menemuinya].

MOHD. NOR bin ALIAS, Kampung Telok Berembang, Lubok China, Melaka). [Semasa menyediakan maklumat blog ini barulah saya menyedari Mohd. Nor bukannya orang Negeri Sembilan sebagaimana yang saya fikirkan selama ini. Sejak tamat daripada SITC saya tidak berpeluang menemui beliau walau sekalipun. Nor, bagaimana kita boleh berjumpa?].

MOHD. ZAIN bin ABU BAKAR, Kampung Kangkong, Pasir Mas, Kelantan. [Ini seorang lagi yang saya tidak bertemu selepas tamat SITC. Saya cuba juga tanya kawan-kawan Kelantan kalau-kalau mengenali guru bersaiz kecil dan bercakap lemah lembut ini, tapi tidak ada orang yang mengenalinya. Mustahil! Usaha saya masih belum cukup. Saya akan cuba lagi].

OMAR bin MALEK, Kampung Bota Kanan, Parit, Perak. [Berkulit putih macam kebanyakan orang perempuan. Loghat Botanya masih pekat. Sempat bersama-sama kuliah di UM dan selepas berpisah di Lembah Pantai itu tidaklah diketahui lagi ke mana beliau bertugas. Ada sesiapa boleh memberitahu?]

RAMLI bin ABDUL RAHMAN, Batu 7½, Kundor, Rembau, Negeri Sembilan. [Kali terakhir bertemu di Shah Alam dan dia memberikan alamat rumahnya di situ sambil menjemput kami ke rumahnya, tapi hingga kini masih belum dapat ditunaikan dan alamat rumah yang diberikannya telahpun hilang! Beliau berkahwin dengan gadis jelita dari Ulu Bernam yang dioratnya semasa belajar di SITC dan bukan itu sahaja, Ramli kemudiannya menjadi ADUN kawasan isterinya itu serta sempat menjadi Exco di bawah YAB Tan Sri MUHAMMAD MOHD. TAIB. Saya tidak tahu banyak kisahnya sebagai guru, tetapi semasa kekosongan jawatan Datuk Undang Luak Rembau – masa itu kami di Tanjong Malim lagi – dia memberitahu saya sepatutnya beliau layak menjadi Undang itu (ganti Haji Epap), tapi jawatan itu diberi kepada Datuk ADNAN MAAH, juga seorang guru. Mungkin pada masa itu Ramli masih muda berbanding Adnan. Ramli memang nampak keciwa dan mungkin inilah yang menyebabkan dia menetap di Ulu Bernam, selain kerana terpikat dan diikat dengan NORMIN, gadis ratu cantik Ulu Bernam yang menjadi penawar hatinya itu].

SAHARI bin SANUSI, Batu 5, Bangi, Selangor. [Katanya, dia hanya boleh bercakap Melayu selepas bersekolah di Darjah Satu, kerana semua orang di kampungnya bercakap bahasa Jawa! Patutlah dia bercakap Melayu loghat Jawa. Dia sekampung dan berkawan baik dengan A. WAHAB ALI – junior kami – yang kemudiannya menjadi novelis dan sarjana bahasa dan sastera terkenal itu. Sahari pernah menghasilkan karya berbentuk cerpen di bawah nama samaran Isunas Irahas iaitu ejaan namanya yang diterbalikkan. Cerpennya pernah memenangi Hadiah Mingguan $100.00 anjuran akhbar Berita Harian setiap Khamis. Saya sendiri pernah memenanginya sebanyak empat kali. Beliau juga pernah mengajar di Pahang buat beberapa ketika dan kemudiannya mungkin balik ke Selangor atau ke negeri lain. Sungguh lama saya tidak menemui atau mendengar khabar beliau. Kapare wak? Di manakah kau Sahari?].

SAIBU bin KASMIRAN, Kampung Parit Nawi, Pejabat Pos Parit Jawa, Muar, Johor. [Kalau tidak sebut pun, semua orang tahu kawan saya yang satu ini memang orang Jawa. Peleknya, bahasa Melayu Saibu tidak pula dipengaruhi lidah Jawa sangat. Kami tidak pernah mendengar dia ngomong Jowo dengan Sahari. Malu agaknya. Khabarnya dialah yang mendapat tempat pertama bagi kumpulan kami yang masuk ke SITC tahun itu, tetapi khabar ini tidak pernah menjadi rasmi. Tulisannya tidak berapa elok dan kasar-kasar, meskipun tubuhnya kecil. Masa di Kolej beliau pernah belajar bahasa Inggeris melalui pos daripada Jailani Correspondence School di Singapura, tetapi dimarahi oleh Cikgu SHAARI ISA, katanya menghabiskan duit sahaja kerana kursus itu tidaklah sebaik mana dan tidak sistematik. Tapi masa itu Saibu telah menerima Certificate of Merit sedangkan kemahirannya berbahasa Inggeris masih tidak seberapa – betullah pandangan Cikgu Shaari itu. Saya pernah membeli sebuah gitar second-hand daripada Saibu dengan harga $50.00 dan dibayar secara ansuran sebanyak lima kali. Dia menjualkan gitarnya itu kerana rosak sedikit ketika satu hari, balik dari kuliah dia terus melompat macam Superman ke atas katilnya dan katil itu menggelongsur kena pada gitar dan terhimpit ke dinding. Beliau kemudian membeli gitar baru. Gitar yang saya beli itu sekejap saya saya pakai kerana saya bawa pulang ke kampung dan berikan kepada budak-budak Pasukan Muzik Fajar Menyinsing yang akhirnya dipecahkan badannya oleh KHALID OMAR untuk dibuat solid guiter dengan mengambil fretnya sahaja. Semasa KHAIRUL FAIZI berkahwin di Bukit Pasir kalau tak salah Saibu ada datang bersama-sama BAHARALDIN SAMIAN, MOHD NAIM SIRAN dan JUPERI ISHAK. Selepas itu saya ada berhubung telefon beberapa kali dengan beliau, sehingga pada suatu hari Juperi memberitahu Saibu telah meninggal dunia. Inna lil-Lahi wa inna ilaihi raji’un dan al-Fatihah buat roh saudaraku SAIBU bin KASMIRAN].

SAMAT bin UJUD, Kampung Kuala Talang, Pejabat Pos Tanjung Ipoh, Negeri Sembilan. [Kawan yang seorang ini juga memang putus hubungan. Maaflah Samat, aku masih ingat gambar kau di atas basikal yang kau berikan kepadaku dahulu, walaupun gambar itu telah hilang. Khabarnya kau tinggal di Kelantan, betulkah? Aku tunggu-tunggu juga kalau-kalau kau menjadi calon pilihan raya mewakili BARISAN ke, SEMANGAT 46 ke, atau PAS ke. Ah! bukannya aku tak cuba, tapi masih tak berjaya menjejaki kau sedangkan kau sendiri tidak pula menunjukkan diri!].

WAN ABDUL AZIZ bin WAN MUSA, Batu 3, Binjai, Kemaman, Terengganu. [Mejanya di belakang meja saya. Dia agak pendiam dan lembut tutur katanya. Semasa membincangkan beberapa nama buah gajus, ada orang sebut buah ketereh, tapi Wan berbisik kepada saya, ”tempat kita sebut jambu golok, tapi jangan beritahu, malu kita nanti!” Wan dan isterinya ada berhari raya ke rumah saya beberapa tahun lalu dan menyerahkan gambar Kelas IA 1957 untuk saya buat salinan. Ada satu kisah tentang Wan Aziz ini, begini: Semasa dia mengajar di Sekolah Sultan Ismail Kemaman, seorang penjaga datang ke sekolah dan tanpa bersoal jawab terus melayangkan tangannya melempang Wan dan terus keluar daripada kawasan sekolah. Semua orang terpinga-pinga, kecuali seorang guru yang bernama Cikgu MAT NOR yang mencapai basikal dan mengayuh memintas orang garang itu. Sekali ini bertemulah buku dengan ruas. Cikgu MAT NOR memegang orang itu langsung mengheretnya ke sekolah. Setibanya di sekolah, Cikgu MAT NOR memukul loceng menyuruh semua guru dan murid turun berbaris. Beliau menceritakan perbuatan biadab orang itu dan bertanya kepada Wan, betulkan dia ditampar? Wan mengiyakan. Dengan sikap tanggungjawab dan garangnya beliau mengarahkan: ”Cikgu Wan Aziz! Mu tampar balik muka orang ini macam dia tampar mu tadi. Kalau mu tak tampar aku yang tampar muka mu pulak!” Takut ditampar oleh Cikgu Mat Nor panglima garang hari itu, Wan Aziz terus menampar orang garang tadi sekuat-kuat hatinya. Cikgu Mat Nor yang turut puas hati kemudiannya memberi amaran keras kepada orang itu supaya jangan berlaku kurang ajar lagi kepada guru-guru di sekolah itu. Oh, ya Cikgu Mat Nor bukannya guru disipli, atau penolong kanan, jauh sekali guru besar di sekolah itu. Dia hanyalah guru biasa... Kisah ini diceritakan kepada saya oleh MUHAMAD bin MAT NOR (Mat Starsky), anak Cikgu Mat Nor ketika memberitahu tentang perangai garang ayahnya. Beliau seorang guru siswazah lulusan IKIP Malang, Indonesia yang berkhidmat bersama-sama saya di SM Ahmad, Pekan yang kemudiannya menjadi Pensyarah Maktab Perguruan Sultan Ahmad Shah Kuantan sebelum dilantik menjadi Pengetua di beberapa buah sekolah di Pahang. Kalaulah bohong cerita Mat Starsky ini, tak betullah jadinya cerita ini].

YAAKUB bin ISA, Kampung Kiambang, Ganchong, Pekan, Pahang. [Tuan punya blog . Tak payah dibuat ulasan, tengoklah profil blog].

ZAIBON bin MOHD. YATIM, 32A Jalan Raja Muda Musa, Kampung Baharu, Kuala Lumpur. [Inilah satu-satunya orang ’bandar’ dalam kelas kami. Yang lein semua orang kampung, sehingga nombor rumah dan nama jalan pun tidak ada pada alamat mereka. Ramai yang mengatakan mereka berasa kasihan kepada Zaibon kerana dia anak yatim! Kawan yang seorang ini juga memang putus hubungan. Maaflah Zaibon, aku masih mengingati kau, bukannya aku tak cuba, tapi masih tak berjaya menjejaki kau dan kau sendiri tidak pula menunjukkan diri!].

ZAINUDDIN bin MADON, Ayer Rawa, Gemencheh, Pejabat Pos Batang Melaka, Negeri Sembilan. [Mungkin kerana mukanya kelihatan serius, ditambah tompokan jerawat yang semakin menebal dan mukanya selalu berminyah, Cikgu Wahi Long menggunakan kuasa vetonya melantik beliau menjadi Ketua Darjah – kami tak boleh melantik sendiri kepada pada hari pertama bertemu itu kerana kami sama-sama tidak mengenali antara satu dengan lain! Kali terakhir bertemu beliau ialah pada malam kami sama-sama menerima Anugerah Cemerlang daripada Kementerian Pendidikan di sebuah hotel di KL. Pada masa itu beliau masih bertugas sebagai Guru Besar di Negeri Sembilan. Beliau memenangi anugerah mengarang Pantun Berkait hadiah Allahyarham Cikgu Ibrahim Dato’ Muda Linggi yang dianjurkan oleh pihak Maktab dan pantunnya diabadikan dalam salah satu penerbitan Kolej yang terbaru].

Nah! Nama-nama yang masih sangat segar baharu rasanya diingatan saya. Di bawah Guru Pengawas pertama kami – Cikgu MOHD. WAHI bin LONG – kami telah diasuh untuk mewujudkan hubungan persaudaraan yang akrab. Tradisi murni ini kemudiannya diteruskan oleh Cikgu AHMAD bin ABDUL WAHAB semasa di dalam Darjah IIA dan Cikgu ABDUL RAZAK bin ABDUL HAMID semasa di dalam Darjah IIIA meskipun sebahagian daripada kami terpaksa bertukar darjah akibat kemasukan kawan-kawan dari sekolah Inggeris kesan daripada perubahan sistem pengembilan pelajar dan perubahan kurikulum Kolej. Ramai juga antara kami yang melanjutkan pengajian ke peringkat yang lebih tinggi, malah ada di kalangan kami bersama-sama menghadiri kuliah di institusi yang lain, meskipun pengalaman di SITC tidak mudah kami lupakan.

7 comments:

Unknown said...

salam terima kasih atas tulisan tuan...untuk pengetahuan tuan, abd rahman mahat adalah pakcik saya...bnyk gambarnya yg masih dlm simpanan saya...saya adalah anak pada abg dia..ayah saya pun dh meninggal 8 tahun lepas..masa arwah ayah hidup dia selalu cerita pasal ABD RAHMAN ni..nama ayah saya ALI BIN MAHAT..kubur arwah ABD RAHMAN juga berdekatan dgn kubur arwah ayah saya..di kg kuala kepis..kalau tuan nak melawat kubur arwah abd rahman boleh call saya di 012 602 8329..MUHIDZIR BIN ALI..terima kasih byk2 pada tuan atas ingatan untuk menulis tentang arwah..al fatihah juga dp kami semua.

YAAKUB ISA said...

Anakanda Muhidzir. Sedih bercampur gembira saya membaca post anakanda yang menceritakan tentang Abdul Rahman yang baik itu. Tambah lagi, post anakanda saya baca semasa bulan puasa! Lepas tarawih nanti saya akan baca Yaasin khas untuk arwah Allahyarham. Dulu memang saya acap kali melalui kawasan Kuala Kepis, tapi tak ada arah nak dituju. Insya Allah, saya akan sampai juga ke sana dan pasti akan menghubungi anakanda. Salam dan selamat berpuasa.

Unknown said...

Mahmood bin Hj Ismail mungkin masih boleh di hubungi melalui tel 0194759353

YAAKUB ISA said...

Terima kasih, Shane. Maaf lambat menjawab. Saya akan hubungi teman saya ini sebentar lagi, insya Allah.

Wassalam dan Selamat menyambut Maal Hijrah.

bunyaminkhair said...

Assalamualaikum Tuan,

Saya Bunyamin Khair, anak bongsu kepada Tn Haji Mahmood bin Ismail. Alhamdulillah ayahanda masih sihat dan ceria. Sekarang menetap di Sungai Petani bersama saya dan bonda. Ayahanda ingin sekali dapat berhubung dengan Tuan. Jika Tuan baca mesej ini harap hubungi saya di 013-738-2270

Salam ingatan dari ayahanda.

budak nakal said...

Abdul Malik bin Ibon adalah arwah bapa saudara saya... Dari nama pena Stanza itu arwah namakan anaknya yang sulung Abistanza...

Unknown said...

AssalamuLaikum sdr yaakub ISA.saya Faisal Dari melaka sekg dgn MD nor alias lubuk china.md nor sihat Dan tinggal d kg.saya Ada d Bandar melaka.satu ketika dul u MD nor berniaga d kantin smlubuk china.kini duduk Saja.
Arwah Malik Ibon yg saya tahu sakit demam panas selepas menggali perigi.masa hayatnya suka memancing d sg.sek tempat saya mengajar xjauh dgn seknya.
Hassan @rahmat hj Ali yg sdr debut adakah yg pernah jadi pensyarah ekonomi d ukm.kalau is DIA juga sahabat saya diukm.kami batch media d ukm.dah lama xdengar berita.
Selamat berpuasa.