Sunday, August 3, 2008

Bermulalah Kerjaya Keguruan

Sekolah di dalam Kem

Sekolah Kebangsaan Padang Tengku, sekolah saya ditempatkan untuk menjalani latihan mengajar setelah selesai menjalani kursus di SITC itu adalah sekolah baru. Sebelum sekolah ini ada, murid-murid dari Padang Tengku bersekolah di Sekolah Melayu Gua, kira-kira tiga batu dari situ. Perjalanan ke Gua pada masa itu bukannya senang seperti sekarang: susup-sasap melalui denai dengan binatang buas tak tahu di mana menyoroknya.

Di sebelah utara Padang Tengku ada anak Sungai Jelai. Di seberang sana terdapat sebuah ladang yang menanam getah perca bernama Ladang Selbourne. Pada masa itu, semua orang memanggil ladang tersebut sebagai Selbourne Plantation atau dengan loghat Lepeh: Se-le-bon. Di situ ada sebuah sekolah rendah Tamil yang khas untuk anak-anak pekerja ladang. Ramai juga pekerja ladang tersebut terdiri daripada orang Jawa, malah ada di antara mereka yang datang terus dari Tanah Jawa pada zaman pemerintahan Jepun dulu. Setelah perusahaan getah perca merosot, ramai antara masyarakat Jawa di sini mencari kehidupan baru; kebanyakan mereka turun ke Raub, membuka tanah pertanian di Sungai Pasu dan menetap di sekitar Dong, Gali, Sega, Gesing, Ulu Atok dan sekitarnya. Ramai antara anak-anak mereka terdidik dengan baik hingga ke peringkat universiti. Mereka berbaur pula dengan masyarakat Melayu tempatan dan suku kaum Rawa yang memang sedia ramai menetap di Temau, Ajai, Gali, Durian Sebatang dan Dong dengan tokoh gagah berani mereka seperti Panglima Tok Perak, Tun Sabah, Sutan Bangkulu sejak Perang Kelang (Perang Selangor) dan Perang Saudara Pahang dahulu. [Ada sebuah buku yang lengkap tentang orang-orang Rawa di Raub, iaitu Bingkasan Sejarah Raub, Rao dan Pagaruyung: Pertaliannya dengan Raub dan Pahang, tulisan Zaffuan Haji Manap terbitan Anjung Media Resources (2007)].

Getah perca khabarnya dibuat campuran pada kertas untuk membuat helaian dijadikan wang dan dokumen keselamatan bermutu tinggi yang lain. Saya rasa tentulah ada kegunaan lain getah itu, tidaklah sekadar menjadi campuran kertas untuk dibuat wang.

Dari Kuala Lipis ke Padang Tengku dalam tahun 1960-an dan sebelumnya hanyalah melalui kereta api. Akhir tahun 1960-an itu telah terbina jalan raya dari simpang Sekolah Rendah Clifford melalui Relong ke Padang Tengku. Jalan inilah kemudiannya menjadi asas jalan raya Lipis-Gua Musang yang ada sekarang.

Padang Tengku yang saya kunjungi pada 1960 itu memang kawasan terpencil betul. Dalam zaman darurat dahulu khabarnya kawasan ini merupakan kawasan hitam. Itulah sebab, barangkali, kerajaan Inggeris dahulu membina sebuah kem bagi melatih anggota SC dengan latihan ketenteraan yang sangat asas. Kebanyakan anggpta SC ditempatkan di ladang-ladang getah kepunyaan Inggeris untuk menjaga keselamatan pengurus ladang, para pekerja dan ladang itu sendiri daripada diganggu oleh gerombolan komunis. SC juga kerap bertugas di pusat-pusat pemeriksaan di jalan raya yang strategik.

Di seluruh kawasan Padang Tengku tidak ada pengangkutan awam, kecuali sebuah bas terpakai, tanpa road-tax, malah tanpa nombor pendaftaran bagi mengangkut orang ramai dari Padang Tengku ke Ladang Selbourne. Terdapat sebuah feri (orang kampung memanggilnya bouya) untuk menyeberangkan bas (dan kenderaan lain serta orang ramai) menyeberangi anak Sungai Jelai di situ. Pemandu bas ini pun nampaknya sama tua dengan basnya. Kami panggil beliau dengan panggilan akrab: Pakcik Jali. Tambang bas Pakcik Jali dari Padang Tengku ke Selbourne cuma 10 sen sahaja. Tidak ada tiket, pakai saling mempercayai sahaja. Khidmat yang diberikan oleh Pakcik Jali lebih merupakan khidmat sosial. Apalah untungnya dengan hanya 10 sen seorang sebagai tambang.

Cikgu Zakaria Derani

Sekolah Kebangsaan Padang Tengku dibuka oleh Cikgu Zakaria Derani. Beliau seorang guru yang menerima latihan di SITC. Saya dapati beliau sangat terpengaruh dengan Indonesia, kerana beliau banyak membaca buku Indonesia, tentunya sejak di SITC lagi. Sebagai buktinya: beliau menggunakan istilah arsip menggantikan fail. Beliau mempunyai Kamus Indonesia-Inggeris untuk dijadikan sebagai rujukan. Percakapannya banyak diselit dengan istilah khas seperti bung, enteng, bisa, beres... Ada satu kecacatan beliau: beliau menyebut fonem /r/ macam sebutan orang Perancis, orang Sarawak dan orang utara Semenanjung. Kerana itu jugalah beliau mengelak daripada mengimamkan solat, kerana tidak fasih, katanya.

Sebagai seorang guru besar, Cikgu Zakaria menerima tanggungjawab penuh mendidik anak-anak murid yang di bawah tadbirannya. Sejak awal-awal lagi beliau mengajar Darjah Satu. Tak pernah darjah paling asas ini diberikannya kepada orang lain, meskipun isterinya sendiri, Cikgu Wan Safiah.

Beliau memastikan, sebelum tamat persekolahan tahun pertama semua muridnya boleh membaca, menulis dan mengira. Carilah murid di Darjah Dua, Darjah Tiga dan Darjah Empat yang buta huruf dan buta angka: tiada. Disebabkan sekolahnya baru dibuka selama empat tahun, hanya setakat Darjah Empat sahajalah yang ada.

Kami guru-guru sangat senang mengajar kerana murid-murid kami tidak ada masalah pembacaan, penulisan dan pengiraan. Inilah istimewanya sekolah di bawah tangan Cikgu Zakaria Derani.

Beliau sangat tegas, tetapi kadang-kadang boleh juga dibawa bergurau. Khabarnya sekolah beliau pernah dijadikan tempat ’buangan’ guru bermasalah, terutamanya dari Pahang Timur. Salah seorang guru yang diarahkan oleh Pejabat Pelajaran bertukar ke sekolah Cikgu Zakaria ialah Cikgu Othman Haji Ahmad, dari Pekan. Kebetulan pula kedua-duanya pernah sama-sama belajar di SITC. Disebabkan bertemu ’buku dengan ruas’ itu, pernahlah berlaku suasana tegang di antara mereka, tetapi untung tidak sempat membuahkan perkelahian. Cikgu Othman akhirnya dipindahkan ke sekolah lain.

Cikgu Zakaria berjaya menjadikan sekolahnya sebagai contoh terutama dalam bidang kebersihan kawasan, keindahan lanskap, keutuhan akhlak murid-murid, ketrampilan akademik dan keunggulan kokurikulum.

Malam Pasar Ria

Cikgu Zakaria Derani mempunyai perancangannya sendiri untuk meningkatkan prestasi sekolah beliau. Keberadaan kami bertiga di sekolah itu memang sangat beliau harapkan. Salah satu aktiviti yang sedang dirancangnya ialah mengadakan persembahan atau yang pada masa itu biasa dipanggil 'konsert'. Matlamat mengadakannya amat sederhana, iaitu mengumpul dana untuk membeli sebuah tabir bagi digunakan dalam setiap kali persembahan sekolah.

Saya sendiri berasa macam pelik dan tidak pasti sedikit: mahal benarkan sebidang tabir sehingga terpaksa mengadakan persembahan mengutip derma untuk membelinya? Saya diminta menyediakan persembahan cerita atau drama, di samping persembahan tambahan berbentuk tarian, nyanyian, dan lokanan oleh pelajar dikelolakan secara bantu-membantu. Kumpulan pemuda pemudi Padang Tengku juga bersetuju membantu menjayakan Malam Pasar Ria (nama yang dipilih oleh Cikgu Zakaria Derani sendiri) itu.

Latihan dimulakan. Saya tidak berapa ingat judul cerita yang dipentaskan. Tapi, buat pertama kalinya, pelakon saya paksakan menghafal skrip, tidak pakai sebut sesuka hati apa yang hendak dicakap, sebagaimana yang biasa dilakukan dalam persembahan sekolah pada zaman itu. Pada masa itulah saya mulai berkenalan dengan pemuda-pemudi Padang Tengku. Mereka sangat bekerjasama dan mesra dengan kami. Kumpulan pemuda terdiri daripada belia-belia kampung dan pelajar Sekolah Menengan Agama Padang Tengku. Pemimpin mereka ialah Tengku Zulkarnain Tengku Putera, yang boleh berbahasa Inggeris dan agak terpelajar, tetapi khabarnya malas bersekolah dan terus berhenti sekolah setelah bapanya meninggal dunia. Golongan wanita pula kebanyakannya terdiri daripada pelajar-pelajar Padang Tengku dan Selbourne yang bersekolah Sekolah Menengah Clifford.

Malam Pasar Ria memerlukan alat siar raya, terutama pembesar suara. Sekolah tidak mempunyainya. Wang untuk membelinya pun kami tidak punya. Satu-satunya cara mendapatkan alat siar raya ialah dengan meminjam daripada rumah Tok Raja, di Bukit Betong. Untuk ke Bukit Betong dari Padang Tengku tentulah hanya melalui kereta api.

Cikgu Zakaria menguruskan hal peminjaman. Kami terpaksa mengambil sendiri dari rumah Tok Raja. Cikgu Zakaria mencadangkan beberapa orang daripada kami pergi ke Bukit Betong menaiki kereta api pagi dan balik berjalan kaki mengikut jalan kereta api, kerana kalau menunggu kerera api ke Padang Tengku semula, lamalah pula kena duduk di Bukit Betong.

Akhirnya, Cikgu Zakaria, Mat Zin, Zakaria, saya, Umar Mokhtar dan Tengku Zulkarnain bertolak ke Bukit Betong dengan kereta api pagi. Kami tiba agak awal dan kami menyempatkan diri melihat-lihat Pekan Sahari Bukit Betong. Di Pekan Sahari itulah buat pertama kalinya saya melihat ikan baung kenerak yang cukup besar. Ikan baung ini rupanya agak aneh, dengan kulit yang bercoreng seakan-akan pakaian celoreng askar. Khabarnya ikan ini sangat sedap jika dibuat gulai asam tempoyak dan dicampur dengan buah mentimun masak atau dimasak dengan asam rom. (Saya diberitahu tentang menu istimewa ini oleh seorang teman, Cikgu Wan Mustama Wan Hayat semasa beliau menjadi Pengetua di Sekolah Menengah Kebangsaan Sri Jengka. Cikgu Wan berjanji hendak mengajak saya makan di rumahnya kalau dia menggulai baung kenerak dengan timun masak, tetapi sehingga kini hasrat itu belum tertunai, dan Cikgu Wan mungkin sudah tidak mengingatinya lagi. Saya harap Sdr Haji Sobirin Haji Duli dapat mengingatkan beliau, kerana salah seorang yang membaca Blog saya ini ialah Haji Sobirin).

Selepas itu kami terus pergi ke rumah Tok Raja mengambil peralatan untuk dipinjam. Dengan horn speaker, bateri, amplifier dan segulung wayar, dan beberapa alat lain, kami. pun menapak ikut jalan kereta api balik ke Padang Tengku.

Barulah saya berpengalaman berjalan di atas landasan kereta api. Rupanya tidaklah semudah sebagaimana berjalan di jalan denai di kampung. Pertama, kita tidak boleh berjalan di atas landasan besi keluli itu kerana besar kemungkinan kaki tergelecok ke bawah yang mengakibatkan terseliuh malah mungkin terkehel buku lali, kalaupun tidak patah. Kedua, kita juga tidak dapat memijak selipar (kayu) alas landasan kerana susunan jarak kayu itu tidak sesuai dengan langkah biasa. Akibatnya, selepas dua tiga langkah, langkahan seterusnya tidak dapat mengenai selipar, malah terpaksa memijak batu kerikil yang banyak. Ini sangat menyakitkan kaki dan mencemaskan hati.

Kesukaran tersebut ditambah pula peritnya panahan cahaya matahari khatulistiwa pada waktu tengah hari! Akhirnya, kami sampai juga ke rumah kira-kira jam 3.30 petang. Guru Besar kami memberitahu badannya terasa hendak demam kerana pehanya melecet (beliau seorang yang gemuk dan kedua-dua pehanya bergesel sepanjang perjalanan tadi).

Impressions saya pertama kali melihat baung kenerak di Pekan Sahari Bukit Betong itu amat mengerikan. Malam itu saya bermimpi hingga mengigau melihat ikan pelik itu sekali lagi. Masya Allah! Nasib baiklah Zakaria Puteh mengejutkan saya daripada mimpi ngeri itu.

Malam Pasar Ria itu pun berlangsunglah. Saya tidak berapa ingat lagi rincinya peristiwa itu. Wang kutipan tidaklah menggalakkan sangat, tetapi aktiviti itu sangat mendapat sambutan. Tidak lama selepas itu saya melihat Cikgu Zakaria Derani membentangkan sehelai tabir besar berwarna merah jambu untuk ditulis di atasnya dengan cat berwarna biru tua: JASA PASAR RIA. Hasrat beliau untuk membeli sehelai tirai atau tabir telah tercapai. Tulisan yang tercatat di atas tabir itu merakamkan jasa beliau menelurkan idea yang kami semua sokong. Demikianlah sukarnya untuk mendapatkan hanya sehelai tabir kegunaan sekolah pada masa itu.

Pada tahun itu juga sekolah kami merancang mengadakan sukan tahunan. Disebabkan padang sekolah amat kecil, sukan kami akan diadakan di Padang Kereta Api, yang terletak di antara Stesyen Kereta Api dengan Sekolah Menengah Agama Padang Tengku. Untuk sampai ke padang itu terpaksalah melintasi jalan kereta api yang tidak berpagar. Ini tidak membimbangkan kerana semua murid sekolah ini telah biasa benar dengan soal lintas-melintasi jalan kereta api, di samping hafal pula waktu bila masanya kereta api ada dan waktu bila pula stesyen lengang.

9 comments:

MARSLI N.O said...

Pak Yaakub Isa: Kisah-kisahnya menarik untuk sebuah autobiografi seorang pendidik. Mungkin manuskripnya boleh disegerakan ke DBP atau penerbit lain yang wajar.

Salam.

YAAKUB ISA said...

Sdr Marsli N.O.
(Isteri saya memanggil Sdr MARSLINO. Saya dah cuba betulkan, tapi dia lebih selesa menyebutnya begitu! Terima kasih di atas sambutan. Rasanya masih belum matang lagi. Biarlah dalam keadaan begini dulu.

birin said...

Dato'
Tuan Haji Zakaria Derani telah kembali ke Rahmatullah pada hari Isnin yang lalu (25 Ogos 2008) Moga Allah cucuri Rahmat ke atas rohnya. Amin

birin said...

Dato'
Saya dah hantar sms kpd Dato' Wan Tama...

YAAKUB ISA said...

Terima kasih Birin.

Saya ada membuat artikel khas untuk mengenang Allahyarham.

Muizz M said...

Terbaca tentang ambil barang dari rumah Tok Raja dan kisah singgah ke pekan sahari.

Saya cucu Tok Raja, macam teringin nak bertanya lebih tentang keadaan waktu itu. Macam mana suasananya, almaklum tak sempat berbual dgn arwah datuk yang pergi tahun 1991. dpt dgr cerita daripada org lain pun dh cukup menarik :)

YAAKUB ISA said...

Moeh,
Maaf banyak-banyak kerana terlambat membaca komen anda dan dengan itu terlambat pula menjawabnya. Arwah Tok Raja memang seorang yang dihormati dan senang bergaul. Setahu saya beliau ada kemahiran sebagai penembak tepat (sharp-shooter)yang mengikut fahaman orang masa itu beliau ada 'ilmu penunang'. Masa itu hanya di rumah beliau yang ada amplifier, loudspeaker dll pakai bateri. Beliau pun mudah meminjamkan benda-benda itu untuk kerja-kerja kebajikan. Semoga Allah SWT merahmati rohnya. Amin.

Muizz M said...

Tiba-tiba rasa hendak lawat, rupanya komen juga baru saja diberikan.

Wah, menariknya penembak tepat :) Terima kasih kerana berkongsi. Dahulu di hadapan kawasan kaki bukit seberang hentian keretapi Bukit Betong tu ada Pekan Rabu, sekarang tradisi itu sudah tak dirasa.

Moga rohnya dicucuri rahmat Allah. Amin.

YAAKUB ISA said...

Selamat berjumpa lagi. Di Pekan Rabu itulah saya mula-mula bertemu BAUNG KENERAK. Dan, malam berikutnya saya bermimpikan baung itu. Tentang kisah tokoh Bukit Betong itu ada beberapa laman web yang saya tak kenal siapa yang membuatnya. Kalau Sdr mahu mengunjunginya, nanti saya akan catatkan alamat nanti. Oj, ya. Dekat Taman Guru tempat saya tinggal ini ada orang Bukit Betong yang membuka rerstoran masakan Lepeh. Nama Restoran itu Sri Betong. Antara resipinya: patin masak tempoyak, gulai kuning cili api ayam kampung, sambal hitam, dan menu paginya rebus ubi colek dengan nyior + gula dll. Datanglah, nanti saya belanja...