Monday, August 4, 2008

Mempelajari daripada 13 Mei

Mengapa Kena Makan Nasi?

Apakah jawapan bagi soalan mudah itu? Saya mendapat kesan yang sangat jelas daripada soalan tersebut setelah terkurung di dalam rumah akibat Peristiwa 13 Mei yang berlaku di Kuala Lumpur.

Artikel ini boleh dianggap sebagai sambungan daripada artikel berjudul Peristiwa 13 Mei 1969 di dalam Blog ini.

Saya tidak akan memberikan jawapan secara terus terhadap soalan yang memjadi judul ruangan ini, tetapi saya yakin anda akan dapat menelah – malah mencipta sendiri jawapannya – setelah selesai membaca keseluruhan artikel.

14 Mei, kami masih bertenaga dengan memakan roti berlaukkan ikan sardin. Untuk minuman kami minum air berkarbonat yang pelbagai perisa, atau membancuh kordial dengan air paip. Nampaknya okey sahaja, tetapi menjelang petang rasanya semakin bertambah menjadi tidak enak.

Kami mula berapat-rapat dengan keluarga yang tinggal di sebelah kiri bilik kami. Sebenarnya, rumah teres dua tingkat itu (sama seperti rumah kami juga) didiami oleh tiga keluarga. Seorang lelaki bujang yang umurnya awal dua puluhan. Badannya agak kecil tetapi binaannya sederhana. Chua namanya. Satu keluarga lagi pasangan suami isteri dengan seorang anak perempuan. Anak perempuannya berumur sekitar dua tahun itu, namanya Carol, tetapi ibunya memanggil dengan rentak sebutan sangat kecinaan, maka jadilah nama anak perempuan montel itu seakan-akan Kelok atau Kolok. Robert, si bapa, agak ramah, tetapi bahasa Inggerisnya tersangkut-sangkut, tidak lebih baik daripada bahasa Melayunya. Tony dan keluarga yang satu lagi juga pasangan suami isteri dengan seorang anak yang nampaknya lebih memilih untuk tidak berapa bermesra dengan kami.

Chua dan Robert mempelawa kami ke rumahnya untuk mendengar lagu daripada pemain rekod yang agak besar kabinetnya. Syed Nordin, Abdullah dan saya menunaikan ajakannya. Perbualan kami biasa sahaja – dan dalam bahasa Inggeris yang bercampur-campur dengan bahasa Melayu – tentang asal dari mana, pekerjaan dan sedikit sebanyak tentang hal yang menyebabkan terkurung ini.

Nampaknya kami semuanya macam keli selubang. Bertanya dan memberi jawapan terhadap hal-hal yang tidak jelas. Jadi, kami membunuh masa dengan mendengarkan lagu Skeeter Davis dan Jim Reeves dari albumnya Here’s The Answer yang sangat indah dari segi irama dan liriknya. Lagu-lagu berirama Country and Western itu sangat menarik hati saya. Keluarga di dalam rumah itu pun nampaknya meminati lagu-lagu itu juga kerana jarang benar mereka memainkan lagu lain, walaupun mereka nampaknya mempunyai koleksi lagi Barat dan Cina yang boleh tahan juga banyaknya.

Begitu kerapnya lagu itu diulang-ulangkan, sehingga saya hampir hafal senikatanya pada petang hari ketiga berkurung itu. Lagu-lagu dalam album terbaru mereka adalah:


He'll Have to Go (Skeeter Davis, Jim Reeves, Jim Reeves); He'll Have to Go (Skeeter Davis); Last Date (Floyd Cramer, Skeeter Davis); My Last Date (With You) (Skeeter Davis); Tell Laura I Love Her (Skeeter Davis, Hugo Peretti, Ray Peterson); Tell Tommy I Miss Him (Skeeter Davis); Please Help Me, I'm Falling (Skeeter Davis, Hank Locklin); (I Can't Help You) I'm Falling Too (Skeeter Davis); I Really Don't Want to Know ( Eddy Arnold, Skeeter Davis); I Really Want You to Know (Skeeter Davis); Just One Time (Skeeter Davis, Don Gibson); I Want to See You Too (Just One Time) (Skeeter Davis) dan beberapa lagu lain.


Saya mempunyai sebuah perakam suara open reel jenama Sanyo dan ada beberapa tape kosong. Saya bertanyakan Chua sama ada dia boleh merakamkan semula lagu-lagu ke dalam tape saya, beliau menyanggupinya. Dan, pada malam itu kami boleh menikmati lagu-lagu tersebut tanpa berkunjung ke rumah jiran sebelah itu. Tapi lagu yang dipasang di rumah mereka masih boleh kami dengari dengan jelas.

Tetamu yang tidak disangka

Hari ketiga perintah berkurung, pada sebelah malamnya kira-kira pukul 2.00 malam kami menerima tetamu yang tidak disangka-sangka. Beliau ialah Cikgu Mohd. Ali Sharif bekas guru saya yang sama-sama mengajar di Sekolah Melayu Laki-laki Kuantan. Pada masa itu beliau menjadi Timbalan Menteri Pertanian dalam kabinet Tun Abdul Razak. Beliau bersusah payah mencari tempat tinggal kami kerana katanya, untuk mempastikan budak-budak Pekan yang terperangkap di PJ dan KL itu selamat. Ini disebabkan beliau menerima banyak panggilan telefon dari Pekan dan Kuantan bertanyakan keselamatan kami. Antaranya ialah Abang Othman, malah Kakak Ramlah turut meminta Cikgu Ali mencari saya, melelui Cikgu Abu Bakar Shariff (adik Cikgu Ali yang juga cikgu saya masa di Ganchong). Beliau juga katanya diarah oleh Tun Razak melihat kami kerana kononnya ramai orang Pekan menelefon Tun bertanyakan hal kami! Wah, ini kes cemas nampaknya, hingga sampai ke pengetahuan TPM Malaysia pula. Beliau hanya tercegat di luar pintu, diiringi beberapa orang polis (barangkali) dan berpesan dengan saya, suruh tengok dan jaga diri kawan-kawan lain. Jangan sekali-kali keluar rumah.

Cikgu Ali bertanyakan adakah kami mempunyai barang-barang untuk dimakan? Saya menyatakan ada dan cukup, dengan hasrat tidak mahu menyusahkan beliau pada malam buta itu. Pada hal yang saya maksudkan ’cukup’ itu tak lain daripada air kordial, air berkarbonat, sardin, roti dan air yang mengalir daripada paip di rumah kami. Itu sahaja.

Akibat ’lapar nasi’

Dini hari malam keempat kena kurung itu saya diserang gestrik. Saya pernah dimasukkan ke Hospital Pekan selama 8 hari kerana penyakit yang sama kira-kira enam bulan yang lalu. Perut saya terasa bisa benar dan mencucuk-cucuk. Saya tahu, ini akibat tidak makan atau makanan yang dimakan tidak sesuai. Apa tidaknya, saya telah jemu melihat roti. Saya bukan sahaja tidak boleh makan, tetapi terasa bagai hendak muntah melihat ikan sardin. Ini adalah akibat pada pagi tadi saya melihat sisa sardin yang entah siapa memakannya, ditinggalkan di dalam tin dan telah berulat dengan ulatnya bertindih-tindih dengan sisa ikan, kuah sardin dan air yang berlinang di dalam tin. Saya menyeluak melihatnya...

Dr. Bernado Miguel, seorang doktor berbangsa Filipina yang bertugas di Hospital Pekan pada masa saya dimasukkan ke hospital itu dulu bertanya saya sama ada saya membongkokkan badan atau tidak untuk menahan kesakitan. Saya bertanya, mengapa? Katanya, kalau membongkokkan badan, itu salah satu tanda kena gestrik.

Malam itu saya kena membongkok – malah melipatkan – badan untuk menahan kesakitan. Ubatnya? Yang ada hanya minyak cap kapak, entah kepunyaan siapa. Kapak pun kapaklah. Boleh juga saya tidur hingga pagi.

Hari Kelima

Perintah berkurung masih dikuatkuasakan, walaupun telah dikurangkan beberapa jam bagi membolehkan orang ramai menyelesaikan masalah mereka sekiranya sempat.

Hari itu Robert, Tony dan Chua bertanya kami tentang apa yang kami makan selama perintah berkurung itu. Wah! Baru hari ini kawan kita ini hendak bertanya. Kami berterus-terang sahaja memberitahu yang sebenarnya, dan mereka nampak terkejut. Robert mencadangkan kami makan tengah hari ini bersama-sama mereka. Isterinya pun sedang memasak. Kalau tak mahu, bolehlah minta isterinya memasak nasi, atau mereka boleh pinjamkan periuk elektrik mereka untuk kami gunakan. (Tapi, berasnya di mana? ... bukan beras APA?).

Saya mula melihat seolah-olah ada cahaya di hujung terowong. Selepas memberitahu Robert yang kami akan meminjam cerek dan periuk elektrik mereka pukul 3.00 nanti, saya mengajak Saiyed Noordin ke Pondok Polis yang terletak di hujung deretan rumah kami.

Kami memang tahu di situ ada sebuah Pondok Polis, tetapi selama perintah berkurung tidak pula tergerak hati kami untuk meminta bantuan mereka. Sesampainya kami ke situ kelihatan ramai orang terlantar, dengan muka sedih. Kebanyakannya buruh binaan yang tidak dapat ke mana-mana selain menumpang berteduh di situ. Ada orang asal Melaka, ada Kelantan, dan ramai juga dari Indonesia.

Salah seorang polis yang melayan kami mengatakan mereka tidak punya makanan untuk diberi. Orang-orang ini semuanya makan bubur sedikit seorang, itulah beras yang ada di sini. Mereka meminta maaf.

Kami mengatakan kami tidak berhajat menambahkan kesukaran mereka. Saya berharap mereka dapat mengeluarkan semacam permit membenarkan kami keluar dari Kuala Lumpur untuk balik ke Pahang. Kami ada berlima di rumah sewa di hujung deretan ini. Kereta saya mempunyai minyak separuh tangki dan dengan minyak sebanyak itu memang boleh sampai ke Bentong. Dari Bentong senanglah kami balik ke Kuantan dan Pekan.

Sekali lagi mereka minta maaf kerana tidak dapat membantu. Tidak seorangpun orang awam dibenar meninggalkan Kuala Lumpur setakat ini.

Lepas daripada kebuluran

Saya tak tahu sama ada peraturan itu sebenarnya wujud atau memang pegawai Polis itu tidak bersedia menolong kami keluar dari kawasan berkurung ini. Akhirnya, saya memohon agar mereka membantu kami melalui satu cara lagi.

”Bagaimana caranya?”

”Saya minta Datuk tolong bawa saya ke kedai runcit kepunyaan orang Cina di hadapan itu, tolong ketuk pintunya supaya dia boleh menjual sedikit barang makanan seperti beras, gula, dan kopi.”

”Mari kita pegi,” katanya terus mengajak kami.

Kami pun melintas jalan tanpa kenderaan di situ, terus ke sebuah kedai yang saya katakan tadi. Datuk Polis itu – dengan menyandang sepucuk senapang M16 di tangannya - mengetuk pintu, menyuruh pekedai itu membukanya. Beliau seterusnya meminta pekedai itu menjual barang-barang yang kami perlukan.

Semuanya dapat. Towkey kedai itu pun nampak gembira kerana dapat menjual barang-barangnya dalam kuantiti yang agak banyak. Berat juga Saiyed dengan saya mencebat barang belian itu, yang terus balik ke rumah setelah mengucapkan berbanyak-banyak terima kasih kepada Datuk Polis dan tak lupa juga kepada pekedai tadi.

Selepas menyimpan barang-barang belian, saya meminta Saiyed meminjam cerek dan periuk elektrik dari rumah Robert sebagaimana yang dijanjikan. Isterinya memang telah siap membasuh perkakas itu untuk kami gunakan.

Maka bermulalah upacara memasak nasi. Air panas dijerang untuk membancuh kopi. Dah lama benar tak merasa kopi. Selepas nasi masak, kami gunakan periuk nasi elektrik yang sama untuk memasak sardin berkuah, dengan menumis bawang merah dan bawang putih, dengan sedikit lada potong terlebih dahulu. Kuahnya tentulah air paip sahaja.

Setelah mustaid semuanya, kami mulalah memakan nasi pertama selepas lima hari. Lauknya sejenis sahaja. Sardin yang dimasak siap dengan ditumis itu tidak lagi menyebabkan selera saya tertutup sebagaimana sebelumnya. Dan, yang lebih nikmat lagi ialah menghirup kopi panas selepas makan nasi. Badan mengeluarkan peluh hingga jus baju kami bermandi peluh. Saya masih ingat, zaman pemerintahan Jepun dulu saya pernah mengalami situasi yang demikian. Orang kata itulah tanda kita kebulur.

Kami rupa-rupanya telah melepasi saat kebuluran. Dan, kali ini kebulur nasi.

No comments: