Friday, June 13, 2008

Masyarakat Guru 1950-an

Pendidikan Zuriat - Pencarian Harta

Selain mengajar, yang merupakan tugas rutin, guru-guru di Kuantan khasnya dan di Pahang amnya membina dan mempertahankan sebuah masyarakat yang sangat kompak dan bersatu padu. Guru-guru tetap dijadikan tempat rujukan masyarakat. Mereka tidak kaya dengan wang ringgit tetapi kaya dengan hemah dan budi pekerti dan sentiasa dicontohi. Guru-guru yang berumur, telah lama berkhidmat dan suami-isteri bekerja nampaknya mempunyai ekonomi yang stabel berbanding guru-guru yang lebih muda.

Jarang benar berlaku perkara yang luar biasa di kalangan guru. Masing-masing seolah-olah berjalan pada landasan sendiri, berpandukan etika seorang guru yang tidak pernah tertulis di mana-mana. Kalau ada pun, keluarbiasaan itu merupakan kes terpencil. Sebagai contoh, seorang guru muda, Cikgu Hassan Ibrahim (asal Pahang Tua dan pada masa itu berkhidmat di SM Cherating) dilaporkan hilang. Pelbagai cerita pun terbitlah: ada yang mengatakan beliau dibunuh; ada yang mengaku beliau mati di dalam perigi; ada yang mengaitkan dengan kisah cinta bermasalah dan pelbagai kisah lagi. Pencarian dibuat serata tempat yang ada kenescayaannya; siang dan malam. Beberapa bulan kemudian Cikgu Hassan dilaporkan oleh wartawan Berita Harian di Singapura yang beliau ditemui di sana, mengikut nelayan pulau itu menangkap ikan! Kisah ini memang sangat luar biasa berlakunya. Cikgu Hassan itu kemudiannya kembali semula ke Kuantan dalam keadaan segar-bugar dan mengajar di sekolah lamanya. Saya tidak mendengar sebarang tindakan disiplin dikenakan ke atas beliau. Kisah yang hampir sama berlaku kepada Cikgu Abdul Ghaffar Abdullah, orang Tanjung Medang dan mengajar di kampungnya. Beliau dilaporkan hilang entah ke mana, sedangkan motosikalnya terpacak di kawasan rumah Encik Muhammad Jusoh di Pekan Lama (yang kemudiannya menjadi Menteri Besar Pahang). Banyak juga cerita mengatakan beliau telah meninggal dunia. Saya tidak berapa ingat hujung cerita ini, tetapi yang saya tahu beliau ’hilang’ di Terengganu. Beliau sebenarnya berkahwin dengan wanita pilihannya di negeri itu dan terus bertukar ke Terengganu serta membina keluarga di situ sehinggalah hari ini.

Dengan menerima gaji rata-rata sekitar $300 hingga lebih sedikit daripada $400, kehidupan kaum guru adalah agak baik di mata masyarakat. Kebanyakan guru lama yang tinggal di bandar masih belum mempunyai rumah sendiri. Mereka menduduki kuarters kerajaan, yang sama kelayakannya dengan kerani pada masa itu. Sebab itulah ramai guru yang tinggal di kawasan yang dipanggil Clerks’ Area, atau Clerks' Settlement iaitu kawasan yang pada masa ini didirikan Kuantan Parade sekarang. Apabila kawasan Transit Quarters dibuka, ramai juga kaum guru yang bernasib baik diberi peluang menghuni kawasan perumahan yang baharu itu. Di Kuala Lipis ramai juga guru tinggal di kuarters kerajaan Bukit Kerani di seberang padang di hadapan jauh dari Sekolah Kebangsaan Wan Ibrahim sekarang. Mereka yang mengajar di Raub kebanyakannya tinggal di kuarters sekolah dan kawasan perkeranian di Jalan Cheroh. Guru-guru di Temerloh tinggal di kuarters kerajaan dan di kuarters sekolah. Mereka yang mengajar di kampung-kampung tinggal di kuarters sekolah, sekiranya ada. Ada sekolah yang rumah gurunya disediakan oleh orang kampung.

SM Ganchong misalnya ada dua unit rumah guru (yang didiami oleh Guru Besar dan Cikgu Abdul Hamid Talib), sementara di luar pagar sekolah ada dua unit rumah sewa yang terletak di atas tanah Pakcik Aman (yang didiami oleh Cikgu Abu Kassim Ghani sebuah dan sebuah lagi didiami oleh Cikgu Aliah Mohammad dan Cikgu Ramlah Omar). Tidak jauh dari situ terdapat dua unit rumah lagi yang dijadikan rumah sewa untuk guru (dulunya disewa oleh Cikgu Awang Yunus dan Cikgu Salleh Awang). Apabila Cikgu Abu Bakar Shariff pindah, beliau menduduki rumah yang di sekolah yang kemudiannya didiami oleh Cikgu Abdul Hamid Talib itu). Pak Busu Daud ’Kaya’ membina rumah di atas tanahnya untuk didiami oleh Ustaz Ibrahim orang Johor yang mengajar agama di situ. Guru-guru lain menyewa rumah yang jauh sedikit dari sekolah, tetapi masih selesa. Ada yang menumpang di rumah keluarga dan kawan-kawan. Pendeknya, tiada sebarang masalah yang timbul sepanjang berkaitan dengan rumah tumpangan. Kedudukan guru-guru ini membolehkan mereka terus bergaul dengan masyarakat secara aktif dan efektif.

Tidak berapa lama kemudian dibina pula dua unit rumah guru yang baru dan modelnya pun agak sempurna. Semuanya ini berlaku setelah dibina jalan raya yang menghubungkan Ganchong dengan Pekan melalui Lamir dan terbinanya sebuah jambatan konkrit merintangi Sungai Pahang Tua. Rumah dua bilik tidur, satu ruang tamu, beranda, dapur mengikut pelan piawai rumah guru zaman itu. Sebuah diduduki oleh Guru Besar dan sebuah lagi Cikgu Abu Kassim Ghani. Disebabkan perhubungan jalan raya lebih baik, kedua-dua penghuni ini pada kebanyakan masanya tinggal berseorangan kerana anak dan isteri mereka tinggal di rumah sendiri di Pekan. Cikgu Abdul Rahman telah membeli sebuah kereta sementara Cikgu Abu membeli sebuah motorsikal Honda berwarna hijau. Cikgu Abdul Rahman kebanyakan masa bertugasnya tinggal bersama-sama anaknya Ahyaulumuddin, yang telah dilantik menjadi Kerani part-time bagi SM Ganchong. Bagi saya, fenomena guru berulang ini adalah kesan negatif pertama pembangunan negara. Guru-guru yang berulang-alik ke sekolah semakin ramai, dan sekolah menjadi sepi sebaik sahaja masa pembelajaran tamat. Aktiviti kokurikulum semakin sukar untuk dilaksanakan, dan kalau terlaksana pun kesannya tidaklah seberapa sangat. Anak sulung beliau Mahiyuddin masih kuliah di Universiti Malaya [Beliau yang mengambil Chinese Studies, kemudiannya bertugas di Kementerian Luar dan pernah berkhidmat sebagai Pegawai Kedutaan, Timbalan Duta dan Duta Malaysia di beberapa negara seperti Singapura, Thailand, Habsyah, Morokko, Senagal, Bangladesh, Jeddah (bekerja dengan YBM Tunku Abdul Rahman Putra di Sekritariat Islam) dan beberapa negara lagi. Beliau pernah menulis pengalamannya sebagai duta di dalam sebuah buku yang berjudul A Malaysian Diplomat's Diary (1999), terbitan Utusan Publications and Distributors Sdn Bhd.].

Biasanya, tidak begitu ramai guru di bandar yang berpeluang tinggal di kuarters kerajaan kerana pihak yang menguruskan kuarters itu lebih mengutamakan kakitangan mereka sendiri, seperti kerani pejabat daerah dan pejabat-pejabat kerajaan lain. Meskipun pada masa itu ada ditetapkan sistem mata (mata dikira dengan mengambil kira berapa lama seseorang tinggal di sesuatu tempat, bilangan anak, pendapatan bulanan, tempat bertugas dan lain-lain) kerap kali peluang guru tidak sebaik kerani, terutama berbanding pegawai dan kerani dari pejabat daerah. Hal ini berlaku kerana rekod ’keutamaan’ mendiami rumah terletak di pejabat daerah. Mata kelayakan menduduki rumah kerajaan boleh dibawa pindah sekiranya seseorang itu berpindah ke daerah lain untuk digunakan bagi pertimbangan menduduki rumah di tempat baharu.

Pilihan yang lebih senang bagi kaum guru adalah mendapatkan rumah secara menyewa. Di Kuantan, kawasan yang ramai guru menyewa rumah ialah di Galing Kecil, Galing Besar, Tanjung Api, Kampung Selamat, Air Putih, Bukit Sekilau, Bukit Setongkol, Kampung Jawa, Darat Mak Bar, Tanah Putih, malah hingga menyeberangi Sungai Kuantan sampai ke Kampung Belukar, Batu Empat, Batu Lima, Batu Enam hingga ke Batu Tujuh. Mereka yang menyewa di kawasan ini akhirnya dengan berdikit-dikit mengumpul wang dan membeli tanah untuk tapak rumah dan seterusnya didiami oleh anak cucu mereka sehingga sekarang.

Guru-guru yang terasa ’sedap’ tinggal menyewa pun ramai. Mereka tidak berminat membeli rumah kerana memikirkan akan bertukar ke sekolah lain, di daerah lain pada bila-bila masa sahaja. Mungkin mereka tidak cukup wang untuk membeli tanah, kerana wang gaji digunakan untuk keperluan lain, seperti menanggung ibu bapa, menyekolahkan anak-anak, adik-adik atau anak-anak saudara dan mencukupkan perbelanjaan rumah tangga sendiri. Mungkin ansuran membeli basikal masih belum dapat dilunasi, atau ansuran radio transister masih beberapa bulan tertunggak.

Pemilikan Harta

Pada masa itu peluang untuk membuat pinjaman daripada bank masih belum diketahui. Mendengar bank pun jarang-jarang, malah bank merupakan satu institusi yang di luar jangkauan pengetahuan. Kewujudan Syarikat Jimat Cermat Pinjam Meminjam Guru-Guru Melayu Pahang Timur serba sedikit mampu membantu ekonomi kaum guru. Ada dua pasangan guru yang dikatakan mempunyai ekonomi teguh pada masa itu. Cikgu Abu Bakar Mohd. Amin dan isterinya Cikgu Konit yang tinggal di Teluk Sisik mempunya tanah yang agak luas di situ. Tanah itu di tanam kelapa, selain didirikan beberapa rumah sewa. Beliau sendiri tinggal di situ. Cikgu Abu Bakar Mohd. Amin (lebih mesra disebut Bakar Cikgu Konit) dan isterinya orang Pahang Tua, Pekan. Saya pernah melihat dalam rekod Syarikat, Cikgu Abu Bakar menyimpan hampir semua gajinya di dalam Syarikat, iaitu kira-kira $400 sebulan. Seorang lagi ialah Cikgu Jaafar Ismail atau Cikgu Jaafar Wan Som. Wan Som itu bukanlah nama bapa beliau, tetapi nama isterinya Cikgu Wan Som. Kalau saya tidak salah, beliau juga orang Pekan tetapi telah lama menetap dan bekerja di Kuantan.

Tanah Cikgu Abu Bakar dan Cikgu Konit terletak di sebelah kiri Jalan Teluk Sisik, kira-kira berhadapan dengan Supermarket Pantai Selamat sekarang, iaitu berdekatan kawasan menjual pokok-pokok bunga RASA SAYANG. Kawasan ini telah menjadi sebuah taman perumahan. Saya tidak tahu di mana anak cucu beliau tinggal sekarang. Sementara tanah kepunyaan Cikgu Jaafar Wan Som ialah di Kampung Tengah. Salah seorang anak beliau ialah arkitek terkenal Zulkefli Jaafar. Beliaulah yang mereka bentuk bangunan Masjid Negeri Pahang dan beberapa bangunan lain di Kuantan. Beliau kini tinggal di Kawasan Perumahan Tuk Sira, dan rumahnya di hadapan Maktab Rendah Sains Mara di situ.

Di Galing Kecil terdapat Cikgu Abdul Ghani yang menjadi Guru Besar Sekolah Melayu Beserah, yang memiliki tanah di Galing. Anak-anak beliau ialah Zulkarnain, Khairuddin, Azharuddin semuanya menjadi guru dan ketiga-tiganya merupakan pemain bola yang handal. Azharuddin berkahwin dengan anak saudara sepupu saya, Norlian Mohd Ali dan menetap di Pekan. Seorang anak perempuan beliau Che’ Pa (Fardziah Abdul Ghani) juga menjadi guru di SMA Al-Ihsan dan berkahwin dengan Rosli Sabtu yang bekerja sebagai Pegawai Pos. Saharuddin, seorang lagi anak beliau agak rapat dengan saya, tetapi beliau tidak menjadi guru, sebaliknya bekerja sebagai penjaga mesin di Lombong Bijih PCCL Sungai Lembing. Beliau pernah membawa saya ke tempat kerjanya yang terlalu bising bunyinya. Saya fikir Saharuddin patut dilindungi insuran pendengaran, selain insuran nyawa. Berhampiran dengan tanah beliau ialah tanah kepunyaan Cikgu Haji Abdul Samad Said (bukan Samad yang itu!). Cikgu Haji Samad berkhidmat di Pejabat Pelajaran, saya tidak pasti jawatan apa yang dipegangnya. Mereka berdua bersepakat memecah tah milih tanah mereka dan diserahkan kepada LKNP untuk dijadikan taman perumahan. Taman ini dikenali sebagai Taman LKNP yang terletak di belakang stesyen minyak Shell, di sebelah kiri jalan menghala ke Beserah, sebelum sampai ke simpang Air Putih.

Cikgu yang memang orang Kuantan ’jati’ ialah Cikgu Mohd. Ali Shariff dan adiknya Cikgu Abu Bakar Shariff. Tanah kepunyaan bapa mereka ialah di Air Putih, di tepi jalan bersempadan dengan pintu SM Air Putih sekarang. Saya fikir tanah ini bukan kepunyaan mereka lagi sekarang kerana Cikgu Ali sendiri memiliki tanah dan rumah di Seksyen 17 Petaling Jaya sedangkan Cikgu Abu Bakar telah meninggal, dan adik beradik mereka yang lain tidak duduk di tempat itu. Cikgu Ali dan Cikgu Bakar kedua-duanya lulusan SITC. [Semasa Cikgu (Dr.) Muhammad Ariff Ahmad – MAS – dari Singapura datang ke Kuantan tidak lama dahulu, beliau bertanya khabar khabar tentang sahabatnya, Abu Bakar Shariff; tetapi saya katakan, Cikgu Bakar itu guru saya dan telah lama meninggal dunia. Gambar beliau dengan Cikgu Bakar ada dirakamkan di dalam bukunya yang berjudul Perjalanan MAS]. Seorang lagi ’anak Kuantan jati’ ialah Cikgu Jantan Ahmad dan Cikgu Kamaluddin Ahmad serta seorang saudara perempuan mereka Cikgu Rokiah Ahmad. Cikgu Jantan lulusan SITC, Rokian lulus MWTC sementara Kamaluddin lulus TUOS. Setahu saya, tanah bapa Cikgu Jantan ada di Darat Mak Bar, tetapi Cikgu Jantan sendiri mempunyai rumah di Taman Guru. Ada rumah lama mereka di Jalan Teluk Sisik, seberang jalan di hadapan Midnight Tomyam. Cikgu Kamaluddin dan Cikgu Rokiah pernah tinggal di sana. Cikgu Kamaluddin kini tinggal di Taman Guru, tetapi Ciikgu Rokiah memberitahu saya (dalam pertemuan di majlis perkahwinan entah siapa, saya lupa) mengatakan beliau dan keluarganya masih tinggal di tempat lama itulah. Tetapi, kawasan rumahnya itu yang dahulunya boleh kelihatan dari jalan raya kini tidak lagi kerana dilindung oleh beberapa rumah dan rumah kedai dan kedai perabot INOVA. Bapa Cikgu Abu Hashim Yusof dan Cikgu Abu Mansor Yusof mempuyai tanah dan rumah di Kampung Selamat, tidak berapa jauh dari SMA Al-Ihsan. Rumahnya masih ada di situ, berhampiran rumah Cikgu Ismail Embong yang berbadan besar itu dan rumah keluarga Dato’ Dr. Siti Zaharah Ibrahim. Abu Hashim dan Abu Mansor kini tinggal di Taman Guru dan rumah mereka bersebelahan.

Seorang lagi guru yang mempunyai tanah di Kuantan ialah Cikgu Muhammad. Beliau ini berbadan besar, tinggi dan sasa sehingga beliau lebih dikenali dengan nama Cikgu Mat Unta. Saya tidak tahu sama ada beliau pernah mendengar sendiri orang yang menggelarkan beliau demikian. Kawasan kediamannya ialah berhampiran Hotel LA dekat Stadium Darul Makmur. Beliau mendirikan beberapa deretan rumah untuk dijadikan rumah sewa. Saya fikir beliau seorang yang sangat berjumat cermat dan menyekolahkan anak-anaknya dengan sempurna dan kebanyakan anaknya bersekolah Arab. Seingat saya, beliau pernah mengajar di SM Merchong. Ketika dalam perjalanan ke Rompin melatih guru-guru pengakap di Perkhemahan Pantai Merdeka Rompin bersama-sama dengan Cikgu Othman Muhammad, kami sempat berziarah dan singgah di rumah beliau di kawasan sekolah itu. Saya lihat beliau membuat bangunan tambahan menempel di bangunan rumah guru untuk dijadikan kedai kecil. Di situ beliau menjual barang-barang keperluan harian, termasuk tayar dan tiub basikal. Saya fikir, beliau turut melaksanakan tanggungjawab sosial dan fardu kifayah kerana di kampung itu tidak ada kedai yang lain untuk masyarakat kampung mendapatkan keperluan harian. Dengan membuka kedai kecil di rumahnya, beliau membantu seluruh penduduk Kampung Merchong. Satu yang menarik tentang Cikgu Mat ini ialah beliau memiliki sebuah kereta Ford 8 yang sangat kecil saiznya: memang tidak sesuai benar dengan badannya yang sebagaimana saya tuliskan di atas tadi. Semangat keusahawaannya ini turun kepada salah seorang anaknya, seorang ustaz, iaitu Ustaz Nordin Muhammad. Beliaulah yang membina bangunan yang dijadikan beberapa gerai untuk disewakan berhampiran rumahnya. [Salah sebuah gerainya disewakan kepada Rahmatullah, seorang peniaga Mi Mamak dan Rojak yang terkenal di Kuantan. Rahmatullah ini menceritakan dirinya datang dari India, bekerja dengan seorang peniaga mi dan rojak di Seremban hingga mendapat kemahiran sendiri, kemudian berpindah ke Baling, selepas itu membuka perniagaan berkongsi kedai di Jalan Dato' Bahaman, dekat IKIP Utama. Dari situ beliau berpindah ke gerai Ustaz Nordin tadi. Lama juga dia di situ sehingga Ustaz Nordin membesarkan kawasan gerainya dan beliau membuka perniagaan dengan menyewa sebuah kedai berhampiran Transit Quarters. Beliau tidak bertahan lama di situ kerana sewa kedainya mahal, lalu membeli sebuah van dan berjaja: pagi di Air Putih dan petang berhampiran Masjid Besar Kuantan. Sebanarnya sejak Rahmatullah berniaga berkelana ini, payah benar berkesempatan bertemu beliau. Hanya semasa bulan Ramadan sahaja senang menemuinya berniaga di salah sebuah gerai Pasar Ramadan dekat Stadium]. Ke mana lagi tumpahnya kuah, kalau tidak ke nasi.

Ada seorang guru yang bernama Abdul Hamid Othman (kami panggil dia Hamid Pak Ngah Nandi) yang rumah bapanya betul-betul pada tapak lampu trafik simpang Jalan Mak Bar – Jalan Penjara – Jalan Lim Hoe Lek. Di Teluk Sisik juga ada tanah Cikgu Zakaria, yang kemudian dimajukan oleh anak-anaknya Cikgu Hamzah Zakaria (pernah menjadi Pengelola Sekolah Rendah Pahang), Cikgu Maimunah Zakaria dan saudara-saudaranya yang lain. Kawasan tanah kepunyaan ayahanda mereka juga dimaju dan dijadikan taman perumahan, dan mereka adik-beradik tinggal di kawasan itu sehingga sekarang. Kawasan yang saya maksudkan ialah di belakang kedai menjual pokok bunga SHOKA di hadapan stesyen minyak Shell di Jalan Teluk Sisik.

Di kawasan Batu Lima terdapat tanah kepunyaan Cikgu Haji Hussain Haji Aris dan Cikgu Mohd. Said Haji Aris. Mereka adalah adik beradik. Tanah kepunyaan mereka masih didiami oleh anak cucu dan keluarga masing-masing.

Tanah Cikgu Abdul Malek Said di Tanah Putih diusahakan oleh anak-anaknya dan di atas tanah itu terdapat kilang batik. Anak-anak Cikgu Malek berbakat dalam seni lukis, khasnya melukis corak batik. Salah seorangnya ialah Ramli Malek yang pernah menjadi Pensyarah ITM. Ramli meninggal kerana lemas dikepung air pasang ketika memancing di Tanjung Gelang, Kuantan. Beliau yang memancing berseorangan, tidak menyedari air pasang, sedangkan beliau memancing itu duduk di atas bongkahan batu besar jauh sedikit dari pantai. Dalam usaha menyelematkan diri itulah Ramli meninggal. Namanya sebagai pelukis genre batik memang tengah naik. Beliau pernah mengadakan pameran solo lukisan batiknya di Dewan Tunku Canselor UM dan saya ikut serta menyaksikan pameran itu kerana pada masa itu saya belajar di UM. Beliau sangat terperanjat dengan kehadiran saya, kerana sebenarnya kami sama-sama menduduki peperiksaan SPM di SABS: Saya sebagai calon persendirian dan dia calon sekolah. Beliau meninggalkan – antara lain – sebuah kedai batik di Medan Pelancong, Kuantan. Nama kedai itu ialah RM Batik. Kilang batiknya masih beroperasi di tanah arwah ayahnya di Tanah Putih, Kuantan, betul-betul di belakang Medan Warisan, yang di hadapannya Hypermarket Giant.

Cikgu Sheikh Ismail Sheikh Muhammad, Penolong Nazir Pahang Timur yang lebih dikenali dengan sapaan Cikgu Sheikh, selepas bersara membuka kedai buku SIMA Book Store. Kedai bukunya nampak maju, kerana itulah sahaja kedai buku orang Melayu yang agak besar di Kuantan, dengan buku-buku keluaran DBP dan buku teks. Hubungannya dengan guru-guru Melayu dan masyarakat pendidik membantu menyemarakkan perniagaan buku beliau. Kedainya yang pertama berkongsi bangunan dengan Tukang Jahit Sun Mun di Jalan Besar. Apabila deretan bangunan kedai LKNP dibina dengan sebuah hotel yang bernama Hotel Pahang terletak di situ, Kedai Buku SIMA berpindah ke Bangunan LKNP itu; kali ini bukan berkongsi sebuah bangunan, tetapi mempunyai bangunan sendiri. Buku-bukunya pun bertambah. Beliau dibantu oleh anak-anak saudaranya yang bertindak sebagai jurujual, sementara beliau sendiri sentiasa berada di kedai dengan wajah kadang-kadang serius, kadang-kadang ceria dengan senyum yang khas terukir dibibirnya. Apabila Cikgu Sheikh Ismail meninggal, perniagaan buku orang Melayu yang tunggal di Kuantan itu turut malap. Kami pernah bertanya anaknya yang juga Pegawai Bahagian Pendaftar Sekolah Jabatan Pendidikan Pahang, Sheikh Ramli Ismail tentang kedudukan perniagaan kedai itu. Beliau menyalahkan kewujudan kedai buku kepunyaan bukan Melayu, iaitu Hamid Brothers, East Coast Book Store dan kemudiannya Kedai Buku Men Men. Mereka tak terlawan, kerana kononnya kedai-kedai itu menjual buku cetak rompak dan sebagainya, dan sebagainya sebagai alasan. Kami tidak tahu sangat tentang perkara ini, tetapi menurut Haji Mohd. Ghazali Manan, seorang teman kamceng Sheikh Ramli yang juga berkhidmat sebagai KPP Bahagian Perancangan, Pembangunan dan Bekalan Jabatan Pendidikan Pahang, kedai di bangunan LKNP itu bukannya milik Cikgu Sheikh Ismail sepenuhnya, kerana sewanya masih belum lunas. Penutupan perniagaan buku oleh SIMA Book Store amat disayangkan, tetapi apalah daya, kerana betapa berat mata memandang, berat lagi mahu yang memikul, kata pepatah. Kini kedai itu telah menjadi kedai orang lain dan menjual barangan yang lain pula. Cikgu Syeikh Ismail juga mempunyai tanah dan rumah di Tanah Putih, tidak berapa jauh daripada tanah Cikgu Malek yang dibuat tapak Kilang Batik RM itu, tetapi rumah dan tanah itu entah dijual atau berpindah milik, wallahu a’lam.

Dalam tahun 1960-an ada seorang guru lepasan SITC yang bergiat dalam perniagaan, iaitu Cikgu Muhammad Hassan. Beliau ini orang Tanjung Lumpur. Cikgu Muhammad ada sebuah kedai makan di Jalan Tun Ismail. Nama kedai itu ialah Restoran Hayati, mengambil sempena nama salah seorang anak perempuannya. Kedai itu menyediakan makanan ala kampung, dengan ikan sungai dan serba macam ulam. Cikgu Muhammad ini adalah batch Prof. Emeritus Tan Sri Dr. Awang Had Salleh. Semasa itu kami selalu mengadakan mesyuarat Persatuan Suluh Budiman dalam rangka mengadakan Kongres Pendidikan Nasional (KONPEN) di Pahang. Setiap kali Awang Had datang, Muhammad tidak membenarkan dia (dan kami semua) makan di tempat lain. Ini menyebabkan Awang Had melarang kami memberitahu temannya itu akan kedatangannya ke Kuantan. Beliau akan menemui Muhammad apabila hampir waktu mahu bertolak balik. Cikgu Muhammad turut memiliki syesyen minyak Petronas dan kedai menjual gas memasak Petronas. Apabila Cikgu Muhammad meninggal, perniagaannya turut tidak terurus. Yati (anaknya itu) membuka stesyen minyak BP berseberangan dengan Kedai Sparkman Shop di Jalan Teluk Sisik. Perkhidmatan cuci keretanya sangat baik. Beliau mengusahakan perniagaan itu bersama-sama suaminya. Kami selalu menggunakan perkhidmatan beliau, sehingga Nurziah (isteri saya) lebih mengenali Yati berbanding saya yang telah lama mengenalinya. Stesyen minyak itu kemudiannya tidak lagi milik mereka, dan Yati bersama suaminya hanya mengusahakan bahagian mencuci kereta. Itu pun tidak lama nyawanya, kerana kemudian Nur memberitahu saya Yati mengusahakan pencucian kereta di stesyen Shell, Teluk Sisik. Kedai gas memasak Petronasnya di Batu 5 pun telah lama tutup. Saya pun lama tidak bertemu anak Cikgu yang berjaya ini. Saya juga tidak dapat memberitahu Tan Sri tentang hal anak kawannya ini, kerana beliau sendiri pun khabarnya tengah uzur.

Peluang kaum guru untuk mencari pendapatan tambahan boleh dikatakan tiada. Pada masa itu keperluan mengadakan kelas tambahan masih belum wujud. Peluang berniaga pun tidak wujud, dan kalau ada pun guru-guru tidak berani mencubanya. Pada masa itu wujud peraturan yang melarang kakitangan kerajaan memiliki tanah. Kalau mahu memiliki terpaksa meminta kebenaran, dan prosesnya agak berliku-liku. Menyusahkan. Dan, dalam masa yang sama kakitangan kerajaan yang berkhidmat di pejabat yang mempunyai kaitan dengan tanah dan pemilikan tanah terus sahaja menambah harta mereka yang berbentuk tanah.

Kaedah Pembayaran Gaji

Gaji guru dibayar oleh Guru Pelawat secara tunai. Setiap hujung bulan, guru-guru berkumpul di tempat yang dikhaskan oleh Guru Pelawat. Guru daerah Kuantan menerima gaji mereka di SM Teruntum, sementara bagi daerah Pekan di SM Perempuan Pekan. Bagi membantu menguruskan pemberisan gaji ini Guru Pelawat mempunyai guru-guru kepercayaannya. Mereka terdiri daripada Guru Besar atau guru kanan yang ’boleh diharap’. Kalau di Kuantan, Cikgu Shamsuddin Mohd Sidek, Cikgu Abdullah Hassan, Cikgu Jantan Ahmad, Cikgu Hashim Ahmad merupakan guru-guru yang bertugas membuat pengiraan pelbagai potongan yang dikenakan, membilang wang, dan memasukkan wang di dalam sampul khas. Setelah siap sempurna, nama masing-masing akan dipanggil untuk tampil ke hadapan, menandatangani paysheet dan menerima wang gaji bulan itu. Tugas yang sama, kalau di Pekan, dilakukan oleh Cikgu Muhammad Dahan, Cikgu Junid Hussain , Cikgu Md Lazim Mat Saman, dan beberapa orang lagi.

Mengira dan menyisihkan wang gaji itu mengambil yang lama juga. Kadang-kadang semasa menanti begitu, diadakan atur cara selingan, yang biasanya berbentuk ceramah. Ceramah yang tentunya adalah daripada Guru Pelawat. Beliau biasanya membuat laporan lawatan yang dibuatnya sepanjang bulan itu ke sekolah-sekolah dalam daerahnya. Banyaklah komen yang diberikan, serta cadangan pembaikan yang diharapkan pada masa yang akan datang.

Komen tentang pengajaran biasanya ialah kekurangan alat mengajar dan lemahnya kawalan kelas. Pujian selalu diberikan kepada guru yang kelasnya terkawal, dengan murid-murid senyap semasa lawatan, sehingga ’kalau jarum jatuh ke lantai kedengaran bunyinya’. Cikgu Abdul Rahman Omar, Guru Pelawat Kuantan kerap ’menjaja’ memuji kelas Cikgu Ainon Abdul Hamid sebagai kelas terbaik dan patut dicontohi. Sebabnya, yang itu tadi, iaitu kelas yang paling senyap. Itu adalah nilai pendidikan pada zaman sebelum merdeka. Tetapi, sekali fikir mungkin betul juga, kerana jikalau sesebuah kelas itu senyap, tentulah pengajaran guru mudah difahami oleh murid-muridnya, berbanding dengan kelas yang hingar-bingar laksana pasar ikan atau seperti keling karam (maaf, peribahasa itu telah dicabut daripada Kamus Dewan edisi keempat kerana tidak disenangi masyarakat India dan mereka menyampaikan protes kepada DBP melalui parti mereka, MIC.

Semasa saya di Pekan, kerap juga diadakan ceramah bagi mengisi masa semasa menunggu penyampaian wang gaji. Pada suatu hujung bulan telah diadakan ceramah oleh dua orang guru dari daerah itu yang melawat ke luar negeri. Cikgu Shamsuddin Mohd Sidek, iaitu Guru Pelawat itu sendiri, menceritakan kisah lawatan beliau ke India. Beliau ke India mengikuti program lawatan Penyelia-Penyelia Pelajaran Dewasa yang beliau sendiri dilantik sebagai salah seorang Penyelia dalam daerah Pekan. Beliau menceritakan bagaimana sekolah-sekolah di India yang sangat daif sehingga masih ada yang di bawah pokok, dan murid-muridnya menulis di atas batang atau kulit kayu. Ceramah yang satu lagi disampaikan oleh Cikgu Idrus Mat De, Guru Besar SK Pahang Tua yang melawat Jepun atas belanja sendiri. Beliau menceritakan pengalaman di dalam kapal laut dan seterusnya keadaan di Jepun pada masa itu. Beliau tentu tidak dapat membandingkan kemajuan Jepun kerana itulah pertama kali beliau ke negara matahari terbit itu. Yang istimewanya, beliau menyatakan yang beliau tidak menghadapi sebarang masalah perhubungan di Jepun kerana beliau masih boleh bertutur bahasa Jepun dengan baik dengan orang-orang Jepun yang ditemuinya, hasil dari pendedahan yang diperolehinya sebagai guru dalam zaman pemerintahan Jepun dahulu.

Beberapa tahun lalu saya pernah ke Seremban melalui Jalan Tangkak. Ada sebuah estet di situ. Saya dapati ramai orang berkumpul, hingga melimpah ke jalan raya. Kebanyakannya orang India, tetapi ada juga orang Melayu. Ada lelaki, ada perempuan dan ada anak-anak. Saya berhenti bertanya, kalau-kalau ada kemalangan atau kematian. Salah seorang menyatakan hari itu hari gaji dan mereka semuanya akan menerima gaji. Peristiwa ini mengingatkan saya peristiwa yang saya alami dalam tahun 1950-an dan 1969-an, ketika saya dan guru-guru di Pahang menerima gaji seperti pekerja estet yang saya lihat itu. Sungguh melucukan!

Kaedah membayar gaji cara lama itu tidak lagi dilakukan pada sekitar tahun 1963 atau 1964. Sejak itu gaji kami dibayar menggunakan cek atas nama masing-masing. Nampaknya institusi pendidikan telah melangkah setapak ke era ekonomi moden. Tetapi penggunaan cek ini pun memang ada masalah pada mulanya, kerana pihak bank kerap enggan menerima cek guru dengan alasan tandatangan Guru Besar atau Pengerusi Jemaah Pengurus berbeza dengan contoh tandatangan yang ada di dalam rekod simpanan mereka. Sekolah kami menggunakan Chartered Bank, Kuantan dan sebagai sebuah bank antarabangsa yang besar, tentu mereka menjaga reputasinya dengan ketelitian yang maksimum. Hal ini sangat tidak disenangi oleh Guru Besar kami iaitu Cikgu Abdul Rahman Sulaiman (yang lebih dikenali dengan nama akrabnya Deraman Raja Meluku. Nota: panggilan akrab ini bukan boleh digunakan secara sembarangan, cuma di kalangan teman-teman rapat dengan beliau sahaja). Beliau pernah memberitahu casher bank tersebut, katanya, jikalau hendak serupa semua, kenalah pakai rubber stamp! Semenjak itu cek kami tidaklah pernah ditolak oleh pihak bank atas alasan tandatangan yang tidak berapa sekata itu.

Satu peristiwa yang kurang menyenangkan pada masa perjumpaan bulanan kerana menerima gaji itu ialah adanya beberapa orang towkey kedai basikal yang menunggu hutang cikgu, iaitu towkey Kedai Chin Leong (Jalan Wall) dan Kedai Teong Hin (Jalan Main). Kedua-dua kedai ini merupakan kedai basikal dan radio terkenal di Kuantan pada masa itu. Mungkin ada seorang berdua guru yang liat membayar hutangnya yang tidak berapa ringgit itu. Keadaan seumpama itu tidak pernah kelihatan semasa saya mengajar di Pekan.

Perhubungan antara guru-guru sekolah Melayu dengan guru-guru sekolah Inggeris boleh dikatakan tidak wujud; apatah lagi dengan guru-guru sekolah Cina dan Tamil. Guru-guru sekolah Inggeris mempunyai status yang lebih tinggi berbanding guru-guru sekolah lain, sekurang-kurangnya menurut anggapan mereka. Faktor ketinggian status itu ialah kerana gaji mereka lebih tinggi dan sekolah yang mereka mengajar berprestej kerana bahasa Inggerisnya. Tidak terdapat sebarang forum yang boleh dijadikan wahana bagi mendekatkan jurang antara mereka.

Walaupun begitu, kesedaran guru-guru Melayu terhadap kepentingan pendidikan memang telah lama wujud. Melalui Kesatuan Persekutuan Guru-Guru Melayu Semenanjung (KPGMS) yang dipimpin oleh Cikgu Mohd Nor Ahmad guru-guru Pahang telah mendapatkan sebuah rumah di Galing Besar untuk dijadikan hostel bagi murid-murid Melayu yang bersekolah di sekolah Inggeris Kuantan. Malay Boys Hostel ini terletak di tapak kedai alat aksesori kereta dekat rumah Cikgu Mustafa Hilmi sekarang. Walaupun bangunan itu kecil dan tidak menarik, kebanyakan anak-anak guru dan bukan dari kalangan guru dari Pekan, Maran dan Kuantan yang belajar di Abdullah School Kuantan adalah menerima faedah daripada rancangan ini. Ada di antara meraka yang menjadi ahli profesional, termasuk pensyarah, naib canselor, jurutera, arkitek, akauntan dan kebanyakan mereka itu telahpun bersara dari jawatan masing-masing.

Kenduri-kendara

Di kalangan guru-guru Melayu ini, sekiranya ada kenduri-kendara mereka saling menjemput. Majlis biasa diadakan berkaitan peristiwa nikah kahwin, mendapat anak atau cucu baharu, bercukur jambul, kenduri arwah, mengucapkan selamat berangkat ke tanah suci, meraikan kejayaan anak melanjutkan pengajian ke seberang laut, kesyukuran kerana mendapat pekerjaan dan seumpamanya. Ada kalanya majlis kecil-kecil dibuat di sekolah, dan mereka kerap memilih SM Teruntum; mungkin kerana sekolah ini agak besar dan perjalanan ke situ juga senang.

Jikalau kenduri kecil-kecil, biasanya cukup dengan jamuan teh petang. Air teh di masak sendiri menggunakan dapur kantin Pak Mat. Saya menjadi pandai membuat teh melalui penglibatan di majlis beginilah. Kami menggunakan serbuk teh Lipton dan Susu Cap Junjung. Menu yang lain ialah kek yang dibeli dari Kedai Meng Heng, satu-satunya kedai kek dan roti yang terkenal di bandar Kuantan pada masa itu. Kek itu diadun dalam saiz besar dan semasa di kedai lagi boleh diminta potong 16 porsi, kemudian sebelum dihidang, boleh pula dijadikan 32 porsi. Kek itu biasa sahaja, tetapi rasanya cukup enak (mengikut rasa lidah kami pada masa itu). Selain itu dihidangkan juga kacang goreng yang cukup rangup. Kacang goreng pada masa itu tidak mempunyai sebarang jenama, tetapi kami tahu di mana boleh dibeli kerana kacang jenis itu disimpan di dalam tin yang salah satu sisinya diberi bercermin. Jadi tanpa membuka penutup tin kami sudah tahu kualiti kacang yang berkenan pada selera untuk dijadikan menu majlis keraian itu. Sekiranya peruntukan membenarkan, kami membeli buah prun kering yang dijual di dalam kotak. Sebenarnya prun itu bukanlah kering tetapi agak lembap. Kami jarang memakan buah prun kerana harganya agak mahal, dan majlis-majlis begitulah membolehkan kami merasakan keenakannya. Kalau masih ada peruntukan, kami akan membeli buah limau sunkist dan jaffna. Limau jenis ini memang manis rasanya dan mewah airnya. Tidak berapa lama kemudian limau jaffna tidak boleh dijual di negara kita kerana buah ini memang berasal dari negara Israel. Ringkasnya: jamuan teh yang bermenukan secawan air teh susu, sepotong kek, beberapa biji prun, kacang goreng rangup dan sepotong limau dapat diterima sebagai jamuan yang memuaskan hati.

Menghadiri kenduri di rumah (majlis perkahwinan misalnya) kami memakai pakaian melayu. Semua orang yang hadir berpakaian begitu, jadi, sekiranya kita berpakaian jenis lain, berasalah janggal dan tidak enak. Amalan memakai pakaian melayu semasa menghadiri majlis serupa ini semakin sehari semakin berkurangan. Orang lebih memilih berpakaian lebih santai, seperti berbaju batik dan bersongkok sahaja. Kini bersongkok pun tidak diamalkan lagi, kecuali oleh golongan seperti saya. Walau bagaimanapun, menghadiri kendiri kahwin di Pekan, kalau tidak memakai pakaian melayu masih terasa janggal sebab lebih 80% hadirin berpakaian melayu, atau paling koman, bersongkok baldu hitam.

Amalan memakai pakaian melayu memang telah lama terhakis di bandar-bandar besar seperti Pulau Pinang, Kuala Lumpur dan lain-lain. Ada kisah lucu membuktikan cerita ini. Semasa mengajar di SM Jerantut (sekitar 1972) diadakan sambutan Maulud Nabi dan guru-guru diminta memakai baju melayu bersongkok. Seorang guru sekolah saya yang berasal dari Balik Pulau, Pulau Pinang tercari-cari kawan tempat meminjam baju dan songkok. Baju ada, tetapi songkok tidak padan. Akhirnya, teman saya itu – Abdul Latiff bin Abdul Kareem – guru lulusan MTC Pulau Pinang dalam bidang Pendidikan Jasmani, dapat juga sebiji songkok yang padan dengan kepalanya, tetapi songkok itu dipinjam daripada Cikgu Sohan Singh Jassal, Guru Besar SRK Jerantut. Sohan Singh ini memang seorang guru yang prominent figure di Jerantut dan Raub dan beliau memang mempunyai dua pasang baju melayu, siap dengan songkok dan kain sampingnya sekali, kerana beberapa kali beliau diminta memakai pakaian kebangsaan itu untuk membaca ikrar Rukunegara semasa sambutan Hari Kebangsaan mewakili kaum India!

No comments: