Saturday, May 16, 2009

Trilogi Ajip Rosidi

Alhamdullah! Akhirnya, Cystarini (Atje) dapat mencarikan buku yang saya pesan. Buku itu ialah Yang Datang Telanjang; Hidup Tanpa Ijazah dan Jejak Langkah Urang Sunda yang diterbitkan sempena HUT Ke-70 pengarang terkenal Indonesia, Ajip Rosidi.



Saya telah lama mengenali penulis besar ini melalui tulisan-tulisan beliau, Di Tangah Keluarga, Cerita Pendek Indonesia, Jeram, Tahun-tahun Kematian, Sebuah Rumah Buat Haritua, kemudiannya cerita pantun Sunda Mudinglaya Di Kusumah, Lutung Kasarung, Ciung Wanara, Sang Kuriang Kesiangan, dan Roro Mendut.

Semasa saya menyediakan Latihan Ilmiah peringkat Sarjana Muda tentang cerita rakyat Pahang di UM, saya ada membuat hubungan dengan beberapa tokoh yang pakar dalam penulisan dan pengumpulan cerita rakyat. Antara tokoh yang saya hubungi ialah Ajip Rosidi. Pada masa itu beliau giat menulis dan mengumpulkan cerita rakyat Sunda (tanah kelahiran beliau) di bawah Projek Penelitian Pantun dan Folklore Sunda bertempat di Jalan Asmi, Bandung.




Saya tidak menyangka Pak Ajip begitu bersegera membalas surat saya dan menceritakan pengalaman beliau mengumpulkan cerita pantun (panggilan orang Sunda bagi cerita rakyat). Surat jawapan beliau saya kepilkan di dalam Latihan Ilmiah saya yang berjudul Dokumentasi Cerita Rakyat Pahang. yang kemudiannya diterbitkan sebahagiannya di dalam Majalah Dewan Bahasa (Julai 1976).


Saya masih ingat pada 1959, Oxford University Press Kuala Lumpur menerbitkan sebuah antologi cerpen berjudul Mekar dan Segar. Antologi itu sempat dibaca oleh Ajip dan memberikan kritiknya dalam sebuah penerbitan di Jakarta. Selain cerpen Asmal, dan Kris Mas, bagi Ajip cerpen lain tidak menyerlah dan dengan itu tidak ada yang baharu. Tulisan ini kemudiannya disiarkan semula di dalam salah sebuah akhbar terbitan hujung minggu terbitan Kuala Lumpur. Tidak sempat lama, seorang pensyarah sebuah maktab perguruan yang sedang menempa nama pada masa itu terus memberikan komen terhadap tulisan Ajip. ”Siapa Ajip yang mengkritik cerpen Malaysia?” demikian antara pertanyaannya. Tulisan pensyarah ini (Kala Dewata – Mustafa Kamil Yassin) terus disanggah oleh beberapa tulisan lain dari kalangan sasterawan Malaysia dengan menyatakan Ajip bukannya orang sembarangan dalam dunia penulisan Indonesia, hanya MKY mungkin belum mengenalinya. Tulisan ini membuat MKY menyiarkan permohonan maaf beliau kerana kekhilafan tanggapnya terhadap Ajip.

Meskipun trilogi Ajip ini tebal-tebal belaka (Hidup Tanpa Ijazah mencecah 1330 halaman), tetapi senang dibaca kerana saya mampu membaca ketiga-tiganya dalam tempoh lima hari sahaja (tidak termasuk beberapa artikel dalam bahasa Sunda). Ini kerana, sebagaimana tulisan Ajip yang lain, bahasa beliau amat segar, bersahaja dan kemas. Hidup Tanpa Ijazah memuat tulisan Ajip berupa autobiografi beliau; Yang Datang Telanjang adalah surat-surat beliau kepada dan daripada teman-teman sasterawan dan bukan sasterawan dari seluruh dunia; sementara Jejak Langkah Urang Sunda pula memuatkan tulisan sahabat-sahabat beliau yang membicarakan pengalaman mereka dengan Ajip.





Ada enam perkara yang saya ingin catatkan tentang penulis besar ini: Pertama beliau sengaja tidak menamatkan persekolahan menengahnya, tetapi kemudiannya telah diangkat menjawat profesor di beberapa universiti ternama di Jepun. Beliau juga dipercayakan untuk memberi kuliah di Universitas Pajajaran. Kedua: beliau mempunyai kenalan yang amat luas, baik di kalangan penulis, penggiat budaya, pelukis, dan ahli politik yang menyebabkan usaha beliau mengembangkan idea seninya menjadi mudah (malah kadang-kadang menjadi sukar!). Ketiga: beliau banyak membantu para penulis dan anak seni Indonesia baik dalam bentuk kewangan mahupun kemudahan lain; misalnya beliau pernah membantu seorang teman untuk berkahwin dengan membawa manuskrip bukunya ke percetakan untuk dijual dan wang jualan diberikan semuanya kepada teman itu. Keempat: selain H.B. Jassin, barangkali beliaulah yang paling banyak membuat koleksi dan dokumentasi budaya, seni dan sastera Indonesia. Kelima: beliau sangat suka bersilaturrahmi dengan teman-temannya. Keenam: bukunya yang pertama terbit ketika usianya 17 tahun (1955) berjudul Tahun-tahun Kematian (kumpulan cerpen) yang kemudian diikuti oleh lebih daripada 110 bukunya yang lain.

Saya tertarik melihat gambar Ajip menjaga gerai pameran buku Balai Pustaka. Semasa kunjungan Presiden Sukarno ke gerai tersebut, Ajip yang menyambut dan memberikan taklimat kepada Presiden RI masa itu masih berseluar pendek!

Beliau adalah anak ajaib yang negara Indonesia pernah lahirkan. Selamat HUT dan selamat melepasi garis 70 tahun Pak Ajip. Semoga Pak Ajip dan Bu Empat (Fatimah) tetap dalam peliharaan Allah SWT.

Selamat Hari Guru

Hari ini, 16 Mei adalah Hari Guru. Saya menerima ucapan Selamat Hari Guru daripada beberapa orang bekas pelajar dan teman lama, kawan rapat (yang bukan guru), termasuk anak bongsu saya Farah Afizan, seorang guru juga, yang hari ini sedang mengikuti Kursus Kenegaraan di Pusat Latihan Negara Bukit Sagu, Kuantan.

Saya terharu benar menerima ucapan selamat begitu, apatah lagi ucapan yang diselitkan dengan teks berupa puisi, kata hikmat, penghargaan dan seumpamanya. Setiap kali lagu Kami Guru Malaysia dikumandangkan saya kerap menitiskan air mata, tanpa mengetahui sebab-musababnya berlaku begitu ke atas diri saya.

Saya pernah diminta membuat teks khutbah Jumaat tentang Hari Guru dan untuk itu terpaksa membuat kajian melalui buku dan laman web. Rupa-rupanya sambutan Hari Guru dibuat dalam kebanyakan negara di dunia. Meskipun tarikh sambutannya berlainan, objektif dan aktiviti sambutannya sama. Tahun ini Jawataankuasa Khutbah tidak menyediakan khutbah Jumaat khas Hari Guru. Saya tidak tahu sebabnya. Apabila seorang pegawai di Jabatan Pelajaran Pahang bertanyakan hal itu, saya mencadangkan agar Jabatan Pelajaran sendiri menyediakan teks dan menyampaikannya kepada Pejabat Mufti untuk kelulusan. Tetapi, dalam masa yang sesingkat hari itu, tentu teks tersebut tidak dapat disampaikan kepada seluruh masjid di negeri ini; apatah lagi teks khutbah biasanya disediakan dalam bentuk bercetak dan dibukukan sebulan lebih awal.

Bagaimanapun, Selamat Hari Guru untuk semua guru. Saya sendiri secara peribadi ingin benar menyertai sambutan Hari Guru, baik di peringkat daerah, negeri (apatah lagi kebangsaan!); tetapi telah lama benar (lebih 10 tahun) saya tidak mendapat kad jemputan untuk ke majlis begitu. Jadi, saya tidak tahu bila dan di mana sambutan diadakan. Sebagai seorang yang pernah dipilih menjadi Tokoh Guru peringkat daerah dan negeri (kononnya), takkanlah banyak sangat kos yang ditanggung oleh Jawatankuasa Sambutan Hari Guru Negeri untuk sekeping kad, secawan teh dan sepiring mi (kalau pun ada) bagi membolehkan saya (dan teman-teman lain yang seperti saya) bersama-sama hadir menghayati peristiwa bersejarah ini.

Wallahu a'lam.

Friday, May 15, 2009

Mohon maaf!

Masya Allah! Lama betul Blog ini tiada maklumat baru. Bukannya saya jemu menulis, tetapi saya tidak dapat membahagikan masa, yang semakin lama semakin rasanya terlalu pendek bagi saya. Dalam sebulan dua ini saya agak banyak menulis, antaranya menyiapkan edisi baru Kamus Bahasa Melayu Klasik (dengan entri tulisan jawi), yang ditolak oleh sebuah penerbit untuk diterbitkan! Tapi, sebagaimana biasa, saya tidak putus asa kerana itu dan tetap dan berusaha menyiapkannya dengan baik dan lebih informatif. Buku kedua: Citra Pahang dalam Teks Klasik, yang telah menjadi agak tebal rupa-rupanya. Ketiga: Koleksi Adat Diraja Pahang (yang ini tak berani jamin... kerana ramai yang hendak menolong, nampaknya). Selain itu terpaksa menyiapkan kertas kerja dan presentation power point untuk Seminar Antarabangsa Kain Tenun (anjuran UM dan Lembaga Muzium) - yang ini telah berlangsung dengan selamatnya di Hotel Vistana, Kuantan 12-14 Mei lalu; Bengkel Kesultanan Melayu (anjuran DBP) yang akan berlangsung di USM bulan depan.

Memang ada yang hendak saya tulis tentang lawatan Lembaga Muzium Negeri Pahang ke Muzium Kota Tinggi, Muzium Sultan Abu Bakar, Johor Bahru dan beberapa muzium di negara tetangga, Singapura. Khas untuk Singapura, ada berita menarik tentang usaha anak-anak muda di sana membantu para pelajar mempelajari apa yang tidak ada dalam kurikulum sekolah (misalnya tentang budaya Melayu, kesultanan Melayu, malah berpencak silat, pakaian tradisional, bermain wau... Suatu yang patut sangat kita contohi.

Cerita lengkapnya, insya Allah akan menyusul beberapa hari lagi.

Sunday, December 28, 2008

Hidangan Pelik di Restoran Ternama

Ikan Berdiri

Bunyinya memang agak pelik didengari. Ada hidangan ikan berdiri. Hidangan ini hanya terdapat di restoran tertentu di Indonesia, tepatnya restoran kelas atasan atau di sana disebut 'kelas kakap'. Sesuai dengan gengsi restoran berkenaan, harga ikan itu tentulah mahal pula.

Kisahnya bermula dengan pertemuan kami dengan Dr. J. Goenawan, tuan punya BTG (Bimbingan Test Goenawan) di Jakarta pada 25 September 2004. Perancangan awal kami bertemu di Universitas Trisakti, tetapi kami hanya melawat universiti tersebut memandangkan institusi pimpinan Dr. Goenawan (Jalan Pulomacan Raya 48-50, Tomang, Kode Pos 11400 Jakarta Barat, h/p 0818736324) lebih dekat dengan matlamat kami untuk mengirim anak-akan KIPSAS melanjutkan pengajian ke Indonesia.


Ikan berdiri, Pak Goenawan dan Ny. Goenawan


Jadi, pertemuan lanjut kami teruskan di Hotel Ibis Tamrin.

Selepas berbincang, Dr. Goenawan menjemput kami makan tengah hari di sebuah Rumah Makan yang terletak di Jalan Sabang. Ramai juga yang ikut serta sebagai tamu Pak Goenawan tengah hari itu: Dato’ Abdul Razak Abu dengan isteri; Haji Taslim Sarbini, Atace Pendidikan Kedutaan Malaysia; Dr. Goenawan dan isteri; Abun dengan Atje serta anak mereka Rachma dan Rhaidy; serta saya sendiri dengan Nurziah. Pemandu Dr. Goenawan tidak ikut serta (mungkin segan, kata Nyonya Goenawan!).

Oh, ya! Yang saya hendak ceritakan dalam blog ini bukan tentang Dr. Goenawan sangat. Itu, yang ikan berdiri tadi.


Haji Taslim, Pak Gunawan dan ikan berdiri

Makanan yang dipesan oleh isteri Dr. Goenawan pelbagai. Ada burung merpati, ayam goreng (ayam kampung, tentunya), ikan kukus, jus kelapa muda, pelbagai jus dan banyak lagi. Melebihi keperluan makan tengah hari biasa kami. Dan, termasuk dalam menu adalah ikan berdiri itu tadi.

Bagaimana ikan berdiri itu? Sebenarnya ikan jenis ikan kaloi (orang Indonesia kerap menyebut ikan emas, barangkali), bentuknya seakan-akan ikan talapia. Kalau ikan talapia, tulangnya lembut, tetapi yang ini keras.

Ikan berdiri, Dato' Abdul Razak dan Datin Azizah

Dikatakan ikan berdiri kerana ikan itu dipotong dengan cara yang khas yang kemudiannya dimasak dengan cara deep fry (mungkin ada alat yang memegang ikan itu semasa dimasak untuk menjadikan tubuhnya tegak dengan ekor dan bahagian daging yang dibelah bertindak sebagai ’kaki’ sehingga membolehkan ikan itu dihidang dalam keadaan berdiri, dengan kepalanya dan sirip belakang tercacak, yang menampakkan sejenis citra 'garang'.

Ikan berdiri, Abun, Rachma dan Rhaidy

Sepanjang yang saya tahu, di tempat kita belumlah ada restoran yang menyediakan menu serupa ini.

Tentang rasa ikan tersebut, saya tidak terasa sebarang keistimewaan. Sama sahaja dengan ikan yang digoreng dengan minyak yang banyak atau deep fry itu tadi. Hidangan ini menjadi mahal bukan kerana rasanya, tetapi... kerana branding dan re-brandingnya.

Pak Goenawan, ikan berdiri dan Ny. Goenawan

Memanglah, dalam dunia perniagaan dan pengurusan moden, branding merupakan satu ciri penting untuk menentukan harga, populariti dan citra penerimaan pelanggan. Bukankah baru-baru sebuah stesyen TV berbayar ada menyiarkan kisah perbahasan umum di antara tikus dengan hamster?

Begini kisahnya: Tikus yang merasa pelik, cemburu malah hangat hati menghujah hamster, mengapakah mereka dianianya manusia dengan diracun, diperangkap, diburu dan terpaksa tinggal di bawah rumah, di celah-celah longkang yang kotor dan hanyir serta menerima pelbagai cacian dan penghinaan, termasuk dari kalangan kucing yang tak putus-putus memburu kaumnya; manakala hamster disediakan bekas yang bersih, siap dengan tempat berpusing, tangga besi cantik dan terowong lut sinar untuk melakukan latihan jasmani setiap malam, makanan yang enak-enak seperti bijirin jagung, biji bunga sunflower, kuaci, kekacang dan lain-lain yang serba enak. Pada hal, demikian menurut tikus, mereka dari kelompok haiwan spesis yang sama: roden, kata orang putih.

Hamster rupa-rupanya menunggu saat tikus menamatkan hujahnya untuk membalas dengan nada lembut dan santun: ”Wahai Kak Ti, ini semuanya disebabkan branding: Kak Ti tikus sedangkan saya hamster!”

Saturday, December 27, 2008

Pisang Epit di Pantai Angin Mameri

Menjejakkkan kaki di Tanah Bugis
Entah siapakah yang pada suatu masa – puluhan tahun lalu – memberitahu saya sekiranya pergi ke Makassar, jangan lupa menikmati pisang bakar di Pantai Angin Mameri. Enak sungguh, pesannya.

Puas saya cuba mengingati kembali, siapa yang menyampaikan berita yang cukup sederhana itu kepada saya: mungkin Pak SN Arenawati, atau SN Usman Awang, Tan Sri Ismail Hussein, Saleh Daud atau siapa ya? Mestinya kalangan penulis. Tapi, ini kisah lama.

Akhirnya saya berpeluang juga menjejakkan kaki ke Tanah Bugis yang masyhur dengan lagenda di kalangan kami di Pekan itu. Bagi orang Pekan, nama Bugis ini bukanlah sesuatu yang asing. Ada Kampung Bugis, Kampung Mengkasar dan orang berketurunan Bugis di Pekan, malah di kampung saya pun.

Konon ceritanya, pada masa dahulu ada seorang orang Bugis yang dikenali sebagai Tuk Bugis di kampung kami. Orang ini besar dan tegap binaan tubuhnya. (Mungkin pahlawan Bugis yang lari meninggalkan pasukannyalah itu!). Tuk Bugis ini selain berbadan besar, mempunyai telinga yang lebar dan cegeng, sehingga menakutkan anak-anak kacil. Dilanjutkan cerita (oleh arwah Encik saya) pada suatu hari Tuk Bugis berjalan-jalan lantas berpapasan dengan sekumpulan kanak-kanak. Apa lagi, bercemperalah mereka lari takutkan orang bertelinga cegeng itu. Salah seorang yang lari itu iaitu anak Pak Anjang Arit, terjatuh ke dalam lopak air atau kubang (mungkin juga kolam) yang agak dalam. Sedihnya, anak malang itu meninggal dunia kelemasan di dalam kolam itu.

Pada masa itu, peristiwa begini dianggap kemalangan biasa. Tidaklah sampai direpot ke Rumah Pasung. Dan kerukunan masyarakat tidak terjejas akibat musibat ini, meski menyebabkan kematian. Kalau peristiwa itu berlaku sekarang, hauslah tangga mahkamah, baru kes selesai.

* * *

Misteri Pantai Angin Mameri

Semasa kami menjejakkan kaki di Tanah Bugis (21 September 2004), pihak berkuasa Indonesia sedang giat mencari Dr. Azahari dan Nordin Mat Top. Banyak yang menyangka kononnya mereka bersembunyi di Sulawesi. Jadi, pihak berkuasa memeriksa rapi setiap tetamu Hotel Sahid Jaya, tempat kami menginap. Siap dengan scanning menggunakan alat metal detector sebagaimana di lapangan terbang.

Meski ada tugas lain, hati saya tak pernah lupa untuk pergi ke Pantai Angin Memeri. Saya nyatakan hasrat saya ini kepada isteri saya sebelum kami bertolak lagi. Akhirnya, menjelang senja, kami dibawa oleh Dr. Najmuddin Haji Abdul Safa dan isteri beliau Drs Faridah Abdul Rahman ke tempat jualan pisang bakar itu.

Proses menyediakan pisang epit

Orang-orang Makassar menyebutnya pisang epit. Epit itu sama maknanya dengan himpit. Kaedah menyediakan pisang epit ini sederhana sekali. Pisangnya jangan lain daripada pisang sematu (ada orang memanggilnya pisang nipah; orang tempat lain saya tidak tahu). Orang Makassar juga memanggilnya pisang sematu. Sebenarnya pisang sematu sendiri banyak variasinya; tetapi untuk dibuat pisang epit, sematu jenis pisang nipah itulah. Jangan yang jenis banyak biji dan jangan juga yang jenis bersaiz besar yang dikenali sebagai sematu bédar itu.

Pisang itu janganlah yang terlalu masak. Sebaik-baiknya yang mengkal atau lebih sedikit daripada peringkat mengkal. Setelah dikupas kulitnya, pisang itu dihimpit dengan dua keping papan yang dibuat khas (seperti bentuk pemanggang ikan yang diperbuat daripada dawai). Selepas itu pisang yang terhimpit itu (bentuknya seolah-olah menjadi empat segi bujur) dipanggang atau dilayur di api beberapa minit. Siap dilayur terus disusun bertingkat-tingkat di dalam bekas kaca untuk diperagakan.

Apabila ada pelanggan, pisang itu dibakar sekali lagi sehingga berwarna kekuning-kuningan. Satu porsi (satu hidangan) mengandungi tiga biji pisang dengan sepiring misan kabung yang dicampur dengan kelapa parut. Nah, siap untuk disantap.


Menyusun pisang untuk dibakar

Yang menjadikan saya terpana (atau terpesona, barangkali) hidangan tradisi yang sangat sederhana itu telah wujud puluhan, kalau tidak ratusan tahun lamanya. Pisangnya sentiasa ada, dan peminatnya (macam saya pada petang itu) sentiasa ada. Jualan ini tentunya tidak ada sebarang iklan untuk menarik peminat. Dalam keadaan begitu pun, perniagaan mereka tetap bermula selepas jam 3.00 petang dan berterusan sehingga jam 4.30 pagi. Masya Allah!


Datin Azizah Bakar tidak menunjukkan tanda 'peace' tetapi memesan dua porsi lagi pisang epit

Perubahan kaedah hidangan

Menurut Faridah, dahulu ibu dan neneknya menyediakan pisang epit yang dicecah dengan madu lebah dari gunung yang dicampur dengan santan kelapa. Sekarang madu mungkin sukar diperolehi dan diganti dengan manisan enau atau kabung. Orang pun jadi malas meramas kelapa, lalu dihidangkan kelapa parut bersama-sama misan tadi, tidak lagi dijadikan santan sebagaimana yang dibuat oleh ibu Faridah dulu-dulu. Tapi, rasanya mungkin tidak banyak yang berubah. Buktinya: Pantai Angin Mameri masih dipenuhi peniaga pisang epit dengan deretan gerai yang mungkin lebih 100 buah. Mereka berniaga setiap hari, sepanjang tahun.

Saya fikir dagangan pisang epit seperti yang di Makassar ini boleh laku jikalau diperniagakan di tempat kita. Ada terbetik di hati saya untuk memulakan usaha ini di Kuantan. Tapi, kalau saya mula berniaga nanti siapa pula yang hendak mengisi ruangan di dalam blog saya ini?

Tradisi memakan pisang bakar memang ada di kalangan orang Melayu di Pahang; tetapi yang dibakar bukannya pisang sematu. Pisang yang digunakan selalunya pisang bakar (sejenis pisang yang masaknya berwarna hijau). Pisang bakar yang dibakar biasanya yang telah cukup masak. Selesai dibakar, pisang itu dilecek dengan sudu di dalam tempurung dasar (tempurung kelapa yang dilicinkan untuk dijadikan sebagai mangkuk kecil) dan pisang itu dijadikan makanan bayi. Saya fikir saya pun tergolong sebagai salah seorang anak yang membesar melalui proses memakan pisang bakar ini.


Anak-anak pemuzik jalanan di Pantai Angin Mameri

Dipendekkan cerita, banyak juga kami makan pisang epit petang itu. Ada anak-anak pemuzik jalanan yang memetik gitar, memukul bonggo dan menggoncang tamborin, bergerak dari gerai ke gerai sambil menyanyi. Dan antara lagu yang mereka kumandangkan tentunya Angin Mameri di samping lagu-lagu lain yang dipopularkan oleh Bob Tutipoli dan Broery Marantika.

Friday, December 26, 2008

Menempa al-Quran Emas

Karya seni untuk sebuah hasil mulia

Gozak merupakan kilang pencetak wang negara di Moskow, yang bernaung di bawah Kementerian Kewangan Rusia. Tidak lama dahulu, institusi ini melakukan kerja yang agak di luar rangka kerja rasminya. Usaha ini boleh disebut suatu usaha luar biasa, malah satu keajaiban seni.

Apa tidaknya: kilang ini telah menempa atau mencetak mushaf al-Quran yang merupakan manuskrip peninggalan Khalifah Saiyidina Usman RA pada abad ke-8 di atas 'lempengan' emas murni 999.9 karat. Manuskrip ini adalah sebuah harta amat berharga yang tersimpan di Institut Ketimuran, Akademi Ilmu Pengetahuan Rusia Cawangan Saint-Petersburg.

Usaha ini merupakan "sebuah karya luar biasa. Suatu keajaiban seni," kata Dr. Dmitry Frolov, Ketua Bagian Filologi Arab dari Institut Negeri-negeri Asia dan Afrika, Universiti Negeri Moskow.


Al-Quran emas. Gambar kecil di dalam pemidang di sebelah kanan adalah salah satu halaman mushaf; sementara gambar di tengah-tengah adalah mushaf lengkap disusun dalam pemidang kayu berkualiti.


Svet Zakharov, seorang penulis Rusia melaporkan, menurut rancangan, perusahaan Rusia berinisial "WT" ini akan menempa 10 salinan mushaf emas al-Quran ini. Salinan pertama yang berupa edisi lengkap berisi 164 keping emas berukuran 13.6 sm x 9.6 sm, dengan berat masing-masing lempeng (halaman) 75 gram itu sudah selesai. Sembilan salinan lainnya dijangkakan selesai empat hingga enam bulan kemudian.

"Di dunia ini, tidak begitu banyak kitab yang memiliki peranan luar biasa penting dalam sejarah peradaban umat manusia. Kitab Injil dan al-Quran memiliki peranan yang istimewa itu," demikian pendapat Dr. Frolov.

Buku-buku suci, manuskrip-manuskrip klasik yang membina dunia ini, menurut Frolov lagi, secara fizikalnya lambat laun rosak dan tidak banyak lagi jumlahnya. Salah satu objektif menerbitkan mushaf al-Quran versi emas ini adalah untuk menjadikan peninggalan suci itu abadi secara fizikal. Tambahan lagi, mushaf Saint-Petersburg ini diakui dan dinilai sebagai mushaf Quran tertua dan paling lengkap di antara manuskrip al-Quran yang ada di dunia.

Secara teknik, mencetak manuskrip tua ke atas lempengan emas sangatlah rumit. Sebagai contoh, untuk menyelesaikan salinan al-Quran emas pertama saja, diperlukan waktu tidak kurang dari satu setengah tahun. Padahal, projek ini dikerjakan di bawah arahan kilang pencetak wang Rusia, yang disebut-sebut sebagai salah satu yang terbaik di dunia.

"Ini bukan projek biasa, melainkan pekerjaan tradisional yang menuntut kesempurnaan," kata Diana Yampolskaya, Timbalan Pengarah Goznak. Lebih jauh Diana mengemukakan, bahagian tersulit dalam pekerjaan ini adalah membuat permukaan setiap plat dalam keadaan mulus dan selicin cermin. Bayangan tentang tebal pelat yang hanya 0.3 mm menjadikan proses menempa tulisan tangan di atasnya sangat sukar. Tekanan terlalu keras saat menempa, menurut Diana, akan menciptakan lubang di permukaan plat. Diperlukan ketepatan kekuatan tekanan secara merata di semua permukaan. Untuk itu, Goznak mendatangkan peralatan khusus yang sesuai dan "tukang tempa" yang dididik secara khusus untuk projek ini.

Secara sederhananya, proses pembuatan lembaran-lembaran al-Quran emas itu sebagai berikut. Gulungan plat emas dipotong sesuai ukuran yang dikehendaki, kemudian ditaruh pada sebuah bidang khusus untuk penempaan. Targetnya, tercetak rangkaian huruf Arab yang mengilap seperti beludru dengan kilau emas. Ia tetap berkilat tanpa digosok. Untuk setiap halaman manuskrip, dibuat acuan huruf (matriks) tersendiri. Bahagian ini merupakan proses kerja paling unik dengan tingkat kesulitan tinggi. Namun, kata Diana, berkat bantuan teknologi tinggi yang terbaru dalam bidang cetak-mencetak (counter-proof technique), tipologi huruf dan reka bentuk plat terakhir tidak akan berbeza dengan halaman emas yang pertama.

"Tukang tempa kami berkeahlian sangat tinggi untuk mencapai kualiti yang sama tingginya di semua plat," Diana menambahkan.

Demi kesempurnaan hasil, setelah mendapat pendidikan khusus sebelum mencetak naskhah emas pertama, para seniman tempa itu berlatih berulang kali di atas plat tembaga. "Setelah sempurna teknik mereka, baru beranjak ke bahan plat emas," kata Diana pula.

Dengan kualifikasi dan strategi yang sama, kesembilan salinan yang lain, menurut Diana, tak akan berbeza mutunya dari salinan pertama yang sudah jadi. Pada masa depan, Diana mengemukakan, pihaknya akan mencoba menerbitkan manuskrip-manuskrip dan menerbitkan kembali kitab-kitab kuno menggunakan bahan logam-logam lain.

Apakah mushaf al-Quran emas ini akan terlihat seperti kitab "konvensional" lainnya? Diana mengatakan, secara teknikal karya ini boleh berbentuk buku. "Tetapi kami tidak ditugasi 'menjahitnya'. Ia hanya berupa kumpulan plat halaman yang masing-masing dipasangkan ke dalam rangka kayu berkualiti tinggi," ujarnya.

Menurut Timbalan Pengarah Institut Ketimuran Moskow, Dr. Vladimir Isayev, di lembaganya masih banyak tersimpan manuskrip dan buku lama yang unik. "Para saudagar Rusia berbeza daripada saudagar asing lainnya. Mereka tidak saja membawa emas dari Timur, melainkan juga manuskrip," paparnya.

Di Institut Ketimuran Moskow, menurut Isayev, jumlah manuskrip Arab saja boleh mencapai 10.000 buah. Koleksinya bahkan lebih besar dari yang ada di seluruh dunia Arab. "Manuskrip itu semuanya autentik dan banyak di antaranya yang masih belum dikenal umum." Isayev menambahkan.

Khusus tentang cetak emas manuskrip al-Quran versi Khalifah Usman ini, Isayev juga memberi tanggapan positif. "Saya gembira sekali sebahagian wang dari projek ini akan dipakai untuk keperluan kajian ketimuran, termasuk untuk penerbitan manuskrip yang belum kita ketahui," ungkapnya.

Satu di antara 10 salinan al-Quran emas tersebut, menurut Vladimir Prusakov, Pengarah WT Company, akan diberikan kepada Presiden Rusia, Vladimir Putin, sebagai hadiah. "Salinan kedua akan diberikan sebagai hadiah kepada Institut Ketimuran Cawangan Saint-Petersburg," ujar Prusakov. Delapan salinan lainnya kelak, lanjut Prusakov, sebaiknya disimpan oleh para pemimpin negara Islam, dan mungkin muzium-muzium nasional. Prusakov menjanjikan, sebagian wang yang diperoleh dari projek penerbitan al-Quran emas ini akan dihibahkan untuk membina Pusat Budaya Buku Islam di Institut Ketimuran.

Dengan mengutip ucapan Vladimir Putin, Prusakov mengatakan bahawa Rusia dalam rentang sejarahnya memiliki hubungan khusus dengan dunia Muslim dan Arab. "Semenjak zaman lampau hingga ke sejarah moden, kami menganggap dunia Muslim dan Arab sebagai salah satu sekutu kami yang terdekat," begitu Prusakov mengutip ucapan Putin.

Sayang, pihak WT Company tak menjelaskan "harga jual" al-Quran emas itu. Prusakov hanya menyebut kata kuncinya: sangat mahal. "Tetapi buku suci ini akan ada berabad-abad lamanya dan akan terus bercahaya, bahkan ketika kita sudah tidak ada lagi," ujar Prusakov.

Thursday, December 25, 2008

Bursar Buku

Khabar tentang buku

24 Disember 2008 yang baru lalu, tepatnya jam 5.25 minit petang saya menerima maklumat pesanan ringkas daripada Atje di Jakarta, memberitahukan yang dia sedang berada di Gramedia. Ada pasar buku dengan potongan khas 30%, mungkin sempena Hari Natal atau Tahun Baru.

“Suasana dah jadi macam pasar – ramai sekali,” demikian catat Atje.

“Buku-buku berserakan; diinjak-injak pula!” Catatnya melalui maklumat pesanan ringkas (SMS) sekali lagi.

Toko buku di Jakarta agak berbeza dengan kedai buku kita; meskipun kalau dibandingkan dengan MPH di Mid Valley. Saya pernah dibawa oleh Abun dan Atje ke Toko Buku Gramedia di Blok M dan Toko Buku Gunung Agung. Bukunya banyak, terkini dan harganya pun relatif murah. Dan, satu lagi kebanyakan buku mereka cukup bermutu.

Untuk memilih buku biasanya kita diberikan sebuah beg plastik lut sinar yang sangat selesa untuk dijinjing, kadar boleh memuat sekitar 15 buah buku yang sederhana saiznya. Beg lut sinar itu memudahkan kita melihat buku yang telah dipilih agar tidak terambil buku yang sama. Setelah puas hati barulah kita serahkan beg tadi ke kaunter untuk dikira dan dibayar harganya.

Saya dapatlah membayangkan betapa ‘serunya' bursar buku yang mereka kunjungi, semata-mata melalui kata-kata “macam pasar’, ‘berserakan’, ‘diinjak-injak’ serta ‘potongan 30%’ itu tadi. Jikalaulah Jakarta itu setanah dengan Semenanjung, mungkin pada masa itu juga saya berkereta ke sana!

Selain buku, saya meminati Majalah Gatra. Bukan setakat majalahnya, tetapi edisi khusus yang dikeluarkan sempena hari-hari perayaan atau mengupas judul-judul serta isu tertentu. Di Medan, saya pernah meminta pemandu angkutan untuk membawa saya ke setor agen Gatra bagi kawasan Sumatera Utara. Saya dibawa ke satu rumah teres yang entah di mana letaknya, dan di situ saya diperkenankan menyelongkar timbunan Gatra lama untuk mencari edisi khusus yang saya kehendaki.

Kalau di Jakarta, Atje dan Abun memang maklum benar di mana letaknya tempat-tempat begitu; saya cuma memesan untuk mereka carikan, beberapa hari sebelum ke sana.

Nah! Saya kini mempunyai koleksi Gatra Edisi Khusus yang membawa artikel yang memang tidak mungkin ditemui di penerbitan lain. Antaranya: Wali Songo Syiar Panjang Tanpa Pedang (2001); Satu Indonesia Seribu Raja (2002); Bukan Sekadar Kartini (2004); Hajatan Demokrasi Muslim Indonesia (2004); Jejak Ekonomi Indonesia (2005); Geliat Negeri Sejuta Masjid (2005); Spirit Ekonomi Santri (2006); Produk Unggulan Indonesia (2007); Mozaik Muslim Nusantara (2008).

Gatra Edisi Khusus sangat sukar didapati di Malaysia kerana bilangan kedai yang menjualnya sangat sedikit. Ada dua buah kedai kepunyaan orang India di Ampang Jaya. Kadang-kadang ada di Jalan Chow Kit dan di Ampang Park. Tapi, macam saya katakan tadi, keberadaanya sukar dijangka. Kerap saya mendapat maklumat melalui internet (http:\\www.gatra.com.).

Hari kelmarin itu rupa-rupanya Atje berjumpa buku yang saya pesan tidak berapa lama dahulu, iaitu tiga buah buku tulisan pengarang besar Indonesia, Ayip Rosidi yang dikeluarkannya serentak sempena beliau menyambut ulang tahun ketujuh puluh. Sebelum ini Atje pernah memberitahu saya ada tiga buah buku yang diiklankan sebagai penting tentang sastera Melayu dan bertanya sama ada saya meminatinya. Buku tersebut ialah: (1) Jan van der Putten & Al Azhar, Dalam Berkekalan Persahabatan (Surat-surat Raja Ali Haji kepada Von de Wall); (2) Amin Sweeney, Karya Lengkap Abdullah bin Abdul Kadir Munsyi Jilid I; dan (3) Amin Sweeney, Karya Lengkap Abdullah bin Abdul Kadir Munsyi Jilid II.

Laksana orang mengantuk disorongkan bantal, terus menyanggupi untuk membelinya. Buku-buku itu kemudiannya disampaikan kepada saya melalui anak saya Khairul Faizi semasa Atje dan Rachma ke Kuala Lumpur.

Buku-buku Indonesia, macam saya sebutkan tadi, sangat terkini. Memang, bilangan masyarakat pembaca mungkin 200 kali ganda lebih ramai berbanding kita. Saya fikir, penulis Indonesia lebih kaya daripada hasil tulisan mereka berbanding penulis kita.

Buku Tim Weiner yang menuduh Adam Malik

Buku-buku mereka bukan sahaja mendapat sambutan hangat, malah kerap dipolemikkan. Lihat sahaja buku tentang CIA oleh Tim Weiner menyebut tentang peranan Pak Adam Malik yang dituduh sebagai agen CIA. Buku ini khabarnya luar biasa larisnya, terutama di kalangan mahasiswa.

Terima kasihlah kepada Atje dan Abun kerana menjambatani saya dengan daerah buku Indonesia. Tetapi, ah, semuanya ini tentu akan menyusah dan membebankan kalian. Nanti, kalau cukup atau memadai ongkos perjalanannya, saya akan menemui kalian di Bekasi, insya Allah.