Menjadi Mahasiswa Baru UM
Surat daripada Universiti Malaya meminta saya melaporkan diri sebagai pelajar baru sesi 1969/1070 pada 12 Mei. Walaupun agak berdebar, tapi saya cukup gembira kerana terpilih ke Fakulti Sastera UM itu.
Urusan keperluan asas telah selesai: Rumah tumpangan dicari oleh Abdul Munir Abdul Basik di Paramount Garden, sebuah rumah teres dua tingkat dan kami menyewa di tingkat bawah yang ada tiga bilik. Mengikut Munir, tuan punya rumah ini tidak mahu menyewakan rumahnya kepada pelajar universiti; jadi Munir mengenalkan dirinya sebagai seorang Pegawai MARA, untuk menyelesaikan masalah.
Yang bersetuju tinggal bersama ialah Musa Ahmad (guru lepasan MPB), Saiyed Noordin Saiyed Kassim (guru lepasan RTC), Abdullah Ibrahim (bekas pelajar SMART, orang Kampung Mengkasar, Pekan), Mohd. Nashoha. Mohd Amin (bekas pelajar SMART, orang Pahang Tua), Engku Abdul Azah Syed Alwee (bekas pelajar SMART, orang Terengganu) dan saya sendiri. Kecuali Musa, yang lain semuanya belum berkahwin pada masa itu (termasuklah Munir yang mengaku demikian). Susunan bilik juga telah dipersetujui: Musa sebilik dengan saya, menempati bilik paling hadapan; Saiyed sebilik dengan Munir bilik kedua; yang tiga orang kami anggap sebagai masih ’budak-budak’ dan mereka tinggal sebilik di bilik belakang. Tidak ada katil di rumah itu. Kami semua tidur di lantai. Nasib baiklah di dalam bilik telah dibuat lantai papan (bukannya parquet) untuk mengelakkan kesejukan simen.
Kami bertolak sebelah tengah hari 12 Mei dalam dua buah kereta. Kereta saya, jenis Volkswagon (BU 1942) dan sebuah lagi kereta Mazda kepunyaan Saiyed Noordin. Engku Azah datang sendiri dari Terengganu. Munir tidak datang bersama kami. Dia memang seorang yang memiliki ’lesen besar’.
Sehari sebelum itu Pilihan Raya Umum. Saya mengundi secara pos kerana bertugas sebagai Ketua Tempat Mengundi Sekolah Kebangsaan Pulau Jawa, Pekan.
Tidak mudah juga mencari rumah di Seksyen 20 itu. Seksyen itu bersebelahan dengan SEA Park, sebuah kawasan perumahan dan perniagaan besar yang sedang dalam pembinaan. Kecuali Munir, orang lain belum pernah sampai ke kawasan itu. Landmark yang diberi ialah kilang cat Session, kilang Colgate-Palmolive, kilang Dutch Baby, kilang Brylcreem, Pejabat Pos Jalan Semangat. Walaupun nama-nama itu sangat biasa, tetapi mencarinya di kawasan yang serba asing itu bukanlah mudah.
Dengan penuh sabar tetapi gelisah akhirnya kami temui juga rumah yang dicari-cari. Telah ada dua buah kereta di dalam kawasan rumah, kepunyaan penghuni tingkat atas. Seorang memperkenalkan dirinya sebagai jurutera elektrik lulusan Australia dan seorang lagi ahli perniagaan. Kedua-duanya teman berketurunan Cina itu berkeluarga. Jiran sebelah kanan juga orang Cina, yang ada tiga buah kereta di dalam pagar rumah mereka. Sebelah kiri rumah lorong yang muat sebuah kereta untuk pergi ke rumah-rumah belakang.
Jurutera di tingkat atas memberitahu kami bahawa terdapat sebuah meja pingpong di kawasan lapang (airwell) rumah kami itu. Meja itu kepunyaan beliau dan beliau memberi kebenaran untuk kami menggunakannya, kalau kami mahu. Ada sebuah peti TV buruk dan katanya masih berfungsi. Itu pun, kalau mahu kami boleh menggunakannya.
Sebelum datang untuk mendaftarkan diri saya juga berhubung dengan Ramli Mohd. Noh, kawan rapat semasa di SITC, dari Jitra yang menyatakan beliau juga diterima masuk ke UM. Berita ini sangat menggembirakan saya. Ramli ajak tinggal bersama-sama beliau di kawasan PJ Old Town, tidak berapa jauh dari kampus ITM di Jalan Othman. Beliau tinggal bersama-sama Cikgu Ishak Yaakub yang bertugas di Biro Buku Teks, Kementerian Pelajaran. Turut mendapat tempat di UM dan tinggal bersama-sama beliau ialah Saiyed Ahmad Saiyed Yassin (asal Sega, Raub dan berkahwin serta menetap di Kedah, saya sendiri belum mengenalinya tetapi tahu benar ayahnya pandai berlagu serta berqasidah kerana pernah satu masa beliau mempamerkan ketrampilannya di Dewan SITC), Aziz Khamis (saya tidak mengenalinya kerana beliau bukan bekas pelajar SITC, tetapi TUOS), Othman Mat (orang Perlis, guru lepasan MPB yang saya belum kenali) dan Abdul Karim Ismail (orang Baling, lepasan RTC yang saya belum kenali juga). Ramli memberitahu, masih ada tempat kalau saya mahu tinggal bersama mereka.
Meskipun saya sangat rapat dengan Ramli, saya tidak bersedia meninggalkan teman dari Pekan ini. Lagi pun, untuk ke kampus, lebih dekat dari Paramount Garden berbanding Kawasan Bandar Lama. PJ. Dari PJ kena melintas Federal Highway. Ini selalu mengerikan. Satu faktor menarik tentang kawasan itu berbanding Paramount Garden ialah di situ kawasan kediaman Melayu.
Sesat Barat
Selepas berehat, setelah mengemas-ngemaskan apa yang patut, kami berasa lapar dan bercadang melihat kalau-kalau ada kedai makan di deretan kedai seberang jalan di hadapan rumah kami. Malangnya tiada sebuah pun kedai makanan Islam. Ada sebuah kedai roti Vitaloaf, khabarnya kepunyaan Mara, ada kedai runcit, kedai buku dan surat khabar, kedai makanan kepunyaan orang Cina, kedai kain kepunyaan orang India Utara, klinik, kedai alatan elektrik, kedai perabot, kedai membaiki dan menjual motor. Kedai makan orang Islam sahlah tiada.
Kami bersiap-siap mencari kedai makan sebelum malam, kerana kalau mencari pada waktu malam akan menjadi lebih sulit. Kami keluar melalui Jalan Semangat, dan akhirnya secara tidak langsung bertemu dengan sebuah kedai makan di Bulatan Universiti. Kedai ini terletak di tempat tinggi, dari situ kami dengan jelas dapat memandang kilang Beechum (Brylcreem) hadapan, Kolej Islam di sebelah kanan, Jalan Abu Bakar Baginda di sebelah kiri, Sekolah Menengah Sultan Abdul Aziz di tepi Jalan Universiti yang menghala ke pintu besar Lorong Elmu, Universiti Malaya. Deretan kedai di atas bukit kecil itu ada lima enam buah sahaja.
Selepas makan kami bersetuju untuk melihat-lihat bandar Kuala Lumpur pada waktu malam. Kami menyempatkan diri singgah di Jalan Mountbatten, tempat terletaknya Jabatan Penerangan pada waktu itu. Memang ramai orang yang sedang mengerumuni display board keputusan Pilihan Raya 1969 – segala bangsa ada belaka. Mereka memperkatakan siapa menang, siapa kalah. Termasuk yang kalah dakam pilihan raya itu ialah Menteri Penerangan (Dato’ Senu Abdul Rahman) sendiri. Negeri-negeri yang jatuh atau nyaris jatuh ke tangan pembangkang ialah Selangor, Pulau Pinang, Perak, Kelantan, Terengganu. Pahang sendiri ada dua orang calon PSRM (Cikgu Zulkifli Ismail dan Sivasubramaniam) memenangi kerusi Sungai Lembing dan Tanah Putih, dalam kawasan Parlimen Kuantan.
Ada nampak kekalutan pada malam itu, tetapi tiada pula ketegangan.
Menjelang jam 9.30 malam kami bergerak ke arah PJ. Tanpa disangka, kami menghadapi kesulitan untuk mencari rumah kami. Berlegar-legar di kawasan Lebuh Persekutuan, PJ Old Town, ITM, PJ New Town, balik ke Jalan Bangsar, Jalan Semangat, Universiti Malaya, Jalan Pantai Baru... Kami singgah di stesyen minyak Esso Jalan Universiti dan bertanyakan pekerja di situ. Penerangan yang diberikan mereka tidak juga membolehkan kami berjumpa tempat yang dicari. Pada saat itu tidak ada sesiapa di kalangan kami yang berani mengatakan dia kerap ke KL dan tahu selok-belok Ibu Negara itu. Yang memang belum pernah sampai janganlah dikata.
Sesat kami telah menjadi ’sesat barat’ kata orang. Akhirnya, hampir jam 12.00 tengah malam barulah kami tiba di rumah. Dengan penuh keletihan – mental dan fizikal – kami terus tidur dengan harapan bangun pagi-pagi keesokan hari untuk mendaftarkan diri sebagai mahasiswa baru.
Mula Mendaftar
Pendaftaran pada awalnya agak lancar. Kami diberi fail, buku prospektus, tali leher, baju T dan entah apa-apa lagi. Di Art Concourse telah ada beberapa organisasi mempelawa kami untuk menjadi ahlinya. PBMUM, Historical Society, Geographical Society, Persatuan Mahasiswa Islam, Persatuan Ekonomi, Non-Hostilite Organisation, Kelab Sosialis, macam-macamlah. Tapi untuk mendaftar pemilihan mata pelajaran mesti mengikut abjad. Saya yang ejaan nama bermula dengan huruf ‘Y’ mestilah dua tiga hari lagi.
Ramli memberitahu saya dia kena balik dahulu ke Kedah kerana pendaftaran mata pelajarannya pun tersangkut. Dia mahu mengambil beberapa barang yang masih tinggal, di samping telah membeli sedikit pakaian untuk anak-anak. Dia meminta saya untuk menghantarnya ke stesyen kereta api pada petang itu kerana beliau telahpun membeli tiket kereta api ke Alor Setar yang bertolak jam 7.00 petang.
Petang itu saya dengan Saiyed Nordin pergi mengambil Ramli di PJ Old Town dan terus menghantarnya ke stesyen kereta api. Biasanya dari arah PJ kami terus ke kawasan tengah bandar untuk berpatah arah memasuki kawasan stesyen, mungkin berpusing di Bulatan Raja Muda dan singgah sebentar di Pustaka Antara. Tapi petang itu kami terus sahaja membelok ke stesyen melalui bulatan di hadapan Masjid Negara. Selepas menurunkan Ramli, kami terus balik ke PJ.
Sebelum tiba di rumah kami makan dahulu di kedai yang kami biasa makan dekat Bulatan Universiti. Budak-budak di rumah turut memesan nasi bungkus sebungkus seorang.
(Itulah makan nasi terakhir kami untuk lima hari kemudiannya, kerana seluruh KL dan PJ dikenakan perintah berkurung dan di rumah kami tidak ada apa-apa untuk dimakan, selain minuman kordial, roti dan sedikit kudapan yang dibawa dari rumah).
Berita Cemas
Semasa kami sedang menikmati makanan nasi Malaya, seorang wanita separuh umur masuk ke kedai itu dengan termengah-mengah. Dia menanyakan kami di mana kami tinggal. Kami memberitahunya bahawa kami tinggal di Paramount Garden.
”Cepat-cepat makan. Lepas ini balik terus ke rumah, dan jangan keluar-keluar lagi. Ada orang tengah bergaduh di Gombak, Kampung Baru, Datuk Keramat, Kampung Pandan dan Jalan Tuanku Abdul Rahman,” katanya dengan nada cemas.
Kami tidak berasa cemas, tapi terpengaruh juga dengan nasihat wanita tadi, dan terus balik. Tiba di rumah masih seperti biasa. Tiada siapa yang tahu apa yang sedang berlaku pada petang itu di Kuala Lumpur kerana kami tidak memiliki radio. TV buruk kepunyaan jurutera Cina itu pun tak tahu boleh dipakai atau tidak. Kami dari Pekan pada masa itu belum biasa dengan TV kerana siaran TV belum sampai ke sana.
Malam itu lalu lintas semakin berkurangan dan akhirnya senyap. Dini hari saya mendengar hebahan dari helikopter atau kapal terbang kecil yang terbang rendah di kawasan kediaman kami; tapi hebahan itu dalam bahasa Cina. Puas saya menanti juga kalau-kalau ada hebahan dalam bahasa Melayu atau Inggeris, tetapi tiada.
Tidur kami sangat singkat malam itu.
Keesokan paginya kami bangun dan jalan raya sunyi senyap. Kadang-kadang ada kereta polis dan askar melintas dengan laju. Kedai semuanya tutup, kecuali kedai India yang menjual akhbar dan barang-barang runcit dan kedai Vitaloaf tadi.
Kami memang mengagak sesuatu yang buruk berlaku. Akhbar hari itu tidak terbit. Untuk menyedapkan hati kami mula menambah bilangan air minuman dalam botol dan kordial, membeli beberapa tin sardin, tetapi terlupa pula membeli gula, milo, ovaltine atau kopi. Kami juga membeli roti dan sedikit biskut. Betul juga, kalau dibeli kopi dan gula pun kami mana ada cerek elektrik untuk memasak air. Kami juga tidak membeli beras kerana sekiranya beras ada, hendak memasak nasi di dalam apa? Dapur di rumah kami memang tidak mungkin boleh berasap. Lagi pun, kami masih mengharapkan esok lusa dapat makan nasi di kedai langganan kami di Bulatan Universiti itu.
Bagaimana untuk ke kampus, menyambung kerja pendaftaran yang masih belum selesai? Malapetaka barangkali telah menimpa negara, dan kami yang di perantauan ini turut menanggung akibatnya!
No comments:
Post a Comment