Konvo KIPSAS Ke-8
Saya menerima undangan untuk menghadiri Majlis Konvokesyen Kolej Islam Pahang Sultan Ahmad Shah Ke-8 pada 11 Ogos 2008 bersamaan 9 Syaaban 1420 di Dewan Jubli Perak Sultan Haji Ahmad Shah. Kartu jawapan telah saya kembalikan sehari selepas diterima dengan jawapan untuk hadir berdua: saya dengan isteri.
Maknanya, telah delapan kalilah saya menghadiri Konvo KIPSAS. Saya mempunyai nilai sentimental dengan institusi ini kerana saya sendiri telah berkhidmat sebagai tenaga Pensyarah dan dilantik pula sebagai Ketua Unit Mata Pelajaran Wajib LAN selama sembilan tahun yang lalu (1998-2007). Ada beberapa orang teman lama yang pernah berkhidmat bersama-sama turut hadir (dan mereka nampaknya seperti saya juga, tidak pernah tidak hadir), iaitu Ustaz Abdul Rahim Said, Ustaz Mustafa Kamal Haudin, Haji Azahar Mohd. Ali. Dr. Leslie Foo See Jork yang pada tahun-tahun sebelum ini sentiasa hadir kali ini tidak pula saya nampak. Mestilah beliau mempunyai atur cara sendiri yang lebih penting agaknya.
Ada juga teman-teman yang pernah ’menangani’ institusi ini sebagai peneraju penting pada suatu masa dahulu, selepas bersara tidak pernah menghadiri majlis sebegini, walaupun mereka sentiasa dijemput. Antara mereka ialah Dato’ Haji Abdul Razak Abu (Presiden yang kedua), Haji Radzwan Mohd Yusof (Naib Presiden Pengurusan dan HEP), Haji Hashim Yahaya, Haji Abdul Karim Ning (Pengarah Pentadbiran), Encik Abdul Jalil bin Othman (Penolong Pengarah Pentadbiran), Puan Asmah Haji Othman (Kaunselor), Puan Rosliza Sidek (Pengarah Perpustakaan), Encik Ibrahim Mohd. Yunus bin Ismail (Penolong Pengarah Pentabran). Semua tokoh ini dikategorikan oleh mereka sendiri sebagai Eksekutif Kanan Kolej semasa mereka berkhidmat di institusi itu. Bagi saya, sikap ini bukanlah merupakan satu sikap yang terpuji. Namun, maklumlah ada juga terdengar bisikan dari kumpulan ini yang menganggap rendah segala tindakan dan pendekatan golongan establishment pengganti mereka yang kini sedang berkhidmat, sedangkan zaman mereka adalah zaman segalanya terbaik, tindakan mereka semuanya betul. Masya Allah. Di manakah barangkali letaknya ciri-ciri terpuji sebagai Eksekutif Kanan yang mereka pernah sandangi dahulu? Atau, mereka memang tidak menerima kad jemputan agaknya.
Inilah bukanlah isunya yang hendak saya tuliskan di dalam Blog ini kali ini.
Saya sangat teruja dengan suasana yang amat menyenangkan di majlis Konvo Ke-8 ini. Hiasannya sederhana dan menarik. Khabarnya mereka cuma diberikan masa tidak sampai 24 jam menyelenggaran persediaan tempat kerana Dewan Konvensyen ini digunakan untuk majlis perkahwinan pada hari sebelumnya. Barangkali pengalaman selama tujuh kali sebelumnya membuatkan anak buah Dato’ Hashim Abdul Wahab ini tahu tugas masing-masing dan urusannya senang menjadi mulus belaka.
Warna tema nampaknya biru terang atau turquois. Cantik dan menyejukkan mata memandang. Persembahan koir dan nasyid terdapat pembaharuan yang ketara berbanding kumpulan pimpinan Ustazah Safiah Abdul Razak dahulu. Ucapan Presiden tersusun kemas, meskipun beberapa struktur ayat dan frasa lama yang kedengarannya power masih digunakan sekali lagi. Alhamdulillah. Pemerian tentang program masa depan KIPSAS dari aspek perkembangan akademik dan institusi cukup meyakinkan. Tidak terdengar kata-kata retorika yang sekadar untuk menyedapkan telinga diucapkan oleh Presiden.
Beg yang diberikan sebagai tanda mata kepada setiap tetamu bukan sahaja mengandungi Jurnal al-Sirat sebagaimana tahun-tahun sebelumnya, tapi kali ini terselit juga Buku Program, Majalah Ta’lif dan Buletin Kipsas; di samping akhbar Sinar Harian terbitan hari itu dengan sisipan Advertorial Khas tentang KIPSAS. Gembira benar saya melihat Jurnal al-Sirat (yang pernah saya terajui sebanyak tujuh keluaran) masih menggunakan logo dan saiz yang sama. Jurnal ini pernah saya ikhtiarkan untuk mendapatkan penulis luar, selain daripada penulis KIPSAS sendiri. Kami menerima sumbangan daripada ahli akademik dari IPTA dan IPTS dalam negeri. Dari luar negeri kami turut menerima sumbangan daripada Universiti Hasanuddin, Makasar dan dari Selatan Thailand. Pendek kata, tradisi akademik telah berjaya dibangun melalui penerbitan ini. Masalah yang sukar dibangunkan ialah kesediaan pihak di dalam KIPSAS sendiri menulis sehingga menjadikannya sebagai suatu tradisi.
Ramai tetamu dan ibu bapa yang cukup terpesona dengan ucapan pelajar Saidah Nafisah binti Hilmi yang dinobatkan sebagai Penerima Hadiah Kecemerlangan Sultan Ahmad Shah. Ucapan Saidah – graduan dari Singapura – yang sangat tertib, beradat, beradab, menggunakan bahasa istana di tempat-tempat yang diperlukan, belum pernah saya dengari dalam majlis seumpamanya sebelum ini. Tidak sahaja itu, Saidah turut menyampaikan ucapan dalam bahasa Arab dan Inggeris dengan kepetahan dan diksi yang ’cair’ mengkagumkan.
Memanglah, akhir-akhir ini pelajar-pelajar Singapura kebanyakannya mendominasi pelajar tempatan dalam serba bidang. Mereka rajin membaca, aktif bersoal-jawab semasa kuliah dan tutorial dan menyediakan tugasan dengan baik dan tersusun serta menyerahkannya tepat pada masa yang dikehendaki. Kemahiran berbahasa Arab yang mereka terima daripada Madrasah al-Junid, Madrasah al-Sagoff jauh lebih baik berbanding pengajaran bahasa Arab sekolah-sekolah agama kerajaan negeri yang sebanyak 14 buah di Pahang ini. Kelemahan inilah barangkali menyebabkan pihak Universiti al-Azhar membatalkan MOU dengan kolej-kolej Islam seluruh negara baru-baru ini. Saya pernah bertemu graduan KIPSAS asal Singapura yang belajar di Universiti al-Azhar. Mereka masih gigih berbanding kebanyakan pelajar kita. Pada saya, inilah kesan daripada kebiasaan yang mereka perolehi daripada sistem pendidikan sekolah rendah dan menengah di negara mereka. Bagi pengurusan sekolah-sekolah menengah kerajaan negeri, janganlah banyak mencari alasan tentang kelemahan pelajar kita berbanding teman mereka dari Singapura itu. Jelaslah kaedah pengajaran dan kemudahan sekolah kita belum mencapai piawai memuaskan untuk bertanding pada peringkat yang lebih terbuka. Adakah sampai perlu pula kita menghantar guru SR dan SM kita mempelajari sesuatu ke Republik itu?
Majlis makan tengah hari juga sangat istimewa, baik dari segi menu mahupun pelaksanaannya. Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku Sultan sentiasa nampak tersenyum senang sepanjang majlis ini, meskipun terpaksa bersemayam secara berdiri lebih dua jam menyampaikan diploma dan bersalaman dengan para graduan. Tahniah.
Hubungan Silaturrahim
Saya turut bersyukur kerana Majlis Konvokesyen KIPSAS Ke-8 membolehkan saya bertemu teman-teman lama. Sebagai seorang yang telah bersara, saya jarang berpeluang menghadiri majlis seperti ini. Melalui Profesor Madya Dr. Ishak Ismail (Presiden Asian Acedemy of Management), Universiti Sains Malaysia, saya dapat menyambung silaturrahim dengan seorang teman semasa di Sekolah Melayu Laki-laki Kuantan dan dalam aktiviti Pengakap sepanjang 1954 hingga 1960-an, iaitu Tuan Haji Jauhar Mohd. Yassin.
Profesor Ishak yang mewakili USM di majlis Konvo itu memberitahu saya salah seorang pegawai USM menyebut ayahnya pernah bertugas di Kuantan. Ayah yang disebutkannya itulah Jauhar Mohd. Yassin. Sebelum menjawat jawatan sebagai Setiausaha Kerja Persekutuan Pengakap Persekutuan Tanah Melayu, beliau menjadi Guru Bahasa Inggeris yang pertama di sekolah tempat kami mengajar itu.
Setelah selesai makan tengah hari Profesor Ishak sempat menghubungi Puan Junaimah tentang cerita lama itu. Sebaik-baik saya sampai di rumah, saya menerima telefon dari Pulau Pinang, dan pemanggilnya tidak lain daripada teman lama saya, Jauhar.
Untuk mengembalikan nostalgia Sdr Jauhar, saya letakkan di sini sekeping gambar semasa kami bersama-sama di Kuantan. Sdr Jauhar tentu boleh mengecam gambarnya sendiri. Dan, Joe, sampaikan salam saya kepada Puan Hajah Fatimah Haji Othman, dengan pesan, jaga kesihatan, take care and hope to see all of you soon. Insya Allah!
No comments:
Post a Comment