Monday, November 3, 2008

Penulis Berpotensi

Rafeah Buang

Secara peribadi, saya mengenali biduanita istimewa ini ketika kami sama-sama duduk dalam Lembaga Muzium Negeri Pahang. Bekas pelajar Madrasah al-Sagoff, Singapura ini (lahir 25 Julai 1948, meninggal 24 Julai 2002) telah lama menetap di Pahang setelah berkahwin dengan YM Dato' Tengku Asmawi bin Tengku Hussain, seorang kerabat diraja Pahang.

Selain masyhur sebagai penyanyi bersuara lunak (beliau boleh dimasukkan ke dalam kelompok Penyanyi 60-an), Rafeah juga mampu menulis dengan baik. Beliau mempunyai kolum khas di Majalah URTV terbitan Syarikat Utusan Melayu. Bilangan edaran URTV khabarnya termasuk dalam kumpulan yang terbanyak dan menjadi majalah terlaris, dan pembacanya terdiri daripada golongan muda-mudi dan suri rumah. Saingannya di Utusan Melayu ialah Majalah Wanita.

Beliau pernah memberikan saya naskhah Majalah URTV yang menyiarkan tulisannya tentang peristiwa kecelakaan jalan raya yang meragut nyawa anak kesayangan beliau yang ditulis dalam bahasa yang penuh sentimental dan keinsafan.

Rafeah biasanya menulis tentang pengalaman beliau sebagai penghibur yang kerap berkeliling seluruh tanah air, sehingga ke Brunai dan Indonesia. Tulisannya beraneka-ragam, disunting dengan peristiwa lucu, sedih, cemas yang disusun dalam bahasa yang kemas dan menarik.

Saya menyarankan agar beliau terus menulis dan mencari hal-hal yang lebih serius dan kewanitaan, di samping jangan sampai berhenti menulis di URTV. Sesuai sebagai dirinya seorang wanita, saya cadangkan beliau membuat kajian tentang Kain Tenun Pahang, dan peranan keluarga diraja dalam membantu mempopularkan kain tenun yang berasal dari Tanah Bugis ini. Judul itu akhirnya digarap oleh Rafeah, dan beliau meminta saya membantunya dalam aspek kaedah penulisan, termasuk ejaan dan tatabahasa.

Beliau bukanlah seorang yang mempunyai masa lapang yang banyak. Beliau aktif dalam pergerakan Wanita UMNO, Persatuan Anti-Dadah, Perkumpulan Perempuan Islam, selain kerap menyumbangkan suara dalam pelbagai persembahan di merata tempat. Jadi penulisan buku beliau kerap tesekat-sekat. Setiap kali mesyuarat Lembaga saya kerap bertanya setakat mana penulisan buku itu sekarang. Jawapan beliau selalunya amat positif.

Beliau menyampaikan kepada saya apabila satu bab siap ditulis, untuk saya semak dan berikan komentar. Akhirnya semua bab siap ditulis, setelah hampir dua tahun beliau mengerjakannya! Saya mencadangkan agar Muzium Pahang menerbitkan buku itu, kerana tentulah lebih wajar, walaupun telah ada pencetak lain yang ingin menerbitkannya.

Ketika melihat pruf terakhir buku tersebut, saya memberitahu beliau yang saya kurang berkenan dengan font yang digunakan oleh pencetak, di samping susun atur yang cacat di sana sini serta format buku yang kurang menarik. Beliau bersetuju dengan pandangan saya. Tetapi akhirnya, alhamdulillah! Buku Kain Tenun Pahang pun siap diterbitkan. Meski nampak riang, tetapi ada kekesalan di wajahnya. "Di luar kerelaan," ujar beliau kepada saya dengan penuh makna. Saya memberitahu beliau bahawa peluang lain masih terbuka untuk beliau mengasah pena mewarnai dunia penulisan tanah air.

Saya mencadangkan agar beliau mengumpulkan semua tulisan beliau di dalam Majalah URTV kerana tulisan beliau di situ sangat penting dalam perkembangan seni tanah air. Terdapat juga gambar peristiwa yang tidak pernah terbit di mana-mana penerbitan. Beliau pernah menyebut gambar-gambar tersebut ada yang hak milik Syarikat Utusan Melayu; sedangkan gambar yang beliau miliki sukar sangat untuk mencarinya semula. Saya memberitahunya hal itu bukanlah masalah besar kerana beliau boleh menghubungi Encik Johan Jaafar untuk membantu, apatah lagi beliau memang biasa berhubung dengan Pengarang tersebut. Gambar-gambar lain boleh digunakan alat pengimbas untuk diterbitkan, meskipun hasilnya kurang bermutu.

Bagi saya, tulisan beliau di dalam majalah itu sangat informatif dan bernilai.

Akhirnya saya mendapat seorang penerbit (kebetulannya juga seorang wanita) yang sanggup menerbitkan tulisan Rafeah yang saya katakan itu. Setelah membuat temu janji, penerbit itu dengan seorang temannya dan saya sendiri pergi menemui Rafeah di rumahnya di Pekan.

Saya masih ingat, sepanjang perjalanan kami ke Pekan, Radio Pahang menyiarkan beberapa buah lagu dendangan Rafeah Buang yang membuatkan kami tertanya-tanya sesama sendiri: Adakah ini suatu kebetulan atau memang sudah ditakdirkan? Antara lagu yang masih segar dalam ingatan saya ialah Udang Sama Udang.


Saya terkejut melihat timbunan Majalah URTV setinggi pinggang yang tersusun di suatu sudut di rumahnya. Kami berbincang tentang cara menyalin semula segala artikel tulisan beliau, dan pada agakan saya, jikalah semuanya terpilih, mungkin memerlukan dua jilid buku untuk diterbitkan. Paling penting, beliau mesti bersedia untuk 'bercerai' sementara dengan majalah kesayangannya itu.

Saya mencadangkan agar diupah beberapa orang penulis untuk menyalin artikel beliau itu, sedangkan gambarnya, sebagaimana yang katakan sebelum ini, boleh diimbas, sekiranya tidak boleh didapati gambar asal dari pihak Utusan. Orang yang boleh ditawarkan menyalin kembali itu saya sendiri sudah dapat membayangkannya: pelajar saya di KIPSAS, terutama mereka yang mengikuti program Teknologi Maklumat, dengan disediakan sedikit imbuhan untuk mereka.

Rupa-rupanya rancangan kami itu tidak kesampaian. Tidak lama kemudian, biduanita pujaan saya, yang sekali gus bakal penulis yang saya harap-harapkan muncul sebagai seorang penulis prolofik tidak lama lagi itu dimasukkan ke hospital.

Takdir telah menentukan, Dato' Rafeah Buang tutup usia pada 24 Julai 2002, sehari sebelum menyambut ulang tahun hari lahirnya yang ke-55; meninggalkan keluarga tercinta, sahabat tolan kesayangan serta koleksi album nyanyian beliau yang sentiasa evergreen, di samping segumpal artikel tentang sejarah perkembangan seni tanah air yang tidak sempat disunting untuk diterbitkan.

ِان لله وان اليه راجعون

No comments: