Wednesday, November 11, 2009

Ikan Eksotika

Ikan Tilan

Perihal ikan tilan (mastacembulus spp.) banyak terdapat dalam beberapa blog. Ada yang penulisnya di Malaysia dan ada yang di Indonesia. Orang Indonesia ada yang memanggilnya ikan sili, ikan seler, selain ikan tilan yang memang turut dikenali di sana. Mungkin di kalangan anak muda ramai yang tidak pernah melihat ikan ini, apatah lagi merasai keenakan dagingnya.

Tilan Bara
Saya sendiri dah lama benar tidak melihat ikan ini; apatah lagi memakannya. Dulu, masa kecil, Emak memang biasa memasak ikan tilan. Ikan tilan kerap terperangkap dalam geluguh (lukah) udang. Barangkali ikan ini tertarik atau 'terpancing' masuk ke dalam geluguh kerana ada udang di dalamnya. Memang, makanan kegemerannya udang. Tilan juga dapat dipancing, terutama jikalau berumpankan cacing tanah.

Penulis sebuah blog dari Indonesia yang memelihara ikan tilan mencari maklumat untuk membantunya mengetahui tentang makanan ikan ini. Menurut penulis itu, beliau memberi pelbagai jenis makanan – pelet, udang, cacing, ikan, serangga – tetapi semuanya tidak mahu dimakan oleh ikan tilan peliharaannya; dan ini berakhir dengan ikan itu mati.

Pengalaman saya, kalau memasang lukah, kita bubuh umpan isi kelapa. Biasanya mudah mengena ikan tilan. Tapi, bagaimanakah pula dalam kehidupan sehariannya ikan itu boleh mencari kelapa untuk dimakan? Kalau memancing di Sungai Pahang, dengan berumpankan cacing kita boleh juga mendapat ikan tilan.

Di Sungai Pahang ada dua jenis ikan tilan: tilan bara dan tilan biasa. Tilan bara dapat dibezakan dengan tilan biasa kerana ada tumpuk-tumpuk merah tua pada badannya. Tilan bara dikatakan bisa untuk dimakan oleh mereka yang berpenyakit seperti sakit kudis, bisul dan luka. Tapi, ini hanya cerita-cerita begitu sahaja; tidak pernah dibuktikan, apatah lagi pembuktian emperikal secara saintifik di makmal!

Mengail ikan tilan ada risikonya. Ikan ini memakan umpan pancing dengan menelannya (atau lebih tepat disebut melahap) terus ke dalam perut, kerana muncung ikan ini halus, keras dan tirus. Jadi, biasanya mata dan tali pancing tidak boleh dikeluarkan atau dicabut dari mulutnya sebagaimana kita memancing ikan biasa, melainkan kena belah perut ikan itu sekali. Maka, jikalau pancing kita mengena tilan dan kita tidak membawa mata pancing tambahan, maknanya di situ sahajalah tamatnya sesi memancing kita hari itu.


Memproses tilan untuk dimasak bukannya sesenang memasak ikan biasa. Pertama, tilan itu dilayur di atas bara api sehingga kulitnya hangus. Kulit yang hangus ini dikikis dengan pisau sehingga kelihatan isinya sahaja. Pada masa itu kita boleh dapati daging tilan mengeluarkan lemak dan bau yang enak kemanis-manisan. Itulah istimewanya.

Ikan yang telah dikuliti ini disiang dengan dipotong-potong sebagaimana biasa. Sesudah itu bolehlah dimasak.

Masakan istimewa ikan tilan ialah gulai lemak pekat; lebih kurang macam orang membuat ikan perecik atau ayam golek. Biar lebih sedikit pedasnya. Masak lemak cili api biasa juga boleh. Masak asam pedas saya tak berani kata kerana saya belum pernah merasainya. Sekiranya dibubuh garam kunyit dan dipanggang enak juga rasannya.

Begitulah yang saya ingat cara Emak saya membuatnya.

Catatan: Dua keping gambar ikan tilan dalam tulisan ini saya ambil daripada dua blog yang berasingan, satu dari Indonesia dan satu lagi dari blog orang kita Malaysia (yang pernah tinggal di Rumah Banjir, Pekan). Minta maaf kerana saya tidak mencatatkan kreditnya di sini. Sekiranya anda mahu mengetahui blog itu secara lebih lagi, silalah gunakan mesin carian Google dengan menulis 'ikan tilan'. Dapatlah tu nanti.

Persoalan Kebahasaan

Kesalahan Penggunaan Bahasa di Sektor Media

Sebentar tadi (jam 5.21 petang) saya menonton Astro Awani (Saluran 501). Program yang saya tontoni itu memperkenalkan dua orang chef terkenal - suami isteri. Terdengarlah saya juruacaranya menyebut sebuah pepatah terkenal: Ringan sama dipikul, berat sama dijinjing.

Mengapa frasa sesenang itu silap disebut? Sebenarnya, kesilapan bahasa sangat kerap berlaku dalam media masa – TV, radio dan tidak terkecuali akhbar dan majalah. Tidak terkecuali menyebut nama orang, nama tempat, malah nama pemimpin negara kita sendiri. Kekerapan yang di luar jangkaan ini memberi kesan kepada pendengar seolah-olah kesilapan bahasa itu bukan merupakan kesilapan lagi. Berbahaya ni. Bagaimana kesannya kepada proses pemahaman aspek kebahasaan kanak-kanak kalau keadaan begini berterusan? Di sekolah guru bahasa (yang trampil bahasanya) mengajar lain; di luar yang cikgu kata benar itu menjadi tidak benar kerana mereka mendengar yang lain pula.

Kerap benar saya mendengar kesilapan dari radio dan televisyen seperti:

(a) Peminta pertama ialah Cik Kiah daripada Balok.
(b) Sila jawab 5 saat daripada sekarang …
(c) Para pendengar yang mana datangnya dari luar bandar.
(d) Inilah contoh di mana terdapat penghuni yang lalai …
(e) Justeru itu kita perlu lebih bertanggungjawab.
(f) Di antara sebab yang selalu diberi oleh pendengar ialah …
(g) Di dalam pemikiran saya, hal begini tidak sepatutnya berlaku.
(h) Masyarakat kita hendaklah saling bantu-membantu dalam suasana gawat ini.
(i) Saham XXX ditutup pada dua puluh perpuluhan lima puluh dua (20.52) mata.

Pada tahap manakah puncanya kesilapan ini berlaku? Penerbit, Pengelola Rancangan, Juruteknik Penyiaran, Pengarang Berita, Penyampai atau Juruhebah? Saya lebih cenderung mengatakan kemungkinan dua golongan terakhir itu, kerana 'kuasa' penyiaran pada masa itu berada di dalam tangan mereka.

Setahu saya, DBP banyak mengeluarkan pamflet tentang kesalahan bahasa; selain mewujudkan bahagian khas iaitu Khidmat Nasihat Bahasa (Telefon: 03-2148 1960/ 887/5905/2139 dan 1011) yang boleh dihubungi, bertanyakan hal-hal kebahasaan yang meliputi khidmat bagi menyelesaikan masalah bahasa dalam kalangan pengguna bahasa. Tentu tidak salah sekiranya Juruhebah atau Penyampai menelefon bahagian ini sekiranya ada rasa keliru sebelum duduk di corong radio atau di hadapan kamera tv.

Apa pun yang berlaku, semua kita hendaklah lebih kritis dalam menyampaikan maklumat kerana kesan sampingannya tentulah besar bagi generasi akan datang.

Tuesday, November 10, 2009

Jamuan Ketam di Restoran Pak Su

Ketam Sri Langka

Artikel ini telah lama benar saya sediakan. Saya sengaja menangguh untuk mengeposkan ke dalam Blog kerana masih memikirkan patutkah saya siarkan gambar kedai PAK SU yang terbabit dengan kisah ini. Akhirnya, saya memutuskan untuk tidak menyiarkannya kerana tidak banyak faedah yang boleh dihasilkan.

Ketam gulai lemak cara Melayu

Kisah sederhana ini bermula pada suatu petang apabila teman-teman dari Muzium Sultan Abu Bakar sedang menyediakan kelengkapan untuk perasmian Bengkel Pembinaan Kurikulum Tenun Diraja di sebuah hotel terkemuka di Balok oleh KDYTM Tengku Puan Pahang.

Tempoh majlis tersebut berlangsung ada kira-kira tiga jam lagi. Adalah teman-teman yang tergecar air liurnya hendak memakan ketam. Walaupun kami biasa dengan gerai dan restoran sepanjang pantai Beserah, Sungai Karang dan Balok, tetapi kami tidak tahu dengan pasti gerai atau restoran yang mana paling sesuai dengan selera dan ongkos yang ada di dalam kocek kami.

Melalui telefon dari entah sesiapa kami diberitahu Restoran PAK SU.


Saya telah beberapa kali berpeluang menjamu selera di situ. Pergi bersama keluarga, dijemput dalam jamuan dan dua kali bersama-sama dengan Fons dan Maria Raeymaeckers-Helsen (maaf, nama kawan saya ini pelik sedikit di telinga kita, maka agak sukar menyebutnya). Fons dan Maria adalah pelajar kelas bahasa Melayu saya. [Mereka ini orang Belgium, kakitangan Syarikat Amoco, dan menurutnya bahasa ibunda mereka adalah Flemish. Mereka kerap menjemput kami sekeluarga ke rumahnya dan anak-anak saya gemar sekali kek keju dan kek epal hasil air tangan Maria. Maria pernah memberikan resepi kek tersebut yang ditulis dalam bahasa Flemish. Dengan bersusah payah untuk memahami bahasa yang sangat asing itu, kami berjaya memasaknya di rumah!]. Nanti saya akan tulis tentang kedua-dua sahabat kami ini dalam artikel yang lain. Tentunya termasuk resepi dalam bahasa Flemish itu.

* * *

Berbalik kepada cerita ketam. Di restoran tersebut kami melihat agak banyak ketam di dalam akuarium. Pelayan kedai itu menyambut kami sembari memperkenalkan jenis-jenis ketam untuk disantap. Ada ketam dari Kanada, ada dari Sri Langka, dari New Zealand, Australia dan tentunya ketam tempatan. Mereka mengambil tiga ekor ketam Sri Langka yang harganya kalau saya tidak silap RM95.00 sekilo.



Tidaklah lambat masa menunggu untuk masakan ketam siap. Kami diberi alat untuk mengupas cengkerang sepit ketam. Ya, isinya OK, tetapi di dalam badan ketam itu tidak ada apa yang boleh dimakan. Kosong!

Nasib baik kami tempah nasi goreng. Kalau tidak tentulah kami balik kelaparan.

Keesokan harinya saya singgah di kedai PAK SU, tapi kali ini bersama-sama Nurziah. Kami memesan nasi goreng. Pelayan yang semalam masih menjadi pelayan kami.

Saya bertanya beliau sama ada masih kenal kepada saya, yang makan ketam semalam. Beliau mengiyakan dan bertanya, “Ada apa-apa komplen Encik?”

“Tak ada. Hanya saya nak tanya, mengapa ketam Sri Langka semalam tidak berisi langsung?”

“O, sorrylah. Encik patut makan ketam local. Ketam dari luar itu tidak diberi makan, takut mereka gemuk dan timbangannya berat; harga pun mahal. Orang tak mahu beli!”


Ketam masak lemak cili api


Betullah, saya teliti ketam yang di dalam akuarium itu… semua berikat sepitnya, barangkali takut mereka merayap keluar. Sepit diikat, mana boleh menyuap makanan, meskipun ada makanan diberikan. Dalam kes ini ketam-ketam itu memang dinafikan daripada menerima makanan – mungkin sejak ditangkap di negeri asalnya lagi! Barangkali ketam local yang dikatakannya itu akan menerima nasib sebagaimana ketam import itu juga; kerana sepit ketam itu memang diikat katat.

Semasa di Niigata, Jepun saya pernah diajak kawan-kawan memakan sejenis ketam laut dalam. Badan ketam itu besar sedikit daripada ketam biasa, tapi, masya Allah! Kakinya panjang benar. Sekiranya kita dapat makan kaki tiga ekor ketam jenis itu, saya fikir tentu kenyang. Saya tidak ingat berapa puluh yen kami kena bayar untuk ketam itu. Tapi itu cerita 1983 yang lalu!

Saya pernah menonton filem tentang nelayan di Lautan Atlantik menangkap ketam jenis yang saya makan di Niigata itu melalui Astro Discovery. Entah berapa kali dah filem itu diulang-tayangkan di saluran yang sama. [Barulah saya sedar yang Astro memang mengulang tayangan sesebuah filem entah beberapa puluh kali; kita sahaja yang tidak menyedarinya].

Oh, ya. Berapa agaknya harga kami kena bayar untuk ketam hari itu? Tak lebih tak kurang RM220.00. Empat orang kami bertakyan sama banyak membayarnya. Kalau bayar seorang tentu 'rebeh'.

Catatan: Nama PAK SU bukanlah kependekan daripada PAK BUSU atau PAK SUDARMAJI, tetapi adalah nama orang Cina pemilik restoran itu.

Pantun Yang Bukan Pantun

Kita Dalam Era Berpuisi

Ada kelihatan cahaya cerah di hujung terowong bahasa dan sastera tanah air dalam dua tiga bulan ini. Apa tidaknya: TV1 mengawali pendeklamasian puisi dalam setiap penyampaian beritanya. Yang menariknya, pendeklamator itu tidak lain daripada Perdana Menteri Malaysia sendiri!

Saya tidak berpeluang melihat perasmian sambutan Bulan Bahasa Kebangsaan di daerah-daerah dan peringkat negeri (kalau ada). Tapi saya percaya tentu ada gelanggang untuk pemantun. Walaupun telah amat terlewat, tapi sambutan begini tetaplah memberi pemberatan terhadap usaha mendaulatkan bahasa dan sastera kita, yang rupa-rupanya, tanpa disedari, telah mengalami episod peminggirannya yang agak mengerikan.

Kalau PM tadi cukup trampil mendeklamasikan puisi, tentulah sikap positif itu mudah diikuti (atau terikut-ikut) oleh pemimpin bawahan lain. Hal begini sangat lumrah berlaku di negara kita. Dalam era tujuh puluhan dan delapan puluhan dulu Persidangan Agung UMNO sentiasa digamatkan dengan pantun dan gurindam bermutu oleh YB Hashim Gera (Allahyarham) dan kemudiannya YBhg Dato' Paduka Hj Badruddin Amiruldin. Akhir-akhir ini bermunculanlah tokoh muda yang cuba melakar nama di arena puisi – wahananya tentulah bukan di media massa, tetapi Persidangan Agung UMNO dan yang seumpamanya.

Dalam ramai-ramai pemantun itu saya ingin turunkan di sini catatan daripada akhbar Utusan Melayu tentang gelagat memantun oleh seorang wakil dari negeri saya, ketika membahas ucapan Presiden pada 15 Oktober 2009 di PWTC. Beginilah bunyi ‘pantun’ beliau:

Sudah tahu peria itu pahit,
Siapa suruh petik;
Sudah tahu Tan Sri Isa itu siapa,
Yang datang pasti akan binasa.

Utusan Melayu, Jumaat, 16 Oktober di halaman 9 membuat catatan:

“Pantun biasanya digunakan bagi menjelaskan sesuatu ucapan, tetapi sebaliknya yang berlaku kepada wakil Pahang… ayat pembayang dan maksud pantun yang disampaikannya ketika membahaskan usul berkenaan tidak seragam.”

Timbalan Pengerusi Tetap Dato’ Muhammad Aziz mencelah: “Orang tak faham, ulang semula. Dia punya pembayang dengan maksud tdak sama.”

Apabila diulang, wakil Pahang tetap menyebut yang sama, kerana katanya: “ia (pantun itu) paling sesuai bagi menggambarkan mengenai tindak-tanduk pembangkang yang telah menggunakan pelbagai cara untuk memburukkan UMNO dan calon BN, Tan Sri Mohd. Isa Abdul Samad.”

Yang disebut 'pantun' itu sahlah bukan pantun, bukan syair, bukan gurindam, bukan seloka dan bukan juga sajak.

Saya fikir jikalau wakil Pahang itu mengambil sedikit masa membuat ‘kerja rumah’ dengan merujuk kepada Cikgu-cikgu yang tinggal di Rompin untuk tolong mendapatkan pandangan dan nasihat, tentu pantun beliau itu akan menjadi pantun. Saya tidak fikir beliau tidak mengenali Cikgu Abdul Wahab Taha (dia ada Blog sendiri), Cikgu Amran Abdullah dan Cikgu Kamarozaman Abdul Razak.

Ingat pula saya kisah penyair besar tanah air, Masuri S.N. (Allahyarham) yang dikatakan pernah dimarahi gurunya semasa di SITC kerana mencipta pantun yang ‘tidak seperti pantun’. Tetapi zaman berlalu, persepsi berubah. Apa yang dianggap ‘bukan pantun’ itu sebenarnya satu pembaharuan puisi Melayu. Maka lahirlah ‘sajak’ iaitu puisi Melayu moden. Beliaulah antara pelopor sajak atau puisi Melayu moden. Beliau mencipta suatu ‘seni baru’. (Demikian saya kutip ucapan Profesor Emeratus Dr. Abdullah Hassan yang menukil tulisan Prof. A. Wahab Ali semasa mengucapkan Watikah Pengurniaan Ijazah Doktor Kehormat Pendidikan kepada Masuri Salikun di Konvokesyen Komemoratif 2002 UPSI pada 21 Disember 2002).

Masuri S.N. meninggalkan persada puisi dengan sajak awalnya 'Ros Kupuja' dan 'Bunga Sakura' yang terbit di dalam Berita Malai; seterusnya ratusan puisi Melayu moden beliau dalam bentuk antologi, iaitu Awan Putih (1958), Warna dan Suasana (1962), Bunga Pahit (1967), Selagi Hayat Dikandung Badan (1970), Dalam Makna (1984), Singgah (1987), Puisi-puisi Masuri S.N. (1989) dan Mimpi Panjang Seorang Penyair (1995); selain puluhan kumpulan esei dan kritik.

Kalau ‘pantun’ yang bukan pantun di atas satu percubaan mencipta suatu seni baru, barangkali ruang untuk itu telah tidak terbuka lagi.

Monday, June 15, 2009

Mengikuti Sesi Fotografi

Fotografi sebagai suatu seni



Kelmarin, Sabtu 13 Jun mulai jam 9.00 pagi saya melalui satu pengalaman baru dalam seni fotografi. Bakal penerbit buku saya mahu gambar saya dicetak pada jaket buku di bahagian belakang. Saya ada beberapa keping foto lama (semasa membuat kad pengenalan, membuat paspot; malah foto saya berposing di pangkal Jambatan Golden Gate juga ada!); tetapi semuanya tidak berkenan di hati beliau.



Lantas, saya diminta pergi ke studio Indahku Production (http://indahku.com/). Tempatnya di No. 4 Lorong Permatang Badak Aman 12, Kampung Baru, Permatang Badak, 25150 Kuantan. Semasa saya tiba, tuan punya production, Sdr Azraie B.A. (azraie.azahan@gmail.com) sedang bersedia menyusun sejenis kain hitam dan kelabu untuk dijadikan tabir latar belakang. Untuk sesi ini saya diminta memakai busana sut berwarna gelap bersongkok; baju melayu teluk belanga dengan kain tapis tenun Pahang; baju kain tenun Pahang; baju melayu cekak musang berwarna hitam. Wah! Banyak sekali.


Ini hasil jurugambar amatur

Saya beritahu Sdr Fauzi yang menguruskan aktiviti ini yang saya tidak boleh lama di situ kerana ada jemputan kahwin anak saudara dua pupu saya tidak jauh dari situ. Apa pun, saya kena balik ke rumah dulu untuk bersalin pakaian lain yang lebih kasual.


Mengenai fotografi, saya memang ada sedikit pengalaman. Dalam tahun 1953 saya mempunyai sebuah kamera kotak jenama Kodak, menggunakan filem hitam-putih yang digulung pada dua alat pemusing yang terpaksa dikeluarlah dari kotak untuk memasangnya. Sebenarnya, kamera ini kepunyaan Abang Othman yang dibeli di Kuala Lumpur semasa beliau menuntut di Junior Technical Trade School. Untuk memotret, taklah payah sangat: halakan saja lensa ke arah objek dan tekan… klik! Tidak ada kemudahan untuk mengambil gambar waktu malam. Segulung filem ada 12 keping gambar. Saya fikir, harga kamera itu tak lebih $20.00 pada masa itu.


Kemudian, bila bekerja, saya membeli sebuah kamera Fuji (half-frame) 35mm. Satu rol filem dengan 36 dedahan boleh dapat 72 keping gambar (mungkin boleh lebih, kalau kita pandai dan berhati-hati memasukkannya).

Selepas itu, ada duit sedikit, saya beli pula kamera Nikon yang ada beberapa ciri digital (bukannya kamera digital), tapi harganya masih relatif murah. Satu hari, kamera saya itu terjatuh di atas jalan raya bertar mengakibatkan alat pengira filem digital menjadi gila: tak mahu berhenti, sehingga saya tidak boleh memasukkan filem... Saya juga mempunyai sebuah kamera SLR jenama PENTAX. Gambarnya bagus, tapi saya tak berapa pandai mengolah arahan jarak, aparture, cahaya apatah lagi flash yang sangat mengelirukan.


Yang ini juga... Yang ini juga ...


Akhirnya, saya membeli sebuah kamera digital Nikon Coolpix SQ. Walaupun ada beberapa ciri yang mengelirukan, saya mampu bertolak ansur dengan mesin kecil ini. Gambar yang dihasilkannya sangat memuaskan hati saya. Buktinya, kalau kurang percaya, lihatlah gambar-gambar bunga yang saya paparkan di dalam blog ini.


Yang menariknya saya tak payah lagi ke kedai gambar kerana gambar terus boleh dipaparkan pada layar komputer dengan aneka warna yang - mengikut cita rasa saya - sangat memuaskan. Tapi, ada pula sedikit masalah: bateri kamera ini terpaksa dicaj dan saya kenalah beli lebih daripada sebuah. Semasa menyertai rombongan Gapena ke Lhokseumawe dan Banda Aceh banyak peristiwa yang tidak dapat saya rakamkan kerana ketiadaan bateri. Hanya kamera digital siri terbaru yang menggunakan bateri bersaiz AAA 1.5V. Saya ingin trade-in kamera lama saya dengan model yang pakai bateri AAA itu tadi; tetapi tiada siapa yang sanggup mengambilnya.

Selain mengambil gambar anak-cucu, saya suka mengambil gambar still life dan nature. Terutama bunga-bungaan yang jarang-jarang ditemui di taman belakang rumah.



Nah! Berbalik kepada kisah sesi fotografi pada Sabtu lalu. Barulah saya tahu bagaimana membuat gambar yang berlatar belakang hitam. Sdr Azraie menggunakan sehelai tabir khas, dan latar belakang menjadi hitam pekat dan objek yang cukup terserlah. Gambar saya menjadi luar biasa ‘cantiknya’, apatah lagi kalau warna baju yang dipakai boleh mewujudkan efeks yang kontras.

Jangan terkejut kalau melihat gambar saya yang diambil oleh Sdr Azraie dan temannya hari itu. Saya diberitahu oleh beliau ada gambar yang ‘berlagak’ korporat, korporat berjaya dan entah apa-apa lagak lagi.


Sesi fotografi itu mengambil masa hampir tiga jam. Ada satu set pakaian lagi yang belum diperagakan; tapi saya ’menyerah diri’ kepada Sdr Azraie, dengan mengatakan saya dah tak larat bergambar.


Barulah saya faham betapa letih dan rimasnya para model ternama menghadapi jurufoto. Bukan kira jam, tapi sehari-harian atau beberapa hari agaknya. Dalam kes begini, biarlah saya tidak menjadi model, kalau begitulah keadaannya.

Terima kasih Sdr Azraie!

[Catatan: Foto saya yang ada di dalam Blog ini bukan untuk disalin semula atau seumpamanya. Tapi, foto bunga itu bolehlah diapa-apakan].

Thursday, May 21, 2009

Gulai Belangkas

Melawat Muzium Kota Tinggi

Ahli Lembaga dan kakitangan Muzium Negeri Pahang mengadakan lawatan kerja ke Johor dan Singapura pada hujung Februari lalu. Muzium pertama yang dilawati ialah Muzium Kota Tinggi.

Kota Tinggi, barangkali ramai yang memakluminya, adalah salah sebuah tempat bersejarah dalam pemerintahan Johor Lama. Di sinilah terletaknya makam Marhum Mangkat Dijulang yang masyhur dan tragis kisahnya itu.

Saya kagum tentang usaha kerajaan negeri Johor membina bangunan muzium daerah di Kota Tinggi dengan prasarana yang serba lengkap. Bangunannya baru yang cantik itu terletak di dalam kawasan yang kondusif. Meskipun artifek yang dipamerkan kelihatan biasa-biasa sahaja, tetapi kaedah mereka memperagakan artifak tersebut cukup menarik.

Taklimat yang diberikan oleh pihak Muzium menggambarkan perancangan masa depannya yang cukup meyakinkan.

* * *

Selepas melawat sekitar kawasan pameran, kami dijemput ke majlis makan tengah hari. Saya terkejut melihat hidangan yang luar biasa, antaranya belangkas gulai lemak cili padi dan gulai asam pedas ikan sembilang (bukan ikan keli tetapi sembilang laut).


Seekor belangkas betina dewasa


Saya pernah memakan gulai belangkas, tapi kira-kira 50 tahun yang lalu. Pada masa itu ada peraih dari Kuala Pahang, Serandu dan Cheruk Paloh mudik Sungai Pahang hingga ke kampung saya, membawa dagangan berupa ikan kering, ikan singgang, ikan jeruk malah kadang-kadang ikan panggang. Tidak ketinggalan, mereka juga membawa belangkas yang masih hidup untuk dijual. Belangkas itu mereka lepaskan begitu sahaja di bawah geladak perahu. Harga seekor belangkas dalam 10 sen atau 20 sen sahaja.

Kampung kami agak jauh (sekitar 20 kilometer) dari pantai laut. Belangkas tidak terdapat di kampung kami. Walaupun begitu, Emak pandai memasak belangkas kerana beliau pernah tinggal di Cherok Paloh semasa mudanya. Dia ada pengalaman ’mencekik’ ikan dan kerja yang berkaitan dengan kehidupan masyarakat pesisir laut.

Gulai belangkas yang dihidangkan di Muzium Kota Tinggi agak berlainan berbanding gulai yang pernah Emak buat. Emak menyiang belangkas secara menanggalkan isi dan telur belangkas daripada cangkerangnya. Bahagian lainnya yang digulai ialah ’caping’ belangkas itu. Bahagian itulah yang ada ’isi’nya. Bahagian pangkal kaki belangkas juga digulai dan bahagian ini ada isi, sebagaimana kita memakan kaki ketam. Bahagian hujung kaki yang seakan-akan kuku itu dipotong dan dibuangkan.

Kaki, caping dan perut belangkas
Sebenarnya yang betul-betul boleh dimakan pada seekor belangkas ialah telurnya. Bukan sepanjang masa belangkas bertelur. Kita boleh kenal belangkas itu bertelur atau tidak dengan melihat bahagian ’perut’ belangkas itu berisi atau tidak.

Bahagian 'caping' belangkas

Semasa tinggal di Tanjung Api, Kuantan sekitar 1952-1954, saya kerap bertemu belangkas di tepi jambatan dekat depoh minyak Shell ketika air laut mula menyurung pasang. Di tepi pantai yang dipanggil Pantai Gelora sekarang dan di Teluk Cempedak juga banyak boleh ditemui belangkas. Kami kerap menangkap belangkas, setelah melihat-lihat keadaan ekor, jejari dan badannya, kami lepaskannya semula ke laut. Kami tidak membawanya balik untuk dimakan kerana di rumah Abangteh Hussain, tempat saya menumpang tinggal itu, tidak ada sesiapa yang pandai mengurus untuk memasak belangkas.

Belangkas berenang di dalam laut biasanya berdua-dua: yang jantan sentiasa menenggek di atas belakang belangkas betina. Belangkas betina sahajalah yang diambil untuk digulai atau dibakar kerana belangkas jantan selain tidak mempunyai telur, saiznya sekali ganda lebih kecil berbanding belangkas betina.

Ada orang mengatakan, belangkas jantan tidak pandai mencari makan, hanya bergantung hidup kepada belangkas betina. Kalau betullah begitu, entah bagaimanalah nasib belangkas jantan yang dilemparkan ke laut dan hidup tanpa yang betina. Mungkin ia mati kelaparan atau mati merana. Walau bagaimanapun, ia tentu lebih baik berbanding belangkas betina yang berakhir di dalam belanga dan dihidangkan sebagai makanan enak.

Fenomena belangkas jantan sentiasa menenggek di belakang belangkas betina ini menyebabkan wujudnya peribahasa ’macam belangkas’ bagi menggambarkan pasangan kekasih dua sejoli yang tidak pernah boleh berjauhan.


Seekor belangkas jantan

Daripada maklumat yang saya dapati, harga belangkas melambung sekarang. Kononnya orang-orang Siam dan Jepun menggunakan sejenis cecair berwarna ungu muda dalam badan belangkas untuk dijadikan ubat (cecair ini boleh memabukkan sekiranya termasuk ke dalam makanan; sebab itulah jika dibakar, belangkas terpaksa dihimpit dengan papan supaya keluar air racunnya itu sebelum boleh dimakan).

’Daging’ belangkas yang siap untuk dimasak dijual kira-kira RM45.00 sekilo. Demikian maklumat yang saya dapati dari sebuah laman blog.

Rupa-rupanya ada restoran yang menjual gulai belangkas di Kota Tinggi. Melalui sebuah laman blog saya bertemu dengan gambar restoran yang ada menjual gulai belangkas. Khabarnya menjelang tengah hari lauk-pauk berasaskan belangkas selalunya habis terjual. Saya yakin ada kedai lain di Johor (entah-entah di Endau, Mersing, Penggerang, Kukup, Johor Bahru, Pontian, Batu Pahat atau Muar) yang menjual gulai belangkas.


Restoran belangkas di Kota Tinggi


Malah ada laman blog yang menyiarkan peta Kota Tinggi (pandangan menggunakan sistem GPRS dari angkasa lepas) menunjukkan kedai menjual gulai belangkas... Moden betul, sekarang.

Di Pahang tiada lagi orang meminati belangkas. Golongan anak-anak mungkin takut melihat makhluk luar biasa ini, apatah lagi hendak memakannya.

Wednesday, May 20, 2009

Khabar dari Singapura

Mengunjungi Singapura lagi

Lama juga saya tidak menjejakkan kaki ke Singapura, sehinggalah pada 20 Februari yang lalu kami ke sana atas tugas rasmi dan sempat pula bermalam di sebuah hotel tidak jauh dari Masjid Sultan.

Pengadil pertandingan lukisan wau di Istana Kampung Gelam


Dulu, semasa Singapura dalam Malaysia dan beberapa tahun selepas perpisahan saya kerap ke sana, sama ada menziarahi keluarga atau membeli-belah. Semasa saya bertugas di Pekan kami membeli barang-barang sukan untuk kegunaan sekolah di Singapura kerana harganya cukup murah dan barangannya pula bermutu. Jarak dari Pekan ke Singapura tidaklah jauh sangat, cuma mengambil masa sekitar empat jam. Jadi, jersi ragbi, jersi bola sepak, jersi hoki, jersi bola jaring, kayu hoki, bola sepak (ah, jangan lupa: tayar kereta) semuanya kami beli di Bras Basah Road. Harganya jauh lebih murah berbanding di Kuantan atau Kuala Lumpur.

Satu lagi, barang-barang yang kami beli boleh dikembalikan jikalau rosak. Saya masih ingat, kayu hoki yang dibeli ada yang patah penangan pelajar-pelajar kami setelah beberapa sesi latihan. Apabila pergi semula ke Singapura kami mengangkut 9 batang kayu hoki yang rosak dan membuat aduan kepada penjual. Tuan punya kedai dengan bermanis muka menerima kayu yang rosak dan menggantikannya dengan kayu hoki baru sama banyak dengan bilangan kayu hoki patah yang kami kembalikan kepada mereka. Saya tanya mereka, sampai bila jaminan begitu boleh mereka berikan? Mereka menjawab, sampai bila-bila!

Sebenarnya, itulah kali pertama dan terakhir kami mengembalikan kayu hoki yang jaminannya tidak terhad itu.

Dan, kini, kedai sukan yang dahulu itu tidak dapat saya temui lagi, meskipun tanda jalan Bras Basah Road masih terpampang.

* * *

Kunjungan saya baru-baru ini adalah dalam rangka mendapatkan maklumat tentang pengisian muzium. Kami sebenarnya mengunjungi Muzium Kota Tinggi dan Muzium Diraja Sultan Abu Bakar JB sebelum menyeberangi Selat Teberau.


Melukis layang-layang, salah satu bahan permainan dalam budaya Melayu


Selain ke muzium dan arkib, kami juga mengunjungi Istana Kampung Gelam yang telah dijadikan muzium oleh pemerintah Singapura. Muzium dan sekitarnya nampak terjaga rapi, tetapi sangat sepi. Tidak ada lagi kesibukan perniagaan di kawasan berhampirannya, iaitu di Arab Street. Saya sempat membeli sebiji songkok di kedai orang keturunan Arab di hujung Arab Street. Baldu songkoknya masih seperti lama (baldu SOB dengan warna biru tua, kegemaran saya). Harganya sama seperti harga saya beli lebih l0 tahun lalu: SD45.00 (setelah diberi potongan SD5.00, kerana kata penjual di situ, beliau gembira bertemu dengan saya – orang Melayu dari Semenanjung). Tapi, saya tidak lupa bahawa harga songkok yang saya beli petang itu nilainya berbanding dengan nilai matawang kita telah menjadi cukup mahal.

Saya tertarik hati dengan kegiatan anak-anak muda di sekitar kawasan Istana Kampung Gelam itu tadi. Dalam keheningan pagi Minggu itu kelihatan beberapa kumpulan anak muda memberi arahan dan tunjuk ajar melalui pelbagai aktiviti kepada beberapa orang pelajar sekolah. Mereka ini bergerak di bawah organisasi mind@ktif Asia Pte. Ltd. (www.mindaktif.com) yang beralamat di 111 North Bridge Road #27-01/02 Peninsula Plaza, Singapura 179098 (telefon: +65 6559 3743).



Peserta sedang asyik menjalankan aktiviti budaya


Organisasi mind@ktif ini adalah sebuah organisasi NGO yang memberikan latihan, seminar, perbengkelan dan sambutan (event). Salah seorang konsultan yang saya temui, Siti Noraisah Ali, (e-mel: siti@mindaktif.com) memberitahu, organisasi mereka membantu pelajar dalam mendapatkan maklumat tentang hal-hal yang tidak terdapat di dalam silabus rasmi sekolah, khususnya tentang budaya, bahasa Melayu, sastera dan sejarah. Memang banyak hal sejarah yang tidak diajari di sekolah, ”dan kami cuba melengkapkan murid-murid setakat yang termampu,” tutur Siti.


Siti Noraisah Ali dengan salah seorang jurutunjuk (instruktor)

Untuk khidmat itu, mereka mengenakan bayaran penyertaan, yang juga digunakan untuk imbuhan kepada instruktor dan pengurusan.

Hari itu mereka memperkenalkan wau sebagai salah satu budaya Melayu. Peserta, antara lain, diminta melukis layang-layang. Siti meminta Nurziah, isteri saya, memberikan markah dan mengadili lukisan anak-anak itu...