Saya telah menyebut di tempat lain di dalam blog ini tentang guru-guru di Sekolah Melayu Laki-Laki Kuantan pada 1955 semuanya menjadi ahli UMNO. Sebenarnya lebih 90% guru-guru di seluruh Pahang menjadi ahli UMNO ketika itu. Parti lain yang ada pun tidak begitu kuat. PAS tidak mempunyai kekuatan dan tokoh mereka pun tidak ketara sangat di Kuantan, malah di Pahang umumnya. Dua orang guru yang mendukung Parti Rakyat ialah Cikgu Abdul Malek Said dan Cikgu Ahmadun Ahmadi. Cikgu Malek menjawat jawatan Guru Besar di Sekolah Melayu Batu Lapan, sementara Cikgu Ahmadun menjadi guru biasa di Sekolah Melayu Beserah. Kemudian datang pula Cikgu Jaafar Mohd. Nor mengajar di Sekolah Melayu Laki-laki Kuantan. Mereka semuanya adalah lulusan Sultan Idris Training College, Tanjong Malim. Cikgu Ahmadun orang Melaka (atau Johor) yang berkahwin dengan orang Kuantan, iaitu anak Tuan Haji Ismail, seorang anggota kakitangan kerajaan. Cikgu Jaafar orang Bentong dan baharu sahaja dibebaskan dari pusat tahanan politik di Morib. Cikgu Abdul Malek asalnya orang Serandu, Pekan dan telah lama menetap di Kuantan. Ketiga-tiga mereka merupakan tokoh yang dikenali ramai.
Suatu pagi 1954 di Sekolah Melayu Laki-laki Kuantan
Dari kiri: Yaakub Isa, Pak Ngah Aziz (Dato' Haji Abdul Aziz Ahmad yang kemudiannya menjadi Menteri Besar Pahang), Mohd. Ali Shariff (kemudiannya menjadi Timbalan Menteri Pengangkutan dan pernah menjadi Setpol Menteri Pelajaran), Jantan Ahmad dan Kamaluddin Ahmad.
Guru Besar kami, Cikgu Shamsuddin Mohd. Sidek memang orang kuat, malah orang penting UMNO. Saya sendiri tidak ingat apakah jawatan politik yang dipegangnya dalam parti, tetapi beliau seorang yang cukup dihormati. Beliau memainkan peranan penting ketika YTM Tunku Abdul Rahman melawat Kuantan, sejurus sebelum berangkat ke London mengetuai Rombongan Merdeka. Meskipun kurang bercakap, peranan yang dimainkannya amat ketara dan berkesan. Satu hari saya memasukkan lambang perahu layar berwarna putih di atas tanah berwarna biru tua di dalam frem gambar dan meletakkannya di atas meja saya. Saya ingin menyangkutkan frem itu di dinding kelas, tetapi masih tercari-cari paku, dawai dan tukul. Pada masa itulah beliau melalui kelas saya dan tertarik dengan gambar itu. Saya harapkan beliau menyokong hasrat saya, sebaliknya saya dinasihatkan supaya tidak berbuat begitu. ”Gantung di rumah tak mengapalah, jangan sampai di dalam bilik darjah,” demikian nasihat (dan mungkin amaran) beliau. Saya mematuhi arahan beliau tanpa bersoal jawab, kerana saya mula memahami perbezaan antara politik dengan tanggungjawab sebagai guru di sekolah.
Pada masa itu, organisasi UMNO di kawasan Kuantan dinamakan UMNO Pahang Timur, yang meliputi Pekan, Rompin dan Maran. Pejabat UMNO hanyalah menempel di bahagian sebelah kanan bangunan Kelab Melayu Kuantan, yang letaknya tidak berapa jauh dari Rest House Kuantan. Bangunan Kelab Melayu itu telah diruntuhkan apabila kerajaan membina bangunan Wisma Seri Pahang sekarang ini. Kalau tidak salah ingatan saya, tapak Kelab Melayu – dan tapak pejabat UMNO yang pertama di Kuantan - ialah di sekitar bucu sebelah kanan pagar Wisma Seri Pahang menghala ke Masjid arah Bangunan Pejabat Agama Islam Kuantan sekarang ini.
Disebabkan bangunan UMNO Kuantan ini tidak berapa jauh dengan sekolah tempat saya mengajar, selalulah saya singgah di situ, baik semasa balik sekolah atau sebelum datang ke sekolah pada waktu petang. Sebenarnya seluruh kawasan di situ merupakan padang yang rumputnya sentiasa keperangan. Membelah di tengah-tengah padang itu ialah sebatang jalan denai yang hanya boleh digunakan untuk pejalan kaki dan berbasikal sahaja, untuk orang-orang Bukit Ubi (dan kemudiannya Transit Quarters) dan sekitar Jalan Gambut ke bandar Kuantan, termasuk murid-murid dari sekolah-sekolah yang ada di Jalan Gambut pergi ke bandar. Tidak ada sebatang pokok pun di kawasan padang berumput perang itu, kecuali di hujung padang sebelah hala ke bandar terdapat pokok-pokok tembesu yang rindang. Sebahagian besar pokok tembesu tersebut masih terdapat hingga ke masa ini, iaitu di Jalan Masjid dan di sekeliling padang MPK, di hadapan Muzium Tokoh, Hotel Shahzan, kawasan Taman Kerang, Bangunan Mahkamah Tinggi dan di tepi Jalan Mahkota di tengah-tengah bandar Kuantan.
Pemergian saya ke Pajabat UMNO Kuantan itu bukanlah secara kebetulan. Pada masa itu orang-orang sedang memperkatakan soal merdeka, dan di situ banyak maklumat yang boleh didapati, termasuk akhbar Merdeka, Majlis, Utusan Melayu serta Cermin Malaya. Terdapat juga gambar-gambar pemimpin negara pada masa itu, dan gambar itu, bersama-sama (kemudiannya) poster keputusan pilihan raya diberikan percuma kepada sesiapa yang berminat menyimpannya.
Tetapi yang lebih menyeronokkan saya ialah pada masa itu orang-orang UMNO telah mula mengadakan ceramah, menemui rakyat untuk menerangkan perjuangan kemerdekaan. Untuk mengumpul massa, mereka memerlukan poster sebagai alat hebahan. Sayalah yang diminta menulis dan melukis poster di atas kertas mahjong atau kertas manila, menggunakan warna poster atau kadang-kadang cat. Saya merasa seronok membuat poster begitu walaupun faedahnya kepada saya masih belum nampak.
Selain poster, kami juga diminta membuat kain rentang, menggunakan tulisan jawi dan rumi. Kawan-kawan lain yang kerap menulis poster dan kain rentang ialah Abdul Hamid Sentol dan Mohd. Fadzil Haji Daud yang kedua-duanya guru di sekolah yang sama dengan saya. Kadang-kadang kami boleh menyediakan sebanyak 10 helai poster sepetang. Poster yang siap dihantar oleh pekerja UMNO di sekitar kawasan yang akan diadakan ceramah.
Ceramah kerapkali disertakan dengan tayangan wayang gambar. UMNO (dan Perikatan) mempunyai sebuah kenderaan land-rover berwarna biru yang terdapat dua buah horn loudspeaker di atasnya. Penceramah menggunakan kemudahan alat siar raya yang ada pada kerata inilah untuk menyampaikan ceramah, dan di penghujung ceramah ditayangkan wayang gambar, termasuk, kadang-kadang, wayang yang dilakonkan oleh P. Ramlee. Untuk menjalankan semua alatan ini, sebuah janakuasa disediakan. Janakuasa itu pula terpaksa diletakkan agak jauh daripada tempat ceramah untuk mengurangkan kebisingan yang mungkin mengganggu pendengaran orang ramai. Terdapat beberapa kali berlaku gangguan dan pengkhianat oleh golongan penentang, iaitu mereka memotong kabel dari janakuasa ke amplifier atau ke mesin wayang menyebabkan suasana gelap dan hingar-bingar. Kejadian begini pernah berlaku di Kemaman, Beserah, Tanjung Lumpur, Cherating dan Tanah Puteh. Tempat-tempat tersebut terdapat ramai orang luar, khasnya dari Terengganu dan Kelantan. Untuk menjaga hal yang tidak diingini ini daripada berlaku, kami diarahkan supaya berjaga-jaga di sepanjang kabel ini. Kerja berjaga-jaga begini memang tidak saya gemari kerana agak menakutkan. Tetapi, sebenarnya saya hanya sekali sahaja menjalankan tugas itu, iaitu semasa di Sungai Karang Darat. Tiada sebarang kejadian tidak diingini berlaku di situ kerana Cikgu Syed Ali bin Syed Hussain, Guru Besar Sekolah Melayu Sungai Karang turut bersama dan memaklumkan kepada orang-orang di situ supaya jangan mengganggu. Orang-orang Sungai Karang menghormati dan sangat takutkan Cikgu Syed Ali. Salah seorang adik Cikgu Syed Ali, iaitu Syed Yusof pernah belajar di Darjah Tujuh Sekolah Melayu Laki-Laki Kuantan, dan pada masa itu beliau telah terpilih melanjutkan pengajian ke Sultan Idris Training College, Tanjong Malim. Syed Yusof merupakan seorang pelajar yang pintar, air tangannya sangat elok. Beliau melukis peta ’sebiji’ sebagaimana di dalam atlas. Walaupun semasa saya memasuki SITC Syed Yusof telah tidak ada di situ lagi, tetapi buah tangannya masih terpampang di Makmal Sains dan Bilik Ilmu Alam. Di Makmal Sains beliau melukis pelbagai jenis hidupan sementara di Bilik Ilmu Alam beliau melukis gambar pertikaman Hang Tuah dengan Hang Jebat, yang menggambarkan bahagian hujung keris Hang Tuah merah dengan darah Hang Jebat yang masih menitis!
Siapakah orang yang menghidupkan rumah (Pejabat) UMNO di sisi Kelab Melayu itu? Pejabat itu dikepalai oleh Encik Abdul Aziz bin Ahmad, yang akrab dipanggil Pak Ngah Aziz atau Pak Ngah ’Rimau’. Gelaran terakhir ini kerana beliau selalu bergurau mengatakan seseorang dengan frasa: ”rimau, mu”. Orang panggillah dia Pak Ngah Rimau. Pada masa itu beliau masih bertugas sebagai seorang pegawai di Pejabat Daerah Kuantan. Tugasnya antara lain ialah meluluskan permohonan cukai hiburan. Semua tiket wayang gambar dari beberapa panggung wayang di Kuantan mesti direkod dan dicap serta ditandatangani oleh beliau. Kadang-kadang kami menolong mengecapkan tiket yang berlonggok-longgok itu menggunakan rubber-stamp yang disediakan. Beliau membawa bebanan kerja dari pejabat ke bilik UMNO itu untuk disiapkan. Tiada sebarang pembantu tetap yang menolong beliau, kalau ada pun, kamilah. Kadang-kadang datang Pak Lah (orang Melaka yang bekerja sebagai pegawai di Pejabat MARA); Zainuddin Haji Ahmad yang tinggal di Jalan Bukit Ubi, kemudiannya menjadi Wakil Rakyat kawasan Sungai Lembing, Hamid, yang bekerja sebagai pemandu dan tinggal di rumah Abdul Rahman Talib, di Galing Kecil; seorang yang saya lupa namanya, bertugas sebagai askar wataniah (beliau ialah anak Cikgu Zainuddin, orang Pekan yang tinggal di Parit Tengah). Pengunjung Kelab Melayu, selepas membaca akhbar atau bermain billiard, ada juga yang menjenguk ke bilik UMNO itu, termasuklah pegawai dari Pejabat Bomba yang terletak tidak berapa jauh dari situ setelah tugas mereka selesai.
Saya kenal benar dengan Pakcik Adam yang menjadi penjaga Kelab Melayu itu dan kadang-kadang bertugas membantu pemain billiard merekodkan mata kemenangan masing-masing menggunakan sekeping papan yang ada penunjuk mata kemenangan dengan menolak tombolnya, sang pada masa itu saya tidak mengerti operasi dan maksudnya. Pakcik Adam ini ada seorang anak, namanya Aziz, yang sama-sama bersekolah dengan saya, tetapi dalam kelas yang berlainan. Aziz ini suka membaca buku, termasuk buku Indonesia yang dibelinya di Kedai Razak (seorang peniaga India) di Panggung Rex. Aziz juga suka membeli majalah filem, yang bukan sahaja membacanya, tetapi menyertai peraduan anjurannya. Beliau kerap memenangi peraduan, yang hadiahnya hanya berupa dua keping tiket menonton filem Shaw Brothers di Panggung Rex. Kalau saya tidak silap, Aziz bertugas di Pejabat Pertanian, dan kini menetap di Rompin.
Saya masih ingat lagi, pejabat UMNO itu ada sebuah meja untuk kegunaan Pak Ngah. Di atasnya ada telefon dan sebuah mesin taip. Ada sebuah mesin gestetner di sudut kiri menghala ke Kelab Melayu. Kemudian ada dua buah meja lagi dan beberapa buah kerusi. Meja yang panjang itulah kami gunakan ketika membuat poster atau kain rentang. Ada juga disediakan sebuah cerek elektrik bagi kami memasak air untuk membuat air kopi o atau teh o dan dimakan dengan biskut lemak empat segi atau biskut marie.
Tidak jarang juga Pak Ngah atau orang-orang lain yang datang membelanja kami makan. Makan yang biasa ditempah ialah mi rebus dan teh ais (teh beng) dari Sumatera Restoran. Mi rebus Sumatera Restoran ini menjadi popular bukan sahaja kerana enak rasanya, tetapi dibumbuni dengan sebiji telur ayam masak mata kerbau di dalamnya. Walaupun kedudukan restoran itu dengan pejabat UMNO agak jauh (mungkin sekitar setengah batu), tetapi pekerja restoran itu sanggup menghantar pesanan yang dibuat oleh Pak Ngah dengan senang hati. Beliau menatang pesanan di dalam sebiji dulang yang diletak di atas bahu, berjalan dari bahagian belakang restoran, melalui kawasan masjid Kuantan, melintasi Jalan Mahkota (masa itu namanya Jalan Wall), menyusur Balai Bomba, Bangunan Telefon dan Telegraf, Pejabat Pos dan terus melintasi padang hingga sampai ke Bangunan Kelab Melayu, tempat Pejabat UMNO menumpang. Harga sepinggan mi rebus pada masa itu hanya sekitar 80 sen sahaja. Teh beng 30 sen. Upah menghantar pesanan dan mengambil semula bekas makanan setelah siap dimakan isinya tidak pula dikenakan.
Di Pejabat UMNO itulah saya mulai menggunakan mesin taip. Semasa Pejabat Syarikat Kerjasama Guru-Guru Melayu Pahang Timur berpejabat di Sekolah Melayu Laki-Laki Kuantan, saya boleh dikatakan agak mahir menggunakan mesin taip yang saya pelajari di Pejabat UMNO. Saya juga boleh menjalankan mesin gestetner dan memotong stensil. Kerja-kerja ini saya buat kebanyakannya erana menunaikan kehendak Pak Ngah Aziz dari semasa ke semasa.
Beberapa kali saya diajak oleh Pak Ngah Aziz mengikutnya untuk bertemu dan mendengar cadangan dan aduan daripada ahli-ahli UMNO, kebanyakannya di Batu Sembilan (Gambang), Beserah, Balok, Sungai Karang, Cherating, malah sampai ke Kemaman. Beliau menggunakan kereta biru yang bersegi-segi badannya. Saya tidak ingat lagi nama model keretanya itu. Ada sekali kami terpaksa tidur di sebuah hotel, yang merupakan rumah kepunyaan seorang Cina di Kemaman. Kami pergi berempat, dan Pak Ngah mengambil dua buah bilik. Pak Ngah dengan saya bukan sahaja tidur sebilik tetapi sekatil yang mempunyai sebiji bantal (kerana bilik itu hanya mempunyai satu katil). Pada masa itulah saya tahu Pak Ngah Aziz mempunyai pistol kerana dia meletakkan pistolnya di bawah bantal. Saya merayu kepada beliau supaya mengalihkan muncung pistolnya ke arah dinding, tidak ke arah saya yang tidur sebelah kanan beliau di atas bantal yang sama. Pagi-pagi keesokan harinya kami dibawa oleh Pak Ngah bersarapan di rumah kenalannya, iaitu pemimpin UMNO Kemaman, yang kemudian saya diberitahu namanya ialah Wan Yahaya. Kami dijamu nasi dagang yang cukup enak pada pagi hari Jumaat itu. Kami kemudiannya balik ke Kuantan kerana Pak Ngah berjanji hendak berjumpa dengan masyarakat Sungai Karang selepas sembahyang Jumaat di Masjid Sungai Karang Darat.
Selepas solat Jumaat, Pak Ngah mengumpulkan orang-orang Sungai Karang dan mendengar masalah dan aduan mereka. Beliau meminta saya menuliskan semua masalah yang dikemukakan oleh orang ramai. Kebanyakannya masalah mengenai tanah, jambatan, bantuan ternakan, persekolahan anak-anak dan urusan menangkap ikan. Hanya Cikgu Sayed Ali membawa beberapa cebisan kertas yang katanya bungkusan buku bacaan yang dibekalkan oleh Pejabat Pelajaran. Buku-buku tersebut yang dicetak oleh Macmillan & Co. Ltd. di England, dibungkus dengan kertas yang tercatat ayat-ayat al-Quran. Kertas bungkusan itulah yang dibawa oleh Cikgu Sayed. Perbuatan menghinakan Islam menjadikan kertas yang tercatat ayat al-Quran sebagai pembungkus rupanya bukanlah perkara baharu. Ia berlaku seawal tahun 1950-an lagi. Saya sendiri memang telah menyedari hal itu kerana buku-buku yang sampai untuk diagihkan ke sekolah-sekolah semuanya diletakkan di sekolah tempat saya mengajar itu. Dari situlah buku-buku tersebut diagih-agihkan ke sekolah dalam daerah Kuantan mengikut bilangan murid masing-masing. Jadi, sebelum diagih-agihkan, bungkusan besarnya dibuka dahulu. Kertas bungkusan itulah yang di tangan Cikgu Sayed tadi. Pak Ngah diminta menyampaikan bantahan ini kepada pihak yang berwajib. Saya hanya mempastikan segala aduan itu dicatat selengkap mungkin.
Pergaulan saya dalam lingkungan orang-orang UMNO ini menjadikan saya ingin pula menjadi ahli UMNO, memakai lencana UMNO, memakai kain samping UMNO. Saya memang telah lama berlanggan dan membaca akhbar UMNO. Setelah melihat Kad Pengenalan saya, Pak Ngah mengatakan umur saya masih belum boleh menjadi ahli UMNO. Untuk menjadi ahli parti politik mesti berumur 18 tahun ke atas. Saya merasa agak keciwa, dan Pak Ngah dapat membaca rasa hati saya itu, lalu beliau memberikan juga peluang untuk saya menjadi ahli UMNO secara rasmi. Saya masih menyimpan Kad Keahlian UMNO asal hingga hari ini, yang maklumat keahlian UMNO saya sebagaimana berikut:
Nombor Kad: G 01403
Nombor Ahli: 516
Bahagian: Pahang Timur
Cawangan: Kuantan
Nombor Pingat: 6377
Tarikh Keahlian: 6 September 1955
Tarikh saya menjadi ahli UMNO ialah sehari sebelum saya menyambut hari lahir yang ketujuh belas dan setahun sebelum kelayakan sebenarnya. Tetapi tiada seorang pun yang mengambil kisah tentang hal saya ini, hanya Pak Ngah Aziz dengan saya sahajalah yang mengetahuinya.
Menjadi ahli UMNO pada masa itu sangat memuaskan hati saya dan saya bergembira kerananya. Apa tidaknya! Selama ini saya memang banyak menolong UMNO, atas dorongan Pak Ngah Aziz. Saya mula membeli sehelai kain samping UMNO yang dijual di kedai Towkey Omar bin Haji Ali. Kain itu saya minta Abangteh Khamisah menjahitnya. Saya menanti sahaja masanya yang sesuai untuk menggayakan kain samping UMNO saya itu.
Dari semasa ke semasa para pemimpin UMNO mula datang ke Kuantan, mengadakan ceramah dan berjumpa rakyat. Dato’ Razak memang kerap datang. Saya ingat benar kedatangan tokoh yang dipanggil Singa UMNO, iaitu Syed Jaafar Albar. Kalau tidak salah, beliau datang dan berucap di Masjid Kuantan. Saya tidak ingat langsung ucapannya itu, tetapi yang saya ingat kehadiran pendengar agak ramai, termasuk kaum wanita. Satu lagi perjumpaan politik yang besar di Kuantan diadakan di hadapan bangunan Kelab Melayu Kuantan dan Pejabat UMNO Kuantan. Turut hadir ialah Tunku Abdul Rahman Putra, Dato’ Abdul Razak, Dr. Ismail, Abdul Rahman Talib, V. T. Sambanthan, Tan Siew Sin dan Ong Yoke Lin. Penyelaras perjumpaan itu tidak lain daripada Pak Ngah Aziz.
Kemudian tibalah masa pilihan raya. Kuantan termasuk dalam kawasan pilihan raya parlimen Pahang Timur. Calon Perikatan yang bertanding ialah Encik Abdul Rahman bin Haji Talib. Kebanyakan orang Kuantan dan Pekan mengenali beliau, kerana beliau pernah menjawat jawatan Penolong Nazir Sekolah-Sekolah Pahang Timur. Kemudiannya beliau dilantik oleh DYMM Sultan Pahang menjawat jawatan Ketua Pejabat Agama dan Adat Melayu Pahang, mengambil alih daripada YAM Tengku Besar Pahang mulai 1 Disember 1951. Surat perintah mengenai perubahan jawatan ini terkandung dalam Surat Bil. (1) dlm. S.P.185/51 bertarikh 19 November 1951. Sebelum ini beliau tinggal di kuarters kerajaan berhampiran dengan Sekolah Abdullah. Pada masa itu beliau tinggal di Galing, rumahnya berhampiran dengan rumah bapa mertuanya, Cikgu Musa bin Abdul Rahman, seorang bekas Guru Pelawat, yang pernah berkhidmat di Pekan.
Pilihan Raya
Sebagaimana biasalah, segala poster dan kain rentang berkaitan dengan pilihan raya, termasuk memanggil orang ramai mendengar ceramah, memaklumkan tempat dan tarikh ceramah semuanya dibuat di Pejabat UMNO Kuantan oleh kami. Tak kira siang dan malam, pagi dan petang. Setelah tulisan pada poster itu kering, adalah orang yang menggulungnya untuk dihantar ke tempat-tempat tertentu. Kami tidak pernah hirau, calon yang kami sokong itu ada menjenguk kami atau tidak – itu semua menjadi tidak penting. Memang, sekali dua dalam tempoh berkempen itu ada Encik Abdul Rahman datang sekejap ke Bilik UMNO tempat kami bekerja, tetapi tidak pula beliau bercakap dengan kami. Isteri beliau (Puan Rahmah ada sekali singgah sebentar, tetapi tidak juga bertanya khabar dengan kami. Pada masa itu beliau memakai sepasang putih, kain berkilat dan sangat cantik nampaknya. Beliau ditemani adik perempuannya yang bekerja sebagai operator telefon. Juga cantik kelihatannya).
Encik Abdul Rahman memenangi pilihan raya itu dan kemudiannya diangkat sebagai Menteri dan tinggal di Kuala Lumpur. Saya tahu beliau tinggal di Jalan Kia Peng, kerana Ahmad Johar menumpang tinggal di rumahnya, menyambung pengajian peringkat School Certificate di sebuah sekolah swasta, setelah gagal di Kuantan. Semasa saya di SITC Encik Abdul Rahman Talib pernah melawat Ibu Kandungnya itu atas kapisiti sebagai Menteri Pelajaran. Beliau malah melawat ke kelas saya, dan berjalan di sisi saya. Saya terasa bahagia kerana anak Pahang menjawat jawatan tinggi begitu, meskipun beliau tidak mengenali atau menegur saya semasa itu. Kalaulah sekiranya beliau menegur saya dengan mengingati peranan saya membuat poster pilihan rayanya dulu, alangkah terangkatnya saya! Astaghafirullah! Itu hanya pemikiran liar saya yang dipengaruhi syaitan. Saya tidak bermaksud begitu. Saya terus teringat apa yang ditulis oleh seorang pegawai pelajaran expatriat Inggeris berketurunan Welsh, yang lama berkhidmat di Pahang, iaitu G E D Lewis di dalam bukunya Out East in the Malay Peninsula (Penerbitan Fajar Bakti 1991) halaman 179 tentang tokoh yang saya sebutkan ini. Saya fikir, Lewis ada mengalami peristiwa yang sama dengan yang saya rasai di Bilik 2A di SITC itu. Wallahu a’lam.
Saya menyebut nama Pak Ngah Aziz berkali-kali di sini hanya sebagai mengingatkan ahli UMNO yang terbaca blog ini, bahawa ’orang tua ini’ adalah antara tokoh yang banyak menghabiskan masa, tenaga dan wang ringgitnya dengan UMNO pada peringkat awal. Beliau kerap mengadakan kenduri doa selamat di rumahnya yang terletak betul-betul di tepi Jalan Darat Mak Bar. Setiap kali kenduri, saya mesti diajak ikut serta. Saya turut terhutang budi dengan kepercayaan beliau kepada saya untuk membantu beliau. Apabila saya terpilih melanjutkan pengajian ke SITC, beliaulah yang menjadi Penjamin Pertama saya. Sebelum beliau menandatangani Borang Perjanjian sebagai Penjamin, beliau mempastikan saya faham semua maksud dalam Surat Perjanjian itu. Beliau berulang-ulang kali menyebut: yang saya tak boleh kahwin semasa belajar. Saya tak kisah sangat tentang itu, kerana tak usahkan nak kahwin, menyara diri sendiri pun masih lagi pontang-panting...
Pak Ngah Aziz tidak pernah lupa sumbangan saya selama bersama-samanya. Dalam tiga pertemuan dengan masyarakat, beliau menyebut jasa saya kepada beliau dan UMNO, sehingga saya berasa serba salah dan malu. Sekali di Pusat Pertanian Paya Besar, sekali di Sekolah Menengah Jerantut dan sekali lagi di Sekolah Kebangsaan Kuala Tembeling. Pada masa itu beliau sedang menjawat jawatan Menteri Besar Pahang.
Tidak berapa bulan sebelum beliau uzur dan kemudiannya meninggal dunia, saya bertemu dengan beliau yang sedang mandi di kolah Masjid Kampung Awah. Pada masa itu beliau aktif dalam organisasi PERKIM. Menurut beliau, beliau suka singgah mandi dan bersembahyang di masjid itu dalam perjalanan pergi balik dari Kuantan dan Kuala Lumpur. Bayangkanlah! Bekas MB Pahang mandi menggunakan gayung di kolah masjid, memakai kain pelikat sebagai basahan. Pada masa itu beliau meminta saya menolong beliau dalam aktiviti PERKIM. Dulu Pak Ngah tolong awak, sekarang tolonglah Pak Ngah pula, katanya.
Memang, beliau menolong saya sebagai Penjamin. (pada masa itu bukannya senang mencari penjamin yang bergaji $500.00 ke atas). Semasa saya memohon Biasiswa Negeri Pahang untuk melanjutkan pengajian ke Universiti Malaya, dialah yang mempengerusikan panel temuduga. Turut memainkan peranan yang membolehkan saya menerima Biasiswa Negeri Pahang itu ialah Cikgu Ibrahim Haji Arshad, yang pada masa itu menjadi salah seorang Ahli Dewan Undangan Negeri Pahang. Dari awal saya memang menjangka Pak Ngah tak akan menolak permohonan saya itu. Dekat saya hendak ke universiti beliau memberi $200.00 untuk belanja poket. Pada tahun 1969, dengan wang sebanyak itu, cukup untuk makan (nasi bungkus), minum (di Kedai Betcha, Art Concourse, atau di kantin UMSU atau di gerai-gerai nasi sekitar Pejabat Pos Jalan Semangat, Petaling Jaya yang tidak berapa jauh dari rumah sewa kami), sewa bilik, petrol bagi Honda 49 cc (nombor pendaftaran BK 6717) selama tiga bulan!
Kiranya, dari segi keahlian saya dalam UMNO, saya bolehlah dimasukkan ke dalam golongan veteran. Sayangnya, saya tidak pernah dipelawa untuk menyertai sebarang aktiviti UMNO yang melibatkan orang-orang lama. Golongan veteran yang dijemput di dalam majlis rasmi seperti majlis sambutan ulang tahun merdeka nampak-nampaknya macam golongan yang terkemudian daripada saya, iaitu golongan muda. Pada zaman kami itu, mereka entah di mana; malah ada yang tidak berada di negeri Pahang kerana mereka bukannya orang Pahang jati.
Tak mengapalah, kerana mereka baik yang menikmati kesenangan dan kekayaan kerana bergiat dalam UMNO atau yang menjadi ahli yang berhormat setelah bergiat ala kadarnya dalam UMNO sekarang hampir semuanya yang baru belaka menjadi ahli UMNO sekiranya dibandingkan dengan rekod keahlian saya.
Dalam keadaan UMNO sekarang, terutamanya selepas PU12, saya sangat mengharapkan tokoh-tokoh pada masa ini dapat mengablik iktibar kepada para pejuang UMNO tahun 40-an dan 50-an, yang rata-rata bekerja khas untuk kepentingan politik bangsa dan tanah air.
Sejujurnya, saya peribadi telah mendapat faedah yang cukup besar daripada UMNO. Saya dapat masuk belajar di SITC, kemudiannya menjadi guru dan belajar pula di Universiti Malaya, menikmati Biaisiwa Negeri Pahang bagi membiayai pengajian saya di situ. Tanpa bantuan ini, tentulah susah saya belajar, dan tanpa perjuangan UMNO sebagai parti politik teras memperjuangkan kemedekaan tanah air, tidak mungkinlah saya, sebagai lulusan sekolah Melayu ini, mampu mencapainya. Siapakah yang berani menafikan hakikat semuanya ini?
4 comments:
saya minat gila dengan karya dato Raja mendonai tuh....
saya baca masa saya sekolah menengah!
Tapi yang lain tu tak pernah dengar dan macamana nak dapatkannya?
Buku asalnya telah habis dijual (atau diberikan percuma). DBP ada mencetak versi yang baru tiga tahun lalu dan masih berada di pasaran. Buku tentang TUN djual di Institut Peradaban Melayu UPSI; Hukum Kanun Pahang boleh hubungi Muzium Pahang, yang juga menerbitkan buku saya yang lain. Dua buah buku terbitan Berita Publishing telah habis terjual (barangkali) kerana saya telah diperalkukan cara yang tidak patut oleh penerbit itu mengenai royalti dan penjualan!
saya mencari maklumat cikgu malek hari ini sejurus mendapat berita kematian cucunya Cikgu Yeop cucunya.Cikgu Malek katanya saudara moyang saya Pak Talib Kg Panchor, kebetulan Tok Haji Aziz pula dua pupu moyang saya.
menarik sekali penulisan begini. datuk saudara saya Tok Long Haji Ahmad Bukit Sekilau dan beberapa lagi merupakan tunjang UMNO kuantan.terharu mendengar kisah pemgorbanan mereka
Post a Comment