Thursday, December 18, 2008

Menyertai Pertandingan Drama

Tahun pertama mengajar di Jerantut sebagai guru siswazah merupakan pengalaman yang serba baru dan mencabar. Sekolah ini mempunyai dua aliran, iaitu aliran Melayu dan aliran Inggeris. Aliran Melayu lebih dikenali sebagai Darjah Menengah Melayu (DMM). Pelajar dari Sekolah Cina dan Tamil yang ingin mengikuti aliran Inggeris terpaksa melalui Kelas Peralihan selama setahun; sebaliknya mereka yang bersekolah Inggeris pada peringkat rendahnya boleh terus menyambung dalam Form One. Darjah Menengah Melayu khas untuk pelajar dari Sekolah Kebangsaan. Ada juga ibu bapa yang anaknya bersekolah rendah dalam aliran Inggeris memilih masuk ke DMM, dan mereka ini tidak perlu mengikuti Kelas Peralihan.

Saya ditugaskan mengajar mata pelajaran Bahasa Melayu bagi Tingkatan 4 dan Tingkatan 5 kelas aliran Inggeris. Tingkatan 5 ada dua kelas, iaitu Tingkatan 5 Sains dan Tingkatan 5Sastera. Demikian juga Tingkatan 4.

Salah satu perkara yang memberatkan saya ialah mulai 1972 pelajar-pelajar bukan Melayu tidak lagi ditawarkan mata pelajaran Bahasa Kebangsaan dalam peperikaan Federation of Malaya Certificate of Education mereka, sebaliknya mereka terpaksa mengambil kertas Bahasa Melayu, sama seperti pelajar aliran Melayu. Saya dapati semua pelajar bukan-Melayu saya sangat lemah bahasa Melayu mereka, misalnya mereka belum boleh membina ayat untuk membuat karangan, apatah lagi menggunakan imbuhan secara betul.

Saya terpaksa menjalankan kelas Bahasa Melayu dalam kelas yang bercampur, dengan komposisi Melayu, Cina dan India yang hampir sama banyak.

Buku teks yang digunakan pada masa itu ialah buku yang diterbitkan di Kluang. Saya tidak tahu mengapa sekolah memilih buku teks yang ini, pada hal masih ada buku lain yang diterbitkan di pasaran. Penukaran buku teks memang tidak boleh dibuat.

Saya tidak bimbang sangat dengan pelajar-pelajar Melayu saya. Pelajar bukan Melayu memang saya risaukan sangat. Pelajar-pelajar Cina kebanyakannya datang dari Sungai Jan, Sungai Lekok, Batu 67, Batu Balai, Damak yang semuanya merupakan kawasan kampung baru yang semuanya bangsa Cina. Pergaulan dengan anak-anak Melayu hanya berlaku apabila mereka masuk ke sekolah menengah. Pertuturan bahasa Melayu mereka sangat pelat. Tapi, pertuturan ini bukannya menjadi masalah sangat bagi saya. Yang menjadi masalahnya ialah kebolehan mereka mengeluarkan idea dalam bahasa Melayu semasa menjawab kertas soalan nanti.

Selain menggunakan sepenuhnya buku teks terbitan Kluang tadi, saya dedahkan pelajar-pelajar saya dengan bahan tambahan: termasuklah buku keluaran Longman, karangan Zainal Abidin Ali (bekas Pengetua SITC), rencana pengarang akhbar harian dan artikel daripada majalah.

Satu lagi fenomena yang berlaku pada zaman itu ialah perubahan sistem ejaan dalam tulisan rumi. Tidak ada lagi ch, sh, kh, ditambah pula dengan aspek tatabahasa yang melibatkan keselarasan vokal, imbuhan, istilah dan partikel yang ikut mengalami perubahan. Meskipun perubahan itu tidak berapa banyak, tetapi sangatlah besar maknanya pada anak-anak murid saya dari kaum Cina dan India. Di hujung segala kesukaran itu berdirilah saya keseorangan!

Pelajar-pelajar saya seperti Woh Teng Sang dan kakaknya Woh Mei, Fong Kum Lian, Bavani, Chay Mei Kwong, Silvalingam dan Muttusamy memang bersungguh-sungguh mengikuti kelas saya, tetapi mereka hanya ada beberapa bulan lagi di hadapan sebelum menduduki peperiksaan. Mereka nampaknya gembira belajar, tetapi jauh di lubuk hati saya, saya menjangka mereka bermasalah untuk lulus, walaupun hanya mencapai P7 dan P8. Tapi, sebagai seorang guru, saya tidak pernah menampakkan kebimbangan ini di hadapan mereka. Saya tak sanggup menampakkannya.

* * *

Mementaskan Serunai Malam

Guru Besar menyampaikan kepada saya surat siaran Jabatan Pelajaran Pahang menjemput sekolah-sekolah menengah menyertai Pertandingan Drama Peringkat Negeri yang akan diadakan di Kuantan pada tahun itu. Pertandingan ini memang diadakan secara terbuka, tanpa diadakan sebarang saringan. Beliau meminta pandangan saya sama ada sekolah mahu menyertainya atau tidak, dan kalau mahu, sayalah yang bakal menguruskannya.

Skrip drama yang bakal dipertandingkan telah ditetapkan. Skrip yang saya pilih, kalau kami menyertainya, ialah Serunai Malam, karya Usman Awang. Saya sangat biasa dengan skrip itu, malah telah membacanya beberapa kali sebelum itu. Minat saya terhadap skrip tersebut ialah bahasanya yang sangat puitis dan memukau, di samping temanya yang sangat sesuai dengan jiwa orang sentimentalis, meskipun saya tidak berapa tergolong dalam kumpulan itu.

Selain itu, saya agak rapat dengan penulis terkenal itu. Semasa mengikuti kuliah di UM saya tinggal dalam kawasan perumahan yang sama dengan Usman Awang. Selain beliau, kawasan kami – Seksyen 14 Petaling Jaya – turut didiami oleh beberapa penulis ternama, termasuklah Sasterawan Keris Mas yang berjiran pula dengan Bung Karim Abdullah (kedua-duanya orang Pahang); Awamil Sarkam dan Mohd. Affandi Hassan; sementara tidak jauh dari situ rumah Mustapha Kamal Yassin (beliau tinggal di Seksyen 20) dan penyair-pelukis A. Latiff Mohidin yang pada masa itu baru pulang dari Jerman tinggal di Sea Park, tidak berapa jauh dari kawasan kami. Saya selalu menumpang kereta Opel kepunyaan Usman Awang yang berwarna kelabu itu sekiranya beliau menghadiri kegiatan sastera di KL, termasuklah di Lincoln Center, iaitu sebuah pusat kegiatan kebudayaan milik Kedutaan Besar Amerika Syarikat di KL dan di DBP.

Maka saya pun mulailah mencari sokongan. Cikgu Mohd. Khalib Awang Mohd. Yusof memberi sokongan, tetapi dari awal lagi menyatakan tidak sanggup membantu saya menguruskan aktiviti itu kerana tugas lain yang terpaksa dipikulnya. Bantuan beliau dalam hal lain, termasuk merakamkan lagu dan seumpamanya beliau sedia memberikan, kerana beliau mempunyai alat perakam.

Saya juga meminta pandangan beliau dan Cikgu Ahmad Daras tentang pelajar yang boleh diketengahkan untuk memegang peranan dalam persembahan nanti. Dalam hal ini, beliau sangat membantu, kerana beliau berpengalaman dan mengenali calon-calon pelakon disebabkan beliau telah lama di sekolah itu.

Akhirnya terpilihlah: Rabiah Abdul Manah (DMK5), Jumiah Ismail (F5A), Zaini Mohd Yunan (F4A), Zaharuddin (DMK5), Zainon Ismail (DMK5), Kalthum Yaakub (DMK4A), Azizan Yaakub (DMK4A) menganggotai barisan pelakon yang bakal menjayakan Serunai Malam. Latihan dimulakan. Mula-mula membaca dan menghayati skrip. Ini diikuti dengan memilih watak, dan seterusnya menghafal skrip dan menghayati watak masing-masing. Beberapa hari selepas itu latihan lakonan dimulakan: semakin hari semakin bersungguh-sungguh.

Kami ke Kuantan menaiki bas. Saya minta Cikgu Ahmad Daras ikut sama membantu. Di Kuantan, untuk bergerak ke sana sini saya meminjam kereta Morris Minor kepunyaan Abang Othman.

Kami tidak membawa sebarang alat untuk prop. Alat yang disediakan oleh tuan rumah tidak seberapa: hanya kerusi meja begitu sahaja. Rupa-rupanya kami memerlukan telefon dalam persembahan itu, jadi saya bergegas ke Pejabat Telefon di bandar Kuantan. Nasib baik salah seorang pekerja di situ orang kampung saya; melalui Sulaiman saya tidak menghadapi masalah meminjam sebuah ganggang telefon. Itulah antara modal persembahan kami.

Persembahan berjalan dengan baik. Pasukan kami menggunakan kesan bunyi yang agak baik, dengan latar belakang lagu Serunai Malam yang menarik. Pasukan SMJ mendapat Naib Johan dalam pertandingan itu. Walaupun tidak berjaya menjadi Johan, kejayaan pertama ini sangat membanggakan para pelakon.

Tahun berikutnya pertandingan tidak diadakan. Dan, seingat saya, sepanjang saya di Jerantut sehingga 1979 tiada lagi pertandingan seumpama itu. Usaha membentuk perwatakan pelajar melalui drama tidak dapat dilanjutkan. Barangkali tiada siapa lagi yang mempercayai bahawa drama menjadi salah satu wahana pendidikan yang dapat membentuk watak, di samping menghargai nilai estatika dan keindahan sastera hasil penulis yang diangkat melalui sesebuah naskhah.

No comments: