Monday, September 1, 2008

Cerita Kampung Yang Pupus

Kampung Kemuning

Konon nama kampung itu Kampung Kemuning, terletak di tebing Sungai Teris, Lanchang, Mentakab. Suatu masa dahulu kampung itu merupakan sebuah kampung yang penuh dengan dusun buah-buahan, terutama durian dan langsat. Tidak diketahui sebab yang pasti mengapa kampung berdusun secantik itu ditinggalkan. Mereka yang mengunjung kampung itu pada musim durian gugur terpaksa menjunjung kawah bagi mengelakkan kepala ditimpa durian. Kawah itu digunakan untuk memasak durian untuk dijadikan lempuk kerana untuk membawa durian keluar bukannya perkara mudah. Perjalanannya jauh dan jalannya sukar dilalui. Demikianlah cerita orang.

Kini wujudlah beberapa kampung dan petempatan tradisional yang agak jauh daripada Kampung Kemuning, seperti Semantan, Kampung Bolok, Kampung Cempaka, Kampung Lana, Kampung Teris, Kampung Paya Laman, Kampung Den. Dr. W. Linehan dalam buku A History of Pahang hanya menyebut Terih, Semantan dan Lubuk Terua ketika menyebut gerakan penentangan terhadap Inggeris di Pahang oleh Bahaman dan Mat Kilau.

Kewujudan Kampung Kemuning selama ini hanyalah menjadi cerita mitos di kalangan generasi tua sekitar lembah sungai Semantan. Pergerakan pasukan Mat Kilau, Tuk Gajah dan Bahaman di Pahang Barat dikatakan melalui kampung ini, memudiki Sungai Teris untuk ke Raub, kemudiannya ke Lipis, Budu dan menghilir semula Sungai Pahang menuju Pulau Tawar, Kelola, Paya Kedangsa; atau mudik ke anak Sungai Jelai ke Kuala Tembeling, Pasir Sia, Pasir Mandi, Jeram Ampai, terus ke Terengganu, Kelantan dan Siam.

Ada sekeping peta Pahang yang dilampirkan dalan buku karangan W. Linehan: A History of Pahang (JMBRAS Vol. XIV, Part II, Jun 1936) yang disebutkan tadi tidak tercatat nama Kampung Kemuning. Peta negeri Pahang paling lama yang ada di Muzium bertarikh 1940, dengan catatan huruf tebal ‘EMERGENCY’. Mungkin peta itu digunakan untuk persediaan perang melawan tentera Jepun. Nama Kampung Kemuning tidak juga tercatat di atas peta tersebut. Ini bermakna, tahun 1936 kampung tersebut telah pupus.

Zon Pertanian

Kawasan sekitar Lancang diwartakan sebagai kawasan pertanian yang bakal mengeluarkan buah-buahan secara besar-besaran. Ladang pisang restali saujana mata memandang. Begitu juga ladang buah naga, sayur-sayuran, malah ada diusahakan tanaman buluh jepun yang mengeluarkan rebung untuk dibuat sayuran.

Dalam usaha membina lahan pertanian itulah salah seorang pengusaha menolak tanah dan menemui beberapa bahagian rangka manusia. Itulah mulanya pecah khabar kampung yang pupus ini.

Maka pada 16 Julai 2008 yang lalu pihak Muzium Negeri Pahang meminta saya ikut serta ke Lancang untuk menyertai rombongan yang diketuai oleh ADUN setempat YB Dato’ Haji Mohd. Sharkar Haji Shamsuddin, Pegawai Daerah, Kadi Temerloh, Polis, Penghulu, Ketua Kampung, Tok Imam dan beberapa wartawan ke kawasan yang ditemui rangka manusia itu.

YB Dato’ Mohd. Sharkar menyatakan bahawa kawasan tempat ditemui rangka itu tidak termasuk di dalam kawasan yang diberi hak milik sementara (TOL) bagi projek tanaman sayur; cuma pihak yang berkenaan secara sengaja atau tidak sengaja telah memasuki kawasan itu yang di dalam pelan derah masih tercatat kawasan rizaf kubur walaupun tidak pernah digunakan bagi tempoh yang sangat lama.


Bertahlil ringkas di tapak perkuburan

Keputusan yang dibuat di tapak perkuburan ialah YB Sharkar meminta penduduk kampung membuat kenduri tahlil sebagai membayar diat di atas kesilapan menceroboh kubur. Beliau bersetuju menyediakan dua ekor lembu bagi kegunaan kenduri, sedangkan orang-orang kampung diminta menguruskan hal-hal lain. Beliau berjanji akan menghadiri kenduri itu nanti.

Disebabkan kami dari Lembaga Muzium Negeri Pahang, orang kampung menawarkan kami untuk mengambil sebahagian tulang rangka itu dibawa balik untuk dikaji tentang siapa mereka, kalau boleh berapa lama mereka meninggal dan sebagainya.

Saya mula kelam-kabut dan berbincang dengan Pegawai Muzium, Encik Alauddin Abdullah. Saya tahu sangat, kami tiada alat, apa lagi kepakaran untuk kerja-kerja begitu, ditambah pula dengan kurangnya rasa berani menangani perkara yang acap kali dikaitkan dengan kejadian menggerunkan.

Sebenarnya dalam perjalanan ke Lancang saya sempat menelefon teman saya, pakar anthropologi yang sedang mengukir nama, Profesor Dato’ Dr. Nik Hassan Suhaimi yang sedang membuat ekskavasi di Kuala Gula bertanyakan pandangan beliau tentang hal itu. Pandangan beliau, dari segi anthropologi tentunya, ekskavasi hanya boleh dijalankan di kawasan yang belum terusik, sedangkan kawasan ini telah dilanda jentolak beberapa kali.

Kami menolak dengan baik pelawaan untuk menyimpan tulang manusia itu.


Tulang manusia yang dijumpai secara tidak disengaja

Pada 20 Ogos 2008 saya menerima telefon daripada Sdr Alauddin Abdullah meminta saya bersedia untuk ke Bukit Kemuning sekali lagi kerana pegawai dari Kementerian Warisan akan melawat ke sana dan mereka meminta pihak Muzium membantu. (Saya sebenarnya bukan lagi sebagai Ahli Lembaga kerana surat pelantikan Ahli Lembaga Muzium telah tamat bulan Disember 2007 dan Menteri Besar belum menandatangani surat pelantikan ahli yang baru). Apa pun statusnya, tak salah kalau saya memberikan khidmat sukarela kepada Muzium.

Lawatan kami kali ini hanya disertai oleh Ketua Kampung dan Tok Imam sahaja. Tuan Kadi Temerloh, Ustaz Badlishah Alauddin, berada di Kuala Terengganu, urusan Musabaqah Antarabangsa di Pulau Wan Man. Beliaulah yang meminta Ketua Kampung dan Tok Imam membantu kami.

Kami tidak lagi berpeluang melihat tulang rangka yang dijumpai dahulu kerana semuanya telah dikapan dan ditanam semula selepas majlis kenduri yang menumbangkan dua ekor lembu sumbangan YB Dato’ Mohd. Sharkar dahulu. Malah, Ketua Kampung memberitahu kubur itu akan diturap dengan simen kerana peruntukannya telah diperolehi, sekadar menanti keputusan siapa yang bakal mendapat konterek membinanya sahaja lagi.

Tak mengapalah. Pegawai dari Kementerian Warisan itu pun menyatakan mereka tidak memerlukan tulang rangka itu kerana baginya umur kawasan itu di bawah 500 tahun. Mesin radio-dating carbon hanya efektif sekiranya umur fosil mencecah ribuan tahun; lebih lama lebih tepat kiraannya.


Sungai Terih yang bersejarah, dengan airnya mengalir terus ke Kuala Semantan

Sebelum meninggalkan kawasan kampung pupus itu saya sempat bertanya Ketua Kampung, Encik Mat Lela (h.p.: 0126194481) kalau-kalau ada kemungkinan anak cucu penduduk kampung ini membuka semula kampung nenek moyang mereka. Pokok langsatnya masih banyak; durian ada dua pokok, dan Sungai Terih masih mengalirkan air jernihnya ke Sungai Semantan yang penuh sejarah; meskipun tebingnya ditumbuhi rimbunan pokok renek yang menanti untuk dibersihkan.

1 comment:

Tak wujud said...
This comment has been removed by the author.