Friday, December 12, 2008

Bertugas di Jerantut

Sebelum menamatkan pengajian di Universiti Malaya, kami mahasiswa yang sebelum memasuki universiti pernah menjadi guru terlatih kerap mengunjungi Kementerian Pelajaran (pada masa itu menempati Rumah Persekutuan) untuk mengetahui sekolah yang kami akan ditempatkan.

Biasanya pegawai di Kementerian tidak berapa gemar melayan kedatangan kami, selain menambahkan kelam kabut kementerian yang memang telah sedia dengan bilangan pengunjung (yang tak diundang), ramai pula yang datang untuk merayu ditempatkan ke sekolah tertentu, terutamanya sekolah di bandar-bandar besar. Ini tentunya menambahkan kerja pegawai berkenaan.

Ada antara mereka membuat permohonan yang agak sederhana iaitu memohon ditempatkan di sekolah yang berhampiran dengan tempat asal, dekat dengan rumah kediaman, dengan alasan ingin menjaga ibu bapa yang sudah tua. Bagi alasan ini biasanya mereka mendapat cadangan balas: Kalau begitu binalah sekolah sendiri dekat rumah! Saya tak tahu apakah jawapan itu dalam bentuk gurauan atau benar-benar.

Jadi, mengetahui situasi ini, saya tidak berminat untuk membuat sebarang permohonan atau pertanyaan kepada mereka (pegawai yang bertugas pada masa itu ialah Encik Ismail Ahmad namanya, kalau saya tidak silap ingatan). Kedatangan saya ke situ cuma menemani teman-teman lain. Tetapi, jauh di sudut hati saya sebenarnya telah siap terpeta sebuah rancangan sederhana: kalau boleh tak usahkan saya ditempatkan di Pekan kerana sebelum masuk ke universiti pun saya pernah mengajar di situ selama lima tahun; saya juga tidak suka ditempatkan di Temerloh dan Bentong, malah di Kuala Lumpur sekalipun! Sebabnya? Saya sendiri kurang jelas; ini hanya gerak hati semata-mata.

Itulah mulanya, barangkali, makanya saya ditakdirkan mengajar di Jerantut.

* * *

Saya memang tak berapa tahu sangat tentang Jerantut. Saya pernah melalui bandar ini semasa berulang-alik ke Tanjung Malim dulu (1957-1960). Sementara menunggu kereta api mel malam dari Tumpat, Kelantan ke Gemas kami biasa berjalan-jalan di bandar yang mempunyai dua deret kedai itu. Saya tertarik hati, ketika menjelang senja ada pekerja Lembaga Bandaran memasang lampu gasolin untuk disangkut pada tiang untuk menerangkan jalan di bandar ini kerana pada masa itu masih belum ada perkhidmatan bekalan elektrik di Jerantut. Sekarang 1972, tentulah banyak yang berubah.

Dipendekkan cerita, saya ditempatkan di Sekolah Menengah Jerantut (SMJ). Saya menaiki teksi kepunyaan Sdr Azahar Jaafar dari Temerloh ke Jerantut. Teksi itu kepunyaan ayahnya, orang Pulau Tawar. Azahar menghantarkan saya terus ke SMJ.

Lokasinya sekolah tempat saya bakal mengajar itu ialah di Sungai Jan. Untuk sampai ke sekolah itu kita kena melalui Kampung Baru Sungai Jan, yang hampir 100% penduduknya kaum Cina. Mereka kebanyakannya petani (penoreh getah, bertanam padi, pemburu babi hutan selain bekerja balak dan berniaga). Untuk pertama kalinya dalam hidup, saya melihat ada orang Cina memelihara kerbau. Di Pekan dan Kuantan tidak ada orang Cina berbuat begitu! Memelihara ’kerbau pendek’ itu adalah.

Pengetua pada masa itu ialah Cikgu Mohd. Hashim Abdul Kadir, siswazah Universiti Malaya juga, yang berasal dari Temerloh. Semasa di Pekan, Cikgu Hashim bertugas di Sekolah Menengah Ahmad. Jadi saya memang kenal benar dengan beliau dan isterinya, Cikgu Rabiah Mohd. Ismail yang asalnya orang Taiping. Puan Rabiah mengajar di sekolah yang sama. Beliau adalah seorang guru Sains Rumah Tangga, lulusan Maktab Perguruan Bahasa.

Pada mulanya saya dibenarkan tinggal di sebuah bilik di Asrama Putera, tetapi saya bukanlah menjadi guru asrama. Guru asrama pada masa itu ialah Cikgu Mohd. Khalib Awang Mohd. Yusof. Beliau siswazah Universiti Malaya, dalam bidang Ekonomi, tetapi beliau mengajar Bahasa dan Kesusasteraan Melayu. Tidak lama kemudian saya berpindah untuk tinggal di salah sebuah rumah guru dengan guru-guru bujang lain, iaitu Ustaz Yunus Yaacob – guru agama Islam, orang Kelantan), Cikgu Lockman Haji Mohd. Salleh – guru Geografi dan Bahasa Melayu, orang Mersing dan Cikgu Hamidi Abdul Rahman – guru Geografi, orang Temerloh. Saya berkongsi sebilik dengan Ustaz Yunus; sementara Cikgu Hamidi berkongsi dengan Cikgu Lockman.

Pada waktu malam ramai juga guru muda datang ke rumah kami, antaranya Cikgu Muhammad Long (nama sebenarnya Wan Muhammad bin Wan Sulong, tetapi khabarnya, konon, nama asal yang cukup berstatus itu dihapuskan atas alasan keperluan perjawatan. Beliau guru Matematik Moden), Cikgu Mohd. Ali Dollah – guru Sains, orang Rembau, Negeri Sembilan; Cikgu Yaakub Muhammad – guru Matematik, orang Kuala Pilah. Kerap juga mereka menumpang makan di rumah kami kerana Kak Ain memang biasanya memasak lebih.

Terdapat empat unit rumah guru di sekolah ini, yang sama bentuk dan saiznya. Dua buah diduduki oleh Pengetua dan guru bujang yang itu tadi. Sebuah diduduki oleh Cikgu Jamaluddin Ismail – guru Bahasa Melayu dan Matematik, orang Jerantut dan senior saya semasa di SITC; dan sebuah lagi diduduki oleh Ustaz Ramli Mat Don – orang Lipis. Bagusnya tinggal di rumah ’bujang’ ini ialah agak tersorak dari kebisingan dan hingar-bingar pelajar berbanding tinggal di asrama.

Penghuni rumah itu mempunyai kegemaran dan pembawaan yang sangat berbeza di antara seorang dengan yang lainnya. Yang samanya ialah mereka ini kuat bersukan. Ustaz Yunus dan Cikgu Hamidi pandai bermain badminton; Cikgu Lockman pandai bermain tenis. Cikgu Hamidi juga pandai bermain pingpong. Saya dapati setiap hari Sabtu dan Ahad Cikgu Hamidi memulakan paginya dengan bermain badminton, pingpong, badminton, pingpong lagi, buat kelas tambahan, pingpong, kelas tambahan, dan menamatkan hari siangnya dengan badminton lagi hingga masuk maghrib. Kadang-kadang beliau berbekalkan sebuah radio-cum-pemain rekod jenama National, jenis portable yang mendendangkan hanya piring hitam lagu-lagu Kumpulan Santana: Black Magic Woman, Jingo, Evil Ways dan lagu-lagu lain yang bukan sahaja saya tidak tahu judulnya tetapi saya tidak dapat memahami liriknya, dengan kekuatan volume pada tahap full-blast.



Sekitar 1972 Jerantut hanya mendapat bekalan tenaga elektrik mulai 6.00 petang hingga 6.00 pagi. Bekalannya kerap terputus kerana bukan dibekalkan oleh CEB (Central Electricity Board), tetapi oleh sebuah syarikat swasta iaitu Sim Electric.

Untuk urusan makan minum kami menggunakan khidmat tukang masak, dengan mengenakan bayaran $40.00 sebulan. Tukang masaknya ialah Kak Ain (Norain) yang tinggal di Rumah Murah, di luar pagar sekolah. Untuk urusan makan ini, bukan kami yang tinggal di rumah ini sahaja yang menggunakan khidmat Kak Ain, tetapi termasuk Cikgu Ahmad Daras - guru Bahasa Inggeris dan Lukisan, orang Batu Pahat; Cikgu Abdul Latiff Kareem - orang Balik Pulau, mengajar Pendidikan Jasmani dan Bahasa Inggeris, Cikgu Abdul Rashid Ali - orang Mela, mengajar Bahasa Melayu dan Sejarah. Tukang kutip duit dan urusan menu terpulang bulat-bulat kepada Cikgu Hamidi.

Waktu malam memang waktu yang menggembirakan (terutamanya kerana ada bekalan elektrik). Pada masa itu, guru-guru sekolah ini mengadakan kelas tambahan dan kelas malam memang tak payah diarahkan oleh sesiapa, termasuk oleh Pengetua. Masing-masing dengan rancangannya masing-masing. Boleh dikatakan suasana malam di SMJ sangat hidup. Kantin yang diusahakan oleh Pak Usop juga dibuka waktu malam, menjual pelbagai makanan dan minuman.

Guru-guru bujang dari kalangan orang Cina barangkali tidak selesa melepak di rumah bujang. Mereka terdiri daripada Cikgu Ong Kim Chia - orang Kelang, mengajar Bahasa Inggeris yang kemudian melanjutkan pengajian di Universiti Leeds, UK; Cikgu Simon Ching Kong How, orang Kedah, mengajar Bahasa Inggeris; Cikgu Tan Chap - orang Sempalit, Raub, mengajar Sejarah dan Bahasa Cina; Cikgu Choong Chiong Yong, orang Endau/Mersing, siswazah Universiti Nanyang yang mengajar Bahasa Melayu (mereka memanggil Cikgu Choong 'Anchor Choong' atas sebab yang tentunya mereka sendiri tahu!); Cikgu Tan Pek Seng - orang Jerantut Feri yang mengajar Sains dan Matematik; Cikgu Patrick Loh Hock Choy - orang Perak mengajar Seni Perusahaan; Cikgu Lee Boon Tai - orang Kuantan, mengajar Geografi; Cikgu Yeoh Teik Hai - orang Pulau Pinang yang mengajar Matematik; Cikgu Ho Phea Keat - orang Jerantut yang saya lantik sebagai guru sementara dan kemudiannya melanjutkan pengajian dalam bidang kejuruteraan di sebuah institusi UNESCO di Bombay, India; Cikgu Kooi Leng Huat - orang Taiping yang mengajar Bahasa Inggeris; Cikgu Boo Cheng Kee - orang Muar yang mengajar Bahasa Inggeris kerap menghabiskan masa di Bilik Guru dan makan minum di Kantin Sekolah.

Kadang-kadang guru wanita seperti Cikgu Tan Lee Nging - orang Muar dan mengajar Bahasa Inggeris; Cikgu Ng Shan Shan - orang Ipoh dan mengajar Matematik dan Sains Rumah Tangga; Cikgu Pang Siew Poh - orang Jerantut, mengajar Matematik dan Bahasa Inggeris turut menyemarakkan suasana SMJ, tetapi mereka jarang datang pada waktu malam.

Kerap kali juga kami menghabiskan masa malam di rumah bujang itu dengan menikmati roti yang dicecah dengan kuah satay. Tugas membeli kuah satay ini biasanya dijalankan oleh Cikgu Mohd. Ali Dolah, kerana beliau kenal benar dengan si penjual satay orang Kampar yang berniaga dekat kedai Tai Choong itu. Untuk membeli kuah satay biasanya beliau pergi di antara jam 9.30 hingga 10.00 malam kerana kalau lebih awal, penjual tersebut agak enggan menjual kuah sahaja, takut pelanggan sataynya yang datang kemudian kehabisan kuah. Kami memang tidak membeli satay walau secocok pun, kerana al-maklumlah: peruntukan kami sentiasa kurang mengizinkan. Dengan kuah satay semangkuk penuh boleh habis tiga atau empat buku roti paun, dimakan bersama teh atau kopi o. Kerap juga Cikgu Rex Cordium Christi Michael, guru Sains asal Selangor yang tinggal di Rumah Lembaga ikut menikmati kemeriahan sesi roti + kuah satay ini. Saya tak tahu sama ada kedatangan Cikgu Rex ke rumah bujang ini diketahui isterinya Cikgu Jessie Michael, guru Bahasa Inggeris asal Selangor itu atau tidak.

Pada masa itu pihak JKR sedang membina beberapa blok bangunan di SMJ, yang termasuk makmal sains, bilik kelas, dewan, tiga blok asrama di samping sebuah padang bola. Atas cadangan Cikgu Yaakub Muhammad, pada suatu malam kami pergi bersenyap-senyap ke tengah kawasan lapang untuk dibina menjadi padang bola itu meniup seruling untuk memanggil burung wak-wak. Kononnya, beliau berpengalaman membuat kerja itu semasa di kampungnya di Kuala Pilah, dan banyak sekali burung datang, sehingga gelap mengerumuni di atas kepala.

Tukang tiup seruling buluh (yang dibawanya khas dari Kuala Pilah) itu memanglah Cikgu Yaakub. Cara tiupan beliau memang nampaknya cukup profesional. Saya memanglah mempunyai sepenuh harapan yang tengah hari esoknya kami boleh makan gulai burung wak-wak; dan telahpun membayangkan kelazatan kari burung masakan Kak Ain nanti! Selepas 10 minit meniup, tidak ada tanda-tanda ada burung datang dan pada masa yang sama kami terpaksa pula menahan gigitan nyamuk dan agas. Selepas satu jam berembun di tengah kegelapan malam, ada seekor burung wak-wak yang datang, tetapi hanya mengintai-intai dari jauh.

Ada pula yang secara berbisik-bisik menceritakan, kononnya kerap terjadi orang memanggil burung begitu bukan burung, sebaliknya hantu tinggi yang datang. Saya turut mengiyakan cerita itu kerana saya pernah membaca cerita yang demikian itu ditulis di dalam Majalah Mutiara.

Akhirnya, Cikgu Yaakub Muhammad sendiri yang mengajak kami balik. Cerita tentang betapa banyaknya burung yang datang menyahut tiupan seruling itu ternyata terlalu diperbesar-besarkan! Walau bagaimanapun kami dapat menghabiskan sesuku pertama malam tersebut dengan memperolehi pengalaman baru yang diperkenalkan oleh orang Kuala Pilah itu.

4 comments:

gobeks said...

Salam,mudah mudahan sihat sejahtera.Saya besekolah SMJ dari 1975-1979.Guru terakhir saya Cikgu Ramli,rasa saya Cikgu Yaakub lebih senior (antara saya cam atau kurang cam).Seronok saya membaca laman blog'Bertugas di Jerantut'
Terima kasih

FB-PakLan PakMan
email-gobeks@yahoo.com

YAAKUB ISA said...

Terima kasih kerana menjenguk Blog saya yang tidak seberapa ini. Cuba baca blog Cikgu Yeoh Teik Hai yang banyak menceritakan pengalamannya di SMJ. Blog itu boleh diakses daripada Blog saya ini. Salam.

gobeks said...

Saya rasa saya perasan Cikgu Yaakup suatu ketika dulu.Saya anak Aywah Osman Jerantut Peri yg berniaga kedai kopi.Lepas tu pindah ke Simpang Padang Piol setelah jambatan siap dibina.

FB-Mazlan Osman

Anonymous said...

The merit casino is a good place to learn the game of chance and
› › › In many ways, merit casino is one of the most well-known games online. 카지노사이트 The casino has many great features like free spins, and free spins, so if you want to keep  How do I deposit and withdraw funds at the casino? Are there any Easy Ways to Start an Instantly Play Safely — Easy Ways to Start worrione an Instantly Play Safely deccasino