Thursday, June 5, 2008

Kisah Suram Dari Nepal

Mitos Negara Beraja

Kisah pemerintahan beraja di Nepal kini telah dimasukkan di dalam lipatan sejarah untuk disimpan di dalam muzium negara itu, yang kebetulan bagunannya ialah bekas istana yang selama ini berdiri megah dan dijadikan tempat tumpuan taat setia rakyat sejak 240 tahun yang lalu.

Kejatuhan sistem pemerintahan monarki Nepal, sebagaimana dilaporkan, disambut gembira oleh rakyat jelata negara itu. Melalui internet, televisyen, majalah dan akhbar terpampang gambar rakyat bersorak-sorai, menjulang genggam ke udara sambil tersenyum lebar. Bendera negara itu yang berwarna merah bertepikan hitam, berbentuk dua buah tiga segi sejajar dengan motif bintang berwarna putih di tengah-tengahnya turut dijulang tinggi di hadapan istana yang terpaksa dikosongkan dan seterusnya, ya, yang tadi itu, dijadikan muzium. Seorang anak muda berbaju ungu, berseluar biru memanjat patung gangsa Raja Birendra dan berdiri betul-betul di atas bahu patung itu sambil memegang sehelai bendera berwarna ungu juga (ini bukannya bendera Nepal).

Raja terakhirnya iaitu Cyanendra Bir Bikram Shah Dev diberi tempoh oleh Parlimen negara tersebut selama 15 hari berakhir hari Rabu 28 Mei 2008 lalu untuk meninggalkan istana dan menjadi rakyat biasa tanpa diberikan sebarang keistimewaan atau perlindungan dari segi undang-undang. Kekebalan dan kekuatan Cyanendra sebagai raja tidak berupaya melawan kehendak pemerintah yang dikuasai oleh tentera Mao untuk terus bertahan.

Negara yang mendapat julukan ‘negara bumbung dunia’ di Pergunungan Himalaya itu mempunyai sejarah dan tradisinya yang tersendiri. Kebanyakan kita di Malaysia mengenali Nepal melalui kehadiran askarnya yang dikenali sebagai pasukan Gurkha Rifles. Mereka dikatakan sebagai askar yang sangat taat dan berani. Buktinya: anggota Rejimen Ke-10 PKM, Manaf Jepun itu askar Gerkhalah yang membunuhnya. Keberanian mereka memang jelas semasa berkhidmat di bawah panji-panji askar British di negara kita dalam zaman darurat di Persekutuan Tanah Melayu dahulu. Dikhabarkan, Istana Buckingham di England dan Istana Darul Hana di Brunei Darussalam masih menggunakan khidmat askar Gurkha; malah, di Singapura juga terdapat pasukan tersebut untuk turut menjaga keselamatan negara pulau itu bersama-sama askar Singapura. Inilah bukti ketaatsetiaan dan keberanian pasukan negara bumbung dunia itu yang nampaknya belum ditandingi oleh mana-mana pasukan lain setakat ini.

Orang-orang Nepal di Malaysia pada masa ini terdiri daripada golongan pekerja (ada yang memasuki Malaysia dengan izin malah ramai juga tanpa izin) berkhidmat di supermarket dan gedung-gedung, di ladang, di samping sebagai pekerja hotel, bangunan dan pengawal keselamatan. Terdapat juga kumpulan kecil yang berniaga secara berjaja kecil-kecilan dan barang dagangan mereka yang cukup terkenal ialah batu permata, cincin perak dan suasa, gelang, rantai leher, duit lama entah dari negara mana, pandent, alat hiasan, malah patung Buddha. Golongan terakhir ini boleh kita temui di sekitar kaki lima di bandar-bandar besar. Semasa menginap di Hotel Flamingo, Ampang, saya dapati semua tukang kebun, kebanyakan pekerja dan pengawal keselamatan di hotel itu terdiri daripada warga Nepal dan mereka telah boleh berbahasa Melayu sekadarnya.

Negara Nepal sentiasa mengalami konflik, tetapi sebelum ini tidaklah sampai menghapuskan sistem berajanya. Peristiwa yang paling menggemparkan ialah pada 1 Jun 2001 ketika anak saudara Raja Birendra iaitu Dipendra mengamuk dan membunuh sebahagian besar keluarga diraja, termasuk Raja Birendra sendiri. Keluarga raja yang terselamat dari amukan ngeri itu hanyalah Cyanendra seorang sahaja. Cyanendra ini ialah adik kepada Raja Birendra. Sebahagian besar rakyat Nepal berpendapat bahawa Cyanendralah yang menjadi dalang pembunuhan beramai-ramai keluarga diraja itu, memandangkan dia dan keluarganya sahaja yang terselamat. Walau bagaimanapun, penyiasatan menyeluruh gagal membuktikan penglibatan Cyanendra dan kes tersebut reda, seterusnya hilang begitu sahaja.

Pemerintahan Cyanendra terus diselimuti suasana politik yang tidak menentu, hasil pentadbiran longgar yang diamalkannya. Sekejap melantik seseorang (misalnya Sher Bahadur Deuba) menjadi Perdana Menteri, kemudian memecatnya pula, dan dalam tempoh 2003-2005 baginda memecat tiga orang Perdana Menteri yang dilantiknya sendiri; sehingga wujudlah kemelut di antara raja dengan ahli politik. Pada Mac 2007, Perdana Menteri Ginja Prasad Koirala, seorang yang dianggap paling memihak kepada sistem beraja turut mencadangkan Raja Cyanendra patut turun daripada takhta.

Secara rasminya cadangan untuk menamatkan sistem monarki di Nepal diumumkan pada 24 Disember 2007. Seorang penganalisis politik pernah menulis bahawa ”kesilapan dan keangkuhan sang raja ketika memerintah telah mewujudkan rasa muak di kalangan rakyat.” Sebenarnya, Raja Cyanendra alpa selama ini dengan merasa begitu berkuasa dan tidak terfikir bahawa suatu hari kelak institusi beraja di negara itu hanya akan menjadi lipatan sejarah yang disimpan di dalam sebuah muzium.

Meskipun nampak persoalan politik di negara bumbung dunia itu yang membuang pemerintahan beraja, penulis blog ini beranggapan persoalan ini tidak selesai di situ sahaja. Naluri orang-orang Asia khasnya (bukankah Nepal termasuk dalam kelompok negara Asia Selatan?) terhadap institusi beraja tidak sesenang itu untuk dihapuskan. Persoalan terbesar mungkin dihadapi oleh golongan yang mahu menubuhkan kerajaan menggantikan pemerintahan beraja. Mitos dan legenda yang ditinggalkan oleh Raja Cyanendra dan raja-raja sebelum beliau tidak akan mudah terhakis, apatah lagi dengan sekelip mata sahaja! Natijahnya, usaha menubuhkan kerajaan baru terpaksa melalui denai yang sukar dan mungkin berliku-liku. Dalam suasana politik sekarang, sebuah kerajaan baru yang adil hampirlah menjadi hanya sebuah impian yang tak kunjung menjadi realiti.

Pengalaman di Rumah Sendiri

Penulis blog ini terpanggil untuk merakamkan peristiwa di negara yang ibu negerinya Katmandu itu, sepanjang yang berkaitan dengan negara kita, Malaysia. Sebenarnya terdapat perbezaan yang sangat ketara di antara sistem monarki di sana dengan sistem Raja Berperlembagaan yang diamalkan di negara kita (mungkin termasuk di Thailand, Brunei Darussalam, malah di Great Britain sendiri). Institusi pemerintahan beraja di negara kita mempunyai ciri-ciri dan prinsipnya yang tersendiri, dijalin dengan kefahaman kukuh tentang hubungan akrab di antara golongan raja dengan rakyat. Jalinan keramat yang wujud ratusan tahun ini bersandar kepada prinsip waadat dan berteguh-teguh janji yang dibuat oleh Sang Si-Perba dengan Demang Lebar Daun sebagaimana yang tercatat di dalam Sejarah Melayu halaman 22.

Waadat Sang Si-Perba:
”Hendaklah pada akhir zaman kelak anak cucu bapa hamba jangan derhaka pada anak cucu kita. Jika ia zalim dan jahat pekerti sekalipun.”

Waadat Demang Lebar Daun:
”Baiklah tuanku. Tetapi jikalau anak buah tuanku dahulu mengubahkan dia, maka anak cucu patik patik pun mengubahkanlah.”

Pengarang Sejarah Melayu seterusnya mencatatkan dengan membuat analisis yang cukup kemas, iaitu:

”Maka baginda pun bersumpah-sumpahan, barang siapa mengubahkan perjanjian itu dibalikkan Allah bumbungnya ke bawah, kaki tiangnya ke atas. Itulah sebabnya dianugerahkan Allah subhawanahu wa-Taala pada segala raja-raja Melayu, tiada pernah memberi aib pada segala hamba Melayu; jikala sebagaimana sekali pun besar dosanya, tiada diikat dan digantungkan dan difadhihatkan dengan kata-kata yang jahat. Jika ada seorang raja memberi aib seorang hamba Melayu, alamat negerinya akan binasa. Shahadan segala anak Melayu pun dianugerahkan Allah subhawanahu wa-Taala tiada pernah derhaka dan memalingkan muka pada rajanya, jikalau jahat pekerti sekali pun serta anianya.”

Tradisi negara beraja memang menjadi identiti masyarakat Nusantara. Institusi yang di Malaysia dipanggil istana lebih terkenal di Indonesia dengan sebutan keraton (asalnya kedatuan/kedatwan = tempat tinggal ratu) di Jawa, puri di Bali dan istana di Sumetera.

Kewujudan golongan raja atau ratu atau ningrat atau ngarsa dalem melalui pelbagai peristiwa yang dikatakan bersifat sacred, peperangan malah ada yang berbentuk perlawanan atau swayembara. Ambil sahaja peristiwa kewujudan kesultanan Yogya yang amat terkenal itu. Kisah bermula dari peristiwa Pangeran Mangkubumi, adik Sri Susuhunan Paku Buwono, Raja Mataram yang berhasrat mematahkan tentangan RM Said atau Pangeran Sambernyawa yang tidak suka melihat raja terlalu dekat dengan Verenigde Oost Indische Compagnie (VOC). Sunan Paku Buwono lalu membuat sayembara, siapa saja yang mampu menumpaskan tindakan ketenteraan RM Said akan dikurniai gelaran Kajeng Gusti Pangeran Adipati Arya Mangkunegara dan dihadiahi tanah seluas 1,000 cacah di Sukawati. Mangkubumi menyanggupi dan terus memerangi Sambernyawa (yang tidak lain peperangan antara mertua dan menantu).

Yang terjadi kemudiannya kerumitan sejarah. Peperangan berubah arah. Mangkubumi justeru mengangkat senjata melawan Paku Buwono yang sedang uzur. Kompeni Belanda sendiri naik bingung! Hujung kisahnya, Keraton Mataram dibahagi dua di antara Mangkubumi dan Kesunanan. Mangkubumi membuka negeri baru yang diberi nama Ngayogyakarta Hadiningrat. Ia menjadi raja dengan memakai gelar yang cukup panjang: Ngarsa Dalem Sampeyan Dalam Ingkang Sinuwun Kajeng Sultan Hamengku Buwono Senopati Ing Ngalaga Ngabdurrahman Sayidin Panatagama Khalifatullah Ingkang Jumeneng Kaping I Ing Ngayogyakarta Hadiningrat, atau disingkatkan Sultan Hamengku Buwono I (yang disingkatkan lagi menjadi Sultan HB I). Sultan Yogya sekarang ialah Hamengku Bowono X, seorang ningrat yang dapat diterima oleh semua golongan.

Lain pula halnya dengan kesultanan Bone dan Gowa di Sulawesi. Pada awal abad ke-16 kesultanan Bone mulai berhadapan dengan kerajaan besar tetangganya: Gowa. Akibat berebut pengaruh, hubungan kedua-duanya menjadi semakin tegang. Pada suatu hari Raja Bone VII, La Tenrirawe Bongkange MatinroE ri Gucina menyabung ayam dengan Raja Gowa XI, Manriwagau Daeng Bonto Kraeng Lakiung. Ayam jago Raja Gowa keok dihentam taji jago Raja Bone. Kedua-dua raja bertengkar, dan berlanjut dengan peperangan, bahkan hingga ke beberapa generasi kemudian. Malah diceritakan, generasi terkemudian konon tidak begitu pasti lagi sebab-musabab sebenar mereka berperang!

Dua kisah di atas menunjukkan betapa rapuhnya kewujudan dan terhapusnya sesebuah kesultanan pada masa dahulu. Tidak pernah terdapat sesebuah negara pada zaman dahulu yang sultannya terhapus akibat tekanan rakyat melalui pemberontakan. Konsep ’pantang derhaka’ masih tetap dipegang, kecuali dalam kes terpencil sebagaimana yang berlaku di istana Kota Tinggi ke atas Sultan Mahmud Mangkat Dijulang yang termasyhur tragis kisahnya itu.

Badai gerakan kemerdekaan yang melanda seluruh Indonesia menyebabkan satu demi satu kesultanan Melayu Nusantara (baik Islam mahupun non-Islam – Hindu-Buddha dan Katolik) runtuh. Ada yang runtuh melalui pertumpahan darah – seperti kesultanan Langkat, Deli, Aceh, Gowa-Tallu dan paling banyak, setelah Indonesia merdeka, kerajaan-kerajaan tersebut atas kehendak sendiri memilih melebur dengan republik.

Terakhir, selepas tahun 2,000 timbul gerakan di kalangan keluarga bekas kesultanan yang berserak-serak di seluruh Indonesia untuk mengumpul dan menghidupkan kembali istana sebagai pusat seni dan budaya (dan mungkin pusat melampas semangat zaman lampau yang difahami sebagai sangat gemilang). Maka dikumpulkanlah para waris sultan setiap dua tahun sekali. Mereka menamakan pertemuan ini sebagai Festival Budaya Erau dan Festival Keraton Nusantara (FKN). FKN terbaru diadakan di Keraton Kutei Kartanegara pada 21 September 2002. Utusan yang datang mengenakan busana zaman kegemilangan kesultanan masing-masing dalam suasana yang sangat nostalgik dan beraneka warna. Dikhabarkan, ada wakil kesultanan yang menurut sejarah telah lenyap sejak abad ke-17 turut menghantar deligasi mereka ke FKN itu, siap dengan kumpulan budayanya sendiri.

Betullah telahan penulis di awal blog ini iaitu masyarakat dalam rumpun Melayu ini, bagaimanapun kuatnya dilanda pengaruh politik dan budaya asing, tetap mahu kembali menjadi bangsa yang mempunyai raja.

Meskipun segala sesuatu yang berkaitan dengan pemerintahan beraja negara kita terkait dengan mitos dan lagenda, apa yang berlaku tentang penghapusan sistem beraja di Nepal mempunyai premis yang sangat jauh berbeza dengan yang sedang berlaku di negara kita. Di negara kita, sistem beraja menjadi asas kehidupan – malah kesinambungan – bangsa dan budaya Melayu. Dalam sejarah moden negara Malaya, dan kemudiannya Malaysia, jalinan hubungan yang saling memerlukan ini telah beberapa kali terbukti menyelamatkan kita, khasnya bangsa Melayu di tanah airnya sendiri.

Memang tidak dinafikan terdapat peristiwa raja Melayu turun takhta, tetapi berlakunya perkara ini bukanlah disebabkan sebarang konflik raja-rakyat. Di Pahang, misalnya, Sultan Abdul Jamil telah turun bertakta kerana mahu ’bersyeikh dirinya’ dan tinggal di Lubuk Pelang sehingga digelar Marhum Lubuk Pelang setelah kemangkatan baginda. Hal ini berlaku kononnya kerana tunangan baginda, Tun Teja dilarikan pahlawan Raja Melaka dalam bentuk yang sangat tidak terhormat. Dalam kes kedua, Sultan Ahmad al-Muadzam Shah, pernah meninggalkan takhta dan meninggalkan bandar diraja Pekan, bersemayam di Pulau Tawar akibat tekanan yang diterimanya hasil campur tangan Inggeris di negeri Pahang. Kedua-dua peristiwa ini berlaku atas kehendak dan pemahaman raja itu sendiri dan tidak ada kaitan langsung dengan penolakan rakyat, jauh sekali rakyat memberontak atau menderhaka terhadap baginda.

Bangsa Malaysia menganggap raja sebagai tempat letaknya puncak taat setia dan teras perpaduan. Teliti sahajalah lirik Lagu Kebangsaan Malaysia, ’Negaraku’:

Negaraku, Tanah Tumpahnya Darahku
Rakyat Hidup Bersatu dan Maju

Rahmat Bahagia Tuhan Kurniakan
Raja Kita Selamat Bertakhta

Rahmat Bahagia Tuhan Kurniakan
Raja Kita Selamat Bertakhta.

Negeri kelahiran saya, Pahang, mempunyai lagu kebangsaan yang liriknya amat akrab dengan kewujudan negeri beraja, sehingga judulnya diberi nama ’Allah Selamatkan Sultan Kami’.

Ya Allah Yang Maha Kuasa
Lanjutkan Usia Kebawah Duli Yang Maha Mulia
Dirgahayu Darul Makmur Aman dan Bahagia Sentiasa

Ya Allah Selamatkan Duli Tuanku Raja Kami.

Sedangkan prinsip Rukunegara, panduan dan landasan rakyat Malayia meletakkan peranan raja sebagai prinsip kedua, dibawah prinsip ketuhanan, iaitu:

Kepercayaan kepada Tuhan,
Kesetiaan kepada Raja dan Negara,
Keluhuran Perlembagaan,
Kedaulatan Undang-undang,
Kesopanan dan Kesusilaan.

Dalam keadaan dunia dan negara yang agak kurang stabil baik dari segi politik, ekonomi dan sosial ini, kita berdoalah agar Allah selamatkan negara kita, agama kita dan zuriat kita daripada segala bentuk ketakutan dan kelaparan. Amin.

No comments: