Tuesday, June 17, 2008

Kesedaran Intelektual Guru

Pengajian Diri dan Pendidikan Anak-anak

Dalam tahun-tahun 1950-an tidak kedengaran sebarang berita tentang kemungkinan sebuah institusi pengajian tinggi diwujudkan untuk pelajar-pelajar Melayu atau mereka yang berpendidikan Melayu. Mengadakannya sebuah di negeri Pahang memanglah di luar pemikiran sama sekali. Namun begitu, kesedaran telah timbul dengan kuatnya di kalangan guru-guru Melayu untuk meningkatkan ilmu pengetahuan mereka dan pengetahuan anak-anak mereka, termasuklah dalam bidang agama Islam.

Masjid Kuantan pada masa itu hanya merupakan sebuah bangunan kayu bercat putih, beratap zing di dalam satu kawasan yang tanahnya berpasir gambut berwarna putih dipagari beberapa batang pohon kelapa tegak berdiri dengan buahnya yang agak lebat. Buah kelapa itu kadang-kadang gugur sendiri, menghempap atap tempat basikal yang terletak di bahagian hadapan masjid. Di atas tapak masjid itulah kini terbangun deretan kedai dua tingkat kepunyaan Majlis Agama Islam Pahang. (Secara rasminya mereka mengeja Majlis Ugama Islam Pahang), Ada di antara bangunan itu dijadikan restoran, ada yang dijadikan kedai ubat cina dan ada yang menjual alat pembinaan. Beberapa pintu digunakan oleh Majlis untuk dijadikan Pejabat Saham Wakaf, Pusat Homodialisis Islam, dan pejabat Majlis sendiri. Seorang teman saya, Ustaz Ashaari @ Kamaluddin Mohd Yatim yang dahulunya bertugas sebagai KPP Pendidikan Islam di Jabatan Pendidikan Pahang, setelah bersara, berusaha mendapatkan sijil guaman syarie dan kini menjadi Peguam Syarie Bertauliah, membuka pejabatnya di Bangunan MUIP ini. Beliau seorang yang sangat gigih, berhati lembut dan pendukung kuat ABIM. Segala percakapannya yang benar-benar sahaja. Selain menjadi Peguam Syarie, beliau juga menjadi Pengetua Sekolah ABIM di Indera Mahkota itu.

Di Masjid Kuantan yang lama itulah tempat guru-guru Melayu bertemu, menadah kitab kuning dua atau tiga kali seminggu. Gurunya ialah Imam Masjid tersebut, Tuan Haji Idris. Tuan Haji Idris berulang ke masjid menaiki basikal dari rumahnya di Jalan Haji Junid, iaitu persimpangan Jalan Bukit Ubi menghala ke Bukit Setongkol. Sebenarnya, Haji Junid, yang namanya diabadikan pada sebatang jalan di situ adalah bapa mertua Tuan Haji Idris. Saya pernah mengajar dua orang anak Tuan Haji Idris di SM Laki-laku Kuantan, iaitu Harun dan Abdul Wahid. Abdul Wahid pernah menjawat jawatan Penolong TNC Universiti Teknologi Malaysia di Sekudai. Bidang profesionalnya ialah Surveyor lulusan dari Australia (atau New Zealand?). Ada seorang lagi anak Tuan Haji Idris yang saya kenal iaitu Alias, yang lebih tua daripada Harun dan Wahid. Alias pernah berkhidmat sebagai Pensyarah di Maktab Bahasa dan pada masa yang sama menjadi juruhebah di RTM.

Guru-guru yang selalu menadah kitab kuning dengan bimbingan Tuan Haji Idris ialah Cikgu Abdullah Saaban, Cikgu Hussain Haji Aris, Cikgu Abdul Ghani, Cikgu Haji Samad, Cikgu Abu Bakar Md. Amin. Selain itu, ada pula Abdullah Awang Hol, Encik Salleh, Pak Itam Johar, Pak Lebai Ali, Syed Zain, Zakaria Hitam, Haji Ibrahim JP, Haji Ibrahim Kerani Kadi, Pakcik Jilah, Tok Siak Uda, Mohd Yusof (ayah Cikgu Abu Hashim), Mohd. Noh Akil (tukang gunting rambut yang masih menjalankan usaha tersebut di Kedai Gunting Chinta Damai, Jalan Besar, tidak jauh daripada Bangunan Kastam), Mohd Yunus (kakitangan Pejabat Kastam, ayahanda kepada teman saya cikgu Abdullah Mohd Yunus). Kadang-kadang Pakngah Aziz Ahmad pun ada. Ada beberapa orang lagi pegawai Kastam yang sentiasa menadah kitab di situ, tetapi saya tidak tahu nama mereka...

Guru-guru Melayu pada masa itu tidak ketinggalan dalam usaha menambahkan pengetahuan meraka dalam hal-hal yang berkaitan dengan ekonomi dan sosial. Ungku Abdul Aziz yang pada masa itu menjadi Pensyarah Universiti Malaya di Singapura pernah dijemput memberikan ceramah dalam satu majlis makan malam di SM Laki-laki Kuantan. Beliau diperkenalkan sebagai Mahaguru Ekonomi Universiti Malaya. Sebenarnya pada masa itu beliau sedang menjalankan kajian tentang status ekonomi masyarakat nelayan di Kuala Kemaman, hingga ke Beserah. Saya masih ingat beliau mengemukakan contoh sedih kehidupan kaum nelayan semasa tutup kuala (musim tengkujuh). Pada masa itulah golongan orang tengah mengambil kesempatan memeras tenaga kaum nelayan yang di dalam kesempitan. Beliau menceritakan bagaimana seorang ibu di Kuala Kemaman merebus batu di atas dapur rumahnya, demi menghiburkan anaknya yang kelaparan, dengan meminta si anak menanti 'batu rebusannya' masak untuk dimakan. Beliau juga menyebut bagaimana ibu-ibu di situ bertanyakan anak beliau. Mereka terkejut mendengarkan profesor itu hanya ada seorang anak, sedangkan orang yang bertanya mempunyai tujuh orang. Ini mengingatkan saya kepada kata-kata Pramoedya Ananta Toer yang kononnya meniru pepatah Arab: Orang kaya jika memohon kekayaan, Tuhan berikan banyak wang; orang miskin kalau memohon kekayaan (wang) diberikan pula banyak anak.

Ada juga guru-guru Melayu yang belajar bahasa Inggeris. Tempat belajarnya di Sekolah Abdullah, Kuantan dengan guru-guru di situ yang menjadi tenaga pengajarnya, seperti Mr. Majid Mat, Mr. Kok Swee Hong dan Mr. Boey Cheong Seng. Antara mereka yang belajar bahasa Inggeris ialah Cikgu Hussain Aris, Cikgu Othman Ismail, Cikgu Jantan Ahmad dan Cikgu Abdullah Hassan. Buku teks yang mereka gunakan bukannya buku Oxford English Course dengan lukisan orang lidi yang membawa cerita a man and a pan, tetapi buku yang digunakan untuk sekolah menengah masa itu, iaitu English Today oleh Ridout yang diterbitkan di England.

Kemudian Pejabat Pelajaran pada masa itu mewujudkan Further Education Classed (FEC). Saya sendiri tidak pasti bagaimana kelas ini diwujudkan, tetapi ia adalah aktiviti rasmi kerajaan pada masa itu. Pengurusan kelas ini agak terancang, dengan elaun guru dan pengurusannya dibayar oleh kerajaan. Kelas ini terbuka untuk meraka yang ingin menduduki peperiksaan LCE, SC (kemudiannya FMC) dan HSC. Kelas ini diadakan pada waktu malam di sekolah yang terpilih untuk dijadikan pusat. Ramai juga guru Melayu yang mengikuti kelas ini, tetapi kebanyakannya golongan guru muda.

Satu hal yang sangat nyata di kalangan guru-guru Melayu pada masa itu ialah kesedaran mereka tentang menyekolahkan anak-anak. Kebanyakan mereka yang telah berumur dan berada dalam strata ekonomi agak kukuh, menyekolahkan anak-anak mereka ke sekolah Inggeris, melalui program Special Malay Class (SMC). Melalui program ini anak-anak mereka belajar di sekolah Melayu sehingga darjah empat, jadi sempatlah mereka belajar al-Quran pada waktu petang dan mahir menulis tulisan jawi. Disebabkan mereka kebanyakannya tidak tinggal di Kuantan, golongan inilah yang menjadi tunggak hingga wujudnya Malay Boys’ Hostel di Galing itu.

Golongan guru ini juga menjadi penggalak kepada guru-guru lain apabila anak-anak mereka yang bersekolah Inggeris itu dipilih melanjutkan pengajian ke luar negeri. Sebagai contoh, anak Cikgu Sheikh Ismail (Sheikh Ramli) ke Kirkby, England; anak Cikgu Wan Abdul Rahman (Wan Abdul Manaf) ke Kirkby, England; anak Cikgu Musa (Baharuddin, Hood) ke Universiti Malaya; anak Cikgu Ngah (Baharuddin) ke Kolej MARA Petaling Jaya mempelajari bidang perladangan; anak Cikgu Shamsuddin Sidek (Suhaimi) ke England belajar ilmu perkapalan dan pelayaran; anak Cikgu Mohd Said Aris (Ahmad Khan Zainuddin) ke Wales mempelajari bidang kejuruteraan elektrik; anak Cikgu Ali Shariff (Rosihan) Prof. dalam bidang Matematik USM; anak Cikgu Abdullah Hassan; anak Cikgu Awang Mohd Yunus; anak Cikgu Hassan Sulong (Mohd Ali) ke England bidang Matematik; anak Cikgu Abdul Razak Manaf (Ahmad Rosdan); anak Cikgu Jaafar Ismail (Zulkifli) ke Australia mempelajari arkitek; anak Cikgu Malek (Ramli) ke US mempelajari Seni Lukis; demikian juga anak-anak Cikgu Abdullah Saaban, Cikgu Abu Bakar Mohd Amin. Ini hanya sebahagian daripada mereka yang berkhidmat di Kuantan. Hal yang sama berlaku di kalangan guru-guru Melayu di daerah lain dan di negeri lain. Mereka merupakan golongan guru yang lebih dulu menyedari keperluan ilmu dan mengambil risiko mengorbankan masa, harta serta wang ringgit untuk menyekolahkan anak-anak.

Semasa YB Dato’ Sri Adnan Yaakob menjadi Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam dan Pendidikan Negeri Pahang ada dibuat usaha mengumpulkan anak-anak Pahang di IPT melalui Seminar Lonjakan Berganda Dalam Pembangunan Industri Pendidikan. Seminar yang diadakan di Kampus IKIP I pada 25-26 April 1988 itu berjaya mengumpulkan anak-anak Pahang, termasuk anak-anak bekas guru yang saya sebutkan di atas. Antara mereka ialah: Dr. Ishak Ismail (USM), Prof. Madya Dr. Abu Talib Ahmad (USM), Prof. Dato’ Dr. Abdul Monir Yaacob (UKM), Prof. Madya Dr. Rosihan Mohd. Ali USM), Dr. Baharuddin Mohamad, Dr. Yuserrie Zainuddin USM), Dr. Mohd. Najib Ahmad Dewa (USM), Prof. Madya Dr. Mohamad Muda (USM), Prof. Madya Dr. Mohamed Asin Dolah (KUIM), Dr. Abdul Malek Ismail (UPM), Prof. Madya Dr. Zuhaimy Haji Ismail (UTM), Prof. Madya Dr. Ahmad Bashri Sulaiman (UiTM), Dr. Hamdan Ahmad, Prof. Dato’ Dr. Osman Bakar (UM), Dr. Abu Talib Putih, Dr. Nordin Abdul Rahman (UPM), Dr. Ismail Ghani, Dr. Zaleha Kamaruddin (UIA), Dr. Nik Rahim Wajis (UIA), Dr. Samsar Kamar Abdul Latif, Prof. Dr. Adnan Alias UiTM), Prof. Dr Mohd. Ali Hassan UiTM), Prof. Ir. Dr. Mohamad Dahan Ramli (UTM), Prof. Madya Ir. Md. Salleh Mohd. Noh, Prof. Madya Ir. Ahmad Khan Said (UTM), Prof. Ahmad Rosdan Abdul Razak (ISI), Prof. Madya Dr. Hazadiah Md. Dahan (UiTM), Dr. Zainal Azam Abd. Rahman, Prof Madya Dr. Zalizan Mohd Jelas (UiTM). Kebanyakan nama di atas adalah mereka yang termasuk dari golongan anak-anak guru yang dinyatakan di atas itu tadi. Turut hadir ialah tokoh-tokoh pendidik setempat dan beberapa orang tokoh politik. Pihak pengelola telah melantik saya dan Ustaz Sulaiman Ismail membantu Prof. Adnan Alias merangka konsep, menyelaras kertas kerja dan membentuk resolusi. Tugas ini menjadikan saya mendapat banyak maklumat tentang keseluruhan Seminar.

Pamflet Seminar dua hari itu mencatatkan bahawa tujuan mengadakan seminar adalah untuk membincang dan mendapatkan resolusi untuk dimajukan kepada Kerajaan Negeri Pahang sebagai usaha meningkatkan martabat pendidikan negeri. Selain itu, seminar tersebut dapat menjadi pemangkin dalam usaha merealisasikan negeri Pahang sebagai pusat melahirkan golongan intelek berwawasan melalui kota pendidikan yang bakal wujud nanti. Pihak penganjur menghadapkan agar para intelektual anak Pahang di IPT seluruh negara yang dikumpulkan dalam satu wacana ilmiah ini dapat berinteraksi dan seterusnya memungkinkan wujudnya semacam kepekaan dan komitmen untuk meningkatkan martabat negeri dan meletakkan Pahang di persada pendidikan hingga ke peringkat antarabangsa.

Universiti Pahang ditubuhkan esok?

Objektif seminar itu nampak jelas. Kata kuncinya ialah menggunakan anak-anak Pahang di IPT untuk membantu meningkatkan martabat negeri Pahang melalui pendidikan.

Dato’ Adnan Yaakub yang pada masa itu menjadi Pengerusi Jawatankuasa Agama dan Pendidikan Negeri Pahang dalam ucap utamanya memberikan definisi dan kesan lonjakan berganda dan apa yang diharapkan hasil daripada tindakan itu. Beliau meragui usaha ini kerana menurutnya dalam pembangunan industri pendidikan, belum terdapat norma konvensional yang menampilkan fasa-fasanya. Ini, menurut beliau, menyukarkan penentuan lonjakan berganda itu sendiri. Dengan membuat rujukan terhadap senerio pendidikan global, beliau merincikan senerio pendidikan Pahang dengan memberi contoh penglibatan Yayasan Pahang, IKIP, Kolej Islam Pahang dan meningkatkan anak-anak Pahang mengikut jurusan Sains Tulen sebagaimana yang dilaksanakan di SMA Al-Ihsan, Kuantan dalam usaha mewujudkan golongan intelektual muslim-mukmin. Tidak lama selepas itu beliau dilantik sebagai Menteri Besar Pahang. Beliau tentunya mempunyai lebih banyak visi memajukan Pahang. Prof. Dato’ Dr. Ahmad Zainuddin semasa menjadi Pengarah Institut Peradaban Melayu di UPSI pernah memberitahu saya semasa saya mengunjunginya di UPSI bahawa beliau telah menghantar proposal kepada Dato’ Sri Adnan Yaakob tentang penubuhan Universiti Pahang (bukannya Universiti Malaysia Pahang!). Saya sendiri pernah melihat proposal itu sebelum beliau menceritakannya. ”Bagaimana peluangnya?” Tanya saya. ”Kita tunggu sajalah,” jawabnya dengan senyum terukir dibibir.

Demikianlah, kesedaran intelektual yang dipelopori oleh guru-guru Melayu sekitar 1950-an diteruskan empat dekad kemudian dalam skala yang lebih besar dan sistematik. Pandangan yang dilontarkan di akhir seminar amat mengesankan, malah ada peserta yang menyebutkan, dengan bilangan anak-anak Pahang yang bertugas sebagai pemegang tampuk di beberapa IPT sekarang, kalau hari esok pun mahu ditubuhkan Universiti Pahang kita boleh melaksanakannya. [Pandangan ini saya catatkan sebagai dilontarkan oleh Prof. Mohd Mansor Abdullah dari UTM].

Sebagai pencatat dan penyelaras seminar saya pun turut terheret ke dalam kancah mempercayai dan menikmati retorika yang menakjubkan itu. Saya ingat benar kata-kata falsafah entah dari siapa tetapi disebut semula dalam seminar itu, iaitu:

”Kalau kata-kata kamu dikeluarkan dari mulut, ia hanya sampai ke telinga; tetapi kalau dikeluarkan dari hati, ia sampai ke hati.”

Maka, saya percaya, kata-kata dalam seminar itu kebanyakannya dikeluarkan dari mulut. Kata-kata yang dikeluarkan dari hati, saya pasti, adalah kata-kata yang dikeluarkan oleh guru-guru Melayu tahun 1950-an itu tadi. Wallahu a’lam.

Catatan: Pada 23 Jun 2008 saya menyertai Wacana Pendidikan II anjuran Yayasan Pahang dan MAMPAN di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC). Wacana yang bertemakan Mahasiswa dan Kerjaya: Pengayuh Sama Di Tangan, Perahu Sama Di Air itu menjemput dua tokoh anak Pahang iaitu Dato' Sri Nazir Razak dan Prof. Dato' Dr. Ahmad Haji Zainuddin sebagai penceramah undangan. [O, ya! Ingin saya catatkan di sini bahawa tema Wacana itu adalah cadangan daripada saya, dan saya sangat berbesar hati kerana Pengurus Besar Yayasan Pahang telah menerima cadangan saya itu. Definisi tema telah saya sertakan di dalam kertas cadangan]. Dato' Sri Haji Adnan Yaakob menyampaikan ucap utama. Tanpa disangka-sangka saya bertemu Prof. Madya Dr. Yuserrie Zainuddin dari USM yang merupakan salah seorang peserta Seminar Lonjakan Berganda sepuluh tahun yang lalu. Beliau dengan penuh minat bertanyakan perkembangan hasil Seminar itu. Rupa-rupanya bukan saya seorang sahaja yang teringatkan Seminar Lonjakan itu. Semasa berehat, menunggu ketibaan MB dan Penceramah di Bilik Menunggu sambil menikmati sandwic, kami (Prof. Ahmad Haji Zainuddin, Prof. Madya Yuserrie dan saya) terus memperkatakan soal Universiti Pahang dan Universiti Malaysia Pahang. Saya mendapat banyak maklumat tentang hal ini, yang sebelumnya sama sekali tidak saya ketahui. Terima kasih kepada Dr. Yuserrie kerana memberikan saya booklet dan CD terbitan USM yang berjudul: SAINS @ USM - Synergising creativity, nuturing enterprise.

Barangkali, kalau boleh ditanya, para peserta Seminar Lonjakan Berganda yang diadakan 10 tahun lalu oleh Yayasan Pahang dan Kerajaan Negeri Pahang itu, berapa peratuskan anak-anak Pahang yang dipercayakan bertugas di UMP sekarang? Harap-harapnya, bukanlah anak-anak Pahang berada di kumpulan sokongan sahaja, bahagian profesional dan penentu dasar janganlah diisi oleh orang-orang dari sesuatu negeri sahaja (yang itu bukannya Pahanglah tentunya).



7 comments:

emmet said...

seronok baca kenangan2 tuan.

kalau-kalau tuan kenal ibu saya cikgu halimah hj ahmad, pernah mengajar di mersing, rompin, pekan dan kuantan.

YAAKUB ISA said...

Terima kasih. Saya tidak berapa pasti. Siapa nama suaminya (iaitu bapa Saudara)? Saya akan cuba jejaki, insya Allah.

Cendanawangi said...

Assalamualaikum Tuan,
Singgah sekejap di laman blog Tuan, Jenguk ke ruang tamunya. menggarap pengalaman Tuan, sempat mengimbau kenangan, membawa pulang pengetahuan berharga.

Semoga terus berkarya...

Salam hormat dari saya di:
http://cikguwahab.blogspot.com/

YAAKUB ISA said...

Terima kasih Cikgu Wahab,

Mari kita cuba ketengahkan isu pendidikan yang nampaknya tidak berapa dipedulikan oleh ramai orang dalam suasana negara sekarang, pada hal setiap mereka mempunyai kaitan dengan guru-guru lama ...

Cikgu Wahab: said...

Assalmualaikum Tuan,
Suatu idea yang amat baik jika isu pendidikan dapat diketengahkan.

Ada pengunjung blog saya yang memberi komentar: "Semoga sdr berjaya dengan usaha sdr membawa isu pendidikan melalui blog saudara. Jangan putus asa kerana pengalaman memberitahu bahawa isu-isu pendidikan kurang mendapat perhatian. Anehnya guru-guru sendiri tidak berminat. Ia seperti musim durian... Pilih isu (bukan isi). Isu politik yang paling diminati..."

Tuan, itu seperti satu tamparan hebat.Berdesing telinga, tersentap rasa mengakui kebenaran itu.

Sempat saya memujuk hati : Jangan putus usaha.
Terima kasih.
http://cikguwahab.blogspot.com/

YAAKUB ISA said...

Cikgu Wahab,
Jangan terasa hati, teruskan. Saya sedar banyak bekas guru yang ada laman web dan menceritakan kisah/isu semasa bertugas. Patut sangat orang-orang di JPN lantik seorang pegawai untuk monitor blog begini - ada pandangan positif. Sebagai contoh: pemilihan Tokoh Guru menjadi tidak efektif, kerana apa maknanya tokoh kalau tidak diminta jasa mereka, malah Perayaan Hari Guru pun tak pernah dikirimkan kad jemputan... mungkin takut terganggu persedian bahan bagi majlis jamuan teh mereka!

YAAKUB ISA said...

Sdr Emmet,

Hari ini (3 Ogos) saya fikir saya mendapat maklumat tentang Ibu Sdr iaitu Cikgu Halimah Haji Ahmad. Adakah beliau ini kakak kepada Dato' Abu Ishak Haji Ahmad (bekas DO dan Pengarah Jabatan Agama Pahang?). Cikgu Halimah dikatakan menetap di Taman Bukit Setongkol, dan suaminya Encik Embong atau Encik Endut. Saya mahu mencari ...