Thursday, November 6, 2008

Ikan, Berhati-hatilah!

Ikan Keli di Sungai Kali

Al-kisah, kalau di tempat kita, ikan ini dikira sebagai ikan keli atau baung. Tetapi ikan sebesar ini belum pernah ditemui di negara kita. Ukuran tubuhnya mencapai sampai 2 meter dan beratnya 73 kilogram dengan badan berwarna lumpur dan memerlukan tiga orang untuk mengangkatnya!

Yang ini kenalah kita sebut sebagai keli raksasa.

James Wade dengan dua pembantu dan keli raksasanya

Kisah kononnya bermula ketika James Wade, seorang pengkaji hidupan liar dari Inggeris, yang mendengar kabar bahawa ada ikan keli raksasa di Sungai Kali, yang mengalir di kawasan India dan Nepal. Wade kemudian memburu ikan itu untuk program televisyennya. Maklumlah, selama ini Wade juga berkerjaya seperti mendiang Steve Irwin, penyayang binatang dan penyampai berita aksi dengan haiwan, terutama di Australia.

Benar saja, Wade berhasil menangkap seekor ikan dengan panjangnya hampir dua meter itu tadi.

Cerita tertangkapnya keli raksasa itu makin menggemparkan, kerana Sungai Kali merupakan tempat upacara pembakaran mayat menurut adat istiadat masyarakat Hindu. Mayat yang telah dikapan mengikut cara Hindu itu akan dibakar dan abunya ditebar ke Sungai Kali. Namun, dari ratusan upacara pembakaran mayat, ada saja satu atau dua sisa jasad yang tak terbakar habis.

"Banyak penduduk tempatan bercerita kepada saya bahwa ikan ini jadi tumbuh luar biasa kerana makan sisa-sisa tubuh manusia itu," kata Wade. Bahkan sang ikan disebut-sebut jadi ketagihan daging manusia sehingga memangsa orang jika ada kesempatan. Kabar inilah yang membuat Wade penasaran untuk meneliti ikan itu.

Para ilmuwan menyebut kelompok ikan ini sebagai Bagarius yarrelli yang memang dari keluarga jenis ikan bermisai termasuklah ikan keli. B. bagarius tersebar di kawasan Sungai Gangga dan Sungai Kali (India), Sungai Chao Phraya (Thailand), Sungai Mekong (Cina), hingga muara Sungai Merah di Vietnam dan di wilayah selatan, mulai Indocina, Semenanjung Malaysia, sampai Indonesia. B. suchus banyak berasal dari Sungai Mekong dan Chao Phraya; sedangkan B. rutilus lebih suka berenang di kawasan Sungai Merah dan Sungai Ma di utara Vietnam. Begitu juga si raksasa B. yarrelli yang banyak ditemukan di bahagian selatan dan tenggara Asia.

Pangas dari Vietnam ... keli atau patin di tempat kita?

Filets de Pangas
Terlanjur bercerita tentang ikan ini, saya tertarik dengan sebuah berita yang disampaikan kepada saya oleh seorang teman di Mediacorp News and Current Affairs, Singapura tentang betapa larisnya penjualan daging ikan bermisai jenis keli atau baung (malah lebih merupai ikan patin kita di sini) dari Vietnam yang dikenali dengan jenama filets de pangas di supermarket Singapura.

Proses penyuntikan untuk mempercepatkan tumbesaran ikan pangas



Daging pangas yang dijual di supermarket antarabangsa sebagai filets de pangas

Ikan ini, demikian saya dimaklumkan, telah mengalami proses suntikan hormon untuk segera membesar dan hormon itu beracun untuk dijadikan makanan manusia di samping diternak di dalam air yang sangat berkeladak dan tercemar.


Iklan filets de pangas di pasaran antarabangsa


Mungkin nelayan Vietnam belum membaca cerita bagaimana kisahnya ikan keli di Sungai Kali boleh membesar dengan nisbah yang menggerunkan. Kalau tidak, tentu mereka tidak perlu menggunakan kaedah suntikan hormon untuk mempercepatkan pembesaran ikan peliharaan mereka agar segera diproses menjadi filets de pangas itu tadi.

Monday, November 3, 2008

Penulis Berpotensi

Rafeah Buang

Secara peribadi, saya mengenali biduanita istimewa ini ketika kami sama-sama duduk dalam Lembaga Muzium Negeri Pahang. Bekas pelajar Madrasah al-Sagoff, Singapura ini (lahir 25 Julai 1948, meninggal 24 Julai 2002) telah lama menetap di Pahang setelah berkahwin dengan YM Dato' Tengku Asmawi bin Tengku Hussain, seorang kerabat diraja Pahang.

Selain masyhur sebagai penyanyi bersuara lunak (beliau boleh dimasukkan ke dalam kelompok Penyanyi 60-an), Rafeah juga mampu menulis dengan baik. Beliau mempunyai kolum khas di Majalah URTV terbitan Syarikat Utusan Melayu. Bilangan edaran URTV khabarnya termasuk dalam kumpulan yang terbanyak dan menjadi majalah terlaris, dan pembacanya terdiri daripada golongan muda-mudi dan suri rumah. Saingannya di Utusan Melayu ialah Majalah Wanita.

Beliau pernah memberikan saya naskhah Majalah URTV yang menyiarkan tulisannya tentang peristiwa kecelakaan jalan raya yang meragut nyawa anak kesayangan beliau yang ditulis dalam bahasa yang penuh sentimental dan keinsafan.

Rafeah biasanya menulis tentang pengalaman beliau sebagai penghibur yang kerap berkeliling seluruh tanah air, sehingga ke Brunai dan Indonesia. Tulisannya beraneka-ragam, disunting dengan peristiwa lucu, sedih, cemas yang disusun dalam bahasa yang kemas dan menarik.

Saya menyarankan agar beliau terus menulis dan mencari hal-hal yang lebih serius dan kewanitaan, di samping jangan sampai berhenti menulis di URTV. Sesuai sebagai dirinya seorang wanita, saya cadangkan beliau membuat kajian tentang Kain Tenun Pahang, dan peranan keluarga diraja dalam membantu mempopularkan kain tenun yang berasal dari Tanah Bugis ini. Judul itu akhirnya digarap oleh Rafeah, dan beliau meminta saya membantunya dalam aspek kaedah penulisan, termasuk ejaan dan tatabahasa.

Beliau bukanlah seorang yang mempunyai masa lapang yang banyak. Beliau aktif dalam pergerakan Wanita UMNO, Persatuan Anti-Dadah, Perkumpulan Perempuan Islam, selain kerap menyumbangkan suara dalam pelbagai persembahan di merata tempat. Jadi penulisan buku beliau kerap tesekat-sekat. Setiap kali mesyuarat Lembaga saya kerap bertanya setakat mana penulisan buku itu sekarang. Jawapan beliau selalunya amat positif.

Beliau menyampaikan kepada saya apabila satu bab siap ditulis, untuk saya semak dan berikan komentar. Akhirnya semua bab siap ditulis, setelah hampir dua tahun beliau mengerjakannya! Saya mencadangkan agar Muzium Pahang menerbitkan buku itu, kerana tentulah lebih wajar, walaupun telah ada pencetak lain yang ingin menerbitkannya.

Ketika melihat pruf terakhir buku tersebut, saya memberitahu beliau yang saya kurang berkenan dengan font yang digunakan oleh pencetak, di samping susun atur yang cacat di sana sini serta format buku yang kurang menarik. Beliau bersetuju dengan pandangan saya. Tetapi akhirnya, alhamdulillah! Buku Kain Tenun Pahang pun siap diterbitkan. Meski nampak riang, tetapi ada kekesalan di wajahnya. "Di luar kerelaan," ujar beliau kepada saya dengan penuh makna. Saya memberitahu beliau bahawa peluang lain masih terbuka untuk beliau mengasah pena mewarnai dunia penulisan tanah air.

Saya mencadangkan agar beliau mengumpulkan semua tulisan beliau di dalam Majalah URTV kerana tulisan beliau di situ sangat penting dalam perkembangan seni tanah air. Terdapat juga gambar peristiwa yang tidak pernah terbit di mana-mana penerbitan. Beliau pernah menyebut gambar-gambar tersebut ada yang hak milik Syarikat Utusan Melayu; sedangkan gambar yang beliau miliki sukar sangat untuk mencarinya semula. Saya memberitahunya hal itu bukanlah masalah besar kerana beliau boleh menghubungi Encik Johan Jaafar untuk membantu, apatah lagi beliau memang biasa berhubung dengan Pengarang tersebut. Gambar-gambar lain boleh digunakan alat pengimbas untuk diterbitkan, meskipun hasilnya kurang bermutu.

Bagi saya, tulisan beliau di dalam majalah itu sangat informatif dan bernilai.

Akhirnya saya mendapat seorang penerbit (kebetulannya juga seorang wanita) yang sanggup menerbitkan tulisan Rafeah yang saya katakan itu. Setelah membuat temu janji, penerbit itu dengan seorang temannya dan saya sendiri pergi menemui Rafeah di rumahnya di Pekan.

Saya masih ingat, sepanjang perjalanan kami ke Pekan, Radio Pahang menyiarkan beberapa buah lagu dendangan Rafeah Buang yang membuatkan kami tertanya-tanya sesama sendiri: Adakah ini suatu kebetulan atau memang sudah ditakdirkan? Antara lagu yang masih segar dalam ingatan saya ialah Udang Sama Udang.


Saya terkejut melihat timbunan Majalah URTV setinggi pinggang yang tersusun di suatu sudut di rumahnya. Kami berbincang tentang cara menyalin semula segala artikel tulisan beliau, dan pada agakan saya, jikalah semuanya terpilih, mungkin memerlukan dua jilid buku untuk diterbitkan. Paling penting, beliau mesti bersedia untuk 'bercerai' sementara dengan majalah kesayangannya itu.

Saya mencadangkan agar diupah beberapa orang penulis untuk menyalin artikel beliau itu, sedangkan gambarnya, sebagaimana yang katakan sebelum ini, boleh diimbas, sekiranya tidak boleh didapati gambar asal dari pihak Utusan. Orang yang boleh ditawarkan menyalin kembali itu saya sendiri sudah dapat membayangkannya: pelajar saya di KIPSAS, terutama mereka yang mengikuti program Teknologi Maklumat, dengan disediakan sedikit imbuhan untuk mereka.

Rupa-rupanya rancangan kami itu tidak kesampaian. Tidak lama kemudian, biduanita pujaan saya, yang sekali gus bakal penulis yang saya harap-harapkan muncul sebagai seorang penulis prolofik tidak lama lagi itu dimasukkan ke hospital.

Takdir telah menentukan, Dato' Rafeah Buang tutup usia pada 24 Julai 2002, sehari sebelum menyambut ulang tahun hari lahirnya yang ke-55; meninggalkan keluarga tercinta, sahabat tolan kesayangan serta koleksi album nyanyian beliau yang sentiasa evergreen, di samping segumpal artikel tentang sejarah perkembangan seni tanah air yang tidak sempat disunting untuk diterbitkan.

ِان لله وان اليه راجعون

Saturday, November 1, 2008

Memperkasa Ummah

Awal Muharam

Tahun Baru Hijriah datang dan pergi. Kedatangan tahun baru yang silih berganti itu kerap kali disertakan dengan melakar janji yang kebanyakannya bertujuan meningkatkan umat dan agama Islam. Janji kebanyakannya tinggal janji, kerana umat Islam kita tetap terkebelakang daripada bangsa-bangsa lain dalam hampir semua lapangan hidup.

Rasulullah SAW dan para sahabat telah membuktikan kebenaran janji Allah kerana mereka benar-benar berpegang teguh pada ajaran Islam dan berjaya memperkasakan Islam sehingga ditakuti, digeruni dan dihormati oleh kawan dan lawan, di timur dan di barat, di selatan dan di utara.

Apakah bentuk pendekatan dan tindakan yang menjamin kejayaan umat Islam untuk mengulangi kegemilangan silam? Jawabnya, tentulah dengan mengikuti ajaran al-Quran dan al-Sunnah Rasulullah SAW.

Ulama kelahiran Syria yang terkenal, Syeikh Abdullah Nasih ’Ulwan, pernah menyarankan sekiranya umat Islam inginkan suasana kegemilangan zaman silam hendaklah melaksanakan lima konsep yang tercatat di dalam al-Quran, iaitu: mu’ahadah, muraqabah, muhasabah, mu’aqabah dan mujahadah.

Mu’ahadah (مُعَاهَدَهْ) bermaksud mengingati semula perjanjian manusia sewaktu di alam roh dengan Allah SWT. Dalan perjanjian itu manusia mengakui Allah SWT adalah pencipta sekalian manusia dan juga pentadbir mutlak alam semesta. Perjanjian terakam melalui firman-Nya di dalam al-Quran surah al-A’raf ayat 172 yang maksudnya:

Dan (ingatlah wahai Muhammad) ketika Tuhanmu mengeluarkan zuriat anak-anak Adam daripada belakang (tulang salbi) mereka dan Dia jadikan mereka saksi terhadap diri mereka sendiri, (sambil bertanya dengan firman-Nya): “Bukankah Aku Tuhan kamu?” Mereka semuanya menjawab: “Benar (Engkaulah Tuhan kami), kami menjadi saksi’. Yang demikian agar kamu tidak berkata pada hari kiamat kelak, “Sesungguhnya kami adalah orang yang lalai (Tidak diberi peringatan) tentang (hakikat tauhid) ini.”

Perjanjian mu’ahadah ini mendedahkan hakikat sebenar asal-usul manusia sebagai hamba Allah yang tujuan penciptaannya untuk mengabdikan diri ke hadrat Allah Yang Maha Esa. Oleh itu Allah SWT mentaklif atau menugaskan kepada setiap manusia yang dilahirkan ke dunia dengan pelbagai kewajipan merangkumi akidah, ibadat dan akhlak.

Muraqabah (مَُراقَبَهٌ) merujuk kepada konsep merasai kehadiran dan pengawasan Allah SWT dalam setiap gerak-geri dan perlakuan manusia sepanjang hidupnya. Dengan adanya kesedaran seumpama itu akan mendorong manusia untuk melaksanakan titah perintah Ilahi dan menjauhi larangan-Nya.

Rasa muraqabah inilah perisai utama Muslim daripada melakukan perkara-perkara mungkar dan dilarang Allah seperti berzina, mencuri, merogol, rasuah kerana dia menyedari Allah Maha Melihat di samping pengawasan dua malaikat yang mencatat perbuatan manusia. Hal ini sesuai dengan Firman Allah SWT di dalam al-Quran, surah al-Zalzalah ayat 7 dan 8: yang maksudnya:

Maka sesiapa berbuat kebajikan seberat zarah nescaya akan dilihatnya (dalam suratan amalnya); Dan sesiapa yang berbuat kejahatan seberat zarah, nescaya akan dilihatnya (dalam suratannya).

Di dalam hati seseorang Muslim, Allah dan Rasul-Nya adalah perkara yang paling dicintai, mengatasi kecintaan terhadap anak isteri dan kemewahan harta benda yang lain. Itulah ciri Muslim sejati yang dijanjikan Allah SWT sebagai penghuni syurga.

Muhasabah (مُحَاسَبَهْ) pula adalah konsep menilai dan merenung kembali apa yang berlaku, baik berbentuk pemikiran atau perbuatan, sama ada manis atau pahit. Tidak ada seorang manusia pun di dunia ini kecuali nabi dan rasul yang boleh mendakwa dirinya maksum, iaitu terpelihara daripada melakukan sebarang dosa.

Baginda Rasulullah SAW pernah bersabda sebagaimana Hadis riwayat Tarmizi dan Ibnu Majah:
عَنْ أَنَسٍ أَنَّ النَبِيّ قَالَ كُلُّ بن آدَمَ خَطَّاءٌ وَخَيْرُ الْخَطَّائِينَ التَّوَّابُونَ

yang bermaksud:

“Daripada Anas RA, Nabi SAW bersabda: “Setiap anak Adam pasti melakukan kesilapan dan sebaik-baik yang melakukan kesilapan itu ialah mereka yang sentiasa bertaubat.”

Mu’aqabah (مُعَاقَبَهْ) pula adalah kesediaan memberikan hukuman atau denda terhadap diri apabila melakukan kesilapan atau pun kekurangan dalam amalan. Mu’aqabah lahir selepas kita melakukan konsep ketiga tadi, iaitu muhasabah. Hukuman di sini bukannya deraan atau pukulan, sebaliknya bermaksud Muslim yang insaf dan bertaubat berusaha menghapuskan kesilapan lalu dengan melakukan amalan lebih utama meskipun terasa amat berat. Islam mengajarkan bahawa orang yang paling bijaksana ialah mereka yang sentiasa bermuhasabah dan melaksanakan amalan soleh.

Mujahadah (مُجَاهَدَهْ) pula merupakan konsep penting untuk melonjakkan umat Islam ke arah kecemerlangan. Ia merupakan daya usaha bersungguh-sungguh menegakkan kalimah Allah, termasuk melakukan sesuatu yang berlawanan dengan kehendak dan kesabaran diri. Umat Islam dituntut berjihad dalam konteks yang cukup luas, bukan sahaja melawan hawa nafsu bahkan dituntut berjihad untuk menepis ancaman musuh-musuh Islam, membasmi kemiskinan, meningkatkan ekonomi, dan menegakkan keadilan Islam.

Sebagai kesimpulannya, sempena melangkahkan kaki memasuki ambang Tahun Baru Hijriah ini, setiap umat Islam hendaklah mengingati perjanjiannya dengan Allah; merasai kehadiran dan pengawasan Allah SWT dalam setiap gerak-gerinya; menilai dan merenung kembali apa yang berlaku, baik berbentuk pemikiran atau perbuatan; insaf, bertaubat dan berusaha menghapuskan kesilapan zaman lalu; dan akhirnya bersungguh-sungguh menegakkan kalimah Allah. Janji Allah jelas untuk memberikan kecemerlangan dan kegemilangan dalam semua aspek kehidupan adalah jelas. Marilah kita memperbaharui dan memperkukuhkan amalan serta melaksanakan setiap perintah Allah SWT agar sambutan Muharam kita kali ini lebih bermakna berbanding yang sebelumnya.

Thursday, October 9, 2008

Pesta Pantun

Pantun Perasmian

Semasa mengemaskan kertas dan fail lama di dalam bulan Puasa yang baru lalu saya menemui segumpal catatan mengandungi beberapa untai pantun berkait. Rupa-rupanya pantun itu adalah ciptaan saya yang digunakan oleh YAB Menteri Besar Pahang (Dato’ Sri Mohd. Khalil Yaakob) semasa merasmikan Pesta Pantun Kebangsaan pada 26 Ogos 1994 jam 8.00 malam di Dewan Majlis Perbandaran Kuantan. Negeri Pahang menjadi tuan rumah pada tahun itu. Para peserta terdiri daripada wakil negeri-negeri. Saya telah dilantik menjadi Setiausaha Bersama bagi Jawatankuasa Pengelola Pesta tersebut di samping duduk di dalam Jawatankuasa Induk Kebangsaan. Sebuah trofi yang bernama Sirih Pulang Ke Gagang dijadikan trofi rebutan, di samping hadiah iringan berupa wang tunai dan tiket penerbangan sumbangan Syarikat Penerbangan Malaysia (MAS).

Sesuai dengan namanya Pesta Pantun, keseluruhan teks ucapan perasmian oleh MB pada malam itu disampaikan dalam bentuk pantun berkait. Acara akhir ini telah dipancarkan secara terus ke seluruh negara oleh TV Malaysia.

Saya cuba menggunakan lokasi popular di negeri Pahang untuk dijadikan pembayang maksud pantun ucapan MB pada malam itu:

1
Sungai Pahang puncaknya Tahan,
Taman Negara ternama di dunia;
Selamat datang kami ucapkan,
Kasih mesra dipupuk bersama.

2
Taman Negara ternama di dunia,
Rimba monsun pusaka berzaman;
Kasih mesra dipupuk bersama,
Pesta Pantun menjalin hubungan.

3
Rimba monsun pusaka berzaman,
Bandar Kuantan indah bercahaya;
Pesta Pantun menjalin hubungan,
Di Darul Makmur kita berpesta.

4
Bandar Kuantan indah bercahaya,
Kerlipannya terus ke bandar Pekan;
Di Darul Makmur kita berpesta,
Pantun disanjung zaman-berzaman.

5
Kerlipannya terus ke bandar Pekan,
Teluk Cempedak pantainya bersih;
Pantun disanjung zaman-berzaman,
Lapuknya tudak, segarnya masih.

6
Teluk Cempedak pantainya bersih,
Di Indera Mahkota wau berpesta;
Lapuknya tidak, segarnya masih,
Pantun dijaga warisan kita.

7
Di Indera Mahkota wau berpesta,
Dinginnya cuaca di Bukit Fraser;
Pantun dijaga warisan kita,
Itulah matlamat yang harus dikejar.

8
Dinginnya cuaca di Bukit Fraser,
Banjaran beralun sejarah terakam;
Itulah matlamat yang harus dikejar,
Di Pesta Pantun Kali Keenam.

9
Banjaran beralun sejarah terakam,
Pulau Tioman kebanggaan negeri;
Di Pesta Pantun Kali Keenam,
Juara Kebangsaan hasrat dicari.

10
Pulau Tioman kebanggaan negeri,
Pelancong berkunjung silih berganti;
Juara Kebangsaan hasrat dicari,
Bertandinglah dengan sepenuh hati.

11
Pelancong berkunjung silih berganti,
Rompin, Muadzam wilayah DARA;
Bertandinglah dengan sepenuh hati,
Kenangan di Pahang terpahat di jiwa.

12
Rompin, Muadzam wilayah DARA,
Teladas menyerlah penyeri Maran;
Kenangan di Pahang terpahat di jiwa,
Menang kalah bukannya ukuran.

13
Teladas menyerlah penyeri Maran
Pahlawan gugur di Kuala Semantan;
Menang kalah bukannya ukuran,
Kuatkan tekad di tahun hadapan.

14
Pahlawan gugur di Kuala Semantan,
Teluk Cempedak sendu sendiri;
Kuatkan tekad di tahun hadapan,
Pesta nan indah selalu berseri.

15
Teluk Cempedak sendu sendiri,
Di Lubuk Terua sejarah pahatkan;
Pesta nan indah selalu berseri,
Bismillah kata hamba rasmikan.


Meskipun tidak dapat menjuarai Pesta tersebut, pasukan negeri Pahang yang diwakili oleh Sekolah Menengah Clifford telah berusaha sekuat tenaga. Pasukan pimpinan Cikgu Haji Syed Mohamed Syed Agil yang terdiri daripada Hasminindra Asit, Shaharomi Salleh, Hafzannita Sahari dan Azura Kamarulzzaman telah memberi tentangan yang cukup hebat kepada pemantun dari pasukan lain dan berjaya menjadi Naib Johan.

Pertandingan akhir Pesta Pantun merebut trofi Sirih Pulang Ke Gagang 1994 telah diadili oleh Profesor Datuk Dr. Haji Mohd. Taib Osman (Pengerusi), Profesor Madya Haji Taha Kadir, Encik A. Ghani Abdullah, Encik Abdul Rahman Hassan dan Datin Rafeah Buang.

Banyak pihak yang menyatakan majlis yang diadakan di Pahang itu cukup kemas dan berjaya. Saya sendiri merasakan kejayaan itu adalah berkat kerjasama yang diberikan oleh semua pihak. Sayangnya beberapa tahun selepas itu Pesta Pantun yang sentiasa ditunggu-tunggu oleh pelajar ini tidak diteruskan pelaksanaannya. Saya difahamkan para penaja (Kementerian Pendidikan Malaysia, MAS, Berita Harian, RTM dan Patronas) tidak bersedia untuk meneruskannya.

Puan Norma Parry

Pada 1989 saya pernah menemui seorang pengkaji pantun dari Department of Asian Studies, Murdoch University, Perth, Australia iaitu Puan Norma Parry yang pernah mengumpul semua video-tape dan merakamkan pantun yang dijual-beli dalam siri pesta ini. Untuk ini beliau telah melawat sekolah-sekolah yang pernah menjadi Johan Pesta Pantun.

Semasa di Kuantan, Puan Norma Parry menemui kemalangan ketika turun dari tempat kediamannya di Teluk Cempedak, menyebabkan sebelah kakinya terpaksa di plaster. Saya dan isteri menghantar beliau di Lapangan Terbang Kuantan, dalam keadaan kakinya terjulur ke hadapan ketika duduk di atas kereta sorong. Saya bertanya beliau bagaimana dia mampu menguruskan begasinya nanti? Menurut beliau ada temannya dari Suruhanjaya Tinggi Australia yang akan membantu di Subang.

Tidak lama kemudian saya menerima bingkisan daripada Puan Norma (11 MacArthur Street, Cottesloe 6011 Western Australia) yang mengandungi buku-buku lukisan penduduk asli Australia, pamflet, potongan akhbar, gambar sekitar kawasan kediaman beliau; di samping menyebut begasi beliau yang mengandungi koleksi bahan pantunnya hilang semasa di Lapangan Terbang Subang. Beliau sebenarnya dalam keadaan sangat helpless pada masa di Lapangan Terbang itu. Temannya dari Suruhanjaya Tinggi Australia itu pun, katanya, tidak datang membantu beliau.

Kami tidak berhubung lagi selepas itu.

Saya dapati ada beberapa pembaca Blog ini yang datangnya dari Australia. Sekiranya sesiapa yang dapat memberitahu saya tentang keberadaan Puan Norma Parry dan dapat memberitahu saya, sangatlah saya menghargainya.

Friday, September 26, 2008

Pemberian Mentua

Asas Membina Keluarga

Antara tradisi yang diamalkan di kalangan orang Melayu zaman dahulu ialah pemberian daripada mentua kepada menantunya sebaik-baik mereka berkahwin.

Mata benda yang diberikan bukanlah merupakan sesuatu yang berharga seperti emas, intan atau berlian; tetapi cuma alatan rumah tangga yang diperlukan oleh pasangan yang baharu kahwin itu untuk kegunaan harian.

Sembilan Belas Mata Benda

Terdapat 19 bahan pemberian iaitu: ani, anak curan, belera, gayung, geluk, genak, guri, kir, lagam kekang, lémbék, pasu tapak gajah, pemacak, pemasung, perangan, periuk, rahat, sekeduk, senduk, dan sudip. Disebabkan kebanyakan bahan tersebut jarang didengari, malah ada yang mungkin tidak wujud lagi sekarang, berikut diberikan keterangan ertinya:

1 anak curan: sejenis kawah kecil tetapi lebih besar daripada kuali besar.
2 ani: alat tempat menggantung benang tenunan.
3 beléra: sepotong kayu berbentuk seakan-akan pedang yang digunakan untuk memadat dan menggerakkan benang tenunan supaya kain yang ditenun menjadi kemas.
4 gayung: pencedok air daripada tempurung yang diberi bergandar panjang.
5 geluk: tempat air yang diperbuat daripada tempurung kelapa tua atau tanah liat yang diberi bertali.
6 genak: bekas daripada tanah liat yang saiz mulutnya luas, digunakan sebagai tempat menyimpan beras.
7 guri: bekas daripada tanah liat bermulut kecil biasanya digunakan sebagai tempat menyimpan garam.
8 kir: salah satu alat menenun kain.
9 lagam kekang: alat daripada kayu tempat memotong daging, ikan dan sebagainya.
10 lémbék: tilam atau leca iaitu tempat alas tidur daripada kain bersarung di dalamnya diisi kapas atau kekabu.
11 pasu tapak gajah: sejenis pasu besar diperbuat daripada tanah liat biasanya berwarna hijau di bahagian luarnya.
12 pemacak: sejenis alat daripada kayu atau buluh yang ditajamkan pada bahagian hujungnya untuk dicucuk daging dan dibakar di atas bara api.
13 pemasung: kayu yang diguna untuk menahankan kain tenunan.
14 perangan: alat daripada buluh yang dibelah di tengah-tengahnya untuk memanggang ikan atau ayam.
15 periuk: bekas daripada tembaga untuk menanak nasi.
16 rahat: alat memintal benang atau sutera dalam proses menenun kain.
17 sekeduk: bekas daripada tembaga yang seakan-akan cepu, di dalamnya dibubuh kapas dan dialas pula dengan kain untuk dijadikan tempat menyimpan tekoh air panas supaya airnya jangan lekas sejuk.
18 senduk: alat pencedok nasi di dalam periuk atau mencedok lauk di dalam belanga.
19 sudip: alat daripada kayu panjangnya seakan-akan senduk digunakan bagi mencedok nasi di dalam periuk tembaga.

Falsafah daripada pemberian itu ialah memudahkan penyediaan makan pakai dan rumah tangga anak dan menantu mereka dalam memulakan penghidupan baharu. Dalam konsep tasawwur atau world-view masyarakat Jawa, perkara ini mereka sebut sandang-pangan-papan. Secara menyeluruhnya bolehlah dikatakan bahawa pemberian mentua merupakan langkah awal menyediakan anak dan menantu mereka supaya memulakan hidup berdikari.

Dan inilah juga yang boleh dianggap sebagai rempah ratus asas ke arah membina kerukunan sebuah rumah tangga.

Thursday, September 25, 2008

Singgang Ikan Tiram

Memanfaatkan Barangan Murah

Sejarah nilai setiap jenis ikan amat menarik jika dikaji. Lima puluh tahun dulu ikan ubi (Ophicephalus lucius) tergolong ikan yang tidak berharga. Apakah punca yang menjadikan ikan ini boleh mencapai harga RM23.00 sekilo sekarang masih menjadi tanda tanya. Malah, dengan harga sebegitu pun, peminat ikan ubi sukar untuk dapat membelinya di mana-mana, kecuali mungkin di Pasar Tani atau Pekan Sehari yang terletak di tebing sungai Pahang seperti Pekan, Lubuk Paku, Chenor, Kuala Semantan (Temerloh), Jerantut, Benta, Dong, Lipis dan lain-lain.

Demikianlah yang terjadi pada ikan tapah (Willago otu), baung (Mystus nemurus), tembelian atau temoleh (Probarbus jullieni), malah patin (Pangasius spp) dan tengalan (Puntius bulu). Harganya mencuat naik hingga tak terbelikan. Anehnya belum pernah pula kedengaran ada ikan yang suatu masa dahulu mahal dan disukai ramai kini bertukar harganya menjadi murah dan dibiarkan berlonggok di pasar tanpa sesiapa pun membelinya. Pelik, kan?

Singgang Ikan Tiram

Ikan tiram (Clupea kanagurta) dari dahulu hingga kini masih tergolong jenis ikan yang murah harganya. Jenis ikan laut ini bersebab maka harganya murah dan kurang sangat diminati. Sebab utamanya ialah ikan ini sangat banyak tulangnya. Dalam pengamatan saya, 60% daripada jisim ikan ini terdiri daripada tulang. Jadi ibu bapa yang ramai anak kecil mengelakkan daripada membeli ikan ini kerana sukar dimakan oleh anak-anak mereka. Di pasar, harga ikan ini masih dalam lingkungan RM1.50 ke bawah. Sekiranya kita pergi ke pantai semasa nelayan menarik pukat, ringankanlah tangan sedikit untuk menolong menarik pukat, pasti ikan tiram mungkin tak payah dibeli – mereka beri percuma sahaja.

Ikan tiram termasuk kelompok ikan terubuk (Clupea macrura); tetapi saiznya jauh lebih kecil berbanding terubuk. Lihat sahaja persamaan nama kumpulan saintifiknya Clupea itu.

Hanya ada satu cara memasak ikan tiram supaya menjadi masakan yang sedap; yang biasa diamalkan oleh penduduk pantai timur, iaitu dengan menyinggang ikan tersebut. Masakan singgang boleh dibuat oleh sesiapa sahaja, walaupun seseorang yang sepanjang hidupnya tidak pernah menjenguk dapur. Bahan resepinya cukup sederhana: ikan tiram, air, garam, asam keping dan lengkuas. Yang lengkuas itu opsyen, tak ada pun tidak mengapa.

‘Campakkanlah’ bahan-bahan itu ke dalam belanga, dan panaskan hingga mendidih untuk beberapa ketika. Masaklah singgang itu, maknanya. Setelah itu singgang ikan tiram boleh dimakan. Regunya yang paling ampuh ialah nasi panas. Tak ada lauk lain pun tak mengapa; kalau ada lada cepeli (lada burung, setengah orang kata) patah-patahkan begitu sahaja, tak payah pakai lesung batu kerana datuk-nenek kita dulu cuma pakai sengkalan sahaja, dan gaul dengan kuah singgang, terus plup!

Semasa menyiang, sisik ikan tiram jangan ditanggalkan daripada badannya, kerana di bawah sisik itulah terletaknya lemak dan perisa ikan tersebut. Oh, ya! Disebabkan bahagian perut ikan tersebut ada tulang yang keras, maka belahan perutnya hendaklah dibuat di bahagian sisi. Terdapat pula bahan hitam di bahagian dalam perutnya. Ini bukanlah kotoran, tapi masih (barangkali) perisanya dalam bentuk lemak. Bahagian hitam ini jika hendak dibuang sekalipun agak sukar. Jadi tak payahlah dibuangkan.

Singgang ikan tiram sedap dimakan semasa sahur. Janganlah ada lauk lain, apatah lagi lauk-lauk mahal dan berprestij seperti kurma kambing, ayam percik, opor daging, kari ayam kampung, masakan daging merah, goreng kailan ikan masin, kerabu mangga, tomyam campur tak perlu itu semua. Makanlah nasi dengan singgang tiram sahaja; lepas itu kalau suka minumlah kopi cap gajah; lebihkan sedikit gulanya supaya bertambah kick. Puasa hari esok pun insya Allah lebih nyaman rasanya, dan mudah-mudah menjadi puasa yang dimasukkan ke dalam kategori ketiga.

Dengan menu begini, saya berani mencongak bahawa belanja sahur sebuah rumah untuk dua orang suami isteri (yang bersara) tidak akan mencapai RM2.50 sen. Sesuai sangatlah dengan situasi ekonomi dan politik negara kita zaman sekarang. Cakap-cakap orang luar-tepi yang nak dirikan kerajaan baru itu-ini jangan didengari sangat, nanti beralih pula konsentrasi menikmati makanan istimewa sahur; dan yang paling mencemaskan, takut-takut lekat tulang pula.

Selamat mencuba!

Wednesday, September 24, 2008

Tahun Pertama di UM

Pengalanan Baru

Tahun pertama menjadi mahasiswa di Universiti Malaya memang banyak benar memberikan pengalaman baru kepada saya. Pertama peluang bergaul dengan ‘budak-budak’ yang baru menyelesaikan pengajian menengah baik melalui aliran Melayu mahupun Inggeris. Keduanya menyesuaikan diri dengan alam akademik yang belum pernah dirasai.

Rata-rata kumpulan mahasiswa yang dikategorikan sebagai fresh from school itu merupakan remaja yang baru lepas daripada kawalan total ibu bapa, terutamanya mereka yang dari luar bandar. Mereka ini semasa menghadiri kelas tutorial agak kurang menyerlah. Mungkin ada rasa segan kepada golongan veteran.

Mereka kebanyakannya periang dan merekalah yang kerap menghadiri majlis ball di Dewan Tunku Canselor hampir setiap malam hujung minggu. Pelbagai jenis ball diadakan – yang entah apa-apa namanya. Ada yang diadakan atas nama mengutip derma, ada yang dijadikan aktiviti khusus dan sebagainya. Majlis begini juga diadakan di Kolej Kediaman yang pada 1969 hanya ada lima buah, iaitu Kolej Pertama, Kolej Kedua, Kolej Ketiga, Kolej Keempat dan Kolej Kelima. Ada sebuah lagi kolej tetapi tidak dinamakan kolej keenam, sebaliknya dinamakan Kolej Klinikal yang khas untuk mahasiswa Fakulti Perubatan.

Mereka yang tidak mendiami sebarang kolej ada pula organisasinya, iaitu Non-Hostelites Organisation (NHO). NHO juga turut mengadakan ball, biasanya meminjam DTC.

Saya tidak ingat lagi secara persis bila masanya UM memulakan sesi akademiknya setelah ditutup akibat Peristiwa 13 Mei. Tapi, mungkin dua minggu setelah 13 Mei. Pada masa itu perintah berkurung telah dikendurkan secara berperingkat.

Di Kampus kami tidak mengingati lagi peristiwa hitam itu. Di DTC terdapat senarai panjang nama mereka yang dikehendaki menelefon balik ke rumah masing-masing kerana sepanjang peristiwa 13 Mei mereka tidak dapat dihubungi. Nama saya juga terdapat di dalam senarai itu. Tetapi, mana caranya saya hendak menelefon kerana rumah saya tiada telefon. Seluruh kampung saya tiada talian telefon. Lagi pun saya tidak tahu siapa yang menelefon saya. Baik saya diamkan sahaja.

Bertemu Kawan Lama

Kuliah telah bermula dan kami tenggelam dalam aktiviti akademik. Saya menemui semula kawan-kawan semasa di SITC dulu dan kami secara tidak sedar membentuk satu kelompok yang tersendiri dan unik. Bertemu semula dengan Abdul Rahman Abas, Abdul Aziz Abadan, Abdul Latif Ali, Abdul Wahab Ali, Abdul Wahid Abdul Rahman, Abdullah Awang, Ahmad Abdul Rahman, Ahmad Janor, Amin Abdul Rahman, Baharaldin Samian, Baharuddin Awang, Hamdan Abdul Rahman, Haron Musa, Harun Hassan, Harun Rejab, Hashim Mohammad, Ibrahim Yahaya, Ismail Haji Ali, Ismail Ibrahim, Ismail Idris, Karim Man, Khalid Ahmad, Md. Jun Jais, Mohd. Hanafiah Ishak, Mohd. Yusof Ahmad, Mokhtar Shukor, Muhammad Maarof, Omar Malek, Ramli Mohd Noh, Saiyed Ahmad Saiyed Yassin, Salleh Akib, Talkah Abdul Rahman, Yahaya Othman, Yahya Othman @ Man, Yusof Abdul Rahman, Yusof Ahmad, Zaidin Mahmud, Zainal Abidin Mohd. Noor, Zakaria Puteh memang mampu membina beberapa buah kisah yang memelikkan!

Pada minggu pertama selepas pendaftaran kami mengenali beberapa kumpulan yang kadang-kadang menamakan diri mereka sebagai sindiket nota. Tugas anggota sindiket ini ialah menjual nota dalam beberapa bentuk: ada menjual esei tutorial yang kononnya mendapat markah ‘A’ yang siap berjilid tidak begitu rapi; ada pula (dan ini yang banyaknya) menjual nota kuliah yang kononnya disalin in verbatin semasa pensyarah menyampaikan syarahan; ada pula yang menjual tesis BA dan MA yang tidak dijilid; malah ada yang menjual soalan objektif yang entah dari mana datangnya.

Sebagai orang baru, ramai yang terpengaruh dengan hal nota-menota ini; terutama bagi mata pelajaran ekonomi, linguistik, bahasa Arab, sejarah – malah apa sahaja yang disogokkan.

Khabarnya, mereka yang terlibat dalam penyediaan dan penjualan nota ini boleh tahan juga lumayan habuannya. Khabarnya juga, ada orang dalam yang boleh diminta mencari nota pensyarah. Modus operandinya amat sederhana. Teman kita ini biasanya bertugas menggelek nota menggunakan mesin saiklostail dan tidaklah salah bagi beliau untuk menyimpan satu dua salinan bagi kegunaannya. Salinan inilah kemudiannya tembus kepada ahli sindiket untuk dibuat beratus-ratus salinan lain.

Demonstrasi

Selepas beberapa bulan kegiatan yang berhujungkan kepada aktiviti akademik ini menjadi taga. Kini timbul pula kegiatan baru yang memungkinkan dewan kuliah dan bilik tutorial ditinggalkan. Fenomena baru ini memang bermula dari kegiatan di atas sebuah pentas batu di sebelah kiri pintu besar Perpuatskaan. Kegiatan di atas batu itu mulanya diadakan pada pagi Sabtu, tetapi semakin lama semakin kerap diadakan: bukan sahaja pagi, malah petang pun diadakan juga.

Sekiranya ada orang berpidato di atas pentas batu itu, kalau menarik wacananya, mereka yang berhajat untuk mencari buku atau membaca di Perpustakaan terlekat di situ; begitu juga mereka yang keluar dari Perpustakaan untuk menghadiri kuliah atau tutorial turut terpacak di situ juga. Maka ramailah khalayak yang mendengar cong pemidato.

Tokoh yang kerap dinanti-nanti kerana ucapan yang penuh retorika pada 1969 dan 1970 itu tentulah tidak lain daripada Sdr Anwar Ibrahim. Ada tokoh lain seperti Sdr Syed Hamid Ali (Kelab Sosialis Universiti Malaya) dan Jai Mohan, Abu Salihu, Nordin Razak, Karim Man, Megat Junid Ayob, Zainal Abidin Yusof, Choong Lai Huat (UMSU) yang kerap berpidato di Speakers' Corner; tetapi ketrampilan mereka memang tidak boleh menandingi tokoh yang seorang lagi itu.

Untuk berpidato di Speakers’ Corner (demikian pentas batu itu diberi nama khasnya) tak perlu banyak alatan diperlukan. Sebuah hailer biasa sudah memadai. Tak perlu ada alat bantu seperti gambar, carta, slaid atau apa sahaja. Setiap hujah yang diberikan senang sangat dipercayai atau tidak dipercayai. Itulah yang dikatakan cong itu tadi. Dan, yang penting, tidak ada orang menghalang anda untuk berpidato. Anda boleh berpidato sehingga anda seorang sahaja yang tinggal di situ... mendengar pidato anda sendiri!

Kawasan itu biasanya teduh daripada panas matahari kerana terdapat beberapa batang pohon ketapang yang bertindak sebagai kanopi di sekelilingnya; tetapi memang tidak boleh terselamat daripada serangan hujan.

Isu yang selalu diperkatakan pada masa itu kebanyakannya isu dalaman, yang bermula daripada persoalan dasar concurrent bilingualisme yang diamalkan oleh UM di bawah tadbiran Pak Ungku Aziz, hinggalah pelaksanaan bahasa Melayu pada papan tanda di sekitar Universiti. Isu kedua ini berakhir dengan tindakan mengecat papan tanda berbahasa Inggeris dengan cat warna hitam. Ini adalah tindakan PBMUM dan sekali lagi, dikepalai oleh Sdr Anwar Ibrahim juga.

Isu ini ditanggap oleh pentadbiran UM dengan sewajarnya. Tidak lama mereka mengambil masa menukar semua papan tanda nama ke bahasa Melayu.

Penyertaan khalayak kampus dalam beberapa demonstrasi agak sederhana. Saya pernah melihat dalam satu demonstrasi sekeliling kampus yang Profesor Dr. Syed Muhammad Naquib al-Attas turut serta. Basah baju (dan janggut) Dekan Fakulti Sastera itu berjalan kaki di lingkaran jalan raya yang panjangnya kira-kira empat batu itu.

Kemudian timbullah isu yang lebih berat. Kali ini Sdr Anwar Ibrahim mengepalai kempen anti-Tunku Abdul Rahman Putra menggunakan PBMUM sebagai wahana perjuangannya. Antara tokoh yang dijemput memberikan ceramah di Kampus UM ialah Dr. Mahathir Mohamad yang pada masa itu dilucut keahliannhya daripada UMNO. Surat Dr. Mahathir kepada Tunku yang disebarkan secara bebas di kalangan mahasiswa sempat beredar beberapa hari sebelum kerajaan mengharamkan pengedarannya. Tetapi sebenarnya isi surat itu telah diketahui oleh semua orang. Ceramah Dr. Mahathir di Dewan Kuliah Fakulti Pendidikan padat dihadiri oleh entah sesiapa - maksudnya bukan hanya mahasiswa - sehingga dewan itu terpaksa dibuka dinding penghadangnya untuk memuatkan sekali ganda lagi pendengar.

Berita dari kampus UM kerap keluar di Far Eastern Economic Review (FEEC) berbanding akhbar dan majalah di tanah air. Bolehlah diagak mengapa jadi begitu. Sidang akhbar cukup hanya dibuat di atas rumput di tepi longkang depan Art Concourse. Tak payah pakai bilik dan mikrofon segala. Semuanya pemberita luar negara.

Memorandum meminta Tunku berundur dari jawatan PM turut disampaikan oleh PBMUM yang sekali lagi dikepalai Sdr Anwar Ibrahim melalui pegawai khas JPM pada masa itu Dato’ Abdullah Ahmad. Kalau tidak salah ingatan saya, Encik Abdullah Ahmad Badawi juga berkhidmat di jabatan yang sama kerana tidak lama kemudian beliau dilantik sebagai Setiausana MAGERAN, di bawah Tun Abdul Razak sebagai Pengarahnya.

Encik Abdullah Ahmad Badawi pernah menjadi Tutor Bahasa Arab kami. Saya meminati cara pengajaran beliau yang lemah lembut, dan kalau sepatah dua saya mengetahui bahasa Arab sekarang, itu adalah hasil daripada pengajaran beliau, bersama-sama Pensyarah mata pelajaran bahasa Arab yang sangat berketrampilan iaitu Dr. Ismail Nawab, seorang orang Arab dari Makkah yang terlatih di Inggeris.