Puas saya cuba mengingati kembali, siapa yang menyampaikan berita yang cukup sederhana itu kepada saya: mungkin Pak SN Arenawati, atau SN Usman Awang, Tan Sri Ismail Hussein, Saleh Daud atau siapa ya? Mestinya kalangan penulis. Tapi, ini kisah lama.
Akhirnya saya berpeluang juga menjejakkan kaki ke Tanah Bugis yang masyhur dengan lagenda di kalangan kami di Pekan itu. Bagi orang Pekan, nama Bugis ini bukanlah sesuatu yang asing. Ada Kampung Bugis, Kampung Mengkasar dan orang berketurunan Bugis di Pekan, malah di kampung saya pun.
Konon ceritanya, pada masa dahulu ada seorang orang Bugis yang dikenali sebagai Tuk Bugis di kampung kami. Orang ini besar dan tegap binaan tubuhnya. (Mungkin pahlawan Bugis yang lari meninggalkan pasukannyalah itu!). Tuk Bugis ini selain berbadan besar, mempunyai telinga yang lebar dan cegeng, sehingga menakutkan anak-anak kacil. Dilanjutkan cerita (oleh arwah Encik saya) pada suatu hari Tuk Bugis berjalan-jalan lantas berpapasan dengan sekumpulan kanak-kanak. Apa lagi, bercemperalah mereka lari takutkan orang bertelinga cegeng itu. Salah seorang yang lari itu iaitu anak Pak Anjang Arit, terjatuh ke dalam lopak air atau kubang (mungkin juga kolam) yang agak dalam. Sedihnya, anak malang itu meninggal dunia kelemasan di dalam kolam itu.
Pada masa itu, peristiwa begini dianggap kemalangan biasa. Tidaklah sampai direpot ke Rumah Pasung. Dan kerukunan masyarakat tidak terjejas akibat musibat ini, meski menyebabkan kematian. Kalau peristiwa itu berlaku sekarang, hauslah tangga mahkamah, baru kes selesai.
* * *
Misteri Pantai Angin Mameri
Semasa kami menjejakkan kaki di Tanah Bugis (21 September 2004), pihak berkuasa Indonesia sedang giat mencari Dr. Azahari dan Nordin Mat Top. Banyak yang menyangka kononnya mereka bersembunyi di Sulawesi. Jadi, pihak berkuasa memeriksa rapi setiap tetamu Hotel Sahid Jaya, tempat kami menginap. Siap dengan scanning menggunakan alat metal detector sebagaimana di lapangan terbang.
Meski ada tugas lain, hati saya tak pernah lupa untuk pergi ke Pantai Angin Memeri. Saya nyatakan hasrat saya ini kepada isteri saya sebelum kami bertolak lagi. Akhirnya, menjelang senja, kami dibawa oleh Dr. Najmuddin Haji Abdul Safa dan isteri beliau Drs Faridah Abdul Rahman ke tempat jualan pisang bakar itu.
Proses menyediakan pisang epit
Orang-orang Makassar menyebutnya pisang epit. Epit itu sama maknanya dengan himpit. Kaedah menyediakan pisang epit ini sederhana sekali. Pisangnya jangan lain daripada pisang sematu (ada orang memanggilnya pisang nipah; orang tempat lain saya tidak tahu). Orang Makassar juga memanggilnya pisang sematu. Sebenarnya pisang sematu sendiri banyak variasinya; tetapi untuk dibuat pisang epit, sematu jenis pisang nipah itulah. Jangan yang jenis banyak biji dan jangan juga yang jenis bersaiz besar yang dikenali sebagai sematu bédar itu.Pisang itu janganlah yang terlalu masak. Sebaik-baiknya yang mengkal atau lebih sedikit daripada peringkat mengkal. Setelah dikupas kulitnya, pisang itu dihimpit dengan dua keping papan yang dibuat khas (seperti bentuk pemanggang ikan yang diperbuat daripada dawai). Selepas itu pisang yang terhimpit itu (bentuknya seolah-olah menjadi empat segi bujur) dipanggang atau dilayur di api beberapa minit. Siap dilayur terus disusun bertingkat-tingkat di dalam bekas kaca untuk diperagakan.
Apabila ada pelanggan, pisang itu dibakar sekali lagi sehingga berwarna kekuning-kuningan. Satu porsi (satu hidangan) mengandungi tiga biji pisang dengan sepiring misan kabung yang dicampur dengan kelapa parut. Nah, siap untuk disantap.
Menyusun pisang untuk dibakar
Yang menjadikan saya terpana (atau terpesona, barangkali) hidangan tradisi yang sangat sederhana itu telah wujud puluhan, kalau tidak ratusan tahun lamanya. Pisangnya sentiasa ada, dan peminatnya (macam saya pada petang itu) sentiasa ada. Jualan ini tentunya tidak ada sebarang iklan untuk menarik peminat. Dalam keadaan begitu pun, perniagaan mereka tetap bermula selepas jam 3.00 petang dan berterusan sehingga jam 4.30 pagi. Masya Allah!
Datin Azizah Bakar tidak menunjukkan tanda 'peace' tetapi memesan dua porsi lagi pisang epit
Perubahan kaedah hidangan
Menurut Faridah, dahulu ibu dan neneknya menyediakan pisang epit yang dicecah dengan madu lebah dari gunung yang dicampur dengan santan kelapa. Sekarang madu mungkin sukar diperolehi dan diganti dengan manisan enau atau kabung. Orang pun jadi malas meramas kelapa, lalu dihidangkan kelapa parut bersama-sama misan tadi, tidak lagi dijadikan santan sebagaimana yang dibuat oleh ibu Faridah dulu-dulu. Tapi, rasanya mungkin tidak banyak yang berubah. Buktinya: Pantai Angin Mameri masih dipenuhi peniaga pisang epit dengan deretan gerai yang mungkin lebih 100 buah. Mereka berniaga setiap hari, sepanjang tahun.
Saya fikir dagangan pisang epit seperti yang di Makassar ini boleh laku jikalau diperniagakan di tempat kita. Ada terbetik di hati saya untuk memulakan usaha ini di Kuantan. Tapi, kalau saya mula berniaga nanti siapa pula yang hendak mengisi ruangan di dalam blog saya ini?
Tradisi memakan pisang bakar memang ada di kalangan orang Melayu di Pahang; tetapi yang dibakar bukannya pisang sematu. Pisang yang digunakan selalunya pisang bakar (sejenis pisang yang masaknya berwarna hijau). Pisang bakar yang dibakar biasanya yang telah cukup masak. Selesai dibakar, pisang itu dilecek dengan sudu di dalam tempurung dasar (tempurung kelapa yang dilicinkan untuk dijadikan sebagai mangkuk kecil) dan pisang itu dijadikan makanan bayi. Saya fikir saya pun tergolong sebagai salah seorang anak yang membesar melalui proses memakan pisang bakar ini.
Anak-anak pemuzik jalanan di Pantai Angin Mameri
Dipendekkan cerita, banyak juga kami makan pisang epit petang itu. Ada anak-anak pemuzik jalanan yang memetik gitar, memukul bonggo dan menggoncang tamborin, bergerak dari gerai ke gerai sambil menyanyi. Dan antara lagu yang mereka kumandangkan tentunya Angin Mameri di samping lagu-lagu lain yang dipopularkan oleh Bob Tutipoli dan Broery Marantika.
7 comments:
Salam Dato',
Saya suka baca blog Dato', banyak cerita sejarah. Saya tak pernah makan pisang bakar, tapi pisang masak( selalunya pisang mas) dilenyek , kemudian digaul dengan batter, ambil sesudu, dibakar leper, jadilah lempeng pisang.
Eh! Kak Nora yang mana ni? Terima kasih kerana memberikan sumbangan. Betullah, pisang mas juga dibakar untuk makanan bayi oleh ibu-ibu yang bijaksana pada masa dulu. Tapi kaedah yang 'Kak Nora' katakan itu dah moden sangat dah kerana pakai mentega segala. Terima kasih sekali lagi.
Salam Dato'
Saya pernah mengajar di Kuantan spt di Maktab Perguruan Teruntum dan bersara sebagai Pengetua SMK Tengku Afzan. Nanti kalau ada special occasion di rumah Dato' buatlah pisang epit tu, ye.
Insya Allah. Gembira saya mengetahui Cikgu masih sihat, malah mengikuti Blog saya (dan tentunya blog orang lain juga). Saya boleh dihubungi melalui e-mel: yaakubisa@yahoo.com.
Salam dan selamat sejahtera. Take care dan jaga kesihatan juga.
Salam Dato',
Ini Rezki. Sedang bermalam di Kampen for Christmas, di tempat ayah dan ibu. Baru saja dapat ketemu blog Dato'.
Betapa senang sekali ketemu blog Dato'. Belum baca semuanya benar-benar, tetapi akan berbuat soon. Hanya ingin mengucap hello, juga salam untuk ibu. Ini juga on behalf of ayah dan ibu. Mereka baru saja di internet sejak kira-kira setahun, tetapi tidak sering. I have just added your blog to their favorites.
Dato', nanti lagi more news from Holland.
Hai, Rezki. Saya asyik mencari foto anda di Pulau Pinang - di gerai nasi kandar LINE CLEAR itu, tapi tidak ketemu lagi. Khabarnya - mengikut Kak Arin - Rezki dan punya cahaya mata, kan. Jaga anak dan isteri baik-baik. Salam untuk mereka dan untuk Papa dan Mama juga. Terima kasih kerana melayari Blog yang tidak berapa sempurna ini.
Tahniah Dato'. Dato' sentiasa mencabar saya untuk berusaha. Baru saya tahu, guru yang bisa rupanya tidak menyuruh tetapi menyebabkan orang ikut jejak langkahnya. Saya baru belajar buat blog sendiri. tahun 1978 ketika di Jerantut tak terfikir kita boleh berbica cara begini. Terima kasih Dato'.
yahyazainalabidin.blogsport.com
Post a Comment