Wednesday, September 3, 2008

Sebuah Belasungkawa

Cikgu Haji Zakaria bin Haji Derani

Dua artikel saya di dalam Blog ini ada menyebut tentang Cikgu Zakaria Derani, Guru Besar semasa saya menjalani latihan di Sekolah Umum Padang Tengku dalam tahun 1960, selepas selesai menghabiskan pengajian di SITC.

Saya menyebutkan di dalam artikel itu yang baik-baik sahaja tentang beliau ini. Memang itulah sebenarnya sifat beliau. Seorang guru sejati, sangat dedikasi dan penuh dengan idea tentang memajukan profesyen diri dan murid-murid serta institusi pendidikan yang ditadbirnya.

Saya masih ingat, setelah saya hampir selesai menjalani latihan di sekolahnya, beliau meminta untuk membeli buku matematik Durell. Buku tersebut dalam bahasa Inggeris dan kulitnya berwarna hijau. Saya tidak ingat secara persis judul buku itu. Beliau hendak menyediakan dirinya untuk mengambil peperiksaan Federation of Malaya Certificate of Education. Buku itu telah saya gunakan beberapa tahun semasa di SITC, dan tak sampai hati pula untuk menjualkan kepadanya. Lalu, saya hadiahkan sahaja buku itu kepada beliau. Jasa beliau kepada saya sepanjang berkhidmat di sekolahnya jauh lebih besar nilainya berbanding nilai buku itu.

Semasa saya menjawat jawatan Pegawai Pendidikan Daerah Raub pada 1984 beliau menjadi Penolong Pegawai Pendidikan Daerah (Rendah). Maknanya, di Raub beliau bekerja di bawah saya. Pun begitu, saya tidak pernah menganggap demikian: saya sentiasa menghormati beliau sebagai bekas bos dan panggilan saya kepada beliau tidak berubah: ‘Cikgu’ itulah.

Beliau banyak membantu meningkatkan khasnya pendidikan rendah sekolah-sekolah di daerah Raub. Ada sahaja kursus dalaman, mesyuarat, nota panduan, kertas kerja dan taklimat bimbingan yang diadakannya. Saya berkeyakinan penuh dan memberikan kepercayaan terhadap pengurusan dan pentadbiran sekolah rendah di tangan beliau. Urusan pembangunan sekolah di daerah pun beliau yang membuatnya, dan semuanya ini beliau laksanakan tanpa mengenepikan saya sebagai pegawai atasannya.

Maka, pada pukul 7.10 petang 24 Ogos 2008 yang lalu saya menerima kiriman SMS daripada Sdr Sobirin Haji Duli yang berbunyi: “Haji Zakaria Derani meninggal tetapi masih di Kuala Lumpur.” Saya terkejut dan memberitahu isteri tentang berita itu. Pada masa itu kami berada di Hotel Concord Shah Alam, sedang bersiap-siap untuk ke Intekma Resort menghadiri majlis penutup Program Puncak Jaya anjuran Yayasan Pahang bersama-sama UiTM, sebagai wakil Dato’ Hajah Saariah Saad, Pengurus Besar YP.

Saya tahu, selepas pemergian isteri beliau Cikgu Hajah Wan Safiah binti Haji Wan Ishak ke ramahtullah, kesihatan beliau sentiasa terganggu. Pernah sekali semasa menunaikan umrah, beliau dimasukkan ke hospital Aziziyah beberapa hari. Saya tahu berita itu semasa kami rombongan Gapena bersiap-siap untuk menghadiri Seminar Dunia Melayu di Jeddah. Tak dapatlah saya menziarahi beliau. Tapi, itu kira-kira 10 tahun yang lalu.

Saya cuba menghubungi Haji Sobirin, tetapi tiada jawapan. Saya menghubungi Sdr Haji Muhammad Baee di Raub, dan beliau menyatakan yang beliau juga menerima berita itu daripada Haji Sobirin, dengan isi beritanya sama seperti yang saya terima.

Ingin benar saya menziarahi jenazah teman saya yang sangat berjasa kepada dunia pendidikan, khasnya di Pahang ini; tetapi di Kuala Lumpur itu entah di mana persisnya. Mungkin di hospital (hospital yang mana?), atau di rumah anaknya (saya tahu beliau ada anak yang tinggal di KL, tetapi di mana mereka tinggal saya tidak tahu). Malangnya, saya ke KL pagi tadi tidak memandu kereta, tapi menaiki perkhidmatan AirAsia yang baru sahaja memulakan perkhidmatan Kuantan-KL kerana memikirkan untuk balik nanti saya boleh menumpang kereta Yayasan Pahang atau kereta Muzium.

Hari ini beliau tutup usia. Nampaknya putuslah harapan untuk menghantar jenazah teman saya ini sehingga ke liang lahad. Majlis malam itu entah pukul berapa pula habisnya. Keesokan harinya saya kena berpindah ke Hotel Blue Wave Shah Alam pula kerana menghadiri Seminar Kebangsaan Tulisan Jawi anjuran UPSI. Saya menelefon Sdr Haji Muhammad Baee semula, meminta beliau sampaikan salam kepada keluarga Allahyarham, sekiranya beliau berkesempatan ke Lipis keesokan harinya. Saya yakin, jenazah akan disemadikan di Kuala Lipis, tanah tempat kelahiran beliau.

اِنَّ للهِِ وَِانَّ الََِيْهِ رَاجِعٌوْنَ

1 comment:

Cikgu Wahab: said...

Sampai waktunya,kembali jua. Semoga segalannya dirhmati Allah.