Monday, June 15, 2009

Mengikuti Sesi Fotografi

Fotografi sebagai suatu seni



Kelmarin, Sabtu 13 Jun mulai jam 9.00 pagi saya melalui satu pengalaman baru dalam seni fotografi. Bakal penerbit buku saya mahu gambar saya dicetak pada jaket buku di bahagian belakang. Saya ada beberapa keping foto lama (semasa membuat kad pengenalan, membuat paspot; malah foto saya berposing di pangkal Jambatan Golden Gate juga ada!); tetapi semuanya tidak berkenan di hati beliau.



Lantas, saya diminta pergi ke studio Indahku Production (http://indahku.com/). Tempatnya di No. 4 Lorong Permatang Badak Aman 12, Kampung Baru, Permatang Badak, 25150 Kuantan. Semasa saya tiba, tuan punya production, Sdr Azraie B.A. (azraie.azahan@gmail.com) sedang bersedia menyusun sejenis kain hitam dan kelabu untuk dijadikan tabir latar belakang. Untuk sesi ini saya diminta memakai busana sut berwarna gelap bersongkok; baju melayu teluk belanga dengan kain tapis tenun Pahang; baju kain tenun Pahang; baju melayu cekak musang berwarna hitam. Wah! Banyak sekali.


Ini hasil jurugambar amatur

Saya beritahu Sdr Fauzi yang menguruskan aktiviti ini yang saya tidak boleh lama di situ kerana ada jemputan kahwin anak saudara dua pupu saya tidak jauh dari situ. Apa pun, saya kena balik ke rumah dulu untuk bersalin pakaian lain yang lebih kasual.


Mengenai fotografi, saya memang ada sedikit pengalaman. Dalam tahun 1953 saya mempunyai sebuah kamera kotak jenama Kodak, menggunakan filem hitam-putih yang digulung pada dua alat pemusing yang terpaksa dikeluarlah dari kotak untuk memasangnya. Sebenarnya, kamera ini kepunyaan Abang Othman yang dibeli di Kuala Lumpur semasa beliau menuntut di Junior Technical Trade School. Untuk memotret, taklah payah sangat: halakan saja lensa ke arah objek dan tekan… klik! Tidak ada kemudahan untuk mengambil gambar waktu malam. Segulung filem ada 12 keping gambar. Saya fikir, harga kamera itu tak lebih $20.00 pada masa itu.


Kemudian, bila bekerja, saya membeli sebuah kamera Fuji (half-frame) 35mm. Satu rol filem dengan 36 dedahan boleh dapat 72 keping gambar (mungkin boleh lebih, kalau kita pandai dan berhati-hati memasukkannya).

Selepas itu, ada duit sedikit, saya beli pula kamera Nikon yang ada beberapa ciri digital (bukannya kamera digital), tapi harganya masih relatif murah. Satu hari, kamera saya itu terjatuh di atas jalan raya bertar mengakibatkan alat pengira filem digital menjadi gila: tak mahu berhenti, sehingga saya tidak boleh memasukkan filem... Saya juga mempunyai sebuah kamera SLR jenama PENTAX. Gambarnya bagus, tapi saya tak berapa pandai mengolah arahan jarak, aparture, cahaya apatah lagi flash yang sangat mengelirukan.


Yang ini juga... Yang ini juga ...


Akhirnya, saya membeli sebuah kamera digital Nikon Coolpix SQ. Walaupun ada beberapa ciri yang mengelirukan, saya mampu bertolak ansur dengan mesin kecil ini. Gambar yang dihasilkannya sangat memuaskan hati saya. Buktinya, kalau kurang percaya, lihatlah gambar-gambar bunga yang saya paparkan di dalam blog ini.


Yang menariknya saya tak payah lagi ke kedai gambar kerana gambar terus boleh dipaparkan pada layar komputer dengan aneka warna yang - mengikut cita rasa saya - sangat memuaskan. Tapi, ada pula sedikit masalah: bateri kamera ini terpaksa dicaj dan saya kenalah beli lebih daripada sebuah. Semasa menyertai rombongan Gapena ke Lhokseumawe dan Banda Aceh banyak peristiwa yang tidak dapat saya rakamkan kerana ketiadaan bateri. Hanya kamera digital siri terbaru yang menggunakan bateri bersaiz AAA 1.5V. Saya ingin trade-in kamera lama saya dengan model yang pakai bateri AAA itu tadi; tetapi tiada siapa yang sanggup mengambilnya.

Selain mengambil gambar anak-cucu, saya suka mengambil gambar still life dan nature. Terutama bunga-bungaan yang jarang-jarang ditemui di taman belakang rumah.



Nah! Berbalik kepada kisah sesi fotografi pada Sabtu lalu. Barulah saya tahu bagaimana membuat gambar yang berlatar belakang hitam. Sdr Azraie menggunakan sehelai tabir khas, dan latar belakang menjadi hitam pekat dan objek yang cukup terserlah. Gambar saya menjadi luar biasa ‘cantiknya’, apatah lagi kalau warna baju yang dipakai boleh mewujudkan efeks yang kontras.

Jangan terkejut kalau melihat gambar saya yang diambil oleh Sdr Azraie dan temannya hari itu. Saya diberitahu oleh beliau ada gambar yang ‘berlagak’ korporat, korporat berjaya dan entah apa-apa lagak lagi.


Sesi fotografi itu mengambil masa hampir tiga jam. Ada satu set pakaian lagi yang belum diperagakan; tapi saya ’menyerah diri’ kepada Sdr Azraie, dengan mengatakan saya dah tak larat bergambar.


Barulah saya faham betapa letih dan rimasnya para model ternama menghadapi jurufoto. Bukan kira jam, tapi sehari-harian atau beberapa hari agaknya. Dalam kes begini, biarlah saya tidak menjadi model, kalau begitulah keadaannya.

Terima kasih Sdr Azraie!

[Catatan: Foto saya yang ada di dalam Blog ini bukan untuk disalin semula atau seumpamanya. Tapi, foto bunga itu bolehlah diapa-apakan].

5 comments:

mantan said...

Dato' masih handsome macam dulu jugak!

YAAKUB ISA said...

Ha, ha, ha. Dulu tak handsome pun, tapi seni dalam fotografi yang diusahakan oleh Sdr Azraie menjadikan gambar saya yang 'dipukulnya' itu kelihatan seolah-olah lebih handsome.

Kalau nak bergambar keluarga, hubungilah Sdr Azraie B.A. Saya jamin kosnya 'bisa diatur'.

Salam.

Kavalera Hexalera said...

Wah Dato, saya seronok melihat Dato' "enjoy" sessi fotografi kami. Kadang kadang, model boleh mengalami stress dek kerana kepenatan. Jika fotografi untuk fesyen, setiap klik mereka harus bertukar "pose". Dan jurugambar tidak akan berhenti menekan picu kamera sehingga dia merasa puas. Bayangkan bagaimana sang model tadi menghadapinya. Namun bayarannya juga tidak murah, untuk seorang model semi-pro, satu jam paling minimum RM300. Dato' bayangkan jikalau model itu yang internasional... jangan tak percaya jika saya beritahu bayaran mereka ialah USD10,000 untuk sehari.

Terima kasih atas promosi Dato', Jika Dato dan rakan rakan ingin lagi gambar potret seperti itu, hubungilah saya di nombor 017-9789909. Jika Dato' nak paparkan nombor saya di blog pun saya tidak keberatan Dato'.

memang benar, seperti kata Dato, Kosnya "bisa diatur..." :)

Salam & terima kasih.

Azraie

mantan said...

Dato,
selamat hariraya. Maaf Zahir Batin.

YAAKUB ISA said...

Cikgu Wahab,

Ada hidangan sup khas tahun ini?