Thursday, March 6, 2008

Suluh Kampung Matahari Desa

Membina Profesional Keguruan

Ternyata setelah selesai melalui kursus akademik, tugas dan tanggungjawab kami untuk melengkapkan diri sebagai seorang guru sekolah rendah terlatih menjadi semakin berat. Setiap mata pelajaran yang ada di sekolah terpaksa dipelajari bagaimana cara mengajarkannya di dalam bilik darjah.

Selain daripada itu kami juga didedahkan dengan teori pendidikan dan falsafah pendidikan, yang meliputi sejarah pendidikan, psikologi kanak-kanak, alatan mengajar, kaedah mengajar, malah menulis di papan hitam pun rupa-rupanya ada cara dan kaedahnya. Kami mula juga didedahkan cara membuat alatan mengajar menggunakan pelbagai media yang ada pada masa itu. Misalnya, bagi melatih murid-murid menulis kami diajar menggunakan kertas pasir yang dibentuk seperti huruf atau nombor dan murid-murid dikehendaki meletakkan hujung jari mereka mengikut bentuk kertas pasir itu sehingga mereka seolah-olah merasakan huruf tersebut terlekat pada jari mereka. Mata pelajaran yang paling banyak sekali menghasilkan bahan mengajar ialah Ilmu Hisab. Cikgu Wan Dus Muhammad sangat berminat mengajar kami membuat pelbagai alat, cukup dengan papan, gergaji, tukul, kertas pasir dan cat pelbagai warna. Kami perhatikan Cikgu Wan ini banyak keistimewaannya: Pertama beliau kuat merokok, lambat ada peluang sahaja menghisaplah dia. Kedua beliau kerap bercakap dengan burung ciak yang bertenggek di atas tingkap, pada lampu atau pada kipas angin kelas kami. Ketiga beliau suka memotong kuku dengan menggigitnya. Kadang-kadang beliau meminta salah seorang daripada kami beraksi sebagai guru dan yang lainnya menjadi murid. Kalau kena bab begini berat juga rasanya kerana kawan-kawan lain bukannya boleh diharap sangat untuk memberikan kerjasama!

Pada masa itu kaedah audio-visual masih di peringkat permulaan. Kami juga diperkenalkan dengan tulisan fonetik dalam pengajaran bahasa Inggeris. Bagi mata pelajaran Lukisan kami diperkenalkan kaedah baru iaitu kertas lukisan jenis newsprint bersaiz besar menggunakan warna serbuk tempera yang cerah dan garang yang memenuhi semua ruang kertas – tidak sebagaimana dahulu melukis kucing, buah-buahan, pokok kelapa, sungai dan sebagainya. Orang kata lukisan zaman sekarang menjadi lebih ekspresif berbanding dahulu. Dalam mata pelajaran Muzik pula kami dikehendaki mahir menggunakan rekorder dan membaca notasi muzik skala rendah dan mudah. Sayangnya, lagu-lagu yang dipelajari kebanyakannya lagu Inggeris seperti Jinggle Bell, Are You Sleeping?, Hot Cross Bun, Baa Baa Black Sheep, Three Blind Mice; walaupun kami tahu banyak lagu kanak-kanak yang dicipta di SITC oleh Cikgu Yub Rawan seperti Buih Sabun, Kupandang Kanan Kupandang Kiri, Anak Rusa Nani, Bila Sudah Remaja Putera, Ayun Adik Ayun, Ayam Denak Dani, Gunung-gunung Melayu, Buah Jambu Masak dan banyak lagi.

Seterusnya kami didedahkan dengan aktiviti di sekolah yang dimulakan dengan memerhati guru mengajar di dalam kelas. Seboleh-bolehnya kami dikehendaki memerhati guru terlatih sahaja yang mengajar, tetapi disebabkan kekurangan guru, terutama di sekolah-sekolah kecil, kami perhatikan semua guru, hatta guru sementara. Sekolah terlibat ialah sekolah-sekolah di tepi jalan besar di jajahan Batang Padang Perak dan Ulu Selangor di negeri Selangor yang kedudukannya berhampiran dengan Maktab. Saya sendiri ditempatkan di Sekolah Kebangsaan Ulu Bernam, Selangor. Sekolah ini tidaklah jauh sangat daripada Kolej, tetapi kami terpaksa menaiki bas Kolej ke sana kerana kami mesti berada di sekolah sebelum pengajian bermula. Kadang-kadang kami memberitahu Pak Zainal, pemandu bas supaya tidak mengambil kami waktu pulang sebab kami lebih selesa balik berjalan kaki melalui bandar Tanjong Malim, sambil menjamu mata.

Pada sebelah petang, hujung minggu, kami dikehendaki menyampaikan laporan tentang apa yang diperhatikan sepanjang minggu itu. Kerja ini merupakan kerja yang senang dilaksanakan.

Penggal berikutnya kami melangkah setangga lagi, iaitu kami dikehendaki mengajar beberapa subjek. Kali ini saya ditempatkan di Sekolah Melayu Slim Village, di bahagian utara Tanjong Malim. Kedudukan sekolah ini lebih jauh berbanding sekolah pertama tadi. Pergi balik tidak lagi menaiki bas Kolej tetapi bas Syarikat Bas Mogah yang disewa oleh Kolej. Selepas itu saya ditempatkan pula di Sekolah Cina Sungkai, juga dalam negeri Perak. Inilah pertama kali saya mengajar di sekolah bukan Melayu. Saya mengakulah, saya tidak dapat mengajar dengan sempurna di sekolah ini kerana masalah utamanya masalah perhubungan. Budak-budak Darjah Satu itu bising bukannya kerana apa, tetapi antara kami adalah seperti ayam dengan itik. Saya lihat guru di sekolah itu mengepit rotan seorang sebatang dan mereka memang menggunakan rotan itu untuk menenteramkan murid. Sekali libas, diam sekejap. Lepas itu bising semula. Saya juga mendapati ibu bapa murid boleh masuk menemui anak mereka di dalam kelas tanpa meminta kebenaran atau bercakap sepatah pun dengan guru yang ada di dalam kelas itu. Pada mulanya memang saya tercengan-cengan melihatkan telatah mereka.

Guru Besar Sekolah Cina Sungkai ini suka benar dengan cara kami mengajar lukisan, dan beliau membeli warna serbuk tempera, kertas newsprint, berus yang diberikannya kepada kami sebanyak mana yang kami mahu. Gembira benar dia melihat lukisan murid-murid ditampal di dinding kelas. Kaedah kami mengajar murid-murid bersenam tanpa membuat barisan itu juga menarik minat pihak sekolah. Selama ini, guru-guru mereka mengajar senaman dengan menyusun murid-muridnya dalam empat barisan dan meniup wisel: sekali tiup, sekali bergerak. Kaedah kami tidak menggunakan wisel semasa mengajar dan murid-murid pula bersepah-sepah kedudukannya. Kalau hendak dikatakan kejayaan, subjek yang dua inilah rasanya kami berjaya mendatangkan pembaharuan dan membuat perubahan di sekolah Cina. Mengajar Nyanyian tidak bermasalah kerana budak manalah yang tidak suka menyanyi...

Meluaskan Pengalaman

Jauh berjalan luas pandangan, lama hidup banyak dirasa, kata pepatah. Dalam usaha meluaskan pandangan dan pengetahuan kami, pihak Kolej baik sebagai aktiviti Kolej mahupun melalui kegiatan persatuan-persatuan yang ada, tidak pernah jemu menjemput tetamu kenamaan dari luar untuk memberikan ceramah. Bidang yang diceramahkan pelbagai, dari aspek pendidikan, bahasa, sejarah, keagamaan, politik dan hubungan antarabangsa. Antara tetamu tersebut termasuklah: Abdul Rahman Talib, Menteri Pelajaran; Ahmad Bakhtiar seorang bekas guru Maktab yang juga seorang penulis terkenal; Dr. E.A. Pires, Konsultan UNESCO di New Delhi; Dr. Tjoa Soei Hock, Pensyarah Jabatan Pengajian Melayu Universiti Malaya; Edrus, tokoh sasterawan Angkatan ’45 Indonesia; Imrad Idris, Atasé Penerangan, Kedutaan Besar Republik Indonesia; Kiai Haji Fathillah Harun dari Indonesia; Mahmud Ahmad dari DBP.; TYT Major Jeneral Nawabzada Muhammad Sher Khan, Pesuruhjaya Tinggi Pakistan; Yaacob Abdul Latif, Pengarah Peneranagan, Mohd. Ghazali Shafi’i, Setiausaha Tetap Kementerian Luar Negeri; Mohd. Khir Johari, Menteri Pelajaran; Austin Coates, Pejabat Penerangan Pesuruhjaya Tinggi British; Mohd. Noor Azam dari DBP.; Prof. Dr. R. Roolvink, Ketua Jabatan Pengajian Melayu Universiti Malaya; Prof. Gopal Singh dari Universiti Punjab; Syed Hussain Alatas dari DBP.; Syed Jaafar Albar, Menteri Penerangan; dan Syed Nasir Ismail, Pengarah DBP.

Pada 1958 satu perhimpunan murid-murid tua SITC diadakan. Perhimpunan ini dirasmikan oleh YTM Perdana Menteri Persekutuan Tanah Melayu, Tunku Abdul Rahman Putra. Pelbagai aktiviti diadakan seperti pertunjukan Makyong, aneka ragam, pameran dan pertandingan sukan, termasuklah yang mereka sebut sebagai Majlis Serba Bijak yang sekarang dikenali sebagai forum. Majlis ini melibatkan Aminuddin Baki, Md. Din Ali, Hamdan Sheikh Tahir, Syed Nasir Ismail, Abdul Majid Haji Muhammad dan Mohd. Salleh Osman. Encik Abdul Rahman Talib, Menteri Pengangkutan pada masa itu, dalam perutusannya mengimbau kembali masa lalu sebagai pelajar SITC di samping menyeru supaya bekas pelajar SITC mengambil peluang dalam negara yang merdeka. Beliau menutup perutusannya dengan serangkap pantun:

Beluru bukan sebarang beluru,
Kedondong buah kedangsa;
Guru bukan sebarang guru,
Suluh kampung matahari desa.

O.T. Dussek Pengetua Kolej yang pertama, yang turut diingati dengan kekentalan usaha membangkitkan semangat nasionalisme di kalangan penuntutnya turut menghantar telegram dari England untuk seluruh peserta Perhimpunan. Telegram beliau berbunyi:

Tinggalkan Guru, Tinggalkan Sekolah,
Tinggalkan Sekolah, Hilang Bahasa,
Hilang Bahasa, Negeri Binasa,
God Bless You All. - Dussek.

Dalam majlis Perhimpunan Murid-murid Tua SITC itu pasukan pengakap Kolej telah membuka gerai menjual pisang goreng. Gerai ini dikatakan sangat laris jualannya, akhirnya perniagaan mereka melarat kepada kain songket tenunan Terengganu dan batik Kelantan! Sebenarnya, pulangan jualan ini akan digunakan untuk membiayai penyertaan dua orang pengakap Kolej iaitu Zainuddin Rafai dan Mohd. Yusof Salleh ke Jamboree Pengakap Sedunia X di Filipina.

Aktiviti Persatuan dan Kelab terus dipergiatkan. Setiap kali lawatan diselitkan dengan kegiatan bercorak akademik. Salah satu lawatan yang saya ikut serta ialah lawatan Persatuan Bahasa Inggeris ke Melaka. Dalam lawatan ke Melaka tentunya kami menyelitkan program melawat MWTC dengan mengadakan suatu perbahasan yang berjudul yang cukup skeptikal iaitu Young People Should Choose Their Own Life Partners, yang dimenangi oleh pasukan SITC dengan kemenangan yang sangat tipis.

Pengurusan Rumah Pateh Gajah Mada

Ketua Rumah PGM pada mula-mula saya masuk (1957) ialah Abdul Rahman Abas sementara Penolong Ketuanya Ayub Ismail. Saya telah mencatatkan sedikit sebanyak kisah Abdul Rahman Abas dalam salah sebuah fail di Blog ini. Ayub Ismail, pula seorang yang pandai menggesek biola dan anak kelahiran Jelawat, Kelantan. Beliau juga pandai bermain Makyong dan Wayang Kulit kerana bapanya seorang yang ahli dalam seni tradisional itu. Saya mendapat tahu kemudiannya, semasa beliau menjadi guru di Kelantan, beliau kerap melibatkan diri dengan persembahan Dikir Barat, Makyong dan Wayang Kulit; sehingga akhirnya beliau berkhidmat di Kementerian Kesenian dan Kebudayaan sebelum menjadi seorang tenaga pengajar di Universiti Sains Malaysia.

Pada 1958 Ketua Rumah kami ialah Abdullah Idin dan dibantu oleh Redzuan Haji Dahali. Abdullah adalah pelajar Pahang yang berasal dari Kuala Kenong, Lipis. Beliau seorang yang lemah lembut dan warak serta sentiasa tersenyum. Redzuan pula boleh menggesek biola, tetapi tidaklah sepandai Ayub. Dia nampaknya sangat terhibur ketika menggesek biolanya, walaupun pendengar di kiri kanannya tidak begitu mengambil hirau. Ada satu peristiwa lucu di Rumah PGM zaman pemerintahan Abdullah dan Redzuan ini: Biasanya, pada akhir tahun kami bergambar ramai untuk kenang-kenangan di samping untuk dicetak di dalam Chenderamata. Pada tahun itu telah diputuskan (dengan undian angkat tangan) susunan semasa bergambar kedua-dua Ketua Rumah dan Penolongnya tidak boleh duduk di kerusi hadapan bahagian tengah, tetapi hendaklah di barisan belakang! Tahun itu pula G. F. Daniel turut dijemput bergambar dan beliau datang siap dengan kotnya, sedangkan Ketua Rumah dan Penolong tidak duduk di sisinya. (Lihat Chenderamata 1958 muka surat 70). Saya mempelajari daripada peristiwa ini bahawa kaedah demokrasi secara membuang undi tidak semuanya mendatangkan keputusan jitu, malah sistem ini terbukti bukan sistem yang fool-proof. Barangkali pelik juga orang putih itu memikirkan mengapa hal itu terjadi di Rumah PGM sahaja tahun itu.

1959 Ketua Rumahnya ialah Abdul Rahman bin Mahat dan dibantu oleh saya sendiri. Perihal Abdul Rahman yang sakit dan kemudiannya meninggal dunia ada saya catatkan di dalam fail lain di Blog ini.

Pada 1960 Ketua Rumah dipegang oleh Baharuddin Awang dan dibantu oleh Abdul Manaf Meon. Pada 1959 mereka berdua inilah paling bising di asrama ini dan kebanyakan penghuni bersetuju supaya mereka pula yang merasa pahit maungnya bekerja tanpa gaji itu. Saya pernah singgah di rumah Abdul Manaf di Kuala Pilah pada suatu hari untuk berhari raya. Pada masa itu saya kerap berulang-alik dari Kuantan ke Seremban kerana anak saya Khairul Faizi bersekolah di SDAR. Rumah Manaf terletak betul-betul di hujung jambatan sebelum masuk ke pekan Kuala Pilah. Kami makan kuih raya bersendirian kerana Manaf dan isterinya telah memulakan Puasa Enam. Itulah kali terakhir saya bertemu (dan masih bergurau) dengan beliau, kerana tidak berapa lama selepas itu saya diberitahu oleh Kassim Haji Rahmat yang Manaf telah meninggal dunia. Inna lillahi wa inna ilaihi raji’un.

Semasa saya menjadi Ketua Rumah, pihak Maktab bersetuju untuk menjadikan salah sebuah bilik yang dahulunya digunakan sebagai bilik pertukangan sebagai bilik menggosok pakaian. Setelah bilik itu diubah suai, diletakkan 10 buah seterika elektrik, lengkap dengan alat penyembur air dan kain alas bagi kegunaan pelajar. Pemangku Pengetua, Encik Mohd. Zain Abdul Rashid pada suatu hari memanggil saya ke biliknya, menyerahkan tanggungjawab menjaga penggunaan bilik itu kepada saya kerana, alasannya, bilik itu hampir dengan Rumah PGM. Apabila saya tidak lagi menjadi Penolong Ketua Rumah, saya memberitahu Encik Zain agar memperkenankan tugas menjaga bilik itu diberikan kepada Yahaya Samah, seorang pelajar Rumah PGM juga yang kerap sangat menggunakan kemudahan di situ. Beliau menyetujuinya, dan saya sendiri melantik pengganti saya yang baru ini. Sebenarnya, jauh di sudut hati saya, saya sudah jemu menjaga bilik itu kerana rasanya sangat menyusah dan mengikat masa saya, sedangkan tugasnya tidak seberapa.

Sebagai Ketua Rumah, tugasnya tidaklah berat sangat. Sebahagian besar tugasnya memastikan keadaan bilik tidur dan asrama keseluruhannya tersusun bersih, iaitu: (a) kasut dan selipar di susun di bahagian hujung katil; kain cadar, bantal dan selimut diletakkan pada tempatnya dan tersusun rapi; kelambu digulung kemas dan digantung pada dawai railing; (b) semasa pergi bersembahyang Jumaat pelajar mesti berpakaian Melayu lengkap dan berjalan berbaris dalam susunan empat orang sebaris; (c) sekali seminggu pergi berjemaah ke Surau Kolej; (d) mengadakan mesyuarat rumah pada waktu yang ditentukan; (e) mempastikan semua penghuni turun ke padang pada waktu permainan petang; (f) menentukan lampu asrama ditutup jam 10.30 malam; (g) menentukan bilik-bilik asrama berkeadaan bersih sentiasa; (h) menyediakan pasukan atau wakil asrama untuk setiap pertandingan seperti pasukan bola sepak, pasukan volley-ball, pasukan bahas, wakil syarahan, wakil pertandingan al-Quran dan lain-lain. Sebelum 1957 penghuni asrama dikehendaki menyapu sampah di asrama, tetapi sejak merdeka telah ada tukang sapu khas yang dilantik. Ketua Rumah secara automatik menjadi Ahli Badan Pekerja PPSITC, tetapi Penolong Ketua Rumah tidak. Badan Pekerja itu samalah fungsi dan ertinya dengan Jawatankuasa. Dalam bentuk yang sama, seseorang yang dipilih sebagai Ketua Negeri, secara automatik menjadi Ahli Jawatankuasa Makanan, dan di kalangan mereka dipilih pula seorang yang menjadi Ketua Makanan.

Ketua Rumah juga dikehendaki mengawasi penghuni yang sakit. Jikalah teruk sakitnya, mereka kena tinggal di sick-bay. Makan minum semasa di situ akan diuruskan oleh seorang pekerja khas iaitu Abang Alwi. Kalau yang sakit hanya demam-demam air, bolehlah berbaring di katilnya dan Ketua Rumah boleh meminta sesiapa tolong mengambilkan makanannya semasa makan. Jikalau seseorang terpaksa mendapat rawatan gigi seperti mencabut gigi, mereka tentunya sukar untuk makan. Dalam kes ini si pesakit boleh meminta makanan khas daripada Pak Deris di dapur, iaitu sebuku roti dan sebotol air barli. Catuan makanan ini tidak semestinya si pesakit itu sahaja yang makan, kadang-kadang sekali hadap sahaja habislah semuanya – dikongsi dengan kawan-kawan di kiri kanan katil.

Sekali seminggu, iaitu pada hujung minggu, kami diberi makan lauk ayam. Hari-hari lainnya cuma ikan atau daging; tetapi lebih keraplah ikan. Kadang-kadang mereka masak ikan rebus (kini ada pendapat yang mengatakan ikan rebis ini haram dimakan kerana mereka rebus bersekali dengan kotoran dalam perut ikan itu). Pada selera saya, masakan ikan rebus itu boleh tahan juga rasanya! Petang yang keesokan harinya makan ayam, pelajar Tahun Satu (bergilir-gilir rumah) dikehendaki masuk ke dapur membantu tukang masak mencabut bulu ayam. Oleh kerana ada enam buah asrama, maknanya selepas enam minggu kenalah giliran kami pula mencabut bulu ayam. Mereka yang mencabut bulu ayam ini ada juga upahnya, iaitu semasa sarapan kami boleh mengambil goreng hati dan hyempedal ayam untuk dimakan dengan nasi lemak atau roti canai pagi itu. Pasukan pengakap yang kena berkhemah hujung minggu mereka dibekalkan beberapa ekor ayam hidup, dan kenalah mereka menyembelih, membersih dan memasaknya sendiri di dalam perkhemahan. Masa itu bukan ramai sangat yang berani menyembelih ayam. Ada cerita tentang ayam yang dibawa itu terlepas lari dan terpaksalah mereka mengejarnya di sekeliling tapak perkhemahan.

Roti Keras

Salah satu makanan yang popular tidak sedapnya di Kolej kami ialah roti keras. Sebelum masuk ke Kolej lagi saya telah dimaklumkan tentang penangan roti keras ini. Hari pertama dan kali pertama saya bertemu dan menikmati roti keras ini terbetik juga di dalam hati tentang ’tohmahan’ tentangnya. Saya rasa OK saja. Lemak, ya, keras sedikit, tapi mengenyangkan. Untuk melembutkan roti itu boleh dibenamkan di dalam cawan teh yang bersaiz besar.

Selepas empat lima kali memakan roti itu, saya teruja untuk bersetuju dengan pendapat umum bahawa roti itu tidaklah boleh dimasukkan sebagai salah satu menu yang sedap, apatah lagi untuk dikatakan enak. Pada pendapat saya roti itu boleh menjadi enak kalau cara adunannya diubah, dengan memasukkan serbuk penaik yang entah berapa sen sahaja harganya, dicampur dengan daun kucai atau daun kari, lada dan sedikit udang kering kering atau ikan bilis. Roti itu pula hendaklah digoreng sebelah pagi, bukan pada sebelah malam.

Atas daya usaha Jawatankuasa Makan tahun itu, Setiausahanya, Mohd. Saad Bongkek mencadangkan roti keras itu ditukar dengan menu baru yang beliau sendiri menciptanya. Cadangan itu bukan sahaja diterima oleh pihak Maktab bahkan Saad sendiri menerima surat pujian kerana usahanya itu. Maka tamatlah suatu citra menu unik yang dinikmati puluhan tahun di maktab kami.

Pertama kali memakan roti baru itu memang terasa kelainannya. Bolehlah dipuji. Tapi, agak malang kerana roti baru itu tidak diputuskan namanya. Sementara nama rasmi didapati, kami menamakannya ROTI BONGKEK, sesuai dengan nama bapa penciptanya, iaitu Setiausaha Jawatankuasa Makanan kami. Nama yang bertuah ini rupa-rupanya kekal ’mendunia’ sehinggalah roti itu dikeluarkan daripada menu makanan Kolej berikut perubahan sistem menyediakan makanan dan pelbagai perubahan lain. Yasakaa buat Saad!

Istilah-istilah pelek, yang kadang-kadang disebut oleh ahli bahasa sebagai slanga memang wujud dan bercambah di dalam masyarakat khas seperti di kolej, universiti, kumpulan tentera dan sebagainya. Di SITC terdapat istilah yang kami sendiri sahaja yang faham maknanya, seperti tuang, panjang ekor, pakcucing, tarik tali, angkat bendera, seluar tanjen dan sebagainya. Yang saya mahu ceritakan di sini ialah bagaimana istilah seluar tanjen itu wujud. Masa itu guru matematik yang kami kagumi, Cikgu Wan Dus Muhammad mengajar subjek tangen, sains dan cosains. Perkataan tangen itu sahlah baru kali pertama kami dengar. Pada suatu petang ada perlawanan hoki antara pensyarah dengan pelajar. Bagi pihak pensyarah, sebab mereka tak ramai, siapa saja yang sanggup bermain, jadilah. Maka turunlah Cikgu Wan memakai baju panas jenis stella biru tua dan seluar pendek (sebenarnya tak berapa pendek) warna khaki yang tali penyangkut tali pinggangnya berbutang, persis seluar polis pada masa itu. Seluar itu cukup besar untuk badan beliau. Kaki seluarnya jika dimasukkan tiga empat pasang kaki lagi masih selesa. Saya lupa siapa yang memenangi perlawanan petang itu kerana perhatian kami asyik tertumpu untuk menamakan seluar macam yang dipakai oleh Cikgu Wan itu seluar tanjen. Sejak itu, sesiapa sahaja yang memakai seluar yang kakinya besar (tak kiralah seluar pendek atau seluar pantelon) budak-budak SITC memanggilnya seluar tanjen. Saya tak tahu istilah itu masih terpakai hingga sekarang atau telah lupus. Kalau pun lupus, saya fikir, bukan kerana istilahnya tidak sedap atau melencong maknanya, tetapi sebab seluar jenis itu tidak dipakai lagi; istilahnya masih tetap tepat, jitu, sedap didengar dan sangat historic!

Budaya SITC

Perkara-perkara yang saya sebutkan di dalam Blog ini merupakan budaya yang diserapkan sejak 1922 di institusi bangsa Melayu di Tanjong Malim ini. Salah satu faktor Kolej ini terkenal di kalangan orang Melayu ialah jasa yang telah dibuktikannya dalam meningkatkan pendidikan Melayu. Pada masa itu tiada institusi lain yang menjadi pesaingnya.

Sikap dan pandangan para pensyarah juga turut mengukuhkan budaya positif ini. Meskipun kebanyakan guru dan pensyarah terdiri daripada lepasan Kolej yang sama, pensyarah yang berasal dari institusi lain juga turut sama dalam proses pengukuhannya. O. T. Dussek misalnya pernah menasihatkan anak-anak Melayu yang dididiknya di SITC supaya menyayangi bahasa dan budaya Melayu. Sikapnya ini sangat konsisten, lihat sahajalah telegram yang dikirimkan kepada Perjumpaan 1958 itu, iaitu beberapa tahun sebelum beliau meninggal dunia. Aminuddin Baki khabarnya mula terlibat dengan SITC selepas beliau dilantik sebagai salah seorang anggota Jawatankuasa Penyiasat Mogok 1949. Semasa majlis perpisahan meraikan pertukaran beliau dari SITC beliau menangis teresak-esak sehingga tidak dapat meneruskan ucapannya.

Kewujudan SITC dari awal penubuhannya adalah dalam keadaan serba kekurangan. Bayangkanlah, kami tidak cukup kerusi, sehingga setiap petang Sabtu pelajar-pelajar Tahun Satu terpaksa menjunjung empat buah kerusi hijau dari Dewan Besar ke Bilik Wayang Gambar. Kerusi ini bakal digunakan tatkala menonton wayang gambar pada sebelah malamnya kerana bilik itiu tidak mempunyai kerusi. Peristiwa menjunjung kerusi ini tidak mungkin dapat dilupai kerana ia diiringi dengan nyanyian sindiran oleh pelajar senior dengan lagu Terkenang Semasa Dulu oleh R. Azmi yang diubah seni katanya:

Terkenang semasa dulu
Semasa aku tahun satu
Setiap hari Sabtu
Dah tentu kena angkat bangku.

Masa berganti masa
Kiniku dah tahun dua

Oh oh oh …

Meskipun ini merupakan suatu bentuk lelucon, tetapi ia tetap menjiwai dalam lubuk hati kami untuk mengenangi peristiwa hidup di Ibu Kandung itu.

Ketoyong adalah satu perkampungan yang kebanyakannya didiami oleh orang Rawa terletak di sebelah barat pekan Tanjong Malim. Kampung ini mempunyai hubungannya sendiri dengan institusi pendidikan itu. Di sinilah letaknya kubur pelajar-pelajar SITC yang meninggal dunia semasa belajar di Kolej. Bayangkan, zaman sebelum merdeka perhubungan dari satu bandar ke bandar lain sangat terbatas, termasuklah bandar Tanjong Malim. Orang Pahang yang meninggal di situ tidak dihantar mayatnya ke kampung yang tidak sampai 100 batu jaraknya. Saya pernah menaiki kapal terbang yang membawa jenazah seorang pelajar Malaysia yang lemas di Tasik Michigan, yang diiringi oleh seorang pegawai pendidikan di Jabatan Penuntut Malaysia di Los Angeles. Pelajar Tahun Satu dikehendaki secara bergilir-gilir menziarahi kawasan perkuburan Ketoyong, membersihkan kubur dan bertahlil. Saya tidak pasti kegiatan begini masih dilakukan sekarang – zaman kita merdeka – tetapi saya amat pasti hal ini turut membina budaya positif di kalangan pelajar, yang seterusnya merasa keterikatan moral dan spiritualnya dengan Kolej, sebagaimana yang pernah saya alami lima puluh tahun yang lalu.

Memang benar, budaya kenegerian sangat kuat dalam tahun-tahun lima puluhan ke bawah di SITC, tetapi penerapan ini tidak pernah menimbulkan kesan negatif dan melampau. Barangkali begitulah kehendak masyarat pada zaman itu. Buktinya jelas boleh dilihat dalam hal penubuhan badan-badan sosial dan kebajikan seperti Kesatuan Melayu Singapura, Persatuan Melayu Selangor, Persatuan Melayu Johor, Persatuan Melayu Pahang, Persatuan Melayu Perak, Persatuan Melayu Kelantan dan lain-lain yang akhirnya bergerak ke arah menjadi pertubuhan politik demi memperjuangkan kemerdekaan tanah air.

Di SITC ada seorang tua yang kecil tubuh badannya, tapi mempunyai wajah yang sentiasa riang. Setiap pagi beliau mengayuh basikal tua yang dipangkin belakangnya terdapat sebuah bakul rotan besar berisi kuih cucur. Berbeza dengan Roti Keras dan Roti ’Bongkek’, kuih cucur orang tua ini lebih kecil saiznya, ada daun bawang (barangkali) dan sedikit cili dan ikan bilis. Semua orang memanggil beliau Pak Mat Turki. Saya sendiri tidak sempat mengusul periksa bagaimana nama itu diperolehinya, tapi saya yakin pelajar-pelajar SITC-lah yang pandai-pandai mengurniainya. Ada dua aspek budaya murni yang saya pelajari daripada kegiatan the unsung hero ini: Pertama, beliau sebenarnya tidak menjual kuihnya itu, tetapi meletak di pintu Dewan Makan, sambil tersenyum manis, mempelawa sesiapa sahaja mengambil kuih. Nak bayar, dia terima wangnya: lima sen sebiji. Kalau tidak ada duit (wang saku belum diterima, atau kalau dah diterima wangnya telah habis) ambil begitu sahaja pun boleh dengan pesanan Pak Mat: kira hitung panjang sahajalah Cikgu! Kedua, beliau tidak pernah meminta hutangnya, tetapi hanya menerima sesiapa yang membayarnya. Selain daripada itu, macam yang saya katakan tadi, kalau mahu melihat wajah orang ceria pada zaman itu, renungilah wajah dan senyuman manis beliau. Pernahkah anda menemui ada seorang manusia lain seistimewa Pak Mat Turki ini?

Bagi saya, sikap dan perwatakan Pak Mat Turki telah membudayai SITC!

Harapan:
Saya sangat mengharapkan kepada sesiapa sahaja yang membaca Blog ini supaya sudi membaca Al-Fatihah untuk disedekahkan pahalanya kepada roh Allahyarham Pak Mat Turki (yang nama sebenarnya tidak ada antara kami mengetahuinya, tetapi Allah SWT mestilah tahu) agar diampuni dan diberkati Allah SWT, insya Allah. Al-Fatihah ...

2 comments:

fba.iskandar said...

assalamualaikum...
saya masih belum habis membaca blog tuan. cuma saya terpanggil untuk membelek2 blog ini setelah saya dapat nama ayah saya berada dalam blog ini. Untuk pengetahuan tuan (ABDULAH IDIN ) adalah bapa saya. di dalam ENTRY (Suluh Kampung Matahari Desa )tuan menulis

"Pada 1958 Ketua Rumah kami ialah Abdullah Idin dan dibantu oleh Redzuan Haji Dahali. Abdullah adalah pelajar Pahang yang berasal dari Kuala Kenong, Lipis. Beliau seorang yang lemah lembut dan warak serta sentiasa tersenyum."

saya berharap dapat berjumpa tuan suatu hari nanti kerana saya juga ingin melihat koleksi gambar2 lama yang mungkin tuan masih simpan semasa berada di SITC. gambar2 lama koleksi bapa saya sudah saya 'Digitalkan' semua sekali. kalau tuan mahu gambar2 tersebut boleh saya hadiahkan kepada tuan. boleh hubungi saya di 012-4402 033 (fakharuddin) sekian..

YAAKUB ISA said...

Anakanda Fakharuddin Iskandar, Maaf lambat menjawab post Sdr. Salam saya kepada bapa Sdr. Sukacita sekali sekiranya saya dapat salinan digital itu. Gambar-gambar lama sekolah dan persekolahan akan saya masukkan dalam sebuah buku tentang Sejarah Pendidikan Pahang yang sedang saya usahakan. Nanti kita berhubung. Salam.