Nampaknya negeri Pahang bersungguh-sungguh benar ingin mempopularkan kegiatan menghasilkan kain tenun yang merupakan kepandaian seni yang wujud di negeri ini lebih 400 tahun yang lalu.
Kegiatan bertenun secara tradisional berpusat di Pekan, khasnya di Kampung Pulau Keladi. Mengikut sejarah, kepandaian ini berasal dari Tanah Bugis (Sulawesi Selatan), iaitu di sekitar wilayah Makassar. Dimulakan oleh Kraeng Aji (yang juga dikenali sebagai Tok Tuan), mereka membuka petempatan baru di tebing sebelah kiri mudik dan menamakan kawasan ini mengikut nama kampung mereka di Tanah Bugis itu. Barangkali nama yang diberikan adalah Makassar, tetapi lama-kelamaan pelat lidah tempatan menjadikannya sebagai Mengkasar. Kampung tersebut masih wujud sehingga kini. Makam Tok Tuan masih ada dan terpelihara di kampung itu. Kerajinan bertenun juga masih diteruskan dan justeru kemahiran inilah yang diusaha untuk dimajukan dalam skala yang lebih besar sekarang.
Sebelum ini memang ada usaha menghidupkan kerajinan ini, tetapi kemajuannya selalu tersendat-sendat. Kebanyakan yang mengusahakannya adalah dari keluarga yang sama. Antara tokoh yang pernah turun tangan memajukan cottage industry ini ialah Tun Haji Abdul Razak Hussain dan Dato’ (Sir) Mahmud bin Mat, yang secara kebetulan, kedua-duanya anak kelahiran Pekan.
Lembaga Muzium Negeri Pahang turun memberikan bantuan; tetapi dengan dana yang terhad, usaha Muzium ini hanya pada peringkat kecil-kecilan dan lebih kepada usaha berbentuk memulihara tradisi bertenun di Pekan agar tradisi ini jangan terputus.
Lembaga Kemajuan Negeri Pahang (LKNP) sebagai sebuah agensi Kerajaan Negeri Pahang pernah mengambil tindakan yang berskala lebih besar, termasuk membina pusat tenun di beberapa kawasan lain, seperti di kawasan Felda, di samping meneruskan bantuan kepada kegiatan nukleus di Kampung Mengkasar, yang termasuk aspek pemasaran dan pengiklanan. Usaha terakhir ini nampaknya belum berjaya mencapai objektif yang diharapkan.
Projek di Kampung Soi Kuantan barangkali maju selangkah dengan menyediakan beberapa bangunan khas, termasuk bangkel mencelup benang dan menganing serta sebuah dewan pameran dengan karyawan dalam bidang tenunan seramai sekitar 20 orang sebagai pekerja tetap, mengendali 20 buah kek tenun (ATBM). Kebanyakan pekerja terdiri daripada wanita tempatan. Soal pemasaran, demikian saya dimaklumkan, tidak lagi menjadi penghambat kelancaran industri ini, terutama dengan bantuan agensi awam dan swasta dalam mempromosi kain tenun untuk dijadikan cenderamata dalam majlis-majlis rasmi. Mereka nampaknya telah mula 'tak menang tangan'.
Perkembangan terbaru lebih menampakkan kejayaan. Dengan limpah perkenan KDYTM Tengku Puan Pahang, Tunku Hajah Azizah Iskandariah, sebuah blueprint menyeluruh telah diwujudkan. Termasuk dalam blueprint itu ialah pembinaan sebuah institut tenun yang bertaraf kolej di Pekan. Bangunannya telah hampir siap. Sebuah jawatankuasa khas menyusun kurikulum Kolej Tenun Diraja ini (demikian nama yang dicadangkan) telahpun bergerak dengan ahli-ahlinya terdiri daripada pakar kurikulum Kementerian Pelajaran, pensyarah Fakulti Seni Lukis dan Seni Reka, Lembaga Kraftangan Malaysia yang tentunya merupakan ahli yang selama ini bergiat dalam bidang tenunan dan tekstil.
KDYTM Tengku Mahkota Pahang Tengku Abdullah al-Haj pernah menitahkan bahawa kemahiran menenun membuktikan kehalusan cita rasa bangsa Melayu zaman lampau, mempunyai nilai seni bermutu tinggi yang dipengaruhi keindahan alam semula jadi yang harmonis. Di samping itu ia juga melambangkan ketinggian kreativiti dan peradaban bangsa Melayu. Usaha meletakkan perkataan Diraja sebagai predikat pada tekstil yang selama ini dikenali dengan nama Tenun Pahang sahaja telah mengangkat serta mengiktiraf usaha menenun ke suatu tahap yang sangat besar ertinya kepada perkembangan sejarah tenunan itu sendiri.
Lanjutan daripada aktiviti mengukuhkan kedudukan kemahiran tenun ini, maka pada 13 dan 14 Disember 2008 diadakan Bengkel Tenun yang bertemakan: Identiti dan Kesinambungan Tenun. Bengkel yang dianjurkan secara bersama oleh Muzium Negeri Pahang dan Balai Seni Lukis Negara ini diadakan di Hotel Shahzan Inn Kuantan. Sebanyak tujuh buah kertas kerja akan dibincangkan, iaitu:
Kertas Kerja 1: Tekstil Sebagai Budaya Benda Tamadun Manusia oleh Prof. Datuk Dr. Zainal bin Kling; Kertas Kerja 2: Inovasi Corak dan Motif Dalam Kain Tenun oleh Dr. Norwani Md. Nawawi; Kertas Kerja 3: Tenunan di Alam Melayu oleh Prof. Madya Datuk Zainal Abidin Borhan; Kertas Kerja 4: Kain Tenun di Dunia Melayu: Kajian perbandingan tekstur, motif dan corak oleh Dato’ Yaakub Isa; Kertas Kerja 5: Potensi Tenun Pahang dalam Rekaan Fesyen Kontemporari oleh Encik Zainudin Md. Nor; Kertas Kerja 6: Identiti dan Kesinambungan Budaya oleh Dr. Mohamed Najib Ahmad Dawa; Kertas Kerja 7: Production of Contemporary Malaysian Handwoven Textiles for Broader Market oleh Dr. June Ngo Siok Kheng.
Setelah mengikuti semua perbentangan, saya mendapat banyak isu, pendekatan dan dapatan dari hasil kajian teliti para pembentang. Dr. Mohamed Najib misalnya mengemukakan – merujuk kepada pandangan Naisbitt – tentang peralihan ke millennium ketiga menampakkan keselesaan hidup manusia terlalu bergantung pada teknologi yang menyumbangkan kepada kesenangan hidup, keselamatan, kestabilan, penyendirian dan penguasaan, sementara teknologi juga menyumbang kepada ketenangan minda dan pembebasan diri dari segala kebimbangan.
Saya cukup tertarik dengan kajian Dr. June Ngo Siok Kheng yang telah menghabiskan banyak masa dan tenaganya menyelidiki perkembangan kerja-kerja berkaitan dengan tekstil dan penenunan (songket dan sutera), terutama tentang sikap dan penerimaan generasi penenun tradisional terhadap perubahan (change) baik dari segi menentukan corak dan motif yang lebih kontemporari, kaedah penenunan yang lebih sesuai dengan kehendak pemasaran moden. Golongan tradisional, demikian menurut pengalaman dan kajian Dr. June, rata-rata seakan-akan menolak pembaharuan kerana lebih selesa dengan apa yang mereka dan leluhur mereka lakukan selama ini.
Kain Tenun Pahang
Prof. Madya Datuk Dr. Zainal Abidin Borhan membentangkan hasil kajian dan penelitian beliau terhadap penenun kain di Nusantara: dari Aceh, Batu Bara, Padang, Padang Singkek, Silukang, Palembang, Pekan Baru, Jawa, Pontianak, Buton, Makassar hingga ke Samarinda, Pontianak, Sambas, Brunei dan pusat tenunan yang terdapat di Semenanjung iaitu di Pahang, Terengganu dan Kelantan. Bagi beliau, tenunan Nusantara melihatkan wajah Melayu yang sangat khas dan yang sewajarnya dipertahankan.Prof. Datuk Dr. Zainal Kling yang membuka gelanggang bengkel tenun di Hotel Shahzan Inn anjuran Lembaga Muzium Negeri Pahang dengan Kerjasama Balai Seni Lukis Negara banyak menekankan pandangan beliau tentangan kepandaian bertenun secara mengaitkannya dengan konsep sosiologi dan budaya sejagat.
Kain Corak Insang
Kertas kerja yang saya bentangkan dalam Bengkel di Hotel Shahzan Inn itu adalah berdasarkan kajian terhadap empat jenis kain tenun yang ada dalam simpanan saya, iaitu Kain Tenun Pahang (ditenun di Pulau Keladi, Pekan), Kain Silukang (ditenun di Silukang, Sumatera Barat), Kain Corak Insang (ditenun di Pontianak, Kalimantan Barat) dan Kain Samarinda (ditenun di Samarinda, Kalimantan Timur).
Kain Silukang
Kecuali Kain Silukang dan Kain Tenun Corak Insang, kain lain adalah kain yang usianya lebih 100 tahun. Walaupun umur kain ini relatif lama, tetapi tekstur, warna dan coraknya tidak menampakkan sebarang perubahan. Kain Tenun Pahang yang dikaji merupakan sehelai baju melayu potongan teluk belanga. Baju potongan teluk belanga merupakan pakaian asli orang-orang Pahang, Johor, Riau-Lingga hingga Melaka (ini dibenarkan oleh Prof. Madya Datuk Dr. Zainal Abidin Borhan yang menyatakan pakaian orang Melaka zaman dahulu ialah baju potongan teluk belanga).
Para peserta Bengkel sehari ini sependapat bahawa perusahaan kain tenun mestilah diteruskan dengan memberikan nilai tambah dari segi corak, bahan dan motif. Selain daripada itu, perajin tenun mestilah diberikan bantuan baik dari segi modal, kemudahan dan memasukkan elemen baru hasil kegiatan R&D sebagaimana yang diusahakan oleh Dr. June serta pakar-pakar tekstil seperti 'Kak' Fatimah, Sharifah Kirana, serta pensyarah jurusan fesyen, tekstil dan seni reka daripada UiTM dan institisi-institusi lain di tanah air di dalam karya mereka. Alat tenun bukan mesin (ATBM) yang ada di beberapa pusat tenun (di Pahang terdapat di Sungai Soi dan di Pulau Keladi) dan di tempat-tempat lain perlulah diperbanyakkan; dan dengan cara demikian, bilangan perajin tenun generasi muda dapat ditambah demi kesinambungan usaha seni ini.
No comments:
Post a Comment