Sunday, December 28, 2008

Hidangan Pelik di Restoran Ternama

Ikan Berdiri

Bunyinya memang agak pelik didengari. Ada hidangan ikan berdiri. Hidangan ini hanya terdapat di restoran tertentu di Indonesia, tepatnya restoran kelas atasan atau di sana disebut 'kelas kakap'. Sesuai dengan gengsi restoran berkenaan, harga ikan itu tentulah mahal pula.

Kisahnya bermula dengan pertemuan kami dengan Dr. J. Goenawan, tuan punya BTG (Bimbingan Test Goenawan) di Jakarta pada 25 September 2004. Perancangan awal kami bertemu di Universitas Trisakti, tetapi kami hanya melawat universiti tersebut memandangkan institusi pimpinan Dr. Goenawan (Jalan Pulomacan Raya 48-50, Tomang, Kode Pos 11400 Jakarta Barat, h/p 0818736324) lebih dekat dengan matlamat kami untuk mengirim anak-akan KIPSAS melanjutkan pengajian ke Indonesia.


Ikan berdiri, Pak Goenawan dan Ny. Goenawan


Jadi, pertemuan lanjut kami teruskan di Hotel Ibis Tamrin.

Selepas berbincang, Dr. Goenawan menjemput kami makan tengah hari di sebuah Rumah Makan yang terletak di Jalan Sabang. Ramai juga yang ikut serta sebagai tamu Pak Goenawan tengah hari itu: Dato’ Abdul Razak Abu dengan isteri; Haji Taslim Sarbini, Atace Pendidikan Kedutaan Malaysia; Dr. Goenawan dan isteri; Abun dengan Atje serta anak mereka Rachma dan Rhaidy; serta saya sendiri dengan Nurziah. Pemandu Dr. Goenawan tidak ikut serta (mungkin segan, kata Nyonya Goenawan!).

Oh, ya! Yang saya hendak ceritakan dalam blog ini bukan tentang Dr. Goenawan sangat. Itu, yang ikan berdiri tadi.


Haji Taslim, Pak Gunawan dan ikan berdiri

Makanan yang dipesan oleh isteri Dr. Goenawan pelbagai. Ada burung merpati, ayam goreng (ayam kampung, tentunya), ikan kukus, jus kelapa muda, pelbagai jus dan banyak lagi. Melebihi keperluan makan tengah hari biasa kami. Dan, termasuk dalam menu adalah ikan berdiri itu tadi.

Bagaimana ikan berdiri itu? Sebenarnya ikan jenis ikan kaloi (orang Indonesia kerap menyebut ikan emas, barangkali), bentuknya seakan-akan ikan talapia. Kalau ikan talapia, tulangnya lembut, tetapi yang ini keras.

Ikan berdiri, Dato' Abdul Razak dan Datin Azizah

Dikatakan ikan berdiri kerana ikan itu dipotong dengan cara yang khas yang kemudiannya dimasak dengan cara deep fry (mungkin ada alat yang memegang ikan itu semasa dimasak untuk menjadikan tubuhnya tegak dengan ekor dan bahagian daging yang dibelah bertindak sebagai ’kaki’ sehingga membolehkan ikan itu dihidang dalam keadaan berdiri, dengan kepalanya dan sirip belakang tercacak, yang menampakkan sejenis citra 'garang'.

Ikan berdiri, Abun, Rachma dan Rhaidy

Sepanjang yang saya tahu, di tempat kita belumlah ada restoran yang menyediakan menu serupa ini.

Tentang rasa ikan tersebut, saya tidak terasa sebarang keistimewaan. Sama sahaja dengan ikan yang digoreng dengan minyak yang banyak atau deep fry itu tadi. Hidangan ini menjadi mahal bukan kerana rasanya, tetapi... kerana branding dan re-brandingnya.

Pak Goenawan, ikan berdiri dan Ny. Goenawan

Memanglah, dalam dunia perniagaan dan pengurusan moden, branding merupakan satu ciri penting untuk menentukan harga, populariti dan citra penerimaan pelanggan. Bukankah baru-baru sebuah stesyen TV berbayar ada menyiarkan kisah perbahasan umum di antara tikus dengan hamster?

Begini kisahnya: Tikus yang merasa pelik, cemburu malah hangat hati menghujah hamster, mengapakah mereka dianianya manusia dengan diracun, diperangkap, diburu dan terpaksa tinggal di bawah rumah, di celah-celah longkang yang kotor dan hanyir serta menerima pelbagai cacian dan penghinaan, termasuk dari kalangan kucing yang tak putus-putus memburu kaumnya; manakala hamster disediakan bekas yang bersih, siap dengan tempat berpusing, tangga besi cantik dan terowong lut sinar untuk melakukan latihan jasmani setiap malam, makanan yang enak-enak seperti bijirin jagung, biji bunga sunflower, kuaci, kekacang dan lain-lain yang serba enak. Pada hal, demikian menurut tikus, mereka dari kelompok haiwan spesis yang sama: roden, kata orang putih.

Hamster rupa-rupanya menunggu saat tikus menamatkan hujahnya untuk membalas dengan nada lembut dan santun: ”Wahai Kak Ti, ini semuanya disebabkan branding: Kak Ti tikus sedangkan saya hamster!”

6 comments:

simantanguru said...

Dato'
Banyak pengetahuan yang saya perolehi membaca posting terkini. Sudah lama tidak membaca "raw-material" (bahan pengalaman on-site) yang unik seumpama ini. Terima kasih Dato' kerana memperluas khazanah minda ini.

YAAKUB ISA said...

Terima kasih. Mengapa diubah laman Blog? Yang laman lama itu memang ada masalah dengan waktu sembahyang kerana ia mengganggu program yang lain.

Selamat Tahun Baru Hijriah. Semoga terus mengerjakan blog...

NoRT said...

best baca blog org yg bnyk pengalaman.. harap bacaan dr blog2 mcm ni dapat mematangkan sy... Salam tahun bau,Dato..

YAAKUB ISA said...

Terima kasih kerana perhatian dan komen tentang Blog saya, NoRT. Selamat dan Salam.

TWS said...

Salam Dato',
Tertarik mengenai isu 'branding' tikus dan hamster...

Nota: Terima kasih kerana melawat blog saya. Sila hubungi saya di talian 019-253-9900 untuk maklumat lanjut mengenai pertanyaan Dato'.

yginsaf.com said...

exotic kannns..