Wednesday, January 23, 2008

Memecahkan Ruyung

PERSEKOLAHAN AWALKU

Petang itu Tuk Penghulu Kassim bin Mohd Taib berdua dengan Tuk Mukim Sulaiman bin Abdullah (yang wajahnya mirip wajah orang Cina), datang ke rumah kami untuk memberitahu Encik (panggilan kami kepada ayah) menyuruh menghantar saya ke sekolah keesokan paginya. Rupa-rupanya telah tiba masanya untuk saya disekolahkan. Aduh! Selepas bercakap-cakap sebentar Tuk Penghulu dan Tuk Mukim itu meneruskan tugasnya memberitahu hal yang sama kepada ibu bapa lain di kampung kami. Encik meneruskan kerjanya menggunting rambut pelanggan beliau.

Selepas menghabiskan kerjanya, Encik memberitahu Emak dan saya tentang hal persekolahan yang bakal saya lalui kelak. Saya memanglah sejak dari tadi merasakan sesuatu yang tidak enak dan mendebarkan. Ini semua berpunca daripada percakapan Tuk Penghulu Kassim dan Tuk Mukim Sulaiman tadilah.

Malam itu saya memberitahu Emak yang badan saya rasa-rasanya macam hendak demam. Saya berharap dengan mengemukakan sebab yang sangat sukar untuk diterima itu, mudah-mudahan saya dibenarkan tidak bersekolah, sekurang-kurangnya untuk sehari dua lagi. Tetapi, Emak dan Encik tidak sedikitpun mengendahkan percakapan saya itu. Dan, malam itu saya cukup sukar untuk tidur. Fikiran saya sentiasa berlegar tentang apakah jenis musibah dan kecelakaan yang bakal menimpa saya apabila fajar menyinsing hari esok.

Kokokan ayam pagi itu menjagakan saya daripada tidur. Saya dengar Emak telah sibuk didapur, menjerang air. Sesekali terdengar beliau meniup api menggunakan teropong buluh pering. Encik telah ke Sungai Pahang. Encik lebih suka mandi-manda di sungai berbanding di perigi, meskipun jaraknya lebih jauh. Selain mandi dan membersihkan diri, Encik juga kerap menggunakan masa pagi itu melihat terubin, taut atau tajur yang dipasangnya petang semalam kalau-kalau mengena seekor dua baung, kaloi, temengalan, atau mana tahu ada tengalan.

Sebentar kemudian Emak turun ke perigi. Perigi itu bukan perigi kami, tapi kepunyaan Abang Sulaiman, kira-kira dua rantai dari rumah kami. Kami memang ada sebuah perigi di tepi alur, tetapi tidak digali dalam menyebabkan airnya tidak begitu jernih; langsung ditinggalkan dan menjadi 'perigi buta'. Jalan ke perigi gelap, jadi kenalah membawa karuk daun kelapa atau pelita minyak tanah. Terdapat satu saluran buluh minyak sepanjang empat ruas yang diletak menyerendeng di atas dua cabang kayu yang dipacakkan ke tanah; bahagian yang sebelah tinggi daripada yang sebelah lagi. Bahagian yang tinggi diberi berlubang besar untuk dicurahkan air ke dalamnya, sementara bahagian rendah ditebuk lubang sebesar jari kelengkeng dan disumbat dengan kayu untuk menghalang air di dalamnya daripada tumpah. Setelah air dimasukkan ke dalam salur, penyumbat kayu di bahagian rendah tadi dicabut dan memancutlah air keluar, seolah-olah air paip keadaannya. Air itu digunakan untuk mengambil wuduk. Kanak-kanak suka mandi di bawah salur itu kerana airnya yang sentiasa dingin dan menyegarkan itu tidak berhenti-henti memancut, sehinggalah air di dalam salur itu habis. Selesai berwuduk, mereka kembali sambil mencebet dua geluk air seorang. Mereka kemudiannya bersembahyang subuh dengan Encik sebagai imamnya. Saya masih di dalam kelambu, pura-pura menidurkan diri.


Emak dan Encik. Nama Emak Hajah Jah binti Dolah. Nama Encik Isa bin Subuh. Encik tidak sempat menunaikan haji tetapi hajinya dibuat oleh Abang Othman.

Gambar diambil pada 1972, sempena Majlis Konvokesyen saya di UM


Setelah selesai menunaikan solat Subuh, Encik dan Emak bercakap-cakap tentang hal saya. Yang akan menghantar saya ke sekolah ialah Encik. Emak tak perlu pergi kerana beliau akan menoreh getah. Setelah saya selesai disekolahkan, Encik terus balik dan mengangkat susu getah, sebagaimana yang dibuatnya setiap hari. Emak pula akan menakungkannya. Sebaik sahaja susu dalam takungan itu beku, mereka berdua akan memesennya. Kerja terakhir ini kerapkali akan dibantu oleh Pak Busu Daud atau isterinya Abang Asiah atau Abang Majid kerana masa itu semua pekebun kecil getah berkumpul di tempat penakungan yang terletak di hadapan rumah kami. Kerapkali juga saya atau Abang Othman membantu Emak dan Encik mengepingkan getah. Ahh! Kena jugalah saya bersekolah rupanya.

Sejurus kemudian Emak mengejutkan saya yang sememangnya telah lama terjaga. Emak membawa saya ke dapur dan memandikan saya. Saya tidak perlu ke perigi kerana Emak memang telah mengangkat air untuk mandian saya sejak petang semalam lagi. Kesejukan air perigi, ditambah dengan cuaca sekeliling yang taram-temaram menguatkan lagi rasa keengganan saya untuk bersekolah pagi itu. Walau bagaimanapun tidak sesiapa pun yang mengambil hirau tentang perasaan saya itu.

Sarapan yang Emak sediakan pagi itu ialah nasi pulut nyiur dengan kopi o. Emak tahu, inilah salah satu makanan yang saya gemar. Penyediaannya tidaklah sulit benar. Pulut dimasak tanpa santan. Apabila masak disejukkan sebentar. Kemudian emak mengukur kelapa. Kelapa kukuran itu digaulkan dengan garam yang ditumbuk halus secukup rasa. Selepas itu, dimasukkan dua sudu kelapa itu ke dalam cawan. Nasi pulut yang telah beransur sejuk itu kemudiannya dimasukkan ke dalam cawan tadi dan dipadatkan dengan menekan-nekannya dengan senduk tempurung kelapa. Setelah betul-betul padat, pulut itu ditengkuh keluar dan jadilah ia berbentuk cawan dengan dihiasi kelapa kukur di atasnya. Indah dan menyelerakan. Pulut itu boleh dimakan begitu sahaja. Kadang-kadang kami makan dengan ikan haruan masin yang dibakar, kemudian ditumbuk di lesung batu hingga dagingnya 'berkekabu', lalu dicecah dengan cuka bercampur lada hitam yang dihaluskan. Wah, sedap tu!

Menghadapi keenakan hidangan sarapan seindah itu, nyaris saya terlupa yang saya kena bersekolah pagi itu.

Emak menyediakan bekalan sekolah saya, iaitu pulut yang dibungkus dalam upih pinang dan diikat dengan tali daripada upih itu juga. Untuk minuman, Emak menyediakan kopi o yang dimasukkan ke dalam botol bersaiz setengah kati berwarna hujau tua dan ditutup dengan sabut kelapa. Barang-barang makanan ini dimasukkan ke dalam jabir mengkuang yang telah sedia ada papan batu dan kalam batu di dalamnya. Papan batu saya itu bukanlah papan batu baharu, tetapi bekas yang digunakan oleh abang semasa dia di darjah satu dulu. Bingkai papan batu itu telah tercabut dan salah satu bucunya serpih sedikit. Papan batu inilah yang saya pakai sampai ke akhirnya. Jabir itu Emak sendiri yang menganyamnya. Emak bukan sahaja pandai menganyam berjenis-jenis bakul, tetapi beliau pandai juga menganyam tangkin padi, tungap, mawas, tikar ladang, tikar mengkuang dengan pelbagai jenis kelarai yang polanya cantik dan beraneka warna.

Jarak di antara sekolah dengan rumah kami kira-kira tiga suku batu. Perjalanan yang sependek ini terasa sangat lamanya pada pagi 2 Februari 1946 itu. Bertolak dari rumah, kelihatan rumah di sebelah kiri rumah saya, kira-kira setengan rantai jaraknya ialah rumah Pak Busu Daud dan Abang Asiah. Anak-anaknya belum ada yang bersekolah. Kami seterusnya terpaksa meniti titian kayu menyeberangi alur di hadapan rumah kami. Kalau musim tengkujuh titian kayu ini tenggelam dan kami terpaksa menggunakan perahu pula. Kalau titian itu timbul ia bergolek pula: lebih sukarlah hendak menyeberang. Lebar alur ini kira-kira 100 kaki. Saya digendong oleh Encik sepanjang meniti titian kayu itu. Yang saya tak tahannya ialah di dalam alur itu ada lintah! Setelah sampai ke seberang barulah saya diletakkan ke tanah semula dan kami berjalan bertiga: Abang Othman di depan sekali, saya dan Encik. Terfikir juga saya masa itu, kalau Emak pergi sama lagilah baiknya!

Mula-mula melintasi rumah Ayah Teh Sahak dan Encik Endah, kemudian lalu di sisi rumah Mak Oda Dayang dan di sebelah kirinya rumah Chu Hawa yang bersebelahan pula dengan rumah Pak Busu Atin, yang isterinya bernama Mak Kecik Dewei. Jauh di sebelah kirinya rumah Andak Yahaya, pangkat sepupu dengan saya, yang tinggal bersendirian kerana kematian isterinya lama dahulu. Mereka ini semuanya emak saudara saya, iaitu adik-beradik dan ipar Encik. Selepas itu barulah kami bertemu jalan besar yang selari dengan Sungai Pahang.

Jalan yang saya namakan jalan besar tadi bukanlah besar sangat; cuma besar sedikit berbanding jalan ke rumah saya. Adalah kira-kira tiga kaki lebarnya. Kami membelok ke kiri dan meneruskan perjalanan ke sekolah. Kami berpapasan dengan kumpulan kanak-kanak lain yang hampir semuanya saya tidak kenal, malah kalau kenal pun kami tidak saling berteguran, Masing-masing asyik melayan fikiran sendiri-sendiri. Semua rumah yang kami temui sepanjang perjalanan ke sekolah terletak di sebelah kiri, kerana di sebelah kanan jalan ialah sungai: Sungai Pahang yang sangat saya sayangi!

Di jalan besar itu, rumah pertama yang ditemui rumah Azit anak Mak Ngah Limah, seorang yang pada masa itu hidup membujang dan pandai menyanyi sambil memetik gambus yang dia tukangi sendiri (adik Azit bersekolah sekelas dengan saya, namanya Ismail bin Mat dan dipanggil Mail Mak Ngah Limah juga); dan ini diikuti dengan rumah Pak Mat Tukang, salah seorang tukang besi di kampung kami. Di depan rumah itu ada bangsal hembus, iaitu tempat beliau menukang parang. Rumah seterusnya ialah rumah Pak Busu Kemaman. Di sisi rumah Pak Busu Kemaman juga ada bangsal embus. Di simpang jalan ke rumahnya ada sebatang pohon manggis yang tidak berapa subur. Pada suatu hari ada seekor ular tekung tebu berlengkar di atas dahan manggis itu, menyebabkan kami kanak-kanak dan orang perempuan takut lalu di bawahnya. Ular itu kemudiannya dijerat oleh Mahat Teh dengan mudahnya. Tidak sahaja ular itu dijerat, malah Mahat dengan beraninya membelah perut ular tersebut dan membuang bangkainya ke sungai. Jarak di antara rumah Pak Busu Kemaman (nama sebenarnya Othman) dengan rumah keempat agak jauh sedikit, kira-kira satu setengah rantai, iaitu rumah Pak Cu Pilus, yang nama sebenarnya Taib. Dia kemudiannya berkahwin dengan kakak saya yang berlainan ibu, iaitu Munah. Selepas itu terdapat sebuah kedai runcit kepunyaan seorang Cina yang kami panggil Kohi. Nama sebenarnya Chong Ah Hee. Isterinya seorang wanita Orang Asli yang tidak tahu berbahasa Cina. Jadi mereka berdua kena bercakap Melayulah ketika berhubung. Hampir semua orang kampungku tidak pernah mengambil hirau untuk mengetahui nama isteri Kohi ini. Dia hanya kami kenali sebagai Bini Kohi sahaja.

Selepas itu kami bertemu [ula dengan rumah Ayah Ngah Saaya, iaitu orang yang paling tua di kampungku. Ayah Ngah Saaya ini adik beradik Pak Busu Kemaman, Pak Cik Hussain dan Pak Mat Tukang. Mak Cik Sebiah pun saudara dia juga. Bila dia menceritakan kisah-kisah silam, rujukannya ialah ‘pada zaman tuan Leklo’. Kami menyangka beliau tidak tahu atau pelat menyebut Tuan D.O., rupa-rupanya barulah saya tahu kemudiannya iaitu tuan Leklo, tokoh yang disebutnya itu, ialah pegawai Inggeris yang menjadi Pegawai Daerah Pekan yang namanya Laidlaw. Beliau ini memang seorang pentadbir yang terkenal pada zamannya. Nama beliau ada tercatat dalam pendahuluan Hikayat Hang Tuah versi bertulisan jawi; malah jambatan yang merentangi Sungai Parit di Pekan, tidak jauh dari Pejabat Daerah Pekan sekarang, pada suatu masa dahulu dipanggil oleh orang-orang tua di Pekan sebagai Jambatan Laidlaw.

Seterusnya kami melintasi rumah Abang Ngah Rajak, menantu Ayah Ngah Saaya dan rumah Pak Busu Daud Kaya sebelum sampai ke rumah Hitam, anak Pak Mat Tukang, tidak berapa jauh daripada rumah Pak Long Mekbu. Pak Long Mekbu bukanlah anak jati kampung ini. Dia seorang yang cukup terkenal dengan kepandaiannya berpantun dan tahu pelagai serapah jampi termasuk jampi mengalir buaya, meskipun tidak pernah melakukannya. Katanya, kalau dia baca mantera itu di tepi sungai, pastilah datang buaya! Cerita-ceritanya, kadang-kadang banyak yang diperbesar-besarkan. Beliau juga nampaknya agak pandai bersilat dan mempunyai peralatan gendang silat yang lengkap dengan gongnya. Di tepi sungai di hadapan rumahnya dibina sebuah surau, sementara bersetentang dengan surau ada sebuah bangunan yang kami panggil guk, iaitu tempat mengeringkan isi kelapa. Pak Long Mekbu kemudiannya membuka kedai runcit di rumahnya. Saya masih ingat, salah satu barang jualannya ialah minyak rambut Aier Mata Doejoeng (Air Mata Duyung) di dalam tin empat segi berwarna hijau yang ada gambar sekerat ikan sekerat wanita, iaitu ikan duyung. Mengikut Pak Long Mekbu minyak rambut itu diperbuat dengan campuran air mata ikan duyung itulah kerana duyung sentiasa menangis siang dan malam, mengenangkan nasib dirinya yang malang itu, menyebabkan kami yang mendengarnya pun turut hiba. Inilah salah satu contoh perkara yang diperbesar-besarkan oleh beliau yang saya sebut tadi!

Jiran Pak Long Mekbu ialah Pakcik Hussain yang berbadan gempal tetapi setiap gerak lakunya agak perlahan. Kawasan rumahnya cukup luas, bersih dan cantik serta lapang. Di hadapan rumahnya ada beberapa pohon nyiur gading yang buahnya masih boleh kami capai. Beliau baharu sahaja memelihara seekor lembu jantan bersaiz besar yang katanya dibeli daripada seorang Benggali (Sikh) bernama Santu (sebenarnya Santokh Singh) di Pekan. Di kawasan lapang di hadapan rumahnya inilah selalu diadakan pertunjukan seperti Wayang Bangsawan dan Mak Yong. Kalau Sultan Pahang melawat ke kampung ini, di sinilah juga diadakan keraian dan sambutan bersempena keberangkatan baginda. Orang kampung akan membina jambatan semacam jeti menganjur ke tengah sungai bagi memudahkan Baginda Sultan berangkat naik ke darat. Semasa orang-orang dewasa membina jambatan itu kami mengambil peluang mandi manda di sungai seenak-enaknya; sedikit pun tidak takut. Apa yang hendak ditakutkan, kerana kami dikawal oleh orang-orang dewasa yang begitu ramai, buaya pun mungkin gentar melihat ramainya orang di situ. Dan, dalam peristiwa itulah saya buat pertama kali digigit ikan buntal pada jari kelengking kaki kanan. Saya terdengar bunyi kerraap! begitu, tetapi tidak terasa sakit. Saya terus naik dan jari saya bersememah darah. Orang-orang terus mengambil pelepah pokok jarak dan menuang getahnya ke tempat luka. Darah luka itu terus membeku dan lukanya bercantum. Wah, senangnya ubat tradisional berkesan! Kawan-kawan mengejak saya mengatakan, ikan buntal itu salah gigit. Sepatutnya hujung anu saya yang digigit, dan saya tak payahlah bersunat lagi. Hei, kalau kena di situ, malu besarlah saya agaknya petang itu.

Beberapa tahun kemudian, Pakcik Hussain berangkat ke Mekah. Di Tanah Suci itu kami mendapat khabar yang beliau hilang entah berapa hari, sehingga orang kampung turut bersembahyang hajat. Akhirnya beliau ditemui juga: dalam keadaan segar-bugar. Saya memberanikan diri bertanya, beliau hilang ke mana. Mengikut beliau, pada suatu hari beliau berjalan-jalan selepas sembahyang asar, lalu tersesat. Ada orang Arab melambai-lambai beliau masuk ke rumahnya. Rumah itu di dalam lubang (dalam tanah) di celah-celah batu. Di situlah dia duduk. Orang Arab itu sangat baik, dan memberinya makan minum. Maklumlah orang Arab, katanya sambil tersenyum. Semasa saya menunaikan haji, cerita Pakcik Hussain ini hadir kembali dalam ingatan saya, tetapi saya tidaklah berani cuba mencari orang Arab yang baik hati, yang rumahnya di dalam lubang dicelah-celah batu itu!

Saya ingat sangat pada suatu hari belia-belia kampung bermesyuarat dan bersetuju untuk menubuhkan sebuah kelab di kampung ini. Di tapak dekat rumah Pak Cik Hussain itulah mereka membangunkan rumah kelab yang dicadangkan itu. Rangka bangunan itu telahpun dibangun dengan menggunakan kayu bulat yang mereka ramu dari hutan di sekeliling kampung. Walau bagaimanapun kerangka bangunan kelab itu tetap tinggal kerangka, sehingga beberapa bulan kemudian kayu kasaunya jatuh sebatang demi sebatang. Golongan tua menempelak mengatakan ‘kelab’ kita telah bertukar menjadi ‘gelap’.

Di sebelah hilir rumah Pak Cik Hussain ialah rumah Mak Cik Seriah. Kawasan rumah ini selalu suram kerana dinaungi oleh pohon-pohon besar. Kalau hujan, biasanya kawasan inilah yang paling lecak dan paling lambat keringnya. Bersebelahan rumah Mak Cik Seriah ialah rumah Ayah Ngah Ripin dan isterinya Embong Banun. Saya suka lalu berhampiran dengan rumahnya kerana seronok melihat beliau menarah kayu untuk dibuat bajak atau tajak. Kawasan ini juga dinamakan Cagar Hutang kerana apabila musim banjir di situlah yang awal-awal ditenggelami air dan arusnya deras. Ini menyebabkan orang membelat dan memasang lukah. Hasil tangkapannya banyak sehingga tempat itu bolehlah dicagarkan untuk melunasi hutang hasil daripada jualan ikan yang didapati itu. Jenis ikan yang diperolehi ialah terboi, temperas, loma, kerai, batulu dan lain-lain.

Mak Cik Seriah berkahwin dengan seorang orang Jawa yang bernama Selimin. Turut tinggal bersama Mak Cik Seriah ialah emaknya, Tuk Sebiah. Selepas Mak Cik Seriah ialah rumah Abang Stan, sepupu saya di sebelah bapa. Kemudian rumah Haji Mamat. Beliau ialah bekas Tuk Mukim. Biasa juga orang memanggilnya Haji Bekas, atau Bekas Mukim. Kami memanggilnya Ayah Ngah Mamat. Sebagaimana rumah Mat Tukang, rumah Ayah Ngah Mamat ini juga ada bangsal hembus. Beliau seorang tukang besi yang cukup terampil. Pernah beliau menempa sebilah pedang dan diberikannya kepada saya, lengkap dengan sarungnya. ‘Awak simpan ni!’, katanya sambil ketawa. Beliau kuat ketawa dan ketawanya agak khas. Meskipun tidak meminta, saya berikan Ayah Ngah Mamat RM40.00 untuk harga pedang itu. Dia nampaknya sangat gembira dengan pemberian saya itu.

Di sebelah hilir rumah Ayah Ngah Mamat ialah rumah Mahasan. Ayah Mahasan namanya Gendut. Menurut Emak, Pak Gendutlah yang mencari daun herba untuk membuat air serum untuk memandikan saya semasa bayi. Di sekeliling rumah Mahasan ini ada beberapa batang pohon durian. Dalam musim durian, rumah dia memang menjadi tumpuan orang untuk membeli durian. Di kelompok itulah juga terdapat rumah Pak Long Awang Long. Isteri beliau, kakak kepada Mahasan.

Kemudian rumah Ngah Sahak sekelamin, iaitu menantu Ayah Ngah Mamat. Rumahnya dalam kebun getah. Isteri Ngah Sahak namanya Ne dan mereka ini kahwin sepupu. Tidak lama kemudian Ne dapat menjadi Bidan Kerajaan dan bekerja di Hospital Kuantan. Ngah Sahak turut pindah ke Kuantan, dan kemudiannya dia sendiri dapat bekerja sebagai kakitangan Hospital itu juga.

Kira-kira 200 ela dari rumahnya ialah rumah Pak Cik Aman, yang nama sebenarnya Abdul Rahman. Beliau seorang mualaf yang loghat Cinanya masih pekat sangat. Saya pernah melihat Pak Cik Aman meracik kayu balak menggunakan gergaji besar hingga menjadi papan. Semua kerja, dari menaikkan balak ke atas pelantar hinggalah menyurung dan menarik gergaji besar itu dikerjakannya seorang diri! Saya hairan bagaimanakah beliau boleh melaksanakan kerja yang cukup berat itu seorang diri.

Selepas rumah Pak Cik Aman, betul-betul di hadapan sekolah ialah rumah Mak Ngah Tik. Beliau ini tinggal bersendirian di rumah kecil itu. Ada orang kata Mak Ngah Tik ini bukannya orang perempuan tulen. Alat kelaminnya, kononnya hampir-hampir tersumbat - tidak ada lubang atau lubangnya kecil sangat! Dia dikatakan pernah berkahwin dengan Mat Borak tetapi berpisah beberapa hari kemudian. Mak Ngah Tik ada seorang adik lelaki yang bernama Ibrahim Midun. Dia masuk sekolah sama sehari dengan saya dan kami terus berkawan. Walaupun kami berkawan, tetapi kisah misteri Mak Ngah Tik, kakak Ibrahim ini tidak diketahui bagaimana cerita yang sebenarnya.

Nah, kini kami pun tibalah di hadapan kawasan sekolah yang sangat bersih dan tersusun nampaknya. Degupan jantung saya bertambah kencang. Suasana ceria kawasan sekolah yang dipagari dengan buluh cina dan diserikan pula dengan kuntuman bunga blue-bell yang batangnya melilit di celah-celah pohon buluh cina serta pelbagai jambangan bunga yang beraneka warna sedikit pun tidak menenangkan hati saya yang bakal menghadapi ‘malapetaka besar’ pada pagi hari yang cerah itu!

Setelah bertemu dengan guru besar, saya ditinggalkan oleh Encik pada seorang guru yang nampaknya mengunyah sirih dengan pesanan yang cukup tertib ucapannya iaitu meminta supaya saya dirotan sekiranya malas atau membuat apa-apa kesalahan - asalkan jangan patah dengan buta, gasaklah! Kegelisahan hati saya bertukar menjadi kengerian dan hiba yang sangat menusuk kalbu. Meskipun Cikgu itu memang orang kampung saya, saya sendiri tidak ingat adakah saya pernah menemuinya atau tidak. Dia duduk di kerusi. Di atas mejanya ada beberapa buah buku. Mulutnya masih berkomat-kamit mengunyah sirih. Air sirih yang berwarna merah tua berbaur dengan air liurnya jelas kelihatan membasahi rekahan pada kedua-dua bibirnya. Dia masih belum mengeluarkan sebarang kata.

Itulah guru saya yang pertama: Cikgu Mohd. Yusof bin Mat. Umurnya pada masa itu saya fikir belumpun mencapai empat puluh tahun. Beliau yang baru tamat dari Sultan Idris Training College Tanjung Malim itu berbadan kecil tetapi kelihatan kesing. Dia memang orang Ganchong, tetapi kampungnya ialah Kampung Ganchong Hulu. Saya jarang benar pergi ke sana.

Mukim Ganchong terbahagi kepada lima buah kampung iaitu Kampung Tanjung Batu, Kampung Kiambang, Kampung Ganchong Tengah, Kampung Ganchong Hulu dan Kampung Aceh. Berbeza dengan kampung-kampung lain, Kampung Aceh terletak di seberang Sungai Pahang. Di hadapan Kampung Kiambang terdapat beberapa buah pulau, dan yang terbesar sekali ialah Pulau Ganchong. Terdapat kira-kira 15 keluarga tinggal di pulau ini, dan salah satunya ialah keluarga Tengku Osman bin Tengku Muda Ali yang pada suatu masa dahulu pernah memegang jawatan Penghulu Ganchong. Tengku Osman merupakan kerabat yang hampir dengan Sultan Pahang. Masa dulu, kalau Tengku Osman berjalan, orang-orang yang berselisih dengannya berhenti; yang berbasikal turun dari basikalnya. Akhir-akhir ini hal begitu tidak berlaku lagi. Keluarga lain yang tinggal di pulau itu ialah Tengku Bot, dan Tengku Endut. Anak-anak Tengku Bpt ialah Tengku Bakar, Tengku Abdul Rahman dan Tengku Omar. Tengku Omar pernah menjawat jawatan KSU Kementerian Buruh. Anak-anak Tengku Endut ialah Tengku Ibrahim, Tengku Suran, Tengku Rohani dan Tengku Zalmani. Tengku Bakar, Tengku Abdul Rahman, Tengku Omar, Tengku Ibrahim pernah bersekolah bersama-sama saya (dalam kelas yang berasingan). Tengku Rohani kemudian daripada saya dan Tengku Zalmani pernah saya mengajar semasa dia di darjah enam di Sekolah Kebangsaan Ganchong. Kebanyakan mereka ini bersekolah di Ganchong sebelum melanjutkan pengajian ke sekolah Inggeris di Pekan dan Kuantan. Tengku Endut sebelum berkahwin dengan isterinya sekarang, telahpun berkahwin dan mendapat tiga orang anak iaitu Tengku Ismail, Tengku Ali Shahadan dan seorang perempuan yang saya tidak ingat namanya. Pulau Ganchong itu termasuk sebagai sebahagian daripada Kampung Kiambang.

Cikgu Mohd Yusof ini kerap dipanggil sebagai Cikgu Yusof ‘Pendek’. Sepanjang yang saya tahu tidak terdapat pula seseorang yang digelar Cikgu Yusof ‘Panjang’. Gelaran ini sahlah diberikan kerana tubuh badannya yang tidak begitu tinggi itu. Jarak dari rumah Cikgu Yusof ke sekolah lebih kurang lima batu. Sejauh lima batu itulah Cikgu Yusof berjalan kaki pergi-balik ke sekolah setiap hari, enam hari seminggu, empat minggu sebulan dan dua belas bulan setahun selama bertahun-tahun mengajar di sekolah ini. Jalannya laju untuk disesuaikan dengan langkah pendeknya; jarang-jarang dia menoleh ke kiri atau ke kanan.

Kami yang baru masuk ini duduk bersila di atas lantai di hadapannya kerana sekolah kami tidak cukup bangku dan meja. Tidak ada yang berani bercakap. Saya kenal beberapa orang murid yang ada dalam kelompok itu. Malek anak Pak Busu Kemaman tukang besi merupakan yang terbesar badannya di antara kami. Malek telah bersekolah tahun lalu, tetapi disebabkan tidak lulus dalam peperiksaan akhir tahun, dia tidak boleh naik darjah dua. Dia masih memakai kain pelikat. Memang, selepas perang Jepun sekolah tidak mengenakan syarat yang ketat sangat tentang berpakaian. Tidak ada peraturan pakaian seragam yang dikenakan. Pakailah apa sahaja yang ada, asalkan jangan sampai telanjang. Tapi, yang satu itu, ... songkok ... wajib dipakai.

“Siapa ada loh batu?” tiba-tiba Cikgu Yusof bersuara.

“Ada cikgu!” jawab mereka yang ada. Yang tiada diam ketakutan.

Cikgu Yusof berjalan dari seorang ke seorang. Kami masih bersila. Disebabkan badannya pendek, tidaklah kelihatan beliau tinggi. Jadi kami kuranglah sedikit takutnya.

“Awak anak Pak Kecik Isa ya?” tanyanya apabila sampai ke tempat saya duduk.

Saya diam. Tak tahu nak cakap apa-apa. Takut sangat pun tidak juga. Papan batu ada, apa saya takutkan. Yang saya bimbang sedikit ialah papan batu saya tidak mempunyai bingkai dan salah satu bucunya serepeh sedikit. Papan batu ini asalnya emak saya pinjam entah dari siapa dan pernah dipakai oleh abang saya. Alat menulis loh batu diperbuat daripada batu juga dan dipanggil kalam batu.

Bangunan sekolah kami mempunyai tiang batu berbentuk bulat kira-kira besar sedikit daripada batang kelapa. Pada tiang batu itulah kami mengasah kalam batu sebelum masuk ke kelas setiap pagi dan selepas waktu rehat (yang dipanggil separuh waktu). Tiang sekolah yang tingginya kira-kira tiga kaki dari tanah itu membolehkan kami bermain-main dengan selesanya di bawah sekolah. Di bawah sekolah itulah juga kami membuka bungkusan bekalan makanan semasa rehat. Masa makan, kadang-kadang ada kawan-kawan yang tidak membawa bekal datang ‘menginding’ – meminta sedikit itu dan ini. Kadang-kadang berat juga hendak memberinya kerana yang suka menginding itu terdiri daripada yang itu itu juga.

“Nama awak siapa?”

“Yaakub, cikgu.”

“Haah, Yaakub ya?”

Aku tak menjawab. Ada rasa nak menjawab tetapi Cikgu Yusof telah bertanya orang lain pula.
Dalam keadaan yang demikian, tiba-tiba muncul Pak Long Atin, juga bapa saudaraku, membawa cucunya Ahmad Johar bin Yusof. Hah, ini memang kawan saya betul! Kawan sepermainan dan mungkin sehidup semati. Kami bermain bersama hampir setiap hari: celik matahari sahaja adalah projeknya. Kebanyakan projek itu Joharlah yang merancangnya. Kadang-kadang kami bermain di halaman rumah saya, tetapi kerapkalinya di halaman rumah Pak Long Atinlah. Meskipun pangkatnya dengan saya anak saudara, tapi umur kami sedikit sangat bezanya. Saya lebih tua sedikit daripadanya. Ketibaan Johar ke sekolah itu cukup menggembirakan saya.

Kegembiraan saya itu rupa-rupanya tidak berpanjangan. Selepas datuknya menyerahkan Johar kepada Cikgu Yusof, beliau terus beredar pulang. Apa lagi! Johar meraung menangis kerana tak mahu bersekolah dan hendak mengikut datuknya balik. Johar dah mula buat perangai. Dia tidak mahu berpisah dengan datuknya itu. Dia nampaknya sudah tak makan dipujuk lagi. Meronta-ronta sambil memegang kain pelikat datuknya. Panik dengan keadaan yang di luar jangkaan itu, Cikgu Yusof membenarkan Pak Long Atin membawa pulang cucu kesayangan yang dipanggilnya Awang Johar itu. Johar bukan sahaja tak bersekolah keesokan harinya, malah terus tidak bersekolah sepanjang tahun. Cuma tahun depan dia disekolahkan, dan kali ini dia tidak meronta-ronta lagi, apatah lagi yang menghantarnya bukan lagi datuknya kerana datuknya meninggal sebelum dia dapat di sekolahkan pada tahun itu.

* * *
Sistem kemasukan ke sekolah pada awal 1946 itu tidaklah ketat sangat. Umur pelajar di dalam sesebuah kelas itu berbeza, hingga ada yang sampai lima tahun perbezaannya. Sebab utamanya ialah kaedah kenaikan kelas yang tidak secara automatik dilaksanakan di semua sekolah. Kaedah ini menyebabkan pelajar yang gagal dalam peperiksaan akhir tertahan di kelas lama. Terdapat kes pelajar yang tertahan di dalam darjah satu selama empat atau lima tahun. Disebabkan kawan-kawan seumur dengannya telah naik ke darjah lima atau enam, pelajar yang lama tertahan di dalam darjah satu ini akhirnya berasa malu dan terus berhenti begitu sahaja. Lagi pun, pada umur itu, banyak kerja lain yang boleh dibuatnya di kampung berbanding dengan berulang-alik ke sekolah yang masih tidak tahu hujung pangkalnya itu.

Zaman itu merupakan zaman kebangkitan semangat nasionalisme orang-orang Melayu. Keperitan yang dialami zaman pemerintahan Jepun belum pun pulih, datang pula pemerintah Inggeris yang memaksakan sistem Malayan Union.

Sebenarnya, kekalahan Jepun memang disambut baik oleh penduduk Tanah Melayu. Wang kertas Jepun cap nanas, cap pokok kelapa dan cap pohon limau bali telah bertukar menjadi bahan mainan kerana tidak laku lagi. Disebabkan tiada wang yang baru, wang yang dipakai zaman British sebelum perang boleh digunakan. Kemudian keluarlah wang kertas satu sen, lima sen, sepuluh sen, dua puluh sen, dua puluh lima sen, lima puluh sen dan satu ringgit. Ada juga dikeluarkan wang kertas lima ringgit dan sepuluh ringgit, tetapi saya sendiri jarang melihatnya. Khabarnya wang kertas lima puluh ringgit dan seratus ringgit pun ada. Saya hanya mendengarnya sahaja.

Persekolahan pada masa itu dijalankan enam hari seminggu. Sebenarnya boleh juga dikatakan lima hari sahaja sebab hari Sabtu meskipun dianggap hari bersekolah tetapi hati itu cuma dipenuhi dengan aktiviti berkebun dan membuat pekerjaan tangan. Hari Jumaat tidak bersekolah.

Kelas sebenar bermula jam 8.20 pagi dan tamat jam 12.40 tengah hari. Bagi darjah satu dan darjah dua, setiap subjek diajar selama 20 minit dengan waktu rehat selama 20 minit. Mata pelajaran yang diajar dalam darjah satu ialah Sifir, Kira-kira (Perkakas), Kira-kira (Tulis), Ejaan, Senaman, Bacaan, Bercakap, Nyanyi, Tulisan, Pekerjaan Tangan, Lakonan, Lukisan, Cerita Ilmu Alam, Cerita, Cerita Tawarikh, Kesihatan, dan Berjalan. Terdapat satu ruang dalam jadual waktu yang namanya Kumpulan.

Meskipun kelas dijadualkan bermula pukul 8.20 pagi, kerapkali waktu itu pelajar-pelajar masih berkeliaran di sekitar kawasan sekolah melaksanakan tugas masing-masing mencuci kawasan. Pelajar-pelajar darjah satu dan darjah dua melaksanakan kerja-kerja yang ringan seperti berpongkes. Bila disebut berpongkes, setiap dua orang menateng sebuah pongkes, iaitu bekas yang diperbuat daripada rotan dan diberi bertelinga di kiri kanannya. Dua orang yang berpongkes tadi, seorang memegang telinga pongkes itu dengan tangan kanan, manakala temannya memegang telinga yang sebelah lagi dengan tangan kiri. Kedua-duanya membawa pongkes di kawasan yang ditentukan dan mengutip segala sampah-sarap seperti daun-daun kering, ranting kayu, kertas atau apa sahaja untuk dibuang ke dalam lubang yang disediakan. Pelajar-pelajar darjah yang lebih tinggi dikehendaki membawa parang untuk menebas rumput di taman atau padang sekolah. Apabila tiba masa berhenti masing-masing dikehendaki pergi ke sungai atau ke kolam untuk membasuh kaki tangan dan peralatan seperti parang, cakar dan cangkul sebelum dibenarkan naik ke kelas masing-masing untuk memulakan pemelajaran.

Sekiranya diketahui ada pelawat yang akan datang ke sekolah, masa membersihkan kawasan akan diperpanjangkan; malah kerapkali pelajar-pelajar diperintahkan datang ke sekolah sebelah petang untuk menceriakan kawasan sekolah.

Tempoh belajar bagi setiap satu mata pelajaran selama 20 minit itu merupakan tempoh khas bagi darjah satu dan darjah dua sahaja. Sebenarnya mata pelajaran khusus bagi kelas-kelas rendah ini ialah Kira-Kira, Ejaan, Bacaan, Tulisan, Sifir dan Congak. Pelajaran-pelajaran lain yang tercatat dalam jadual waktu diistilahkan sebagai mata pelajaran ‘rehat’. Peraturan sekolah pada masa itu membenarkan pelajar-pelajar ‘bermain’ dan ‘bertukar-tukar’ pada waktu itu. Ada arahan melarang guru-guru menjalankan terus pelajaran bertulis selepas waktu ‘kerja tulang urat’ seperti bersenam, permainan atau selepas waktu rehat kerana pada masa itu pelajar-pelajar ‘sedang panas dan berpeluh serta belum dapat duduk tetap betul bagi memerintahkan tangannya’.

Mata pelajaran Congak tidak diwujudkan di dalam jadual waktu, tetapi ia merupakan mata pelajaran penting yang biasanya digabung-jalinkan oleh guru dengan mata pelajaran Kira-Kira dan Sifir. Melalui mata pelajaran Congak kami dilatih untuk mengira pantas. Ada dua kaedah yang kurang kami gemari dalam melaksanakan subjek ini. Pertama guru memulakan subjek ini dengan meminta semua pelajar berdiri – malah tidak jarang pula kami dikehendaki berdiri di atas bangku. Sesiapa yang betul menjawab mana-mana soalan yang diberikan melalui lisan oleh guru dibolehkan turun setakuk, iaitu berdiri di atas lantai. Kalau mampu betul soalan seterusnya barulah boleh duduk di atas kerusi. Teman-teman yang kurang pick-up mungkin langsung tidak berpeluang duduk. Kaedah kedua – dan ini yang lebih diminati oleh guru kami – iaitu mengadakan sesi Congak pada waktu akhir. Siapa yang dapat dibenarkan balik dan yang kurang bernasib baik mungkinlah setelah Cikgu kehabisan soalan untuk ditanya atau balik bersama-sama Cikgu nanti!

Pada keseluruhannya, subjek Congak ini dilalui dengan rasa yang cukup berat dan amat tidak menggembirakan. Hati kecil saya selalu berdoa mudah-mudahan pada hari-hari tertentu Cikgu lupa membuat Congak. Kerapkali juga ‘doa kecil’ saya itu dimakbulkan oleh Tuhan.

Satu lagi subjek yang kurang menarik minat saya ialah Lakonan. Meskipun ada buku lakonan untuk darjah satu hingga enam, cerita-cerita di dalamnya tidak menarik, apatah lagi kebanyakanya telah dibaca oleh semua orang. Jadi apabila cerita itu dilakonkan, lakonan itu menjadi lebih tidak menarik. Kadang-kadang kami reka cerita sendiri dan Cikgu tidak melarang, malah menggalakkan kalau ada usaha begini. Mana-mana kelas yang tidak dapat mementaskan lakonan, mereka kena menyanyi; janji mesti ada persembahan.

Terdapat pertambahan mata pelajaran bagi kelas-kelas darjah empat dan lima. Kelainan yang besar ialah tempoh belajar setiap pelajaran bukannya 20 minit, tetapi ditambah menjadi 30 minit. Subjek yang ditambah ialah Tanaman, Karangan, Perumpamaan, Nahu, Surat Kiriman. Kalau darjah satu dan dua ada subjek Cerita Ilmu Alam dan Cerita Tawarikh, di dalam darjah empat dan lima subjek ini dikenali sebagai Ilmu Alam dan Tawarikh sahaja. Subjek-subjek lain terus dikekalkan dengan nama asal, termasuk Kumpulan, Lakonan dan Nyanyi.

Seorang guru mengajar serentak dua kelas adalah merupakan kes yang biasa pada masa itu. Cara melaksanakannya tidak begitu sulit kerana sekolah tidak mempunyai bilik yang berasingan. Kelas dipisahkan dengan pengadang atau tidak mempunyai sebarang pemisah pun. Ada cikgu di sekolah saya yang tidak mempunyai meja khas untuk kegunaannya, tetapi berkongsi sebuah meja dengan seorang guru lain.

* * *

Tadi telah disebut bahawa di hadapan sekolah kami terdapat pagar buluh cina. Rumpun buluh itu dipangkas rapi. Kamilah juga yang memangkasnya. Tingginya sentiasa terjaga, tidak melebihi empat kaki. Selain sebagai pagar kawasan sekolah, buluh cina itu ada kegunaan lain bagi kami. Kalam batu atau kalam raksa (nama lain bagi pensil sebelum kami menggunakan nama 'pensil') yang pendek dan sukar untuk dipegang masa menulis cikgu selalu nasihatkan agar kami menyarungkannya ke dalam batang buluh cina untuk memanjangkan jangka hayatnya. Untuk pensil pun begitu juga. Jadi, kalau betul-betul dijaga, sebatang pensil boleh dipakai selama enam atau tujuh bulan. Lama tu! Buluh cina juga boleh dibuat bedil yang pelurunya ialah putik jambu keling, jambu boi, jambu air, buah cenerai ataupun kertas yang dibasahkan. Peluru jenis itu kalau kena gaya tembakan dan tepat pula sasarannya (cuping telinga, pipi, dahi, bibir) boleh tahanlah juga sakitnya. Buluh cina yang panjang (bukan pagar di hadapan sekolah tetapi yang dekat padang bola) boleh dibuat joran kail untuk mengail ikan potak, tebakang, pepuyu, toman dan haruan.

Membersihkan loh batu ada pula caranya. Emak menyediakan satu botol kecil (botol bekas minyak wangi barangkali) yang mulutnya disumbat dengan sabut kelapa. Di dalam botol dimasukan air bersih dan diikatkan pula secebis perca kain di leher botol itu. Air dan perca kain itu digunakan untuk mencuci papan loh setelah digunakan. Kerapkali juga Emak menyuruh saya memasukkan bunga melur, bunga antui atau bunga cina di dalam botol supaya airnya berbau wangi.

Saya dinaikkan ke darjah dua lebih awal berbanding dengan orang lain. Mungkin Cikgu merasakan saya telah cukup diajari dalam darjah satu. Salah satu sebab yang saya ingat ialah semasa masuk sekolah itu saya sudah tahu huruf jawi dan rumi, tahu angka, malah sudah boleh membaca sedikit-sedikit. Kebolehan ini saya dapati daripada perhubungan dengan Abang Othman dan membaca buku sekolahnya. Entah bagaimana, apabila saya tiba di tangga rumah hari itu, emak saya menabur beras kunyit kepada saya! Saya agak hairan. Tetapi kemudian barulah saya tahu itulah caranya emak menunjukkan kesyukuran beliau di atas kejayaan saya. Dalam kehidupan belajar saya kemudiannya, saya mengalami peristiwa ini hampir setiap kali saya berjaya dalam peperiksaan. Itulah keistimewaan Emak. Dia sendiri tidak tahu membaca dan menulis. Bukan tidak mahu bersekolah, tetapi pada zamannya tidak ada sekolah di kawasan kami. Berbeza dengan Encik yang boleh membaca dan menulis (jawi dan sedikit-sedikit rumi). Saya tidak tahu bagaimana cara dia bersekolah. Mungkin belajar sendirilah itu.

Biasanya apabila seseorang murid naik darjah, kawan-kawan lain gemar mengejek: ‘Eh, eh! Darjah Dua baru!’ Ejekan ini sebenarnya lebih berbentuk galakan, tetapi kami yang kena ejak terasa juga sedikit malunya atau kena buat-buat malu.

Setelah memasuki darjah dua kami tidak lagi menggunakan loh batu. Ayah membelikan saya sebuah buku tulis yang agak tebal – mungkin 80 muka surat agaknya. Sepanjang beberapa bulan, sebuah buku itulah yang saya gunakan untuk menulis semua mata pelajaran yang diajar oleh guru kami. Kira-kira, Tulisan Jawi, Tulisan Rumi, Rencana, malah lukisan pun disumbat dalam sebuah buku.

Sebaik-baik sahaja masuk ke darjah dua saya mendapat beban yang baru pula. Saya dihantar oleh Encik bersekolah petang, iaitu mengaji al-Quran. Guru yang mengajarnya kenalan baik Encik, malah ada hubungan kekeluargaan jauh. Seluruh pengajaran kelas al-Quran itu ditangani oleh beliau seorang sahaja. Kami memanggilnya dengan gelaran Maalim (sebutan dengan loghat kami untuk kata Arab: Mualim). Nama beliau ialah Nawawi bin Lambak. Tetapi disebabkan semua yang belajar itu pangkat anak cucu belaka dengan beliau, kami mesra memanggilnya Pakoda Wi. Kalau hendak memanggilnya dengan cara yang agak rasmi kami sebut Maalim Wi.
Pakoda Wi ini memang sah orang yang paling alim di kampung kami. Dia berbadan besar dan kulitnya agak cerah. Cermin mata yang dipakainya macam cermin mata Mahatma Gandhi, pemimpin India yang terkenal itu. Pakaiannya baju melayu potongan teluk belanga, berkain samping kain pelikat. (Orang-orang Pahang masa itu jarang berpakaian melayu cekak musang). Songkoknya songkok hitam yang agak terkecil sedikit berbanding kepalanya, menyebabkan songkok itu tertenggek. Beliau jarang sangat memakai sebarang alas kaki, apatah lagi kami anak-anak muridnya ini!

Saya rasa tidak ada muridnya yang tidak takut kepada beliau. Pada saya, takut saya kepada Pakoda Wi lebih kepada rasa hormat yang tidak dapat dibayangkan dengan kata-kata. Cara beliau mengajar senang sahaja nampaknya: sebaik sahaja beliau sampai semua orang membaca al-Quran. Bunyi bacaannya menjadi gegak-gempita, sebagaimana kanak-kanak Afghanistan membaca al-Quran dalam dalam filem Kandahar yang saya tontoni baru-baru ini. Kemudian seorang demi seorang dipanggil ke mejanya untuk membaca. Dia menegur mana-mana yang salah dan kemudian, sekiranya telah lancar betul barulah beralih ke surah yang baru.

Kelas petang ini juga ada belajar fardu ain menggunakan sebuah kitab berjudul Taalim as-Sabian yang diterbitkan oleh Pejabat Agama Islam Pahang. Kami dikehendaki membeli buku itu dengan harga yang sangat murah. Setiap akhir tahun kelas ini ada peperiksaan yang khas untuknya. Biasanya yang datang menjalankan peperiksaan itu ialah Guru Pelawat Agama yang bernama Ustaz Khudri. Peperiksaannya jenis bertulis dan lisan. Keputusan peperiksaan akan diumumkan awal tahun berikutnya. Pelajar-pelajar yang berjaya diberikan hadiah. Saya pernah beberapa kami mendapat hadiah: sekali hadiah ketiga dan sekali lagi hadiah kedua. Hadiah pertama dibolot oleh pelajar perempuan. Agak pelik juga bentuk hadiah yang diberikan. Semasa mendapat tempat ketiga saya dihadiahkan sebuah buku catatan saiz saku yang ada getah pengikat supaya tidak terbuka. Saya menerima sebilah pisau lipat semasa mendapat hadiah kedua pada tahun berikutnya. Hadiah kali ini amat saya hargai kerana lama benar saya bercita-cita untuk mendapatkan sebilah pisau lipat. Pisau lipat boleh digunakan untuk memotong kuku; boleh mengupas buah sentul, ketapi, mempelam dan bacang. Kalau berani pisau lipat boleh digunakan untuk menyembelih burung kelicap atau merbah yang kena lastik. Dan, pisau lipat juga boleh dijadikan alat permainan yang disebut sebagai main pisau. Budak perempuan yang mendapat tempat pertama itu dihadiahkan sehelai kain pelikat. Lagi teruk!

Satu perkara yang saya tidak tahan di sekolah saya ialah kumbang. Kayu kekuda dan alang sekolah tidak dicat, apatah lagi berubat. Kayu yang tidak begitu keras ini sangat digemari oleh kumbang untuk membuat sarang dan seterusnya beranak-pinak. Biasanya, apabila sesekor kumbang meninggalkan sarangnya, serangga ini gemar melepaskan najis yang cair kekuningan itu. Tak kiralah kepala ssiapa yang menjadi sasarannya. Kadang-kadang kena buku tulis, buku bacaan, songkok atau baju. Baunya sangat menyengat dan meloyakan. Walau bagaimanapun, setelah sebulan dua bersekolah, bau itu tidak lagi menjadi masalah besar kepada kami. Kerapkali juga pelajar-pelajar mencocok lubang kediaman kumbang itu dengan lidi kelapa. Kumbang yang tersepit dan terancam itu akan mengeluarkan bunyi hasil kibasan sayapnya. Bunyi itu cukup menyenangkan pula! Kerap pula kumbang yang tersepit berpeluang membalas dendam kepada pengaucunya, dengan menyengat tangan pelajar nakal itu. Meskipun tidak membahayakan, ada di kalangan mereka yang kememe nyaris menangis disengat kumbang yang hitam berkilat itu.

Setelah setahun duduk bersila di lantai, kami berpeluang duduk di bangku setelah naik darjah dua. Bangkunya bukan seorang sebuah, tetapi empat orang berkongsi sebuah meja yang bangkunya dilekatkan sekali di kaki meja. Bunyinya agak pelik, tetapi begitulah meja yang pertama saya duduk di sekolah. Bahagian atas meja dibuat condong kira-kira 30 darjah untuk menjadikan lebih selesa menulis, dan bahagian itulah juga bergungsi sebagai penutup laci tempat kami menyimpan jabir, buku dan alatan sekolah lain yang ada serba sedikit.

Atap sekolah kami adalah atap nipah. Atap nipah ini ada baik dan ada yang kurang baiknya. Yang baik, kalau matahari memancar seterik mana pun tidaklah berasa panas sangat berbanding atap zing atau asbastos. Tetapi atap ini ada had penggunaannya. Setelah beberapa tahun, atap itu mula reput sedikit demi sedikit, tinggallah lidi dan mengkawannya sahaja. Pada masa itu, kalau sekali sekala ada kapal terbang melintas tinggi di langit, kami boleh melihatnya melalui celah-celah atap yang bocor. Lebih menyedihkan lagi apabila hari hujan: kami berhempit-hempit di tempat yang tidak kena hujan. Kadang-kadang meja cikgu pun basah. Setelah tiba saat begitu, biasanya adalah pekerja yang diarahkan mengganti atap sekolah. Menggantikan atap seluruh sekolah tentu mengambil masa lima enam hari. Atap yang lama mesti ditutuh dan dibuang dahulu; kemudian baharulah dipasang semula kayu kasau ramai dan seterusnya atap dijalin supaya terikat kukuh pada kayu kasau ramai. Mereka mengganti atap ini sepenampang lepas sepenampang. Kelas yang terletak di bawah penampang yang diganti itu biasanya diberi cuti sehari dua, hingga penampangnya siap. Kalau diminta belajar pun mungkin tidak berguna, bagaimana mahu menumpukan kepada pelajaran sedang para pekerja berada di atas kepala! Lagipun pekerja itu bukan boleh diam – kalau diam bukan pekerjalah namanya.

Tempoh lima enam hari ini tak dapatlah dikatakanlah lagi bagaimana seronoknya kami.

No comments: