Thursday, January 17, 2008

TANAH PUSAKA INI (Puisi)

Di tanah pusaka ini

Tanah bertuah pusaka nenek moyang
Dengan seluruh keindahan flora dan fauna
Berkurun menatang harap menghampar khabar
Harapan dan impian dijalin pita-pita sejarah
Di hangat mentari, di dingin embun pagi
Menjadi saksi kekuatan budi keagungan pertiwi.

Lima dasawarsa gemilang melakar peta
Memahat sejarah, membina citra, memperkasa bangsa
Merdeka!
Dengan pemimpin datang, pemimpin pergi
Mengukir pertiwi, membajai demokrasi, agama dijulangi.

Duhai anak watan penerus perjuangan generasi zaman
Jangan pernah merelakan hati negara tercinta ditusuk duri
Kita pelajari kata pusaka, kita hayati seikhlas hati, kerana:
Kurang tukang binasa kayu, kurang arif binasa badan
Kurang alim rosak agama, kurang pandai rosak negeri
Kurang cerdik binasa adat, kurang cermat tanggung musibah.

Di mana bumi dipijak, di situ langit dijunjung
Di mana sumur digali, di situ air dicedok
Di mana negeri dihuni, di situ adat dipakai.

Di tanah pusaka ini.

YAAKUB ISA

No comments: