Tuesday, November 10, 2009

Jamuan Ketam di Restoran Pak Su

Ketam Sri Langka

Artikel ini telah lama benar saya sediakan. Saya sengaja menangguh untuk mengeposkan ke dalam Blog kerana masih memikirkan patutkah saya siarkan gambar kedai PAK SU yang terbabit dengan kisah ini. Akhirnya, saya memutuskan untuk tidak menyiarkannya kerana tidak banyak faedah yang boleh dihasilkan.

Ketam gulai lemak cara Melayu

Kisah sederhana ini bermula pada suatu petang apabila teman-teman dari Muzium Sultan Abu Bakar sedang menyediakan kelengkapan untuk perasmian Bengkel Pembinaan Kurikulum Tenun Diraja di sebuah hotel terkemuka di Balok oleh KDYTM Tengku Puan Pahang.

Tempoh majlis tersebut berlangsung ada kira-kira tiga jam lagi. Adalah teman-teman yang tergecar air liurnya hendak memakan ketam. Walaupun kami biasa dengan gerai dan restoran sepanjang pantai Beserah, Sungai Karang dan Balok, tetapi kami tidak tahu dengan pasti gerai atau restoran yang mana paling sesuai dengan selera dan ongkos yang ada di dalam kocek kami.

Melalui telefon dari entah sesiapa kami diberitahu Restoran PAK SU.


Saya telah beberapa kali berpeluang menjamu selera di situ. Pergi bersama keluarga, dijemput dalam jamuan dan dua kali bersama-sama dengan Fons dan Maria Raeymaeckers-Helsen (maaf, nama kawan saya ini pelik sedikit di telinga kita, maka agak sukar menyebutnya). Fons dan Maria adalah pelajar kelas bahasa Melayu saya. [Mereka ini orang Belgium, kakitangan Syarikat Amoco, dan menurutnya bahasa ibunda mereka adalah Flemish. Mereka kerap menjemput kami sekeluarga ke rumahnya dan anak-anak saya gemar sekali kek keju dan kek epal hasil air tangan Maria. Maria pernah memberikan resepi kek tersebut yang ditulis dalam bahasa Flemish. Dengan bersusah payah untuk memahami bahasa yang sangat asing itu, kami berjaya memasaknya di rumah!]. Nanti saya akan tulis tentang kedua-dua sahabat kami ini dalam artikel yang lain. Tentunya termasuk resepi dalam bahasa Flemish itu.

* * *

Berbalik kepada cerita ketam. Di restoran tersebut kami melihat agak banyak ketam di dalam akuarium. Pelayan kedai itu menyambut kami sembari memperkenalkan jenis-jenis ketam untuk disantap. Ada ketam dari Kanada, ada dari Sri Langka, dari New Zealand, Australia dan tentunya ketam tempatan. Mereka mengambil tiga ekor ketam Sri Langka yang harganya kalau saya tidak silap RM95.00 sekilo.



Tidaklah lambat masa menunggu untuk masakan ketam siap. Kami diberi alat untuk mengupas cengkerang sepit ketam. Ya, isinya OK, tetapi di dalam badan ketam itu tidak ada apa yang boleh dimakan. Kosong!

Nasib baik kami tempah nasi goreng. Kalau tidak tentulah kami balik kelaparan.

Keesokan harinya saya singgah di kedai PAK SU, tapi kali ini bersama-sama Nurziah. Kami memesan nasi goreng. Pelayan yang semalam masih menjadi pelayan kami.

Saya bertanya beliau sama ada masih kenal kepada saya, yang makan ketam semalam. Beliau mengiyakan dan bertanya, “Ada apa-apa komplen Encik?”

“Tak ada. Hanya saya nak tanya, mengapa ketam Sri Langka semalam tidak berisi langsung?”

“O, sorrylah. Encik patut makan ketam local. Ketam dari luar itu tidak diberi makan, takut mereka gemuk dan timbangannya berat; harga pun mahal. Orang tak mahu beli!”


Ketam masak lemak cili api


Betullah, saya teliti ketam yang di dalam akuarium itu… semua berikat sepitnya, barangkali takut mereka merayap keluar. Sepit diikat, mana boleh menyuap makanan, meskipun ada makanan diberikan. Dalam kes ini ketam-ketam itu memang dinafikan daripada menerima makanan – mungkin sejak ditangkap di negeri asalnya lagi! Barangkali ketam local yang dikatakannya itu akan menerima nasib sebagaimana ketam import itu juga; kerana sepit ketam itu memang diikat katat.

Semasa di Niigata, Jepun saya pernah diajak kawan-kawan memakan sejenis ketam laut dalam. Badan ketam itu besar sedikit daripada ketam biasa, tapi, masya Allah! Kakinya panjang benar. Sekiranya kita dapat makan kaki tiga ekor ketam jenis itu, saya fikir tentu kenyang. Saya tidak ingat berapa puluh yen kami kena bayar untuk ketam itu. Tapi itu cerita 1983 yang lalu!

Saya pernah menonton filem tentang nelayan di Lautan Atlantik menangkap ketam jenis yang saya makan di Niigata itu melalui Astro Discovery. Entah berapa kali dah filem itu diulang-tayangkan di saluran yang sama. [Barulah saya sedar yang Astro memang mengulang tayangan sesebuah filem entah beberapa puluh kali; kita sahaja yang tidak menyedarinya].

Oh, ya. Berapa agaknya harga kami kena bayar untuk ketam hari itu? Tak lebih tak kurang RM220.00. Empat orang kami bertakyan sama banyak membayarnya. Kalau bayar seorang tentu 'rebeh'.

Catatan: Nama PAK SU bukanlah kependekan daripada PAK BUSU atau PAK SUDARMAJI, tetapi adalah nama orang Cina pemilik restoran itu.

No comments: