Pengalanan Baru
Tahun pertama menjadi mahasiswa di Universiti Malaya memang banyak benar memberikan pengalaman baru kepada saya. Pertama peluang bergaul dengan ‘budak-budak’ yang baru menyelesaikan pengajian menengah baik melalui aliran Melayu mahupun Inggeris. Keduanya menyesuaikan diri dengan alam akademik yang belum pernah dirasai.
Rata-rata kumpulan mahasiswa yang dikategorikan sebagai fresh from school itu merupakan remaja yang baru lepas daripada kawalan total ibu bapa, terutamanya mereka yang dari luar bandar. Mereka ini semasa menghadiri kelas tutorial agak kurang menyerlah. Mungkin ada rasa segan kepada golongan veteran.
Mereka kebanyakannya periang dan merekalah yang kerap menghadiri majlis ball di Dewan Tunku Canselor hampir setiap malam hujung minggu. Pelbagai jenis ball diadakan – yang entah apa-apa namanya. Ada yang diadakan atas nama mengutip derma, ada yang dijadikan aktiviti khusus dan sebagainya. Majlis begini juga diadakan di Kolej Kediaman yang pada 1969 hanya ada lima buah, iaitu Kolej Pertama, Kolej Kedua, Kolej Ketiga, Kolej Keempat dan Kolej Kelima. Ada sebuah lagi kolej tetapi tidak dinamakan kolej keenam, sebaliknya dinamakan Kolej Klinikal yang khas untuk mahasiswa Fakulti Perubatan.
Mereka yang tidak mendiami sebarang kolej ada pula organisasinya, iaitu Non-Hostelites Organisation (NHO). NHO juga turut mengadakan ball, biasanya meminjam DTC.
Saya tidak ingat lagi secara persis bila masanya UM memulakan sesi akademiknya setelah ditutup akibat Peristiwa 13 Mei. Tapi, mungkin dua minggu setelah 13 Mei. Pada masa itu perintah berkurung telah dikendurkan secara berperingkat.
Di Kampus kami tidak mengingati lagi peristiwa hitam itu. Di DTC terdapat senarai panjang nama mereka yang dikehendaki menelefon balik ke rumah masing-masing kerana sepanjang peristiwa 13 Mei mereka tidak dapat dihubungi. Nama saya juga terdapat di dalam senarai itu. Tetapi, mana caranya saya hendak menelefon kerana rumah saya tiada telefon. Seluruh kampung saya tiada talian telefon. Lagi pun saya tidak tahu siapa yang menelefon saya. Baik saya diamkan sahaja.
Bertemu Kawan Lama
Kuliah telah bermula dan kami tenggelam dalam aktiviti akademik. Saya menemui semula kawan-kawan semasa di SITC dulu dan kami secara tidak sedar membentuk satu kelompok yang tersendiri dan unik. Bertemu semula dengan Abdul Rahman Abas, Abdul Aziz Abadan, Abdul Latif Ali, Abdul Wahab Ali, Abdul Wahid Abdul Rahman, Abdullah Awang, Ahmad Abdul Rahman, Ahmad Janor, Amin Abdul Rahman, Baharaldin Samian, Baharuddin Awang, Hamdan Abdul Rahman, Haron Musa, Harun Hassan, Harun Rejab, Hashim Mohammad, Ibrahim Yahaya, Ismail Haji Ali, Ismail Ibrahim, Ismail Idris, Karim Man, Khalid Ahmad, Md. Jun Jais, Mohd. Hanafiah Ishak, Mohd. Yusof Ahmad, Mokhtar Shukor, Muhammad Maarof, Omar Malek, Ramli Mohd Noh, Saiyed Ahmad Saiyed Yassin, Salleh Akib, Talkah Abdul Rahman, Yahaya Othman, Yahya Othman @ Man, Yusof Abdul Rahman, Yusof Ahmad, Zaidin Mahmud, Zainal Abidin Mohd. Noor, Zakaria Puteh memang mampu membina beberapa buah kisah yang memelikkan!
Pada minggu pertama selepas pendaftaran kami mengenali beberapa kumpulan yang kadang-kadang menamakan diri mereka sebagai sindiket nota. Tugas anggota sindiket ini ialah menjual nota dalam beberapa bentuk: ada menjual esei tutorial yang kononnya mendapat markah ‘A’ yang siap berjilid tidak begitu rapi; ada pula (dan ini yang banyaknya) menjual nota kuliah yang kononnya disalin in verbatin semasa pensyarah menyampaikan syarahan; ada pula yang menjual tesis BA dan MA yang tidak dijilid; malah ada yang menjual soalan objektif yang entah dari mana datangnya.
Sebagai orang baru, ramai yang terpengaruh dengan hal nota-menota ini; terutama bagi mata pelajaran ekonomi, linguistik, bahasa Arab, sejarah – malah apa sahaja yang disogokkan.
Khabarnya, mereka yang terlibat dalam penyediaan dan penjualan nota ini boleh tahan juga lumayan habuannya. Khabarnya juga, ada orang dalam yang boleh diminta mencari nota pensyarah. Modus operandinya amat sederhana. Teman kita ini biasanya bertugas menggelek nota menggunakan mesin saiklostail dan tidaklah salah bagi beliau untuk menyimpan satu dua salinan bagi kegunaannya. Salinan inilah kemudiannya tembus kepada ahli sindiket untuk dibuat beratus-ratus salinan lain.
Demonstrasi
Selepas beberapa bulan kegiatan yang berhujungkan kepada aktiviti akademik ini menjadi taga. Kini timbul pula kegiatan baru yang memungkinkan dewan kuliah dan bilik tutorial ditinggalkan. Fenomena baru ini memang bermula dari kegiatan di atas sebuah pentas batu di sebelah kiri pintu besar Perpuatskaan. Kegiatan di atas batu itu mulanya diadakan pada pagi Sabtu, tetapi semakin lama semakin kerap diadakan: bukan sahaja pagi, malah petang pun diadakan juga.
Sekiranya ada orang berpidato di atas pentas batu itu, kalau menarik wacananya, mereka yang berhajat untuk mencari buku atau membaca di Perpustakaan terlekat di situ; begitu juga mereka yang keluar dari Perpustakaan untuk menghadiri kuliah atau tutorial turut terpacak di situ juga. Maka ramailah khalayak yang mendengar cong pemidato.
Tokoh yang kerap dinanti-nanti kerana ucapan yang penuh retorika pada 1969 dan 1970 itu tentulah tidak lain daripada Sdr Anwar Ibrahim. Ada tokoh lain seperti Sdr Syed Hamid Ali (Kelab Sosialis Universiti Malaya) dan Jai Mohan, Abu Salihu, Nordin Razak, Karim Man, Megat Junid Ayob, Zainal Abidin Yusof, Choong Lai Huat (UMSU) yang kerap berpidato di Speakers' Corner; tetapi ketrampilan mereka memang tidak boleh menandingi tokoh yang seorang lagi itu.
Untuk berpidato di Speakers’ Corner (demikian pentas batu itu diberi nama khasnya) tak perlu banyak alatan diperlukan. Sebuah hailer biasa sudah memadai. Tak perlu ada alat bantu seperti gambar, carta, slaid atau apa sahaja. Setiap hujah yang diberikan senang sangat dipercayai atau tidak dipercayai. Itulah yang dikatakan cong itu tadi. Dan, yang penting, tidak ada orang menghalang anda untuk berpidato. Anda boleh berpidato sehingga anda seorang sahaja yang tinggal di situ... mendengar pidato anda sendiri!
Kawasan itu biasanya teduh daripada panas matahari kerana terdapat beberapa batang pohon ketapang yang bertindak sebagai kanopi di sekelilingnya; tetapi memang tidak boleh terselamat daripada serangan hujan.
Isu yang selalu diperkatakan pada masa itu kebanyakannya isu dalaman, yang bermula daripada persoalan dasar concurrent bilingualisme yang diamalkan oleh UM di bawah tadbiran Pak Ungku Aziz, hinggalah pelaksanaan bahasa Melayu pada papan tanda di sekitar Universiti. Isu kedua ini berakhir dengan tindakan mengecat papan tanda berbahasa Inggeris dengan cat warna hitam. Ini adalah tindakan PBMUM dan sekali lagi, dikepalai oleh Sdr Anwar Ibrahim juga.
Isu ini ditanggap oleh pentadbiran UM dengan sewajarnya. Tidak lama mereka mengambil masa menukar semua papan tanda nama ke bahasa Melayu.
Penyertaan khalayak kampus dalam beberapa demonstrasi agak sederhana. Saya pernah melihat dalam satu demonstrasi sekeliling kampus yang Profesor Dr. Syed Muhammad Naquib al-Attas turut serta. Basah baju (dan janggut) Dekan Fakulti Sastera itu berjalan kaki di lingkaran jalan raya yang panjangnya kira-kira empat batu itu.
Kemudian timbullah isu yang lebih berat. Kali ini Sdr Anwar Ibrahim mengepalai kempen anti-Tunku Abdul Rahman Putra menggunakan PBMUM sebagai wahana perjuangannya. Antara tokoh yang dijemput memberikan ceramah di Kampus UM ialah Dr. Mahathir Mohamad yang pada masa itu dilucut keahliannhya daripada UMNO. Surat Dr. Mahathir kepada Tunku yang disebarkan secara bebas di kalangan mahasiswa sempat beredar beberapa hari sebelum kerajaan mengharamkan pengedarannya. Tetapi sebenarnya isi surat itu telah diketahui oleh semua orang. Ceramah Dr. Mahathir di Dewan Kuliah Fakulti Pendidikan padat dihadiri oleh entah sesiapa - maksudnya bukan hanya mahasiswa - sehingga dewan itu terpaksa dibuka dinding penghadangnya untuk memuatkan sekali ganda lagi pendengar.
Berita dari kampus UM kerap keluar di Far Eastern Economic Review (FEEC) berbanding akhbar dan majalah di tanah air. Bolehlah diagak mengapa jadi begitu. Sidang akhbar cukup hanya dibuat di atas rumput di tepi longkang depan Art Concourse. Tak payah pakai bilik dan mikrofon segala. Semuanya pemberita luar negara.
Memorandum meminta Tunku berundur dari jawatan PM turut disampaikan oleh PBMUM yang sekali lagi dikepalai Sdr Anwar Ibrahim melalui pegawai khas JPM pada masa itu Dato’ Abdullah Ahmad. Kalau tidak salah ingatan saya, Encik Abdullah Ahmad Badawi juga berkhidmat di jabatan yang sama kerana tidak lama kemudian beliau dilantik sebagai Setiausana MAGERAN, di bawah Tun Abdul Razak sebagai Pengarahnya.
Encik Abdullah Ahmad Badawi pernah menjadi Tutor Bahasa Arab kami. Saya meminati cara pengajaran beliau yang lemah lembut, dan kalau sepatah dua saya mengetahui bahasa Arab sekarang, itu adalah hasil daripada pengajaran beliau, bersama-sama Pensyarah mata pelajaran bahasa Arab yang sangat berketrampilan iaitu Dr. Ismail Nawab, seorang orang Arab dari Makkah yang terlatih di Inggeris.
2 comments:
Saya terjumpa blog ni bila tengah google "syed hamid ali". Saya tengah cari maklumat tentang aktivisme dia masa zaman UM dulu.
Saya sangat tertarik dengan cerita pasal Speakers' Corner UM dalam tulisan ini. Deskripsi yang paling detail pernah saya baca tentang sudut pidato bersejarah tu.
Kalau boleh banyakkan lagi tulisan 'Kisah dari UM'! Mungkin boleh cerita sikit pasal "Manifesto Mahasiswa" yang dikeluarkan oleh PMUM sebelum PRU 1969.
Sdr Fahmi,
Terima kasih kerana 'terbaca' blog saya ini. Insya Allah saya akan usahakan hasrat Sdr itu.
Post a Comment