Wednesday, November 11, 2009

Persoalan Kebahasaan

Kesalahan Penggunaan Bahasa di Sektor Media

Sebentar tadi (jam 5.21 petang) saya menonton Astro Awani (Saluran 501). Program yang saya tontoni itu memperkenalkan dua orang chef terkenal - suami isteri. Terdengarlah saya juruacaranya menyebut sebuah pepatah terkenal: Ringan sama dipikul, berat sama dijinjing.

Mengapa frasa sesenang itu silap disebut? Sebenarnya, kesilapan bahasa sangat kerap berlaku dalam media masa – TV, radio dan tidak terkecuali akhbar dan majalah. Tidak terkecuali menyebut nama orang, nama tempat, malah nama pemimpin negara kita sendiri. Kekerapan yang di luar jangkaan ini memberi kesan kepada pendengar seolah-olah kesilapan bahasa itu bukan merupakan kesilapan lagi. Berbahaya ni. Bagaimana kesannya kepada proses pemahaman aspek kebahasaan kanak-kanak kalau keadaan begini berterusan? Di sekolah guru bahasa (yang trampil bahasanya) mengajar lain; di luar yang cikgu kata benar itu menjadi tidak benar kerana mereka mendengar yang lain pula.

Kerap benar saya mendengar kesilapan dari radio dan televisyen seperti:

(a) Peminta pertama ialah Cik Kiah daripada Balok.
(b) Sila jawab 5 saat daripada sekarang …
(c) Para pendengar yang mana datangnya dari luar bandar.
(d) Inilah contoh di mana terdapat penghuni yang lalai …
(e) Justeru itu kita perlu lebih bertanggungjawab.
(f) Di antara sebab yang selalu diberi oleh pendengar ialah …
(g) Di dalam pemikiran saya, hal begini tidak sepatutnya berlaku.
(h) Masyarakat kita hendaklah saling bantu-membantu dalam suasana gawat ini.
(i) Saham XXX ditutup pada dua puluh perpuluhan lima puluh dua (20.52) mata.

Pada tahap manakah puncanya kesilapan ini berlaku? Penerbit, Pengelola Rancangan, Juruteknik Penyiaran, Pengarang Berita, Penyampai atau Juruhebah? Saya lebih cenderung mengatakan kemungkinan dua golongan terakhir itu, kerana 'kuasa' penyiaran pada masa itu berada di dalam tangan mereka.

Setahu saya, DBP banyak mengeluarkan pamflet tentang kesalahan bahasa; selain mewujudkan bahagian khas iaitu Khidmat Nasihat Bahasa (Telefon: 03-2148 1960/ 887/5905/2139 dan 1011) yang boleh dihubungi, bertanyakan hal-hal kebahasaan yang meliputi khidmat bagi menyelesaikan masalah bahasa dalam kalangan pengguna bahasa. Tentu tidak salah sekiranya Juruhebah atau Penyampai menelefon bahagian ini sekiranya ada rasa keliru sebelum duduk di corong radio atau di hadapan kamera tv.

Apa pun yang berlaku, semua kita hendaklah lebih kritis dalam menyampaikan maklumat kerana kesan sampingannya tentulah besar bagi generasi akan datang.

2 comments:

Unknown said...

salam cikgu,

saya setuju sangat dengan artikel ini.

Baru2 ni saya ada menghantar email ke DBP berkenaan dengan perkataan Bahasa Inggeris yang di Melayukan dan balasan email yang saya dapat adalah amat mengecewakan.

Kenapa perkara ini boleh berlaku? Adakah bahasa melayu itu nampak "kuno" sehingga terpaksa me"melayu"kan perkataan dari bahasa inggeris?

untuk melihat salinan email yang saya hantar ke DBP, sila ke album FB saya di http://www.facebook.com/hasrulfadzli#!/photo.php?pid=1319351&id=1216378094

harap cikgu dapat komen dan betulkan mana yang salah.

terima kasih.

YAAKUB ISA said...

Hasrul,
Ingin saya tahu tentang di mana anda sekarang? Saya akan baca jawapan DBP itu, dan akan cuba beri pandangan selepas ini. Wassalam.