Monday, September 1, 2008

Cerita Kampung Yang Pupus

Kampung Kemuning

Konon nama kampung itu Kampung Kemuning, terletak di tebing Sungai Teris, Lanchang, Mentakab. Suatu masa dahulu kampung itu merupakan sebuah kampung yang penuh dengan dusun buah-buahan, terutama durian dan langsat. Tidak diketahui sebab yang pasti mengapa kampung berdusun secantik itu ditinggalkan. Mereka yang mengunjung kampung itu pada musim durian gugur terpaksa menjunjung kawah bagi mengelakkan kepala ditimpa durian. Kawah itu digunakan untuk memasak durian untuk dijadikan lempuk kerana untuk membawa durian keluar bukannya perkara mudah. Perjalanannya jauh dan jalannya sukar dilalui. Demikianlah cerita orang.

Kini wujudlah beberapa kampung dan petempatan tradisional yang agak jauh daripada Kampung Kemuning, seperti Semantan, Kampung Bolok, Kampung Cempaka, Kampung Lana, Kampung Teris, Kampung Paya Laman, Kampung Den. Dr. W. Linehan dalam buku A History of Pahang hanya menyebut Terih, Semantan dan Lubuk Terua ketika menyebut gerakan penentangan terhadap Inggeris di Pahang oleh Bahaman dan Mat Kilau.

Kewujudan Kampung Kemuning selama ini hanyalah menjadi cerita mitos di kalangan generasi tua sekitar lembah sungai Semantan. Pergerakan pasukan Mat Kilau, Tuk Gajah dan Bahaman di Pahang Barat dikatakan melalui kampung ini, memudiki Sungai Teris untuk ke Raub, kemudiannya ke Lipis, Budu dan menghilir semula Sungai Pahang menuju Pulau Tawar, Kelola, Paya Kedangsa; atau mudik ke anak Sungai Jelai ke Kuala Tembeling, Pasir Sia, Pasir Mandi, Jeram Ampai, terus ke Terengganu, Kelantan dan Siam.

Ada sekeping peta Pahang yang dilampirkan dalan buku karangan W. Linehan: A History of Pahang (JMBRAS Vol. XIV, Part II, Jun 1936) yang disebutkan tadi tidak tercatat nama Kampung Kemuning. Peta negeri Pahang paling lama yang ada di Muzium bertarikh 1940, dengan catatan huruf tebal ‘EMERGENCY’. Mungkin peta itu digunakan untuk persediaan perang melawan tentera Jepun. Nama Kampung Kemuning tidak juga tercatat di atas peta tersebut. Ini bermakna, tahun 1936 kampung tersebut telah pupus.

Zon Pertanian

Kawasan sekitar Lancang diwartakan sebagai kawasan pertanian yang bakal mengeluarkan buah-buahan secara besar-besaran. Ladang pisang restali saujana mata memandang. Begitu juga ladang buah naga, sayur-sayuran, malah ada diusahakan tanaman buluh jepun yang mengeluarkan rebung untuk dibuat sayuran.

Dalam usaha membina lahan pertanian itulah salah seorang pengusaha menolak tanah dan menemui beberapa bahagian rangka manusia. Itulah mulanya pecah khabar kampung yang pupus ini.

Maka pada 16 Julai 2008 yang lalu pihak Muzium Negeri Pahang meminta saya ikut serta ke Lancang untuk menyertai rombongan yang diketuai oleh ADUN setempat YB Dato’ Haji Mohd. Sharkar Haji Shamsuddin, Pegawai Daerah, Kadi Temerloh, Polis, Penghulu, Ketua Kampung, Tok Imam dan beberapa wartawan ke kawasan yang ditemui rangka manusia itu.

YB Dato’ Mohd. Sharkar menyatakan bahawa kawasan tempat ditemui rangka itu tidak termasuk di dalam kawasan yang diberi hak milik sementara (TOL) bagi projek tanaman sayur; cuma pihak yang berkenaan secara sengaja atau tidak sengaja telah memasuki kawasan itu yang di dalam pelan derah masih tercatat kawasan rizaf kubur walaupun tidak pernah digunakan bagi tempoh yang sangat lama.


Bertahlil ringkas di tapak perkuburan

Keputusan yang dibuat di tapak perkuburan ialah YB Sharkar meminta penduduk kampung membuat kenduri tahlil sebagai membayar diat di atas kesilapan menceroboh kubur. Beliau bersetuju menyediakan dua ekor lembu bagi kegunaan kenduri, sedangkan orang-orang kampung diminta menguruskan hal-hal lain. Beliau berjanji akan menghadiri kenduri itu nanti.

Disebabkan kami dari Lembaga Muzium Negeri Pahang, orang kampung menawarkan kami untuk mengambil sebahagian tulang rangka itu dibawa balik untuk dikaji tentang siapa mereka, kalau boleh berapa lama mereka meninggal dan sebagainya.

Saya mula kelam-kabut dan berbincang dengan Pegawai Muzium, Encik Alauddin Abdullah. Saya tahu sangat, kami tiada alat, apa lagi kepakaran untuk kerja-kerja begitu, ditambah pula dengan kurangnya rasa berani menangani perkara yang acap kali dikaitkan dengan kejadian menggerunkan.

Sebenarnya dalam perjalanan ke Lancang saya sempat menelefon teman saya, pakar anthropologi yang sedang mengukir nama, Profesor Dato’ Dr. Nik Hassan Suhaimi yang sedang membuat ekskavasi di Kuala Gula bertanyakan pandangan beliau tentang hal itu. Pandangan beliau, dari segi anthropologi tentunya, ekskavasi hanya boleh dijalankan di kawasan yang belum terusik, sedangkan kawasan ini telah dilanda jentolak beberapa kali.

Kami menolak dengan baik pelawaan untuk menyimpan tulang manusia itu.


Tulang manusia yang dijumpai secara tidak disengaja

Pada 20 Ogos 2008 saya menerima telefon daripada Sdr Alauddin Abdullah meminta saya bersedia untuk ke Bukit Kemuning sekali lagi kerana pegawai dari Kementerian Warisan akan melawat ke sana dan mereka meminta pihak Muzium membantu. (Saya sebenarnya bukan lagi sebagai Ahli Lembaga kerana surat pelantikan Ahli Lembaga Muzium telah tamat bulan Disember 2007 dan Menteri Besar belum menandatangani surat pelantikan ahli yang baru). Apa pun statusnya, tak salah kalau saya memberikan khidmat sukarela kepada Muzium.

Lawatan kami kali ini hanya disertai oleh Ketua Kampung dan Tok Imam sahaja. Tuan Kadi Temerloh, Ustaz Badlishah Alauddin, berada di Kuala Terengganu, urusan Musabaqah Antarabangsa di Pulau Wan Man. Beliaulah yang meminta Ketua Kampung dan Tok Imam membantu kami.

Kami tidak lagi berpeluang melihat tulang rangka yang dijumpai dahulu kerana semuanya telah dikapan dan ditanam semula selepas majlis kenduri yang menumbangkan dua ekor lembu sumbangan YB Dato’ Mohd. Sharkar dahulu. Malah, Ketua Kampung memberitahu kubur itu akan diturap dengan simen kerana peruntukannya telah diperolehi, sekadar menanti keputusan siapa yang bakal mendapat konterek membinanya sahaja lagi.

Tak mengapalah. Pegawai dari Kementerian Warisan itu pun menyatakan mereka tidak memerlukan tulang rangka itu kerana baginya umur kawasan itu di bawah 500 tahun. Mesin radio-dating carbon hanya efektif sekiranya umur fosil mencecah ribuan tahun; lebih lama lebih tepat kiraannya.


Sungai Terih yang bersejarah, dengan airnya mengalir terus ke Kuala Semantan

Sebelum meninggalkan kawasan kampung pupus itu saya sempat bertanya Ketua Kampung, Encik Mat Lela (h.p.: 0126194481) kalau-kalau ada kemungkinan anak cucu penduduk kampung ini membuka semula kampung nenek moyang mereka. Pokok langsatnya masih banyak; durian ada dua pokok, dan Sungai Terih masih mengalirkan air jernihnya ke Sungai Semantan yang penuh sejarah; meskipun tebingnya ditumbuhi rimbunan pokok renek yang menanti untuk dibersihkan.

Sunday, August 31, 2008

31 Ogos

Ada Peristiwa Peribadi

Tarikh 31 Ogos mempunyai kaitan khusus dengan peristiwa peribadi saya. Pertama, Nurziah dan saya berkahwin pada 31 Ogos. Sebenarnya saya tidak campur tangan langsung menentukan perkahwinan kami pada tarikh itu; sebaliknya semuanya diputuskan oleh keluarga kedua belah pihak, dan saya hanya diberitahu setelah semuanya diputuskan, dan kad jemputan dicetak. Saya bersetuju menerima sahaja penentuan itu dengan rasa bersyukur. Tahun 2008 ini perkahwinan kami masuk ke tahun yang ke-35. Sebagaimana tahun-tahun sebelumnya, kami tidak menjadikan tradisi merayakan ulang tahun perkahwinan. Sepatutnya kami kena merayakan ulang tahun ke-30 tetapi agak malang kerana tidak seorangpun antara kami yang mengingatinya, dan tarikh itu berlalu begitu sahaja.

Pada tahun ini, saya berjanji untuk merayakan ulang tahun ke-40 apabila sampai masanya nanti. Itu pun jika Tuhan panjangkan umur kami.

Peristiwa kedua ialah anak kami yang kedua MUHAMMAD HAFIZ dilahirkan pada 31 Ogos juga, tetapi empat tahun setelah perkahwinan kami. Semasa bersekolah rendah, Hafiz selalu mengadu yang hari lahirnya tidak dapat diraikan di sekolah oleh guru dan kawan-kawan sekelasnya kerana 31 Ogos sekolah ditutup; padahal guru kelasnya amat prihatin tentang tarikh lahir murid-muridnya dan sentiasa menyediakan kek dan meraikan mereka sekelas. Untuk menyedapkan hati Hafiz, saya katakan, ulang tahun hari jadinya dirayakan oleh seluruh rakyat Malaysia dengan perbarisan dan perarakan tentera dan polis dan aktiviti lain di seluruh negara. Betapa meriahnya!

Ceramah Ambang Merdeka

Pada kebiasaannya, setelah bersara, setiap menjelang 31 Ogos ada sahaja jemputan untuk memberikan ceramah tentang sejarah perjuangan kemerdekaan. Jemputan datangnya daripada sekolah-sekolah menengah dan rendah dalam daerah Kuantan. Dan, akhir-akhir ini jemputan begini semakin bertambah.

Untuk bahan ceramah, saya sediakan melalui program power point. Sekiranya ceramah itu diadakan di ruang terbuka atau separuh terbuka, saya hanya bercerita begitu-begitu sahaja. Kalau dalam situasi begini, tentulah banyak menggunakan contoh berbentuk cerita berdasarkan pengalaman diri. Sehingga kini bahan ceramah telah dikemas kini beberapa kali sehingga power point saya lebih daripada 100 frame.

Tahun 2008 ini, ceramah tentang kemerdekaan dimulakan di SMK Tanah Puteh, Kuantan. Saya juga dijemput menonton persembahan pelajar yang berupa pentomin, nyanyian koir dan sketsa. Selesai semuanya, saya diminta menanam sebatang pokok berhampiran Dewan Sekolah sebagai kenang-kenangan peristiwa hari itu. Saya sangat tertarik persembahan murid-murid India yang berbentuk pentomin. Mereka nampak bersungguh-sungguh melakukannya. Saya turut berasa bangga.

Sekolah ini murid-muridnya sangat heterogen berbanding sekolah lain di Kuantan. Saya sangat tertarik ketika mengetahui Pengetua sekolah ini, Encik Moy Wah Goon (asal Pulau Pinang) berkahwin dengan seorang wanita berketurunan India yang kini menjadi Pensyarah di Institut Perguruan Tengku Afzan, Lipis.

Jemputan untuk berceramah Ambang Merdeka oleh Sekolah Menengah Sains Sultan Ahmad Shah (SEMSAS) dan Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung terpaksa saya tolak kerana saya telah terlebih dahulu menyanggupi jemputan untuk bersama-sama pelajar UiTM Kampus Sekilau bagi majlis yang sama.

Saya bertolak dari rumah malam 30 Ogos itu agak awal kerana saya belum berapa pasti arah kedudukan Dewan Sekilau UiTM Kuantan. Sedang saya memandu sekeliling kawasan kampus, Sdr Mohd Afiq Abdullah, Presiden Jawatankuasa Perwakilan Kolej menelefon saya tentang sama ada saya boleh datang atau tidak. (Ini kali ketiga Mohd. Afiq mahu mempastikan kehadiran saya!). Saya menyatakan saya pasti datang (sebenarnya saya telah datang) dan meminta kepastian beliau jam berapa saya patut tiba.

Cikgu Nanda Kumaran

Disebabkan masa masih berbaki kira-kira 35 minit, saya memandu ke kawasan yang berhampiran, melalui rumah Sdr Haji Aning, Sdr Wan Abdul Razak, rumah kawan saya mendiang Ooi Toon Kiong dan rumah Sdr Nanda Kumaran. Saya lupa nombor rumah Nanda, tapi saya cuba menelefon beliau untuk mengucapkan Selamat Hari Kemerdekaan. Beliau terdengar cukup gembira dan mengatakan beliau berada di sekolahnya (SMK Saint Thomas) dengan guru dan pelajar menyambut Ambang Merdeka.

Nanda pernah mengajar bersama-sama saya semasa saya menjawat jawatan Pengetua SM Ahmad, Pekan. Beliau saya ibaratkan sebagai seorang guru sejati yang aktif, pintar dan dedikasi. Jarang saya menemui guru sebaik dan seikhlas Nanda. Setiap tibanya Hari Guru beliau pasti menghantar SMS dengan ucapan selamat hari guru kepada saya. Setelah memberitahu Nanda yang saya juga ada program yang sama di UiTM, beliau menjemput saya untuk bersama-sama merayakan Kemerdekaan di sekolahnya setalah tamat berceramah nanti.

Saya memasuki kawasan UiTM tepat sebagaimana dicadangkan oleh Afiq – tepat jam 9.45 malam. Pelajar-pelajar telah bersedia: duduk bertimpuh di lantai di dalam dewan yang amat sederhana itu. Setelah berbasa-basi, saya memulakan ’celoteh’ berbantu power point. Semasa berceramah, saya juga menggunakan peluang bertanya itu-ini dengan mahasiswa yang nampaknya jernih, manis dan bijaksana semuanya. Ada yang datang dari Sarawak dan Sabah, tetapi kebanyakannya dari Semenanjung.

Mereka nampaknya menarik apabila saya menerangkan konsep penubuhan Malaysia yang agak berbeza dari pandangan umum di Semenanjung berbanding penduduk Sabah dan Sarawak. Perkara ini pernah kami polemikkan dengan Profesor Jawan anak Jayun dalam satu Seminar Mata Pelajaran Pengajian Malaysia di sebuah hotel di Seberang Jaya, Pulau Pinang beberapa tahun yang lalu.

Saya sempat juga cuba memancing fikiran mahasiswa itu dengan menayangkan dua slaid tentang tulisan YAB Tun Dr. Mahathir Mohamad di dalam Blog beliau pada hari ini yang berbunyi:

”"UMNO mudah lupa jasa pejuang-pejuangnya. Bukan sahaja UMNO dan Kerajaan pimpinan UMNO tidak memberi penghargaan kepada tokoh-tokoh seperti Ibrahim Yaacob, Ahmad Boestamam, Ishak Hj Mohammad dan Dr Burhanuddin, tetapi jasa Dato Onn Jaafar pun tidak dihargai seperti pemimpin-pemimpin UMNO yang lain walhal Dato Onn bukan sahaja Yang Dipertua UMNO yang pertama tetapi di bawah pimpinannya UMNO dan orang Melayu berjaya menewas rancangan British, sebuah kuasa dunia yang baru sahaja menang perang.

Dato’ Onn memimpin orang Melayu yang miskin dan daif, yang berpecah kepada rakyat masing-masing negeri supaya bersatu padu dalam UMNO dan menentang British sehingga British terpaksa tunduk kepada tuntutan Melayu dan menggugurkan Malayan Union kurang dari dua tahun penubuhannya.


Jasa Dato’ Onn kepada orang Melayu, kepada UMNO amatlah besar dan jasanya harus dikenang dan diberi penghargaan yang tidak kurang daripada jasa Tunku Abdul Rahman, pejuang kemerdekaan.”

Ada pelajar yang peka tentang hal ini dengan mengatakan selama 22 tahun Tun menjadi Perdana Menteri, apakah yang beliau telah buat baik dalam UMNO mahupun dalam kerajaan yang diterajuinya tentang perkara ini? Saya sendiri turut terkejut bagaimana Yang Amat Berbahagia Tun Dr. Mahathir Mohamad mengakui hal ini 'secara hitam-putih'. Benar, yang beria-ria menyuarakan hal ini adalah mereka yang mengajarkan sejarah di dalam kelas di sekolah atau dewan kuliah atau bilik-bilik tutorial di IPT. Ada tindakan beberapa NGO seperti GAPENA dan persatuan sejarah serta organisasi penulis lain. Suara mereka tenggelam di dalam kemelut perebutan itu-ini (ya, kekuasaan, kekayaan, dan pengaruhlah, apa lagi) di kalangan orang-orang politik. Saya biarkan mereka memikirkannya sendiri.

Saya diberikan tempoh satu jam. Selepas itu pengerusi majlis membuka sesi QA. Tiada pertanyaan, dan majlis tamat di situ. Sambungannya merupakan aktiviti mereka menanti saat count-down. Sedikit menikmati minuman dan menjamah nasi goreng, saya meminta diri dan bercadang ke sekolah Cikgu Nanda. Malangnya jalan raya penuh sesak; ada upacara rasmi Menjelang 31 Ogos di Padang MPK anjuran Kerajaan Negeri yang saya juga menerima jemputan tetapi telah saya tolak kerana jemputan UiTM ini.

Saya tidak dapat melalui Jalan Tun Dr. Ismail; tetapi polis lalu lintas mengarahkan kenderaan menghala ke Jalan Beserah, masuk ke Jalan Teluk Sisik; tak dapat melalui Jalan Gambut kerana memang terdapat penghadang jalan simen kekal di situ. Di Jalan Besar, sekitar simpang di hadapan Kompleks Teruntum dan Jalan Tanah Putih penuh dengan kereta. Saya meneruskan perjalanan pulang. Di simpang kuil Hindu saya berhenti di bahu jalan untuk menghantar SMS kepada Nanda, mengatakan saya tidak dapat bersama-sama beliau di sekolahnya; tambahan pula waktu masa itu kira-kira 10 minit ke pukul 12.00 tengah malam.

Semasa dalam perjalanan ke UiTM tadi saya berpapasan dengan beberapa kumpulan kanak-kanak menaiki basikal dengan mengibarkan Jalur Gemilang. Cukup riang nampaknya mereka. Kumpulan pertama saya agak anak-anak Melayu dari Sungai Isap atau Kampung Belukar, menghala ke pusat bandar Kuantan. Kumpulan kedua, juga anak-anak Melayu lebih kecil bilangannya, dari kawasan Tanah Putih, juga menghala ke pusat bandar. Kumpulan ketiga yang mengandungi enam orang anak-anak India dan seorang anak Cina di Jalan Penjara itu juga berbasikal membawa Jalur Gemilang melaungkan ’Merdeka’, ’Merdeka’! Mereka nampak riang benar.

Mudah-mudahan inilah anak-anak Malaysia yang menunggu zaman masa depan mereka yang gemilang. Mudah-mudahan!

Tuesday, August 19, 2008

Model Klasik Tentang Kejujuran

Mempromosi Kejujuran

Ada saya catatkan pengalaman kami pelajar-pelajar SITC 1957 dan sebelumnya dengan Allahyaram Pak Mat Turki di dalam Blog ini. Pak Mat Turki bukanlah tokoh besar dan ternama, tetapi dalam aspek mempromosikan kejujuran, beliau memang tokoh yang tidak dapat ditandingi.

Dengan sebuah keranjang besar di atas pangkin basikal tuanya, Pak Mat menjual kuih cucur (kami di Pahang memanggil kuih jenis ini kuih jejemput) dengan membiarkan sesiapa sahaja mengambilnya, bayar boleh, tak bayar juga dibenarkan dan sendirilah mengiranya. Cukup bulan bayar sekali. Beliau menerima sahaja sebanyak mana amaunnya. Beliau pasti tidak ingat dan yang berhutang pun tidak 'berapa' ingat lagi.

Bayangkanlah betapa sukarnya kalau beliau hendak menulis nama setiap orang yang berhutang 5 sen atau 10 sen dengannya. Pak Mat mungkin tidak berapa cekap menulis. Tetapi ini bukanlah sebabnya.

Perniagaan kecil itu didasarkan kepada kejujuran. Saya fikir, meskipun pendapatannya tidak seberapa, tetapi Pak Mat bersenang hati dengan usaha dan tindakanya itu. Tidur malamnya tentulah nyenyak.

Saya pernah menikmati khidmat vending mechine untuk membeli akhbar harian semasa di Stanford, California. Saya menemui mesin begini di kebanyakan tempat di Amerika. Di universiti tempat kami belajar ada dua tiga buah mesin seumpama itu. Saya juga melihat mesin serupa di Jepun. Kaedah operasinya amat sederhana. Masukkan duit sebanyak nilai harga akhbar harian itu dan pintu kotak warna biru tua yang bercermin boleh diangkat untuk dibuka, langsung kita boleh mengambil senaskhah akhbar. Tidak ada kaedah yang mesin itu boleh melarang seseorang mengambil lebih daripada satu naskhah – atau mengambil kesemuanya sekali - yang di dalam mesin itu! Tetapi tidak ada orang yang melakukan onar sebegini. Prinsipnya: jujur.

Banyak kedai dan gerai di Mekah dan Madinah meninggalkan barang-barang jualan mereka tanpa ditunggu pada waktu sembahyang zuhur dan asar malah maghrib dan isya' juga. Kalau kita mahukan sesuatu, ambil sahaja, dan ada bekas wang disediakan untuk kita letakkan wang harganya.

Di Sabah, sepanjang jalan mendaki ke Kundasang terdapat barang jualan (pisang, beras dan buah-buahan, malah ayam dan itik) yang ditinggalkan di tepi jalan dengan dicatatkan harga pada barangan itu. Kalau kita berhajat, beli sahaja, walaupun penjualnya tiada di situ. Besen atau baldi plastik kecil bekas wang memang disediakan. (Ada teman-teman mengingatkan saya agar jangan sekali-kali cuba mengambil barangan jualan itu tanpa dibayar harganya, kerana konon, penjualnya telah meletakkan atau memasang pelbagai mantra dan jampi serapah yang boleh menyusahkan kita kemudian kelak. Jadi, berhati-hatilah!).

Saya menyebut hal ini kerana dua hari yang lalu saya terbaca di dalam Majalah Gatra (http://www.gatra.com/) dari Indonesia tentang usaha dua buah sekolah iaitu di SMP Negeri 1 dan SMA Negeri 1, kedua-duanya di Bekasi, mendirikan apa yang mereka panggil "kantin kejujuran". Berbeza dari kantin pada umumnya, kantin kejujuran adalah tempat semuanya serba self-service atau melayani diri sendiri. Tidak ada penjaga, tidak ada yang akan menerima dan menghitung wang kembalian jika ada. Semuanya dilakukan sendiri, demikian Gatra melaporkan.

Idea kantin kejujuran ini bermula dari Lembaga Pemberantasan Korupsi. Penyakit rasuah dikatakan mencapai titik kronik di Indonesia. Pendidikan antikorupsi tak tepat lagi diberikan kepada orang-orang yang telah menikmati pekerjaan atau mengecapi kekuasaan. Makin awal pendidikan moral diberikan, diharapkan makin tertanam juga keinginan untuk tidak melakukan rasuah.

Dendy yang memberanikan usaha luar biasa ini malah memimpikan kantin itu tak hanya diperluas, melainkan juga diberi kamera pengawas (CCTV). "Biar kalau ketahuan, diberi hukuman tegas," katanya bersemangat.

Indikator berhasil tidaknya program ini adalah daripada modal. "Kalau bertambah, bererti kami berhasil. Tetapi, kalau rugi, itu ertinya masih banyak yang tidak jujur atau tidak membayar," kata Henny. Henny dan Iin mengakui, kerana belum berjalan lama, fluktuasi penjualan sehari-harinya masih belum stabil. "Ada juga sih terjadi selisih antara pendapatan dan stok barang, tapi itu tak mencolok," ujar Iin.

Saya merasakan, keempat-empat kes dalam keempat-empat premis yang berlainan ini (di Tanjung Malim, di Sabah, di Mekah-Madinah dan di Bekasi) mempunyai latar belakang dan modus operandi yang berbeza meski matlamatnya sama, iaitu jujur dan berlakunya kejujuran di kalangan umat.

Kantin kejujuran model Bekasi itu memang tidak menjamin seseorang boleh bersih dari rasuah. Namun, meski kesempatan itu ada, bila kemauan untuk 'menciluk' itu tak ada, bolehlah kita berharap bangsa (Indonesia) ini agak tersembuhkan dari penyakit kronik itu.

Nah! Sekolah mana atau kolej mana pula di Malaysia yang ingin mencuba kaedah ini? Silakan.

Tuesday, August 12, 2008

Silaturrahim Yang Terjalin

Konvo KIPSAS Ke-8

Saya menerima undangan untuk menghadiri Majlis Konvokesyen Kolej Islam Pahang Sultan Ahmad Shah Ke-8 pada 11 Ogos 2008 bersamaan 9 Syaaban 1420 di Dewan Jubli Perak Sultan Haji Ahmad Shah. Kartu jawapan telah saya kembalikan sehari selepas diterima dengan jawapan untuk hadir berdua: saya dengan isteri.

Maknanya, telah delapan kalilah saya menghadiri Konvo KIPSAS. Saya mempunyai nilai sentimental dengan institusi ini kerana saya sendiri telah berkhidmat sebagai tenaga Pensyarah dan dilantik pula sebagai Ketua Unit Mata Pelajaran Wajib LAN selama sembilan tahun yang lalu (1998-2007). Ada beberapa orang teman lama yang pernah berkhidmat bersama-sama turut hadir (dan mereka nampaknya seperti saya juga, tidak pernah tidak hadir), iaitu Ustaz Abdul Rahim Said, Ustaz Mustafa Kamal Haudin, Haji Azahar Mohd. Ali. Dr. Leslie Foo See Jork yang pada tahun-tahun sebelum ini sentiasa hadir kali ini tidak pula saya nampak. Mestilah beliau mempunyai atur cara sendiri yang lebih penting agaknya.

Ada juga teman-teman yang pernah ’menangani’ institusi ini sebagai peneraju penting pada suatu masa dahulu, selepas bersara tidak pernah menghadiri majlis sebegini, walaupun mereka sentiasa dijemput. Antara mereka ialah Dato’ Haji Abdul Razak Abu (Presiden yang kedua), Haji Radzwan Mohd Yusof (Naib Presiden Pengurusan dan HEP), Haji Hashim Yahaya, Haji Abdul Karim Ning (Pengarah Pentadbiran), Encik Abdul Jalil bin Othman (Penolong Pengarah Pentadbiran), Puan Asmah Haji Othman (Kaunselor), Puan Rosliza Sidek (Pengarah Perpustakaan), Encik Ibrahim Mohd. Yunus bin Ismail (Penolong Pengarah Pentabran). Semua tokoh ini dikategorikan oleh mereka sendiri sebagai Eksekutif Kanan Kolej semasa mereka berkhidmat di institusi itu. Bagi saya, sikap ini bukanlah merupakan satu sikap yang terpuji. Namun, maklumlah ada juga terdengar bisikan dari kumpulan ini yang menganggap rendah segala tindakan dan pendekatan golongan establishment pengganti mereka yang kini sedang berkhidmat, sedangkan zaman mereka adalah zaman segalanya terbaik, tindakan mereka semuanya betul. Masya Allah. Di manakah barangkali letaknya ciri-ciri terpuji sebagai Eksekutif Kanan yang mereka pernah sandangi dahulu? Atau, mereka memang tidak menerima kad jemputan agaknya.

Inilah bukanlah isunya yang hendak saya tuliskan di dalam Blog ini kali ini.

Saya sangat teruja dengan suasana yang amat menyenangkan di majlis Konvo Ke-8 ini. Hiasannya sederhana dan menarik. Khabarnya mereka cuma diberikan masa tidak sampai 24 jam menyelenggaran persediaan tempat kerana Dewan Konvensyen ini digunakan untuk majlis perkahwinan pada hari sebelumnya. Barangkali pengalaman selama tujuh kali sebelumnya membuatkan anak buah Dato’ Hashim Abdul Wahab ini tahu tugas masing-masing dan urusannya senang menjadi mulus belaka.

Warna tema nampaknya biru terang atau turquois. Cantik dan menyejukkan mata memandang. Persembahan koir dan nasyid terdapat pembaharuan yang ketara berbanding kumpulan pimpinan Ustazah Safiah Abdul Razak dahulu. Ucapan Presiden tersusun kemas, meskipun beberapa struktur ayat dan frasa lama yang kedengarannya power masih digunakan sekali lagi. Alhamdulillah. Pemerian tentang program masa depan KIPSAS dari aspek perkembangan akademik dan institusi cukup meyakinkan. Tidak terdengar kata-kata retorika yang sekadar untuk menyedapkan telinga diucapkan oleh Presiden.

Beg yang diberikan sebagai tanda mata kepada setiap tetamu bukan sahaja mengandungi Jurnal al-Sirat sebagaimana tahun-tahun sebelumnya, tapi kali ini terselit juga Buku Program, Majalah Ta’lif dan Buletin Kipsas; di samping akhbar Sinar Harian terbitan hari itu dengan sisipan Advertorial Khas tentang KIPSAS. Gembira benar saya melihat Jurnal al-Sirat (yang pernah saya terajui sebanyak tujuh keluaran) masih menggunakan logo dan saiz yang sama. Jurnal ini pernah saya ikhtiarkan untuk mendapatkan penulis luar, selain daripada penulis KIPSAS sendiri. Kami menerima sumbangan daripada ahli akademik dari IPTA dan IPTS dalam negeri. Dari luar negeri kami turut menerima sumbangan daripada Universiti Hasanuddin, Makasar dan dari Selatan Thailand. Pendek kata, tradisi akademik telah berjaya dibangun melalui penerbitan ini. Masalah yang sukar dibangunkan ialah kesediaan pihak di dalam KIPSAS sendiri menulis sehingga menjadikannya sebagai suatu tradisi.

Ramai tetamu dan ibu bapa yang cukup terpesona dengan ucapan pelajar Saidah Nafisah binti Hilmi yang dinobatkan sebagai Penerima Hadiah Kecemerlangan Sultan Ahmad Shah. Ucapan Saidah – graduan dari Singapura – yang sangat tertib, beradat, beradab, menggunakan bahasa istana di tempat-tempat yang diperlukan, belum pernah saya dengari dalam majlis seumpamanya sebelum ini. Tidak sahaja itu, Saidah turut menyampaikan ucapan dalam bahasa Arab dan Inggeris dengan kepetahan dan diksi yang ’cair’ mengkagumkan.


Memanglah, akhir-akhir ini pelajar-pelajar Singapura kebanyakannya mendominasi pelajar tempatan dalam serba bidang. Mereka rajin membaca, aktif bersoal-jawab semasa kuliah dan tutorial dan menyediakan tugasan dengan baik dan tersusun serta menyerahkannya tepat pada masa yang dikehendaki. Kemahiran berbahasa Arab yang mereka terima daripada Madrasah al-Junid, Madrasah al-Sagoff jauh lebih baik berbanding pengajaran bahasa Arab sekolah-sekolah agama kerajaan negeri yang sebanyak 14 buah di Pahang ini. Kelemahan inilah barangkali menyebabkan pihak Universiti al-Azhar membatalkan MOU dengan kolej-kolej Islam seluruh negara baru-baru ini. Saya pernah bertemu graduan KIPSAS asal Singapura yang belajar di Universiti al-Azhar. Mereka masih gigih berbanding kebanyakan pelajar kita. Pada saya, inilah kesan daripada kebiasaan yang mereka perolehi daripada sistem pendidikan sekolah rendah dan menengah di negara mereka. Bagi pengurusan sekolah-sekolah menengah kerajaan negeri, janganlah banyak mencari alasan tentang kelemahan pelajar kita berbanding teman mereka dari Singapura itu. Jelaslah kaedah pengajaran dan kemudahan sekolah kita belum mencapai piawai memuaskan untuk bertanding pada peringkat yang lebih terbuka. Adakah sampai perlu pula kita menghantar guru SR dan SM kita mempelajari sesuatu ke Republik itu?

Majlis makan tengah hari juga sangat istimewa, baik dari segi menu mahupun pelaksanaannya. Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku Sultan sentiasa nampak tersenyum senang sepanjang majlis ini, meskipun terpaksa bersemayam secara berdiri lebih dua jam menyampaikan diploma dan bersalaman dengan para graduan. Tahniah.

Hubungan Silaturrahim

Saya turut bersyukur kerana Majlis Konvokesyen KIPSAS Ke-8 membolehkan saya bertemu teman-teman lama. Sebagai seorang yang telah bersara, saya jarang berpeluang menghadiri majlis seperti ini. Melalui Profesor Madya Dr. Ishak Ismail (Presiden Asian Acedemy of Management), Universiti Sains Malaysia, saya dapat menyambung silaturrahim dengan seorang teman semasa di Sekolah Melayu Laki-laki Kuantan dan dalam aktiviti Pengakap sepanjang 1954 hingga 1960-an, iaitu Tuan Haji Jauhar Mohd. Yassin.

Profesor Ishak yang mewakili USM di majlis Konvo itu memberitahu saya salah seorang pegawai USM menyebut ayahnya pernah bertugas di Kuantan. Ayah yang disebutkannya itulah Jauhar Mohd. Yassin. Sebelum menjawat jawatan sebagai Setiausaha Kerja Persekutuan Pengakap Persekutuan Tanah Melayu, beliau menjadi Guru Bahasa Inggeris yang pertama di sekolah tempat kami mengajar itu.

Setelah selesai makan tengah hari Profesor Ishak sempat menghubungi Puan Junaimah tentang cerita lama itu. Sebaik-baik saya sampai di rumah, saya menerima telefon dari Pulau Pinang, dan pemanggilnya tidak lain daripada teman lama saya, Jauhar.

Untuk mengembalikan nostalgia Sdr Jauhar, saya letakkan di sini sekeping gambar semasa kami bersama-sama di Kuantan. Sdr Jauhar tentu boleh mengecam gambarnya sendiri. Dan, Joe, sampaikan salam saya kepada Puan Hajah Fatimah Haji Othman, dengan pesan, jaga kesihatan, take care and hope to see all of you soon. Insya Allah!




Monday, August 11, 2008

Dail 999

Mencuba 999

Meskipun mengetahui adanya perkhidmatan telefon 999, sepanjang hayat belum pernah saya menggunakannya. Pertama ada rasa bimbang untuk mendail nombor ’misteri’ itu. Yang kedua saya belum pernah menghadapi sebarang peristiwa cemas yang memerlukan saya mencuba talian tersebut.

Akhirnya pada petang ini tadi, Ahad 10 Ogos 2008 saya berdepan dengan suasana yang saya terpaksa mendial 999. Demikian kisahnya:

Jam 7.15 petang hari ini hujan turun lebat benar di kawasan kami. Hujan itu datangnya bersekali dengan angin yang kemudiannya bertukar menjadi ribut sederhana. Dalam seminggu dua ini kawasan kami memang hujan setiap petang, malah kadang-kadang melarat hingga ke malam.

Hujan ribut petang ini menyebabkan pohon angsana di hadapan rumah kami sekah salah satu dahannya. Pohon tersebut terletak di sisi pintu pagar rumah Sdr Abdul Aziz Abdul Rahman (seorang peguam), dan dahan yang sekah itu condong hala ke rumah kami. Nasib baik juga, apabila jatuh, dahan tersebut tidak tepat menghala ke rumah kami, tetapi membujur di atas jalan raya. Ini berlaku kerana tiupan angin yang kuat dari sebelah barat. Kalaulah jatuhnya melintang, sudah pasti menghempap pagar rumah kami.

Kami memang banyak kali meminta pihak Majlis Perbandaran Kuantan (MPK) menebang atau sekurang-kurangnya mencantas dahan angsana yang berumur lebih 40 tahun di kawasan perumahan ini. Ada tindakan awal pihak MPK menangni aduan kami itu, iaitu memangkah pohon-pohon tersebut dengan cat merah. Tetapi selepas bertahun-tahun, cat tanda itu luntur dan lengap, sedangkan pokok-pokok tersebut tetap berdiri, melentok-liuk apabila dipukul ribut.

Memandangkan kedudukan pohon angsana sekah tersebut sebagaimana yang saya nyatakan tadi, saya lebih cenderung mengharapkan Azizlah yang menguruskan dengan pihak berkenaan, untuk memaklumkan kejadian tersebut. Tetapi, beliau sekeluarga tiada di rumah pada masa kejadian. Rumahnya saya lihat gelap sahaja. Memang, beliau biasa tiada di rumah pada hujung minggu. Mahu tidak mahu sayalah yang harus menyelesaikannya; kalau tidak kereta kami tidak boleh keluar pagi esok kerana ranting kayu itu agak hampir benar dengan pintu pagar kami.

Tidak semudah yang disangka

Mula-mula saya mendail Majlis Perbandaran Kuantan(1). Saya menggunakan nombor telefon pada Resit Cukai Pintu. Mana ada orang membayar cukai malam-malam buta itu. Kedua-dua nombor tidak berjawab. Kemudian saya mendail 333. Waktu masa itu 7.32 petang. Tiada sebarang jawapan dan nadanya tu-li-lat sahaja. Tiga kali mendail, tapi begitu jugalah sudahnya. Berhenti sekejap, kemudian baru ingat, nombornya 999, bukan 333. Masya Allah!

Dail 999 (2): sama sekali sahaja, terus dijawab. Sahlah ini talian kecemasan. Telefonisnya seorang wanita (tapi sahlah bukan Rozita Che’ Wan). Suaranya cukup tertib, tapi kedengaran seperti loghat Kelantan yang dikawal kekelantanannya. Beliau bertanya apa hal, dan apakah yang dia boleh tolong. Tempat yang saya panggil itu ialah Balai Bomba dan Penyelamat Kota Bharu (2).

Setelah mendapat maklumat, telefonis tersebut memberitahu yang beliau akan menyambungkan saya dengan Balai Bomba dan Penyelamat Kuantan (3). Balai Bomba Kuantan (telefonis lelaki) kemudiannya menyambungkan saya dengan Balai Bomba dan Penyelamat Taman Tas (4), iaitu yang paling dekat dengan kediaman kami.

Telefonis di Balai Bomba dan Penyelamat Taman Tas (kali ini juga lelaki) memberitahu saya mereka menerima tiga panggilan tentang pokok tumbang di tempat yang berlainan pada masa itu. Beliau menyatakan yang beliau akan berhubung terus untuk memberitahu Roadcare (5). Senyampang bercakap dengan Balai Bomba Taman Tas, saya bertanya sama ada ahli bomba Jasmiat Haji Gusti ada di Balai pada masa itu. Beliau memberitahu saya Jasmiat tidak lagi bertugas di situ tetapi telah bertukar ke Jerantut. Beliau bertanya sama ada Jasmiat itu keluarga saya. ”Tidak," jawab saya, "dia tu bekas pelajar saya semasa saya mengajar di Jerantut dulu. Ibu bapa dia sangat rapat dengan keluarga saya.” (Sekiranya Jasmiat ada, tentulah lebih panjang langkahnya menolong saya malam itu, fikir saya).

Kira-kira lapan minit kemudian Roadcare menelefon saya – jarak dari bangunan Roadcare ke rumah saya hanya kira-kira empat minit berjalan kaki – tapi pada masa itu telefon dijawab oleh isteri saya kerana saya sedang sembahyang maghrib. Isteri saya memberitahu, orang di Roadcare menyatakan mereka tidak boleh membantu kerana tugas mereka hanya di atas jalan persekutuan. Jalan di hadapan rumah kami jalan negeri pun tidak. Mereka meminta kita hubungi MPK semula.(6) Nah! Sekarang dah lengkaplah satu pusingan yang melibatkan enam point, fikir saya.

Oleh sebab tidak tahu nombor sebenarnya MPK yang menyelenggara kes seumpama ini, isteri saya dan saya membuat keputusan untuk menunggu sahaja keesokan harinya.

Rupa-rupanya kira-kira jam 8.43 malam itu tibalah satu pasukan berpakaian celoreng merah dengan hitam. Pasukan Bomba! Mereka membawa dua buah chain-saw dan sekejap itu juga gempitalah bunyi enjin chain saw memamah dahan pohon angsana... Tidak sampai setengah jam kemudian dahan pohon yang sekah itu siap dipotong dan disusun di tepi jalan. Apabila saya pergi ke luar pagar selepas sembahyang isya', anggota Bomba itu telah tiada lagi. Tidak sempat saya mengucapkan terima kasih pun.

Saya fikir, tindakan kecemasan melalui 999 memang berkesan dan cekap. Yang saya berasa agak terkilan ialah terlalu ramai personel yang dilibatkan dengan kes yang sekecil itu. Saya cukup bersimpati dengan mereka. Tidak bolehkan, misalnya, SOP menyelesaikan kes begini dikurangkan pusat tanggungjawabnya, malah tidak perlu mengelilingi ’sebuah Malaya’.

Monday, August 4, 2008

Mempelajari daripada 13 Mei

Mengapa Kena Makan Nasi?

Apakah jawapan bagi soalan mudah itu? Saya mendapat kesan yang sangat jelas daripada soalan tersebut setelah terkurung di dalam rumah akibat Peristiwa 13 Mei yang berlaku di Kuala Lumpur.

Artikel ini boleh dianggap sebagai sambungan daripada artikel berjudul Peristiwa 13 Mei 1969 di dalam Blog ini.

Saya tidak akan memberikan jawapan secara terus terhadap soalan yang memjadi judul ruangan ini, tetapi saya yakin anda akan dapat menelah – malah mencipta sendiri jawapannya – setelah selesai membaca keseluruhan artikel.

14 Mei, kami masih bertenaga dengan memakan roti berlaukkan ikan sardin. Untuk minuman kami minum air berkarbonat yang pelbagai perisa, atau membancuh kordial dengan air paip. Nampaknya okey sahaja, tetapi menjelang petang rasanya semakin bertambah menjadi tidak enak.

Kami mula berapat-rapat dengan keluarga yang tinggal di sebelah kiri bilik kami. Sebenarnya, rumah teres dua tingkat itu (sama seperti rumah kami juga) didiami oleh tiga keluarga. Seorang lelaki bujang yang umurnya awal dua puluhan. Badannya agak kecil tetapi binaannya sederhana. Chua namanya. Satu keluarga lagi pasangan suami isteri dengan seorang anak perempuan. Anak perempuannya berumur sekitar dua tahun itu, namanya Carol, tetapi ibunya memanggil dengan rentak sebutan sangat kecinaan, maka jadilah nama anak perempuan montel itu seakan-akan Kelok atau Kolok. Robert, si bapa, agak ramah, tetapi bahasa Inggerisnya tersangkut-sangkut, tidak lebih baik daripada bahasa Melayunya. Tony dan keluarga yang satu lagi juga pasangan suami isteri dengan seorang anak yang nampaknya lebih memilih untuk tidak berapa bermesra dengan kami.

Chua dan Robert mempelawa kami ke rumahnya untuk mendengar lagu daripada pemain rekod yang agak besar kabinetnya. Syed Nordin, Abdullah dan saya menunaikan ajakannya. Perbualan kami biasa sahaja – dan dalam bahasa Inggeris yang bercampur-campur dengan bahasa Melayu – tentang asal dari mana, pekerjaan dan sedikit sebanyak tentang hal yang menyebabkan terkurung ini.

Nampaknya kami semuanya macam keli selubang. Bertanya dan memberi jawapan terhadap hal-hal yang tidak jelas. Jadi, kami membunuh masa dengan mendengarkan lagu Skeeter Davis dan Jim Reeves dari albumnya Here’s The Answer yang sangat indah dari segi irama dan liriknya. Lagu-lagu berirama Country and Western itu sangat menarik hati saya. Keluarga di dalam rumah itu pun nampaknya meminati lagu-lagu itu juga kerana jarang benar mereka memainkan lagu lain, walaupun mereka nampaknya mempunyai koleksi lagi Barat dan Cina yang boleh tahan juga banyaknya.

Begitu kerapnya lagu itu diulang-ulangkan, sehingga saya hampir hafal senikatanya pada petang hari ketiga berkurung itu. Lagu-lagu dalam album terbaru mereka adalah:


He'll Have to Go (Skeeter Davis, Jim Reeves, Jim Reeves); He'll Have to Go (Skeeter Davis); Last Date (Floyd Cramer, Skeeter Davis); My Last Date (With You) (Skeeter Davis); Tell Laura I Love Her (Skeeter Davis, Hugo Peretti, Ray Peterson); Tell Tommy I Miss Him (Skeeter Davis); Please Help Me, I'm Falling (Skeeter Davis, Hank Locklin); (I Can't Help You) I'm Falling Too (Skeeter Davis); I Really Don't Want to Know ( Eddy Arnold, Skeeter Davis); I Really Want You to Know (Skeeter Davis); Just One Time (Skeeter Davis, Don Gibson); I Want to See You Too (Just One Time) (Skeeter Davis) dan beberapa lagu lain.


Saya mempunyai sebuah perakam suara open reel jenama Sanyo dan ada beberapa tape kosong. Saya bertanyakan Chua sama ada dia boleh merakamkan semula lagu-lagu ke dalam tape saya, beliau menyanggupinya. Dan, pada malam itu kami boleh menikmati lagu-lagu tersebut tanpa berkunjung ke rumah jiran sebelah itu. Tapi lagu yang dipasang di rumah mereka masih boleh kami dengari dengan jelas.

Tetamu yang tidak disangka

Hari ketiga perintah berkurung, pada sebelah malamnya kira-kira pukul 2.00 malam kami menerima tetamu yang tidak disangka-sangka. Beliau ialah Cikgu Mohd. Ali Sharif bekas guru saya yang sama-sama mengajar di Sekolah Melayu Laki-laki Kuantan. Pada masa itu beliau menjadi Timbalan Menteri Pertanian dalam kabinet Tun Abdul Razak. Beliau bersusah payah mencari tempat tinggal kami kerana katanya, untuk mempastikan budak-budak Pekan yang terperangkap di PJ dan KL itu selamat. Ini disebabkan beliau menerima banyak panggilan telefon dari Pekan dan Kuantan bertanyakan keselamatan kami. Antaranya ialah Abang Othman, malah Kakak Ramlah turut meminta Cikgu Ali mencari saya, melelui Cikgu Abu Bakar Shariff (adik Cikgu Ali yang juga cikgu saya masa di Ganchong). Beliau juga katanya diarah oleh Tun Razak melihat kami kerana kononnya ramai orang Pekan menelefon Tun bertanyakan hal kami! Wah, ini kes cemas nampaknya, hingga sampai ke pengetahuan TPM Malaysia pula. Beliau hanya tercegat di luar pintu, diiringi beberapa orang polis (barangkali) dan berpesan dengan saya, suruh tengok dan jaga diri kawan-kawan lain. Jangan sekali-kali keluar rumah.

Cikgu Ali bertanyakan adakah kami mempunyai barang-barang untuk dimakan? Saya menyatakan ada dan cukup, dengan hasrat tidak mahu menyusahkan beliau pada malam buta itu. Pada hal yang saya maksudkan ’cukup’ itu tak lain daripada air kordial, air berkarbonat, sardin, roti dan air yang mengalir daripada paip di rumah kami. Itu sahaja.

Akibat ’lapar nasi’

Dini hari malam keempat kena kurung itu saya diserang gestrik. Saya pernah dimasukkan ke Hospital Pekan selama 8 hari kerana penyakit yang sama kira-kira enam bulan yang lalu. Perut saya terasa bisa benar dan mencucuk-cucuk. Saya tahu, ini akibat tidak makan atau makanan yang dimakan tidak sesuai. Apa tidaknya, saya telah jemu melihat roti. Saya bukan sahaja tidak boleh makan, tetapi terasa bagai hendak muntah melihat ikan sardin. Ini adalah akibat pada pagi tadi saya melihat sisa sardin yang entah siapa memakannya, ditinggalkan di dalam tin dan telah berulat dengan ulatnya bertindih-tindih dengan sisa ikan, kuah sardin dan air yang berlinang di dalam tin. Saya menyeluak melihatnya...

Dr. Bernado Miguel, seorang doktor berbangsa Filipina yang bertugas di Hospital Pekan pada masa saya dimasukkan ke hospital itu dulu bertanya saya sama ada saya membongkokkan badan atau tidak untuk menahan kesakitan. Saya bertanya, mengapa? Katanya, kalau membongkokkan badan, itu salah satu tanda kena gestrik.

Malam itu saya kena membongkok – malah melipatkan – badan untuk menahan kesakitan. Ubatnya? Yang ada hanya minyak cap kapak, entah kepunyaan siapa. Kapak pun kapaklah. Boleh juga saya tidur hingga pagi.

Hari Kelima

Perintah berkurung masih dikuatkuasakan, walaupun telah dikurangkan beberapa jam bagi membolehkan orang ramai menyelesaikan masalah mereka sekiranya sempat.

Hari itu Robert, Tony dan Chua bertanya kami tentang apa yang kami makan selama perintah berkurung itu. Wah! Baru hari ini kawan kita ini hendak bertanya. Kami berterus-terang sahaja memberitahu yang sebenarnya, dan mereka nampak terkejut. Robert mencadangkan kami makan tengah hari ini bersama-sama mereka. Isterinya pun sedang memasak. Kalau tak mahu, bolehlah minta isterinya memasak nasi, atau mereka boleh pinjamkan periuk elektrik mereka untuk kami gunakan. (Tapi, berasnya di mana? ... bukan beras APA?).

Saya mula melihat seolah-olah ada cahaya di hujung terowong. Selepas memberitahu Robert yang kami akan meminjam cerek dan periuk elektrik mereka pukul 3.00 nanti, saya mengajak Saiyed Noordin ke Pondok Polis yang terletak di hujung deretan rumah kami.

Kami memang tahu di situ ada sebuah Pondok Polis, tetapi selama perintah berkurung tidak pula tergerak hati kami untuk meminta bantuan mereka. Sesampainya kami ke situ kelihatan ramai orang terlantar, dengan muka sedih. Kebanyakannya buruh binaan yang tidak dapat ke mana-mana selain menumpang berteduh di situ. Ada orang asal Melaka, ada Kelantan, dan ramai juga dari Indonesia.

Salah seorang polis yang melayan kami mengatakan mereka tidak punya makanan untuk diberi. Orang-orang ini semuanya makan bubur sedikit seorang, itulah beras yang ada di sini. Mereka meminta maaf.

Kami mengatakan kami tidak berhajat menambahkan kesukaran mereka. Saya berharap mereka dapat mengeluarkan semacam permit membenarkan kami keluar dari Kuala Lumpur untuk balik ke Pahang. Kami ada berlima di rumah sewa di hujung deretan ini. Kereta saya mempunyai minyak separuh tangki dan dengan minyak sebanyak itu memang boleh sampai ke Bentong. Dari Bentong senanglah kami balik ke Kuantan dan Pekan.

Sekali lagi mereka minta maaf kerana tidak dapat membantu. Tidak seorangpun orang awam dibenar meninggalkan Kuala Lumpur setakat ini.

Lepas daripada kebuluran

Saya tak tahu sama ada peraturan itu sebenarnya wujud atau memang pegawai Polis itu tidak bersedia menolong kami keluar dari kawasan berkurung ini. Akhirnya, saya memohon agar mereka membantu kami melalui satu cara lagi.

”Bagaimana caranya?”

”Saya minta Datuk tolong bawa saya ke kedai runcit kepunyaan orang Cina di hadapan itu, tolong ketuk pintunya supaya dia boleh menjual sedikit barang makanan seperti beras, gula, dan kopi.”

”Mari kita pegi,” katanya terus mengajak kami.

Kami pun melintas jalan tanpa kenderaan di situ, terus ke sebuah kedai yang saya katakan tadi. Datuk Polis itu – dengan menyandang sepucuk senapang M16 di tangannya - mengetuk pintu, menyuruh pekedai itu membukanya. Beliau seterusnya meminta pekedai itu menjual barang-barang yang kami perlukan.

Semuanya dapat. Towkey kedai itu pun nampak gembira kerana dapat menjual barang-barangnya dalam kuantiti yang agak banyak. Berat juga Saiyed dengan saya mencebat barang belian itu, yang terus balik ke rumah setelah mengucapkan berbanyak-banyak terima kasih kepada Datuk Polis dan tak lupa juga kepada pekedai tadi.

Selepas menyimpan barang-barang belian, saya meminta Saiyed meminjam cerek dan periuk elektrik dari rumah Robert sebagaimana yang dijanjikan. Isterinya memang telah siap membasuh perkakas itu untuk kami gunakan.

Maka bermulalah upacara memasak nasi. Air panas dijerang untuk membancuh kopi. Dah lama benar tak merasa kopi. Selepas nasi masak, kami gunakan periuk nasi elektrik yang sama untuk memasak sardin berkuah, dengan menumis bawang merah dan bawang putih, dengan sedikit lada potong terlebih dahulu. Kuahnya tentulah air paip sahaja.

Setelah mustaid semuanya, kami mulalah memakan nasi pertama selepas lima hari. Lauknya sejenis sahaja. Sardin yang dimasak siap dengan ditumis itu tidak lagi menyebabkan selera saya tertutup sebagaimana sebelumnya. Dan, yang lebih nikmat lagi ialah menghirup kopi panas selepas makan nasi. Badan mengeluarkan peluh hingga jus baju kami bermandi peluh. Saya masih ingat, zaman pemerintahan Jepun dulu saya pernah mengalami situasi yang demikian. Orang kata itulah tanda kita kebulur.

Kami rupa-rupanya telah melepasi saat kebuluran. Dan, kali ini kebulur nasi.

Sunday, August 3, 2008

Bermulalah Kerjaya Keguruan

Sekolah di dalam Kem

Sekolah Kebangsaan Padang Tengku, sekolah saya ditempatkan untuk menjalani latihan mengajar setelah selesai menjalani kursus di SITC itu adalah sekolah baru. Sebelum sekolah ini ada, murid-murid dari Padang Tengku bersekolah di Sekolah Melayu Gua, kira-kira tiga batu dari situ. Perjalanan ke Gua pada masa itu bukannya senang seperti sekarang: susup-sasap melalui denai dengan binatang buas tak tahu di mana menyoroknya.

Di sebelah utara Padang Tengku ada anak Sungai Jelai. Di seberang sana terdapat sebuah ladang yang menanam getah perca bernama Ladang Selbourne. Pada masa itu, semua orang memanggil ladang tersebut sebagai Selbourne Plantation atau dengan loghat Lepeh: Se-le-bon. Di situ ada sebuah sekolah rendah Tamil yang khas untuk anak-anak pekerja ladang. Ramai juga pekerja ladang tersebut terdiri daripada orang Jawa, malah ada di antara mereka yang datang terus dari Tanah Jawa pada zaman pemerintahan Jepun dulu. Setelah perusahaan getah perca merosot, ramai antara masyarakat Jawa di sini mencari kehidupan baru; kebanyakan mereka turun ke Raub, membuka tanah pertanian di Sungai Pasu dan menetap di sekitar Dong, Gali, Sega, Gesing, Ulu Atok dan sekitarnya. Ramai antara anak-anak mereka terdidik dengan baik hingga ke peringkat universiti. Mereka berbaur pula dengan masyarakat Melayu tempatan dan suku kaum Rawa yang memang sedia ramai menetap di Temau, Ajai, Gali, Durian Sebatang dan Dong dengan tokoh gagah berani mereka seperti Panglima Tok Perak, Tun Sabah, Sutan Bangkulu sejak Perang Kelang (Perang Selangor) dan Perang Saudara Pahang dahulu. [Ada sebuah buku yang lengkap tentang orang-orang Rawa di Raub, iaitu Bingkasan Sejarah Raub, Rao dan Pagaruyung: Pertaliannya dengan Raub dan Pahang, tulisan Zaffuan Haji Manap terbitan Anjung Media Resources (2007)].

Getah perca khabarnya dibuat campuran pada kertas untuk membuat helaian dijadikan wang dan dokumen keselamatan bermutu tinggi yang lain. Saya rasa tentulah ada kegunaan lain getah itu, tidaklah sekadar menjadi campuran kertas untuk dibuat wang.

Dari Kuala Lipis ke Padang Tengku dalam tahun 1960-an dan sebelumnya hanyalah melalui kereta api. Akhir tahun 1960-an itu telah terbina jalan raya dari simpang Sekolah Rendah Clifford melalui Relong ke Padang Tengku. Jalan inilah kemudiannya menjadi asas jalan raya Lipis-Gua Musang yang ada sekarang.

Padang Tengku yang saya kunjungi pada 1960 itu memang kawasan terpencil betul. Dalam zaman darurat dahulu khabarnya kawasan ini merupakan kawasan hitam. Itulah sebab, barangkali, kerajaan Inggeris dahulu membina sebuah kem bagi melatih anggota SC dengan latihan ketenteraan yang sangat asas. Kebanyakan anggpta SC ditempatkan di ladang-ladang getah kepunyaan Inggeris untuk menjaga keselamatan pengurus ladang, para pekerja dan ladang itu sendiri daripada diganggu oleh gerombolan komunis. SC juga kerap bertugas di pusat-pusat pemeriksaan di jalan raya yang strategik.

Di seluruh kawasan Padang Tengku tidak ada pengangkutan awam, kecuali sebuah bas terpakai, tanpa road-tax, malah tanpa nombor pendaftaran bagi mengangkut orang ramai dari Padang Tengku ke Ladang Selbourne. Terdapat sebuah feri (orang kampung memanggilnya bouya) untuk menyeberangkan bas (dan kenderaan lain serta orang ramai) menyeberangi anak Sungai Jelai di situ. Pemandu bas ini pun nampaknya sama tua dengan basnya. Kami panggil beliau dengan panggilan akrab: Pakcik Jali. Tambang bas Pakcik Jali dari Padang Tengku ke Selbourne cuma 10 sen sahaja. Tidak ada tiket, pakai saling mempercayai sahaja. Khidmat yang diberikan oleh Pakcik Jali lebih merupakan khidmat sosial. Apalah untungnya dengan hanya 10 sen seorang sebagai tambang.

Cikgu Zakaria Derani

Sekolah Kebangsaan Padang Tengku dibuka oleh Cikgu Zakaria Derani. Beliau seorang guru yang menerima latihan di SITC. Saya dapati beliau sangat terpengaruh dengan Indonesia, kerana beliau banyak membaca buku Indonesia, tentunya sejak di SITC lagi. Sebagai buktinya: beliau menggunakan istilah arsip menggantikan fail. Beliau mempunyai Kamus Indonesia-Inggeris untuk dijadikan sebagai rujukan. Percakapannya banyak diselit dengan istilah khas seperti bung, enteng, bisa, beres... Ada satu kecacatan beliau: beliau menyebut fonem /r/ macam sebutan orang Perancis, orang Sarawak dan orang utara Semenanjung. Kerana itu jugalah beliau mengelak daripada mengimamkan solat, kerana tidak fasih, katanya.

Sebagai seorang guru besar, Cikgu Zakaria menerima tanggungjawab penuh mendidik anak-anak murid yang di bawah tadbirannya. Sejak awal-awal lagi beliau mengajar Darjah Satu. Tak pernah darjah paling asas ini diberikannya kepada orang lain, meskipun isterinya sendiri, Cikgu Wan Safiah.

Beliau memastikan, sebelum tamat persekolahan tahun pertama semua muridnya boleh membaca, menulis dan mengira. Carilah murid di Darjah Dua, Darjah Tiga dan Darjah Empat yang buta huruf dan buta angka: tiada. Disebabkan sekolahnya baru dibuka selama empat tahun, hanya setakat Darjah Empat sahajalah yang ada.

Kami guru-guru sangat senang mengajar kerana murid-murid kami tidak ada masalah pembacaan, penulisan dan pengiraan. Inilah istimewanya sekolah di bawah tangan Cikgu Zakaria Derani.

Beliau sangat tegas, tetapi kadang-kadang boleh juga dibawa bergurau. Khabarnya sekolah beliau pernah dijadikan tempat ’buangan’ guru bermasalah, terutamanya dari Pahang Timur. Salah seorang guru yang diarahkan oleh Pejabat Pelajaran bertukar ke sekolah Cikgu Zakaria ialah Cikgu Othman Haji Ahmad, dari Pekan. Kebetulan pula kedua-duanya pernah sama-sama belajar di SITC. Disebabkan bertemu ’buku dengan ruas’ itu, pernahlah berlaku suasana tegang di antara mereka, tetapi untung tidak sempat membuahkan perkelahian. Cikgu Othman akhirnya dipindahkan ke sekolah lain.

Cikgu Zakaria berjaya menjadikan sekolahnya sebagai contoh terutama dalam bidang kebersihan kawasan, keindahan lanskap, keutuhan akhlak murid-murid, ketrampilan akademik dan keunggulan kokurikulum.

Malam Pasar Ria

Cikgu Zakaria Derani mempunyai perancangannya sendiri untuk meningkatkan prestasi sekolah beliau. Keberadaan kami bertiga di sekolah itu memang sangat beliau harapkan. Salah satu aktiviti yang sedang dirancangnya ialah mengadakan persembahan atau yang pada masa itu biasa dipanggil 'konsert'. Matlamat mengadakannya amat sederhana, iaitu mengumpul dana untuk membeli sebuah tabir bagi digunakan dalam setiap kali persembahan sekolah.

Saya sendiri berasa macam pelik dan tidak pasti sedikit: mahal benarkan sebidang tabir sehingga terpaksa mengadakan persembahan mengutip derma untuk membelinya? Saya diminta menyediakan persembahan cerita atau drama, di samping persembahan tambahan berbentuk tarian, nyanyian, dan lokanan oleh pelajar dikelolakan secara bantu-membantu. Kumpulan pemuda pemudi Padang Tengku juga bersetuju membantu menjayakan Malam Pasar Ria (nama yang dipilih oleh Cikgu Zakaria Derani sendiri) itu.

Latihan dimulakan. Saya tidak berapa ingat judul cerita yang dipentaskan. Tapi, buat pertama kalinya, pelakon saya paksakan menghafal skrip, tidak pakai sebut sesuka hati apa yang hendak dicakap, sebagaimana yang biasa dilakukan dalam persembahan sekolah pada zaman itu. Pada masa itulah saya mulai berkenalan dengan pemuda-pemudi Padang Tengku. Mereka sangat bekerjasama dan mesra dengan kami. Kumpulan pemuda terdiri daripada belia-belia kampung dan pelajar Sekolah Menengan Agama Padang Tengku. Pemimpin mereka ialah Tengku Zulkarnain Tengku Putera, yang boleh berbahasa Inggeris dan agak terpelajar, tetapi khabarnya malas bersekolah dan terus berhenti sekolah setelah bapanya meninggal dunia. Golongan wanita pula kebanyakannya terdiri daripada pelajar-pelajar Padang Tengku dan Selbourne yang bersekolah Sekolah Menengah Clifford.

Malam Pasar Ria memerlukan alat siar raya, terutama pembesar suara. Sekolah tidak mempunyainya. Wang untuk membelinya pun kami tidak punya. Satu-satunya cara mendapatkan alat siar raya ialah dengan meminjam daripada rumah Tok Raja, di Bukit Betong. Untuk ke Bukit Betong dari Padang Tengku tentulah hanya melalui kereta api.

Cikgu Zakaria menguruskan hal peminjaman. Kami terpaksa mengambil sendiri dari rumah Tok Raja. Cikgu Zakaria mencadangkan beberapa orang daripada kami pergi ke Bukit Betong menaiki kereta api pagi dan balik berjalan kaki mengikut jalan kereta api, kerana kalau menunggu kerera api ke Padang Tengku semula, lamalah pula kena duduk di Bukit Betong.

Akhirnya, Cikgu Zakaria, Mat Zin, Zakaria, saya, Umar Mokhtar dan Tengku Zulkarnain bertolak ke Bukit Betong dengan kereta api pagi. Kami tiba agak awal dan kami menyempatkan diri melihat-lihat Pekan Sahari Bukit Betong. Di Pekan Sahari itulah buat pertama kalinya saya melihat ikan baung kenerak yang cukup besar. Ikan baung ini rupanya agak aneh, dengan kulit yang bercoreng seakan-akan pakaian celoreng askar. Khabarnya ikan ini sangat sedap jika dibuat gulai asam tempoyak dan dicampur dengan buah mentimun masak atau dimasak dengan asam rom. (Saya diberitahu tentang menu istimewa ini oleh seorang teman, Cikgu Wan Mustama Wan Hayat semasa beliau menjadi Pengetua di Sekolah Menengah Kebangsaan Sri Jengka. Cikgu Wan berjanji hendak mengajak saya makan di rumahnya kalau dia menggulai baung kenerak dengan timun masak, tetapi sehingga kini hasrat itu belum tertunai, dan Cikgu Wan mungkin sudah tidak mengingatinya lagi. Saya harap Sdr Haji Sobirin Haji Duli dapat mengingatkan beliau, kerana salah seorang yang membaca Blog saya ini ialah Haji Sobirin).

Selepas itu kami terus pergi ke rumah Tok Raja mengambil peralatan untuk dipinjam. Dengan horn speaker, bateri, amplifier dan segulung wayar, dan beberapa alat lain, kami. pun menapak ikut jalan kereta api balik ke Padang Tengku.

Barulah saya berpengalaman berjalan di atas landasan kereta api. Rupanya tidaklah semudah sebagaimana berjalan di jalan denai di kampung. Pertama, kita tidak boleh berjalan di atas landasan besi keluli itu kerana besar kemungkinan kaki tergelecok ke bawah yang mengakibatkan terseliuh malah mungkin terkehel buku lali, kalaupun tidak patah. Kedua, kita juga tidak dapat memijak selipar (kayu) alas landasan kerana susunan jarak kayu itu tidak sesuai dengan langkah biasa. Akibatnya, selepas dua tiga langkah, langkahan seterusnya tidak dapat mengenai selipar, malah terpaksa memijak batu kerikil yang banyak. Ini sangat menyakitkan kaki dan mencemaskan hati.

Kesukaran tersebut ditambah pula peritnya panahan cahaya matahari khatulistiwa pada waktu tengah hari! Akhirnya, kami sampai juga ke rumah kira-kira jam 3.30 petang. Guru Besar kami memberitahu badannya terasa hendak demam kerana pehanya melecet (beliau seorang yang gemuk dan kedua-dua pehanya bergesel sepanjang perjalanan tadi).

Impressions saya pertama kali melihat baung kenerak di Pekan Sahari Bukit Betong itu amat mengerikan. Malam itu saya bermimpi hingga mengigau melihat ikan pelik itu sekali lagi. Masya Allah! Nasib baiklah Zakaria Puteh mengejutkan saya daripada mimpi ngeri itu.

Malam Pasar Ria itu pun berlangsunglah. Saya tidak berapa ingat lagi rincinya peristiwa itu. Wang kutipan tidaklah menggalakkan sangat, tetapi aktiviti itu sangat mendapat sambutan. Tidak lama selepas itu saya melihat Cikgu Zakaria Derani membentangkan sehelai tabir besar berwarna merah jambu untuk ditulis di atasnya dengan cat berwarna biru tua: JASA PASAR RIA. Hasrat beliau untuk membeli sehelai tirai atau tabir telah tercapai. Tulisan yang tercatat di atas tabir itu merakamkan jasa beliau menelurkan idea yang kami semua sokong. Demikianlah sukarnya untuk mendapatkan hanya sehelai tabir kegunaan sekolah pada masa itu.

Pada tahun itu juga sekolah kami merancang mengadakan sukan tahunan. Disebabkan padang sekolah amat kecil, sukan kami akan diadakan di Padang Kereta Api, yang terletak di antara Stesyen Kereta Api dengan Sekolah Menengah Agama Padang Tengku. Untuk sampai ke padang itu terpaksalah melintasi jalan kereta api yang tidak berpagar. Ini tidak membimbangkan kerana semua murid sekolah ini telah biasa benar dengan soal lintas-melintasi jalan kereta api, di samping hafal pula waktu bila masanya kereta api ada dan waktu bila pula stesyen lengang.