Sunday, March 2, 2008

Mahu Menjadi Penulis

Membina Diri di Tanjong Malim

Perayaan Sambutan Hari Kemerdekaan kami adalah pada agak lewat iaitu pada hari Sabtu 12 Oktober 1957. Sambutan dimulakan pada jam 8.30 pagi dengan perbarisan kehormat yang diketuai oleh Nordin Haji Mahmud di padang Kolej. Perbarisan itu disusun mengikut asrama, dan semua peserta memakai baju dan seluar putih serta bersongkok. Ketua Rumah Pateh Gajah Mada, Abdul Rahman Abas mengepalai perbarisan dengan wajahnya yang lebih serius dan bersemangat berbanding hari-hari biasa. Jamuan makan tengah hari diadakan di Dewan Makan. Tetamu kehormatnya ialah Mohd. Ghazali Haji Jawi iaitu Menteri Besar Perak dan Abdul Hamid Khan, ADUN Batang Padang. Para tetamu menyampaikan ucapan masing-masing. Dalam ucapannya wakil PPSITC menerangkan antara lain, pelajar-pelajar mengecap nikmat kemerdekaan dengan menerima kenaikan wang saku daripada $15.00 sebulan kepada $45.00 mulai tahun ini.

Pada sebelah malamnya pula diadakan Malam Aneka Warna Merdeka yang dipenuhi dengan nyanyian, tarian, lawak jenaka, deklamasi sajak dan syair. Persembahan istimewa malam itu ialah sebuah drama berjudul Kemusnahan dan tablo Semalam, Hari Ini dan Esok yang mengisahkan kedatangan penjajah bertukar ganti, bagaimana kemerdekaan tercipta dan seterusnya apa yang sewajarnya dilakukan untuk mempertahankan kemerdekaan itu. Majlis malam itu ditutup dengan pekikan tiga kali MERDEKA.

Pada 1957 selain Majalah Chenderamata yang diterbitkan oleh PPSITC, ada dua lagi penerbitan, iaitu Chendera Mata Merdeka dan Albam Hari Raya. Chendera Mata Merdeka diterbitkan oleh Persatuan Bahasa Melayu, dengan Sidang Pengarangnya diketuai oleh Aminuddin Baki, dibantu oleh Abdul Razak Abdul Hamid dan Othman Omar. Artikel di dalam buku ini kebanyakannya sumbangan daripada tokoh-tokoh luar Kolej seperti Abdullah Ayub, Za’ba, Harun Aminurrashid, Kamaluddin Muhammad (Keris Mas), S.M. Zainul Abidin B.A., Mahmud Ahmad, Dr. Burhanuddin El-Helmy, Ahmad Bakhtiar. Sementara penulis dalaman pula termasuklah Zainal Abidin Ali, Wahi Long, Ahmad Saleh, Ramli Shaari. Ada seorang penulis yang menggunakan nama samaran NUR menulis sebuah pengalamannya yang menarik. Sempena penerbitan ini juga diadakan peraduan mengarang di kalangan pelajar SITC dan MWTC. Artikel yang memenangi peraduan turut disiarkan di dalam penerbitan ini iaitu Che Wan binti Awang (Peranan Wanita Di Dalam Malaya Merdeka) dan Othman Abdullah (Malaya Merdeka Yang Saya Mahu). Sepanjang saya di SITC, pada pendapat saya, penerbitan sempena sambutan merdeka inilah penerbitan terbaik, baik dari segi teknik mahupun isi kandungannya. Saya dapati orang penting yang menjayakan penerbitan ini tidak lain daripada Aminuddin Baki, Abdul Razak Hamid dan Ahmad Saleh.

Kalau Chendera Mata Merdeka merupakan penerbitan terbaik, Albam Hari Raya pula sebaliknya. Penerbitan yang kedua ini bukan daripada mana-mana organisasi rasmi tetapi sebuah jawatankuasa ad hoc yang terdiri daripada Abu Bakar bin Shaari, Alias bin Zainun, Hashim bin Awang, Zakaria bin Md. Rabi, Nordin bin Haji Mahmud, Zainuddin bin Lapoh dan Hassan bin Ibrahim, semuanya pelajar Tahun Tiga. Mereka mengenakan $10.00 seorang kepada sesiapa yang ingin memasukkan gambar dan ucapan selamat hari raya untuk diterbitkan. Seramai 182 orang telah terdaftar. Buku setebal 40 muka surat dan bersaiz 23 sm x 15 sm ini mengandung beberapa artikel yang ditulis oleh mereka yang di luar Kolej seperti Budiman Radzi, Pena Mas, Juriah Johore, Jiwa Lara, Sharifuddin Hak, Razali Pathy yang rata-rata tidak dikenali sangat dalam bidang penulisan, termasuklah menyiarkan cabutan daripada sebuah tulisan lain yang tidak dinyatakan siapa penulisnya. Penulis dalaman cuma Adnan Jaafar seorang sahaja. Maklumat awal menyebut penyumbang gambar dan maklumat yang bakal dimasukkan di dalam album ini ialah pelajar SITC dan MWTC. Mendengar nama MWTC itu amat merangsangkan pelajar untuk menyertainya. Alangkah terkejutnya apabila diterbitkan hanya ada dua orang peserta wanita iaitu Rahimah Haji Aris dari Taiping dan Juriah Haji Talib dari Batu Pahat dan tidak pula dinyatakan sama ada mereka itu dari MWTC atau tidak. Sepanjang saya di SITC, pada pendapat saya penerbitan Albam Hari Raya inilah antara penerbitan terburuk, baik dari segi teknik mahupun isi kandungannya. Kos penerbitannya mungkin kurang daripada $1.00 sebuah dan mereka yang menerbitkan ini tentulah mendapat keuntungan yang agak lumayan.

Saya mendapat tahu tahun 1955 atau 1956 sebuah penerbitan yang berjudul Albam Kenangan telah diterbitkan. Saya sempat melihat penerbitan ini, dan ramai yang memuji penerbitan itu, baik dari segi isi kandungan mahupun tekniknya. Barangkali pengurusan Albam Hari Raya yang dinyatakan di atas ingin meniru kejayaan Albam Kenangan itu, tetapi nyatalah mereka gagal.

* * *

Semasa pilihan raya PPSITC 1959 mereka menyuakan borang untuk saya bertanding sebagai Ketua Rumah Pateh Gajah Mada. Pada saat akhir sebelum pencalonan ditutup saya menandatangani juga borang tersebut. Pertandingan untuk Ketua Rumah adalah antara ABDUL RAHMAN bin MAHAT dengan saya. Abdul Rahman kawan sekelas (lihat fail Darjah Satu A 1957 di dalam Blog ini). Hasil pengundian, sebagaimana dijangka: saya mendapat tempat kedua dan dilantik sebagai Penolong Ketua Rumah.

Sebenarnya ABDUL RAHMAN pada masa itu sedang sakit. Kami sekelas mengetahui hal ini. Pada suatu hari Cikgu SHAARI ISA membuka baju Rahman dan merasa-rasa perutnya sebelah kiri: dan bahagian itu keras. Semakin hari perutnya nampak membengkak dan keras seolah-olah sekeping papan. Wajahnya agak pucat dan pergerakannya menjadi lemah. Semasa Senaman dia tidak mengambil bahagian, demikian juga aktiviti kokurikulum di padang.

Suatu hari, ketika balik dari percutian di kampung Rahman membawa bekal ubat dan air jampi. Antaranya ialah sebiji botol yang berisi air jernih dan di dalamnya ada sekerat daun nipah atap rumah. Katuanya itu adalah air jampi penyakitnya yang dibuat oleh bomoh di kampungnya. Dalam keadaan dia sakit itu, kebanyakan tugas sebagai Ketua Rumah sayalah menjalankannya. Tugas itu pun tidaklah sulit sangat. Sebagai Penolong Ketua PGM saya tidak mendapat bilik khas kerana bilik Ketua Rumah didiami oleh Salam bin Mohd. Noh yang menjadi Penolong Ketua Pelajar, dan bilik yang satu lagi didiami oleh Abdul Rahman.

Rupa-rupanya takdir menentukan persahabatan saya dengan Rahman tidak berpanjangan. Suatu hari saya menyertai rombongan persatuan Ilmu Alam melawat Teluk Anson. Ada perbahasan dengan sekolah Anglo-Chinese dan kemudian melawat ladang nanas di Jandarata. Kami dibekali setin seorang nanas dalam tin. Kami tiba di asrama malam, dan keesokan paginya Alwi memberitahu saya abang Abdul Rahman dari kampungnya datang mengambil beliau untuk dibawa balik, berubat di kampung. Tidak berapa bulan selepas itu kami mendapat khabar yang mengejutkan iaitu Abdul Rahman bin Mahat telah meninggal dunia. Malam itu kami membaca Yaasin beramai-ramai di Bilik Tiga dan petang Jumaat berikutnya kami bertahlil di Surau.

Saya meneruskan tugas berbaki sebagai Ketua dan Penolong Ketua Rumah sekali gus. Pilihan raya tahun berikutnya ada orang mencadangkan supaya saya bertanding sekali lagi, tetapi saya nekad tidak mahu menjadi Ketua Rumah lagi. Saya tidak tahan menjadi Ketua Rumah kerana ada beberapa orang yang enggan tidur semasa lampu dipadamkan. Kalau setakat enggan tidur tidaklah menimbulkan masalah sangat, tetapi mereka berbuat bising sehingga mengganggu orang lain. Ubat yang biasa saya lakukan ialah memasang semula lampu, dan ini menambahkan lagi herok-pekok malam yang hening itu. Saya kerap juga memujuk mereka supaya tidur, dan kadang-kadang bersimpati juga mereka dengan rayuan saya itu. Saya masih ingat nama-nama seperti Ariffin Ngah (Morifin S.N.), Rashid Muda, Manaf Meon, Halim Hassan, Jaafar Bukhari yang selalu diserang 'penyakit payah tidur' itu. Mujurlah ada teman yang boleh diharap membantu seperti Alwi Taib, Abdul Rahim Pfordten, Juperi Ishak. Ketua Rumah selepas saya ialah Baharuddin bin Awang dan Penolongnya Abdul Manaf bin Meon.

Abdul Rahim bin Abdul Rahman Pfordten teman saya dari Pahang. Beliau berasal dari Brinchang, Cameron Highlands dan memasuki SITC kemudian setahun daripada saya. Beliau cepat dikenali dan popular kerana rupanya seakan-akan orang putih. Sebenarnya bapa beliau adalah seorang orang Jerman dan ibunya orang Melayu dari Melaka. Rahim yang memanggil saya ’abang’ itu bermain ragbi bagi Kolej. Permainan ini memang sangat sesuai dengan binaan badannya yang tinggi sasa itu. Saya sendiri jarang ketinggalan menonton permainan ini, lebih-lebih lagi jikalau mereka bermain semasa hujan lebat. Dalam suatu perlawanan, semasa scrum saya terdengar bunyi praak! Tangan Rahim patah. Beliau dirawat di hosipital Tanjong Malim dan tinggal di sick-bay. Jadi senanglah kami melawat: tidak kira siang atau malam. Emak Rahim turun dari Cameron Highlands dan menemani serta menjaga anaknya itu. Pada suatu malam, saya menziarahi Rahim dan berpeluang bercakap-cakap dengan emaknya. Rupa-rupanya di sebalik kehidupan yang nampaknya tenang dalam keluarga mereka tercatat kisah tragedi akibat zaman pemerintahan Jepun di Tanah Melayu. Cerita itu kemudiannya ditokok tambah pula lagi oleh Abdul Rahim setelah beliau sembuh. Saya tidak mahu menceritakan kisah yang diceritakan oleh ibu Rahim di dalam Blog ini. Cuma saya hendak menyebut sedikit betapa Rahim pernah memberitahu saya beliau merasa bersimpati dan kasihan kepada bapanya tentang kehidupan di Brinchang menjadikan orang tua itu sentiasa kesepian kerana tidak dapat berhubung dan berinteraksi secara intelektual sebagaimana ciri orang Eropah. Mereka - adik-beradiknya - jarang sangat berinteraksi dengan bapanya dalam bahasa Inggeris, bahasa yang bapanya lebih menghayatinya. Saya pernah ditunjukkan oleh Rahim surat bapanya menghargai tindakan Rahim menulis surat kepadanya dalam bahasa Inggeris. Sebenarnya, tujuan Rahim mengirim surat dalam bahasa Inggeris itu bukannya untuk memudahkan bapanya memahami maksud dan isi surat beliau, tetapi menyediakan dirinya untuk menjadi lebih cekap dalam bahasa itu sebagai persediaan menjawan soalan peperiksaan yang akan dihadapinya tidak lama lagi! Dan, sejak itu Rahim terus menulis kepada bapanya dalam bahasa yang lebih difahami oleh orang tua itu. Secara ringkasnya tidak ada orang yang boleh dilawan bercakap membincangkan hal-hal yang agak berat kerana, bagi Rahim, ada perbezaan kufu di antara ibu dengan bapanya. Maksud Kufu di sini bukannya pangkat dan darajat tetapi intelektual. Mulai hari itu saya memahami suatu aspek baru yang cukup berharga dalam kehidupan ini daripada pengalaman berhubung dengan Rahim dan latar belakangnya itu. Abdul Rahim kemudian berkahwin dengan guru pilihannya lepasan MWTC iaitu Kamariah dan terus berkhidmat sebagai guru sehinggalah beliau melibatkan diri dengan kegiatan dakwah al-Arqam dan berhenti daripada menjadi guru di bawah Kementerian Pelajaran sehingga sekarang.

Tahun itu saya dilantik pula oleh orang-orang Pahang menjadi Ketua Negeri. Pelantikan Ketua Negeri tidak dibuat melalui pilihan raya, tetapi undi sesama senegeri secara angkat tangan. Tugas Ketua Negeri pun tak banyak: antaranya membayar wang saku kepada kawan-kawan, menjadi Ahli Jawatanakuasa Makanan dan membantu kebajikan orang-orang Pahang dan menyusun perjalanan pergi balik semasa cuti penggal. Tentang dua tugas terakhir ini boleh dikatakan tidak ada yang perlu dilakukan. Tiga tahun terakhir ini kami diberi tiket waran kereta api dari Tanjong Malim ke Mentakab, Jerantut atau Kuala Lipis. Dari sana kami menaiki apa sahaja kenderaan dan dibenarkan menuntut semula dengan Kolej. Biasanya kami yang dari Kuantan turun di Jerantut sebab boleh lebih lama menaiki kereta api dengan Zakaria bin Puteh dan Abu Bakar bin Yusof serta kawan-kawan lain dari Kelantan dan Terengganu yang menaiki kereta api yang sama, selain daripada ada berkhidmatan bas terus dari Jerantut ke Kuantan. Sekiranya turun di Mantakab kami terpaksa bertukar tiga kali bas sebelum sampai ke Kuantan.

Ketika kembali ke Kolej biasanya kami bertemu dengan pelajar MWTC: Kamariah Noh dari Jerantut, Rashimah Ismail, Rokiah Abdul Malek, Safiah Muhammad, Zainab Shahar dari Kuantan, Saleha Ahmad dan Ainon Abdul Hamid dari Pekan dan di Pahang Barat ada Hasnah Ahmad, Rokiah Aziz dan Zainab Wok yang lebih senior dari kami. Sekitar tahun 1958 YTM Tunku Abdul Rahman merestui penubuhan sebuah pasukan bola sepak wanita peringkat kebangsaan (barangkali inilah pasukan bola sepak wanita pertama di tanah air) dan pernah berlawan di luar negara. Penjaga golnya ialah bakal guru dari Pahang yang masih belajar di MWTC yang juga kawan kami iaitu Rashimah Ismail itu tadi. Beg Rashimah lebih besar berbanding beg orang lain dan sangat berat sehingga tidak terangkat olehnya. Ada orang bergurau secara menyindirnya mengatakan dia membawa batu giling ke Maktab. Mahu tidak mahu pelajar lelakilah yang menolong menaik dan menurunkan beg besar dan berat itu; dan tugas ini selalu dilakukan oleh Abdul Malek Abdul Rahman, seorang yang memang selalu kelihatan gagah.

* * *

Selepas selesai Peperiksaan Sijil Pelajaran Rendah yang mereka istilahkan itu, kami memasuki tahap baru iaitu kursus perguruan. Pelajaran Agama yang diajari oleh Tuan Haji Hassan dan Tuan Haji Daud itu diteruskan, kerana kami bukannya hendak menjadi guru agama. Mata pelajaran lain kandungannya ditumpukan kepada kaedah mengajar selain aspek akademiknya. Pensyarah Kaedah Mengajar kami ialah Cikgu Mustafa Kimin. Beliau berbadan besar, kepala hampir botak, berumur lewat 40-an, tetapi masih bujang. Entah disebabkan kaedah mengajarnya banyak berfalsafah atau sebab-sebab lain, pengajaran beliau kami rasakan sangat kurang menarik.

Pada masa itu timbul khabar tentang gaji yang akan bakal kami terima sebagai guru multipurpose setelah lulus kelak. Gaji kami dikatakan $135.00 sebulan, dan sekiranya kami boleh dan lulus mengajar bahasa Inggeris gaji permulaan $210.00. Besar bezanya itu, tapi nak meluluskan diri mengajar bahasa yang kami sendiri terkatung-katung itu merupakan masalah besar pula.

Akhirnya kami memutuskan untuk mengambil kaedah mengajar bahasa Inggeris dan dengan apa cara jua pun mesti mencapai tangga gaji yang lebih tinggi itu. Sebenarnya hal inilah yang menjadi penggalak saya mempelajari bahasa Inggeris secara bersungguh-sungguh. Tidak sedikit juga bilangan kawan-kawan yang berpatah hati sebelum berbuat apa-apa lagi.

Mengukuhkan Minat Menulis

Saya terus menimba kemahiran dalam satu lagi bidang yang saya minati dan ada serba sedikit kebolehan, iaitu bidang penulisan. Modal saya tidak lain daripada tabiat suka membaca sejak lama lagi. Pada peringkat awal dahulu Cikgu Abdul Razak Hamid pernah membimbing kami dalam bidang cerita pendek melalui aktiviti Persatuan Bahasa Melayu. Cikgu Wahi Long juga turut membimbing dengan meminta kami membuat sebuah cerpen kemudian memberikan kepada beliau untuk disemak. Sayangnya cerpen itu sehingga kini tidak dikembalikan, mungkin kerana kesibukan beliau sendiri, apatah lagi beliau kemudiannya berpindah dari SITC. Kami merujuk tulisan Muchtar Lubis berjudul Panduan Menulis Cherita Pendek, terbitan Balai Pustaka, Jakarta sebagai panduan. Belajar tanpa bergurulah kami pada masa itu. Akhir-akhir ini pensyarah yang terkenal dalam bidang penulisan seorang demi seorang bertukar. Mula-mula Cikgu Wahi Long sebagaimana yang saya katakan tadi; kemudian Cikgu Abdul Razak Hamid pula. Selepas itu datang pula Cikgu Abdul Rahim Darus dan Cikgu Abu Hassan Ali. Tetapi Cikgu Ahmad Abdul Wahab masih ada di Tanjong Malim. Cikgu Shaari Isa yang akhir-akhir ini menulis novel pada masa itu tidak langsung menunjukkan kebolehan atau minatnya dalam bidang ini. Ada beberapa orang pelajar yang kerap namanya tersiar di dada akhbar pada masa itu, antaranya Adnan Jaafar (cerpen), Arifin Ngah (sajak), Nordin Omar (yang menggemparkan dengan sajaknya Akulah Tuhan); Kemala (sajak), A. Wahab Ali (cerpen) dan Ali Majod (cerpen). Saya masih ingat Ali Majod pernah menemui saya semasa saya mengedit Majalah Bayu dan bertanya tentang penulisan cerpen. Entah apa yang saya jawab pada masa itu! Saya malu sungguh apabila Ali jauh maju ke hadapan dalam bidang cerpen dan penulisan kreatuf berbanding saya selepas itu.

Saya menulis esei dan mengarang cerpen. Cerpen pertama saya yang memenangi peraduan anjuran DBP berjudul Dua Sahabat. Cerpen ini mendapat hadiah sagu hati sebesar $100.00. Bukan hadiah itu sangat yang saya pandang, tetapi kegembiraan saya melonjak-lonjak apabila nama saya disiarkan dalam akhbar dan kemudiannya cerpen saya dicetak dalam antologi Cerita Pendek Kanak-Kanak II.

Saya terus menyumbang artikel kepada setiap penerbitan di Kolej, termasuk yang diterbitkan dalam bentuk stansilan. Artikel saya berjudul Madam Marie Curie tersiar di dalam buletin Persatuan Sains, yang berjudul Wright Brothers dalam Jurnal Persatuan Ilmu Hisab. Semuanya merupakan hasil pembacaan saya dalam bahasa Inggeris, kemudian disesuaikan. Majalah Cenderamata 1959 menerbitkan artikel saya berjudul ’Mengenang Pahlawan-pahlawan Kebangsaan’ sementara Cenderamata 1960 judul artikel saya bertambah serius sedikit iaitu ’Ekonomi dan Pendidikan Kita’ Saya juga dilantik menjadi salah seorang editor Majalah Bayu iaitu sebuah penerbitan dwi-tahunan Persatuan Bahasa Melayu.

Di peringkat Kolej, saya juga menyertai pelbagai peraduan. Saya telah mendapat Hadiah Ketiga Peraduan Mengarang Cerita Pendek Persatuan Bahasa Melayu (1959); Hadiah Pertama Peraduan Mengarang Cerita Pendek Persatuan Bahasa Melayu (1960); Hadiah Pertama Peraduan Menulis Rencana Kesusasteraan Persatuan Bahasa Melayu (1960); Hadiah Pertama Peraduan Esei Tunas Bahasa (1960); Hadiah Kedua Peraduan Tawarikh Hadiah Kedah (1959); Hadiah Pertama Peraduan Tawarikh Hadiah Kedah (1960). Semua hadiah diberikan dalam bentuk buku dan piala (pusingan). Kebanyakan buku hadiah tersebut masih ada dalam simpanan saya sehingga kini.

Dalam bidang berpersatuan pula saya menjadi ahli jawatankuasa Majlis Bahas dan Syarahan, Persatuan Tawarikh, Kelab Lukisan, Ahli Jawatankuasa Makanan dan Ketua Negeri Pahang.

Seminar Ekonomi

Saya juga mengikuti Kursus Ekonomi Radio yang dianjurkan oleh Radio Malaya, Universiti Malaya dan Persatuan Pelajaran Dewasa Persekutuan Tanah Melayu secara persendirian. Pengelola Kursus ialah Profesor Ungku A. Aziz dengan penceramahnya terdiri daripada Salehuddin Mohamad (kemudiannya menjadi KSN), Raja Mohar Badiozzaman, Arshad Ayub, Agus Salim, Azah Aziz dan beberapa orang lagi yang saya telah lupa nama mereka. Peserta kursus yang terbuka kepada sesiapa sahaja itu dikehendaki membuat dua buah latihan berupa kertas penyelidikan, dan mereka yang terbaik kajiannya akan dipilih menyertai Seminar Ekonomi di Universiti Malaya. Saya membuat kertas penyelidikan tentang perusahaan kelapa kering di Ganchong dan tanpa diduga terpilih sebagai salah seorang peserta yang berjaya. Seorang lagi kawan saya dari SITC iaitu Lokman bin Kidam dari Negeri Sembilan turut terpilih. Kami diberikan cuti khas oleh pihak Maktab untuk menghadiri Seminar tersebut.

Kami berdua menaiki kereta api pagi dari Tanjong Malim dan alangkah terkejutnya kami disambut di stesyen kereta api Kuala Lumpur oleh Ungku A. Aziz sendiri. Kami terus dibawa dalam kereta Universiti Malaya dan ditempatkan di Kolej Kedua. Ceramah dan Seminar diadakan di Dewan Kuliah A. Sebuah forum akan diadakan di auditorium Radio Malaya di Federal House. Di situlah saya berkenalan dengan beberapa orang kakitangan Radio Malaya, termasuk Raja Iskandar Zahid yang kemudiannya kami bertemu lagi beberapa kali. Semasa bermalam di Kolej Kedua itu saya menyelitkan nota kecil di celah almari, pada tempat yang tidak terlihat oleh orang, mencatatkan janji dan hasrat saya untuk tinggal di situ semula suatu masa nanti. Di Kolej Kedua itulah buat pertama kalinya saya berpengalaman menggunakan tandas jenis duduk yang sangat berlainan dengan tandas kami di Tanjong Malim. Pertama kali menggunakannya tentulah boleh diagak masalah yang saya hadapi! Semasa sarapan saya merasa sedap benar makan roti yang dibubuh daging cincang. Saya belum pernah bertemu, apatah lagi memakan daging cincang seperti itu. Dalam banyak hal, saya bolehlah dikatakan orang kampung yang ’teruk’ ketika bertemu ciri-ciri kehidupan moden di bandar. Dan, kemudahan di SITC masihlah sangat jauh bezanya berbanding Second College UM dalam segala aspek. Semasa saya memasuki UM pada 1969 saya pergi juga ke Kolej Kedua itu tetapi saya lupa bilik mana yang saya duduki dahulu, tambahan pula perabot Kolej telah diganti baru semuanya.

Setelah selesai seminar kami tidak terus balik ke Tanjong Malim, meskipun perkhidmatan kereta api ke utara masih ada. Ini semua atas cadangan Lokman, yang mengajak saya bermalam semalam di rumah saudaranya di kuarters kakitangan kereta api tidak jauh dari Stesyen Keretapi Tanah Melayu itu. Malam itu kami menonton wayang di salah sebuah panggung wayang di Kuala Lumpur yang saya tidak ingat lagi namanya. Cerita wayang yang kami tontoni itu pun saya tidak ingat judulnya. Keesokan harinya kami bertolak ke Tanjong Malim menaiki kereta api tengah hari. Di dalam kereta api kami bertemu dengan beberapa orang peserta lain yang balik ke utara.

Setelah kembali ke Kolej, saya menerima pujian yang bukan main oleh guru pengawas saya iaitu Cikgu Ahmad Abdul Wahab. Beliau mengatakan saya mengharumkan nama Kelas 3A dengan terpilih menyertai Seminar Ekonomi dan memenangi beberapa pertandingan mengarang. Saya memang rasa sangat bersyukur dan teruja kerana menerima pujian itu. Saya sendiri merasa sangat bertuah kerana terpilih mengikuti Seminar Ekonomi melalui Kursus Ekonomi Radio itu, kerana tanpa kursus itu tidak mungkinlah saya dapat melihat dan tinggal di kampus Universiti Malaya dan auditorium Radio Malaysia serta mengenali, berjabat tangan, berbincang serta bertukar-tukar fikiran dengan tokoh-tokoh terkemuka tanah air, terutamanya Profesor Ungku A. Aziz sendiri. Benih yang ditanam melalui program ini turut menyemarakkan cita-cita saya untuk melanjutkan pengajian ke Univeristi Malaya pada suatu masa nanti.

Menerbitkan Majalah

Penerbitan Majalah Bayu yang menjadi wadah Persatuan Bahasa Melayu dijelmakan pada 1960 dengan saya sebagai salah seorang anggota redaksinya. Banyak benar saya mempelajari dalam bidang penerbitan dan penulisan semasa menjadi redaksi majalah ini. Untuk menjayakannya, Persatuan Bahasa Melayu membeli sebuah mesin taip baru, di samping kami dibenar menggunakan mesin taip dan mesin pendua Kolej. Kami menggunakan sepanjang hujung minggu dan kadang-kadang di sebelah petang untuk menaip, menggelak dan menyusun kertas majalah ini. Setelah disusun, kami membawa ke Standard Engravers and Arts Printers, Jalan Campbell, Kuala Lumpur untuk dilekatkan kulit (yang dicetak di situ) dan dipotong kemas. Kami ke Kuala Lumpur menaiki kereta Opel kepunyaan Cikgu Abdul Razak, penasihat Persatuan kami. Yang pergi ke Kuala Lumpur itu biasanya Abdullah Othman, Ramli Mohd. Noh, Kassim Haji Rahmat dan saya. Memang tepulah Opel Cikgu Razak itu pergi balik.

Kerap juga kami diajak oleh Cikgu Razak ke rumahnya di Taman Kamariah, Gombak. Kadang-kadang, kalau muatan tidak banyak, isteri beliau Cikgu Zaharah dan anak mereka Zukkefli (sekarang Profesor Datuk Dr. Zulkefli, Naib Canselor USM) masih kecil sangat lagi ikut serta. Saya tidak ingat nama kakak Zul yang kerap bersama-sama kami dalam kereta bapanya itu.

Pernah satu malam ketika kami melalui kawasan Kerling, kabus terlalu tebal di atas jalan raya. Di situ banyak sekali lembu sapi, iaitu lembu susu peliharaan orang-orang Benggali yang berkeliaran di atas jalan raya. Cikgu Razak memperlahankan keretanya sementara kami bergilir-gilir berjalan di hadapan kereta, menyuluh jalan dengan lampu suluh, takut kalau-kalau terlanggar lembu yang berwarna kehitam-hitaman itu.

Hubungan saya dengan Cikgu Abdul Razak boleh dikatakan tidak putus setakat ini. Saya dengan Mohd. Hassan Ali dan Abdul Aziz Haji Long pernah singgah di Masjid Gombak pada suatu petang untuk bersembahyang maghrib. Selepas bersembahyang saya melihat kanak-kanak mengerumuni seseorang, lalu saya dekati. Rupa-rupanya yang dikerumini kanak-kanak itu tidak lain tidak bukan Cikgu Abdul Razak. Saya bertanya dia, Cikgu mengajarkah ni? Dia ketawa sebagaimana biasa dan menjawab yang dia sedang mencatat nama budak-budak yang mahu bersunat yang dikelolakan oleh Masjid. Beliau rupa-rupanya Setiausaha Masjid Gombak.

Suatu hari seorang kawan anak saya Khairul Faizi yang sama-sama belajar di UUM berjalan ke rumah kami. Saya bertanyakan anak ini, di mana dia tinggal. Rupa-rupanya dia tinggal di kawasan Taman Kamariah dan sangat mengenali Cikgu Abdul Razak. Apabila dia balik, saya menitipkan melaluinya sebungkus keropok lingkar (lekor) untuk disampaikan kepada Cikgu Razak. Pada petang itu juga saya menerima telefon daripada beliau mengatakan kiriman itu telah diterima dan beliau mengucapkan terima kasih.

Memasang Cita-cita Masa Depan

Pada 1959 itu terbetik di kalangan kami untuk meneruskan usaha meningkatkan diri, terutama setelah kami berjaya lulus dalam peperiksaan LCE-type. Salah satu halangan yang kami sedari untuk lulus dalam peperiksaan Cambridge School Certificate atau Federation of Malaya Certificate of Educatiom ialah kami tidak mempunyai grouping mata pelajaran yang mencukupi kerana kami tidak mampu menjawab kertas Science yang merupakan satu kumpulan tersendiri dan wajib diambil. Jalan keluar akhirnya dijumpai, tetapi jalan ini tidak mudah untuk dilalui. Kami terpaksa mengambil mata pelajaran Health Science yang tidak memerlukan makmal dan latihan amali. Walaupun mata pelajaran ini belum pernah kami pelajari, tapi sedikit sebanyak telah kami mengetahui melalui mata pelajaran Kesihatan yang kami belajar semasa dalam Darjah Lima dan Enam dahulu dan diagakkan boleh dijadikan asas. Halangan kedua ialah kami terpaksa mempelajari subjek ini dalam bahasa Inggeris kerana soalannya dalam bahasa tersebut.

Masalah kami akhirnya dapat diselesaikan: Cikgu Shaari Isa bersetuju mengajar kami (kira-kira 20 orang) setiap pagi Sabtu. Tempatnya di Makmal Sains. Beliau tidak mahu menerima sebarang bayaran daripada kami. Penyelesaian masalah keempat ini merungkai semua masalah lain. Hanya beberapa orang daripada kami yang dari Darjah Satu A 1957 dahulu yang tidak menyertai kelas itu, kerana kebanyakannya masalah bahasa Inggeris itulah. Kelas Health Science itu sempat selesai, iaitu sehingga buku teks berwarna merah (saya tidak ingat lagi judul dan pengarangnya) habis kami pelajari dari kulit ke kulit dalam suasana yang diliputi dengan keseronokan dan harapan tinggi dan dibantu oleh seorang guru kami yang amat dedikasi dan memahami. Jasa Cikgu Shaari Isa kepada peningkatan kualiti hidup kami sangatlah besar. Saya berdoa agar beliau sentiasa diberkati Allah SWT di dunia dan di akhirat. Terima kasih Cikgu!

No comments: