Hati Penulis
Saya fikir seorang penulis mempunyai tahap-tahap kepuasan hatinya tersendiri dalam berkarya. Penulis kecil, melihat namanya tersiar bersama-sama karya – katakanlah sebuah puisi, cerpen atau artikel – cukup menerbitkan rasa puas, dan kalau boleh menggunting, membuat salinan fotostat malah memasukkannya ke dalam frame atau clear holder akhbar atau majalah yang menyiarkan karyanya itu baik untuk ditunjukkan kepada sesiapa sahaja yang ingin menghargai kebolehannya itu atau menikmatinya sendiri.
Selepas itu tahap kepuasannya mungkin meningkat apabila tulisannya disiarkan dalam jurnal atau majalah yang terkenal, atau novel ciptaannya diterbitkan, atau cerpen dan sajaknya dimasukkan di dalam antologi dan diperkatakan di khalayak. Hatinya lebih kembang kalau tulisannya dijadikan bahan rujukan pula dalam tesis mahasiswa atau dijadikan bahan untuk seminar yang dihadiri oleh ratusan peserta. Pada masa itu, berapa nilai royalti yang diterima hasil karyanya itu telah tidak menjadi soal. Kepuasan bukan diukur dengan wang ringgit.
Hey, buku aku rupanya!
Sesekali pergi ke kedai buku ternampak buku tulisannya disusun sebaris dengan karya penulis lain di atas rak. Alangkah gembiranya! Kalau boleh ingin menunggu di kedai buku itu untuk melihat ada orang yang membeli bukunya: sebuah pun jadilah.
Pergi ke perpustakaan pun terlihat ada bukunya di susun rapi. Melayari komputer perpustakaan, melalui perisian OPEC cuba dicari namanya di atas talian. Hey! Namaku, nama bukuku, siap dengan nombor panggilan, nombor ISBN, Data Pengkatalogan-dalam-Penerbitan, semuanya ada belaka. Seronok.
Kesan keseronokan ini mungkin hanya wujud pada diri penulis kecil. Penulis mapan yang ratusan judul telah diterbitkan atau buku-bukunya telah dijadikan buku teks di sekolah, tidak pernah memikirkan ini semua. Kepuasannya mungkin pada tahap lain.
Carian Google
Suatu hari, melalui program carian Google saya cuba memasukkan nama saya untuk aktiviti carian. Kerja itu saya lakukan memang secara sengaja untuk membuang waktu. Tetapi alangkah terkejutnya apabila mendapati buku saya ada di Library of Congress (http://www.loc.gov/). Bagaimana nama saya dan buku penulis kerdil dari Kampung Kiambang, Ganchong, Pekan, Pahang ini berada di dalam perpustakaan terbesar dan tersohor di dunia? Di negara orang pula tu!
Saya terus melayari laman web Perpustakaan Negara Amerika Syarikat itu dan mendapati ada enam buah buku saya tersimpan di sana, di dalam Bilik Thomas Jefferson, iaitu Hukum Kanun Pahang; Idealisme dan Pemikiran Tun Abdul Razak; Raja Donai Bahtera Kulit Kacang (edisi 87); Kamus Bahasa Melayu Klasik; Almanak Pendidikan dan Raja Donai Bahtera Kulit Kacang (edisi DBP). Ini di luar pemikiran saya sama sekali. Perpustakaan Awam Pahang di Kuantan sendiri tidak menyimpan sebahagian daripada buku itu.
Saya cuba pula melayari laman web British Library (http://www.bl.uk/) untuk meneliti katalognya. Di situ juga tersenarai buku saya Hukum Kanun Pahang; Kamus Bahasa Melayu Klasik; Almanak Pendidikan dan Raja Donai Bahtera Kulit Kacang (edisi DBP).
Di National Library Board Singapura (http://www.vistaweb.nlb.gov.sg/) juga ada buku saya, iaitu Hukum Kanun Pahang; Idealisme dan Pemikiran Tun Abdul Razak; Kamus Bahasa Melayu Klasik; Raja Donai Bahtera Kulit Kacang (edisi DBP); Peterana Kasih; dan Tulisan Jawi: Sejarah, Seni dan Warisan. Buku-buku ini juga terdapat di semua perpustakaan daerah di Republik itu.
Buku yang diusahakan bersama dengan Amaruszati Noor Rahim dan Ahmad Farid Jalal yang berjudul Tulisan Jawi: Sejarah, Seni dan Warisan juga terdapat di National Library of Australia (http://www.nla.gov.au/).
Usaha orang lain mengumpul pelbagai bentuk hasil tulisan, yang mungkin tidak diperhatikan langsung oleh pihak berwajib negara kita, mestilah ada faedahnya bagi bangsa mereka. Banyak yang patut dipelajari tentang ini sedangkan orang tua-tua kita ada berkata:
Menjangkau serentang tangan
Memikul sekuat bahu
Melompat seayun langkah
Berkata sepanjang akal
Mengurangi sia-sia
Melebihi sebaik-baik
Yang bongkok makanan sarung
Yang bengkok makanan tali.
Berpikir pelita hati
Tenang seribu akal
Terasa lemak jangan ditelan
Terasa pahit jangan diluahkan
Berjalan menjaga langkah
Berkata pelihara lidah
Hidup bak pucuk aru
Mengikut ke mana arah angin
Iyakan yang di orang
Lalukan yang di awak
Telunjuk lurus kelingking berkait.
Mati bertongkat budi
Hidup berkerelaan.
1 comment:
Itulah Dato', kita dapat lihat bagaimana orang Barat menghargai ilmu. Kira hebat juga buku-buku Dato' tersenarai di perpustakaan-perpustakaan tersohor.
Post a Comment