Kopi Berempah
Nampaknya judul yang mahu saya ketengahkan kali ini agak pelik sedikit. Pernahkah anda mendengar atau menikmati minuman kopi yang dibacuh menggunakan Serbuk Kopi Cap Gajah?
Semasa kecil, di sekeliling rumah kami terdapat enam rumpun batang kopi. Saya suka melihat bunga kopi yang putih bersih, malah lebih suka mencium baunya yang lembut wangi itu. Dengan hanya enam rumpun kopi, biasanya dapat digunakan untuk bahan minuman sekeluarga, malah kadang-kadang boleh diberikan pula kepada jiran tetangga atau keluarga yang datang berkunjung.
Buah kopi bila sudah masak berwarna merah, semakin masak warna merahnya semakin tua. Masa itulah buah-buah itu dipetik, dimasukkan ke dalam baldi atau raga, kemudian dibersihkan sebelum direbus dengan air mendidih supaya kulit arinya tertanggal dari isinya. Di bawah kulit ari – kulit ini manis rasanya dan kami kerap menjamahnya – yang tanggal itu terdapat lapisan kulit yang rapuh. Kulit ini lebih mudah tanggal selepas biji kopi itu dikeringkan pada panas matahari. Disebabkan biji kopi agak banyak, kulit rapuh itu lebih mudah dibuang dengan menumbuknya di dalam lesung. Selepas itu dapatlah biji kopi baku.
Untuk dijadikan kopi, biji kopi baku itu kenalah digoreng di dalam kuali (tanpa sebarang minyak). Orang kampung kami memasukkan rempah semasa menggoreng biji kopi untuk menjamin keenakan rasanya. Rempah yang digunakan adalah halia bara, kulit kayu manis, jintan manis, gula kerek, dan cengkeh. Semasa menggoreng itu pun sudah terbau aroma harumnya. Setelah semuanya hitam (masak), campuran itu ditumbuk sampai lumat dan diayak untuk mendapatkan serbuk kopi yang betul-betul halus. Demikianlah, ditumbuk, diayak beberapa kali. Serbuk kopi itu dipanggil kopi berempah.
Biasanya, selepas kerja menumbuk kopi itu selesai, Emak membancuh kopi untuk diminum bersama. Kalau ada biskut 'balak' atau rebus ubi kayu, suasana meminum kopi petang itu tentulah menjadi lebih meriah lagi.
Sebenarnya, daun kopi juga boleh dijadikan minuman yang enak. Ambil daun yang tua (berwarna perang), bersih dan masukkan di dalam air panas, sebagaimana membancuh teh. Air daun kopi kami panggil air kahwa. Rasanya tidak kalah berbanding teh. Dalam sejarah Pahang, semasa Wan Ahmad mengatur strategi bersama-sama pengikutnya untuk memerangi kekandanya Wan Mutahir dalam Peperangan Saudara di Pahang yang terkenal itu, mereka berbincang sambil meminum kahwa. Sebagai mengenang peristiwa bersejarah itu, setelah baginda menang dan menjadi Sultan Pahang, diabadikanlah daun kopi pada logo negeri Pahang. Lambang daun kopi pada logo itu ramai orang keliru, mengatakannya sebagai tombak. Bukan! Daun kopi itu sebenarnya terletak pada mata lembing yang tarannya menghala ke bawah.
Seorang teman saya Sdr Abdul Munir bin Abdul Basik, semasa kami sama-sama tinggal di Paramount Garden, Petaling Jaya, sekitar 1969-1970, setiap kali balik ke kampus, ibunya pasti membekalkan kopi berempah. Kami seronok diajak menikmati kopi nostalgik ini. Saya tak tahu beliau yang sekarang bergelar Dato’ masih mendapat bekalan kopi berempah lagi, kerana setahu saya ibunya telah lama meninggal dunia. Saya tahu, kalau tidak meminum kopi berempah beliau akan berasa ’tak sedap badan’.
Dahulu kopi berempah ada dijual di dua buah gerai barang-barang kering di Pasar Pekan. Tahun lepas (2007) ketika saya mencarinya, kopi jenis itu tidak terdapat lagi. Mengikut tuan punya gerai, pembuat kopi berempah yang biasa itu tidak lagi menghantar jualannya ke situ.
Kalau mahu kopi berempah anda boleh pergi ke Pekan Sahari atau Pasar Tani Pekan. Mak Kecik Zalmah yang tinggal di Tanjung Medang ada menjualnya. Tapi, baru-baru ini, Mak Kecik Zalmah sendiri pun jatuh sakit pula, jadi tiadalah lagi orang berjual kopi berempah di Pekan. Saya suka berhubung dengan beliau, kerana selain ada hubungan keluarga jauh, beliau kuat sangat melatah. Kalau kita senyum sahaja kepadanya pun boleh menjadikan beliau terlatah. Saya doakan agar Mak Kecik Zalmah kita tu biarlah cepat sembuh dan mengusahakan semula kopi berempahnya.
Saya harap akan ada orang lain yang meneruskan usaha membuat kopi berempah yang merupakan tradisi orang Pekan ini. Bagi saya, inilah antara keistimewaan Pekan, Bandar Diraja Pahang itu.
Kopi Cap Gajah
Nah, sekarang tentang Serbuk Kopi Cap Gajah. Seingat saya, kopi ini dijual di kedai runcit di kebanyakan kampung. Serbuk kopi ini dibuat oleh LIAN HUAT & CO yang beralamat di No. 15, Pesiaran Segambut Tengah, 51200 Kuala Lumpur. Selain ada cap gajah, syarikat ini juga menggunakan 333 sebagai sebahagian daripada tanda perniagaannya.
Ada beberapa perkara yang menarik hati saya tentang kopi ini. Pertama, tentang gambar lukisan seekor gajah yang menjadi sebahagian tanda perniagaannya. Gajah itu nampaknya sangat comel, jinak, baik dan seolah-olah sangat mengikut kata. Sekiranya anda ada wang yang cukup untuk membeli gajah bagi dipelihara, saya tidak ragu-ragu lagi mencadangkan untuk membeli gajah yang serupa dengan lambang Serbuk Kopi Cap Gajah itu.
Sekitar tahun 1950-an, harga setin kopi yang beratnya kira-kira 420 gram (dahulu dikira tahil dan kati) hanya 60 sen. Perkembangan inflasi dan pelbagai macam kenaikan harga menyebabkan harga kopi itu sekarang mencecah RM5.80 sen. Harga ini adalah harga sebelum kenaikan harga minyak sedunia baru-baru ini.
Dahulu, tin kopi ini hanya dibalut dengan kertas bertulisan bahasa Melayu, Cina dan Inggeris. Kadang-kadang belum pun kopinya habis, balutan pada tin itu tanggal. Maklumlah, dipegang setiap masa, dan kadang-kadang dipegang dengan tangan basah pula. Kini tulisan pada tin dicetak terus dengan cat yang bermutu baik dan tidak mungkin mudah tanggal.
Kedua, terdapat tanda halal pada tinnya; tapi tanda ini bukan dikeluarkan dengan logo JAKIM atau mana-mana organisasi penentu halal. Begitu pun, saya belum pernah mendengar sesiapa pun membangkitkan isu halal yang dibawa oleh tanda halal pada tin itu. Nampaknya semua orang berkompromi tentang hal halal pada produk tradisi ini.
Ketiga, maklumat yang tercatat pada tin kopi ini sangat tidak sekata. Dalam tulisan jawi terdapat catatan:
”Serbuk Kopi Cap 333 Gajah ialah serbuk kopi yang baik. Diperbuat oleh Lian Huat Kompeni. Sedap dan wangi, diperbuat ahli pekerja yang mahir dan pula tidak dicampur dengan biji-biji yang lain. Ribuan penduduk Malaya yang telah memuji Serbuk Kopi ini. Silalah beli, harga murah dan sedap.”
Maklumat yang lain dalam bahasa Melayu tulisan rumi menyebut:
Serbuk Kopi Bercampur. Biji Kopi 60%, Gula 18%, Biji Gandum 20%, dan Marjerin 2%.
Maklumat dalam bahasa Inggeris pula menyebut: This mixture contains not less than sixty percent (%) of coffee with fourty percent (%) of oats, sugar and margarine.
Ketidaksekataan maklumat ini pun tidak pernah sesiapa mempertikaikannya sebelum ini. Para penggemar Serbuk Kopi Cap Gajah menerima maklumat itu seada-adanya dan dengan rela hati.
Kini, tanpa ada orang yang mengganti Mak Kecik Zalmah menjual kopi berempah di Pekan, kami masih menggunakan sekali sekala serbuk Kopi Cap Gajah, yang masih dijual di kedai-kedai kecil tetapi tidak terdapat di mana-mana supermarket atau hypermarket yang ada di tempat kami.
1 comment:
kt tmpat sy brrlambak kopi cap gajah ni
Post a Comment