Monday, June 15, 2009

Mengikuti Sesi Fotografi

Fotografi sebagai suatu seni



Kelmarin, Sabtu 13 Jun mulai jam 9.00 pagi saya melalui satu pengalaman baru dalam seni fotografi. Bakal penerbit buku saya mahu gambar saya dicetak pada jaket buku di bahagian belakang. Saya ada beberapa keping foto lama (semasa membuat kad pengenalan, membuat paspot; malah foto saya berposing di pangkal Jambatan Golden Gate juga ada!); tetapi semuanya tidak berkenan di hati beliau.



Lantas, saya diminta pergi ke studio Indahku Production (http://indahku.com/). Tempatnya di No. 4 Lorong Permatang Badak Aman 12, Kampung Baru, Permatang Badak, 25150 Kuantan. Semasa saya tiba, tuan punya production, Sdr Azraie B.A. (azraie.azahan@gmail.com) sedang bersedia menyusun sejenis kain hitam dan kelabu untuk dijadikan tabir latar belakang. Untuk sesi ini saya diminta memakai busana sut berwarna gelap bersongkok; baju melayu teluk belanga dengan kain tapis tenun Pahang; baju kain tenun Pahang; baju melayu cekak musang berwarna hitam. Wah! Banyak sekali.


Ini hasil jurugambar amatur

Saya beritahu Sdr Fauzi yang menguruskan aktiviti ini yang saya tidak boleh lama di situ kerana ada jemputan kahwin anak saudara dua pupu saya tidak jauh dari situ. Apa pun, saya kena balik ke rumah dulu untuk bersalin pakaian lain yang lebih kasual.


Mengenai fotografi, saya memang ada sedikit pengalaman. Dalam tahun 1953 saya mempunyai sebuah kamera kotak jenama Kodak, menggunakan filem hitam-putih yang digulung pada dua alat pemusing yang terpaksa dikeluarlah dari kotak untuk memasangnya. Sebenarnya, kamera ini kepunyaan Abang Othman yang dibeli di Kuala Lumpur semasa beliau menuntut di Junior Technical Trade School. Untuk memotret, taklah payah sangat: halakan saja lensa ke arah objek dan tekan… klik! Tidak ada kemudahan untuk mengambil gambar waktu malam. Segulung filem ada 12 keping gambar. Saya fikir, harga kamera itu tak lebih $20.00 pada masa itu.


Kemudian, bila bekerja, saya membeli sebuah kamera Fuji (half-frame) 35mm. Satu rol filem dengan 36 dedahan boleh dapat 72 keping gambar (mungkin boleh lebih, kalau kita pandai dan berhati-hati memasukkannya).

Selepas itu, ada duit sedikit, saya beli pula kamera Nikon yang ada beberapa ciri digital (bukannya kamera digital), tapi harganya masih relatif murah. Satu hari, kamera saya itu terjatuh di atas jalan raya bertar mengakibatkan alat pengira filem digital menjadi gila: tak mahu berhenti, sehingga saya tidak boleh memasukkan filem... Saya juga mempunyai sebuah kamera SLR jenama PENTAX. Gambarnya bagus, tapi saya tak berapa pandai mengolah arahan jarak, aparture, cahaya apatah lagi flash yang sangat mengelirukan.


Yang ini juga... Yang ini juga ...


Akhirnya, saya membeli sebuah kamera digital Nikon Coolpix SQ. Walaupun ada beberapa ciri yang mengelirukan, saya mampu bertolak ansur dengan mesin kecil ini. Gambar yang dihasilkannya sangat memuaskan hati saya. Buktinya, kalau kurang percaya, lihatlah gambar-gambar bunga yang saya paparkan di dalam blog ini.


Yang menariknya saya tak payah lagi ke kedai gambar kerana gambar terus boleh dipaparkan pada layar komputer dengan aneka warna yang - mengikut cita rasa saya - sangat memuaskan. Tapi, ada pula sedikit masalah: bateri kamera ini terpaksa dicaj dan saya kenalah beli lebih daripada sebuah. Semasa menyertai rombongan Gapena ke Lhokseumawe dan Banda Aceh banyak peristiwa yang tidak dapat saya rakamkan kerana ketiadaan bateri. Hanya kamera digital siri terbaru yang menggunakan bateri bersaiz AAA 1.5V. Saya ingin trade-in kamera lama saya dengan model yang pakai bateri AAA itu tadi; tetapi tiada siapa yang sanggup mengambilnya.

Selain mengambil gambar anak-cucu, saya suka mengambil gambar still life dan nature. Terutama bunga-bungaan yang jarang-jarang ditemui di taman belakang rumah.



Nah! Berbalik kepada kisah sesi fotografi pada Sabtu lalu. Barulah saya tahu bagaimana membuat gambar yang berlatar belakang hitam. Sdr Azraie menggunakan sehelai tabir khas, dan latar belakang menjadi hitam pekat dan objek yang cukup terserlah. Gambar saya menjadi luar biasa ‘cantiknya’, apatah lagi kalau warna baju yang dipakai boleh mewujudkan efeks yang kontras.

Jangan terkejut kalau melihat gambar saya yang diambil oleh Sdr Azraie dan temannya hari itu. Saya diberitahu oleh beliau ada gambar yang ‘berlagak’ korporat, korporat berjaya dan entah apa-apa lagak lagi.


Sesi fotografi itu mengambil masa hampir tiga jam. Ada satu set pakaian lagi yang belum diperagakan; tapi saya ’menyerah diri’ kepada Sdr Azraie, dengan mengatakan saya dah tak larat bergambar.


Barulah saya faham betapa letih dan rimasnya para model ternama menghadapi jurufoto. Bukan kira jam, tapi sehari-harian atau beberapa hari agaknya. Dalam kes begini, biarlah saya tidak menjadi model, kalau begitulah keadaannya.

Terima kasih Sdr Azraie!

[Catatan: Foto saya yang ada di dalam Blog ini bukan untuk disalin semula atau seumpamanya. Tapi, foto bunga itu bolehlah diapa-apakan].

Thursday, May 21, 2009

Gulai Belangkas

Melawat Muzium Kota Tinggi

Ahli Lembaga dan kakitangan Muzium Negeri Pahang mengadakan lawatan kerja ke Johor dan Singapura pada hujung Februari lalu. Muzium pertama yang dilawati ialah Muzium Kota Tinggi.

Kota Tinggi, barangkali ramai yang memakluminya, adalah salah sebuah tempat bersejarah dalam pemerintahan Johor Lama. Di sinilah terletaknya makam Marhum Mangkat Dijulang yang masyhur dan tragis kisahnya itu.

Saya kagum tentang usaha kerajaan negeri Johor membina bangunan muzium daerah di Kota Tinggi dengan prasarana yang serba lengkap. Bangunannya baru yang cantik itu terletak di dalam kawasan yang kondusif. Meskipun artifek yang dipamerkan kelihatan biasa-biasa sahaja, tetapi kaedah mereka memperagakan artifak tersebut cukup menarik.

Taklimat yang diberikan oleh pihak Muzium menggambarkan perancangan masa depannya yang cukup meyakinkan.

* * *

Selepas melawat sekitar kawasan pameran, kami dijemput ke majlis makan tengah hari. Saya terkejut melihat hidangan yang luar biasa, antaranya belangkas gulai lemak cili padi dan gulai asam pedas ikan sembilang (bukan ikan keli tetapi sembilang laut).


Seekor belangkas betina dewasa


Saya pernah memakan gulai belangkas, tapi kira-kira 50 tahun yang lalu. Pada masa itu ada peraih dari Kuala Pahang, Serandu dan Cheruk Paloh mudik Sungai Pahang hingga ke kampung saya, membawa dagangan berupa ikan kering, ikan singgang, ikan jeruk malah kadang-kadang ikan panggang. Tidak ketinggalan, mereka juga membawa belangkas yang masih hidup untuk dijual. Belangkas itu mereka lepaskan begitu sahaja di bawah geladak perahu. Harga seekor belangkas dalam 10 sen atau 20 sen sahaja.

Kampung kami agak jauh (sekitar 20 kilometer) dari pantai laut. Belangkas tidak terdapat di kampung kami. Walaupun begitu, Emak pandai memasak belangkas kerana beliau pernah tinggal di Cherok Paloh semasa mudanya. Dia ada pengalaman ’mencekik’ ikan dan kerja yang berkaitan dengan kehidupan masyarakat pesisir laut.

Gulai belangkas yang dihidangkan di Muzium Kota Tinggi agak berlainan berbanding gulai yang pernah Emak buat. Emak menyiang belangkas secara menanggalkan isi dan telur belangkas daripada cangkerangnya. Bahagian lainnya yang digulai ialah ’caping’ belangkas itu. Bahagian itulah yang ada ’isi’nya. Bahagian pangkal kaki belangkas juga digulai dan bahagian ini ada isi, sebagaimana kita memakan kaki ketam. Bahagian hujung kaki yang seakan-akan kuku itu dipotong dan dibuangkan.

Kaki, caping dan perut belangkas
Sebenarnya yang betul-betul boleh dimakan pada seekor belangkas ialah telurnya. Bukan sepanjang masa belangkas bertelur. Kita boleh kenal belangkas itu bertelur atau tidak dengan melihat bahagian ’perut’ belangkas itu berisi atau tidak.

Bahagian 'caping' belangkas

Semasa tinggal di Tanjung Api, Kuantan sekitar 1952-1954, saya kerap bertemu belangkas di tepi jambatan dekat depoh minyak Shell ketika air laut mula menyurung pasang. Di tepi pantai yang dipanggil Pantai Gelora sekarang dan di Teluk Cempedak juga banyak boleh ditemui belangkas. Kami kerap menangkap belangkas, setelah melihat-lihat keadaan ekor, jejari dan badannya, kami lepaskannya semula ke laut. Kami tidak membawanya balik untuk dimakan kerana di rumah Abangteh Hussain, tempat saya menumpang tinggal itu, tidak ada sesiapa yang pandai mengurus untuk memasak belangkas.

Belangkas berenang di dalam laut biasanya berdua-dua: yang jantan sentiasa menenggek di atas belakang belangkas betina. Belangkas betina sahajalah yang diambil untuk digulai atau dibakar kerana belangkas jantan selain tidak mempunyai telur, saiznya sekali ganda lebih kecil berbanding belangkas betina.

Ada orang mengatakan, belangkas jantan tidak pandai mencari makan, hanya bergantung hidup kepada belangkas betina. Kalau betullah begitu, entah bagaimanalah nasib belangkas jantan yang dilemparkan ke laut dan hidup tanpa yang betina. Mungkin ia mati kelaparan atau mati merana. Walau bagaimanapun, ia tentu lebih baik berbanding belangkas betina yang berakhir di dalam belanga dan dihidangkan sebagai makanan enak.

Fenomena belangkas jantan sentiasa menenggek di belakang belangkas betina ini menyebabkan wujudnya peribahasa ’macam belangkas’ bagi menggambarkan pasangan kekasih dua sejoli yang tidak pernah boleh berjauhan.


Seekor belangkas jantan

Daripada maklumat yang saya dapati, harga belangkas melambung sekarang. Kononnya orang-orang Siam dan Jepun menggunakan sejenis cecair berwarna ungu muda dalam badan belangkas untuk dijadikan ubat (cecair ini boleh memabukkan sekiranya termasuk ke dalam makanan; sebab itulah jika dibakar, belangkas terpaksa dihimpit dengan papan supaya keluar air racunnya itu sebelum boleh dimakan).

’Daging’ belangkas yang siap untuk dimasak dijual kira-kira RM45.00 sekilo. Demikian maklumat yang saya dapati dari sebuah laman blog.

Rupa-rupanya ada restoran yang menjual gulai belangkas di Kota Tinggi. Melalui sebuah laman blog saya bertemu dengan gambar restoran yang ada menjual gulai belangkas. Khabarnya menjelang tengah hari lauk-pauk berasaskan belangkas selalunya habis terjual. Saya yakin ada kedai lain di Johor (entah-entah di Endau, Mersing, Penggerang, Kukup, Johor Bahru, Pontian, Batu Pahat atau Muar) yang menjual gulai belangkas.


Restoran belangkas di Kota Tinggi


Malah ada laman blog yang menyiarkan peta Kota Tinggi (pandangan menggunakan sistem GPRS dari angkasa lepas) menunjukkan kedai menjual gulai belangkas... Moden betul, sekarang.

Di Pahang tiada lagi orang meminati belangkas. Golongan anak-anak mungkin takut melihat makhluk luar biasa ini, apatah lagi hendak memakannya.

Wednesday, May 20, 2009

Khabar dari Singapura

Mengunjungi Singapura lagi

Lama juga saya tidak menjejakkan kaki ke Singapura, sehinggalah pada 20 Februari yang lalu kami ke sana atas tugas rasmi dan sempat pula bermalam di sebuah hotel tidak jauh dari Masjid Sultan.

Pengadil pertandingan lukisan wau di Istana Kampung Gelam


Dulu, semasa Singapura dalam Malaysia dan beberapa tahun selepas perpisahan saya kerap ke sana, sama ada menziarahi keluarga atau membeli-belah. Semasa saya bertugas di Pekan kami membeli barang-barang sukan untuk kegunaan sekolah di Singapura kerana harganya cukup murah dan barangannya pula bermutu. Jarak dari Pekan ke Singapura tidaklah jauh sangat, cuma mengambil masa sekitar empat jam. Jadi, jersi ragbi, jersi bola sepak, jersi hoki, jersi bola jaring, kayu hoki, bola sepak (ah, jangan lupa: tayar kereta) semuanya kami beli di Bras Basah Road. Harganya jauh lebih murah berbanding di Kuantan atau Kuala Lumpur.

Satu lagi, barang-barang yang kami beli boleh dikembalikan jikalau rosak. Saya masih ingat, kayu hoki yang dibeli ada yang patah penangan pelajar-pelajar kami setelah beberapa sesi latihan. Apabila pergi semula ke Singapura kami mengangkut 9 batang kayu hoki yang rosak dan membuat aduan kepada penjual. Tuan punya kedai dengan bermanis muka menerima kayu yang rosak dan menggantikannya dengan kayu hoki baru sama banyak dengan bilangan kayu hoki patah yang kami kembalikan kepada mereka. Saya tanya mereka, sampai bila jaminan begitu boleh mereka berikan? Mereka menjawab, sampai bila-bila!

Sebenarnya, itulah kali pertama dan terakhir kami mengembalikan kayu hoki yang jaminannya tidak terhad itu.

Dan, kini, kedai sukan yang dahulu itu tidak dapat saya temui lagi, meskipun tanda jalan Bras Basah Road masih terpampang.

* * *

Kunjungan saya baru-baru ini adalah dalam rangka mendapatkan maklumat tentang pengisian muzium. Kami sebenarnya mengunjungi Muzium Kota Tinggi dan Muzium Diraja Sultan Abu Bakar JB sebelum menyeberangi Selat Teberau.


Melukis layang-layang, salah satu bahan permainan dalam budaya Melayu


Selain ke muzium dan arkib, kami juga mengunjungi Istana Kampung Gelam yang telah dijadikan muzium oleh pemerintah Singapura. Muzium dan sekitarnya nampak terjaga rapi, tetapi sangat sepi. Tidak ada lagi kesibukan perniagaan di kawasan berhampirannya, iaitu di Arab Street. Saya sempat membeli sebiji songkok di kedai orang keturunan Arab di hujung Arab Street. Baldu songkoknya masih seperti lama (baldu SOB dengan warna biru tua, kegemaran saya). Harganya sama seperti harga saya beli lebih l0 tahun lalu: SD45.00 (setelah diberi potongan SD5.00, kerana kata penjual di situ, beliau gembira bertemu dengan saya – orang Melayu dari Semenanjung). Tapi, saya tidak lupa bahawa harga songkok yang saya beli petang itu nilainya berbanding dengan nilai matawang kita telah menjadi cukup mahal.

Saya tertarik hati dengan kegiatan anak-anak muda di sekitar kawasan Istana Kampung Gelam itu tadi. Dalam keheningan pagi Minggu itu kelihatan beberapa kumpulan anak muda memberi arahan dan tunjuk ajar melalui pelbagai aktiviti kepada beberapa orang pelajar sekolah. Mereka ini bergerak di bawah organisasi mind@ktif Asia Pte. Ltd. (www.mindaktif.com) yang beralamat di 111 North Bridge Road #27-01/02 Peninsula Plaza, Singapura 179098 (telefon: +65 6559 3743).



Peserta sedang asyik menjalankan aktiviti budaya


Organisasi mind@ktif ini adalah sebuah organisasi NGO yang memberikan latihan, seminar, perbengkelan dan sambutan (event). Salah seorang konsultan yang saya temui, Siti Noraisah Ali, (e-mel: siti@mindaktif.com) memberitahu, organisasi mereka membantu pelajar dalam mendapatkan maklumat tentang hal-hal yang tidak terdapat di dalam silabus rasmi sekolah, khususnya tentang budaya, bahasa Melayu, sastera dan sejarah. Memang banyak hal sejarah yang tidak diajari di sekolah, ”dan kami cuba melengkapkan murid-murid setakat yang termampu,” tutur Siti.


Siti Noraisah Ali dengan salah seorang jurutunjuk (instruktor)

Untuk khidmat itu, mereka mengenakan bayaran penyertaan, yang juga digunakan untuk imbuhan kepada instruktor dan pengurusan.

Hari itu mereka memperkenalkan wau sebagai salah satu budaya Melayu. Peserta, antara lain, diminta melukis layang-layang. Siti meminta Nurziah, isteri saya, memberikan markah dan mengadili lukisan anak-anak itu...

Saturday, May 16, 2009

Trilogi Ajip Rosidi

Alhamdullah! Akhirnya, Cystarini (Atje) dapat mencarikan buku yang saya pesan. Buku itu ialah Yang Datang Telanjang; Hidup Tanpa Ijazah dan Jejak Langkah Urang Sunda yang diterbitkan sempena HUT Ke-70 pengarang terkenal Indonesia, Ajip Rosidi.



Saya telah lama mengenali penulis besar ini melalui tulisan-tulisan beliau, Di Tangah Keluarga, Cerita Pendek Indonesia, Jeram, Tahun-tahun Kematian, Sebuah Rumah Buat Haritua, kemudiannya cerita pantun Sunda Mudinglaya Di Kusumah, Lutung Kasarung, Ciung Wanara, Sang Kuriang Kesiangan, dan Roro Mendut.

Semasa saya menyediakan Latihan Ilmiah peringkat Sarjana Muda tentang cerita rakyat Pahang di UM, saya ada membuat hubungan dengan beberapa tokoh yang pakar dalam penulisan dan pengumpulan cerita rakyat. Antara tokoh yang saya hubungi ialah Ajip Rosidi. Pada masa itu beliau giat menulis dan mengumpulkan cerita rakyat Sunda (tanah kelahiran beliau) di bawah Projek Penelitian Pantun dan Folklore Sunda bertempat di Jalan Asmi, Bandung.




Saya tidak menyangka Pak Ajip begitu bersegera membalas surat saya dan menceritakan pengalaman beliau mengumpulkan cerita pantun (panggilan orang Sunda bagi cerita rakyat). Surat jawapan beliau saya kepilkan di dalam Latihan Ilmiah saya yang berjudul Dokumentasi Cerita Rakyat Pahang. yang kemudiannya diterbitkan sebahagiannya di dalam Majalah Dewan Bahasa (Julai 1976).


Saya masih ingat pada 1959, Oxford University Press Kuala Lumpur menerbitkan sebuah antologi cerpen berjudul Mekar dan Segar. Antologi itu sempat dibaca oleh Ajip dan memberikan kritiknya dalam sebuah penerbitan di Jakarta. Selain cerpen Asmal, dan Kris Mas, bagi Ajip cerpen lain tidak menyerlah dan dengan itu tidak ada yang baharu. Tulisan ini kemudiannya disiarkan semula di dalam salah sebuah akhbar terbitan hujung minggu terbitan Kuala Lumpur. Tidak sempat lama, seorang pensyarah sebuah maktab perguruan yang sedang menempa nama pada masa itu terus memberikan komen terhadap tulisan Ajip. ”Siapa Ajip yang mengkritik cerpen Malaysia?” demikian antara pertanyaannya. Tulisan pensyarah ini (Kala Dewata – Mustafa Kamil Yassin) terus disanggah oleh beberapa tulisan lain dari kalangan sasterawan Malaysia dengan menyatakan Ajip bukannya orang sembarangan dalam dunia penulisan Indonesia, hanya MKY mungkin belum mengenalinya. Tulisan ini membuat MKY menyiarkan permohonan maaf beliau kerana kekhilafan tanggapnya terhadap Ajip.

Meskipun trilogi Ajip ini tebal-tebal belaka (Hidup Tanpa Ijazah mencecah 1330 halaman), tetapi senang dibaca kerana saya mampu membaca ketiga-tiganya dalam tempoh lima hari sahaja (tidak termasuk beberapa artikel dalam bahasa Sunda). Ini kerana, sebagaimana tulisan Ajip yang lain, bahasa beliau amat segar, bersahaja dan kemas. Hidup Tanpa Ijazah memuat tulisan Ajip berupa autobiografi beliau; Yang Datang Telanjang adalah surat-surat beliau kepada dan daripada teman-teman sasterawan dan bukan sasterawan dari seluruh dunia; sementara Jejak Langkah Urang Sunda pula memuatkan tulisan sahabat-sahabat beliau yang membicarakan pengalaman mereka dengan Ajip.





Ada enam perkara yang saya ingin catatkan tentang penulis besar ini: Pertama beliau sengaja tidak menamatkan persekolahan menengahnya, tetapi kemudiannya telah diangkat menjawat profesor di beberapa universiti ternama di Jepun. Beliau juga dipercayakan untuk memberi kuliah di Universitas Pajajaran. Kedua: beliau mempunyai kenalan yang amat luas, baik di kalangan penulis, penggiat budaya, pelukis, dan ahli politik yang menyebabkan usaha beliau mengembangkan idea seninya menjadi mudah (malah kadang-kadang menjadi sukar!). Ketiga: beliau banyak membantu para penulis dan anak seni Indonesia baik dalam bentuk kewangan mahupun kemudahan lain; misalnya beliau pernah membantu seorang teman untuk berkahwin dengan membawa manuskrip bukunya ke percetakan untuk dijual dan wang jualan diberikan semuanya kepada teman itu. Keempat: selain H.B. Jassin, barangkali beliaulah yang paling banyak membuat koleksi dan dokumentasi budaya, seni dan sastera Indonesia. Kelima: beliau sangat suka bersilaturrahmi dengan teman-temannya. Keenam: bukunya yang pertama terbit ketika usianya 17 tahun (1955) berjudul Tahun-tahun Kematian (kumpulan cerpen) yang kemudian diikuti oleh lebih daripada 110 bukunya yang lain.

Saya tertarik melihat gambar Ajip menjaga gerai pameran buku Balai Pustaka. Semasa kunjungan Presiden Sukarno ke gerai tersebut, Ajip yang menyambut dan memberikan taklimat kepada Presiden RI masa itu masih berseluar pendek!

Beliau adalah anak ajaib yang negara Indonesia pernah lahirkan. Selamat HUT dan selamat melepasi garis 70 tahun Pak Ajip. Semoga Pak Ajip dan Bu Empat (Fatimah) tetap dalam peliharaan Allah SWT.

Selamat Hari Guru

Hari ini, 16 Mei adalah Hari Guru. Saya menerima ucapan Selamat Hari Guru daripada beberapa orang bekas pelajar dan teman lama, kawan rapat (yang bukan guru), termasuk anak bongsu saya Farah Afizan, seorang guru juga, yang hari ini sedang mengikuti Kursus Kenegaraan di Pusat Latihan Negara Bukit Sagu, Kuantan.

Saya terharu benar menerima ucapan selamat begitu, apatah lagi ucapan yang diselitkan dengan teks berupa puisi, kata hikmat, penghargaan dan seumpamanya. Setiap kali lagu Kami Guru Malaysia dikumandangkan saya kerap menitiskan air mata, tanpa mengetahui sebab-musababnya berlaku begitu ke atas diri saya.

Saya pernah diminta membuat teks khutbah Jumaat tentang Hari Guru dan untuk itu terpaksa membuat kajian melalui buku dan laman web. Rupa-rupanya sambutan Hari Guru dibuat dalam kebanyakan negara di dunia. Meskipun tarikh sambutannya berlainan, objektif dan aktiviti sambutannya sama. Tahun ini Jawataankuasa Khutbah tidak menyediakan khutbah Jumaat khas Hari Guru. Saya tidak tahu sebabnya. Apabila seorang pegawai di Jabatan Pelajaran Pahang bertanyakan hal itu, saya mencadangkan agar Jabatan Pelajaran sendiri menyediakan teks dan menyampaikannya kepada Pejabat Mufti untuk kelulusan. Tetapi, dalam masa yang sesingkat hari itu, tentu teks tersebut tidak dapat disampaikan kepada seluruh masjid di negeri ini; apatah lagi teks khutbah biasanya disediakan dalam bentuk bercetak dan dibukukan sebulan lebih awal.

Bagaimanapun, Selamat Hari Guru untuk semua guru. Saya sendiri secara peribadi ingin benar menyertai sambutan Hari Guru, baik di peringkat daerah, negeri (apatah lagi kebangsaan!); tetapi telah lama benar (lebih 10 tahun) saya tidak mendapat kad jemputan untuk ke majlis begitu. Jadi, saya tidak tahu bila dan di mana sambutan diadakan. Sebagai seorang yang pernah dipilih menjadi Tokoh Guru peringkat daerah dan negeri (kononnya), takkanlah banyak sangat kos yang ditanggung oleh Jawatankuasa Sambutan Hari Guru Negeri untuk sekeping kad, secawan teh dan sepiring mi (kalau pun ada) bagi membolehkan saya (dan teman-teman lain yang seperti saya) bersama-sama hadir menghayati peristiwa bersejarah ini.

Wallahu a'lam.

Friday, May 15, 2009

Mohon maaf!

Masya Allah! Lama betul Blog ini tiada maklumat baru. Bukannya saya jemu menulis, tetapi saya tidak dapat membahagikan masa, yang semakin lama semakin rasanya terlalu pendek bagi saya. Dalam sebulan dua ini saya agak banyak menulis, antaranya menyiapkan edisi baru Kamus Bahasa Melayu Klasik (dengan entri tulisan jawi), yang ditolak oleh sebuah penerbit untuk diterbitkan! Tapi, sebagaimana biasa, saya tidak putus asa kerana itu dan tetap dan berusaha menyiapkannya dengan baik dan lebih informatif. Buku kedua: Citra Pahang dalam Teks Klasik, yang telah menjadi agak tebal rupa-rupanya. Ketiga: Koleksi Adat Diraja Pahang (yang ini tak berani jamin... kerana ramai yang hendak menolong, nampaknya). Selain itu terpaksa menyiapkan kertas kerja dan presentation power point untuk Seminar Antarabangsa Kain Tenun (anjuran UM dan Lembaga Muzium) - yang ini telah berlangsung dengan selamatnya di Hotel Vistana, Kuantan 12-14 Mei lalu; Bengkel Kesultanan Melayu (anjuran DBP) yang akan berlangsung di USM bulan depan.

Memang ada yang hendak saya tulis tentang lawatan Lembaga Muzium Negeri Pahang ke Muzium Kota Tinggi, Muzium Sultan Abu Bakar, Johor Bahru dan beberapa muzium di negara tetangga, Singapura. Khas untuk Singapura, ada berita menarik tentang usaha anak-anak muda di sana membantu para pelajar mempelajari apa yang tidak ada dalam kurikulum sekolah (misalnya tentang budaya Melayu, kesultanan Melayu, malah berpencak silat, pakaian tradisional, bermain wau... Suatu yang patut sangat kita contohi.

Cerita lengkapnya, insya Allah akan menyusul beberapa hari lagi.

Sunday, December 28, 2008

Hidangan Pelik di Restoran Ternama

Ikan Berdiri

Bunyinya memang agak pelik didengari. Ada hidangan ikan berdiri. Hidangan ini hanya terdapat di restoran tertentu di Indonesia, tepatnya restoran kelas atasan atau di sana disebut 'kelas kakap'. Sesuai dengan gengsi restoran berkenaan, harga ikan itu tentulah mahal pula.

Kisahnya bermula dengan pertemuan kami dengan Dr. J. Goenawan, tuan punya BTG (Bimbingan Test Goenawan) di Jakarta pada 25 September 2004. Perancangan awal kami bertemu di Universitas Trisakti, tetapi kami hanya melawat universiti tersebut memandangkan institusi pimpinan Dr. Goenawan (Jalan Pulomacan Raya 48-50, Tomang, Kode Pos 11400 Jakarta Barat, h/p 0818736324) lebih dekat dengan matlamat kami untuk mengirim anak-akan KIPSAS melanjutkan pengajian ke Indonesia.


Ikan berdiri, Pak Goenawan dan Ny. Goenawan


Jadi, pertemuan lanjut kami teruskan di Hotel Ibis Tamrin.

Selepas berbincang, Dr. Goenawan menjemput kami makan tengah hari di sebuah Rumah Makan yang terletak di Jalan Sabang. Ramai juga yang ikut serta sebagai tamu Pak Goenawan tengah hari itu: Dato’ Abdul Razak Abu dengan isteri; Haji Taslim Sarbini, Atace Pendidikan Kedutaan Malaysia; Dr. Goenawan dan isteri; Abun dengan Atje serta anak mereka Rachma dan Rhaidy; serta saya sendiri dengan Nurziah. Pemandu Dr. Goenawan tidak ikut serta (mungkin segan, kata Nyonya Goenawan!).

Oh, ya! Yang saya hendak ceritakan dalam blog ini bukan tentang Dr. Goenawan sangat. Itu, yang ikan berdiri tadi.


Haji Taslim, Pak Gunawan dan ikan berdiri

Makanan yang dipesan oleh isteri Dr. Goenawan pelbagai. Ada burung merpati, ayam goreng (ayam kampung, tentunya), ikan kukus, jus kelapa muda, pelbagai jus dan banyak lagi. Melebihi keperluan makan tengah hari biasa kami. Dan, termasuk dalam menu adalah ikan berdiri itu tadi.

Bagaimana ikan berdiri itu? Sebenarnya ikan jenis ikan kaloi (orang Indonesia kerap menyebut ikan emas, barangkali), bentuknya seakan-akan ikan talapia. Kalau ikan talapia, tulangnya lembut, tetapi yang ini keras.

Ikan berdiri, Dato' Abdul Razak dan Datin Azizah

Dikatakan ikan berdiri kerana ikan itu dipotong dengan cara yang khas yang kemudiannya dimasak dengan cara deep fry (mungkin ada alat yang memegang ikan itu semasa dimasak untuk menjadikan tubuhnya tegak dengan ekor dan bahagian daging yang dibelah bertindak sebagai ’kaki’ sehingga membolehkan ikan itu dihidang dalam keadaan berdiri, dengan kepalanya dan sirip belakang tercacak, yang menampakkan sejenis citra 'garang'.

Ikan berdiri, Abun, Rachma dan Rhaidy

Sepanjang yang saya tahu, di tempat kita belumlah ada restoran yang menyediakan menu serupa ini.

Tentang rasa ikan tersebut, saya tidak terasa sebarang keistimewaan. Sama sahaja dengan ikan yang digoreng dengan minyak yang banyak atau deep fry itu tadi. Hidangan ini menjadi mahal bukan kerana rasanya, tetapi... kerana branding dan re-brandingnya.

Pak Goenawan, ikan berdiri dan Ny. Goenawan

Memanglah, dalam dunia perniagaan dan pengurusan moden, branding merupakan satu ciri penting untuk menentukan harga, populariti dan citra penerimaan pelanggan. Bukankah baru-baru sebuah stesyen TV berbayar ada menyiarkan kisah perbahasan umum di antara tikus dengan hamster?

Begini kisahnya: Tikus yang merasa pelik, cemburu malah hangat hati menghujah hamster, mengapakah mereka dianianya manusia dengan diracun, diperangkap, diburu dan terpaksa tinggal di bawah rumah, di celah-celah longkang yang kotor dan hanyir serta menerima pelbagai cacian dan penghinaan, termasuk dari kalangan kucing yang tak putus-putus memburu kaumnya; manakala hamster disediakan bekas yang bersih, siap dengan tempat berpusing, tangga besi cantik dan terowong lut sinar untuk melakukan latihan jasmani setiap malam, makanan yang enak-enak seperti bijirin jagung, biji bunga sunflower, kuaci, kekacang dan lain-lain yang serba enak. Pada hal, demikian menurut tikus, mereka dari kelompok haiwan spesis yang sama: roden, kata orang putih.

Hamster rupa-rupanya menunggu saat tikus menamatkan hujahnya untuk membalas dengan nada lembut dan santun: ”Wahai Kak Ti, ini semuanya disebabkan branding: Kak Ti tikus sedangkan saya hamster!”