Thursday, December 11, 2008

Mengenangi Teman Di Jerantut

Guru Besar di daerah kecil

Menjawat jawatan Guru Besar di satu-satunya sekolah menengah yang mempunyai dua aliran – aliran Melayu dan aliran Inggeris – di dalam sebuah daerah kecil seperti Jerantut membolehkan saya menjalin hubungan sosial dengan pelbagai pihak dan lapisan secara intim. Semua ketua jabatan dalam daerah saya kenali secara peribadi melalui mesyuarat; kalau tidak kerana isteri mereka bertugas sebagai guru di sekolah saya, atau mengenali semasa mereka mendaftarkan anak.

Apa tidaknya! Isteri beberapa orang Pegawai Daerah Jerantut berkhidmat sebagai guru di SMJ. Isteri Encik Jalaluddin Abu Bakar (Cikgu Badariah Abu Bakar, bertugas sebagai guru mata pelajaran Sains Rumah Tangga); isteri Encik Zainal Karib (Cikgu Khosiah Haji Zainuddin, bertugas sebagai guru Matematik); isteri Encik Abdullah Haji Kia (Cikgu Zulida Adam, berkhidmat sebagai guru Bahasa Melayu); isteri Encik Abdul Manan Abdul Rahman, Penolong Pegawai Daerah (Cikgu Foo Chee Mai, mengajar Bahasa Melayu dan Sejarah). Hubungan juga terjalin dengan Pengurus Ladang Sungai Mai (isterinya Puan Rosnah Abdul Manaf mengajar Sains Rumah Tangga). OCPD Jerantut, Encik Abdul Rahim Hamid mempunyai dua orang anak di sekolah kami.

Atje: alumni SMJ yang sentiasa mengingati alma-maternya

Pegawai Perubatan Jerantut pada satu masa pernah dipangku oleh Dr. Loon Santee. Dr. Loon adalah seorang Doktor Gigi lulusan Universiti Airlangga, Surabaya dan bertugas di Jerantut secara kontrak. Beliau dan isterinya, Puan Lian Santee merupakan teman yang sangat mesra dengan sesiapa sahaja di Jerantut.

Atje turut serta dalam perbincangan kami dengan Dekan Fakulti Pergigian UGM

Dua orang anak perempuan Dr. Loon dan Puan Lian Santee bersekolah di SMJ. Mereka ialah Lyonetta Cystarini Santee dan Asherini Santee . Dr. Loon memilih untuk menyekolahkan kedua-dua anak gadisnya ini mengikut aliran Melayu. Semasa mendafarkan Cysterini (kami memanggilnya Atje) dan Asherini (kami memanggilnya Arin) saya bertanya mengapa beliau tidak memilih aliran Inggeris sebagaimana kebanyakan orang-orang ’berada’ atau kelas menengah. Beliau menyatakan beliau tetap yakin dengan sistem aliran kebangsaan (Melayu), di samping anaknya tidak rugi setahun kerana terpaksa mengikutu Kelas Perlihan.

Makan malam di rumah Atace Pendidikan di Kedutaan Malaysia, Jalan H. R. Rasuna Said, Kuningan

Anak-anak keluarga ini yang lain ialah Rezki, Reginald dan Lonel Malayasher Santee. Lonel (sesuai dengan nama yang tercantum pada namanya itu) lahir di Jerantut pada tahun yang sama saya memulakan tugas di bandar ini.



Sejenak sebelum meninggalkan Bandara Jogjakarta

Ada satu cerita tentang Lonel yang diceritakan oleh Papanya kepada saya: Semasa Mama Lian mengandungkan Lonel ternyata janin di dalam rahim beliau pada kedudukan menyongsang. Kalau mengikut kaedah perubatan moden, ini boleh mengundang bahaya. Atas nasihat teman-teman, beliau diminta membawa isterinya menemui seorang bidan kampung yang sangat terkenal di Jerantut, iaitu Bidan Ta’ yang tinggal di Kampung Som, kira-kira 10 batu (maaf, saya terpaksa menggunakan ukuran lama) mengikut jalan arah ke Lipis.


Arin dengan anak-anaknya di Surabaya


Dr. Loon mengaku yang beliau sempat berasa bimbang dan ragu untuk mengikut nasihat teman-teman ini. Dari segi etika perubatan, beliau telah menyipang dari kebiasaan kerana tidak menggunakan kemudahan perubatan moden atau kaedah doktor. Tetapi, mengenangkan keselamatan isteri tercinta, Ibu Lian, beliau pergi juga ke Kampung Som.

Beliau terkejut kerana Tok Bidan itu menyuruh isterinya berbaring di atas sebiji bantal yang sangat kusam warnanya; entah berapa lama tidak berbasuh. Tentu mereka suami isteri saling berpangangan pada saat itu. Tapi, apakan daya, mereka telah masuk ke kandang harimau, terpaksalah mengaum mengikut cara sang harimau.

Tok Bidan tradisional yang bijaksana itu terus menjalankan ikhtiarnya dengan mengurut-urut perut Puan Lian, membetulkan kedudukan janin cara yang beliau biasa lakukan, menggunakan minyak urut yang disediakan sendiri oleh beliau. Tidak ada sebarang rasa sakit dan tempoh yang diambilnya relatif singkat. Sekejap, siap.


Hajah Arin membeli ubi madu di Surabaya

Sebagai tradisinya bidan kampung, Tok Bidan Ta’ tidak mengenakan sebarang bayaran untuk perkhidmatan profesionalnya itu. Lebih dari itu Ibu Lian dibekalkan pula dengan minyak gosok khas Bidan Ta’ untuk digunakan dengan melumur sekali sekala pada perut beliau.

Ternyata kemudian, melalui x-ray, kedudukan janin kembali normal. Keadaan ini kekal sehingga bayi itu dilahirkan.

Bersama Haji Hendra, yang semasa masa mudanya konon suka berdemonstrasi

Pasangan ini tidak lama menetap di Jerantut. Bukan kerana kontraknya tidak diperbaharui, tetapi kerana mereka ingin berhijrah untuk menetap di Holland. Khabarnya pada masa itu ada pihak berwajib menawarkan keluarga ini menjadi warganegara Malaysia, sebagai menghargai perkhidmatan cemerlang beliau di Jerantut.


Atje dengan Nur sedang memanjat Prambanan

Saya sekeluarga merasai benar akan kehilangan keluarga yang baik ini. Lebih jauh dari itu, saya menaruh sedikit keraguan tentang persekolahan Atje dan Arin di Holland nanti. Selain peralihan bahasa dari bahasa Melayu dan Inggeris ke Dutch, mereka turut mengalami perubahan kurikulum, budaya, cuaca, tatasusila dan makanan. Mungkin tidak akan tertanggung oleh tubuh anak kecil yang mungil itu terhadap cabaran yang begitu besar.



Dua orang cucu kami di Jakarta (Maaf, Pak Loon dan Ibu Lian! Kami 'pinjam' cucu kalian - Rhaidy & Rachma - untuk bergambar di Muzium Nasional Jakarta)

Saya pernah menawarkan agar Atje dan Arin ditinggalkan bersama-sama kami atau menginap di Asrama sehingga sekurang-kurangnya selepas SPM (semasa itu Atje baru selesai SRP dan Arin di Tingkatan II). Tentu amat sukar bagi Ibu Lian meninggalkan anak gadisnya di rantau orang yang berjarak ribuan batu.


Abun, Rachma dan Rhaidy makan tengah hari dengan Pak Bambang

Benarlah, kedua-dua beradik ini kurang berjaya dalam pengajiannya di Holland. Beberapa tahun kemudian mereka berdua kembali ke Indonesia dan bekerja di sebuah agen pelancongan. Atje berkahwin dengan Bunyamin (Abun) seorang karyawan di Indosat, kini memiliki rumah sendiri di Bekasi Selatan dan dikurnia dua orang cahaya mata, Rachma dan Rhaidy; sementara Arin berkahwin dengan Hendra (yang kebetulan teman Abun) dan menetap di Surabaya. Mereka kerap datang ke Malaysia, khasnya Pahang. Beberapa tahun yang lalu Arin dan Hendra telah menunaikan haji.

Setiap kali kami berkunjung ke Jakarta, Atje dan Abunlah yang melayan kami untuk berpergian ke sana sini, termasuk mendapatkan kedai menjual buku terpakai. Di Surabaya, Hendra dan Arin sempat membawa kami melalui Jalan Tunjangan, Jambatan Merah sambil menuturkan sejarahnya tempat itu dan menikmati makanan khas Surabaya.

Saya sangat menghargai dan berasa sangat terhormat berkenalan serta berhubungan dengan keluarga Santee yang sangat baik ini.

Atje dengan anak gadisnya Rachma yang baru selesai kuliah ijazah pertama

Semoga Pak Loon dan Ibu Lian Santee sentiasa sihat dan berbahagia di Holland; sementara anak-anak dan cucu-cucu turut menggembirakan kedua-dua orang tua mereka yang tidak sahaja berjaya membesarkan mereka, tetapi turut berjasa kepada masyarakat Pahang yang tinggal di Jerantut. Kami sekeluarga merasa sangat terhormat berkenalan dengan seluruh keluarga ini.

Selamat Hari Natal buat Pak Dr. Loon Santee dan Puan Lian Santee serta anak-anak dan cucu-cucu di Holland!

9 comments:

arin said...

Assalamu'alaikum wr. wb...Cikgu,
Terima kasih banyak untuk tulisan
mengenai kel Loon Santee. Kami sangat surprised dan terharu bahwa Cikgu masih mengingat perihal kehamilan mama dari adik kami : Lonel dan juga mengenai bidan Ta'....
Bangga bahwa Cikgu menyertakan cerita keluarga ini dalam Blog Cikgu... Terima kasih.

Alhamdulillah, Blog Cikgu memberi banyak pengetahuan untuk para pembacanya. Indah dan interesting cara Cikgu menuangkannya dalam kata-kata. Semoga Cikgu dapat terus berkarya dan berbagi ilmu & pengetahuan dengan/pada kami....(juga mempermudah kami untuk mendapatkan informasi tersebut...tanpa perlu bersusah payah mencarinya...hehehehehe.... aih, murid macam apa ni ???...hehehe)..

arin said...

Akhirnya saya dapat memberi comment yg terkirim. Saya sudah mencoba 4 kali...tapi setiap kali gagal....(mungkin karena tidak tahu teknologi/meng-operate computer...hahahaha). Tadi ini, saya dapat bantuan dari Hatif (anak saya)..ternyata "berhasil terkirim"... :)

Bersama ini saya ingin mengucapkan Selamat Tahun Baru 1430 H. Juga Selamat Tahun Baru 2009 TM.
Semoga kita semua diberi kesehatan yang baik, iman yang terjaga dengan baik, amal ibadah sesuai dengan ajaranNya juga rizqi yang barokah dan senantiasa dilindungi oleh Allah SWT....Amin...

Salam kami untuk keluarga Cikgu..

YAAKUB ISA said...

Terima kasih Arin. Komen Arin cukup menjadikan saya gembira. Saya dapati keluarga di Holland juga telah membaca Blog ini, tapi mungkin belum disampaikan sebarang berita atau komen. Rezki menjanjikan untuk mengirim berita dari sana. Atje katanya pernah menulis tetapi tidak dapat disampaikan.

Didoakan agar Arin sekeluarga sentiasa dalam peliharaan Allah SWT. Salam kepada Pak Hendra dan anak-anak.

MANISAH said...

Assalamulaiakum wbt, Saya tidak dapat menahan jejari saya untuk terus memberi respon untuk tajuk ini. Salam Cikgu dan Salam Arin, alhamdulillah menerusi blog Cikgu dapat saya jumpa teman lama. Harap Arin masih mengingati saya, Manisah (penggilan Chah). Semua kenangan semasa bersekolah dulu kembali segar bila membaca blog Cikgu. Ini mungkin kebetulan, saya berada di Jerantut kerana ayahanda saya Cikgu Mohd. Ali, pulang ke Rahmatullah Jumaat 6 Ogos yang lalu. Saya masih berada di rumah, Rumah Lembaga, dalam masa inilah saya membuat pencarian berkaitan Jerantut. Alhamdulillah, saya jumpa blog Cikgu dan menjumpai teman lama. Semalam saya berhubung memalui email dengan sorang guru yang pernah bertugas dengan arwah ayahanda saya di Pulau Tawar, Cigu Hamzah. Email beliau saya dapati melalui laman memoir beliau. Inilah yang dikatakan dekat tapi jauh. Dekat hujung jari untuk menghubungi tetapi jauh secara fizikalnya. Cikgu ... kirim salam pada Kak Nurziah ya, tak banyak beza, cantik dan manis macam dulu masa mula-mula tinggal di Jerantut lagi. Saya boleh dihubungi di manisah@gmail.com. Saya menunggu khabar berita daripada Cikgu dan Arin.har

Yaakub Isa said...

Anisah,
Maaflah dalam pos yang lalu saya bertanyakan tentang ayah Anisah. Saya turut berdukacita tentang kehilangannya. Arin dan Cysterini boleh dilink melalui Blog ini atau FB. Tulis saja Arin Santee. E-mel saya kena hacked, habis alamat kawan-kawan hilang.

MANISAH said...

Assalamualaikum wbt,

Terima kasih Cikgu kerana memberi respon. Utk makluman ibunda telah pergi dulu pada 2 Mei 2008. Orang-orang seangkatan mereka semakin tiada dan yang adapun semakin uzur, Kini tiba masanya kami pula yg jadi seniors. Namun bagi saya rasa masih junior sebab anak tak masuk sekolahpun lagi, Saya ada cuba hubungi Arin dan masih menunggu maklum balas daripadanya.

YAAKUB ISA said...

Inna lillahi wa inna ilaihi raji'un. Emak pun dah meninggal rupanya. Banyak benar yang saya tak tahu dari Jerantut. Tak berapa lama dulu ada saya jumpa adik Ruslah (anak arwah Cikgu Md. Amin) yang tinggal di Kuantan. Tidak diceritakan pun tentang ini. Begitulah, Cah. Jagalah anak baik-baik dan binalah keluarga dengan sempurna. Itu salah satu amanah Allah SWT. Saya harap Cah dapat segera hubungi Atje dan Arin. Semasa kami ke sana, kami dilayan oleh mereka dengan cukup mesra. Salam.

MANISAH said...

Terima kasih Cikgu atas segala nasihat. Mengenai Arin dan Atje, ya saya harap dapat menghubungi mereka nanti dan menyuburkan silaturrahim yang telah dijalin.

MANISAH said...

Terima kasih Arin kerana membalas email saya. Selepas ini harap dapat bertemu. ini merupakan hadiah hari raya bagi saya