Memanfaatkan Barangan Murah
Sejarah nilai setiap jenis ikan amat menarik jika dikaji. Lima puluh tahun dulu ikan ubi (Ophicephalus lucius) tergolong ikan yang tidak berharga. Apakah punca yang menjadikan ikan ini boleh mencapai harga RM23.00 sekilo sekarang masih menjadi tanda tanya. Malah, dengan harga sebegitu pun, peminat ikan ubi sukar untuk dapat membelinya di mana-mana, kecuali mungkin di Pasar Tani atau Pekan Sehari yang terletak di tebing sungai Pahang seperti Pekan, Lubuk Paku, Chenor, Kuala Semantan (Temerloh), Jerantut, Benta, Dong, Lipis dan lain-lain.
Demikianlah yang terjadi pada ikan tapah (Willago otu), baung (Mystus nemurus), tembelian atau temoleh (Probarbus jullieni), malah patin (Pangasius spp) dan tengalan (Puntius bulu). Harganya mencuat naik hingga tak terbelikan. Anehnya belum pernah pula kedengaran ada ikan yang suatu masa dahulu mahal dan disukai ramai kini bertukar harganya menjadi murah dan dibiarkan berlonggok di pasar tanpa sesiapa pun membelinya. Pelik, kan?
Singgang Ikan Tiram
Ikan tiram (Clupea kanagurta) dari dahulu hingga kini masih tergolong jenis ikan yang murah harganya. Jenis ikan laut ini bersebab maka harganya murah dan kurang sangat diminati. Sebab utamanya ialah ikan ini sangat banyak tulangnya. Dalam pengamatan saya, 60% daripada jisim ikan ini terdiri daripada tulang. Jadi ibu bapa yang ramai anak kecil mengelakkan daripada membeli ikan ini kerana sukar dimakan oleh anak-anak mereka. Di pasar, harga ikan ini masih dalam lingkungan RM1.50 ke bawah. Sekiranya kita pergi ke pantai semasa nelayan menarik pukat, ringankanlah tangan sedikit untuk menolong menarik pukat, pasti ikan tiram mungkin tak payah dibeli – mereka beri percuma sahaja.
Ikan tiram termasuk kelompok ikan terubuk (Clupea macrura); tetapi saiznya jauh lebih kecil berbanding terubuk. Lihat sahaja persamaan nama kumpulan saintifiknya Clupea itu.
Hanya ada satu cara memasak ikan tiram supaya menjadi masakan yang sedap; yang biasa diamalkan oleh penduduk pantai timur, iaitu dengan menyinggang ikan tersebut. Masakan singgang boleh dibuat oleh sesiapa sahaja, walaupun seseorang yang sepanjang hidupnya tidak pernah menjenguk dapur. Bahan resepinya cukup sederhana: ikan tiram, air, garam, asam keping dan lengkuas. Yang lengkuas itu opsyen, tak ada pun tidak mengapa.
‘Campakkanlah’ bahan-bahan itu ke dalam belanga, dan panaskan hingga mendidih untuk beberapa ketika. Masaklah singgang itu, maknanya. Setelah itu singgang ikan tiram boleh dimakan. Regunya yang paling ampuh ialah nasi panas. Tak ada lauk lain pun tak mengapa; kalau ada lada cepeli (lada burung, setengah orang kata) patah-patahkan begitu sahaja, tak payah pakai lesung batu kerana datuk-nenek kita dulu cuma pakai sengkalan sahaja, dan gaul dengan kuah singgang, terus plup!
Semasa menyiang, sisik ikan tiram jangan ditanggalkan daripada badannya, kerana di bawah sisik itulah terletaknya lemak dan perisa ikan tersebut. Oh, ya! Disebabkan bahagian perut ikan tersebut ada tulang yang keras, maka belahan perutnya hendaklah dibuat di bahagian sisi. Terdapat pula bahan hitam di bahagian dalam perutnya. Ini bukanlah kotoran, tapi masih (barangkali) perisanya dalam bentuk lemak. Bahagian hitam ini jika hendak dibuang sekalipun agak sukar. Jadi tak payahlah dibuangkan.
Singgang ikan tiram sedap dimakan semasa sahur. Janganlah ada lauk lain, apatah lagi lauk-lauk mahal dan berprestij seperti kurma kambing, ayam percik, opor daging, kari ayam kampung, masakan daging merah, goreng kailan ikan masin, kerabu mangga, tomyam campur … tak perlu itu semua. Makanlah nasi dengan singgang tiram sahaja; lepas itu kalau suka minumlah kopi cap gajah; lebihkan sedikit gulanya supaya bertambah kick. Puasa hari esok pun insya Allah lebih nyaman rasanya, dan mudah-mudah menjadi puasa yang dimasukkan ke dalam kategori ketiga.
Dengan menu begini, saya berani mencongak bahawa belanja sahur sebuah rumah untuk dua orang suami isteri (yang bersara) tidak akan mencapai RM2.50 sen. Sesuai sangatlah dengan situasi ekonomi dan politik negara kita zaman sekarang. Cakap-cakap orang luar-tepi yang nak dirikan kerajaan baru itu-ini jangan didengari sangat, nanti beralih pula konsentrasi menikmati makanan istimewa sahur; dan yang paling mencemaskan, takut-takut lekat tulang pula.
Selamat mencuba!
No comments:
Post a Comment