Thursday, March 6, 2008
Suluh Kampung Matahari Desa
Ternyata setelah selesai melalui kursus akademik, tugas dan tanggungjawab kami untuk melengkapkan diri sebagai seorang guru sekolah rendah terlatih menjadi semakin berat. Setiap mata pelajaran yang ada di sekolah terpaksa dipelajari bagaimana cara mengajarkannya di dalam bilik darjah.
Selain daripada itu kami juga didedahkan dengan teori pendidikan dan falsafah pendidikan, yang meliputi sejarah pendidikan, psikologi kanak-kanak, alatan mengajar, kaedah mengajar, malah menulis di papan hitam pun rupa-rupanya ada cara dan kaedahnya. Kami mula juga didedahkan cara membuat alatan mengajar menggunakan pelbagai media yang ada pada masa itu. Misalnya, bagi melatih murid-murid menulis kami diajar menggunakan kertas pasir yang dibentuk seperti huruf atau nombor dan murid-murid dikehendaki meletakkan hujung jari mereka mengikut bentuk kertas pasir itu sehingga mereka seolah-olah merasakan huruf tersebut terlekat pada jari mereka. Mata pelajaran yang paling banyak sekali menghasilkan bahan mengajar ialah Ilmu Hisab. Cikgu Wan Dus Muhammad sangat berminat mengajar kami membuat pelbagai alat, cukup dengan papan, gergaji, tukul, kertas pasir dan cat pelbagai warna. Kami perhatikan Cikgu Wan ini banyak keistimewaannya: Pertama beliau kuat merokok, lambat ada peluang sahaja menghisaplah dia. Kedua beliau kerap bercakap dengan burung ciak yang bertenggek di atas tingkap, pada lampu atau pada kipas angin kelas kami. Ketiga beliau suka memotong kuku dengan menggigitnya. Kadang-kadang beliau meminta salah seorang daripada kami beraksi sebagai guru dan yang lainnya menjadi murid. Kalau kena bab begini berat juga rasanya kerana kawan-kawan lain bukannya boleh diharap sangat untuk memberikan kerjasama!
Pada masa itu kaedah audio-visual masih di peringkat permulaan. Kami juga diperkenalkan dengan tulisan fonetik dalam pengajaran bahasa Inggeris. Bagi mata pelajaran Lukisan kami diperkenalkan kaedah baru iaitu kertas lukisan jenis newsprint bersaiz besar menggunakan warna serbuk tempera yang cerah dan garang yang memenuhi semua ruang kertas – tidak sebagaimana dahulu melukis kucing, buah-buahan, pokok kelapa, sungai dan sebagainya. Orang kata lukisan zaman sekarang menjadi lebih ekspresif berbanding dahulu. Dalam mata pelajaran Muzik pula kami dikehendaki mahir menggunakan rekorder dan membaca notasi muzik skala rendah dan mudah. Sayangnya, lagu-lagu yang dipelajari kebanyakannya lagu Inggeris seperti Jinggle Bell, Are You Sleeping?, Hot Cross Bun, Baa Baa Black Sheep, Three Blind Mice; walaupun kami tahu banyak lagu kanak-kanak yang dicipta di SITC oleh Cikgu Yub Rawan seperti Buih Sabun, Kupandang Kanan Kupandang Kiri, Anak Rusa Nani, Bila Sudah Remaja Putera, Ayun Adik Ayun, Ayam Denak Dani, Gunung-gunung Melayu, Buah Jambu Masak dan banyak lagi.
Seterusnya kami didedahkan dengan aktiviti di sekolah yang dimulakan dengan memerhati guru mengajar di dalam kelas. Seboleh-bolehnya kami dikehendaki memerhati guru terlatih sahaja yang mengajar, tetapi disebabkan kekurangan guru, terutama di sekolah-sekolah kecil, kami perhatikan semua guru, hatta guru sementara. Sekolah terlibat ialah sekolah-sekolah di tepi jalan besar di jajahan Batang Padang Perak dan Ulu Selangor di negeri Selangor yang kedudukannya berhampiran dengan Maktab. Saya sendiri ditempatkan di Sekolah Kebangsaan Ulu Bernam, Selangor. Sekolah ini tidaklah jauh sangat daripada Kolej, tetapi kami terpaksa menaiki bas Kolej ke sana kerana kami mesti berada di sekolah sebelum pengajian bermula. Kadang-kadang kami memberitahu Pak Zainal, pemandu bas supaya tidak mengambil kami waktu pulang sebab kami lebih selesa balik berjalan kaki melalui bandar Tanjong Malim, sambil menjamu mata.
Pada sebelah petang, hujung minggu, kami dikehendaki menyampaikan laporan tentang apa yang diperhatikan sepanjang minggu itu. Kerja ini merupakan kerja yang senang dilaksanakan.
Penggal berikutnya kami melangkah setangga lagi, iaitu kami dikehendaki mengajar beberapa subjek. Kali ini saya ditempatkan di Sekolah Melayu Slim Village, di bahagian utara Tanjong Malim. Kedudukan sekolah ini lebih jauh berbanding sekolah pertama tadi. Pergi balik tidak lagi menaiki bas Kolej tetapi bas Syarikat Bas Mogah yang disewa oleh Kolej. Selepas itu saya ditempatkan pula di Sekolah Cina Sungkai, juga dalam negeri Perak. Inilah pertama kali saya mengajar di sekolah bukan Melayu. Saya mengakulah, saya tidak dapat mengajar dengan sempurna di sekolah ini kerana masalah utamanya masalah perhubungan. Budak-budak Darjah Satu itu bising bukannya kerana apa, tetapi antara kami adalah seperti ayam dengan itik. Saya lihat guru di sekolah itu mengepit rotan seorang sebatang dan mereka memang menggunakan rotan itu untuk menenteramkan murid. Sekali libas, diam sekejap. Lepas itu bising semula. Saya juga mendapati ibu bapa murid boleh masuk menemui anak mereka di dalam kelas tanpa meminta kebenaran atau bercakap sepatah pun dengan guru yang ada di dalam kelas itu. Pada mulanya memang saya tercengan-cengan melihatkan telatah mereka.
Guru Besar Sekolah Cina Sungkai ini suka benar dengan cara kami mengajar lukisan, dan beliau membeli warna serbuk tempera, kertas newsprint, berus yang diberikannya kepada kami sebanyak mana yang kami mahu. Gembira benar dia melihat lukisan murid-murid ditampal di dinding kelas. Kaedah kami mengajar murid-murid bersenam tanpa membuat barisan itu juga menarik minat pihak sekolah. Selama ini, guru-guru mereka mengajar senaman dengan menyusun murid-muridnya dalam empat barisan dan meniup wisel: sekali tiup, sekali bergerak. Kaedah kami tidak menggunakan wisel semasa mengajar dan murid-murid pula bersepah-sepah kedudukannya. Kalau hendak dikatakan kejayaan, subjek yang dua inilah rasanya kami berjaya mendatangkan pembaharuan dan membuat perubahan di sekolah Cina. Mengajar Nyanyian tidak bermasalah kerana budak manalah yang tidak suka menyanyi...
Meluaskan Pengalaman
Jauh berjalan luas pandangan, lama hidup banyak dirasa, kata pepatah. Dalam usaha meluaskan pandangan dan pengetahuan kami, pihak Kolej baik sebagai aktiviti Kolej mahupun melalui kegiatan persatuan-persatuan yang ada, tidak pernah jemu menjemput tetamu kenamaan dari luar untuk memberikan ceramah. Bidang yang diceramahkan pelbagai, dari aspek pendidikan, bahasa, sejarah, keagamaan, politik dan hubungan antarabangsa. Antara tetamu tersebut termasuklah: Abdul Rahman Talib, Menteri Pelajaran; Ahmad Bakhtiar seorang bekas guru Maktab yang juga seorang penulis terkenal; Dr. E.A. Pires, Konsultan UNESCO di New Delhi; Dr. Tjoa Soei Hock, Pensyarah Jabatan Pengajian Melayu Universiti Malaya; Edrus, tokoh sasterawan Angkatan ’45 Indonesia; Imrad Idris, Atasé Penerangan, Kedutaan Besar Republik Indonesia; Kiai Haji Fathillah Harun dari Indonesia; Mahmud Ahmad dari DBP.; TYT Major Jeneral Nawabzada Muhammad Sher Khan, Pesuruhjaya Tinggi Pakistan; Yaacob Abdul Latif, Pengarah Peneranagan, Mohd. Ghazali Shafi’i, Setiausaha Tetap Kementerian Luar Negeri; Mohd. Khir Johari, Menteri Pelajaran; Austin Coates, Pejabat Penerangan Pesuruhjaya Tinggi British; Mohd. Noor Azam dari DBP.; Prof. Dr. R. Roolvink, Ketua Jabatan Pengajian Melayu Universiti Malaya; Prof. Gopal Singh dari Universiti Punjab; Syed Hussain Alatas dari DBP.; Syed Jaafar Albar, Menteri Penerangan; dan Syed Nasir Ismail, Pengarah DBP.
Pada 1958 satu perhimpunan murid-murid tua SITC diadakan. Perhimpunan ini dirasmikan oleh YTM Perdana Menteri Persekutuan Tanah Melayu, Tunku Abdul Rahman Putra. Pelbagai aktiviti diadakan seperti pertunjukan Makyong, aneka ragam, pameran dan pertandingan sukan, termasuklah yang mereka sebut sebagai Majlis Serba Bijak yang sekarang dikenali sebagai forum. Majlis ini melibatkan Aminuddin Baki, Md. Din Ali, Hamdan Sheikh Tahir, Syed Nasir Ismail, Abdul Majid Haji Muhammad dan Mohd. Salleh Osman. Encik Abdul Rahman Talib, Menteri Pengangkutan pada masa itu, dalam perutusannya mengimbau kembali masa lalu sebagai pelajar SITC di samping menyeru supaya bekas pelajar SITC mengambil peluang dalam negara yang merdeka. Beliau menutup perutusannya dengan serangkap pantun:
Beluru bukan sebarang beluru,
Kedondong buah kedangsa;
Guru bukan sebarang guru,
Suluh kampung matahari desa.
O.T. Dussek Pengetua Kolej yang pertama, yang turut diingati dengan kekentalan usaha membangkitkan semangat nasionalisme di kalangan penuntutnya turut menghantar telegram dari England untuk seluruh peserta Perhimpunan. Telegram beliau berbunyi:
Tinggalkan Guru, Tinggalkan Sekolah,
Tinggalkan Sekolah, Hilang Bahasa,
Hilang Bahasa, Negeri Binasa,
God Bless You All. - Dussek.
Dalam majlis Perhimpunan Murid-murid Tua SITC itu pasukan pengakap Kolej telah membuka gerai menjual pisang goreng. Gerai ini dikatakan sangat laris jualannya, akhirnya perniagaan mereka melarat kepada kain songket tenunan Terengganu dan batik Kelantan! Sebenarnya, pulangan jualan ini akan digunakan untuk membiayai penyertaan dua orang pengakap Kolej iaitu Zainuddin Rafai dan Mohd. Yusof Salleh ke Jamboree Pengakap Sedunia X di Filipina.
Aktiviti Persatuan dan Kelab terus dipergiatkan. Setiap kali lawatan diselitkan dengan kegiatan bercorak akademik. Salah satu lawatan yang saya ikut serta ialah lawatan Persatuan Bahasa Inggeris ke Melaka. Dalam lawatan ke Melaka tentunya kami menyelitkan program melawat MWTC dengan mengadakan suatu perbahasan yang berjudul yang cukup skeptikal iaitu Young People Should Choose Their Own Life Partners, yang dimenangi oleh pasukan SITC dengan kemenangan yang sangat tipis.
Pengurusan Rumah Pateh Gajah Mada
Ketua Rumah PGM pada mula-mula saya masuk (1957) ialah Abdul Rahman Abas sementara Penolong Ketuanya Ayub Ismail. Saya telah mencatatkan sedikit sebanyak kisah Abdul Rahman Abas dalam salah sebuah fail di Blog ini. Ayub Ismail, pula seorang yang pandai menggesek biola dan anak kelahiran Jelawat, Kelantan. Beliau juga pandai bermain Makyong dan Wayang Kulit kerana bapanya seorang yang ahli dalam seni tradisional itu. Saya mendapat tahu kemudiannya, semasa beliau menjadi guru di Kelantan, beliau kerap melibatkan diri dengan persembahan Dikir Barat, Makyong dan Wayang Kulit; sehingga akhirnya beliau berkhidmat di Kementerian Kesenian dan Kebudayaan sebelum menjadi seorang tenaga pengajar di Universiti Sains Malaysia.
Pada 1958 Ketua Rumah kami ialah Abdullah Idin dan dibantu oleh Redzuan Haji Dahali. Abdullah adalah pelajar Pahang yang berasal dari Kuala Kenong, Lipis. Beliau seorang yang lemah lembut dan warak serta sentiasa tersenyum. Redzuan pula boleh menggesek biola, tetapi tidaklah sepandai Ayub. Dia nampaknya sangat terhibur ketika menggesek biolanya, walaupun pendengar di kiri kanannya tidak begitu mengambil hirau. Ada satu peristiwa lucu di Rumah PGM zaman pemerintahan Abdullah dan Redzuan ini: Biasanya, pada akhir tahun kami bergambar ramai untuk kenang-kenangan di samping untuk dicetak di dalam Chenderamata. Pada tahun itu telah diputuskan (dengan undian angkat tangan) susunan semasa bergambar kedua-dua Ketua Rumah dan Penolongnya tidak boleh duduk di kerusi hadapan bahagian tengah, tetapi hendaklah di barisan belakang! Tahun itu pula G. F. Daniel turut dijemput bergambar dan beliau datang siap dengan kotnya, sedangkan Ketua Rumah dan Penolong tidak duduk di sisinya. (Lihat Chenderamata 1958 muka surat 70). Saya mempelajari daripada peristiwa ini bahawa kaedah demokrasi secara membuang undi tidak semuanya mendatangkan keputusan jitu, malah sistem ini terbukti bukan sistem yang fool-proof. Barangkali pelik juga orang putih itu memikirkan mengapa hal itu terjadi di Rumah PGM sahaja tahun itu.
1959 Ketua Rumahnya ialah Abdul Rahman bin Mahat dan dibantu oleh saya sendiri. Perihal Abdul Rahman yang sakit dan kemudiannya meninggal dunia ada saya catatkan di dalam fail lain di Blog ini.
Pada 1960 Ketua Rumah dipegang oleh Baharuddin Awang dan dibantu oleh Abdul Manaf Meon. Pada 1959 mereka berdua inilah paling bising di asrama ini dan kebanyakan penghuni bersetuju supaya mereka pula yang merasa pahit maungnya bekerja tanpa gaji itu. Saya pernah singgah di rumah Abdul Manaf di Kuala Pilah pada suatu hari untuk berhari raya. Pada masa itu saya kerap berulang-alik dari Kuantan ke Seremban kerana anak saya Khairul Faizi bersekolah di SDAR. Rumah Manaf terletak betul-betul di hujung jambatan sebelum masuk ke pekan Kuala Pilah. Kami makan kuih raya bersendirian kerana Manaf dan isterinya telah memulakan Puasa Enam. Itulah kali terakhir saya bertemu (dan masih bergurau) dengan beliau, kerana tidak berapa lama selepas itu saya diberitahu oleh Kassim Haji Rahmat yang Manaf telah meninggal dunia. Inna lillahi wa inna ilaihi raji’un.
Semasa saya menjadi Ketua Rumah, pihak Maktab bersetuju untuk menjadikan salah sebuah bilik yang dahulunya digunakan sebagai bilik pertukangan sebagai bilik menggosok pakaian. Setelah bilik itu diubah suai, diletakkan 10 buah seterika elektrik, lengkap dengan alat penyembur air dan kain alas bagi kegunaan pelajar. Pemangku Pengetua, Encik Mohd. Zain Abdul Rashid pada suatu hari memanggil saya ke biliknya, menyerahkan tanggungjawab menjaga penggunaan bilik itu kepada saya kerana, alasannya, bilik itu hampir dengan Rumah PGM. Apabila saya tidak lagi menjadi Penolong Ketua Rumah, saya memberitahu Encik Zain agar memperkenankan tugas menjaga bilik itu diberikan kepada Yahaya Samah, seorang pelajar Rumah PGM juga yang kerap sangat menggunakan kemudahan di situ. Beliau menyetujuinya, dan saya sendiri melantik pengganti saya yang baru ini. Sebenarnya, jauh di sudut hati saya, saya sudah jemu menjaga bilik itu kerana rasanya sangat menyusah dan mengikat masa saya, sedangkan tugasnya tidak seberapa.
Sebagai Ketua Rumah, tugasnya tidaklah berat sangat. Sebahagian besar tugasnya memastikan keadaan bilik tidur dan asrama keseluruhannya tersusun bersih, iaitu: (a) kasut dan selipar di susun di bahagian hujung katil; kain cadar, bantal dan selimut diletakkan pada tempatnya dan tersusun rapi; kelambu digulung kemas dan digantung pada dawai railing; (b) semasa pergi bersembahyang Jumaat pelajar mesti berpakaian Melayu lengkap dan berjalan berbaris dalam susunan empat orang sebaris; (c) sekali seminggu pergi berjemaah ke Surau Kolej; (d) mengadakan mesyuarat rumah pada waktu yang ditentukan; (e) mempastikan semua penghuni turun ke padang pada waktu permainan petang; (f) menentukan lampu asrama ditutup jam 10.30 malam; (g) menentukan bilik-bilik asrama berkeadaan bersih sentiasa; (h) menyediakan pasukan atau wakil asrama untuk setiap pertandingan seperti pasukan bola sepak, pasukan volley-ball, pasukan bahas, wakil syarahan, wakil pertandingan al-Quran dan lain-lain. Sebelum 1957 penghuni asrama dikehendaki menyapu sampah di asrama, tetapi sejak merdeka telah ada tukang sapu khas yang dilantik. Ketua Rumah secara automatik menjadi Ahli Badan Pekerja PPSITC, tetapi Penolong Ketua Rumah tidak. Badan Pekerja itu samalah fungsi dan ertinya dengan Jawatankuasa. Dalam bentuk yang sama, seseorang yang dipilih sebagai Ketua Negeri, secara automatik menjadi Ahli Jawatankuasa Makanan, dan di kalangan mereka dipilih pula seorang yang menjadi Ketua Makanan.
Ketua Rumah juga dikehendaki mengawasi penghuni yang sakit. Jikalah teruk sakitnya, mereka kena tinggal di sick-bay. Makan minum semasa di situ akan diuruskan oleh seorang pekerja khas iaitu Abang Alwi. Kalau yang sakit hanya demam-demam air, bolehlah berbaring di katilnya dan Ketua Rumah boleh meminta sesiapa tolong mengambilkan makanannya semasa makan. Jikalau seseorang terpaksa mendapat rawatan gigi seperti mencabut gigi, mereka tentunya sukar untuk makan. Dalam kes ini si pesakit boleh meminta makanan khas daripada Pak Deris di dapur, iaitu sebuku roti dan sebotol air barli. Catuan makanan ini tidak semestinya si pesakit itu sahaja yang makan, kadang-kadang sekali hadap sahaja habislah semuanya – dikongsi dengan kawan-kawan di kiri kanan katil.
Sekali seminggu, iaitu pada hujung minggu, kami diberi makan lauk ayam. Hari-hari lainnya cuma ikan atau daging; tetapi lebih keraplah ikan. Kadang-kadang mereka masak ikan rebus (kini ada pendapat yang mengatakan ikan rebis ini haram dimakan kerana mereka rebus bersekali dengan kotoran dalam perut ikan itu). Pada selera saya, masakan ikan rebus itu boleh tahan juga rasanya! Petang yang keesokan harinya makan ayam, pelajar Tahun Satu (bergilir-gilir rumah) dikehendaki masuk ke dapur membantu tukang masak mencabut bulu ayam. Oleh kerana ada enam buah asrama, maknanya selepas enam minggu kenalah giliran kami pula mencabut bulu ayam. Mereka yang mencabut bulu ayam ini ada juga upahnya, iaitu semasa sarapan kami boleh mengambil goreng hati dan hyempedal ayam untuk dimakan dengan nasi lemak atau roti canai pagi itu. Pasukan pengakap yang kena berkhemah hujung minggu mereka dibekalkan beberapa ekor ayam hidup, dan kenalah mereka menyembelih, membersih dan memasaknya sendiri di dalam perkhemahan. Masa itu bukan ramai sangat yang berani menyembelih ayam. Ada cerita tentang ayam yang dibawa itu terlepas lari dan terpaksalah mereka mengejarnya di sekeliling tapak perkhemahan.
Roti Keras
Salah satu makanan yang popular tidak sedapnya di Kolej kami ialah roti keras. Sebelum masuk ke Kolej lagi saya telah dimaklumkan tentang penangan roti keras ini. Hari pertama dan kali pertama saya bertemu dan menikmati roti keras ini terbetik juga di dalam hati tentang ’tohmahan’ tentangnya. Saya rasa OK saja. Lemak, ya, keras sedikit, tapi mengenyangkan. Untuk melembutkan roti itu boleh dibenamkan di dalam cawan teh yang bersaiz besar.
Selepas empat lima kali memakan roti itu, saya teruja untuk bersetuju dengan pendapat umum bahawa roti itu tidaklah boleh dimasukkan sebagai salah satu menu yang sedap, apatah lagi untuk dikatakan enak. Pada pendapat saya roti itu boleh menjadi enak kalau cara adunannya diubah, dengan memasukkan serbuk penaik yang entah berapa sen sahaja harganya, dicampur dengan daun kucai atau daun kari, lada dan sedikit udang kering kering atau ikan bilis. Roti itu pula hendaklah digoreng sebelah pagi, bukan pada sebelah malam.
Atas daya usaha Jawatankuasa Makan tahun itu, Setiausahanya, Mohd. Saad Bongkek mencadangkan roti keras itu ditukar dengan menu baru yang beliau sendiri menciptanya. Cadangan itu bukan sahaja diterima oleh pihak Maktab bahkan Saad sendiri menerima surat pujian kerana usahanya itu. Maka tamatlah suatu citra menu unik yang dinikmati puluhan tahun di maktab kami.
Pertama kali memakan roti baru itu memang terasa kelainannya. Bolehlah dipuji. Tapi, agak malang kerana roti baru itu tidak diputuskan namanya. Sementara nama rasmi didapati, kami menamakannya ROTI BONGKEK, sesuai dengan nama bapa penciptanya, iaitu Setiausaha Jawatankuasa Makanan kami. Nama yang bertuah ini rupa-rupanya kekal ’mendunia’ sehinggalah roti itu dikeluarkan daripada menu makanan Kolej berikut perubahan sistem menyediakan makanan dan pelbagai perubahan lain. Yasakaa buat Saad!
Istilah-istilah pelek, yang kadang-kadang disebut oleh ahli bahasa sebagai slanga memang wujud dan bercambah di dalam masyarakat khas seperti di kolej, universiti, kumpulan tentera dan sebagainya. Di SITC terdapat istilah yang kami sendiri sahaja yang faham maknanya, seperti tuang, panjang ekor, pakcucing, tarik tali, angkat bendera, seluar tanjen dan sebagainya. Yang saya mahu ceritakan di sini ialah bagaimana istilah seluar tanjen itu wujud. Masa itu guru matematik yang kami kagumi, Cikgu Wan Dus Muhammad mengajar subjek tangen, sains dan cosains. Perkataan tangen itu sahlah baru kali pertama kami dengar. Pada suatu petang ada perlawanan hoki antara pensyarah dengan pelajar. Bagi pihak pensyarah, sebab mereka tak ramai, siapa saja yang sanggup bermain, jadilah. Maka turunlah Cikgu Wan memakai baju panas jenis stella biru tua dan seluar pendek (sebenarnya tak berapa pendek) warna khaki yang tali penyangkut tali pinggangnya berbutang, persis seluar polis pada masa itu. Seluar itu cukup besar untuk badan beliau. Kaki seluarnya jika dimasukkan tiga empat pasang kaki lagi masih selesa. Saya lupa siapa yang memenangi perlawanan petang itu kerana perhatian kami asyik tertumpu untuk menamakan seluar macam yang dipakai oleh Cikgu Wan itu seluar tanjen. Sejak itu, sesiapa sahaja yang memakai seluar yang kakinya besar (tak kiralah seluar pendek atau seluar pantelon) budak-budak SITC memanggilnya seluar tanjen. Saya tak tahu istilah itu masih terpakai hingga sekarang atau telah lupus. Kalau pun lupus, saya fikir, bukan kerana istilahnya tidak sedap atau melencong maknanya, tetapi sebab seluar jenis itu tidak dipakai lagi; istilahnya masih tetap tepat, jitu, sedap didengar dan sangat historic!
Budaya SITC
Perkara-perkara yang saya sebutkan di dalam Blog ini merupakan budaya yang diserapkan sejak 1922 di institusi bangsa Melayu di Tanjong Malim ini. Salah satu faktor Kolej ini terkenal di kalangan orang Melayu ialah jasa yang telah dibuktikannya dalam meningkatkan pendidikan Melayu. Pada masa itu tiada institusi lain yang menjadi pesaingnya.
Sikap dan pandangan para pensyarah juga turut mengukuhkan budaya positif ini. Meskipun kebanyakan guru dan pensyarah terdiri daripada lepasan Kolej yang sama, pensyarah yang berasal dari institusi lain juga turut sama dalam proses pengukuhannya. O. T. Dussek misalnya pernah menasihatkan anak-anak Melayu yang dididiknya di SITC supaya menyayangi bahasa dan budaya Melayu. Sikapnya ini sangat konsisten, lihat sahajalah telegram yang dikirimkan kepada Perjumpaan 1958 itu, iaitu beberapa tahun sebelum beliau meninggal dunia. Aminuddin Baki khabarnya mula terlibat dengan SITC selepas beliau dilantik sebagai salah seorang anggota Jawatankuasa Penyiasat Mogok 1949. Semasa majlis perpisahan meraikan pertukaran beliau dari SITC beliau menangis teresak-esak sehingga tidak dapat meneruskan ucapannya.
Kewujudan SITC dari awal penubuhannya adalah dalam keadaan serba kekurangan. Bayangkanlah, kami tidak cukup kerusi, sehingga setiap petang Sabtu pelajar-pelajar Tahun Satu terpaksa menjunjung empat buah kerusi hijau dari Dewan Besar ke Bilik Wayang Gambar. Kerusi ini bakal digunakan tatkala menonton wayang gambar pada sebelah malamnya kerana bilik itiu tidak mempunyai kerusi. Peristiwa menjunjung kerusi ini tidak mungkin dapat dilupai kerana ia diiringi dengan nyanyian sindiran oleh pelajar senior dengan lagu Terkenang Semasa Dulu oleh R. Azmi yang diubah seni katanya:
Terkenang semasa dulu
Semasa aku tahun satu
Setiap hari Sabtu
Dah tentu kena angkat bangku.
Masa berganti masa
Kiniku dah tahun dua
Oh oh oh …
Meskipun ini merupakan suatu bentuk lelucon, tetapi ia tetap menjiwai dalam lubuk hati kami untuk mengenangi peristiwa hidup di Ibu Kandung itu.
Ketoyong adalah satu perkampungan yang kebanyakannya didiami oleh orang Rawa terletak di sebelah barat pekan Tanjong Malim. Kampung ini mempunyai hubungannya sendiri dengan institusi pendidikan itu. Di sinilah letaknya kubur pelajar-pelajar SITC yang meninggal dunia semasa belajar di Kolej. Bayangkan, zaman sebelum merdeka perhubungan dari satu bandar ke bandar lain sangat terbatas, termasuklah bandar Tanjong Malim. Orang Pahang yang meninggal di situ tidak dihantar mayatnya ke kampung yang tidak sampai 100 batu jaraknya. Saya pernah menaiki kapal terbang yang membawa jenazah seorang pelajar Malaysia yang lemas di Tasik Michigan, yang diiringi oleh seorang pegawai pendidikan di Jabatan Penuntut Malaysia di Los Angeles. Pelajar Tahun Satu dikehendaki secara bergilir-gilir menziarahi kawasan perkuburan Ketoyong, membersihkan kubur dan bertahlil. Saya tidak pasti kegiatan begini masih dilakukan sekarang – zaman kita merdeka – tetapi saya amat pasti hal ini turut membina budaya positif di kalangan pelajar, yang seterusnya merasa keterikatan moral dan spiritualnya dengan Kolej, sebagaimana yang pernah saya alami lima puluh tahun yang lalu.
Memang benar, budaya kenegerian sangat kuat dalam tahun-tahun lima puluhan ke bawah di SITC, tetapi penerapan ini tidak pernah menimbulkan kesan negatif dan melampau. Barangkali begitulah kehendak masyarat pada zaman itu. Buktinya jelas boleh dilihat dalam hal penubuhan badan-badan sosial dan kebajikan seperti Kesatuan Melayu Singapura, Persatuan Melayu Selangor, Persatuan Melayu Johor, Persatuan Melayu Pahang, Persatuan Melayu Perak, Persatuan Melayu Kelantan dan lain-lain yang akhirnya bergerak ke arah menjadi pertubuhan politik demi memperjuangkan kemerdekaan tanah air.
Di SITC ada seorang tua yang kecil tubuh badannya, tapi mempunyai wajah yang sentiasa riang. Setiap pagi beliau mengayuh basikal tua yang dipangkin belakangnya terdapat sebuah bakul rotan besar berisi kuih cucur. Berbeza dengan Roti Keras dan Roti ’Bongkek’, kuih cucur orang tua ini lebih kecil saiznya, ada daun bawang (barangkali) dan sedikit cili dan ikan bilis. Semua orang memanggil beliau Pak Mat Turki. Saya sendiri tidak sempat mengusul periksa bagaimana nama itu diperolehinya, tapi saya yakin pelajar-pelajar SITC-lah yang pandai-pandai mengurniainya. Ada dua aspek budaya murni yang saya pelajari daripada kegiatan the unsung hero ini: Pertama, beliau sebenarnya tidak menjual kuihnya itu, tetapi meletak di pintu Dewan Makan, sambil tersenyum manis, mempelawa sesiapa sahaja mengambil kuih. Nak bayar, dia terima wangnya: lima sen sebiji. Kalau tidak ada duit (wang saku belum diterima, atau kalau dah diterima wangnya telah habis) ambil begitu sahaja pun boleh dengan pesanan Pak Mat: kira hitung panjang sahajalah Cikgu! Kedua, beliau tidak pernah meminta hutangnya, tetapi hanya menerima sesiapa yang membayarnya. Selain daripada itu, macam yang saya katakan tadi, kalau mahu melihat wajah orang ceria pada zaman itu, renungilah wajah dan senyuman manis beliau. Pernahkah anda menemui ada seorang manusia lain seistimewa Pak Mat Turki ini?
Bagi saya, sikap dan perwatakan Pak Mat Turki telah membudayai SITC!
Harapan:
Saya sangat mengharapkan kepada sesiapa sahaja yang membaca Blog ini supaya sudi membaca Al-Fatihah untuk disedekahkan pahalanya kepada roh Allahyarham Pak Mat Turki (yang nama sebenarnya tidak ada antara kami mengetahuinya, tetapi Allah SWT mestilah tahu) agar diampuni dan diberkati Allah SWT, insya Allah. Al-Fatihah ...
Sunday, March 2, 2008
Mahu Menjadi Penulis
Perayaan Sambutan Hari Kemerdekaan kami adalah pada agak lewat iaitu pada hari Sabtu 12 Oktober 1957. Sambutan dimulakan pada jam 8.30 pagi dengan perbarisan kehormat yang diketuai oleh Nordin Haji Mahmud di padang Kolej. Perbarisan itu disusun mengikut asrama, dan semua peserta memakai baju dan seluar putih serta bersongkok. Ketua Rumah Pateh Gajah Mada, Abdul Rahman Abas mengepalai perbarisan dengan wajahnya yang lebih serius dan bersemangat berbanding hari-hari biasa. Jamuan makan tengah hari diadakan di Dewan Makan. Tetamu kehormatnya ialah Mohd. Ghazali Haji Jawi iaitu Menteri Besar Perak dan Abdul Hamid Khan, ADUN Batang Padang. Para tetamu menyampaikan ucapan masing-masing. Dalam ucapannya wakil PPSITC menerangkan antara lain, pelajar-pelajar mengecap nikmat kemerdekaan dengan menerima kenaikan wang saku daripada $15.00 sebulan kepada $45.00 mulai tahun ini.
Pada sebelah malamnya pula diadakan Malam Aneka Warna Merdeka yang dipenuhi dengan nyanyian, tarian, lawak jenaka, deklamasi sajak dan syair. Persembahan istimewa malam itu ialah sebuah drama berjudul Kemusnahan dan tablo Semalam, Hari Ini dan Esok yang mengisahkan kedatangan penjajah bertukar ganti, bagaimana kemerdekaan tercipta dan seterusnya apa yang sewajarnya dilakukan untuk mempertahankan kemerdekaan itu. Majlis malam itu ditutup dengan pekikan tiga kali MERDEKA.
Pada 1957 selain Majalah Chenderamata yang diterbitkan oleh PPSITC, ada dua lagi penerbitan, iaitu Chendera Mata Merdeka dan Albam Hari Raya. Chendera Mata Merdeka diterbitkan oleh Persatuan Bahasa Melayu, dengan Sidang Pengarangnya diketuai oleh Aminuddin Baki, dibantu oleh Abdul Razak Abdul Hamid dan Othman Omar. Artikel di dalam buku ini kebanyakannya sumbangan daripada tokoh-tokoh luar Kolej seperti Abdullah Ayub, Za’ba, Harun Aminurrashid, Kamaluddin Muhammad (Keris Mas), S.M. Zainul Abidin B.A., Mahmud Ahmad, Dr. Burhanuddin El-Helmy, Ahmad Bakhtiar. Sementara penulis dalaman pula termasuklah Zainal Abidin Ali, Wahi Long, Ahmad Saleh, Ramli Shaari. Ada seorang penulis yang menggunakan nama samaran NUR menulis sebuah pengalamannya yang menarik. Sempena penerbitan ini juga diadakan peraduan mengarang di kalangan pelajar SITC dan MWTC. Artikel yang memenangi peraduan turut disiarkan di dalam penerbitan ini iaitu Che Wan binti Awang (Peranan Wanita Di Dalam Malaya Merdeka) dan Othman Abdullah (Malaya Merdeka Yang Saya Mahu). Sepanjang saya di SITC, pada pendapat saya, penerbitan sempena sambutan merdeka inilah penerbitan terbaik, baik dari segi teknik mahupun isi kandungannya. Saya dapati orang penting yang menjayakan penerbitan ini tidak lain daripada Aminuddin Baki, Abdul Razak Hamid dan Ahmad Saleh.
Kalau Chendera Mata Merdeka merupakan penerbitan terbaik, Albam Hari Raya pula sebaliknya. Penerbitan yang kedua ini bukan daripada mana-mana organisasi rasmi tetapi sebuah jawatankuasa ad hoc yang terdiri daripada Abu Bakar bin Shaari, Alias bin Zainun, Hashim bin Awang, Zakaria bin Md. Rabi, Nordin bin Haji Mahmud, Zainuddin bin Lapoh dan Hassan bin Ibrahim, semuanya pelajar Tahun Tiga. Mereka mengenakan $10.00 seorang kepada sesiapa yang ingin memasukkan gambar dan ucapan selamat hari raya untuk diterbitkan. Seramai 182 orang telah terdaftar. Buku setebal 40 muka surat dan bersaiz 23 sm x 15 sm ini mengandung beberapa artikel yang ditulis oleh mereka yang di luar Kolej seperti Budiman Radzi, Pena Mas, Juriah Johore, Jiwa Lara, Sharifuddin Hak, Razali Pathy yang rata-rata tidak dikenali sangat dalam bidang penulisan, termasuklah menyiarkan cabutan daripada sebuah tulisan lain yang tidak dinyatakan siapa penulisnya. Penulis dalaman cuma Adnan Jaafar seorang sahaja. Maklumat awal menyebut penyumbang gambar dan maklumat yang bakal dimasukkan di dalam album ini ialah pelajar SITC dan MWTC. Mendengar nama MWTC itu amat merangsangkan pelajar untuk menyertainya. Alangkah terkejutnya apabila diterbitkan hanya ada dua orang peserta wanita iaitu Rahimah Haji Aris dari Taiping dan Juriah Haji Talib dari Batu Pahat dan tidak pula dinyatakan sama ada mereka itu dari MWTC atau tidak. Sepanjang saya di SITC, pada pendapat saya penerbitan Albam Hari Raya inilah antara penerbitan terburuk, baik dari segi teknik mahupun isi kandungannya. Kos penerbitannya mungkin kurang daripada $1.00 sebuah dan mereka yang menerbitkan ini tentulah mendapat keuntungan yang agak lumayan.
Saya mendapat tahu tahun 1955 atau 1956 sebuah penerbitan yang berjudul Albam Kenangan telah diterbitkan. Saya sempat melihat penerbitan ini, dan ramai yang memuji penerbitan itu, baik dari segi isi kandungan mahupun tekniknya. Barangkali pengurusan Albam Hari Raya yang dinyatakan di atas ingin meniru kejayaan Albam Kenangan itu, tetapi nyatalah mereka gagal.
* * *
Semasa pilihan raya PPSITC 1959 mereka menyuakan borang untuk saya bertanding sebagai Ketua Rumah Pateh Gajah Mada. Pada saat akhir sebelum pencalonan ditutup saya menandatangani juga borang tersebut. Pertandingan untuk Ketua Rumah adalah antara ABDUL RAHMAN bin MAHAT dengan saya. Abdul Rahman kawan sekelas (lihat fail Darjah Satu A 1957 di dalam Blog ini). Hasil pengundian, sebagaimana dijangka: saya mendapat tempat kedua dan dilantik sebagai Penolong Ketua Rumah.
Sebenarnya ABDUL RAHMAN pada masa itu sedang sakit. Kami sekelas mengetahui hal ini. Pada suatu hari Cikgu SHAARI ISA membuka baju Rahman dan merasa-rasa perutnya sebelah kiri: dan bahagian itu keras. Semakin hari perutnya nampak membengkak dan keras seolah-olah sekeping papan. Wajahnya agak pucat dan pergerakannya menjadi lemah. Semasa Senaman dia tidak mengambil bahagian, demikian juga aktiviti kokurikulum di padang.
Suatu hari, ketika balik dari percutian di kampung Rahman membawa bekal ubat dan air jampi. Antaranya ialah sebiji botol yang berisi air jernih dan di dalamnya ada sekerat daun nipah atap rumah. Katuanya itu adalah air jampi penyakitnya yang dibuat oleh bomoh di kampungnya. Dalam keadaan dia sakit itu, kebanyakan tugas sebagai Ketua Rumah sayalah menjalankannya. Tugas itu pun tidaklah sulit sangat. Sebagai Penolong Ketua PGM saya tidak mendapat bilik khas kerana bilik Ketua Rumah didiami oleh Salam bin Mohd. Noh yang menjadi Penolong Ketua Pelajar, dan bilik yang satu lagi didiami oleh Abdul Rahman.
Rupa-rupanya takdir menentukan persahabatan saya dengan Rahman tidak berpanjangan. Suatu hari saya menyertai rombongan persatuan Ilmu Alam melawat Teluk Anson. Ada perbahasan dengan sekolah Anglo-Chinese dan kemudian melawat ladang nanas di Jandarata. Kami dibekali setin seorang nanas dalam tin. Kami tiba di asrama malam, dan keesokan paginya Alwi memberitahu saya abang Abdul Rahman dari kampungnya datang mengambil beliau untuk dibawa balik, berubat di kampung. Tidak berapa bulan selepas itu kami mendapat khabar yang mengejutkan iaitu Abdul Rahman bin Mahat telah meninggal dunia. Malam itu kami membaca Yaasin beramai-ramai di Bilik Tiga dan petang Jumaat berikutnya kami bertahlil di Surau.
Saya meneruskan tugas berbaki sebagai Ketua dan Penolong Ketua Rumah sekali gus. Pilihan raya tahun berikutnya ada orang mencadangkan supaya saya bertanding sekali lagi, tetapi saya nekad tidak mahu menjadi Ketua Rumah lagi. Saya tidak tahan menjadi Ketua Rumah kerana ada beberapa orang yang enggan tidur semasa lampu dipadamkan. Kalau setakat enggan tidur tidaklah menimbulkan masalah sangat, tetapi mereka berbuat bising sehingga mengganggu orang lain. Ubat yang biasa saya lakukan ialah memasang semula lampu, dan ini menambahkan lagi herok-pekok malam yang hening itu. Saya kerap juga memujuk mereka supaya tidur, dan kadang-kadang bersimpati juga mereka dengan rayuan saya itu. Saya masih ingat nama-nama seperti Ariffin Ngah (Morifin S.N.), Rashid Muda, Manaf Meon, Halim Hassan, Jaafar Bukhari yang selalu diserang 'penyakit payah tidur' itu. Mujurlah ada teman yang boleh diharap membantu seperti Alwi Taib, Abdul Rahim Pfordten, Juperi Ishak. Ketua Rumah selepas saya ialah Baharuddin bin Awang dan Penolongnya Abdul Manaf bin Meon.
Abdul Rahim bin Abdul Rahman Pfordten teman saya dari Pahang. Beliau berasal dari Brinchang, Cameron Highlands dan memasuki SITC kemudian setahun daripada saya. Beliau cepat dikenali dan popular kerana rupanya seakan-akan orang putih. Sebenarnya bapa beliau adalah seorang orang Jerman dan ibunya orang Melayu dari Melaka. Rahim yang memanggil saya ’abang’ itu bermain ragbi bagi Kolej. Permainan ini memang sangat sesuai dengan binaan badannya yang tinggi sasa itu. Saya sendiri jarang ketinggalan menonton permainan ini, lebih-lebih lagi jikalau mereka bermain semasa hujan lebat. Dalam suatu perlawanan, semasa scrum saya terdengar bunyi praak! Tangan Rahim patah. Beliau dirawat di hosipital Tanjong Malim dan tinggal di sick-bay. Jadi senanglah kami melawat: tidak kira siang atau malam. Emak Rahim turun dari Cameron Highlands dan menemani serta menjaga anaknya itu. Pada suatu malam, saya menziarahi Rahim dan berpeluang bercakap-cakap dengan emaknya. Rupa-rupanya di sebalik kehidupan yang nampaknya tenang dalam keluarga mereka tercatat kisah tragedi akibat zaman pemerintahan Jepun di Tanah Melayu. Cerita itu kemudiannya ditokok tambah pula lagi oleh Abdul Rahim setelah beliau sembuh. Saya tidak mahu menceritakan kisah yang diceritakan oleh ibu Rahim di dalam Blog ini. Cuma saya hendak menyebut sedikit betapa Rahim pernah memberitahu saya beliau merasa bersimpati dan kasihan kepada bapanya tentang kehidupan di Brinchang menjadikan orang tua itu sentiasa kesepian kerana tidak dapat berhubung dan berinteraksi secara intelektual sebagaimana ciri orang Eropah. Mereka - adik-beradiknya - jarang sangat berinteraksi dengan bapanya dalam bahasa Inggeris, bahasa yang bapanya lebih menghayatinya. Saya pernah ditunjukkan oleh Rahim surat bapanya menghargai tindakan Rahim menulis surat kepadanya dalam bahasa Inggeris. Sebenarnya, tujuan Rahim mengirim surat dalam bahasa Inggeris itu bukannya untuk memudahkan bapanya memahami maksud dan isi surat beliau, tetapi menyediakan dirinya untuk menjadi lebih cekap dalam bahasa itu sebagai persediaan menjawan soalan peperiksaan yang akan dihadapinya tidak lama lagi! Dan, sejak itu Rahim terus menulis kepada bapanya dalam bahasa yang lebih difahami oleh orang tua itu. Secara ringkasnya tidak ada orang yang boleh dilawan bercakap membincangkan hal-hal yang agak berat kerana, bagi Rahim, ada perbezaan kufu di antara ibu dengan bapanya. Maksud Kufu di sini bukannya pangkat dan darajat tetapi intelektual. Mulai hari itu saya memahami suatu aspek baru yang cukup berharga dalam kehidupan ini daripada pengalaman berhubung dengan Rahim dan latar belakangnya itu. Abdul Rahim kemudian berkahwin dengan guru pilihannya lepasan MWTC iaitu Kamariah dan terus berkhidmat sebagai guru sehinggalah beliau melibatkan diri dengan kegiatan dakwah al-Arqam dan berhenti daripada menjadi guru di bawah Kementerian Pelajaran sehingga sekarang.
Tahun itu saya dilantik pula oleh orang-orang Pahang menjadi Ketua Negeri. Pelantikan Ketua Negeri tidak dibuat melalui pilihan raya, tetapi undi sesama senegeri secara angkat tangan. Tugas Ketua Negeri pun tak banyak: antaranya membayar wang saku kepada kawan-kawan, menjadi Ahli Jawatanakuasa Makanan dan membantu kebajikan orang-orang Pahang dan menyusun perjalanan pergi balik semasa cuti penggal. Tentang dua tugas terakhir ini boleh dikatakan tidak ada yang perlu dilakukan. Tiga tahun terakhir ini kami diberi tiket waran kereta api dari Tanjong Malim ke Mentakab, Jerantut atau Kuala Lipis. Dari sana kami menaiki apa sahaja kenderaan dan dibenarkan menuntut semula dengan Kolej. Biasanya kami yang dari Kuantan turun di Jerantut sebab boleh lebih lama menaiki kereta api dengan Zakaria bin Puteh dan Abu Bakar bin Yusof serta kawan-kawan lain dari Kelantan dan Terengganu yang menaiki kereta api yang sama, selain daripada ada berkhidmatan bas terus dari Jerantut ke Kuantan. Sekiranya turun di Mantakab kami terpaksa bertukar tiga kali bas sebelum sampai ke Kuantan.
Ketika kembali ke Kolej biasanya kami bertemu dengan pelajar MWTC: Kamariah Noh dari Jerantut, Rashimah Ismail, Rokiah Abdul Malek, Safiah Muhammad, Zainab Shahar dari Kuantan, Saleha Ahmad dan Ainon Abdul Hamid dari Pekan dan di Pahang Barat ada Hasnah Ahmad, Rokiah Aziz dan Zainab Wok yang lebih senior dari kami. Sekitar tahun 1958 YTM Tunku Abdul Rahman merestui penubuhan sebuah pasukan bola sepak wanita peringkat kebangsaan (barangkali inilah pasukan bola sepak wanita pertama di tanah air) dan pernah berlawan di luar negara. Penjaga golnya ialah bakal guru dari Pahang yang masih belajar di MWTC yang juga kawan kami iaitu Rashimah Ismail itu tadi. Beg Rashimah lebih besar berbanding beg orang lain dan sangat berat sehingga tidak terangkat olehnya. Ada orang bergurau secara menyindirnya mengatakan dia membawa batu giling ke Maktab. Mahu tidak mahu pelajar lelakilah yang menolong menaik dan menurunkan beg besar dan berat itu; dan tugas ini selalu dilakukan oleh Abdul Malek Abdul Rahman, seorang yang memang selalu kelihatan gagah.
* * *
Selepas selesai Peperiksaan Sijil Pelajaran Rendah yang mereka istilahkan itu, kami memasuki tahap baru iaitu kursus perguruan. Pelajaran Agama yang diajari oleh Tuan Haji Hassan dan Tuan Haji Daud itu diteruskan, kerana kami bukannya hendak menjadi guru agama. Mata pelajaran lain kandungannya ditumpukan kepada kaedah mengajar selain aspek akademiknya. Pensyarah Kaedah Mengajar kami ialah Cikgu Mustafa Kimin. Beliau berbadan besar, kepala hampir botak, berumur lewat 40-an, tetapi masih bujang. Entah disebabkan kaedah mengajarnya banyak berfalsafah atau sebab-sebab lain, pengajaran beliau kami rasakan sangat kurang menarik.
Pada masa itu timbul khabar tentang gaji yang akan bakal kami terima sebagai guru multipurpose setelah lulus kelak. Gaji kami dikatakan $135.00 sebulan, dan sekiranya kami boleh dan lulus mengajar bahasa Inggeris gaji permulaan $210.00. Besar bezanya itu, tapi nak meluluskan diri mengajar bahasa yang kami sendiri terkatung-katung itu merupakan masalah besar pula.
Akhirnya kami memutuskan untuk mengambil kaedah mengajar bahasa Inggeris dan dengan apa cara jua pun mesti mencapai tangga gaji yang lebih tinggi itu. Sebenarnya hal inilah yang menjadi penggalak saya mempelajari bahasa Inggeris secara bersungguh-sungguh. Tidak sedikit juga bilangan kawan-kawan yang berpatah hati sebelum berbuat apa-apa lagi.
Mengukuhkan Minat Menulis
Saya terus menimba kemahiran dalam satu lagi bidang yang saya minati dan ada serba sedikit kebolehan, iaitu bidang penulisan. Modal saya tidak lain daripada tabiat suka membaca sejak lama lagi. Pada peringkat awal dahulu Cikgu Abdul Razak Hamid pernah membimbing kami dalam bidang cerita pendek melalui aktiviti Persatuan Bahasa Melayu. Cikgu Wahi Long juga turut membimbing dengan meminta kami membuat sebuah cerpen kemudian memberikan kepada beliau untuk disemak. Sayangnya cerpen itu sehingga kini tidak dikembalikan, mungkin kerana kesibukan beliau sendiri, apatah lagi beliau kemudiannya berpindah dari SITC. Kami merujuk tulisan Muchtar Lubis berjudul Panduan Menulis Cherita Pendek, terbitan Balai Pustaka, Jakarta sebagai panduan. Belajar tanpa bergurulah kami pada masa itu. Akhir-akhir ini pensyarah yang terkenal dalam bidang penulisan seorang demi seorang bertukar. Mula-mula Cikgu Wahi Long sebagaimana yang saya katakan tadi; kemudian Cikgu Abdul Razak Hamid pula. Selepas itu datang pula Cikgu Abdul Rahim Darus dan Cikgu Abu Hassan Ali. Tetapi Cikgu Ahmad Abdul Wahab masih ada di Tanjong Malim. Cikgu Shaari Isa yang akhir-akhir ini menulis novel pada masa itu tidak langsung menunjukkan kebolehan atau minatnya dalam bidang ini. Ada beberapa orang pelajar yang kerap namanya tersiar di dada akhbar pada masa itu, antaranya Adnan Jaafar (cerpen), Arifin Ngah (sajak), Nordin Omar (yang menggemparkan dengan sajaknya Akulah Tuhan); Kemala (sajak), A. Wahab Ali (cerpen) dan Ali Majod (cerpen). Saya masih ingat Ali Majod pernah menemui saya semasa saya mengedit Majalah Bayu dan bertanya tentang penulisan cerpen. Entah apa yang saya jawab pada masa itu! Saya malu sungguh apabila Ali jauh maju ke hadapan dalam bidang cerpen dan penulisan kreatuf berbanding saya selepas itu.
Saya menulis esei dan mengarang cerpen. Cerpen pertama saya yang memenangi peraduan anjuran DBP berjudul Dua Sahabat. Cerpen ini mendapat hadiah sagu hati sebesar $100.00. Bukan hadiah itu sangat yang saya pandang, tetapi kegembiraan saya melonjak-lonjak apabila nama saya disiarkan dalam akhbar dan kemudiannya cerpen saya dicetak dalam antologi Cerita Pendek Kanak-Kanak II.
Saya terus menyumbang artikel kepada setiap penerbitan di Kolej, termasuk yang diterbitkan dalam bentuk stansilan. Artikel saya berjudul Madam Marie Curie tersiar di dalam buletin Persatuan Sains, yang berjudul Wright Brothers dalam Jurnal Persatuan Ilmu Hisab. Semuanya merupakan hasil pembacaan saya dalam bahasa Inggeris, kemudian disesuaikan. Majalah Cenderamata 1959 menerbitkan artikel saya berjudul ’Mengenang Pahlawan-pahlawan Kebangsaan’ sementara Cenderamata 1960 judul artikel saya bertambah serius sedikit iaitu ’Ekonomi dan Pendidikan Kita’ Saya juga dilantik menjadi salah seorang editor Majalah Bayu iaitu sebuah penerbitan dwi-tahunan Persatuan Bahasa Melayu.
Di peringkat Kolej, saya juga menyertai pelbagai peraduan. Saya telah mendapat Hadiah Ketiga Peraduan Mengarang Cerita Pendek Persatuan Bahasa Melayu (1959); Hadiah Pertama Peraduan Mengarang Cerita Pendek Persatuan Bahasa Melayu (1960); Hadiah Pertama Peraduan Menulis Rencana Kesusasteraan Persatuan Bahasa Melayu (1960); Hadiah Pertama Peraduan Esei Tunas Bahasa (1960); Hadiah Kedua Peraduan Tawarikh Hadiah Kedah (1959); Hadiah Pertama Peraduan Tawarikh Hadiah Kedah (1960). Semua hadiah diberikan dalam bentuk buku dan piala (pusingan). Kebanyakan buku hadiah tersebut masih ada dalam simpanan saya sehingga kini.
Dalam bidang berpersatuan pula saya menjadi ahli jawatankuasa Majlis Bahas dan Syarahan, Persatuan Tawarikh, Kelab Lukisan, Ahli Jawatankuasa Makanan dan Ketua Negeri Pahang.
Seminar Ekonomi
Saya juga mengikuti Kursus Ekonomi Radio yang dianjurkan oleh Radio Malaya, Universiti Malaya dan Persatuan Pelajaran Dewasa Persekutuan Tanah Melayu secara persendirian. Pengelola Kursus ialah Profesor Ungku A. Aziz dengan penceramahnya terdiri daripada Salehuddin Mohamad (kemudiannya menjadi KSN), Raja Mohar Badiozzaman, Arshad Ayub, Agus Salim, Azah Aziz dan beberapa orang lagi yang saya telah lupa nama mereka. Peserta kursus yang terbuka kepada sesiapa sahaja itu dikehendaki membuat dua buah latihan berupa kertas penyelidikan, dan mereka yang terbaik kajiannya akan dipilih menyertai Seminar Ekonomi di Universiti Malaya. Saya membuat kertas penyelidikan tentang perusahaan kelapa kering di Ganchong dan tanpa diduga terpilih sebagai salah seorang peserta yang berjaya. Seorang lagi kawan saya dari SITC iaitu Lokman bin Kidam dari Negeri Sembilan turut terpilih. Kami diberikan cuti khas oleh pihak Maktab untuk menghadiri Seminar tersebut.
Kami berdua menaiki kereta api pagi dari Tanjong Malim dan alangkah terkejutnya kami disambut di stesyen kereta api Kuala Lumpur oleh Ungku A. Aziz sendiri. Kami terus dibawa dalam kereta Universiti Malaya dan ditempatkan di Kolej Kedua. Ceramah dan Seminar diadakan di Dewan Kuliah A. Sebuah forum akan diadakan di auditorium Radio Malaya di Federal House. Di situlah saya berkenalan dengan beberapa orang kakitangan Radio Malaya, termasuk Raja Iskandar Zahid yang kemudiannya kami bertemu lagi beberapa kali. Semasa bermalam di Kolej Kedua itu saya menyelitkan nota kecil di celah almari, pada tempat yang tidak terlihat oleh orang, mencatatkan janji dan hasrat saya untuk tinggal di situ semula suatu masa nanti. Di Kolej Kedua itulah buat pertama kalinya saya berpengalaman menggunakan tandas jenis duduk yang sangat berlainan dengan tandas kami di Tanjong Malim. Pertama kali menggunakannya tentulah boleh diagak masalah yang saya hadapi! Semasa sarapan saya merasa sedap benar makan roti yang dibubuh daging cincang. Saya belum pernah bertemu, apatah lagi memakan daging cincang seperti itu. Dalam banyak hal, saya bolehlah dikatakan orang kampung yang ’teruk’ ketika bertemu ciri-ciri kehidupan moden di bandar. Dan, kemudahan di SITC masihlah sangat jauh bezanya berbanding Second College UM dalam segala aspek. Semasa saya memasuki UM pada 1969 saya pergi juga ke Kolej Kedua itu tetapi saya lupa bilik mana yang saya duduki dahulu, tambahan pula perabot Kolej telah diganti baru semuanya.
Setelah selesai seminar kami tidak terus balik ke Tanjong Malim, meskipun perkhidmatan kereta api ke utara masih ada. Ini semua atas cadangan Lokman, yang mengajak saya bermalam semalam di rumah saudaranya di kuarters kakitangan kereta api tidak jauh dari Stesyen Keretapi Tanah Melayu itu. Malam itu kami menonton wayang di salah sebuah panggung wayang di Kuala Lumpur yang saya tidak ingat lagi namanya. Cerita wayang yang kami tontoni itu pun saya tidak ingat judulnya. Keesokan harinya kami bertolak ke Tanjong Malim menaiki kereta api tengah hari. Di dalam kereta api kami bertemu dengan beberapa orang peserta lain yang balik ke utara.
Setelah kembali ke Kolej, saya menerima pujian yang bukan main oleh guru pengawas saya iaitu Cikgu Ahmad Abdul Wahab. Beliau mengatakan saya mengharumkan nama Kelas 3A dengan terpilih menyertai Seminar Ekonomi dan memenangi beberapa pertandingan mengarang. Saya memang rasa sangat bersyukur dan teruja kerana menerima pujian itu. Saya sendiri merasa sangat bertuah kerana terpilih mengikuti Seminar Ekonomi melalui Kursus Ekonomi Radio itu, kerana tanpa kursus itu tidak mungkinlah saya dapat melihat dan tinggal di kampus Universiti Malaya dan auditorium Radio Malaysia serta mengenali, berjabat tangan, berbincang serta bertukar-tukar fikiran dengan tokoh-tokoh terkemuka tanah air, terutamanya Profesor Ungku A. Aziz sendiri. Benih yang ditanam melalui program ini turut menyemarakkan cita-cita saya untuk melanjutkan pengajian ke Univeristi Malaya pada suatu masa nanti.
Menerbitkan Majalah
Penerbitan Majalah Bayu yang menjadi wadah Persatuan Bahasa Melayu dijelmakan pada 1960 dengan saya sebagai salah seorang anggota redaksinya. Banyak benar saya mempelajari dalam bidang penerbitan dan penulisan semasa menjadi redaksi majalah ini. Untuk menjayakannya, Persatuan Bahasa Melayu membeli sebuah mesin taip baru, di samping kami dibenar menggunakan mesin taip dan mesin pendua Kolej. Kami menggunakan sepanjang hujung minggu dan kadang-kadang di sebelah petang untuk menaip, menggelak dan menyusun kertas majalah ini. Setelah disusun, kami membawa ke Standard Engravers and Arts Printers, Jalan Campbell, Kuala Lumpur untuk dilekatkan kulit (yang dicetak di situ) dan dipotong kemas. Kami ke Kuala Lumpur menaiki kereta Opel kepunyaan Cikgu Abdul Razak, penasihat Persatuan kami. Yang pergi ke Kuala Lumpur itu biasanya Abdullah Othman, Ramli Mohd. Noh, Kassim Haji Rahmat dan saya. Memang tepulah Opel Cikgu Razak itu pergi balik.
Kerap juga kami diajak oleh Cikgu Razak ke rumahnya di Taman Kamariah, Gombak. Kadang-kadang, kalau muatan tidak banyak, isteri beliau Cikgu Zaharah dan anak mereka Zukkefli (sekarang Profesor Datuk Dr. Zulkefli, Naib Canselor USM) masih kecil sangat lagi ikut serta. Saya tidak ingat nama kakak Zul yang kerap bersama-sama kami dalam kereta bapanya itu.
Pernah satu malam ketika kami melalui kawasan Kerling, kabus terlalu tebal di atas jalan raya. Di situ banyak sekali lembu sapi, iaitu lembu susu peliharaan orang-orang Benggali yang berkeliaran di atas jalan raya. Cikgu Razak memperlahankan keretanya sementara kami bergilir-gilir berjalan di hadapan kereta, menyuluh jalan dengan lampu suluh, takut kalau-kalau terlanggar lembu yang berwarna kehitam-hitaman itu.
Hubungan saya dengan Cikgu Abdul Razak boleh dikatakan tidak putus setakat ini. Saya dengan Mohd. Hassan Ali dan Abdul Aziz Haji Long pernah singgah di Masjid Gombak pada suatu petang untuk bersembahyang maghrib. Selepas bersembahyang saya melihat kanak-kanak mengerumuni seseorang, lalu saya dekati. Rupa-rupanya yang dikerumini kanak-kanak itu tidak lain tidak bukan Cikgu Abdul Razak. Saya bertanya dia, Cikgu mengajarkah ni? Dia ketawa sebagaimana biasa dan menjawab yang dia sedang mencatat nama budak-budak yang mahu bersunat yang dikelolakan oleh Masjid. Beliau rupa-rupanya Setiausaha Masjid Gombak.
Suatu hari seorang kawan anak saya Khairul Faizi yang sama-sama belajar di UUM berjalan ke rumah kami. Saya bertanyakan anak ini, di mana dia tinggal. Rupa-rupanya dia tinggal di kawasan Taman Kamariah dan sangat mengenali Cikgu Abdul Razak. Apabila dia balik, saya menitipkan melaluinya sebungkus keropok lingkar (lekor) untuk disampaikan kepada Cikgu Razak. Pada petang itu juga saya menerima telefon daripada beliau mengatakan kiriman itu telah diterima dan beliau mengucapkan terima kasih.
Memasang Cita-cita Masa Depan
Pada 1959 itu terbetik di kalangan kami untuk meneruskan usaha meningkatkan diri, terutama setelah kami berjaya lulus dalam peperiksaan LCE-type. Salah satu halangan yang kami sedari untuk lulus dalam peperiksaan Cambridge School Certificate atau Federation of Malaya Certificate of Educatiom ialah kami tidak mempunyai grouping mata pelajaran yang mencukupi kerana kami tidak mampu menjawab kertas Science yang merupakan satu kumpulan tersendiri dan wajib diambil. Jalan keluar akhirnya dijumpai, tetapi jalan ini tidak mudah untuk dilalui. Kami terpaksa mengambil mata pelajaran Health Science yang tidak memerlukan makmal dan latihan amali. Walaupun mata pelajaran ini belum pernah kami pelajari, tapi sedikit sebanyak telah kami mengetahui melalui mata pelajaran Kesihatan yang kami belajar semasa dalam Darjah Lima dan Enam dahulu dan diagakkan boleh dijadikan asas. Halangan kedua ialah kami terpaksa mempelajari subjek ini dalam bahasa Inggeris kerana soalannya dalam bahasa tersebut.
Masalah kami akhirnya dapat diselesaikan: Cikgu Shaari Isa bersetuju mengajar kami (kira-kira 20 orang) setiap pagi Sabtu. Tempatnya di Makmal Sains. Beliau tidak mahu menerima sebarang bayaran daripada kami. Penyelesaian masalah keempat ini merungkai semua masalah lain. Hanya beberapa orang daripada kami yang dari Darjah Satu A 1957 dahulu yang tidak menyertai kelas itu, kerana kebanyakannya masalah bahasa Inggeris itulah. Kelas Health Science itu sempat selesai, iaitu sehingga buku teks berwarna merah (saya tidak ingat lagi judul dan pengarangnya) habis kami pelajari dari kulit ke kulit dalam suasana yang diliputi dengan keseronokan dan harapan tinggi dan dibantu oleh seorang guru kami yang amat dedikasi dan memahami. Jasa Cikgu Shaari Isa kepada peningkatan kualiti hidup kami sangatlah besar. Saya berdoa agar beliau sentiasa diberkati Allah SWT di dunia dan di akhirat. Terima kasih Cikgu!
Saturday, March 1, 2008
Pembimbing Yang Istimewa
Hendak dikatakan bernasib baik sangat pun tidak, tetapi pastinya bukanlah buruk. Kami, bekas guru pelatih yang memasuki SITC 1957 ini dikehendaki belajar di Kolej ternama itu bagi satu jangka masa yang tidak pernah berlaku dalam sejarah maktab sebelum inin iaitu lima tahun. Sebenarnya kumpulan kami dari sekolah Melayu itu bukan semuanya guru pelatih. Kebanyakan pelajar dari Negeri Sembilan terpilih dari kalangan murid Darjah Tujuh.
Tidak lama selepas mendaftar diri kami disogokkan dengan satu isu perjuangan pelajar yang kami sendiri kurang mengerti hujung pangkalnya. Persatuan Penuntut-Penuntut Sultan Idris Training College (PPSITC) bersungguh-sungguh benar hendak menerbitkan Majalah Chenderamata yang selama ini merupakan hak penerbitan pihak Kolej. Isu ini diletakkan di hadapan semua pelajar untuk membuat kata putus. PPSITC pun tidak mempunyai dana yang cukup untuk menerbitkan majalah ini. Deligasi PPSITC yang merupakan Badan Pekerja (maksudnya Jawatankuasa) menemui pihak pengurusan, dan akhirnya mereka bersetuju dengan cadangan itu. Tahun itu Chenderamata bertukar wajar: dahulu, sebelum merdeka dicetak di Charles Grenier & Co. Ltd., kemudian berubah ke The Khee Meng Press dan dibawah PPSITC mereka menggunakan pencetak The Economic Printers Ltd. Isu penerbitan ini cuma berlaku setahun sahaja kerana tahun 1958 Chenderamata diterbitkan kembali oleh pihak Pengurusan Kolej sedangkan PPSITC menguruskan penerbitan lain yang bernama Suluh Budiman.
Berbalik kepada perubahan sistem pengajian Kolej, Rencana Pengarang Chenderamata 1959 menyiarkan pendapat khas tentang kursus kami:
”Setelah dibuka semula di dalam tahun ini (1959) penuntut-penuntut asal Maktab ini yang telah tamat peperiksaan Jenis Sijil Pelajaran Rendah dimasukkan ke darjah Perguruan Tahun I. Bersama-sama dengan mereka telah diterima seramai 70 orang penuntut daripada negeri-negeri Perak, Selangor, Negeri Sembilan dan Pulau Pinang yang tamat Sijil Pelajaran Rendah bahkan ada pula yang telah tamat School Certificate dan Federation School Certificate.
Penuntut-penuntut ini bercampur-campur belajar di dalam kumpulan-kumpulan yang ditentukan. Perkara-perkara yang dititik-beratkan kepada penuntut-penuntut ini ialah Ilmu Latihan Guru...
Begitulah perubahan yang telah berlaku dan akan berlaku terus-menerus. Pendek kata mulai daripada tahun hadapan Maktab ini semata-mata melatih bakal-bakal guru yang sekurang-kurangnya telah tamat Sijil Pelajaran Rendah sahaja. Dengan itu baharulah sampai Maktab kita ini kepada taraf Maktab yang sebenar-benarnya.
Pada pendapat kita perubahan ini tersangat baik. Dengan jalan ini kita dapat guru-guru sekolah rendah yang mempunyai ilmu yang tertentu dan latihan guru yang sempurna. Tidaklah dilatih guru-guru itu bercampur-campur sahaja di dalam semua perkara seperti dahulukala.
Maktab ini tetap menjalankan latihannya menerusi bahasa Melayu, kerana bahasa Melayulah bahasa pengantara Maktab ini semenjak dari tahun 1922 iaitu tahun Maktab ini didirikan. Oleh itu kita berasa penuntut-penuntut yang berlatih di Maktab ini cukup beruntung menerima latihannya dengan bahasa Melayu itu kerana mereka tidak kekok dan ganggu lagi apakala mereka mengajar di sekolah-sekolah kebangsaan nanti ...”
Pendek ceritanya begini: Kami yang dari sekolah Melayu dan yang telah menjadi guru pelatih apabila masuk ke Maktab ini memang mempunyai pengetahuan akademik, tetapi pengetahuan yang ada itu tidak sesuai dengan keperluan sekolah yang bakal melaksanakan dasar pelajaran baru di negara merdeka nanti. Piawai paling minimum untuk guru sekolah rendah yang difikirkan pada masa itu ialah kelulusan akademik pada tahap Lower Certificate of Education (LCE). Peperiksaan LCE ini dijalankan dalam bahasa Inggeris (kecuali kertas Bahasa Melayu dan Bahasa Kebangsaan) kerana pelajar-pelajar mengambilnya setelah selesai mengikuti pengajian selama tiga tahun dalam bahasa Inggeris. Mungkin mereka merasakan tidak adil (atau mustahil) untuk kami mengambil peperiksaan tersebut dalam bahasa Inggeris; jadi mereka mengadakan kertas yang khas bagi SITC dan MWTC bagi peperiksaan itu dalam versi bahasa Melayu dengan nama Peperiksaan Jenis Sijil Pelajaran Rendah dengan menerjemahkan soalan bahasa Inggeris ke bahasa Melayu.
Hasilnya, 100% pelajar daripada sekolah Melayu (guru pelatih dan Darjah Tujuh) yang mengambil peperiksaan itu lulus. Ramai pula yang lulus dengan cemerlang. Tempoh pengajian biasa selama tiga tahun kami habiskan kurang daripada dua tahun sahaja. Buku teks yang digunakan dalam bahasa Inggeris tidak banyak sangat menghalang kami, terutama dengan usaha bersungguh-sungguh daripada para guru kami yang sangat dedikasi. Setiap akhir penggal diadakan ujian yang penghujungnya disertakan amaran, kalau tidak lulus akan dihantar balik kampung (dibuang daripada Maktab). Memang saya takut juga kena buang dan terpaksa balik ke kampung...
Keputusan Peperiksaan ’LCE-type’ itu boleh disebut cemerlang, kerana ramai yang mendapat A bagi beberapa mata pelajaran; malah ada yang mendapat semua A. Mata pelajaran yang paling mencabar ialah Sains, Ilmu Alam dan Sejarah kerana mata pelajaran ini isi kandungannya baru belaka bagi kami, ditambah pula dengan ketiga-tiga orang pensyarah yang mengajarnya orang-orang muda. Mereka ialah Cikgu AHMAD bin SALEH, Cikgu SHAARI bin ISA dan Cikgu ZAINAL AKBAR bin ZAINAL ABIDIN. Bagi kami, mereka bertiga ini merupakan tenaga muda yang sangat dinamik. Barangkali, di kalangan mereka Cikgu Shaarilah yang paling besar menerima cabaran kerana beliau merupakan guru sains bahasa Melayu yang pertama di dunia! Tidak sesiapapun yang dapat menafikan hakikat ini.
Pada masa itu tidak ada yang namanya kelas tambahan utuk membanytu kami lulus peperiksaan sebagaimana berlaku sekarang. Pengajaran dijalankan secara maksimum di dalam kelas, ditambah dengan penyediaan nota yang lengkap. Kami banyak mengadakan perbincangan kumpulan, terutama menjelang peperiksaan. Cikgu AHMAD SALEH menyediakan nota mata pelajaran Sejarahnya dalam tiga jilid. Saya adalah salah seorang yang pernah menawarkan diri untuk menaip nota pada stansil dan kemudian dijilid. Untuk menyelesaikan kerja ini beliau meminjamkan saya salah sebuah mesin taip Kolej untuk saya bawa balik ke asrama pada waktu petang dan malam. (Zaman itu boleh dikatakan tidak ramai orang yang boleh menaip. Pengetahuan menaip yang ada pada saya itu didapati semasa mengajar di Sekolah Melayu Laki-laki Kuantan kerana di dalam bilik guru di situ ada sebuah mesin taip kepunyaan Syarikat Guru-guru Melayu Pahang Timur yang menggunakan bilik guru itulah juga sebagai pejabat mereka. Setiap hari saya duduk menggodam mesin itu, kadang-kadang menolong menaip kerja-kerja mereka. Tidak seorang pun yang melarang saya menaip, apatah lagi memang tidak ramai orang sekolah itu yang suka menyanggam mesin taip tersebut). Cikgu SHAARI juga menerbitkan nota begitu, tetapi beliau tidak meminta kami menolongnya kerana mungkin beliau tidak berapa percaya tentang ketepatan rajah radas dan lainnya. Nota Cikgu AHMAD SALEH itu akhirnya disusun serta dieditnya semula dan dicetak oleh Dewan Bahasa dan Pustaka setelah dimasukkan gambar dan carta dengan judul Sejarah Dunia I dan Sejarah Dunia II dan seterusnya dijadikan buku teks sekolah menengah Melayu.
Cikgu AHMAD bin SALEH memulakan pelajaran Sejarah secara mencabar minda dan sikap kami dengan mengatakan subjek Sejarah tidak berguna langsung kerana memperkatakan perkara yang lepas, cerita orang-orang jahat yang berperang dan membunuh orang lain, yang tidak kena-mengena dengan zaman sekarang. Lama juga dia ’mendakyah’ dengan diakhiri undi secara angkat tangan siapa yang meminati sejarah dan siapa pula membencinya. Memang ada yang tertarik untuk membenci pelajaran ini setelah mendengar hujjah beliau tadi. Orang-orang yang membenci itu akhirnya ditempelak balik dengan mengatakan merekalah golongan yang tidak bersemangat kebangsaan dan pelbagai ciri kelemahan lagi. Begitulah pendekatan dan set induksi yang digunakan oleh Cikgu Ahmad yang baharu pulang dari Kolej Kirkby itu.
Bagi saya, Cikgu AHMAD bin SALEH ini merupakan pendidik sejati. Kepandaian dan kemahirannya pelbagai, dengan air tangannya elok, di samping seorang yang kelakar tetapi kadang-kadang serius. Beliau juga seorang guru pengakap. Tahun 1958 beliau berjaya mengarahkan sebuah drama secara besar-besaran yang berjudul Mahsuri. Pada masa itu, ya, semua watak wanita dalam drama itu terpaksa dipegang oleh lelaki, termasuklah Si Mahsuri itu sendiri yang dipegang oleh YUSOF bin KASSIM pelajar Tahun Dua dari Kampung Raja, Besut. Kejayaan semuanya ini sangat bergantung kepada Cikgu AHMAD bin SALEH.
Semasa membuat catatan di papan hitam kadang-kadang Cikgu AHMAD SALEH menulis rumi, tetapi kadang-kadang jawi. Sebagai sumber kelakar, beliau menulis ekor huruf ’mim’ yang panjang, hingga ke kaki papan hitam. Keterampilan beliau semakin terserlah pada suatu hari ketika sekumpulan yang menamakan pasukan mereka Moral Re-armament Group datang ke Kolej dan memberikan syarahan. Kumpulan itu diketuai oleh Dato’ Mahmud bin Mat yang pada masa itu menjawat jawatan Speaker Dewan Rakyat, sementara anggota lain semuanya orang kulit putih. Cikgu Ahmadlah yang menjadi penterjemah ucapan mereka. Saya fikir Dato’ Mahmud terpesona dengan cara terjemahan Cikgu Ahmad yang cukup jitu sehingga menyebebkan beliau mencadangkan Cikgu Ahmad menghadiri Persidangan Kumpulan ini di Tasik Michigan, Amerika. Apabila beliau kembali daripada persidangan itu beliau memberi ceramah pengalamannya kepada kami sambil menunjukkan gambar beliau serta berbeban-benan bahan bertulis, termasuk akbar.
Guru muda yang tiga orang itu ke sana ke sini hanya menggunakan basikal. Basikal Cikgu AHMAD adalah sebuah basikal Raleigh berwarna hijau tua dan bersaiz tinggi, untuk dipadankan dengan tubuhnya yang sasa itu; sementara basikal Cikgu SHAARI dan Cikgu ZAINAL AKBAR bersaiz biasa, berwarna hitam tetapi saya tidak ingat jenamanya. Kebanyakan Cikgu lain juga memakai basikal, termasuklah Tuan Haji HASSAN, Tuan Haji DAUD, Cikgu YUSOF JUDIN. Yang berkereta ialah Cikgu AHMAD WAHAB, Cikgu SHAFI’I TASI, Cikgu RAMLI SHAARI. Kalau saya tidak salah ingatan, Tuan Haji HASSAN ada sebuah kereta yang agak tua di bawah rumahnya, tetapi jarang-jarang sekali digunakannya.
Dalam pengajarannya Cikgu AHMAD SALEH menggunakan pelbagai sumber rujukan dan meminta kami membaca (dan membeli) buku-buku sumber tambahan itu. Antaranya ialah tulisan Wheatly, Winstead, Moorhead, jurnal-jurnal terbitan Malayan Historical Society dan dua buah buku Indonesia berjudul Sejarah Dunia terbitan Wolters, Jakarta dan yang sebuah lagi itu saya lupa judulnya. Topik-topik sejarah Yunani, Rom, China, Mesir, India merupakan topik baru yang sangat asing di kalangan kami yang lulus sekolah Melayu. Demikian juga perihal Revolusi Perancis, Pemberontakan Bolsevick, Revolusi Pertanian, Peperangan Dunia Pertama yang puncanya berpusat di Eropah Timur merupakan hal-hal yang tidak pernah kami temui kerana selama ini kami hanya mengenali BUYONG ADIL, ABDUL HADI bin HAJI HASSAN dengan Sejarah Alam Melayu mereka.
Cikgu SHAARI bukan sahaja mengajar mata pelajaran Sains, tetapi pada masa yang sama mencipta istilah sains sendiri. Pada masa itulah kami mengetahui radas, pipet, buret, beaker, penunu bunsen, maun, maging, dan pelbagai istilah lain. Untuk meluaskan pengetahuan, Cikgu Shaari bersama-sama kami menjalankan projek iaitu menyusun seakan-akan ensaiklopedia tentang tumbuh-tumbuham, iaitu menulis seberapa banyak nama pokok dan menerangkan bentuk daunnya secara rinci, kemudian menyusun semuanya mengikut abjad.
Ada di antara kami yang tinggi citarasa seninya membuat lukisan di dalam buku percubaan sains berwarna-warni. Cikgu Shaari tidak menyukai semuanya ini kerana katanya kaedah itu meskipun kelihatan cantik tetapi tidak sesuai dengan subjek Sains. Kami pula sentiasa menunggu topik-topik baru yang diajarkan oleh beliau. Satu perkara yang sangat istimewa cikgu Sains kami ini ialah pada minggu kedua kami memasuki kelasnya, beliau boleh menyebut semua nama kami tanpa kecuali. Menjadi pelajar yang namanya dikenali oleh guru begini saya merasakan sesuatu yang sangat menggembirakan. Saya cuba juga nengikut langkah Cikgu Shaari apabila saya menjadi guru kemudiannya, tapi saya kena dibantu dengan suatu carta kecil kedudukan murid-murid saya, tanpa diketahui oleh mereka! Tapi saya memerlukan berbulan-bulan juga hendak mengenali dan mengingati nama semua murid saya.
Kami suka mengikuti kelas Cikgu ZAINAL AKBAR kerana dia kelakar. Beliau tidak menyediakan nota tetapi meminta kami menyalin nota secara merencana atau menyalin nota yang disediakan di papan hitam. Walaupun meletihkan tetapi kami seronok. Dalam topik Australia misalnya, kami tahu benar selok-belok negeri itu siap dengan bandar-bandar, kampung, sungai, gunung dan bukit serta hasil keluaran tempat-tempat tersebut. Setiap orang kami boleh melukis peta Australia (dan New Zealand) tanpa merujuk kepada peta asal. Kami mahir memetakan pelabuhan Melbourne. Darwin, Wellington dan bandar-bandar lain dengan mencatatkan hasil eksport dan import tempat-tempat iti. Pendak kata, kalau hari iti kami dicampakkan ke negara itu sudah tentu kami tidak akan sesat sama sekali.
Bagi mata pelajaran Bahasa Melayu saya rasa tidaklah bermasalah sangat. Selepas pertukaran Cikgu WAHI ke DTC Taiping kami diajar oleh Cikgu AHMAD WAHAB. Dicelah-celah masa itu pada suatu hari tiba-tiba masuk pula Cikgu YUSOF ARSHAD ke kelas kami. Cikgu ini adalah antara penyajak SITC awal dan karyanya ada di dalam antologi Puisi Baru susunan Ali Haji Ahmad yang baru diterbitkan oleh DBP. Beliau memakai baju dan seluar baru (baju putih dengan seluar sharkshin warna coklat dan bertali leher yang nampaknya semua baru, tapi cacat sedikit beliau memakai kasut getah, meskipun kasut itu baru). Kami fikir Cikgu baru kami ini, sebelum ini mungkin menjadi guru besar entah di sekolah mana di Negeri Sembilan, memandangkan penampilannya yang masih agak sangat kekampungan itu. Pertuturan beliau semasa mengajar pun sangat pekat loghat negerinya. Beberapa tahun selepas itu terbitlah buku pantunnya oleh DBP. Saya tidak ingat apakah judulnya buku kecil beliau itu. Peristiwa kedatangan Cikgu Yusof ini mengingatkan saya kepada peristiwa kedatangan Profesor MUHAMMAD RAMLAN dari Universiti Gajah Mada mengajar kami subjek Kajian Tradisi Lisan Nusantara dalam Perbandingan di Universiti Malaya pada 1970. Polanya memang sama, cuma tokoh dan settingnyalah yang berlainan. Wajah kedua-duanya pun hampir-hampir kembar seiras. Cuma Profesor M Ramlan menjenjeng beg ala James Bond, berjalan kaki dan naik bas dari Seksyen 17 ke kampus.
Mata pelajaran Bahasa Inggeris diajar oleh beberapa orang pensyarah muda. Mula-mulanya Cikgu AZMAN bin LUDIN, orang Negeri Sembilan yang berisi badannya dan rambut kerinting ala P. Ramlee. Selepas itu kami diajar pula oleh Cikgu MD. AMIN bin MAHMUD, orang Kelantan. Oleh sebab mengajar Bahasa Inggeris, tidaklah nyata sangat ’kecek Kelantannya’. Dia suka memberi kutipan esei tentang Kelantan, termasuk menerjemahkan Pantai Cinta Berahi sebagai Beach of Love and Passionate. Pengajarannya lebih banyak menggunakan kaedah struktur, iaitu diberinya contoh ayat dalam struktur tertentu dan diminta kami menukar perkataan di dalamnya dengan perkataan kami sendiri di samping meluaskan struktur itu. Saya merasakan kaedah ini sangat membantu meningkatkan kemahiran bahasa Inggeris saya. Kami menggunakan buku Living English Structure untuk subjek ini.
Kami juga diajar oleh Cikgu BABA AHMAD bin HAMIDON. Beliau adalah adik kepada Profesor FATIMAH HAMIDON yang pada masa itu sedang menempah nama kerana baharu lulus dari Universiti Malaya di Singapura dan gambarnya banyak disiarkan di media massa. Cikgu BABA ini memang kebudak-budakan sangat dalam banyak segi dan suka berkawan dengan kami. Beliau baru membeli sebuah tape recorder jenama AKAI dan selalu merakamkan peristiwa seperti campfire pengakap dan sebagainya. Dia sendiri selalu memikul tape recordernya yang agak besar itu ke hulu ke hilir. Kami kerap diajak mendengar rakaman yang dibuat serta mendengar piring hitam lagu-lagu Barat yang beratus-ratus di rumahnya. Beliau juga memperkenalkan kami beberapa jenis bunga mawar yang warnanya lain daripada biasa yang ditaman di rumahnya, iaitu warna hijau, kehitam-hitaman, kelabu. Pada suatu hari beliau mengiringi lawatan Persatuan Bahasa Inggeris ke Kuala Lumpur yang saya ikut serta. Antara tempat lawatan ialah pameran di Stadium Chen Woo. Sepanjang lawatan itu beliau cuma memakai seluar pendek putih yang sangat pendek, seolah-olah seluar dalam sahaja, dengan baju tee serta menggalas sebuah bag kain yang biasanya digunakan oleh tuk sami Siam atau Burma, yang pada masa itu memang menjadi trend di kalangan muda-mudi. Tak adalah dalam itiniary lawatan pada masa itu singgah bersembahyang zuhur, jauh sekali melawat Masjid Negara. Saya juga pernah mengikuti rombongan persatuan yang sama ke Melaka kerana mengadakan perbahasan dengan MWTC, dan kami dibenarkan pergi ke rumah Encik ABDUL GHAFAR BABA yang pada masa itu menjadi Ketua Menteri Melaka dan dijamu minuman teh di kediamannya. Pensyarah yang ikut serta ialah Encik MD. AMIN tadi dan Encik JOGINDER SINGH.
Subjek matematik sememangnya satu sabjek yang sukar, tetapi tidaklah sampai saya membencinya. Saya merasakan sesuatu kesan positif dalam mempelajari subjek ini menggunakan buku berbahasa Inggeris karangan C.V. DURELL itu. Mula-mula memang guru-guru kami menerang atau menerjemahkan makna setiap arahan, penerangan dan soalan itu kepada kami. Beberapa bulan kemudiannya perkara begini tidak berlaku lagi kerana kami semua memahami teks dalam bahasa Inggeris itu, malah kadang-kadang tidak menyedari buku yang kami sedang gunakan itu berbahasa Inggeris. Ini semua adalah hasil kaedah pengajaran yang menarik guru-guru kami, yang dimulai oleh Cikgu MOHD. RAIS HASSAN, Cikgu SAMURI ALIF, Cikgu NURUDDIN bin JAMIN, Cikgu SAIYED OMAR AHMAD, Cikgu WAN bin DUS MUHAMMAD, Cikgu RAMLI bin SHAARI. Kecuali pengajaran Cikgu RAMLI yang agak tegang, yang lain semuanya sangat membantu. Kami kurang selesa belajar dengan Cikgu NURUDDIN bin JAMIN kerana kaedah dan pendekatannya, seperti beliau menegur pelajar yang memandang mukanya. Katanya, 'muka saya ni lawa sangatkah?' Jadi, kami memang mengelak daripada memandangnya ketika menjawab soalan lisan. Suatu hari beliau bertanya sesiapa yang tahu apakah itu hypoteneous. Benda ini memang tidak pernah disentuh lagi sebelumnya, tetapi kawan saya itu menjawab dengan yakinnya mengatakan benda itu ialah badak air yang banyak terdapat di Afrika. Jawapan ini memanglah tidak menyenangkan Cikgu NURUDDIN, kerana katanya, yang kita sedang belajar ini Ilmu Hisab, bukannya Ilmu Alam. Apa kena mengenanya badak dengan Ilmu Hisab. Aha!
Barangkali perlu saya nyatakan di sini iaitu semasa belajar di SITC kami tidak pernah membeli buku latihan kerana buku latihan dan buku teks semuanya dibekalkan percuma. Sekiranya buku latihan kami hampir habis, kami perlu menunjukkannya kepada guru mata pelajaran yang berkenaan, beliau menandatangani pada kulit bahagian dalam buku itu dan kami pun membawanya kepada Dahalan, iaitu kerani Kolej dan beliau akan memberikan buku baru kepada kami, sementara buku lama juga diserahkan untuk kami simpan. Buku latihan kolej ini semuanya dicetak di England oleh Philip and Tracy, melalui sebuah syarikat induk iaitu Crown Agency. Saya fikir syarikat ini mestilah mendapat untung besar kerana merupakan pemegang monopoli pembelian bahan bercetak – buku, kertas kajang (foolscape), kertas taip, karbon, bakul surat, pensil, kayu pembaris, kulit fail, tali fail, riben pengikat fail, kertas lap (blotting paper), getah pemadam, sampul surat, gam, pembuka surat, mata pisau, lakeri, tali pengikat, kertas pembungkus, cecair pemadam dakwat, dakwat pelbagai warna, ribbon mesin taip, taipraiter, dakwat dan peralatan mengcap jari, (dan mungkin barang-barang kegunaan lain) dari pejabat kerajaan di tanah jajahan Inggeris ini. Senarai itu tidak termasuk buku bacaan dan buku teks serta buku-buku yang diterbitkan oleh Pejabat Karang Mengarang SITC yang semuanya diterbitkan di England dan dimonopoli oleh MacMillan & Company Limited beralamat di St. Martin’s Street, London dan dicetak oleh Lowe and Brydone (Printers) Limited, London, N.W. 10. Pendapatan daripada usaha ini mungkin merupakan kurang daripada 0.01% keuntungan yang dikaut oleh pemerintah penjajah itu daripada hasil mahsul tanah jajahannya Tanah Melayu kita ini.
Mata pelajaran Agama Islam diajar oleh Tuan Haji DAUD bin Haji IBRAHIM dan Tuan Haji HASSAN bin Haji MUHAMMAD. Kami diajari lebih daripada keperluan untuk SRP, kerana Tuan Haji HASSAN meneruskan kurikulum lama dengan mengajar kami Ilmu Faraid dan Ilmu Falak. Kami, dalam pada itu, sangat meminati pengajaran Fikah yang diajari oleh Tuan Haji DAUD, terutama bab-bab yang berkaitan dengan nikah kahwin. Di antara kedua-dua guru agama kami itu, terbuktilah Tuan Haji HASSAN mempunyai banyak kelebihan dan sangat mendalam ilmunya. Beliau adalah antara tokoh agama yang ’menahun’ di tanah Arab. Pada sebelah petang beliau memakai seluar panjang putih ketika bermain tenis. Beliau seorang pemain tenis yang handal dan semasa di Kuala Kangsar pernah bermain dalam pasukan Sultan Perak dan beliau pun tinggal di Bukit Chandan. Saya ada beberapa kali pergi ke rumah beliau dekat Surau Kolej diajak oleh anak saudaranya ISA bin YUSOF, termasuk ketika kenduri doa selamat kematian anak lelakinya yang meninggal dalam kemalangan jalan raya. Setelah orang ramai balik, beliau mengajak saya makan buah ciku yang diambil dari dalam peti sejuk. Ciku sejuk sedap, katanya. Itulah, sampai sekarang saya kerap menyimpan buah ciku yang telah dikupas di dalam peti sejuk; dan setiap kali makan, teringatlah saya kepada Tuan Haji HASSAN sementara di dalam hati saya membaca al-Fatihah untuk roh arwah tuan guru yang sangat saya hormati itu.
Tuan Haji DAUD pula tidak pernah bermain sebarang permainan nampaknya; malah beliau tidak pernah memakai seluar panjang. Pakaiannya hanyalah kain pelikat dengan baju gombang. Ketika menghadiri Perayaan Jubli Emas SITC saya bertemu dengan beliau. Selepas bersalaman dan menceritakan kisah lama, saya secara berseloroh mengucapkan tahniah kepada beliau kerana itulah kali pertama saya melihat beliau memakai seluar panjang. Kawan-kawan yang hadir turut ketawa bersama-sama beliau yang geli hati mendengar kata-kata saya itu.
Saya belajar menjilid buku dengan Cikgu YUSOF JUDIN. Saya memang dari awal-awal lagi bercadang hendak memilih subjek ini kerana ingin menjilid majalah Mestika dan Mutiara yang saya beli setiap bulan itu. Kami juga boleh membuat autograf sendiri, menggunakan kertas berwarna warni. Cikgu Yusof seorang pendidik yang tekun, sabar dan manis air tangannya. Suatu masa saya melihat beliau menjilid Hikayat Hang Tuah menggunakan kulit kambing. Beliau mengatakan buku itu Encik ZAINAL ABIDIN bin ALI yang pada masa itu menjadi Pengetua Kolej yang meminta beliau menjilidnya. Cantik sungguh! Cikgu Yusof ini juga pandai bermain hoki dan bola dan beliau menjadi guru pengawas permainan ini. Saya pernah melihat beliau mengawal bola hoki dengan sticknya, berlari kencang betul-betul di sisi garisan tepi tanpa mencecah garisan apa lagi keluar padang. Melalui kelas Cikgu Yusof saya mengenali istilah kuras, end-paper, half-bind, quarter-bind, full-bind. Kami diajar mengasah pisau pemotong kertas yang mesti berbentuk ’dada tuma’ itu dan memotong kertas yang diapit kemas secara perlahan-lahan sambil memulas bahagian pemegang mata pisau sedikit-sedikit. Kami juga diajar bagaimana membuat gam tepung gandum supaya tidak basi, iaitu memasukkan tawas semasa memasakkan dan gam itu menjadi kebiru-biruan serta tahan berminggu-minggu. Kami juga dikenalkan dengan sejenis kertas penampal muka surat yang koyak, setelah ditampal kesan koyak dan tampalan itu tidak kelihatan; seolah-olah bahagian itu terpalit minyak sahaja. Menurut MOHD. ALWI bin MOHD TAIB, Cikgu Yusof tinggal di Ipoh selepas bersara. Saya tidak pernah lagi menemuinya selepas berpisah di Tanjong Malim.
Tahun 1957 itu Sekolah Dato’ Abdul Razak (SDAR) masih menumpang di sebahagian bangunan SITC, termasuk menumpang di makan di Bilik Makan. Bangunan mereka pun seperti bangunan sementara sahaja, menunggu akan berpindah ke tempat lain. Kekurangan guru di Kolej dimanfaatkan dengan kelebihan guru di SDAR, maka itulah sebabkan kami sempat belajar dengan Cikgu TALHA bin ABDUL RAHMAN, Encik MARK ANTHONY, Encik YUNUS, dan beberapa orang lagi yang saya tidak ingat kerana tidak mengajar saya. Ada juga berlaku pergeseran kecil di antara mereka dengan kami, tetapi tidaklah berpanjangan kerana tidak lama kemudian mereka berpindah ke Seremban.
Cikgu SHAFI’I bin TASI merupakan satu-satunya guru lukisan yang sangat elok air tangannya, tetapi beliau ini – sebagaimana kebanyakan orang seni – sangat sensatif. Beliau kerap memakai seluar pendek dengan stokin panjang. Sekiranya ada majlis nyanyian, Cikgu SHAFIE kerap menawarkan diri untuk menyanyi dan lagu yang beliau biasa menyanyikan ialah Mas Merah. Ada orang kata beliau tidak berapa baik menyanyi kerana tempohnya kerap lari.
Saya mendaftarkan diri menjadi ahli Kelab Lukisan, dan kami diberi beberapa projek, termasuklah menghias bilik lukisan baru, iaitu bilik yang ditinggalkan oleh budak-budak SDAR.
Saya dengan ABDULLAH ISMAIL, ABDUL MANAN SIMPOL, ABDUL MANAF MEON, ABDUL RAHMAN KADIR dan beberapa orang kawan lain ditugaskan melukis pola rama-rama pada siling. Punyalah susahnya, kerana cat lukisan kerap menitis ke muka, hingga masuk ke dalam mata.
Setelah bersara Cikgu SHAFI'I menetap di Rapat Setia Ipoh, tidak berapa jauh daripada rumah ALWI TAIB dan Cikgu AHMAD ABDUL WAHAB. Suatu hari saya dengan NURZIAH dan anak-anak berkunjung ke rumahALWI dan terus ke rumah Cikgu SHAFI'I. Pada masa itu isteri beliau Cikgu DAH baru lepas meninggal. Cikgu SHAFIE menangis menyambut kedatangan kami dan memberitahu NURZIAH bahawa dia tak sempatlah berkenalan dengan Makcik Dah-nya. Saya juga terasa amat sayu. Beliau tinggal berdua sahaja di rumah itu, iaitu dengan FAUZI, salah seorang anak beliau yang terpaksa berhenti dari pengajiannya di UM kerana gangguan mental. Kini Cikgu SHAFI’I sendiri telah meninggal, dan tak tahulah saya FAUZI itu siapakah yang menjaganya.
Mata pelajaran Muzik saya memang amat meminatinya, tetapi guru kami sentiasa bertukar-tukar. Mulanya Cikgu SHAFI’I tadi, kemudian Cikgu MOHD. KASSIM bin ABDUL RAHMAN, kemudian Cikgu ABU HASSAN ALI dan terakhir Cikgu E. L. GOMEZ. Cikgu Shafi’i mengajar nyanyi lagu kanak-kanak menggunakan gitar dialah. Cikgu MOHD. KASSIM mengajar menggunakan piano sebagai pengiringnya dan pada masa itu kami telah mula belajar rekorder. Masing-masing dipaksa membelinya seorang satu. Rumah Cikgu Mohd. Kassim tidak jauh daripada Bilik Muzik dan isterinya yang kerap memakai baju merah itu selalu melintas di beranda rumah, jadi ramailah orang mencuri pandang. Cikgu Kassim mengajar sambil menasihatkan kami supaya melihat nota muzik masing-masing ketika meniup rekorder, jangan tengok nota orang lain. Ramai juga antara kami yang memahami maksud tersiratnya. Cikgu ABU HASSAN ALI pula orang serba boleh: dia mengajar Sains, Sastera dan Bahasa Inggeris pun dia ajar, semuanya menarik belaka caranya. Tidak lama kemudian beliau menerbitkan buku Sains Sekolah Menengah yang sangat cantik susunan grafiknya dan diterbitkan oleh DBP. Dua orang anak beliau menjadi tokoh muzik tanah air setelah lulus daripada kolej muzik terkenal di Amerika, dan seorang daripadanya ialah ADNAN bin ABU HASSAN. Cikgu E. L. GOMEZ pula memang pemuzik tulen. Beliau dari keluarga Gomez terkenal, termasuk dalam kumpulan Trez Amigos, yang ikut sama seorang guru pengakap saya Horace Sta. Maria. Bahasa Melayu beliau tidak berapa baik, jadi saya fikir dia bimbang kalau-kalau kelemahan berbahasanya menyebabkan kami tidak lulus peperiksaan nanti menyebabkan beliau memberikan nota yang lengkap dan jawapannya yang cukup lengkap untuk kami salin secara verbatim. Dalam satu pertunjukan budaya, kami mempersembahkan pancaragam genderang dan Cikgu Gomez melantik saya menjadi konduktor. Apabila kami berbincang tentang muzik, ada orang meminta beliau memainkan lagu sukaramai pada masa itu, termasuklah lagu ciptaan P. Ramlee, tapi beliau tak mahu. Suatu hari saya akalkan dia: saya salin semula nota lagu Getaran Jiwa ciptaan P. Ramlee yang terdapat di dalam Majalah Gelanggang Filem (saya sebenarnya baharu saya menonton filem Antara Dua Darjat di salah sebuah panggung di Kuala Lumpur dan sangat menyenangi lagu tersebut) dan memberikan nota tulisan saya itu kepadanya untuk dimainkan. ’Apa pasal ini lagu sangat banyak sharp? Susah sikit mau main, tau!’ Akhirnya Getaran Jiwa pun berkumandang dalam bilik muzik dan kami menikmatinya betul-betul. Encik Gomez juga pernah mencipta sebuah lagu kolej dengan liriknya oleh Tuan Haji MOHD. YASSIN Haji TAHIR yang pada masa itu menjadi Pensyarah Kanan dan kami menyanyikannya semasa perhimpunan, tetapi lagu itu tidak pernah diperkatakan di dalam penerbitan Kolej.
Ada suatu perubahan yang nampak kecil tetapi mempunyai kepentingan juga dalam perkembangan Kolej. Selama ini cuti persekolahan Kolej hampir-hampir sama dengan cuti sekolah. Salah satu ciri cuti itu ialah Kolej ditutup 40 hari dalam bulan Ramadan. Kini mereka mengubah. Sebahagian besar bulan Ramadan kena belajar. Bukan senang juga Pak Deris dan anak buahnya hendak menyediakan makanan berbuka dan bersyahur. Pak Mat Turki tidak boleh lagi menjual cucur kodoknya. Walau bagaimanapun, menjelang bulan puasa itu ada seorang buruh India mendapat hidayat Allah iaitu dia memeluk Islam. Pihak Kolej merengankan tugasnya pada siang hari tetapi pada malam hari beliau ditugaskan pergi ke setiap asrama mengejut pelajar-pelajar supaya bersahur. Suaran beliau semasa mengejutkan itu sangat lemah-lembut sehingga sukar bagi kami untuk terjaga! Beliau melakukan ini mungkin kerana takut kena sergah oleh anak-anak muda yang sedang tidur nyenyak di penghujung malam itu, agaknya!
Monday, February 18, 2008
KELUARGA SEBELAH EMAK
Saya ingin memulakan catatan ini dengan menyatakan bahawa tidak ada seorangpun manusia di dunia ini yang lebih mengetahui tentang saya selain Emak saya. Tidak ada orang lain yang lebih sayangkan diri saya selain Emak saya. Emak membesarkan saya meggunakan segala kudrat dan iradat yang Allah berikan kepadanya dengan sepenuhnya. Tidak hairanlah apabila beliau mendapat berita palsu bahawa saya telah mati dalam peristiwa 13 Mei di Kuala Lumpur beliau menangis hingga mengakibatkan pandangan matanya menjadi lemah dan semakin hari semakin teruk. Emak sanggup berlapar, asalkan saya dan anak cucunya kenyang. Dalam tempoh empat tahun terakhir usianya, kedua-dua mata Emak terus tidak berfungsi. Walaupun saya berpeluang membawa Emak ke Mekah dan bersama-sama dengan Abang Othman memelihara Emak sehingga saat beliau menghembuskan nafasnya yang terakhir sesempurna mungkin, masih jauhlah kiranya mahu dibandingkan dengan jasa Emak membesarkan saya. "Ya Allah, Kau ampunilah segala dosa Emakku dan Kau masukkanlah rohnya di kalangan hamba-Mu yang Kau berikah Rahmat." Amin!
Sebahagian besar maklumat keluarga ini saya susun berdasarkan 'cerita' Emak sendiri. Nasib baiklah terbuka hati saya untuk ber'wawancara' dengan Emak dalam beberapa sesi selepas kami makan malam di rumah saya. Semasa hayatnya Emak memang sentiasa berat meninggalkan rumahnya untuk tinggal bersama-sama kami. Alasan yang kami buat ialah meminta Khairul dan Hafiz memujuk dia. Pujukan cucunya ini biasanya jarang yang Emak tolak, tetapi cuma untuk semalam dua sahaja.
Emak selalu berkata, semasa dia segar dia lebih suka duduk di kampung. Kalau dah sampai masa dia tak dapat bergerak, 'ikut anak cuculah!' Dan, Emak telah mengotakan kata-katanya ini. Beliau tidak menghembuskan nafas terakhirnya di rumahnya di kampung, tetapi di rumah Abang Othman di Kuantan, dengan saya dan beberapa orang cucu dan menentu mengelilinginya.
* * *
KELUARGA sebelah pihak Emak saya TIJAH binti DOLAH yang dapat saya selurusi setakat ini adalah bermula daripada sebelah pihak ibunya. Jurai ini bermula daripada tiga beradik yang bernama KULAT, YUSOH dan GANCHONG. Maklumat ini kebanyakannya saya dapati daripada keterangan mulut Emak saya sendiri. Mereka merupakan nama keluarga kami yang sebelah Emak paling awal diketahui oleh Emak.
KULAT berkahwin dengan BAKAL dan mendapat dua orang anak iaitu SARIFAH dan PAH. SARIFAH berkahwin dengan ABDUL RAHMAN (Cina Mualaf yang lebih dikenali sebagai Pakcik Aman) dan mendapat tiga orang anak iaitu HASHIM (sekarang tinggal di Singapura) dan SALMAH (tinggal di Kuala Lumpur). Anak mereka yang tengah seorang lelaki yang tidak diketahui namanya dikatakan hilang semasa Perayaan Hari Jadi Sultan di Pekan. PAKCIK AMAN kemudiannya berkahwin dengan YANG KECHIK (orang Kiambang) dan memperolehi empat orang anak iaitu SHAMSIAH, MARIAM, AWANG KASSIM dan AHMAD. SHAMSIAH berkahwin dengan ABDUL LATIF bin MAT SIN (Buntat); MARIAM menjadi guru dan berkahwin dengan SHEIKH HASHIM bin SHEIKH ISMAIL; AWANG KASSIM tidak sempat berkahwin kerana meninggal dunia dilanggar motorbotnya sendiri di Sungai Pahang; dan AHMAD menjadi guru dan kini tinggal di Tanah Putih Baru, Kuantan. Tidak ada sebarang maklumat tentang PAH.
MAT YUSOF atau YUSOF mula-mulanya berkahwin dengan HALIMAH dan memperolehi tiga orang anak iaitu ME, PIT dan KASSIM. Perkahwinannya yang kedua ialah dengan UDOH yang mendapat dua orang anak, iaitu SULONG dan MAH. MAH ini berkahwin dengan MAT AKIL dan memperolehi cahaya mata seramai enam orang iaitu JAH, BAH, MAT DERIS, MENAH, CHIK dan SALIM. Anaknya yang ketiga iaitu MENAH mula-mula berkahwin dengan HITAM dan mendapat tiga orang anak iaitu RAMLAH, AISHAH dan AMINAH. RAMLAH, seorang guru berkahwin dengan abang OTHMAN bin ISA, mendapat anak BAHARUDDIN, BAHAZELAN, SHAHRULBARIAH, SAIDATULHANAM, BAHAZENAN dan NURULASHIKIN. AISHAH berkahwin dengan ABDUL KARIM yang kini tinggal di Padang Polo. AMINAH yang bekerja sebagai jururawat berkahwin dengan ABDUL MANAN bin TAHA (orang Kampung Bintang) yang bertugas sebagai pegawai Majuikan dan kini tinggal di Pekan. Mat Yusof juga berkahwin kali ketiga dengan YANG CHIK dan anak-anak mereka tidak diketahui. MAT AKIL tadi selain berkahwin dengan MAH, berkahwin juga dengan PIT yang beranakkan SALLEH (Pakoda Salleh) yang mendapat anak, antaranya MUNAH (seorang farmasi dan tuan punya Farmasi Kuantan) dan MEK JAH.
GANCHONG pula berkahwin dengan PUASA dan memperolehi lima orang anak iaitu:
1. SOM
2. NGAH
3. DE
4. BAKAR dan
5. KOMAH.
TUK SOM (anak Tuk Ganchong dan Tuk Puasa yang pertama) bertemu jodoh dengan PADANG (orang Kempadang) dan mendapat tiga orang anak iaitu HUSSAIN (Pak Chik Hussain) yang tinggal di Benta; DERIS (dia ini bisu) dan seorang lagi YANG BIRU. HUSSAIN berkahwin dengan HALIMAH dan mendapat empat orang anak, iaitu JENABAH, ZAHARAH, MINAH dan ISMAIL. JENABAH berkahwin dengan seorang berketurunan Pakistan yang berjual kain bernama IBRAHIM. Mereka yang tinggal di Darat Mak Bar, Kuantan (berhadapan dengan jirat Cina) memperolehi lima orang anak iaitu Dato’ MOHD. RAMZAN, YAAKUB, ISHAK, ANI dan PEAH. Dato’ Mohd Ramzan berkahwin dengan LATIFAH binti MOHD. YUSOF (anak seorang peniaga barang kemas dan batu permata yang mempunyai sebuah kedai di Kuala Lumpur bernama Yusof Gems, kini tinggal di Jalan Hillview Ampang dan merupakan seorang jutawan pengusaha yang berjaya dan mempunyai syarikatnya sendiri. Yaakub bertugas di Majlis Perbandaran Kuantan, dan Ishak pernah bertugas di Affin Bank sebelum menjalankan perniagaan sendiri. Ani bekerja dengan sebuah syarikat swasta dan Peah membantu pengurusan stasyen minyak Patronas di Jalan Makbar kepunyaan Dato’ Mohd. Ramzan, berhampiran rumah mereka.
TUK NGAH (Nenek penulis blog ini) (anak Tuk Ganchong dan Tuk Puasa yang kedua) berkahwin dengan DOLAH bin REMBAU (dikenali juga dengan gelaran DOLAH KUCI). REMBAU ini adalah anak kepada MAMAT. DOLAH sendiri mempunya seorang saudara perempuan bernama SAERAH. Saerah berkahwin dengan BARU yang mendapat tiga orang anak, iaitu PANDAK, MUSA dan SULAIMAN. MUSA berkahwin dengan TEMAH binti DOLAH dan memperolehi dua orang anak iaitu MOHD. ALI dan PEAH. Mohd. Ali menjadi guru dan berkahwin dengan JURIAH binti HAJI HASSANUDDIN dan tinggal di Kampung Geylang, Pekan.
Perkahwinan NGAH dan DOLAH menghasilkan delapan orang cahaya mata iaitu:
1. LEMBEK
2. TIMAH
3. ZAINAL
4. CHIK
5. TEMAH
6. JAMILAH (MAK ITAM)
7. TIJAH
8. JERIAH.
LEMBEK (anak Tuk NGAH dan Tokki DOLAH yang pertama) berkahwin dengan MAT dan mendapat dua orang anak iaitu HAWA dan JAAFAR. Mak Long Lembek ini meninggal dunia semasa bah dan jenazahnya dikebumikan di Pengkalan Duyung, Peramu.
TIMAH (anak Tuk NGAH dan Tokki DOLAH yang kedua) berkahwin dengan SALLEH dan anak-anak mereka ialah MAT TAHIR, RAHMAH, KELSOM dan MAT TAHAR. MAT TAHIR berkahwin dengan HALIMAH dan tinggal di Kampung Sempiat, Tanjung Besar, Lipis. Anak-anak mereka ialah MAZNAH(tinggal di Batu 5, Kuala Lipis), MAT TAHAR atau SALIM (tinggal di Jengka 11), BAHARUDDIN (Bekas tentera dan tinggal di Kampung Mat Kilau, Jerantut), JUNAIDAH (berkahwin dengan MAT JAYA bin ABDUL GHANI dan telah meninggal dunia), REDUAN (tinggal di Balok, Kuantan) dan MALEK ZABANIAH (bekerja Tenaga Nasional dan tinggal di Kelantan). RAHMAH tinggal di Cherok Paloh dan anak-anak mereka HUSSAIN, SIDEK, SELAMAH. Hussain tinggal di Air Hitam, dekat Sungai Belat, Kuantan dan menjadi bomoh patah. KELSOM berkahwin dengan orang Beserah dan mendapat seorang anak bernama ABDULLAH. Abdullah ini hidup membujang dan tinggal di masjid serta meninggal di masjid itu. Kami hanya baharu mengetahui hal ini pada hari kematiannya. Saya sendiri pernah bertemu Abdullah itu semasa kecil. MAT TAHAR anak Tuk Ngah dengan Tuk Salleh yang bongsu meninggal kerana mati lemas di Sungai Pahang.
ZAINAL (anak Tuk NGAH dan Tokki DOLAH yang ketiga) meninggal dunia semasa kecil.
CHIK (Mak Chik) (anak Tuk NGAH dan Tokki DOLAH yang keempat) berkahwin dengan ISMAIL bin MERAH dan tinggal di Ganchong Tengah. Anak-anak mereka ialah MOHD. NOH, ABDUL RANI, dan MINAH. Mohd Noh berkahwin dan tinggal di Pulau Rumput, Pekan dan salah seorang anak lelakinya AHMAD pernah menjadi johan musabaqah al-Quran angkatan tentera; Abdul Rani berkahwin dengan RAZMAH binti BAKAR orang Tanjung Batu dan mendapat anak lelaki semuanya iaitu MAT JAYA, BULAT dan DI. Mat Jaya berkahwin dengan JUNAIDAH binti MAT TAHIR dan selepas kematian Junaidah dia berkahwin sekali lagi dengan Cikgu ZALEHA binti OTHMAN; AMINAH berkahwin dengan SAMUD bin AHAD dan menjadi peneroka di LKTP Bukit Tajau. Anak-anak mereka ialah ZUBIR (seorang guru), NORDIN (seorang guru) dan SALMIAH. Mereka semua tinggal di Felda Bukit Tajau dan di Maran.
TEMAH (anak Tuk NGAH dan Tokki DOLAH yang kelima), yang kami panggil Makteh itu berkahwin dengan MUSA bin BARU (Pakteh MUSA) yang tinggal di Cherok Paloh. Anak-anak Mak Teh Temah ialah MOHD. ALI dan RAFEAH. Abang MOHD. ALI (seorang guru) yang berkahwin dengan JURIAH binti HAJI HASSANUDDIN tinggal di Pekan dan anak-anak mereka ialah NORLIAN, KAMARUDDIN, NORA, NORLIZA dan seorang anak lelaki yang bongsu bernama ... Abang RAFEAH pula berkahwin dengan orang Kuala Pahang bernama IBRAHIM yang bekerja ke laut dan kemudiannya memandu bot tunda membawa bijih besi Jepun dari Chini/Batu Balik ke kapal Jepun yang berlabuh di laut Kuala Pahang. Setelah perusahaan di Chini/Batu Balik itu tutup, mereka berpindah ke Muar membuat kerja yang sama. Pernah sekali semasa perkahwinan KHAIRUL FAIZI di Muar saya mencari Abang Peah di kawasan rumah murah sebagaimana alamat yang diberikannya dahulu dengan bantuan HARON MUSA, tapi tak berjaya. Rupa-rupanya, mengikut Tik, masa itu emaknya sudah meninggal dunia. Anak-anak Abang Peah ialah AINON (kahwin dengan Abdul Rahman dan tinggal di Rancangan Rumah Murah Kuala Pahang); ZALEHA (Tik) berkahwin dengan orang Johor di Bakar Johor Bahru dan YUSOF pada zaman kecilnya tinggal bersama Makteh dan disekolahkan hingga sekolah menengah di SM Ahmad Pekan oleh orang tua itu. Beliau yang berkelulusan arkitek daripada UTM tetapi khabarnya berdakwah sakan dan bekerja sendiri di Johor. Semasa bersekolah dan tinggal di asrama di Pekan, Yusof termasuk kumpulan pelajar pintar yang daif, dan pernah dibantu oleh Ustaz HASSAN bin ISMAIL, warden asrama sekolah tersebut dari segi kewangan dan kemudahan lain. Semasa saya bertukar menjadi Pengetua SM Ahmad, Yusof telah habis pengajiannya di situ dan semasa cutinya dari UTM beliau balik dan menemui saya dan sempat saya bawa ke Ganchong menemui nenek-nenek saudaranya (Emak dan Chu Jeriah). Makteh pada masa itu di rumah Abang ALI bin MUSA kerana beliau diserang penyakit tidak nampak, tidak ingat dan tidak boleh bercakap sedangkah tubuh badannya segar bugar. Keadaan begini kekal sehingga beliau meninggal dunia kemudiannya dan dikebumikan di Permatang Berangan, Cherok Paloh.
JAMILAH (Mak Itam Jamilah) (anak Tuk NGAH dan Tokki DOLAH yang keenam) tinggal di Cheruk Paloh dan berkahwin dengan MAHMUD. Anak mereka ialah AZIZAH yang berkahwin dengan ABDUL RAHMAN. Anak-anak mereka ialah MAT DERIS, SALIM, MAT, NE, NOR, HALIMAH dan SAFIAH.
Emak - (Hajah Tijah binti Dolah)
JAH (anak Tuk NGAH dan Tokki DOLAH yang ketujuh) emak saya, berkahwin dengan ISA bin SUBOH dan tinggal di Kampung Ganchong. Anak-anak mereka ialah OTHMAN (berkahwin dengan RAMLAH binti HITAM sebagaimana yang dicatatkan di atas itu tadi) yang tinggal di Taman Guru, Kuantan dan anak-anak mereka ialah BAHARUDDIN, BAHAZELAN, SHAHRULBARIAH, SAIDATULHANA, BAHAZENAN dan NURULASYIKIN; YUSOF (meninggal dunia semasa kecil); dan YAAKUB (berkahwin dengan NURZIAH SAID) yang tinggal di Taman Guru Kuantan dan anak-anak mereka ialah KHAIRUL FAIZI, MUHAMMAD HAFIZ, FAZIANA AZAH dan FARAH AFIZAN. Kisah lebih lengkap tentang hal ini boleh dibaca dalam fail SEJARAH KELUARGA SEBELAH BAPA dalam bolg ini.
JERIAH (Chu Jeriah) (anak Tuk NGAH dan Tokki DOLAH yang kedelapan) berkahwin dengan TAIB bin ABDULLAH dan tinggal di Ganchong Tengah. Anak-anak mereka ialah ZALEHA (yang berkahwin dengan MANAF atau ABDUL SABAR, orang Salong, dan setelah kematian MANAF, Zaleha berkahwin dengan NOH, orang Ganchong Tengah), MOHD. KHALID (berkahwin dengan HASNAH binti AHMAD, beliau pernah memasuki angkatan tentera iaitu Rejimen Askar Melayu Diraja kemudian diserapkan ke Rejimen Gerak Khas yang mendapat latihan di Indonesia, JAMIAH (berkahwin dengan MUSAWIL bin ABDUL JALIL yang bekerja sebagai Pemandu Pejabat Kesihatan Chini); dan SAADUN berkahwin dengan anak orang Kedah yang tinggal di Ganchong.
* * *
TUK DE (anak Tuk Ganchong dan Tuk Puasa yang ketiga) pula berkahwin dua kali. Dengan suami pertamanya HAMID mereka mendapat anak yang bernama JUSOH (Ayah Long Keteng). Anak-anak Ayah Long Keteng ialah GAYAH dan ABDULLAH. Dolah berkahwin dengan NORMA, anak IBRAHIM bin CHIK (Ayahchik Ibrahim). Mereka kemudian bercerai dan NORMA berkahwin dengan AHMAD bin TAHAR (Pakcik LABOH) dan Abdullah kahwin dengan orang lain. Dengan suaminya yang kedua yang bernama MAHMUD, Tuk De mendapat dua orang anak iaitu ROBIAH (Makoda Yang yang dikenali juga sebagai Yang Pindah dan Yang Cantik) dan TALIB. ROBIAH berkahwin dengan AWANG KECHIK mendapat seorang anak iaitu NORMAH (tinggal di Kampung New Zealand dan berkahwin dengan ABDUL MALEK bin ISMAIL, orang Tanjung Batu). Suami kedua Makoda Yang ialah IBRAHIM, adik kepada Tok Dalam Haji Abu Bakar dan mendapat seorang anak perempuan bernama AZAM. Ibrahim ini ahli Pasukan Polo Diraja dan meninggal dunia semasa bermain polo bersama-sama Sultan Abu Bakar di Padang Polo Pekan. Lama selepas itu Makoda Yang berkahwin pula dengan orang Tanjung Medang bernama ABU BAKAR. TALIB yang berkahwin dengan Anak Tok Bomoh Mat Deris itu menjadi Penghulu dan tidak memperolehi anak. Semua mereka tinggal di Tanjung Rengas, Pulau Rusa.
TUK BAKAR (anak Tuk Ganchong dan Tuk Puasa yang keempat) berkahwin dengan ESAH dan mendapat lima orang anak, iaitu SULONG (Awang Long Longgok) yang berkahwin dengan YANG BIRU yang telah dinyatakan sebelum ini; CHIK berkahwin dengan ALI (Ali Sembilan, yang dikatakan pandai berjerogan - satu kaedah melagukan cerita rakyat dengan iringan tepukan bebana, iaitu cerita yang berjudul JEROGAN atau DAYANG KEKNON serta sedap suaranya berdikir bebana) dan mendapat seorang anak bernama KALIMAH; ASIAH berkahwin dengan MAJID yang tinggal di Benta, Langgar; WOK berkahwin dengan MAT (Mat Engkol yang tinggal di Tanjung Rengas, Pulau Rusa); dan MUDA (Ayah Uda Muda) yang tinggal di tempat yang sama. Ayah Uda Muda ini berkahwin beberapa kali, pertama dengan RAHMAH (anak Ayah Chik Gonjeng) mendapat seorang anak bernama ABDUL MALIK yang tinggal di Felda Bukit Tajau; kedua dengan ZAINAB dan mendapat anak yang bernama MUHAMMAD; ketiga dengan JAMILAH binti KASSIM, orang Pulau Ganchong yang juga dipanggil CHEPAK mendapat seorang anak bernama HAMDAN dan terakhir dengan DIAH mendapat dua orang anak TAN dan TINA yang masih tinggal di Tanjung Rengas. Semua isteri Ayah Uda Muda berpisah secara bercerai hidup, kecuali DIAH yang meninggal baru-baru ini.
TUK KOMAH (anak Tuk Ganchong dan Tuk Puasa yang kelima) pula berkahwin dengan MAMAT dan anak-anak mereka NGAH dan MAJID. Ngah tinggal di Kampung Sawah, Lamir dan berkahwin dengan SELAMAH. Anak-anak mereka ialah MUHAMMAD (Tuk Penghulu) yang berkahwin dengan NAWAL MAIMON binti ABDUL WAHID; PUTIH (nama sebenarnya ROSNI) yang berkelulusan dalam bidang Sains Sosial daripada sebuah IPT di Indonesia yang kini bekerja dengan Dato' Seri Najib; ... MAJID berkahwin dengan ASIAH dan anak mereka ialah MD. DERIS yang bertugas sebagai pegawai hutan. Adik beradik MAMAT yang lain ialah MUSA dan IBRAHIM. MUSA berkahwin dengan PIT (anak HALIMAH) dan mendapat anak MAT SIN (Tinggal di Jengka), MAT JUSOH (Tinggal di Kampung New Zealand) dan seorang lagi yang bernama YUSOF. IBRAHIM pula berkahwin dengan SARIFAH dan anak-anak mereka MUDA, ABDUL LATIF, HAWA dan ISAMAIL. MUDA (Ayahuda Muda) seorang guru berkahwin dengan KHATIJAH binti ABDUL GHANI – adik Cikgu ABU KASSIM) dan salah seorang anak mereka yang bernama TERMIZI seorang yang bertugas sebagai Keptan kapal terbang Royal Brunei yang meninggal kerana terhempas di Sabah. Apabila jenazah Termizi sampai di rumah bapa mertuanya di Pahang Tua, salah seorang bapa saudaranya meminta juga pihak tentera supaya membuka keranda yang disediakan. Akhirnya mereka membuka dan jenazah Termizi dipindahkan ke dalam keranda yang disediakan oleh pihak orang kampung. Betullah mengikut pihak syarikat penerbangan bahawa jenazah Allahyarham itu tidak banyak cedera sebagaimana biasanya orang yang jatuh daripada kapal terbang. Anak-anak Ayahuda MUDA yang lain ialah ANNUAR, HATTA ... dan seorang perempuan ... ABDUL LATIF seorang guru dan kini tinggal di Pekan. HAWA berkahwin dengan HASSAN orang Benta dan tinggal di Benta itulah. ISMAIL seorang pegawai pejabat hutan.