Mencuba 999
Meskipun mengetahui adanya perkhidmatan telefon 999, sepanjang hayat belum pernah saya menggunakannya. Pertama ada rasa bimbang untuk mendail nombor ’misteri’ itu. Yang kedua saya belum pernah menghadapi sebarang peristiwa cemas yang memerlukan saya mencuba talian tersebut.
Akhirnya pada petang ini tadi, Ahad 10 Ogos 2008 saya berdepan dengan suasana yang saya terpaksa mendial 999. Demikian kisahnya:
Jam 7.15 petang hari ini hujan turun lebat benar di kawasan kami. Hujan itu datangnya bersekali dengan angin yang kemudiannya bertukar menjadi ribut sederhana. Dalam seminggu dua ini kawasan kami memang hujan setiap petang, malah kadang-kadang melarat hingga ke malam.
Hujan ribut petang ini menyebabkan pohon angsana di hadapan rumah kami sekah salah satu dahannya. Pohon tersebut terletak di sisi pintu pagar rumah Sdr Abdul Aziz Abdul Rahman (seorang peguam), dan dahan yang sekah itu condong hala ke rumah kami. Nasib baik juga, apabila jatuh, dahan tersebut tidak tepat menghala ke rumah kami, tetapi membujur di atas jalan raya. Ini berlaku kerana tiupan angin yang kuat dari sebelah barat. Kalaulah jatuhnya melintang, sudah pasti menghempap pagar rumah kami.
Kami memang banyak kali meminta pihak Majlis Perbandaran Kuantan (MPK) menebang atau sekurang-kurangnya mencantas dahan angsana yang berumur lebih 40 tahun di kawasan perumahan ini. Ada tindakan awal pihak MPK menangni aduan kami itu, iaitu memangkah pohon-pohon tersebut dengan cat merah. Tetapi selepas bertahun-tahun, cat tanda itu luntur dan lengap, sedangkan pokok-pokok tersebut tetap berdiri, melentok-liuk apabila dipukul ribut.
Memandangkan kedudukan pohon angsana sekah tersebut sebagaimana yang saya nyatakan tadi, saya lebih cenderung mengharapkan Azizlah yang menguruskan dengan pihak berkenaan, untuk memaklumkan kejadian tersebut. Tetapi, beliau sekeluarga tiada di rumah pada masa kejadian. Rumahnya saya lihat gelap sahaja. Memang, beliau biasa tiada di rumah pada hujung minggu. Mahu tidak mahu sayalah yang harus menyelesaikannya; kalau tidak kereta kami tidak boleh keluar pagi esok kerana ranting kayu itu agak hampir benar dengan pintu pagar kami.
Tidak semudah yang disangka
Mula-mula saya mendail Majlis Perbandaran Kuantan(1). Saya menggunakan nombor telefon pada Resit Cukai Pintu. Mana ada orang membayar cukai malam-malam buta itu. Kedua-dua nombor tidak berjawab. Kemudian saya mendail 333. Waktu masa itu 7.32 petang. Tiada sebarang jawapan dan nadanya tu-li-lat sahaja. Tiga kali mendail, tapi begitu jugalah sudahnya. Berhenti sekejap, kemudian baru ingat, nombornya 999, bukan 333. Masya Allah!
Dail 999 (2): sama sekali sahaja, terus dijawab. Sahlah ini talian kecemasan. Telefonisnya seorang wanita (tapi sahlah bukan Rozita Che’ Wan). Suaranya cukup tertib, tapi kedengaran seperti loghat Kelantan yang dikawal kekelantanannya. Beliau bertanya apa hal, dan apakah yang dia boleh tolong. Tempat yang saya panggil itu ialah Balai Bomba dan Penyelamat Kota Bharu (2).
Setelah mendapat maklumat, telefonis tersebut memberitahu yang beliau akan menyambungkan saya dengan Balai Bomba dan Penyelamat Kuantan (3). Balai Bomba Kuantan (telefonis lelaki) kemudiannya menyambungkan saya dengan Balai Bomba dan Penyelamat Taman Tas (4), iaitu yang paling dekat dengan kediaman kami.
Telefonis di Balai Bomba dan Penyelamat Taman Tas (kali ini juga lelaki) memberitahu saya mereka menerima tiga panggilan tentang pokok tumbang di tempat yang berlainan pada masa itu. Beliau menyatakan yang beliau akan berhubung terus untuk memberitahu Roadcare (5). Senyampang bercakap dengan Balai Bomba Taman Tas, saya bertanya sama ada ahli bomba Jasmiat Haji Gusti ada di Balai pada masa itu. Beliau memberitahu saya Jasmiat tidak lagi bertugas di situ tetapi telah bertukar ke Jerantut. Beliau bertanya sama ada Jasmiat itu keluarga saya. ”Tidak," jawab saya, "dia tu bekas pelajar saya semasa saya mengajar di Jerantut dulu. Ibu bapa dia sangat rapat dengan keluarga saya.” (Sekiranya Jasmiat ada, tentulah lebih panjang langkahnya menolong saya malam itu, fikir saya).
Kira-kira lapan minit kemudian Roadcare menelefon saya – jarak dari bangunan Roadcare ke rumah saya hanya kira-kira empat minit berjalan kaki – tapi pada masa itu telefon dijawab oleh isteri saya kerana saya sedang sembahyang maghrib. Isteri saya memberitahu, orang di Roadcare menyatakan mereka tidak boleh membantu kerana tugas mereka hanya di atas jalan persekutuan. Jalan di hadapan rumah kami jalan negeri pun tidak. Mereka meminta kita hubungi MPK semula.(6) Nah! Sekarang dah lengkaplah satu pusingan yang melibatkan enam point, fikir saya.
Oleh sebab tidak tahu nombor sebenarnya MPK yang menyelenggara kes seumpama ini, isteri saya dan saya membuat keputusan untuk menunggu sahaja keesokan harinya.
Rupa-rupanya kira-kira jam 8.43 malam itu tibalah satu pasukan berpakaian celoreng merah dengan hitam. Pasukan Bomba! Mereka membawa dua buah chain-saw dan sekejap itu juga gempitalah bunyi enjin chain saw memamah dahan pohon angsana... Tidak sampai setengah jam kemudian dahan pohon yang sekah itu siap dipotong dan disusun di tepi jalan. Apabila saya pergi ke luar pagar selepas sembahyang isya', anggota Bomba itu telah tiada lagi. Tidak sempat saya mengucapkan terima kasih pun.
Saya fikir, tindakan kecemasan melalui 999 memang berkesan dan cekap. Yang saya berasa agak terkilan ialah terlalu ramai personel yang dilibatkan dengan kes yang sekecil itu. Saya cukup bersimpati dengan mereka. Tidak bolehkan, misalnya, SOP menyelesaikan kes begini dikurangkan pusat tanggungjawabnya, malah tidak perlu mengelilingi ’sebuah Malaya’.
2 comments:
Dato'
999. Demikianlah adanya...
Cikgu Wahab,
Saya takut, ada sebatang lagi pokok sena berhampiran rumah saya. Petang-petang hujan dan ribut hampir setiap hari sekarang. Sepokok telah mati, saya yang meracunnya. Tapi jangan beritahu orang MPK!
Post a Comment